Pages

Wednesday, November 27, 2013

Ezio jadi pemburu kulat mahal selama 50 tahun


EZIO mencium kulat itu.- AFP


TURIN, Itali - Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Ezio Costa menjadi pemburu kulat trufel yang dianggap paling enak di dunia selama 50 tahun.
Dia mencari kulat yang tumbuh di dalam tanah dengan bantuan anjing peliharaannya di kebun milik keluarganya di hutan Moncierom, Itali.
Costa turut mengenakan bayaran kepada pemburu-pemburu kulat tersebut jika mereka mahu mencarinya di tanah milik keluarganya itu.
Kulat boleh dimakan dan berbentuk bulat manakala kulitnya menggerutu dan berwarna gelap.
Isi kulit tersebut berwarna perang atau hitam.
Trufel yang lebarnya satu sentimeter hingga sembilan sentimeter dijadikan salad atau sup.
Costa dan anjingnya akan mencari kulat itu pada waktu pagi.
Harga trufel hitam boleh mencecah sehingga AS$1,000 (RM3,220) untuk satu kilogram manakala trufel putih pula berharga sehingga AS$3,000 (RM9,661) sekilogram.
Harga yang tinggi itu adalah disebabkan ia sukar untuk diperoleh. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2lnsU7dAR 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, November 26, 2013

Tulis puisi cerita derita dikurung 30 tahun


London: Wanita berusia 30 tahun yang dikurung sebagai ‘hamba’ selama tiga dekad pernah menulis ratusan surat dan puisi yang mengimpikan kebebasannya.

Hanya dikenali sebagai Rosie, dia menjelaskan bagaimana menghadapi penderitaan diungkapkan ketika dikurung satu pasangan yang mengambilnya sebagai anak angkat ketika masih bayi.



Kata Rosie, ibu bapa kandungnya meninggal dunia akibat kebakaran.

“Saya umpama seekor lalat yang terperangkap di sarang labah-labah,” katanya.

Foto
ROSIE diambil sebagai anak angkat sejak kecil selepas kematian ibu bapa kandungnya.

Foto
SURAT tulisan tangan Rosie yang meluahkan kesengsaraannya dikurung selama 30 tahun.

Rosie dikurung bagaikan banduan hampir sepanjang hayat bersama wanita rakyat Ireland yang berusia 57 tahun dan wanita warga Malaysia berusia 69 tahun.


Mereka dibebaskan dari sebuah flat di Brixton, selatan London bulan lalu.

Pasangan suspek berusia 67 tahun dari India dan Tanzania didakwa pemimpin kumpulan radikal Marxist berpangkalan di Brixton.

Polis malam semalam cuba mengesan 13 alamat di sekitar London yang disyaki menjadi kediaman pasangan suspek sebelum ini.

Pendedahan itu dibuat ketika beberapa surat yang meluahkan kesedihan kerana dikurung sebagai banduan dan gambar mangsa termuda itu ditemui.

Mangsa yang dahagakan kasih sayang menghantar 220 surat dan puisi kepada seorang jirannya, Marius Feneck dan memberitahu lelaki itu bagaimana dia dikurung oleh “penjahat yang bersikap perkauman.”

“Saya mahu kamu tahu kebenarannya. Lelaki ini memang jahat dan membersifat perkauman.

“Saya merayu kepada mereka agar jangan pisahkan kita, tetapi mereka kata, mereka akan menyakiti kamu jika saya tidak berjanji untuk menjauhi kamu. Kemudian mereka mengurung saya di sini, mengunci semua pintu dan tingkap.

“Saya tidak berani untuk melarikan diri kerana saya tahu mereka akan menyakiti kamu jika saya lakukan demikian. Jadi, saya macam lalat yang terperangkap di sarang labah-labah.

“Saya minta maaf atas perbuatan jahat mereka yang mengaku keluarga saya itu. Saya bencikan mereka,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/26

Buah lelabu dijadikan produk seni

SEBAHAGIAN buah lelabu yang telah dilukis dengan seperti wajah haiwan dan manusia.


BEIJING - Beberapa peniaga menjual buah lelabu dijadikan produk seni yang dijual di sebuah pasar barang-barang antik di sini.
Buah lelabu itu diukir dengan tulisan kaligrafi dan lukisan seperti wajah haiwan dan manusia.
Trend menjadikan buah itu sebagai produk seni telah bermula sejak pemerintahan Dinasti Qing.
Dinasti itu memerintah China dari 1644 hingga 1912. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ljuX7mEd 
Hakcipta terpelihara 

Monday, November 25, 2013

KAROMAH SEORANG WALI ALLAH



Syeikh Mohammed El-Audan dilahirkan tahun 1894 dan menyertai gerakan Ikhwan Muslimin ketika bertugas sebagai pensyarah Hadis di Universiti Al-Azhar. Beliau merupakan salah seorang dari 50 orang ulamak yang terlibat menggubal perlembagaan Mesir pada 13 Januari 1953.

Pada tahun 1965, beliau ditangkap oleh rejim Jamal Abdul Nasser tatkala usia beliau ketika itu mencecah 80 tahun termasuk kesemua 5 orang anaknya turut ditangkap.

Dendam kesumat yang membara di dalam hati Menteri Pertahanan Mesir ketika itu, Syams Badran cuba berusaha untuk membunuh Syeikh Mohammed sewaktu dalam tahanan.

Suatu ketika, Badran telah melepaskan seekor anjing yang kelaparan di dalam penjara yang ditempatkan Syeikh Mohammed dengan harapan agar beliau dibaham oleh anjing tersebut. Badran kemudian mengarahkan seorang tentera bawahannya, "Pergi kamu ke bilik tahanannya dan bersihkan bilik itu dari darah-darah."

Tentera itu kembali menemui Badran dengan penuh hairan, Badran bertanya, "Apa yang telah berlaku?"

Jawab tentera itu, "Demi Allah, saya melihat satu perkara yang ajaib. Saya melihat syeikh itu sedang sujud dalam keadaan anjing itu berdiri bersebelahannya seakan-akan mengawalnya.

Dr.Yusuf Qaradhawi telah menyifatkan beliau dengan katanya, "Syeikh Mohammed El-Audan, seorang lelaki yang rabbani, yang telah terpancar cahaya iman dan kerohanian. Saya tidak pernah belajar darinya tetapi saya pernah menziarahi di rumah beliau di Zaitoun, saya bertemunya. Mendengar kalam-kalamnya yang memberikan kekuatan kepada rohani kerana kalamnya keluar dari hati yang membelai hati-hati yang mendengar."

Gambar ini menyaksikan Al-Marhum Syeikh Mohammed tidak mampu berdiri kerana keuzuran sewaktu perbicaraan mahkamah berlangsung.

Sumber: Ikhwanwiki
 

SALAHUDDIN AL AYUBBI DI ZAMAN KANAK-KANAKNYA



Ketika Salahuddin Al Ayubbi masih kecil, beliau bermain dengan kanak-kanak yang lain di jalanan. Ayahnya telah melihatnya, lantas mengambilnya keluar dari tengah-tengah kumpulan kanak-kanak itu. Lalu ayahnya menjulang tinggi Salahuddin dengan kedua belah tangannya.

Ayahnya seorang lelaki yang berbadan tegap berkata;

“Aku menikahi ibumu dan ibumu melahirkanmu bukan untukmu bermain-main dengan kanak-kanak yang lain. Akan tetapi, aku menikahi ibumu dan ibumu melahirkanmu adalah supaya kamu MEMBEBASKAN MASJIDIL AQSA!”

Kemudian ayahnya pun melepaskan Salahuddin dari tangannya dan Salahuddin pun jatuh ke tanah. Ayahnya melihat wajah anaknya dan tahu bahawa anaknya itu sedang menahan kesakitan.

Lantas ayahnya bertanya: “Sakitkah jatuh tadi?”

Salahuddin menjawab: “Sakit..”

Ayahnya bertanya lagi: “Habis, kenapa tidak meraung kesakitan?”

Salahuddin membalas: “Tidak wajar bagi seorang yang bakal membebaskan Masjidil Aqsa itu berteriak / meraung kesakitan.”
 

Legasi Lego, Ole Kirk Christiansen

Ole Kirk Christiansen
Ole Kirk Christiansen

MASYARAKAT tanpa mengenal usia meminati alat permainan berbentuk bongkah plastik kecil berwarna-warni yang mampu menghasilkan pelbagai objek seperti kenderaan, bangunan dan robot.

Pada masa ini, penggunaan Lego semakin berkembang dan turut diketengahkan di dalam filem, pertandingan selain dibangunkan sebagai taman tema di seluruh dunia. Sehingga 2013, kira-kira 560 bilion Lego dihasilkan sejak diperkenalkan oleh perekanya, Ole Kirk Christiansen lebih 60 tahun lalu.


Kehidupan awal

Christiansen dilahirkan pada 1891 di perkampungan kecil utara bandar Billund di Filskov, Denmark.

Beliau hanya mendapat pendidikan sehingga sekolah menengah sebelum diterima bekerja di sebuah kilang sebagai tukang kayu.

Pelbagai pengalaman dan kemahiran yang diperoleh ketika bekerja di kilang itu akhirnya digunakan untuk membuka perniagaan sendiri di bandar kelahirannya pada 1932.

Christiansen menghasilkan pelbagai produk seperti papan seterika, tangga dan alat permainan diperbuat daripada kayu yang merupakan salah satu bidang kepakaran beliau.

Pada 1934, beliau menamakan syarikatnya kepada Lego berasal daripada bahasa Denmark, Leg Godt bermaksud bermain dengan baik.   


Hasilkan 200 alat permainan

Pada awal 1940-an, kilang milik Christiansen terbakar untuk kali kedua akibat litar pintas dan ia dibina semula pada 1947.

Ketika itu, perniagaannya semakin berkembang dan menjadi syarikat pertama di Denmark yang membeli mesin pengacuan plastik.

Menjelang 1949, syarikat Christiansen menghasilkan kira-kira 200 alat permainan diperbuat daripada plastik dan kayu.

Pada masa itu, bongkah Lego masih dihasilkan daripada kayu dan ia hanya dipasarkan di Denmark, sekali gus menjadi alat permainan terkenal dalam kalangan kanak-kanak di negara tersebut.

Susulan daripada itu, Christiansen mula mencipta bongkah Lego plastik berwarna-warni untuk menarik perhatian golongan tersebut.

Pada 1950, Godtfred Kirk Christiansen dilantik sebagai Timbalan Presiden Muda oleh bapanya dan beliau turut menyumbangkan idea kreatif bagi menghasilkan binaan daripada Lego.

Empat tahun selepas itu, Lego memasarkan set binaan lengkap dan memperoleh tanda dagangan bagi produk yang digelar Lego Mursten.        


Cipta pelbagai set Lego

Syarikat itu melancarkan secara rasmi Lego System of Play terdiri daripada 28 set berbeza dan lapan kenderaan permainan pada 1955.

Bagaimanapun, ketika syarikat itu semakin berkembang dan dikenali di seluruh dunia, Christiansen meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 66 tahun.

Godtfred yang merupakan anak ketiganya diberi kepercayaan mengambil alih syarikat tersebut.

Lego terus menempa nama menghasilkan set permainan lebih variasi dan ia pertama kali menembusi pasaran Amerika Syarikat pada 1961.   

Menjelang 1966, syarikat tersebut mula mencipta Lego yang boleh menghasilkan pelbagai bentuk termasuk bangunan dan kenderaan.

Set Lego lebih besar digelar Duplo direka khas untuk bayi dan golongan kanak-kanak pada 1967.

Kira-kira 10 tahun selepas itu, Lego memperkenalkan projek Technic dihasilkan khusus untuk golongan remaja.

Syarikat tersebut terus diwarisi ahli keluarga Christiansen dan cucunya, Kjeld Kirk pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lego dan beliau kekal memegang jawatan itu sehingga Oktober 2004 sebelum diambil alih oleh Jørgen Vig Knudstorp.

Sehingga kini, pelbagai set Lego telah direka mengikut peredaran zaman seperti Lego Mindstorms, kit model kereta dan permainan komputer.


TRIVIA

- Legoland dibuka pertama kali di Billund pada 1968 dan kini terdapat enam taman tema dibangunkan di beberapa negara termasuk Malaysia.

- Lego menjadi perintis kemajuan penyelidikan dan pembelajaran. Alat permainan Lego dipasarkan di 130 negara dan memperoleh keuntungan lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).

- Sejak 1993, pakaian kanak-kanak berumur 0-12 tahun menggunakan jenama LEGOwear dihasilkan dan dipasarkan syarikat dari Denmark, Kabooki.

- Selain alat permainan, Lego turut menerbitkan beberapa buku seperti The Ultimate Lego Book pada 1999.

- Pada Jun 2013, Warner Bros menghasilkan filem diadaptasi daripada Lego Ninjago.

- Beberapa pesaing pernah cuba menciplak reka bentuk Lego dengan menghasilkan alat permainan sama. Lego pernah memfailkan beberapa saman terhadap beberapa syarikat termasuk di China atas dakwaan perlanggaran hak cipta.

Ular muka belut curi tumpuan ramai

Ular muka belut curi tumpuan ramai
Ah Kaw (kiri) menunjukkan ular aneh yang ditangkapnya di Nibong Tebal, kelmarin.

 PARIT BUNTAR - Pekerja kolam udang yang sedang membersihkan kolam terkejut apabila menemui seekor ular aneh di tepi kolam itu di Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.

Berikutan itu, seorang anggota Bomba Sukarela Parit Buntar dipanggil untuk menangkap reptilia tersebut kerana bimbang  spesies ular yang tidak dikenal pasti itu berbisa.

Reptilia bertubuh lembik seberat 10 kilogram dan panjang hampir dua meter itu menggerunkan pekerja kolam berkenaan kerana bentuk muka menyerupai belut.

Anggota bomba sukarela dikenali Ah Kaw berkata, reptilia itu ditemui  berendam di tepi kolam udang dan mudah ditangkap.

“Saya tidak pasti ular itu jenis apa kerana badanya lembik seperti lintah. Malah, kulit haiwan itu kasar seperti kulit biawak.

“Ini kali pertama saya melihat haiwan pelik seumpama itu,” katanya semasa ditemui Sinar Harian   di Balai Bomba Parit Buntar di sini kelmarin.

Ah Kaw berkata, dia pelik dengan haiwan itu kerana tidak agresif seperti ular lain semasa ditangkap.

“Kami dimaklumkan ia sejenis ular air dan dipanggil ular guni buruk atau ular karung guni,” katanya.

Berdasarkan bentuknya, s spesies ini dikenali sebagai ular belalai gajah (elephant trunk snake).

Pelancongan angkasa lepas tawar pengalaman menarik


SS2 menjalani ujian menggunakan enjin roket buat pertama kali pada April lalu. - AGENSI
BIARPUN selepas empat tahun diperkenalkan tanpa membuat sebarang penerbangan rasmi seperti yang diharapkan, keinginan orang ramai untuk muncul sebagai antara yang terawal menaiki pesawat pelancongan angkasa lepas komersial pertama, SpaceShipTwo (SS2), nyata amat memberangsangkan.
Hal ini kerana, sebanyak 650 tempahan telah diterima syarikat penerbangan Virgin Galactic setakat ini berbanding hanya kira-kira 300 orang pada 2009.
Walaupun harga tiket untuk menaiki pesawat kembar tiga yang mempunyai saiz menyamai sebuah jet perniagaan itu meningkat kepada AS$250,000 (RM802,807) berbanding hanya AS$200,000 (RM642,246) sebelum ini, nyata keinginan orang ramai termasuk barisan selebriti terkenal untuk menaiki pesawat futuristik berkenaan tidak dapat disekat lagi.
Penyanyi pop Hollywood, Rihanna dilapor membelanjakan sebanyak AS$750,000 (RM2.3 juta) untuk menyertai misi penerbangan angkasa lepas Virgin Galactic itu yang dimiliki hartawan terkenal, Richard Branson.
Antara selebriti dan tokoh terkenal yang bakal turut serta dalam penerbangan bersama SS2 yang mampu memuatkan enam penumpang adalah Stephen Hawking, Tom Hanks, Ashton Kutcher, Katy Perry, Brad Pitt dan Angelina Jolie.
Harga tiket yang mahal bukanlah halangan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berada di paras melebihi ketinggian 100 kilometer atau dikenali sebagai garisan Karman iaitu sempadan antara ruang udara bumi dengan angkasa lepas.
Apa yang penting ialah, kepuasan untuk menikmati pakej yang ditawarkan syarikat itu iaitu berada selama dua jam setengah termasuk lima minit pengalaman graviti kosong dan peluang melihat lengkungan planet Bumi melalui tingkap luas pesawat.
Selain itu, pengalaman untuk merasai saat SS2 dilancarkan daripada pesawat induk, WhiteKnightTwo dan berlepas pada kelajuan roket, pasti mendatangkan keterujaan kepada penumpangnya.
Malah, penyanyi terkenal, Lady Gaga dikhabarkan juga bakal menyanyi di angkasa lepas pada 2015 dan artis itu kini sedang giat menjalani latihan vokal.
Keterujaan orang ramai sama ada untuk menaiki atau melihat kejayaan SS2 dijangka bakal berakhir selepas Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Galactic, George T. Whitesides membayangkan kesediaan syarikat itu untuk memulakan operasi pesawat tersebut secara komersial bermula tahun depan.
Syarikat itu telah mengadakan beberapa siri ujian termasuk pada September lalu apabila SS2 berjaya melakukan ujian menggunakan 'kuasa roket' yang membantu pesawat mencecah ketinggian 21 kilometer pada kelajuan Mach 1.43 dalam tempoh 20 saat.
Selain itu difahamkan, ujian yang akan dilaksanakan pada bulan depan bakal menjadi kayu ukur kepada kepada kemampuan SS2 untuk mula beroperasi pada tahun hadapan dari Gurun Mojave di California.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_05/Pelancongan-angkasa-lepas-tawar-pengalaman-menarik#ixzz2leAKyRC9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita menyerupai Mao Zedong

