Pages

Friday, November 22, 2013

Makan kacang kurangkan risiko sakit jantung


Kekerapan memakan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung. - AGENSI
DALLAS 21 Nov. - Satu kajian perubatan mendapati, kekerapan makan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung.
Kajian yang dijalankan selama 30 tahun oleh Universiti Harvard dengan kerjasama Hospital Wanita dan Brigham di Boston menunjukkan, individu yang makan kacang setiap hari dapat mengurangkan tahap risiko kematian sebanyak 20 peratus berbanding mereka yang tidak pernah makan kacang.
Seorang pakar, Dr. Ying Bao berkata, risiko kematian akibat penyakit jantung boleh dikurangkan sebanyak 29 peratus, manakala risiko akibat kanser dapat dikurangkan sebanyak 11 peratus bagi mereka yang makan kacang setiap hari.
Bao berkata, manfaat itu boleh diperolehi dengan makan kacang jenis pistasio, badam, walnut dan kacang lain tanpa mengira bagaimana kacang tersebut dimasak.
"Kebiasaannya orang ramai akan memberi persepsi bahawa kacang boleh mengakibatkan kegemukan.
"Namun, kajian yang kami jalankan menunjukkan individu yang gemar makan kacang akan kekal kurus, selain risiko kematian akibat kanser dan sakit jantung dapat dikurangkan," katanya.
Namun, kajian berkenaan masih tidak dapat mengenal pasti khasiat sebenar yang terdapat pada kacang sehingga boleh membawa kebaikan tersebut.
Menurut Bao, mungkin disebabkan kandungan kacang yang tidak tepu asid lemak, mineral dan beberapa elemen nutrien rendah kolestrol boleh mengurangkan risiko penyakit berbahaya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_08/Makan-kacang-kurangkan-risiko-sakit-jantung#ixzz2lJgzneUa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: