Pages

Monday, February 17, 2014

Enggan jual nombor plat RM1.3j



Riyadh: Seorang lelaki Saudi enggan menjual nombor plat keretanya walaupun selepas ditawarkan SR1.5 juta (RM1.3 juta).

Lelaki itu mendakwa nombor berkenaan, ‘6 HHH’ (gambar) bernilai lebih daripada itu.


Lelaki dari wilayah Qateef, tengah Saudi menerima tawaran untuk membeli nombor plat berkenaan menerusi acara lelong secara online.



“Saya hanya akan menjualnya jika harganya sama dengan yang saya inginkan.


“Ia bernilai lebih daripada tawaran yang saya terima,” katanya.


Nombor plat itu dibelinya pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Denmark haramkan sembelih cara Islam, Yahudi

SINAR HARIAN
Kambing
Gambar Hiasan
17 Februari 2014
 DENMARK - Denmark akan mengharamkan penyembelihan haiwan ikut cara Islam dan tradisional Yahudi.

Kerajaan Denmark menerusi Kementerian Pertanian dan Makanannya akan mengharamkan kaedah penyembelihan haiwan mengikut cara tradisional Yahudi dan Islam berikutan langkah-langkah yang sama telah pun dilaksanakan di Poland, Iceland, Norway, Sweden dan Switzerland.

Oleh itu satu undang-undang baru akan dilaksanakan, iaitu semua haiwan yang akan disembelih akan dipengsankan terlebih dahulu, dan cara ini bertentangan dengan ajaran Islam dan Yahudi.

Ini bermakna umat Islam dan orang-orang Yahudi yang tinggal di Denmark tidak lagi akan dapat membeli daging mereka daripada penjual daging tempatan, dan mereka perlu membeli daging halal yang diimport.
Kementerian itu berpendapat bahawa kaedah penyembelihan cara Islam dan Yahudi adalah tidak beretika dan hak keagamaan tidak mengatasi hak asasi haiwan.

Walau bagaimanapun , umat Islam dan Yahudi menegaskan bahawa kaedah penyembelihan mereka menyebabkan penderitaan yang minimum kepada haiwan.

Pesuruhjaya Eropah untuk Kesihatan, Tonio Borg, mengutuk larangan itu dengan berkata ia " bercanggah dengan undang-undang Eropah."

Menteri Pertanian dan Makanan Karen Hækkerup pula menyedari bahawa orang Islam dan orang-orang Yahudi kecewa dengan peraturan baru ini , tetapi menegaskan bahawa kementerian tidak akan mengubah dasarnya.

Fabrik khas akan baluti Burj Khalifa


LAKARAN artis menunjukkan fabrik khas berada di sekeliling bangunan Burj Khalifa di Dubai.


DUBAI, Emiriah Arab Bersatu - Beberapa pereka merancang membalut bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa dengan fabrik khas yang nipis sebagai salah satu hasil kerja seni.
Rancangan tersebut dikemukakan oleh sebuah syarikat, Op-En bagi menjadikan bangunan setinggi 828 meter itu lebih menarik untuk dilihat oleh orang ramai.
"Rancangan itu sangat bersesuaian dengan kemahsyuran Burj Khalifa yang merupakan bangunan tertinggi di dunia,'' kata syarikat berkenaan.
Cadangan itu dikemukakan selepas pihak pemaju memberi amaran bahawa perkhidmatan lif di bangunan tersebut kemungkinan terpaksa dihentikan sebagai langkah penjimatan elektrik selepas penghuni enggan membayar bil perkhidmatan.
Wakil dari syarikat Emaar Properties berkata, ada di antara penghuni yang gagal untuk membayar caj perkhidmatan sehingga AS$25,000 (RM82,660) setahun sejak 2012.
Menara Burj Khalifa mempunyai kira-kira 1,000 buah unit pangsapuri bermula dari tingkat 12 sehingga 108 dan mempunyai 2,909 jumlah anak tangga. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2tWiHrhlZ 
Hakcipta terpelihara 

Sotong gurita cuba curi kamera di laut AS



MURRAY dan sotong itu saling 'berebut' kamera.


MONTEREY, California - Seekor sotong gurita yang mempunyai lapan kaki cuba mencuri sebuah kamera milik seorang penyelam di dasar laut Point Lobos di Carmel baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku ketika penyelam tersebut, Warren Murray menyelam bersama seorang rakannya, David Malvestuto.
Murray yang sedang merakamkan gambar di dasar laut tidak menyangka kehadiran sotong tersebut kerana warnanya hampir sama dengan warna batu karang di dasar laut.
Namun, sotong tersebut gagal untuk melarikan kamera itu kerana Murray bertindak memegangnya dengan kuat walaupun ia cuba dirampas haiwan tersebut dengan menggunakan kakinya.
Sotong itu kemudian bergerak meninggalkan Murray selepas ia gagal untuk melarikan kamera itu.
Berita tersebut mendapat liputan berita NBC News pada 14 Februari lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2tWhbEaC1 
Hakcipta terpelihara 

NASA selesaikan isu batu misteri


GAMBAR fail menunjukkan seketul batu (dalam bulatan) berada dekat kenderaan Opportunity di Marikh pada 8 Januari lalu.


CHICAGO - Sekumpulan saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menyelesaikan kehadiran seketul batu misteri berbentuk kuih donat yang tiba-tiba muncul di depan kamera kenderaan penjelajah di planet Marikh.
Pada 26 Disember tahun lalu, batu tersebut tidak berada di depan kamera kenderaan Opportunity itu.
Namun, pada 8 Januari lalu, sekeping gambar yang dihantar kenderaan tersebut menunjukkan terdapat batu berkenaan.
Batu itu selebar empat sentimeter dan berwarna putih.
Para saintis itu kemudian merungkaikan misteri itu dengan menyatakan bahawa ia merupakan serpihan batu yang telah dilanggar kenderaan Opportunity.
Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Penyiasat Prinsipal Opportunity, Ray Arvidson di Universiti Washington di sini pada Jumaat lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2tWhNlGE4 
Hakcipta terpelihara 

Ribut salji landa Jepun, 12 maut


Beratus-ratus kenderaan terperangkap dalam ribut salji yang melanda bandar raya Tokyo, semalam. - REUTERS
TOKYO 16 Feb. - Sebanyak 12 orang terkorban dan beribu-ribu rumah terputus bekalan elektrik sejak seminggu lalu, selepas ribut salji melanda bandar raya Tokyo dan beberapa kawasan lain di seluruh Jepun, sehingga menganggu sistem trafik darat dan udara.
Ribut salji paling buruk melanda negara ini dalam tempoh 45 tahun itu, turut menyaksikan salji setebal 27 sentimeter melitupi kawasan-kawasan di bandar raya ini.
Menurut syarikat penerbangan terbesar Jepun, All Nippon Airways (ANA) Holdings, sebanyak 338 penerbangan domestik dan 12 penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan semalam.
Di Kawasaki, dua buah kereta api bertembung selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi dengan baik akibat salji tebal, sehingga menyebabkan 19 orang penumpang mengalami kecederaan.
Tokyo Electric Power Co Inc. melaporkan lebih 246,000 rumah terputus bekalan elektrik semalam, dan sekurang-kurangnya 18,000 rumah masih tidak menerima bekalan elektrik, hari ini.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran kejadian ribut dan runtuhan salji mungkin berlaku di kawasan timur dan utara negara ini.
''Suhu 3.6 darjah Celcius di bawah paras beku dilaporkan berlaku di Karuizawa, awal pagi ini dengan salji di kawasan itu setebal kira-kira 90 sentimeter,'' jelas agensi berkenaan.
Lebuh Raya Nasional 18, yang menghubungkan wilayah Gunma dengan wilayah Nagano di kawasan utara Jepun ditutup, dengan hampir 250 buah kereta terkandas selepas kawasan berkenaan dilanda ribut salji.
''Kami membuka tiga buah dewan orang ramai bagi memberi perlindungan sementara kepada mereka yang terkandas, selain itu bekalan makanan turut diberikan kepada mereka,'' kata seorang pegawai kepada AFP.
Kementerian Pengangkutan turut menyalurkan bantuan seperti air dan tandas mudah alih kepada mangsa yang terkandas di lebuh raya itu. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140217/lu_02/Ribut-salji-landa-Jepun-12-maut#ixzz2tWVC5364
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, February 16, 2014

Kucing baka baharu seperti serigala jadian

Lykoi
Spesies Lykoi dikatakan sangat setia dengan tuannya. 
16 Februari 2014

SEEKOR kucing baka baharu di Amerika Syarikat (AS) kelihatan seperti serigala jadian dan perilakunya dikatakan menyerupai anjing.

Kucing digelar Lykoi itu dibiakkan pasangan suami isteri, Johnny Gobble dan Brittney di Tennessee adalah satu-satunya pembiak spesies itu di dunia.

Menurut Gobble, mutasi genetik telah menyebabkan Lykoi berbulu pendek dan hanya menutupi beberapa bahagian badannya.

"Ia mempunyai sifat suka memburu dan sentiasa berwaspada dengan orang asing tetapi cepat mesra jika dibelai dengan manja," katanya dipetik dari laporan DailyMail.

Difahamkan, berat Lykoi betina hanya 2 kilogram (kg) manakala kucing jantan pula boleh mencecah sehingga 3.2 kg. 

Jahit lidah untuk kekal kurus

Jahit  lidah untuk kekal kurus
Maya sanggup jahit lidah dengan plastik untuk
kekal kurus. - Foto AGENSI 
Caracas: Walaupun sudah berbelanja sebanyak AS$7,000 (RM23,000) untuk pembedahan hidung dan membesarkan payu dara bagi memenuhi impiannya memenangi Ratu Venezuela, Maya Nava merasakan semua itu tidak pernah mencukupi. Malah gadis berusia 18 tahun itu sanggup mengambil langkah drastik menjahit plastik di lidahnya semata-mata untuk memastikan beliau kekal kurus.

“Ia membuatkan saya turun berat badan dengan lebih cepat,” katanya kepada rancangan Extreme Beauty Queens: Secrets of South America yang disiarkan oleh BBC3.

Ambil makanan cecair


“Anda makan (benda) sama tetapi dalam bentuk cecair,” katanya yang mengakui jahitan lidah akan membuatkan beliau terlalu sakit jika memakan makanan pejal.

Maya adalah salah seorang daripada ribuan gadis remaja yang terlalu taksub untuk dimahkotakan sebagai Ratu Venezuela dan keluarga mereka pula akan melakukan apa saja untuk mencapai impian berkenaan.

Jaminan masa depan

“Ia akan memberi jaminan masa depan untuk saya dan keluarga. Ia membolehkan kami untuk meninggalkan kawasan perumahan miskin ini,” katanya.
Keazaman Maya untuk berjaya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Beliau tinggal di kawasan perumahan Santa Cruz di Caracas di mana satu pembunuhan dilaporkan berlaku setiap 40 minit.

Dengan mencatatkan kemenangan paling banyak dalam Ratu Dunia berbanding negara lain dan memiliki 50 juta penonton televisyen bagi pertandingan akhir di peringkat kebangsaan, pertandingan ratu cantik disifatkan sebagai satu perniagaan besar di Venezuela.

Raja Kecantikan

Diselia ‘Raja Kecantikan’ negara itu, Osmel Sousa, 67, peserta menghabiskan masa enam bulan hingga ke peringkat akhir dalam satu ‘bootcamp’ kecantikan di mana kamera sering memerhati mereka dan pembedahan menjadi rutin.

Miss Venezuela House dikendalikan orang seperti Sousa yang sentiasa memeriksa perkembangan gadis berkenaan dan sering memberikan nasihat. Malah beliau menggunakan ketajaman matanya untuk kesempurnaan bahagian yang perlu diperbaiki.

Tetapi tidak semua bersetuju dengan pembedahan melampau yang perlu dilalui peserta. Ibu kepada seorang peserta, Lara menegaskan bahawa anak perempuannya enggan melakukan pembedahan kerana ia akan menjadi satu pertandingan yang tidak adil.
AGENSI

Pemuda hasilkan kereta daripada Lego


Raul Oaida memandu kereta ciptaannya yang diperbuat daripada kepingan Lego di kediamannya di Hunedoara, Romania, baru-baru ini. - AGENSI
LOS ANGELES 15 Feb. - Seorang pereka Romania, menghasilkan sebuah replika kereta menggunakan lebih 500,000 kepingan Lego.
Kenderaan ciptaan Raul Oaida bersama seorang rakannya, Steve Sammartino itu, bukan sahaja dihasilkan pada saiz kereta sebenar, namun mampu bergerak selaju 32 kilometer sejam.
Kereta berwarna hitam kuning ciptaan dua pereka itu juga menyerupai model Bumblebee dalam filem robot terkenal, Transformers.
Kereta diperbuat daripada kepingan Lego itu juga mempunyai empat enjin orbital dan 256 unit omboh.
Menurut Oaida, 20, kenderaan tersebut dihasilkan di tempat letak kereta milik keluarganya, di Hunedoara, kira-kira 400 kilometer dari Bucharest, sebelum dihantar ke lokasi rahsia di Melbourne.
Sebelum ini, pemuda itu pernah menghasilkan sebuah basikal dengan enjin berkuasa jet serta menghantar sebuah kapal angkasa diperbuat daripada kepingan Lego ke angkasa lepas menaiki sebuah belon helium. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140216/lu_06/Pemuda-hasilkan-kereta-daripada-Lego#ixzz2tQqSrEcG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, February 15, 2014

Debu terbang ke Jakarta


Jakarta: Pakar gunung berapi semalam bimbang mengenai kemungkinan debu Gunung Kelud di Jawa Tengah akan tiba di ibu negara Indonesia ini selepas angin barat membawa debu itu melitupi bandar raya Bandung di Jawa Barat.

“Jika ia boleh sampai ke Bandung, tidak mustahil debu itu boleh tiba di Jakarta.


“Ia bergantung kepada angin. Ketika ini, angin bertiup ke arah barat, kerana itu ia tiba di Bandung,” kata Gede Suantika, pegawai di Pusat Volkanologi dan Pengurusan Bencana.

Penduduk Bandung, bandar yang terletak kira-kira 619 kilometer dari Gunung Kelud berkata, debu mula tiba di bandar raya itu awal pagi.

Foto
SEBUAH kawasan perumahan di Yogyakarta dilitupi debu.

Foto
KEADAAN lalu lintas di Solo, semalam.
Foto
SEORANG anggota polis mengagihkan topeng di jalan raya di Yogyakarta yang dilitupi debu Gunung Berapi Kelud.
“Debu putih boleh dilihat pada daun dan tembok bangunan,” kata Dwi Serva.

Di Sumedang, bandar berhampiran Bandung, sebahagian penduduk mula memakai topeng selepas debu melitupi bandar itu.

Petugas di Universiti Padjajaran, Mohamad Noor Rizal yang mengalami sakit mata akibat debu itu berkata, ruang angkasa di bandar berkenaan seolah-olah berjerebu sementara suhu panas.

Gunung Kelud meletus lewat kelmarin, memaksa kira-kira 200,000 penduduk di 36 kampung sekitar 10 kilometer di keliling gunung itu berpindah.

Penduduk tempatan mula meninggalkan kawasan itu Khamis lalu selepas gunung berkenaan bergegar, menyebabkan gempa bumi dirasakan sehingga Solo di Jawa Tengah.

Gunung Kelud mula menunjukkan tanda-tanda akan meletus selepas semakin aktif sejak 2 Februari menyebabkan kerajaan mengeluarkan amaran.

Apabila ia meletus kelmarin, letupannya dapat didengar hingga ke Yogyakarta, menghamburkan kira-kira 120 meter kubik sisa setinggi 17 kilometer, menyelubungi kawasan sekitar dengan debu kelabu tebal.

Jika angin barat bertiup berterusan, lapisan debu tipis akan tiba di Jakarta, kira-kira 148 kilometer dari Bandung.

Kesannya, menurut Gede, adalah kecil.

Seorang pegawai Meteorolgi, Iklim dan Geofizik di Bandung berkata, debu itu dijangka melitupi sebahagian besar pulau Jawa.

“Ia tidak akan mengambil masa lama untuk debu Gunung Kelud tiba di Jakarta,” kata Yadi Hendarmin ketika ditemui media, semalam.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Hidup dalam sangkar


Hong Kong: Hidup seperti haiwan dalam ‘sangkar’. Itulah kehidupan terpaksa dilalui golongan kurang berkemampuan di Hong Kong berikutan kos sewa rumah terlalu mahal.

Golongan dikenali sebagai ‘anjing sangkar’ itu membayar kira-kira HK$1,500 (RM639) setahun untuk ruang sepanjang enam kaki dan selebar tiga kaki yang disusun secara bertingkat di atas satu sama lain.
Ruang di dalam setiap sangkar terlalu kecil sehingga ada yang tidak berupaya meluruskan badan memaksa mereka tidur merengkuk manakala barangan peribadi seperti gambar ahli keluarga sekadar diletakkan di sebelah bantal dan selimut yang menjadi satu-satunya harta mereka.



Jurugambar Britain Brian Cassey merakamkan gambar menyayat hati kehidupan ‘anjing sangkar’ Hong Kong yang dikesan tinggal di atas bumbung sebuah apartmen setinggi 12 tingkat di Kowloon.
“Keadaan di dalamnya terlalu gelap dan tidak mesra langsung. Ketika pertama kali melangkah masuk saya terdengar tuan rumahnya menjerit kepada seorang penduduk.
“Saya terus meninggalkan tempat itu dan kembali pada hari lain,” katanya.

Foto
SANGKAR sepanjang enam kaki dengan kelebaran tiga kaki disewakan pada kadar HK$1,500 (RM646) berbanding HK$16,000 (RM6,800) untuk sebuah apartmen dengan satu bilik.
Foto
SANGKAR ini menjadi kediaman Lee Ka Ying, 8, bersama ibunya.
Foto
TANG Man Wai, 60, (kanan) bersama rakan ‘sebiliknya.’
Sementara itu, seorang penduduk sangkar Wong Tat Ming, 57, berkata saiz kecil sangkar itu memaksanya tidur meringkuk setiap malam.
Seorang lagi, Roger Lee, 61, berkata dia sudah lama hidup di dalam sangkar seumpama itu.

“Saya sudah tiga tahun tinggal di sini dan sebelum ini menginap di dalam sangkar lain.
“Sudah bertahun-tahun saya dimasukkan dalam senarai menunggu untuk rumah awam, namun rasanya tiada harapan untuk mendapatnya disebabkan saya bujang,” katanya.
Kerajaan menganggarkan lebih 220,000 berada dalam senarai menunggu dengan separuh berstatus bujang manakala tempoh penantian dianggarkan sekurang-kurangnya tiga tahun.
Hong Kong dengan populasi lebih tujuh juta orang - lebih kurang sama dengan kota London - mempunyai keluasan kira-kira 1,104 kilometer persegi menyebabkan harga hartanah terlalu mahal, malah sewa sebuah apartmen dengan satu bilik menjangkau HK$16,000 RM6,000) sebulan.
Trend rumah sangkar itu bermula sekitar 1950-an hingga 1960-an ketika Hong Kong melihat ledakan kelahiran dan penghijrahan beramai-ramai dari tanah besar China yang mengakibatkan peningkatan populasi sehingga lebih sejuta orang.
Namun keadaan semakin menjadi-jadi sekitar 1990-an apabila rumah sangkar direkodkan 100,000 pada 1997.
Malah tahun lalu kerajaan menganggarkan 177,000 orang tinggal menetap di dalam kediaman yang serba kekurangan, namun jumlah rumah sangkar haram yang terlalu banyak menyukarkan bancian tepat dibuat.
Mengikut rekod rasmi pada 2007, 53,000 orang hidup dalam rumah sangkar seumpama itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Siat kulit angkara dendam


London: Seorang wanita yang mendakwa ditipu teman lelakinya mengambil keputusan membalas dendam dengan cara yang menakutkan.

Torz Reynolds, 26 yang mendapati dirinya ditipu pasangannya, Stuart ‘Chopper’ May melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan sesiapa.


Dia sebelum itu terpaksa berjauhan dengan Stuart selepas pasangannya itu berpindah ke Alaska atas sebab kerja.

Torz dengan perasaan sedih menghantar kekasihnya itu ke lapangan terbang namun beberapa minggu kemudian mendapat tahu Stuart tidak berpindah atas urusan kerja tetapi menetap bersama seorang wanita lain yang didakwa sudah menjalinkan hubungan sulit dengannya sejak enam bulan lalu.

Foto
TATU Torz sebelum dipotong.
Foto
TORZ menunjukkan lengan selepas kulitnya disiat.
Foto
BEKAS yang mengandungi kulit Torz yang disiat.

Kerana terlalu marah, Torz menyiat kulit lengannya yang terukir tatu gelaran teman lelakinya ‘Chopper’ menggunakan pisau bedah dan menghantar kulit berkenaan kepada Stuart melalui pos.


Torz mengambil masa satu setengah jam untuk memotong bahagian kulit lengannya.

Dia kemudiannya menggunakan penyepit untuk menanggalkan lapisan kulit itu dan meletakkannya di dalam balang sebelum dipos kepada bekas kekasihnya.

Wanita yang berang dengan kecurangan bekas teman lelakinya itu juga memeriksa penghantaran berkenaan secara online untuk memastikan Stuart menerimanya.

Torz yang berasal dari Colchester, Essex berkata, “Saya membungkusnya sebaik mungkin agar ia kelihatan seperti kotak hadiah. Saya juga menukar gaya tulisan supaya dia tidak tahu “hadiah” itu daripada saya.

“Saya tak dapat membayangkan reaksinya ketika menerima “hadiah istimewa” itu,” kata Torz.

Dia melakukan ‘pembedahan’ itu tanpa sebarang bius dan hanya menggunakan Vasocaine, sejenis semburan yang membuatkan bahagian yang disembur kebas.

“Saya tidak tahan sakit, tetapi selepas mencabut kulit itu, saya merasa tenang. Kesan selepas itu yang menyakitkan, sehinggakan untuk memakai baju juga sangat menyeksakan,” katanya.

Torz menyatakan dia tidak menerima sebarang reaksi daripada Stuart.

“Mesej saya jelas, jangan sesekali cuba mempermainkan saya lagi,” katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

Jawa Timur diselubungi abu

KELIHATAN kawasan perumahan penduduk di Yogyakarta, Indonesia dilitupi abu dan pasir daripada Gunung Kelud yang meletus malam kelmarin.


SURABAYA - Letusan Gunung Kelud di Jawa Timur Indonesia yang bermula pada pukul 10.56 malam kelmarin telah menyebabkan tiga orang terbunuh manakala 200,000 orang terpaksa berpindah ke pusat-pusat perlindungan semalam.
Menurut Ketua Pusat Volkanologi dan Bencana, Surono, gunung berapi itu menghamburkan debu panas dan batu setinggi 3,000 meter ke langit.
Ia meletus beberapa jam selepas pihak berkuasa meningkatkan amaran berjaga-jaga dan meminta orang ramai supaya berada sejauh 10 kilometer dari gunung tersebut.
Abu yang keluar dari gunung itu telah menjejaskan jarak penglihatan di bandar Yogyakarta, Surabaya dan Solo.
Bunyi kuat letusan tersebut pula boleh didengar sejauh beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
Sebanyak enam buah lapangan terbang terpaksa ditutup di Pulau Jawa kerana jarak penglihatan yang terhad ekoran Abu yang dikeluarkan oleh gunung tersebut serta dikhuatiri boleh memasuki enjin pesawat.
Abu gelap setebal 2.5 sentimeter melitupi bandar ini dan Yogyakarta sekali gus memaksa para pengguna jalan raya menyalakan lampu kenderaan mereka pada siang hari.
Di beberapa perkampungan berhampiran Gunung Kelud, haiwan-haiwan ternakan turut dilitupi dengan abu gunung itu.
Semua kampung dalam lingkungan 10 kilometer dari Kelud telah dikosongkan dengan lebih 200,000 orang berpindah ke pusat-pusat perlindungan sementara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2tL3eZbOG 
Hakcipta terpelihara 

'Durian runtuh' selepas Kelud meletus

AFP
DUA orang penduduk membersihkan debu yang dikeluarkan Gunung Kelud di Solo semalam.


KEDIRI - Penduduk bandar ini yang terletak sekitar 30 kilometer dari Gunung Kelud mendapat durian runtuh daripada bencana gunung berapi itu.
Sebahagian mereka dilihat menyodok abu dan batu gunung berapi untuk digunakan dalam sektor pembinaan atau sebagai baja tanaman.
Seorang penduduk berkata, terdapat orang tengah yang sanggup membayar sehingga AS$56 (RM185) untuk sebuah trak kecil berisi serpihan gunung berapi tersebut.
Namun, sebahagian besar bandar itu kelihatan kosong semalam dengan orang ramai tidak keluar rumah untuk mengelak daripada terhidu abu gunung berapi.
"Bau sulfur dan abu menusuk di udara sehingga menyebabkan kami sakit jika bernafas," kata seorang penduduk di sini Insaf Wibowo. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2tL2ll89X 
Hakcipta terpelihara 

Keranda berusia 3600 tahun ditemui

AP
GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa pekerja membantu mengangkat sebuah keranda berusia 3,600 tahun di bandar Luxor.


KAHERAH - Menteri Antikuiti Mesir, Mohammed Ibrahim berkata, sekumpulan ahli arkeologi telah menemui keranda mumia yang berusia 3,600 tahun di bandar Luxor.
Beliau yang membuat kenyataan itu kelmarin menyatakan, mumia tersebut mungkin dikebumikan ketika Dinasti Firaun ke-17 memerintah.
Keranda itu dipercayai milik seorang pegawai tinggi kerajaan.
Menurut Mohammed, kajian akan dilakukan ke atas keranda dan mumia itu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2tL2fJ500 
Hakcipta terpelihara 

Kampung ditimpa hujan abu dan batu

AP
SEORANG wanita menaiki sebuah motosikal di Solo ketika cuaca berdebu akibat debu Gunung Kelud semalam.


BLITAR - Beberapa penduduk di Jawa Timur menceritakan insiden ngeri kediaman mereka ditimpa hujan abu dan batu akibat letusan Gunung Kelud manakala seorang koresponden agensi berita AFP melihat beberapa penduduk yang dilitupi debu melarikan diri menuju ke pusat-pusat penempatan sementara dengan menaiki kereta dan motosikal.
Seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikenali sebagai Sunar berkata, rumahnya runtuh selepas dihujani batu-bata bersaiz sebesar penumbuk.
Dia tinggal di sebuah kampung yang terletak lapan kilometer dari gunung berapi berkenaan dalam daerah ini.
"Rumah kami bergegar seperti kapal di lambung ombak. Kami melarikan diri dan dapat melihat lahar mengalir ke sebuah sungai tidak jauh dari kediaman itu," cerita Sunar.
Seorang lelaki dan wanita warga emas mati dihempap rumah mereka yang runtuh selepas tidak dapat menampung beban batu gunung berapi yang melitupi bumbung kediaman tersebut.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, kejadian itu berlaku di daerah kecil Malang manakala seorang lelaki warga emas lain meninggal dunia akibat terhidu abu gunung berapi.

AFP
DUA orang menyaksikan Gunung Kelud meletus dari bandar Kediri di Jawa Timur semalam.


"Gunung Kelud meletus seperti pertunjukan bunga api. Kedengaran bunyi dentuman kuat dan cahaya-cahaya merah naik ke udara," kata seorang penduduk berusia 32 tahun di Daerah Blitar, Dian Julihadi.
Nugroho mengesahkan bahan gunung berapi masih menghujani beberapa buah kampung dalam lingkungan 15 kilometer dari lokasi letusan setakat semalam.
Namun, katanya, beberapa aktiviti di kawasan sekitarnya kembali seperti biasa.
Sekitar 200,000 orang telah diarah berpindah namun sebahagian keluarga tidak mengendahkan arahan tersebut dengan sebilangan lagi kembali ke kediaman masing-masing.
"Kini terdapat lebih 75,000 orang di beberapa pusat penempatan sementara," kata Nugroho.
Menurutnya, sejumlah lelaki yang cuba kembali ke rumah mereka untuk mengambil pakaian dan barangan berharga terpaksa berpatah balik akibat hujan debu gunung berapi yang masih berterusan.
Gunung berapi yang setinggi 1,731 meter itu mula meletus pada pukul 10.50 malam kelmarin menyebabkan ribuan penduduk yang tinggal berhampiran melarikan diri. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2tL2I69GH 
Hakcipta terpelihara 

Air sungai berubah warna merah


PENDUDUK kampung terkejut apabila mendapati sungai Jembatan Kuning, Bontang bertukar menjadi warna merah. - AGENSI
BONTANG, Kalimantan Utara - Ribuan penduduk yang menetap di sekitar sungai Jembatan Kuning, di sini, terkejut apabila mendapati air yang mengalir di sungai tersebut berubah menjadi warna merah.
Seorang penduduk di kampung Berbas Tengah yang tinggal berhampiran sungai berkenaan, Sudarman berkata, dia menyedari perubahan warna air sungai itu kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan.
"Setakat ini, kami masih tidak mengetahui bagaimana perkara ini boleh terjadi.
"Namun, kebanyakan warga di sini percaya air tersebut berubah kerana terdapat aktiviti membuang sisa-sisa cat atau pewarna ke dalam sungai,'' jelas Sudarman kepada Kompas.com baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Agensi Alam Sekitar Bontang, Agus Amir ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian memberitahu, siasatan kini sedang dijalankan dan maklumat terperinci berkenaan punca kejadian akan diberitahu kelak.
"Kami sudah mengambil sampel air sungai dan akan dihantar ke makmal untuk diuji kaji, sebelum maklumat lengkap diumumkan,'' ujarnya lagi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140215/lu_07/Air-sungai-berubah-warna-merah#ixzz2tKtjg2OH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Misteri 'tangisan di kubur'


SEORANG penduduk mengusir orang luar yang datang ke kawasan perkuburan TPU Sunan di Kampung Kertapati di Palembang, baru-baru ini. - AGENSI
PALEMBANG, Sumatera Selatan - Tindakan orang ramai yang terus menerus mengunjungi kawasan perkuburan di TPU Sunan di sini, mengundang rasa kesal penduduk Kampung Kertapati, selepas kawasan itu didakwa mengeluarkan suara tangisan pada waktu malam.
Bagaimanapun, tinjauan Tribunnews.com mendapati, penduduk kampung di situ menyifatkan berita kubur di TPU Sunan menangis adalah khayalan semata-mata.
Malah, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu turut kesal selepas penyebaran berita yang menurut mereka adalah tidak benar.
"Itu suara anjing, saya dengar sendiri. Bahkan, setiap malam, ada saja kumpulan anjing merayau di kawasan perkuburan itu.
"Oleh itu, suara tangisan di kuburan yang didakwa orang ramai adalah tidak benar sama sekali,'' kata Okta, 16, yang tinggal berhampiran kawasan perkuburan itu.
Perkara sama turut dinyatakan dua penduduk kampung, Zulkarnaen, 40, dan Sumardi, 37.
Menurut kedua-dua penduduk itu, khabar angin itu bermula selepas ada kanak-kanak yang terdengar suara anjing pada malam hari sebelum berita itu mula tersebar dengan mengatakan terdapat suara tangisan di kubur tersebut.
"Sudah tentu isu ini sangat merisaukan, kami warga yang tinggal di sini amat terganggu dengan berita yang tidak ada sumber ini.
"Tolong beritahu kepada penduduk lain bahawa perkara ini tidak benar,'' kata Zulkarnaen.
Sementara itu, tinjauan Tribunnews.com mendapati, kawasan perkuburan TPU Sunan terus menjadi perhatian orang ramai yang mengetahui tentang berita tersebut.
Orang ramai kemudiannya diarahkan beredar oleh penduduk berikutan kehadiran mereka hanya mengundang kesesakan lalu lintas dan membuat penduduk menjadi risau. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140215/lu_08/Misteri-tangisan-di-kubur#ixzz2tL1B57Wl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ulat dalam telinga wanita


Berenga lalat buah dalam telinga seorang wanita Taiwan dikesan oleh pihak hospital selepas dia mengadu mengalami sakit telinga yang teruk. - AGENSI
TAIPEI 14 Feb. - Seorang wanita Taiwan yang mengalami sakit telinga, terkejut besar selepas mendapati seekor berenga hidup di dalam telinganya apabila mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini, baru-baru ini.
Dr. Cheng-Ping Shih dari Hospital Besar Tri-Service berkata, pada mulanya beliau mengeluarkan alat bantuan pendengaran yang dipasang pada telinga kiri wanita tersebut dan mendapati organ pendengarannya itu berlumuran darah.
Shih berkata, pemeriksaan lebih lanjut mendapati, terdapat seekor larva lalat buah sedang bergerak di dalam telinga wanita yang tidak dikenali itu.
Jelasnya, ulat tersebut dipercayai berada di dalam telinga wanita berusia 48 tahun terbabit selama sekurang-kurangnya sehari.
“Wanita tersebut tidak sedar larva berkenaan bergerak di dalam telinga yang tidak lagi sensitif kerana telah bertahun-tahun memakai alat bantuan pendengaran.
“Alat tersebut juga menyebabkan telinga wanita itu menjadi panas, sekali gus sesuai untuk larva tinggal di situ," katanya kepada rangkaian televisyen NBC News.
Larva tersebut berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kesukaran dan wanita terbabit diberikan antibiotik.
Sakit telinga dan tahap pendengaran wanita itu semakin pulih selepas dua minggu dirawat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140215/lu_06/Ulat-dalam-telinga-wanita#ixzz2tKt7XdOE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, February 14, 2014

Afghanistan bebas 65 tahanan

Afghanistan bebas 65 tahanan
Isu pembebasan tahanan tersebut dilihat akan meningkatkan lagi ketegangan antara Kabul dan Washington. 
14 Februari 2014 KABUL - AFGHANISTAN. Seramai 65 tahanan dibebaskan dari pusat tahanan Parwan, semalam walaupun Amerika Syarikat (AS) membantah keras tindakan tersebut.

Jurucakap Badan Kajian Semula Afghanistan, Abdul Shukor Dadras memaklumkan kesemua kes melibatkan mereka yang didakwa sebagai anggota Taliban itu telah dikaji semula.

"Keputusan itu dibuat pada 10 Februari lalu selepas peguam negara mengeluarkan perintah muktamad. Panel peguam juga memaklumkan bahawa mereka akan mengkaji semula kes 23 tahanan lain," katanya menurut Press TV.

Kelmarin, Washington menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pembebasan kesemua tahanan tersebut yang turut digelar sebagai  'anggota Taliban paling berbahaya'.

Difahamkan, AS dan Afghanistan telah menandatangani perjanjian yang memberi kuasa kepada tentera tempatan untuk mengawal penjara Parwan di wilayah timur laut Parwan, tahun lalu.