Chen YAN
SICHUAN, China 24 Nov. - Seorang wanita di sini menjadi perhatian orang ramai kerana raut wajahnya sama seperti pemimpin China, Mao Tze Tung atau Mao Zedong.
Semuanya bermula selepas Chen Yan, 51, menyertai satu rancangan televisyen yang berkonsepkan tiru cara selebriti.
Sejak daripada itu, kelibat Chen di jalan-jalan utama sentiasa menarik perhatian orang ramai, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan wanita itu.
Berikutan itu, ada beberapa pihak termasuk pasar raya sanggup membayar Chen untuk tampil sebagai Mao sebagai langkah mempromosi jualan mereka.
Setiap kali diminta untuk menjadi Mao, Chen akan memakai pakaian yang sering digayakan oleh pemimpin itu beserta gaya rambut dan tahi lalat yang sama.
Chen yang mempunyai ketinggian 154 sentimeter juga akan memakai kasut khas yang mengubah ketinggiannya menjadi 180 sentimeter, iaitu sama dengan ketinggian Mao.
Chen akan disolek selama beberapa jam oleh jurusolek khas setiap kali dia membuat penampilan sebagai Mao.
Biarpun mendapat populariti dalam kalangan masyarakat, Chen melahirkan kekecewaan kerana ia menjejaskan hubungan dengan suaminya.
Majalah Global People memetik Chen sebagai berkata, suaminya tidak menyukai penampilannya sebagai Mao dan menyifatkannya sebagai 'tidak menarik', selain enggan mengadakan hubungan seks dengannya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_09/Wanita-menyerupai-Mao-Zedong#ixzz2le5FtqCq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gelongsor air setinggi 17 tingkat dibina


Gelongsor air setinggi 17 tingkat yang sedang dibina di Kansas, Amerika Syarikat, bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung. - Agensi
KANSAS 24 Nov. - Peminat permainan air pasti teruja apabila gelongsor air tertinggi di dunia kini sedang dalam pembinaan di bandar Kansas, Amerika Syarikat.
Gelongsor itu diberi nama Verruckt yang bermaksud 'gila' dalam bahasa Jerman dan pengunjung boleh menguji tahap keberanian meluncur dari ketinggian 42.6 meter bersamaan dengan bangunan 17 tingkat.
Pengunjung perlu mendaki sebanyak 264 anak tangga untuk sampai ke puncak gelongsor sebelum melakukan luncuran.
Tarikan taman tema terbaharu yang direka oleh Kumpulan Pembangunan Schlitterbahn itu juga dikatakan lebih tinggi daripada Air Terjun Niagara dan Statue of Liberty.
Pengarah Pemasaran dan Jualan Taman Tema Air Schlitterbahn, Larry Pitcher, memberitahu The Kansas City Star, pihaknya percaya gelongsor baharu itu akan menarik perhatian peminat permainan air.
Pembinaan taman tema tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun depan, dan akan memecahkan rekod gelongsor tertinggi di dunia yang sebelum ini dipegang oleh Taman Tema Kilimanjaro di Aguas Quentes Country Club, Rio de Janeiro, Brazil sejak tahun 2002.
Gelongsor tersebut dibina dengan ketinggian 41 meter atau bersamaan bangunan 14 tingkat.
Taman tema itu juga dikatakan mempunyai gelongsor paling curam di dunia dengan kelajuan 104 kilometer per jam.
Sementara itu, Channel Travel turut mengambil kesempatan menghasilkan dokumentari mengenai proses pembinaan gelongsor di Kansas itu untuk tontonan umum.
Bagaimanapun, ketinggian rasmi gelongsor baharu itu hanya akan didedahkan sebaik-baik pembinaan selesai. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_08/Gelongsor-air-setinggi-17-tingkat-dibina#ixzz2le3nj5Cs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanam emas dalam mata

Tanam emas dalam mataDoktor memasukkan emas putih bersaiz 3.5 milimeter. 

Los Angeles: Wanita memang meminati barang kemas tetapi Lucy Luckayanko bertindak melampau apabila menanam perhiasan itu di dalam matanya.

Beliau menghabiskan AS$3,000 (RM9,640) untuk menjalankan pembedahan memasukkan emas putih berbentuk hati ke dalam mata putih kanannya.

Prosedur itu dilakukan Dr Emil Chynn dari Park Avenue Laser Vision di New York, pakar terlatih Harvard dan Universiti New York.


Bagi melakukan pembedahan itu, Chynn mulanya menyuntik ubat bius ke dalam mata Luckayanko.

Beliau kemudian melakukan kelaran kecil pada mata Luckayanko menggunakan forsep dan memasukkan emas putih bersaiz 3.5 milimeter.

Prosedur cuma mengambil masa beberapa minit dan Luckayanko pulang dengan mata berisikan barang kemas.

Chynn berkata, prosedur itu amat selamat.
“Ia cuma kepingan platinum amat kecil yang dibuat untuk dimasukkan ke dalam bahagian atas mata, dan tiada risiko buta langsung.

“Mungkin berlaku sedikit pendarahan tetapi hilang beberapa hari atau minggu. Luc-kayanko mungkin mendapat jangkitan tetapi kami menghalangnya dengan antibiotik,” katanya.


Amerika beri amaran

Akademi Oftalmologi Amerika Syarikat memberi amaran bahaya prosedur itu.

Mereka berkata, ada bukti menyokong keselamatan atau nilai terapeutik prosedur itu dan orang ramai perlu mengelak daripada meletakkan apa-apa dalam mata yang tidak mendapat kelulusan Bahagian Pentadiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA).

Beberapa hari selepas prosedur itu, Luckayanko berkata, beliau tidak mempunyai masalah atau kesakitan akibat pembedahan itu.

“Lima puluh peratus rakan berkata saya gila tetapi 50 lagi berasa ia hebat,” katanya.

Bentuk emas putih itu boleh ditukar pada harga AS$1,000 (RM3,213). - Agensi

Florida miliki roller-coaster tertinggi di dunia pada 2016



REKA bentuk unik roller-coaster setinggi 198.1 meter yang akan dibina di sebuah lokasi yang masih dirahsiakan di Florida.


MIAMI - Sebuah syarikat merancang untuk membina sebuah roller-coaster yang paling tinggi di dunia di Florida, lapor portal berita News Channel 5 kelmarin.
Syarikat US Thrill Rides LLC mahu membina roller-coaster itu dengan ketinggian 198.12 meter yang mempunyai dek pemandangan.
Bagaimanapun, pihak syarikat tersebut tidak memberitahu lokasi sebenar di Florida yang akan menempatkan roller-coaster itu.
Ia dijadualkan siap pada tahun 2016.
Ketika ini, roller-coaster yang tertinggi di dunia terdapat di New Jersey, AS dengan ketinggian 138.98 meter.
Terdapat dua buah restoran dan kedai di menara roller-coaster baharu itu.
Kos untuk membina roller-coaster itu dianggarkan sebanyak AS$20 juta (RM64.24 juta) hingga AS$60 juta (RM192.72 juta). - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2lcm3brdL 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, November 24, 2013

Minuman jeruk cegah selesema

Minuman jeruk cegah selesemaBuah jeruk Jepun dipercayai mampu rawat selesema. Sejenis air probiotik dihasilkan melalui buah jeruk dari Jepun dikatakan mampu mencegah selesema.

Menerusi satu hasil kajian terbitan jurnal Letters in Applied Microbiology, sekumpulan saintis mendapati, minuman tradisional itu boleh membantu mencegah selesema.

Menurut DailyMail, penyelidik makanan dari syarikat makanan Kagome, Naoko Waki mendapati, pepijat Lactobacillus terdapat dalam lobak jeruk Jepun atau lebih dikenali sebagai Suguki itu boleh membantu melawan virus.

“Ia boleh menghalang pembiakan virus selesema seperti H1N1 dan H7N9 yang baru-baru ini muncul di China,” katanya.
Beliau berkata, minuman probiotik mengandungi tekanan KB290  yang kini sedang diuji ke atas manusia telah diuji terlebih dahulu terhadap tikus.

“Keputusan kajian menunjukkan, apabila Brevis Lactobacillus dimakan oleh tikus, ia mempunyai kesan perlindungan terhadap jangkitan virus influenza,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penyelidik percaya, satu lapisan perlindungan gula dipanggil exopolysaccharides dapat melindungi bakteria dan bertindak balas terhadap jus asid dalam perut.

'Bulan madu di planet Marikh'

'Bulan madu di planet Marikh'Lakaran artis menunjukkan kapal angkasa yang akan membawa manusia pertama melintasi planet Marikh, sementara gambar kecil (kiri) planet Marikh yang menjadi impian Isnpiration Mars. 

Washington: Sebuah organisasi tanpa keuntungan mendedahkan apa yang didakwanya satu rancangan untuk menghantar dua individu terbang melintasi planet Marikh pada 2017.

Inspiration Mars menyasarkan untuk meraih sokongan Kerajaan Amerika Syarikat dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk misi bersejarah itu, jika ia berlaku, akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sedekad lebih awal sebelum NASA. Diketuai jutawan Dennis Tito yang menjadi pelancong pertama ke angksa lepas, kumpulan itu berkata, misi itu dari segi teknikalnya boleh dilaksanakan jika ia berjaya mendapatkan ‘kemungkinan beberapa ratus juta dolar dalam perbelanjaan baru persekutuan.’



“Kami kini menggesa pemimpin negara kami merebut peluang tunggal bagi memulakan penerokaan manusia ke atas sistem suria dan mengesahkan kepemimpinan Amerika di seluruh dunia,” katanya dalam laporan.

Cubaan itu, digelar ‘Mission For America’, akan menghantar pasangan berkahwin dan perintis ke Marikh antara Hari Krismas 2017 dan 5 Januari 2018.


250 hari di angkasa
Selepas 250 hari berada di angkasa lepas, pesawat akan mengelilingi Planet Merah sekali, hampir pada jarak 160.93 kilometer di permukaan sebelum kembali ke bumi pada Mei 2019.

Misi itu bergantung kepada penjajaran baik antara dua dunia, yang akan menjadikan perjalanan itu lebih pendek berbanding cara lain.

Namun Inspiration Mars tahu ia memerlukan sokongan penuh NASA untuk pelancaran.

Ia berkata roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas yang baru perlu menghantar modul krew utama dan pesawat ke angkasa lepas, dengan angkasawan tiba secara berasingan di dalam kapsul Orion yang turut membawa mereka kembali ke bumi.

Bagaimanapun, banyak cabaran teknikal kekal, termasuk bagaimana memasuki semula orbit bumi dengan selamat ketika melakukan perjalanan lebih 50,000 kilometer sejam.


Banyak cabaran

Namun laporan berkata, ia berharap pihak berkuasa akan mengatasi cabaran dengan minda terbuka dan yakin dengan jurutera NASA pada awal perlumbaan angkasa, selain bersetuju menyokong misi itu.

“Misi untuk Amerika sejajar dengan kemunculan program angkasa lepas negara yang menjadi keutamaan dan akan menyumbang penyelidikan bernilai bagi mempercepat sistem generasi akan datang serta misi mereka,” katanya. - AGENSI

Lelaki malu ada payu dara seperti wanita



Hashemzadeh mendapat kehidupan baharu selepas menjalani pembedahan membetulkan dadanya.


LONDON - Seorang lelaki Britain, Farshad Hashemzadeh berasa sangat malu untuk berdepan dengan masyarakat kerana memiliki payudara seperti wanita.
Hanya payudara kanan Hashemzadeh yang membesar seperti buah dada wanita manakala payudara kirinya normal seperti lelaki lain.
"Saya tidak tahu kenapa ia berlaku kepada saya, payudara saya semakin hari semakin membesar sehingga membuatkan saya berasa rendah diri," katanya kepada akhbar The Sun.
Payudara Hashemzadeh mula membesar sewaktu dia berusia 18 tahun dan pada ketika itu, dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.
"Saya tidak mahu orang lain melihat 'kelebihan' saya ini. Lelaki lain patut tahu bagaimana keadaan ini boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka," katanya.
Ada suatu ketika akibat terlalu tertekan, Hashemzadeh pernah mengambil pisau untuk menoreh payudaranya sendiri sehingga dia dirujuk kepada seorang pakar psikiatri.
Keadaan ganjil yang dialami Hashemzadeh itu dinamakan Ginekomastia iaitu ketidakseimbangan hormon estrogen dan testosteron yang menyebabkan organ tersebut membesar secara tidak normal.
Menurut pakar bedahnya, Dr. Azhar Aslam, kira-kira separuh golongan lelaki mengalami Ginekomastia tetapi pada skala yang kecil. Kos untuk dia menjalani pembedahan tersebut agak tinggi iaitu sebanyak AS$5,000 (RM16,000).
Namun, Hashemzadeh bernasib baik kerana dia mempunyai seorang teman wanita yang prihatin dan menolongnya mendapatkan wang untuk menjalani pembedahan tersebut.
"Saya tidak lagi berasa sedih kerana sudah kembali menjadi seorang lelaki normal malahan, saya beruntung mempunyai seorang teman wanita yang sangat baik," katanya.
Tambah Hashemzadeh, selepas parut kecilya sembuh, dia berasa seperti lelaki yang baru dilahirkan semula. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2lXU4iZkp 
Hakcipta terpelihara 

Tiba-tiba tumbuh bulu


Oleh ZAITIE SATIBI
Jangan pandang ringan jika seseorang wanita atau anak gadis tiba-tiba mengalami pertumbuhan bulu di muka seolah-olah ada pertumbuhan misai halus atau janggut, perut, kaki dan tangan kerana berkemungkinan mempunyai sindrom ovari polisistik (PCOS) yang menyebabkan gejala bulu berlebihan.

Sindrom ini adalah masalah ketidakseimbangan hormon wanita yang mengakibatkan kedatangan haid tidak teratur, sukar hamil, peningkatan hormon lelaki (androgen) dan jika tidak dirawat boleh mengundang masalah kesihatan lain yang lebih serius seperti diabetes dan sakit jantung.


Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Dharmini Veerakumaran berkata, gejala PCOS bermula pada usia remaja dan dihidap sekurang-sekurang seorang daripada 15 wanita.

Hanya rawatan membantu mengawal gejala daripada berterusan, di samping mencegah masalah kesihatan lain dalam jangka masa panjang.


Menurutnya, hormon adalah kimia dalam tubuh yang mencetus pelbagai proses, termasuk pertumbuhan dan pengeluaran tenaga. Biasanya, tugas satu hormon adalah memberi isyarat untuk melepaskan hormon lain.


“Setakat ini tidak diketahui bagaimana ia berlaku, tetapi dalam PCOS hormon dalam tubuh wanita menjadi tidak seimbang. Satu hormon berubah mencetuskan perubahan hormon lain.

Foto
USAH ambil mudah jika anak perempuan tumbuh bulu lebat di muka atau di perut kerana ia mungkin tanda-tanda PCOS.

Foto

“Sebagai contoh, hormon jantina menjadi tidak seimbang. Biasanya, ovari akan menghasilkan sedikit hormon lelaki. “Namun, dalam PCOS ovari akan menghasilkan lebih banyak hormon lelaki menyebabkan wanita berhenti mengovulasi, menghidap jerawat dan tumbuh bulu berlebihan pada muka dan badan,” katanya.


Tubuh wanita juga akan menghadapi masalah penggunaan insulin dikenali rintangan insulin. Ini berlaku apabila tubuh tidak dapat menggunakan insulin dengan baik, kandungan gula dalam darah bertambah, seterusnya meningkatkan risiko menghidap diabetes.



Dr Dharmini berkata, tanda PCOS kurang disedari pada peringkat awal. Seseorang wanita mungkin mengalami beberapa tanda daripada gejala PCOS seperti masalah jerawat dan pigmentasi, keguguran rambut sehingga botak menyerupai lelaki dan tekanan.


“Wanita dengan masalah PCOS juga mengalami kesukaran untuk hamil. Ini berlaku apabila ovari membengkak disebabkan ovum terperangkap di dalamnya dan tidak berkemampuan untuk menetas pada waktu subur. “Setiap wanita dilahirkan dengan mempunyai sepasang ovari yang bertindak sebagai organ pembiakan utama. Fungsinya ialah mengeluarkan sel telur atau ovum pada pertengahan bulan kitaran iaitu waktu subur.


“Telur yang tidak menetas akan berkumpul di sekeliling ovari dan dikenali sebagai sista. Sista inilah dipanggil PCOS dan walaupun tidak berbahaya, ia menyebabkan hormon tidak seimbang.


“Apabila keadaan seperti ini berlaku, lama-kelamaan ovari akan membengkak dan akhirnya menimbulkan pelbagai jenis masalah kesihatan,” katanya.


Menurutnya, penghidap PCOS juga mengalami masalah berat badan berlebihan apabila ia naik mendadak walaupun tidak makan banyak disebabkan metabolisme rendah. “Berat badan akan bertambah pada bahagian atas badan lebih besar atau gemuk daripada bahagian bawah. Tubuh wanita akan kelihatan seperti buah lemon yang dicucuk dua lidi.


“Dalam keadaan ini, kaki dan tangan tampak slim tetapi lemak berkumpul di kawasan dada, abdomen dan punggung,” katanya.


PCOS juga disebabkan keturunan dan peluang menghidap sindrom ini lebih tinggi jika ada wanita dalam keluarga pernah menghidapnya. Ia boleh dibawa sama ada daripada keluarga sebelah ibu atau bapa.


Bagi mendiagnosis sindrom ini, doktor akan menjalankan pemeriksaan kesihatan, sejarah dan juga fizikal. Kitaran haid akan ditanya secara terperinci, sejarah keluarga, termasuk kakak-kakak, adik perempuan dan ibu. Ujian darah termasuk paras hormon tertentu, glukosa darah dan mungkin juga paras insulin juga akan dikaji.


Selain itu, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi mencari tanda PCOS seperti lebihan bulu pada badan dan tekanan darah tinggi.


Doktor juga akan memeriksa berat badan dan ketinggian sama ada ia menepati ukuran indeks jisim badan (BMI) yang sesuai.


Ujian ultrasound akan dijalankan ketika mengalami datang haid untuk merekodkan morfologi ovari, juga ketebalan dinding rahim iaitu endometrium, akan diukur.


“Punca sebenar bagi penyakit ini masih tidak diketahui. Namun ada beberapa kemungkinan penyebab PCOS iaitu keadaan semula jadi di mana ada kelainan atau gangguan pada enzim yang mengawal pembentukan hormon “Ia juga mungkin disebabkan oleh ciri atau pengaruh kebakaan dan keturunan. Pengambilan makanan yang mengandungi banyak karbohidrat dan gula, perisa dan pengawet makanan. “Malah, tekanan fizikal dan mental juga menjadi punca sindrom ini,” katanya.


Bagi merawat PCOS, penghidapnya kena rajin melakukan senaman, mengamalkan diet pemakanan seimbang, tidak merokok dan mengawal berat badan. Segelintir saja penggunaan ubat untuk mengawal gangguan hormon membantu.


Ini kerana tidak ada penawar bagi penyakit ini tetapi dengan mengawalnya dapat mengurangkan risiko sukar hamil, keguguran, diabetes, sakit jantung dan kanser rahim.


Langkah pertama dalam menguruskan sindrom ini adalah melakukan senaman ringan berterusan dan mengamalkan gaya pemakanan sihat.


Rawatan tambahan hanya akan dilakukan bergantung kepada tanda sindrom atau penghidapnya merancang untuk hamil.


Jika berat badan berlebihan, pengurangan jumlah berat badan itu walaupun sedikit dapat membantu menyeimbangkan hormon, sekali gus memulihkan kitaran haid dan proses ovulasi.


“Berhenti merokok kerana wanita merokok mempunyai paras hormon androgen tinggi berbanding yang tidak merokok, malah tabiat buruk ini juga menambah peluang menghidap sakit jantung.


“Bagi penghidap PCOS yang merancang untuk mengandung dan pengurangan berat badan tidak mengatasi masalah kesuburan, doktor mungkin mencadangkan penggunaan ubat yang membantu mengurangkan paras insulin, selain ubat kesuburan bagi meningkatkan proses ovulasi.


“Manakala, bagi yang belum berhasrat untuk mengandung, terapi hormon seperti pil kawalan kelahiran atau cicncin vagina akan membantu mengawal hormon ovari.


“Untuk membetulkan masalah kitaran haid, hormon kawalan kelahiran akan memastikan lapisan endometrium daripada membentuk terlalu lama. Ini juga dapat mencegah kanser rahim, selain pertumbuhan bulu dan jerawat,” katanya.


Dr Dharmini berkata, pembedahan Laparoscopic Ovarian Drilling juga boleh dilakukan apabila ovari penghidap PCOS akan ditebuk supaya sista kecil yang terbentuk di sekeliling ovari akan kecut dan ovari akan dirangsang untuk menghasilkan telur dan ovulasi. “Apapun, mereka yang mengalami gejala PCOS perlu segera berjumpa doktor. Jangan biarkan masalah ini membelenggu diri kerana masalah hormon tidak seimbang juga boleh menjurus kepada tekanan perasaan yang serius.


“Pengambilan hormon sebenarnya tidak langsung mengurangkan risiko menghidap penyakit jantung, tekanan darah, kolesterol atau diabetes. Oleh sebab itu, senaman dan pemakanan sihat adalah kunci utama dalam langkah rawatan PCOS,” katanya.-hmetro

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/24

Saturday, November 23, 2013

Kenderaan pelik RM3.5 juta

Los Angeles: Satu daripada beratus-ratus kereta yang dipamerkan di pameran kereta LA minggu ini mendapat liputan meluas akhbar, tetapi bukan semuanya mendapat pujian.
Walaupun berharga AS$1.1 juta (RM3.5 juta), kereta biru Youabian Puma meraih pelbagai gelaran pelik, termasuk “raksasa”, “gila” hingga kepada “tidak munasabah”. 
Kenderaan besar yang dipamerkan berhampiran satu daripada pintu masuk pusat konvensyen itu tampil popular apabila puluhan ribu peminat kereta membanjiri pusat itu mulai semalam.

Pameran terbabit berlangsung selama 10 hari. Kereta bernilai RM3.5 juta itu mendapat perhatian pengunjung dengan tajuk depan akhbar LA Times menggelarnya ‘benar-benar pelik’.
Foto
KERETA Youabian Puma mendapat perhatian setiap pengunjung pameran kereta LA.

Laman Autoblog.com menggelarnya “nampak pelik” dan memetik kenyataan pengeluarnya yang menyifatkan ia “kenderaan untuk berseronok”.

“Lebih hebat daripada kehidupan, Youabian Puma memang tidak munasabah dari mana sudut pun anda lihat,” tulis carscoops.com, satu lagi laman media mengenai kereta yang meninjau kereta itu pada sidang akhbar sebelum pameran terbabit dibuka kepada awam.

Kereta itu disifatkan sebagai gabungan antara kereta sport dan kereta kebal oleh LA Times. Ia mempunyai saiz yang besar hampir 8 kaki lebar dan melebihi 20 kaki panjang. - Agensi

Friday, November 22, 2013

Makan kacang kurangkan risiko sakit jantung


Kekerapan memakan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung. - AGENSI
DALLAS 21 Nov. - Satu kajian perubatan mendapati, kekerapan makan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung.
Kajian yang dijalankan selama 30 tahun oleh Universiti Harvard dengan kerjasama Hospital Wanita dan Brigham di Boston menunjukkan, individu yang makan kacang setiap hari dapat mengurangkan tahap risiko kematian sebanyak 20 peratus berbanding mereka yang tidak pernah makan kacang.
Seorang pakar, Dr. Ying Bao berkata, risiko kematian akibat penyakit jantung boleh dikurangkan sebanyak 29 peratus, manakala risiko akibat kanser dapat dikurangkan sebanyak 11 peratus bagi mereka yang makan kacang setiap hari.
Bao berkata, manfaat itu boleh diperolehi dengan makan kacang jenis pistasio, badam, walnut dan kacang lain tanpa mengira bagaimana kacang tersebut dimasak.
"Kebiasaannya orang ramai akan memberi persepsi bahawa kacang boleh mengakibatkan kegemukan.
"Namun, kajian yang kami jalankan menunjukkan individu yang gemar makan kacang akan kekal kurus, selain risiko kematian akibat kanser dan sakit jantung dapat dikurangkan," katanya.
Namun, kajian berkenaan masih tidak dapat mengenal pasti khasiat sebenar yang terdapat pada kacang sehingga boleh membawa kebaikan tersebut.
Menurut Bao, mungkin disebabkan kandungan kacang yang tidak tepu asid lemak, mineral dan beberapa elemen nutrien rendah kolestrol boleh mengurangkan risiko penyakit berbahaya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_08/Makan-kacang-kurangkan-risiko-sakit-jantung#ixzz2lJgzneUa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi berusia setahun mampu menari


Jonathan Thorpe mampu menari, bermain komputer dan bercakap biarpun baru berusia setahun. - AGENSI
BIRMINGHAM, England 21 Nov. - Biarpun baru berusia setahun, namun seorang bayi lelaki di sini mampu belajar menari, bermain komputer dan bercakap.
Heather Thorpe, 24, melahirkan Jonathan Thorpe kira-kira lima minit selepas dia dimasukkan ke dalam bilik bersalin di sebuah hospital di sini pada November tahun lalu.
Tempoh kelahiran yang dianggap 'cepat dan mudah' itu mempengaruhi perkembangan tumbesaran Thorpe.
Hal ini kerana, ketika dia berusia tujuh bulan, Thorpe sudah mampu berjalan dan bercakap.
Sejak itu, bayi comel tersebut mula belajar menari, dan dia kini dilaporkan boleh menari gaya Gangnam Style yang dipopularkan oleh penyanyi dari Korea Selatan, Psy.
Selain boleh menari, Thorpe dilihat cenderung menggunakan gajet teknologi termasuk telefon dan komputer.
Menurut ibunya, Thorpe juga boleh menukar saluran televisyen menggunakan alat kawalan jauh, perbuatan yang mungkin mustahil dilakukan oleh kanak-kanak sebaya dengannya.
"Thorpe merupakan seorang bayi yang bijak, kuat dan tidak banyak ragam.
"Kami pada mulanya sangsi dengan kebolehan Thorpe, namun dia benar-benar membuktikan bahawa dia seorang bayi yang istimewa," katanya.
Saiz fizikal Thorpe turut berkembang cepat apabila ketinggian dan bentuk badannya kini membesar seperti kanak-kanak berusia dua tahun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_06/Bayi-berusia-setahun-mampu-menari#ixzz2lJfMepe8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kembar tujuh rai ulang tahun ke-16 di Iowa

YOUTUBE
GAMBAR menunjukkan tujuh orang anak kembar McCaughey. (Depan dari kiri), Kelsey, Alexis dan Nathan manakala (belakang dari kiri), Joel, Kenneth, Nathalie dan Brandon.


DES MOINES, Iowa - Kembar tujuh yang dilahirkan pada tahun 1997 telah meraikan hari jadi mereka yang ke-16 tahun kelmarin.
Ibu kembar itu, Bobbi McCaughey yang merupakan seorang kakitangan sebuah sekolah berkata, dia kini menerima hakikat bahawa anak-anak kembarnya semakin dewasa.
"Salah satu perkara penting kini adalah mengenai hubungan mereka dengan rakan dan kawan berlainan jantina," katanya yang melahirkan mereka di sebuah pusat perubatan di sini.
Kembar itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan.
Nama mereka ialah Kenneth, Kelsey, Natalie, Brandon, Alexis, Nathan dan Joel.
Semua kembar itu yang tinggal di Carlisle, Iowa, Amerika Syarikat mempunyai seorang kakak, Mikayla yang berusia 18 tahun.
Bapa mereka, Kenny bekerja di sebuah kilang logam.
McCaughey memperoleh anak kembar tujuh itu selepas dia menjalani rawatan kesuburan.
Rumah kembar itu mengandungi tujuh buah bilik tidur yang didermakan kepada mereka.
Namun, dua kembar tersebut, Alexis dan Nathan menghidap palsi serebrum iaitu pergerakan otot-otot mereka mengalami kerosakan.
Brandon kini merancang untuk memasuki perkhidmatan ketenteraan, Kenneth mahu bekerja dalam bidang pembinaan, Nathan mahu menceburi bidang sains, Joel berhasrat mendalami bidang komputer, Kelsey meminati bidang solekan manakala Alexis serta Natalie mahu melibatkan diri dalam bidang perguruan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2lJacAiJf 
Hakcipta terpelihara