Pages

Thursday, July 26, 2012

Keganasan etnik di India, ragut 9 nyawa lagi

Gambar yang diambil kelmarin merakamkan beratus-beratus penduduk menaiki kenderaan meninggalkan kediaman masing-masing di Kampung Dujabari, daerah Kokrajhar kira-kira 230 kilometer dari Guwahati ekoran tercetus keganasan di negeri Assam, sejak Jumaat lalu. - AFP
GUWAHATI, India 25 Julai - Keganasan etnik antara puak orang asli Bodo dengan penduduk Islam yang berterusan di negeri Assam, semalam menyaksikan sembilan lagi penduduk terbunuh.
Keganasan yang tercetus sejak Jumaat lalu setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang, manakala lebih 170,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan mencari perlindungan di khemah bantuan, pejabat kerajaan serta sekolah.
Pertempuran tersebut dikatakan berpunca daripada pertikaian ke atas hak milik wilayah antara puak Bodo dengan penduduk Islam di negeri Assam.
Ketua Polis Assam, J.N. Choudhury berkata, situasi semakin tegang dan pihak berkuasa akan menempatkan lebih ramai anggota keselamatan di kawasan bergolak sambil menyatakan kesemua sembilan mayat penduduk yang terbunuh itu sudah ditemui awal pagi ini.
Siaran televisyen turut memaparkan beberapa kediaman musnah dijilat api dan kaum wanita bersama anak-anak berkumpul di khemah bantuan kerajaan yang dilindungi pasukan tentera.
Ketua Majlis Wilayah Bodoland, Hagrama Mohilary berkata, penduduk yang terbunuh semalam dipercayai dipukul sehingga mati dan mayat mereka ditinggalkan di kawasan sawah padi serta di tepi jalan.
Polis turut mengeluarkan perintah berkurung selepas beberapa kedai dan kediaman diserang serta dibakar.
Agensi berita The Press Trust of India melaporkan, keganasan itu tercetus apabila dua pemimpin pelajar Islam cedera parah akibat ditembak oleh puak Bodo di Kokrajhar. - AFP

Syria gempur bandar Aleppo

Syria gempur bandar Aleppo:


Anggota pemberontak berlindung di sebalik bangunan ketika berlaku pertempuran dengan tentera kerajaan di tengah bandar Selehattin dekat Aleppo pada 23 julai lalu. - AFP
BEIRUT 25 Julai - Syria mengerahkan beribu-ribu anggota tentera ke bandar Aleppo, awal hari ini ketika tentera udara menghujani bandar itu dengan serangan bom bagi menamatkan pemberontakan, hingga menjadikan bandar kedua terbesar di Syria itu seperti medan perang.
Sejak beberapa hari lalu, kebangkitan rakyat selama 16 bulan lalu di Syria telah berubah daripada pemberontakan di wilayah pedalaman kepada peperangan untuk menguasai dua bandar utama, Aleppo dan Damsyik.
Tentera kerajaan telah melancarkan serangan balas besar-besaran di kedua-dua bandar tersebut dan berjaya mengusir pemberontak dari Damsyik dan kini menuju ke Aleppo, sebuah hub komersial di utara Syria.
...
'via Blog this'

Dentuman maut

HANCUR...keadaan kereta mangsa yang remuk selepas dirempuh kereta api.

HANCUR...keadaan kereta mangsa yang
 remuk selepas dirempuh kereta api.

ARAU: Akibat terlajak selepas memotong barisan kereta yang berhenti di lintasan kereta api Kampung Ngulang di sini, seorang warga emas terbunuh apabila keretanya terkandas di tengah landasan dan diseret kereta api sejauh 10 meter, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Yahaya Kassim, 74, maut akibat cedera parah di kepala dan dada apabila Proton Wira dipandunya dirempuh kereta api barang dari arah Butterworth ke Padang Besar.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 1, Kampung Ngulang dan kereta dipandunya terlajak melepasi palang sebelum tersangkut di landasan.
Anak keduanya, Asri Yahaya, 50, yang tinggal di Kangar, dekat sini, berkata bapanya kerap menggunakan jalan berkenaan untuk membeli juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Dia yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam, berkata kali terakhir dia bertemu bapanya pada minggu lalu.

“Ayah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli 60 telur di kedai berhampiran. Dia sempat berpesan kepada anak lelaki saya supaya membelikan juadah untuk berbuka puasa bersama ibu saya (Rosnah Abdullah, 72),” katanya.
Pengawal pagar lintasan kereta api dikenali sebagai Khairul berkata, dia sudah memeriksa kawasan lintasan sebaik palang diturunkan dan kereta serta motosikal berbaris di belakang palang.

Menurutnya, sebaik kereta api melintasi pondoknya yang berada bersebelahan palang, dia terdengar bunyi hon daripada kereta api berkenaan diikuti dentuman kuat.
“Saya tidak sedar kenderaan mangsa melepasi landasan berkenaan kerana sedang memberi isyarat bendera hijau kepada pemandu kereta api yang melintasi sebelum terdengar bunyi hon dan dentuman kuat.

“Sebelum palang diturunkan, saya dapati semuanya berada dalam keadaan elok dengan kereta berbaris di belakang palang, tetapi tidak menyangka sebuah kereta sudah melepasi landasan dipercayai terlajak.

“Saya terkejut apabila mendengar dentuman itu dan nampak kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum tersadai kira-kira 10 meter dari tempat pelanggaran,” katanya.

Khairul dan orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang berlumuran darah dari dalam keretanya dan kereta api barang berkenaan berhenti kira-kira 100 meter dari lintasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kereta mangsa dipercayai memotong kenderaan lain yang beratur sebelum terlajak memasuki landasan.

“Sebaik dirempuh, mangsa yang berada di dalam keretanya diseret kereta api berkenaan sejauh 10 meter sebelum tersadai di bahu landasan.

“Akibat rempuhan itu mangsa yang cedera parah di kepala dan dadanya, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di HTF,” katanya.

Iran aktifkan lebih banyak pengempar

TEHERAN: Iran terus mengingkari kebimbangan Barat dalam program nuklearnya dengan mengaktifkan ratusan pengempar untuk memperkayakan uranium, kata Presiden Mahmoud Ahmadinejad.
“Ketika ini ada 11,000 pengempar aktif dalam kemudahan pengayaan uranium,” katanya dipetik media Iran, semalam.

Mahmoud membuat kenyataan itu ketika bertemu pemimpin tertinggi Iran, Ayatllah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan kerajaan. Berdasarkan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 25 Mei lalu, Iran didapati mengaktifkan lebih 10,000 pengempar di loji nuklearnya. Bagaimanapun, kenyataan Mahmoud itu tidak disertakan angka tepat atau jumlah sebenar pengempar yang diaktifkan di dua tapak pengayaan uranium masing-masing di Natanz dan Fordo. Loji Fordo yang dibina di bawah tanah menjadi satu daripada isu utama dalam rundingan Teheran dengan kumpulan P5+1 (AS, Britain, Perancis, Russia, China, dan Jerman. - AFP

Eropah tolak gesaan senarai hitam Hizbullah

BRUSSELS: Kesatuan Eropah semalam menolak permintaan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, untuk menyenarai hitam Hizbullah sebagai kumpulan pengganas ekoran insiden pengeboman maut di Bulgaria minggu lalu.
Menteri Luar Cyprus, Erato Kozakou-Marcoullis, berkata tiada keputusan bersama diambil pertubuhan itu untuk menyenaraikan Hizbullah sebagai pertubuhan pengganas.

Cyprus kini menduduki kerusi Presiden EU yang digilirkan di kalangan anggotanya.
Israel menyalahkan Iran dan Hizbullah dalam serangan bom berani mati di lapangan terbang Burgas pada 18 Julai lalu.

Serangan itu membunuh lima warga Israel dan seorang pemandu warga Bulgaria. Keputusan menyenaraikan Hizbullah sebagai pertubuhan pengganas memerlukan persetujuan bersama di kalangan 27 negara anggota EU. Sementara itu, bercakap dalam sidang media sama, Lieberman berkata, masanya tiba untuk meletakkan Hizbullah dalam senarai pengganas di Eropah. “Ia akan memberi isyarat yang betul kepada komuniti antarabangsa serta rakyat Israel,” katanya.

Sidang media bersama itu diadakan selepas Lieberman mengadakan pertemuan tahunan dengan wakil EU. - AFP

Damsyik beri jaminan kawal senjata kimia

MOSCOW: Syria memberi jaminan bahawa senjata kimia negara itu dalam keadaan selamat, kata Timbalan Menteri Luar Russia, semalam.
Kenyataan Gennady Gatilov itu turut disertakan dengan gesaan sekali lagi supaya Damsyik tidak menggunakan senjata simpanannya itu. “Kami menerima jaminan tegas dari Damsyik bahawa keselamatan senjata itu dipastikan sepenuhnya,” katanya dalam temu bual dengan agensi berita ITAR-TASS, semalam. Gatilov berkata, sebagai negara yang menandatangani protokol mengharamkan senjata kimia, Syria “mengambil tanggungjawab penuh untuk mengecam kaedah perang seumpama itu.” Justeru, kata Gatilov, Moscow menganggap Damsyik mesti memenuhi tanggungjawab seperti dinyatakan dalam protokol berkenaan.

Bagaimanapun, Gatilov mengingatkan, apa saja jaminan rejim Presiden Bashar al-Assad, senjata kimia itu mungkin jatuh ke ke tangan pihak pembangkang. “Kita jangan lupa bahawa pihak satu lagi bertindak di sana sini dan tidak mustahil senjata berkenaan jatuh ke dalam penguasaan mereka,” katanya. Isnin lalu, Syria mengakui memiliki senjata kimia dan memberi amaran, walaupun tidak akan digunakan ke atas rakyat negara itu, ia mungkin digunakan jika negara itu diserang pihak luar. - AFP

Israel digesa elak konflik

TEL AVIV: Seorang pegawai tentera Israel memberi amaran, negara itu mungkin berdepan konflik besar jika kerajaan Zionis berkenaan menyerang senjata kimia Syria.
Panglima Tentera Israel, Benny Gantz, berkata negara itu perlu mengambil kira kesan tindakan itu jika ia diambil.

“Kita juga perlu melihat siapa yang akan menguasai senjata itu,” katanya ketika bercakap di Parlimen Israel, semalam.
Menurut Gantz, tentera Syria mengawal senjata kimia itu dan mereka semakin meningkatkan aspek keselamatannya. Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak, berkata rejim Zionis itu mungkin menyerang Syria jika negara Arab “memindahkan senjata pemusnah massa ke Lubnan.” - PT

Russia kecam sekatan EU

MOSCOW: Russia semalam mengutuk sekatan baru Kesatuan Eropah ke atas Syria ekoran konflik berpanjangan di negara itu dan menganggapnya sebagai memperluas “kepungan” kepada ruang udara dan laut.
Kementerian Luar Russia berkata, pada asasnya langkah diambil EU itu boleh dianggap sebagai deklarasi sekatan udara dan laut ke atas Syria.

“Kumpulan pakar perlu mengkaji keputusan terkini EU itu untuk memastikan sama ada ia selaras dengan undang-undang antarabangsa atau tidak,” katanya.
Awal minggu ini, EU meningkatkan sekatan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad dan bersetuju mengetatkan lagi embargo dengan melakukan pemeriksaan setiap kapal atau pesawat yang disyaki membawa senjata.

Kementerian Luar berkata, pendirian negara itu terhadap sekatan sebelah pihak memang diketahui umum.

“Russia tidak mengiktiraf tindakan itu dan percaya ia tidak memberi kesan dan tidak mampu menyelesaikan situasi di Syria,” katanya.
Russia juga berpendapat, sekatan terbaru EU itu bercanggah dengan “cadangan dan semangat” dibawa wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Liga Arab, Kofi Annan.

“Ia juga tidak selaras dengan pelan peralihan politik Syria yang dipersetujui di Geneva akhir bulan lalu,” kata kenyataan berkenaan. - AFP

Budak 11 tahun berjaya naik pesawat tanpa tiket, pasport

LONDON: Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester melancarkan siasatan semalam, selepas seorang kanak-kanak berusia 11 tahun berjaya melepasi keselamatan dan menaiki pesawat ke Rome, tanpa pasport atau tiket.
Liam Corcoran berjalan melepasi kawalan pemeriksaan keselamatan tanpa menunjukkan sebarang dokumen dan berjaya menaiki pesawat Jet2.com menuju ke ibu negara Itali, kelmarin. 
Akhbar Manchester Evening News melaporkan, kanak-kanak itu diperiksa oleh pegawai keselamatan tetapi mereka tidak perasan dia tidak membawa pasport atau tiket pelepasan kerana dia bermesra dengan sebuah keluarga yang menaiki pesawat itu.

Ketika sudah separuh perjalanan, penumpang perasan yang kanak-kanak itu berseorangan lalu terus memberitahu kru kabin. - AFP

Wanita muda maut tertimbus runtuhan 10 meter di tepi pantai

Charlotte bersama Carnell.
Charlotte bersama Carnell.
RUNTUHAN dari lereng tanah tinggi di pantai Dorset mengorbankan Charlotte dan nyaris membunuh bapa dan teman lelakinya.
RUNTUHAN dari lereng tanah tinggi di pantai Dorset mengorbankan Charlotte dan nyaris membunuh bapa dan teman lelakinya.
LONDON: Seorang wanita terbunuh selepas tertimbus di bawah 400 tan runtuhan tanah dan batu ketika berjalan di tepi pantai Dorset, lapor media semalam.
Mangsa dikenali sebagai Charlotte Blackman, 22.

Ketika kejadian, Charlotte berasal dari Derbyshire bersiar-siar dengan teman lelaki, Matt Carnell, dan bapanya, Kevin Blackman, kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin. Blackman dan Carnell berjaya ditarik keluar oleh orang ramai yang kebetulan menyaksikan insiden berkenaan.
Bagaimanapun, ketika mereka berusaha mengesan dan cuba menyelamatkan Charlotte, runtuhan kedua berlaku menyebabkan mangsa tertimbus di bawah runtuhan setinggi kira-kira 10.5 meter.

Ibu Charlotte, Rachel, tidak menyedari kemalangan itu kerana leka berehat di bawah sinar matahari kira-kira 30 meter dari situ.

Rachel dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adik Charlotte, Mitchell, sejurus selepas itu. Penyelamat membawa anjing pengesan, jentera pengorek dan pakar untuk mengesan kedudukan Charlotte walaupun berdepan risiko ditimbus runtuhan lain. Namun, operasi menyelamat hanya dimulakan beberapa jam kemudian kerana kedudukan lereng tanah tinggi itu tidak stabil. Mayat Charlotte ditemui kira-kira jam 9.40 malam. - DM

Pakatan jahat di selatan Thai

Bangkok: Polis Thailand menemui dadah milik kumpulan penjenayah di Lampang yang dipercayai digunakan untuk ditukar dengan dinamit dan bahan membuat bom untuk pemisah Islam di selatan yang beroperasi di utara Thai. 

Polis Lampang menahan Pongthep na Lampang, juga dikenali sebagai Tu Phrabaht, di sebuah hotel daerah Muang kerana memiliki bahan letupan dan dadah, Khamis lalu. Mereka merampas dua dinamit, bom gel dan alat letupan selain 10 pil methamphetamine dan empat kilogram menthamphetamine kristal. 
Polis berkata, Pongthep, 37, memberitahu mereka bahan letupan itu diperoleh dari lombong batu arang loji kuasa Mae Moh yang terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Elektrik Thailand milik kerajaan. 

Beliau berkata, pegawai di loji kuasa itu mendalangi kecurian bahan letupan dan mereka didagangkan untuk dadah yang dijual kepada pekerja lombong. 

Pegawai tidak dikenali itu mengumpul banyak wang hasil perniagaan haram itu, kata Pongthep kepada polis. 

Polis berkata, suspek merancang menjual bom di pasaran gelap tetapi tidak tahu di mana dan tidak tahu bahan letupan itu digunakan untuk apa.
Sumber di kem tentera Surasak Montri di Lampang berkata, laporan bahan letupan berkuasa besar dicuri dan dijual dengan pengedar dadah mencetuskan ancaman keselamatan serius. 

Mereka memberikan ancaman sebenar kepada keselamatan wilayah itu kerana menjadi lokasi loji kuasa, depo minyak dan beberapa agensi penting kerajaan, kata sumber. 
Agensi

Syria arah satu briged tentera serang Aleppo


Satu poster  Bashar yang diconteng dilihat dekat satu tempat buang sampah di Aleppo.  [FOTO REUTERS]
Satu poster Bashar yang diconteng dilihat dekat satu
 tempat buang sampah di Aleppo. [FOTO REUTERS]
Amman/Beirut: Syria menghantar beribu-ribu askar ke bandar Aleppo semalam, membabitkan unit kereta perisai, ke bandar kedua terbesar Syria itu untuk membedil kedudukan pemberontak menggunakan artileri dan helikopter.

Beberapa helikopter dilihat melancarkan peluru berpandu ke sasaran, kata penduduk. Pemberontak pula bertempur dengan tentera kerajaan di pintu masuk sebuah bandar bersejarah. Pada masa sama, askar melancarkan mortar dan bedilan ke arah pemberontak.
Saya nampak sekurang-kurangnya 20 roket dilancarkan dari helikopter dan banyak tembakan mesingan, kata seorang penduduk yang memberi nama Omar. 
Aktivis pembangkang berkata, satu unit kereta perisai biasa kini dalam perjalanan ke bandar kedua terbesar Syria itu dan melancarkan bedilan artileri selain helikopter penyerang.

Turki pula menutup kawasan sempadannya, meskipun semua pelarian Syria dibenarkan masuk. Sementara itu, dua lagi diplomat kanan Syria di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus menjadi pegawai terbaru berpaling tadah.

Pemberontakan 16 bulan terhadap Presiden Bashar al-Assad kini membabitkan dua bandar iaitu Aleppo dan Damsyik. Pertempuran dilaporkan meletus di dua kota itu sejak minggu lalu.

Tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran terhadap dua bandar itu dan berjaya mematahkan kemaraan pemberontak di ibu negara. 
Askar kerajaan juga melancarkan bedilan bertalu-talu dan berjaya menyekat pemberontak menguasai kawasan di ibu negara.

Tentera juga melancarkan artileri dan roket ke arah bandar al-Tel di utara Damsyik untuk menawannya daripada pemberontak selain menyebabkan beratus-ratus keluarga lari ke tempat lain, katanya.

Batalion 216 berpejabat dekat bandar al-Tel mula mengebom kawasan dihuni 100,000 sebelum subuh.

Helikopter tentera terbang rendah. Orang ramai yang mendengar bunyi helikopter tentera melarikan diri kerana panik. Semua orang melarikan diri, termasuk keluarga saya, katanya.
Agensi

Anggota bomba selamatkan warga emas



MARTINEZ (kiri) cuba memujuk Lui untuk turun semasa rumahnya terbakar di Racine kelmarin.


RACINE, Wisconsin - Seorang anggota bomba mendukung seorang warga emas, Pete Lui menuruni tangga dari tingkat dua rumahnya yang terbakar di sini kelmarin. Sebelum ketibaan pasukan bomba, seorang lelaki, Edwardo Martinez cuba untuk meyakinkan Lui supaya turun dengan menggunakan tangga kayu. Namun, warga emas itu enggan turun dengan menggunakan tangga tersebut. Tangga kayu itu kemudian terbakar.
SEORANG anggota bomba mendukung Lui.


Anggota-anggota bomba menggunakan tangga logam untuk menyelamatkan Lui selepas mereka tiba di lokasi kejadian. Dua anggota bomba memanjat tangga itu ke tingkat dua rumah tersebut. Salah seorang anggota bomba itu mendukung Lui semasa dia turun dengan menggunakan tangga tersebut. Warga emas itu kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan. - Agensi

Pesakit kagum pulih daripada jangkitan HIV




WASHINGTON - Satu-satunya pesakit HIV yang dipercayai sembuh menerusi pembedahan pemindahan sum-sum, Timothy Ray Brown (gambar) memberitahu kelmarin bahawa dia berasa kagum dan kini melancarkan satu yayasan baharu bagi menggalakkan penyelidikan bagi mencari ubat penyakit maut itu.
Brown, 47, yang berasal dari bandar raya Seattle dalam negeri Washington, popular selepas beberapa doktor cuba menggunakan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemianya.
Sejak 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan menunjukkan keputusan yang negatif dalam ujian HIV.
"Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati," kata Brown dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP.
"Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV," tambahnya.
Lelaki itu sedang belajar di Berlin, Jerman apabila didapati positif HIV pada 1995 dan diberitahu dia cuma boleh hidup selama dua tahun lagi.
Namun, kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia setahun kemudian membolehkan jangkitan HIV yang dihidapi berjuta-juta penduduk dunia dirawat.
Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.
Dia kemudian disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkannya mengalami pneumonia dan kandungan darahnya mengandungi bakteria beracun.
Dalam usaha menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Gero Huetter mendapat idea untuk melakukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum dengan menggunakan penderma sel induk yang memiliki gen mutasi CCR5.
Mereka yang tiada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh ditembusi virus tersebut.
Namun, manusia yang tiada gen CCR5 jarang ditemui dan dipercayai cuma satu peratus penduduk dunia yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut.
Idea Huetter adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan itu.
Brown didapati bebas daripada kuman maut itu selepas menjalani pembedahan tersebut. - AFP

