Pages

Monday, February 17, 2014

Ribut salji landa Jepun, 12 maut


Beratus-ratus kenderaan terperangkap dalam ribut salji yang melanda bandar raya Tokyo, semalam. - REUTERS
TOKYO 16 Feb. - Sebanyak 12 orang terkorban dan beribu-ribu rumah terputus bekalan elektrik sejak seminggu lalu, selepas ribut salji melanda bandar raya Tokyo dan beberapa kawasan lain di seluruh Jepun, sehingga menganggu sistem trafik darat dan udara.
Ribut salji paling buruk melanda negara ini dalam tempoh 45 tahun itu, turut menyaksikan salji setebal 27 sentimeter melitupi kawasan-kawasan di bandar raya ini.
Menurut syarikat penerbangan terbesar Jepun, All Nippon Airways (ANA) Holdings, sebanyak 338 penerbangan domestik dan 12 penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan semalam.
Di Kawasaki, dua buah kereta api bertembung selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi dengan baik akibat salji tebal, sehingga menyebabkan 19 orang penumpang mengalami kecederaan.
Tokyo Electric Power Co Inc. melaporkan lebih 246,000 rumah terputus bekalan elektrik semalam, dan sekurang-kurangnya 18,000 rumah masih tidak menerima bekalan elektrik, hari ini.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran kejadian ribut dan runtuhan salji mungkin berlaku di kawasan timur dan utara negara ini.
''Suhu 3.6 darjah Celcius di bawah paras beku dilaporkan berlaku di Karuizawa, awal pagi ini dengan salji di kawasan itu setebal kira-kira 90 sentimeter,'' jelas agensi berkenaan.
Lebuh Raya Nasional 18, yang menghubungkan wilayah Gunma dengan wilayah Nagano di kawasan utara Jepun ditutup, dengan hampir 250 buah kereta terkandas selepas kawasan berkenaan dilanda ribut salji.
''Kami membuka tiga buah dewan orang ramai bagi memberi perlindungan sementara kepada mereka yang terkandas, selain itu bekalan makanan turut diberikan kepada mereka,'' kata seorang pegawai kepada AFP.
Kementerian Pengangkutan turut menyalurkan bantuan seperti air dan tandas mudah alih kepada mangsa yang terkandas di lebuh raya itu. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140217/lu_02/Ribut-salji-landa-Jepun-12-maut#ixzz2tWVC5364
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: