Pages

Friday, April 25, 2014

Lelaki buta dapat mata bionik



PONTZ yang menerima mata bionik menjalani latihan penglihatan di Pusat Mata Kelogg, Universiti Michigan, Ann Arbor, Michigan pada 16 April lalu.- AP


DETROIT, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki yang buta akibat satu penyakit mata kini boleh melihat semula selepas menerima 'mata bionik' yang merupakan satu peralatan berteknologi tinggi yang membantu dia melihat semula.
Lelaki tersebut, Roger Pontz, 55, disahkan menghidap penyakit mata yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa ketika masih muda yang menyebabkan penglihatannya menyusut sehingga buta.
Bagaimanapun, sebuah syarikat perubatan, Second Sight Medical Products dengan kerjasama Pusat Mata Kellogg di Universiti Michigan, Ann Arbor berjaya menghasilkan satu mata bionik yang mampu membantu Pontz, melihat semula.
Implan tiruan pada mata kiri Pontz adalah sebahagian daripada sistem yang dibangunkan syarikat itu.
Ia mengandungi cermin mata yang mempunyai satu kamera kecil dan pemancar.
Sistem itu berfungsi apabila kamera merakam imej yang kemudiannya ditukar menjadi denyutan elektrik yang dipancarkan secara tanpa wayar kepada beberapa elektrod pada permukaan retina.
Denyutan itu merangsang sel retina yang masih sihat.
Ia menyebabkan sel itu menghantar isyarat ke saraf optik.
Maklumat visual itu kemudiannya dipindahkan ke otak untuk ditukarkan kepada bentuk-bentuk cahaya yang boleh dikenal pasti sekali gus membolehkan pesakit memperoleh sedikit fungsi penglihatan.
Pontz berkata, selepas memakai sistem itu, dia kini boleh melihat bayang isteri, kucing dan cucunya selepas beberapa tahun hidup dalam kegelapan.
Dia yang merupakan bekas pekerja kilang merupakan antara empat orang di AS yang menerima retina tiruan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2zqXdcdBr 
Hakcipta terpelihara 

Remaja hidap kanser kumpul £1 juta pound


Stephen Sutton menunjukkan senarai hasratnya yang ingin dicapai sebelum dia meninggal dunia. - AGENSI
LONDON 24 April - Seorang remaja yang menghidap penyakit kanser, berjaya dalam usahanya untuk mengumpul satu juta pound (RM5.48 juta) bagi membantu sebuah badan kebajikan, sebelum dia meninggal dunia akibat penyakit yang dihidapinya itu.
Portal berita Mail Online melaporkan Stephen Sutton, 19, dari Burntwood, Staffordshire, dikesan menghidap penyakit kanser kolon ketika berumur 15 tahun, namun walaupun barah tersebut telah dibuang daripada ususnya, penyakit itu kembali semula setahun selepas pembedahan.
Selepas dimaklumkan tentang keadaan itu, remaja tersebut membuat satu senarai hasrat yang mahu dicapainya sebelum dia meninggal dunia.
Sutton yang pada awalnya berharap untuk mengumpul 10,000 pound bagi membantu badan kebajikan, Teenage Cancer Trust, namun, selepas usahanya itu yang dilakukan melalui laman web Facebook dan Twitter serta membuat diari di atas talian, selain memberi ceramah motivasi tentang penyakit yang dihidapinya itu mendapat perhatian banyak pihak, membolehkannya mengumpul dana berjumlah satu juta pound.
Dia juga mendapat bantuan dari­pada beberapa selebriti Britain termasuk Piers Morgan, Clare Balding, Robbie Fowler, Alan Davies dan Jimmy Carr.
Keadaan Sutton kini terlantar di atas katil di hospital dan keadaan kesihatannya semakin merosot.
Sutton dalam Facebook berkata, keadaan kesihatannya semakin buruk, namun dia berpesan supaya semua orang menikmati kehidupan masing-masing dengan berfaedah sebelum ia berakhir.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140425/lu_09/Remaja-hidap-kanser-kumpul-1-juta-pound#ixzz2zqW8jguo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, April 22, 2014

Setia sampai hujung nyawa


Ohio: Mereka masih berpegangan tangan ketika menikmati sarapan walaupun selepas 70 tahun dikahwinkan.
Apabila Helen Felumlee menghembus nafas terakhir pada usia 92 tahun, suaminya mengikuti jejak wanita terbabit kurang dari sehari kemudian. 
Anak pasangan itu, Linda Cody berkata, mereka memang dapat merasakan kematian Helen bakal dituruti bapanya tidak lama selepas itu. 

“Malah, kami memang mahu mereka kekal bercinta sehingga ke nafas yang terakhir.
Foto
CODY dan Helen (duduk) bersama lapan anak mereka pada 2012.
“Nampaknya memang itulah yang berlaku,” katanya. 
Pasangan Kenneth Cody dan Helen Felumlee disatukan sebagai suami isteri ketika mereka masih berusia belasan tahun.

Sejak itu, mereka tidak berpisah langsung. 

Helen meninggal dunia di hospital selepas mengalami masalah kesihatan berlarutan sebelum ‘diikuti’ Cody kira-kira 15 jam kemudian.

Media semalam melaporkan, walaupun keadaan kesihatan semakin tidak mengizinkan, pasangan itu tetap bahagia bersama.

Ketika Cody mengalami masalah jantung dan kehilangan sebelah kakinya akibat masalah kitaran darah, Helen tetap setia menemaninya di hospital.

Lama-kelamaan Helen juga jatuh sakit dan ditempatkan berhampiran katil Cody di hospital.

Linda berkata, Cody tidak sanggup melihat penderitaan dialami isterinya dan selalu memegang tangan wanita dicintainya itu.

Katanya, ketika dikahwinkan di Kentucky Cody berusia 18 tahun dan Helen 19 tahun.

“Namun, kenyataan itu dirahsiakan kerana mereka takut untuk memberitahu ibu bapa masing-masing,” katanya. 

Hasil daripada perkongsian hidup, mereka mempunyai lapan orang anak - lima lelaki tiga perempuan - dan Cody terpaksa bekerja keras bagi menyara keluarga. 

Dia melakukan tiga tugas dalam satu masa, iaitu pemeriksa kereta api, operator garaj dan posmen.

Helen pula bekerja dengan pertubuhan gereja, mengajar sekolah gereja dan menghantar kad ucapan kepada hampir semua penduduk di kawasan kediaman mereka ketika perayaan dan hari jadi.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Monday, April 21, 2014

RM43,000 jika pukul isteri


Riyadh: Arab Saudi akan menguatkuasakan undang-undang yang mengenakan hukuman denda sebanyak SR50,000 (RM43,00) bermula minggu depan ke atas suami yang memukul isteri mereka.

Rang undang-undang itu yang diluluskan minggu lalu turut memperuntukkan hukuman penjara antara sebulan hingga setahun bagi pesalah.

Ia bagaimanapun dilihat tidak akan menyelesaikan masalah penderaan yang dilakukan ibu bapa ke atas anak mereka.

Undang-undang terbaru itu juga masih tidak jelas sama ada akan merangkumi penghinaan secara lisan atau sekadar serangan fizikal.

Sumber media Saudi itu menyatakan mereka percaya hukuman bakal dikenakan kepada suami yang mendera isteri mereka berdasarkan laporan perubatan yang mengesahkan isteri itu dipukul.

Undang-undang yang didebatkan selama dua tahun itu diluluskan badan kehakiman berikutan peningkatan kes keganasan rumah tangga di negara itu dan kebanyakan lelaki yang terbabit dibebaskan kerana tiada peruntukan khas undang-undang untuk mendakwa mereka.

Ulama terkenal, Sheikh Ayed Al Qarni dalam nada bergurau berkata: “Kini kita mengetahui hukuman yang bakal dikenakan bagi suami yang memukul isteri tetapi apa pula hukuman bagi isteri yang memukul suami? Seorang lagi ulama, Sheikh Adel Al Kalbani pula menyatakan di laman Twitternya: “Nasihat saya, lebih baik kamu berkahwin lain daripada memukul isteri kamu dan dikenakan denda.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Kapal udara diperkenalkan semula



Worldwide Aeros Corp. (Aeros) berharap untuk memperkenalkan kembali kapal udara dalam usaha merevolusikan sistem kargo atau pengangkutan barangan pasaran global. - AGENSI
KAPAL udara pernah dianggap sebagai pengangkutan masa depan dan ia digunakan secara meluas pa­da akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Namun setelah berlaku tragedi ke­­bakaran kapal udara LZ-129 Hin­de­nburg yang dibangunkan oleh Luftschiffbau Zeppelin pada 1935 dengan kos 500.000 pound (RM 2.71 juta) pada 6 Mei 1937 di Lakehurst, New Jersey Amerika Syarikat (AS), sehingga mengorbankan 35 nyawa, kepercayaan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan udara itu terus merudum dan ia menjadi detik kepada berakhirnya era kapal udara.
Hindenburg yang mempunyai ukuran panjang 245 meter dan lebar 41 meter adalah kapal udara terbesar pada waktu itu dan merupakan penerbangan pertama yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan berjadual antara Eropah dan utara AS.
Ia juga merupakan cara paling cepat dan selesa untuk menyeberangi Lautan Atlantik pada ketika itu.
Sebelum kejadian, kapal udara keluaran syarikat Zeppelin telah digunakan secara meluas selama 30 tahun dan sudah melakukan lebih 2,000 penerbangan tanpa mengalami sebarang kecelakaan udara.
Seramai 62 orang terselamat dalam tragedi di Lakehurst itu, manakala 35 lagi terdiri daripada 13 penumpang dan 22 orang anak kapal terkorban.
Sehingga kini, punca kebakaran itu masih tidak diketahui dan terus menjadi misteri.
Menurut sumber, kebakaran mungkin disebabkan percikan listrik statis yang terkumpul hasil daripada geseran badan kapal udara dengan udara di atmosfera.
Ini mungkin menyebabkan lapisan aluminium yang digunakan untuk menampung gas hidrogen terbakar dan menyebabkan gas yang mudah terbakar itu dilepaskan ke udara.
Namun, hidrogen yang terbakar tidak akan mengeluarkan sebarang warna dan ada yang beranggapan api marak yang berlaku ketika kapal udara itu terbakar bukan disebabkan oleh gas hidrogen.
Selain itu, gas hidrogen di dalam Hindenburg telah dicampurkan dengan bau bawang putih supaya mudah untuk menggesan sebarang kebocoran.
Namun, tiada seorang pun daripada mangsa yang terselamat dalam tragedi itu terhidu bau bawang putih sebelum kemalangan itu berlaku.
Kejadian yang menggemparkan dunia itu berjaya dirakamkan secara tidak sengaja dan ia menjadi bahan berita utama di seluruh dunia sehingga mempengaruhi keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu.
Kini selepas hampir 77 tahun ke­­jadian itu berlaku, firma perintis penerbangan, Worldwide Aeros Corp. (Aeros) berharap untuk memperkenalkan kembali kapal udara itu dalam usaha merevolusikan sistem kargo atau pengangkutan barangan pasaran global.
Kapal udara digelar Aeroscraft tersebut akan dibina menggunakan teknologi inovatif supaya ia boleh terbang lebih baik, bagi mengelakkan masalah yang dialami oleh generasi pertama Zeppelin, berulang.
Ia hanya memerlukan satu pertiga bahan api untuk mengangkut muatan dan boleh mendarat di mana-mana sahaja, walaupun tanpa landasan kapal terbang termasuk di atas air, sekali gus menjadikannya amat sesuai untuk digunakan di zon perang dan kawasan bencana.
Aeroscraft telah dibina hasil sumbangan sebanyak AS$3 juta (RM9.82 juta) daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan bersedia untuk melakukan penerbangan ujian pertamanya tidak lama lagi, menurut Business Insider.
Aeros meramalkan kenderaan udara tersebut akan mengubah cara bagaimana kargo bergerak di seluruh dunia dengan menyediakan satu cara pengangkutan yang lebih murah daripada kapal terbang, tetapi lebih cepat daripada kapal.
Teknologi tersebut dicetuskan oleh pengasas firma, Igor Pasternak yang menemui cara untuk memampatkan helium yang membolehkan kapal udara itu mengawal beratnya.
Menurut Aeros, pihaknya menjangka Aeroscraft boleh digunakan pada pertengahan 2015.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140421/lu_07/Kapal-udara-diperkenalkan-semula#ixzz2zTf8Cixn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Meteor terbakar dirakam



IMEJ menunjukkan meteor atau batu angkasa lepas (dalam bulatan) yang terbakar dan mengeluarkan cahaya apabila memasuki lapisan udara di Rusia.


MURMANSK - Kehadiran beberapa meteor yang menerangi langit malam di sini dirakam kamera yang diletakkan pada papan pemuka sebuah kereta.
Rakaman tersebut yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube dibuat ketika kenderaan itu melalui lokasi kejadian kelmarin.
Ia menunjukkan meteor atau batu angkasa lepas itu terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi dan menerangi langit yang gelap.
"Saya seakan-akan tidak percaya melihat sebutir batu terbakar dapat memancarkan cahaya yang begitu terang," kata seorang pengguna YouTube.
"Untuk beberapa saat langit cerah seperti siang hari," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2zT3Asi6N 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, April 20, 2014

Mudah naik angin jika gula rendah

 Mudah naik angin jika gula rendah
Paras gula yang stabil amat penting bagi mengekalkan kebahagiaan di dalam perkahwinan. - Foto hiasan 
Washington: Gejala gula rendah dalam darah tidak baik untuk perkahwinan kerana ia menyebabkan pasangan lebih cenderung untuk marah dan bertindak kasar, menurut kajian terbaharu yang diterbitkan pada Isnin lalu.

Penemuan itu dilakukan ke atas 107 pasangan berkahwin yang diminta untuk memantau paras glukosa dalam darah sebelum sarapan pagi dan tidur, setiap hari selama 21 hari.

Sebagai tambahan, penyelidik turut memberikan mereka patung vodoo mewakili kepentingan mereka bersama dengan 51 batang jarum. Mereka diarahkan untuk mencucuk patung menunjukkan perasaan marah mereka terhadap pasangan secara rahsia.


Kajian mendapati pasangan dengan kandungan darah yang rendah mencucuk lebih banyak jarum terhadap patung pasangan mereka.

“Apabila darah mereka mempunyai paras glukosa rendah, mereka berasa marah dan melepaskannya terhadap patung yang mewakili pasangan mereka,” kata ketua penulis penyelidikan, Brad Bushman dari Universiti Ohio State.

“Sehinggakan mereka yang melaporkan hubungan baik dengan pasangan masing-masing turut cenderung melepaskan kemarahan jika paras glukosa mereka rendah,” katanya.

Dibawa ke makmal
Menerusi kajian itu, pasangan terbabit dibawa ke makmal dan diasingkan dalam bilik berlainan. Mereka diarahkan untuk bermain permainan komputer menentang pasangan masing-masing.

Setiap kali mereka menang, mereka disuruh untuk membuat keputusan mengenai berapa kuat bunyi yang akan didengar pembesar suara pasangan mereka serta berapa lama.

Ia sebenarnya tidak berlaku dan mereka juga tidak bermain menentang pasangan masing-masing tetapi menentang komputer yang membenarkan mereka menang 50 peratus pada setiap masa.

Walaupun begitu, keputusan menunjukkan mereka dengan purata kandungan gula sebelah petang yang rendah ‘menghantar’ bunyi yang lebih kuat dan lebih panjang kepada pasangan masing-masing.

Selain itu, analisa lanjut dilakukan bagi mendapati mereka yang lebih banyak mencucuk patung dengan jarum lebih cenderung menghantar suara lebih kuat dan lebih panjang.

“Kami menemui kaitan jelas antara tindak balas agresif yang dapat dilihat pada anak patung dan kelakuan agresif realiti,” kata Bushman.

Beliau menambah, glukosa bertindak sebagai tenaga kepada otak atau organ yang menggunapakai 20 peratus kalori walaupun ia hanya mewakili dua peratus berat badan.

Kawalan diri sendiri diperlukan bagi menguruskan kemarahan dan tindak balas agresif memerlukan tenaga. Sebahagian daripada tenaga itu dibekalkan oleh glukosa, katanya. - AFP

Warga emas rentasi Atlantik


Aleksander Doba girang sejurus tiba di Florida selepas menamatkan ekspedisi merentasi Lautan Atlantik, baru-baru ini. - AGENSI
NEW YORK 19 April - Seorang warga emas Poland mendakwa dia berjaya berkayak secara solo merentasi Lautan Atlantik selama enam bulan dari Portugal ke Florida, Amerika Syarikat (AS).
Aleksander Doba, 67, menerusi akaun Google+ miliknya berkata, dia tiba di Florida, malam kelmarin.
Doba berlepas dari Lisbon pada 5 Oktober tahun lalu.
Dia menggunakan kayak berwarna putih dan kuning berukuran panjang 6.4 meter yang dipanggil ‘Olo’.
Doba turut memuatnaik gambarnya mengangkat tangan sambil tersenyum puas dengan jambang tebal hampir memenuhi wajahnya sejurus tiba di Florida.
"Dia berkata dia sangat penat kerana buat tiga malam, dia tidak dapat tidur ketika melintasi kawasan berombak besar," kata seorang penterjemah kepada The Daytona Beach News-Journal.
Doba yang turut mendakwa menyeberangi Laut Baltik dengan kayak turut menceritakan pengalamannya merentasi laut dalam keadaan bergelora dan cuaca tidak menentu semasa perjalanan merentasi Atlantik sejauh 8,000 kilometer.
Katanya, dia turut berhenti di Bermuda bagi memperbaiki kayaknya di situ. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140420/lu_07/Warga-emas-rentasi-Atlantik#ixzz2zNBd7DM2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, April 19, 2014

Karpet dihasilkan daripada habuk gergaji



REUTERS SEJUMLAH orang berjalan di tepi karpet yang diperbuat daripada habuk gergaji itu.


BANDAR RAYA GUATEMALA, Guatemala - Beberapa pekerja perbandaran dan sukarelawan menghasilkan karpet daripada habuk gergaji di sini kelmarin.

REUTERS BEBERAPA pekerja membersihkan habuk gergaji itu.


Karpet itu sepanjang 2,012 meter (m) yang merupakan rekod baharu Guinness World of Records.
Rekod lama sebelum ini ialah 1,400m.
Selepas karpet merah itu diukur, para pekerja dan sukarelawan tersebut membersihkan semula dan membuang habuk kayu pelbagai warna itu di laluan pejalan kaki.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2zHN73Q2E 
Hakcipta terpelihara 

Planet menyerupai bumi ditemui


Gambar rajah membandingkan planet pada sistem solar bumi dengan Kepler-186, sistem lain mengandungi lima planet pada orbitnya, kira-kira 490 tahun cahaya dari bumi yang ditandakan dengan abjad B, C, D, E dan F (Kepler-186). - AGENSI
NEW YORK 18 April - Ahli-ahli astronomi mengumumkan bahawa mereka telah menemui sebuah planet yang mempunyai saiz menyamai bumi di dalam zon yang boleh didiami manusia.
Menurut mereka, planet yang mempunyai saiz 1.1 lebih besar berbanding bumi itu berada sejauh 490 tahun cahaya.
Planet yang dipanggil Kepler-186f itu adalah yang pertama ditemui dalam keadaan yang sesuai untuk cecair air wujud di permukaannya, sekali gus bermakna ia boleh turut menyokong kehidupan makhluk asing.
Planet itu ditemui sepasukan ahli astronomi yang diketuai Elisa Quintana daripada Institut SETI di Pusat Penyelidikan Ames Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang mengkaji data daripada teleskop ruang angkasa Kepler NASA.
Setakat ini, teleskop itu menemui beratus planet, namun kebanyakannya merupakan ‘dunia’ yang tidak boleh didiami, sama ada ia terlalu besar atau orbitnya terlalu dekat dengan bintang yang menjadi paksinya untuk menyokong kehidupan.
Penemuan Kepler-186f, sekali gus menjadi satu pencapaian terbesar dalam bidang pemburuan planet kerana ia merupakan planet pertama yang mempunyai saiz menyamai bumi dan ditemui dalam zon yang boleh didiami manusia, dikenali sebagai ‘zon Goldilocks'.
'Mengambil contoh planet kita, air merupakan sumber yang sangat penting untuk kehidupan. Kepler-186f menyediakan kepada kita peluang untuk mencari kehidupan makhluk asing di luar sistem solar kita,' kata ketua penulis kajian itu yang menemui Kepler-186f, Dr. Steve Howell kepada Mail Online.
Planet itu yang mengorbit sebuah bintang kerdil jeni-M, bagaimanapun sedikit berbeza dengan orbit bumi kerana ia mengambil masa selama 130 hari untuk mengelilingi bintangnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140419/lu_08/Planet-menyerupai-bumi-ditemui#ixzz2zHMGak5y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, April 18, 2014

Petua mudah cari isteri hilang


MUHAMAD MAT YAKIM
18 April 2014

SUATU hari saya tumpang kereta kawan untuk ke pejabat. Kami singgah di sebuah warung dan saya turun beli makanan bungkus sementara kawan tunggu dalam kereta. Selepas itu, saya pun kembali semula ke kereta, buka pintu, masuk tetapi alangkah terkejutnya apabila yang saya tengok duduk di tempat pemandu bukan kawan saya.

Rupa-rupanya kawan saya dengan keretanya sudah ke depan dan kereta lain pula yang datang ambil alih tempat itu. Selepas minta maaf, saya pun keluar dari kereta orang yang tak dikenali itu dengan muka tebal.

Kelmarin, stesen radio Pahang FM mainkan topik 'tersilap orang' dengan perkongsian cerita oleh penyiar dan pendengar. Macam-macam. Yang banyak jadi hal seperti itu, wanita. Jangan tanya saya mengapa!

Alkisahnya, dalam satu kes, seorang isteri yang pastinya kepenatan kerana lama menunggu suami datang menjemput, masuk dalam kereta sambil merungut-rungut memarahi 'suami' yang lewat.

Setelah agak lama dan mendapati kereta itu tidak juga bergerak, barulah dia mengalih pandang ke arah 'suaminya'. Alangkah terkejut apabila mendapati yang duduk di tempat pemandu bukanlah suami yang dinanti.

Lalu untuk tutup malu, dia pun bertanya, "awak ni siapa?", "mana suami saya?" Tidak tahulah apa yang dijawab oleh pemandu merangkap tuan punya kereta itu tetapi kalau saya, akan balas begini: "Saya, sayalah... yang awak tu naik kereta saya ni kenapa? Mana saya tahu suami awak!"

Yang diceritakan hanyalah si pemandu itu kemudian melihat menerusi cermin pandang belakang, ada sebuah kereta lain yang serupa dengan keretanya, di belakang dan pemandu kereta itu dilihat ketawa berdekah-dekah melihat isterinya tersalah masuk kereta orang lain.

Kes tersalah suami atau tersalah isteri ini banyak berlaku di pasar raya. Seorang kawan saya yang 'kehilangan' isteri di pasar raya, kemudian mendapati isterinya bersama-sama seorang lelaki lain berjalan seiringan menolak troli barang.

"Betulnya, isteri aku pergi ambik barang dan aku tunggu troli. Tiba-tiba aku nampak barang yang aku sedang cari kat rak tidak jauh dari situ. Aku pun alih troli ke tepi dan pergi ambik barang itu. Mungkin selepas itu datang orang lain, dan isteri aku tak pandang terus ikut orang tu yang disangkanya aku.

"Orang tu pulak mungkin tak perasan isteri aku ikut dia. Bila aku panggil, merah padam muka isteri aku dan pelan-pelan dia belah ke tepi. Bila aku tanya pasal barang, dia kata sudah masuk dalam troli orang tu. Aku kata, pergi ambik lainlah, yang sudah masuk troli biarlah orang tu bayar nanti..," katanya.

Dalam kes lain yang hampir serupa - isteri orang dengan suami orang - bersama-sama berjalan menolak troli dan mereka masing-masing tersedar salah pasangan hanya setelah sampai di kedai makan.

Apabila 'si isteri' bertanya kepada 'suami'nya: "Abang nak makan apa?" baharulah dia tersedar yang ditanya itu rupa-rupanya suami orang lain.

Masa itu, masing-masing kelam kabut dan malu sesama sendiri. Pada masa yang sama, kelam-kabut juga mana nak cari pasangan sejati yang sudah hilang entah ke mana!

Di sini, saya nak kongsi satu petua mudah yang mungkin boleh jadi pedoman bagi sesiapa yang mungkin terbabit kes kehilangan isteri seperti ini.

Caranya mudah sahaja, kalaulah isteri anda hilang, telefon pun tidak berjawab, caranya, anda carilah wanita paling cantik yang ada di tempat itu, atau di pasar raya itu. Sapalah wanita itu, tanya nama, di mana rumah dan kalau boleh mintalah nombor telefon dia sekali.

Percayalah, dalam masa beberapa minit sahaja, isteri anda pasti akan muncul di sebelah dan tidak perlu untuk anda bersusah payah mencarinya lagi.

Kalaulah si cantik itu isteri orang, suaminya juga tentu akan muncul dalam masa beberapa saat sahaja dan selepas itu, selesaikan dan tanggunglah sendiri isu-isu yang berbangkit.

Bayar pembelian melalui imbasan saluran darah


Teknologi imbasan saluran darah dikatakan lebih mudah dan selamat berbanding penggunaan kad kredit - AGENSI
STOCKHOLM 17 April - Kira-kira 1,600 pengguna di Sweden menikmati perkhidmatan teknologi baharu yang menawarkan kaedah lebih mudah dan selamat berbanding kad kredit apabila membeli-belah hanya dengan mengimbas corak saluran darah mereka ketika membuat pembayaran.
Saintis yang terlibat dalam penciptaan teknologi itu, Fredrik Leifland dari Universiti Lund, selatan Sweden, berkata, setiap individu mempunyai corak saluran darah yang berbeza-beza dan kaedah berkenaan dapat mengelakkan berlakunya penipuan melalui sistem yang digunakan itu.
Jelasnya, teknologi yang belum diberi nama itu boleh diakses melalui terminal imbasan yang terdapat di restoran atau pusat membeli-belah terpilih dan pengguna hanya perlu memasukkan nombor keselamatan sosial (nombor kad pengenalan) dan nombor telefon ketika membuat pendaftaran.
"Selepas melakukan imbasan, satu mesej akan dihantar ke telefon bimbit pengguna berkenaan dengan pautan laman web untuk proses pengaktifan dan pembayaran akan dibuat sebanyak dua kali sebulan menerusi akaun pengguna.
"Teknologi ini melibatkan proses yang rumit bagi mengelakkan penipuan dengan menghubungkan terminal imbasan, bank, kedai dan pelanggan," katanya.
DailyMail Online melaporkan, setakat ini sebanyak 15 restoran dan kedai di Sweden menyediakan perkhidmatan tersebut dan hampir 2,000 orang telah mendaftar untuk mencubanya.
Bagaimanapun, teknologi tersebut masih pada peringkat percubaan dan sekiranya berjaya kaedah tersebut akan dikembangkan ke seluruh dunia dengan tahap keselamatan yang lebih baik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140418/lu_09/Bayar-pembelian-melalui-imbasan-saluran-darah#ixzz2zCx45XWm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bangga anak ibu termuda

 London: Bapa seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang menjadi ibu termuda di Britain berkata semalam dia bangga dengan anaknya.

Pelajar sekolah yang dihamilkan oleh teman lelakinya berusia 13, semasa masih di sekolah rendah ketika berumur 11 tahun, melahirkan bayi perempuan seberat 3.29kg Ahad lalu.
Pada usia 12 tahun dan tiga bulan, dia lima bulan lebih muda daripada ibu termuda Britain sebelum ini. 

Murid tahun 7 dan bapa bayi itu, dikatakan dilamun cinta dan menjalin hubungan selama setahun, kini dipercayai ibu bapa termuda Britain.
Foto
PASANGAN ibu bapa termuda Britain itu bersama anak mereka. Gambar mereka dikabur bagi melindungi identiti mereka.

Semalam, bapa budak perempuan itu berkata dia akan membantu anaknya mengharung kehidupan.

Bagaimanapun dia mengaku kecewa kerana hanya mengetahui mengenai anaknya akan melahirkan anak bulan lalu.

Lelaki itu berkata: “Anak saya langsung tidak memalukan saya. Saya bangga dengannya. Malu bukanlah masalah di sini.

“Kami tidak mengetahui ini akan terjadi. Kanak-kanak usia sebegini akan membesar dan mempunyai teman lelaki dan sebagainya. 

“Mereka melakukan sesuatu di belakang ibu bapa. Dan kami tidak tahu apa yang mereka lakukan.”

Lelaki itu berasal dari London Selatan sudah berpisah dengan ibu anaknya itu yang kini dalam usia 27 tahun menjadi antara nenek paling muda di Britain.

Dengan menganggap dirinya ‘datuk yang bangga’ dan menggunakan nama samaran untuk melindungi identiti anaknya, dia memberitahu radio LBSC bahawa kedua-dua keluarga akan memberi sokongan kepada pasangan muda itu.

Dia juga menggambarkan teman anaknya sebagai ‘remaja yang hebat.’

“Kami tidak tahu bagaimana ia terjadi. Anda mungkin beranggapan kami mengetahui mereka berasmara di dalam bilik tidur. Tidak.”

Dia berkata dia tidak akan membiarkan seorang lagi anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan seorang lelaki berumur sembilan tahun melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.

Pasangan kanak-kanak itu berkenalan bertemu pada musim Krismas 2012 di sebuah taman. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/18

Thursday, April 17, 2014

Papan luncur emas



Papan itu disalut dengan emas tulen dan boleh digunakan seperti biasa walaupun berdepan dengan kerumitan untuk menyiapkannya. 
Menurut pereka papan luncur berkenaan, pembeli bertuah harus memakai sarung tangan khas bagi mengelak permukaannya comot. 

Papan itu direka untuk kedai papan luncur New York, SHUT oleh pereka, Mathhew Willet.
Foto
PAPAN luncur termahal di dunia bernilai RM48,830.

Dia berkata, penting untuk papan luncur itu berfungsi sepenuhnya terutama kerana harganya.

Keenam-enam komponen papan berfungsi biasa, walaupun objek berkenaan disadur dengan emas dan berat 80 peratus lebih berbanding papan biasa.

Selepas setiap komponen disalut emas, ia digilap dengan tangan sebagai penyudahan.

Willet berkata: “Papan itu melalui banyak ujian, tetapi akhirnya ia hasil yang menakjubkan dan memberi pengalaman yang banyak.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/17

Wednesday, April 16, 2014

Kerana Wudhu Beron Memeluk Islam


Prof Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiater dan sekaligus neurology dari Austria, menemui sesuatu yang menakjubkan terhadap wudhu. Ia mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan.
Bahawa pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia ternyata berada di sebelah dahi, tangan, dan kaki. Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini ia menemui hikmah di sebalik wudhu yang membasuh pusat-pusat saraf tersebut. Malah ia mencadangkan agar wudhu bukan hanya milik dan kebiasaan umat Islam, tetapi untuk umat manusia secara keseluruhan.

Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, maka bererti orang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Pada akhirnya Leopold memeluk agama Islam dan mengganti fakta nama menjadi Baron Omar Rolf Ehrenfels.

Hikmah Wudhu

Ulama Fekah juga menjelaskan hikmah wudhu sebagai bahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dalam air wudhu, seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh. Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wudhu dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wudhu memang daerah yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Banyak pancaindera tersimpul di bagian muka.

Berapa orang yang jadi korban setiap hari dari mulut kita, berapa kali berbohong, memaki, dan membicarakan aib orang lain. Apa saja yang dimakan dan diminum. Apa saja yang baru diintip mata ini, apa yang didengar oleh telinga ini, dan apa saja yang baru dicium hidung ini? Ke mana sahaja kaki ini berjalan setiap hari? Tegasnya, anggota badan yang dibasuh dalam wudhu ialah anggota yang paling berisiko untuk melakukan dosa.Fakta Organ tubuh yang menjadi anggota wudhu disebutkan dalam ayat al-Maidah [5]:6, adalah wajah, tangan sehingga siku, dan kaki sehingga hujung kaki.

Dalam hadis riwayat Muslim juga dijelaskan bahawa, air wudhu mampu mengalirkan dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh mata, hidung, telinga, tangan, dan kakinya, sehingga yang berkaitan bersih dari dosa. Kalangan ulama melarang mengeringkan air wudhu dengan kain kerana dalam redaksi hadis itu dikatakan bahawa proses pembersihan itu sampai titisan terakhir dari air wudhu itu (ma’a akhir qathr al-ma’).

Wudhu dalam Islam masuk di dalam Bab al-Thaharah (penyucian rohani), seperti halnya tayammum, syarth, dan mandi junub. Tidak disebutkan Bab al-Nadhafah (pembersihan secara fisik). Rasulullah SAW selalu berusaha mempertahankan keabsahan wudhunya. Yang paling penting dari wudhu ialah kekuatan simboliknya, yakni memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang ‘bersih’ dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca mushaf Al-Quran.Fakta Wudhu sendiri akan menghalang diri untuk menghindari apa yang secara spiritual merosak citra wudhu. Dosa dan kemaksiatan berkontradiksi dengan wudhu.

Cara Wuduk Rasulullah S.A.W.

Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .”

Huraian

Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wudhuk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

Wallahu’alam. sumber

Dahsyatnya, pencuri ini simpan berbagai barang curian dalam perutnya

16 Apr 2014
Maling di Polandia simpan beragam barang curian dalam perutnya
Barang curian pencuri di Poland . ©Daily Mail 





 Polis  di Ibu Kota Warsaw , Poland  , menangkap pencuri sebuah rumah bernama Darius Piotrowski, 39 tahun. Setelah ditahan dia mengeluh sakit perut dan ketika diperiksa di perutnya ditemui enam jam tangan, pemetik api, sudu, garpu,  pemotong kuku, dan sebatang pen .

Doktor menemui benda-benda curian itu setelah melakukan pemeriksaan dengan sinar rontgen, seperti dilapor surat khabar the Daily Mail, Rabu (16/4). Setelah dilakukan pembedahan selama beberapa jam benda-benda itu akhirnya dapat dikeluarkan dari perut Piotrowski.

Polis mengatakan dia ditangkap ketika bersembunyi di sebuah taman.

 Kes ini menjadi contoh aneh dalam bidang kedoktoran sehingga lembaga perubatan  Masyarakat Anestesi Poland  mempamerkan penemuan ini di laman media sosial Facebook, lengkap dengan foto benda-benda curian itu.

"Kemungkinan dia menelan semua barang curiannya itu ketika sedang bersembunyi di semak-semak," kata polis .

Piotrowski kemudian mengatakan kepada para penyiasat dia memang punya kemampuan menelan benda-benda sehingga membuat dia sering mencuri. Merdeka.com sumber

Buang kembar parasit

 Guangdong: Doktor berjaya membuang anggota tubuh berlebihan seorang bayi selepas dia dilahirkan dengan empat tangan dan empat kaki.

Kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil di sebuah hospital di wilayah Guangdong, selatan China, empat hari selepas pembedahan.

Ketua Pakar bedah di hospuital itu berkata: “Mereka sepatutnya kembar tetapi satu gagal membesar dan menjadi cacat.” Bayi lelaki berusia 13 hari itu dari Huizhou, dilahirkan bercantum dengan kembar parasit di perut pada 2 April lalu.
Kembar siam itu hanya kira-kira tiga kilogram sebelum dibedah.

Menurut Global Times, bayi itu didiagnos mengalami pneumonia dan penyakit jantung kongenital yang biasa dalam kalangan kanak-kanak di China, sebelum menjalani pembedahan.

Bapanya yang dikenali sebagai Chen berkata dia terpaksa membawa anaknya ke beberapa hospital berdekatan, tetapi tidak satu pun dapat menjelaskan punca kecacatan bayi itu. - Agensi
Foto
KEADAAN fizikal bayi kembar sebelum pembedahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Keluarga pengamal poligami jadi perhatian ahli politik India


Chana bersama 39 isterinya yang tinggal di sebuah rumah empat tingkat yang mempunyai 100 buah bilik di Kampung Baktwang di negeri Mizoram, India. - AGENSI
NEW DELHI 15 April - Seorang pengamal poligami di India yang mempunyai 39 isteri, menarik perhatian ahli-ahli politik semasa berlangsungnya pilihan raya umum di negara ini yang bermula minggu lalu.
Ini adalah kerana, ahli keluarga Zionnghaka Chana yang ramai mampu mempengaruhi undi sesebuah parti yang bertanding kerana selain 39 isteri, lelaki itu turut mempunyai 94 orang anak dan 33 cucu.
“Kami sedang menyaksikan ahli-ahli politik yang sibuk 'memancing' undi dalam tempoh beberapa hari lalu," kata lelaki berusia 70 tahun itu yang tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah empat tingkat yang mempunyai 100 buah bilik di Kampung Baktwang di negeri Mizoram, India.
Mail Online melaporkan Chana sebagai berkata, setiap kali musim pilihan raya, mereka sekeluarga sentiasa mendapat perhatian kerana margin kemenangan ahli politik di negeri ini amat tipis sekali gus jumlah 100 undi dari keluarganya amat bernilai buat mereka.
“Bila kami keluar mengundi, kami sentiasa mengundi untuk calon atau parti yang sama. Ini bermakna, lebih 160 undi adalah terjamin dari sebuah keluarga sahaja," katanya yang juga merupakan pemimpin agama di kawasannya.
Seperti pengundi-pengundi lain di India, Chana berkata, dia mahukan sebuah kerajaan yang bersih supaya keluarganya boleh hidup dalam keadaan makmur.
“Apa yang kami mahukan ialah sebuah kerajaan yang ditadbir dengan baik dan kesejahteraan di negeri ini dan bukannya keuntungan peribadi untuk keluarga kami dari ahli-ahli politik," katanya.
Sementara itu, pengundian di negeri Mizoram berlangsung Jumaat lalu, iaitu pada peringkat keempat daripada sembilan peringkat pengundian di India yang hanya akan berakhir pada 12 Mei depan dengan keputusan undian hanya diketahui empat hari kemudian.
Dalam perkembangan lain, tinjauan yang dijalankan oleh rangkaian berita swasta NDTV melaporkan, parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP) dan sekutunya dijangka memenangi pilihan raya umum kali ini dengan keputusan majoriti tipis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140416/lu_05/Keluarga-pengamal-poligami-jadi-perhatian-ahli-politik-India#ixzz2yzotGslV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk tidur di atas tilam di jalan raya



BEBERAPA penduduk tidur di atas tilam di sebatang jalan raya di Managua kelmarin. - REUTERS


MANAGUA - Sejumlah penduduk di bandar Managua yang ketakutan terpaksa tidur di jalan-jalan raya selepas satu gempa bumi melanda negara Nicaragua kelmarin.
Pihak berkuasa berkata, gempa bumi itu sekuat 5.6 pada skala Ritcher.
Bagaimanapun, gempa bumi itu hanya menyebabkan tujuh buah rumah di Managua rosak.
Penduduk yang ketakutan enggan kembali ke rumah masing-masing kerana bimbang gempa susulan bakal melanda.
Mereka kemudiannya membawa tilam dan fail serta tidur di atas jalan raya dan di tepi jalan raya beramai-ramai sepanjang malam. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2yzmPw4WH 
Hakcipta terpelihara 

Bulan kelihatan merah seperti darah



BULAN berwarna merah dapatdilihat di Los Angeles semalam.- REUTERS


MADRID - Satu fenomena gerhana bulan penuh yang digelar 'bulan berdarah' berlaku semalam.
Gerhana tersebut yang menyebabkan bulan kelihatan merah seperti darah boleh disaksikan oleh penduduk di selatan dan utara Benua Amerika.
Fenomena 'bulan berdarah' kali ini merupakan yang pertama daripada empat gerhana serupa yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang.
Gerhana itu berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2yzlpBwPZ 
Hakcipta terpelihara