Rangka tulang Mona Lisa semakin hampir ditemui


SEORANG ahli arkeologi melakukan kerja-kerja dekat rangka manusia di sebuah kubur di biara Sant'Orsola di Florence kelmarin yang dipercayai wanita dalam lukisan Mona Lisa.


FLORENCE - Beberapa ahli arkeologi kelmarin menemui satu rangka manusia di bawah simen biara Sant'Orsola di sini yang dipercayai mungkin model wanita lukisan Mona Lisa yang dilukis oleh pelukis terkenal, Leonardo da Vinci.
Sebelum ini beberapa rangka tulang manusia juga telah ditemui dalam misi mencari kubur model tersebut yang dipercayai isteri seorang pedagang sutera, Francesco del Giocondo iaitu Lisa Gherardini.
Kerja-kerja untuk mencari rangka Gherardini itu diketuai seorang ahli arkeologi Itali, Silvano Vinceti di biara tersebut pada tahun lalu.
Ia dilakukan selepas dokumen terbaharu yang ditemui mengesahkan Gherardini pernah tinggal di biara tersebut selepas kematian suaminya.
Rangka-rangka manusia itu akan dikaji bagi mengetahui sama ada ia kepunyaan Gherardini.
Selepas identiti rangka manusia itu diketahui, kerja-kerja untuk membentuk semula mukanya akan dilakukan selama dua bulan.
Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Gherardini merupakan model untuk lukisan Mona Lisa.
Lukisan itu dihasilkan antara tahun 1503 dan 1506.
Ketika ini lukisan tersebut dipamerkan di Muzium Louvre, Paris. - AFP

Kosmo! Online - Dunia


SINABANG, Indonesia - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan pantai barat Pulau Sumatera semalam dengan menyebabkan penduduk bertempiaran keluar dari kediaman dan bangunan. Pihak berkuasa berkata, seorang lelaki rebah dan mati akibat terkejut semasa dia keluar dari rumahnya. Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa yang berpusat pada kedalaman 22 kilometer itu berlaku pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan kira-kira 34 kilometer ke barat laut Sinabang.
Penduduk di sini memberitahu, gegaran kuat berlaku selama satu minit dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. "Orang ramai menjerit, mengambil barang milik masing-masing dan bergegas keluar dari kediaman mereka," kata seorang wartawan agensi berita AFP di sini. "Bekalan elektrik terputus dan saya dapat melihat rekahan pada dinding-dinding kediaman," tambahnya. Seorang jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, seorang lelaki mati semasa keluar dari rumahnya di pulau ini yang memiliki 80,000 penduduk. Media tempatan dan agensi meteorologi memberitahu, tiada laporan tentang kerosakan besar atau kemalangan jiwa akibat bencana itu setakat ini. - Agensi

Saluran TV guna pekerja wanita berpurdah



BEBERAPA pekerja wanita di studio saluran televisyen Maria TV di Kaherah pada 23 Julai lalu.


KAHERAH - Mesir mempunyai satu-satunya saluran televisyen yang menggunakan pengacara, pemberita dan jurukamera yang memakai purdah. Saluran televisyen itu, Maria TV turut dikendalikan oleh wanita Muslim.

SEORANG jurukamera saluran Maria TV.


Ia dilancarkan pada Sabtu lalu dan diilhamkan pengarah televisyen itu, Ahmed Abdallah. Antara program yang disiarkan adalah tentang kecantikan, perubatan dan perkahwinan. Saluran itu disiarkan enam jam seminggu. - AP

Israel akan serang Syria




BAITULMUQADDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menegaskan, negaranya akan bertindak dengan segera jika para pejuang Hezbollah Lebanon menyerbu tempat simpanan senjata kimia dan biologi milik Syria.
Beliau membuat kenyataan itu di Radio Israel semalam.
Beberapa pemimpin Israel sebelum ini menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan di tempat simpanan senjata Syria bagi menghalang senjata kimia dan biologi jatuh ke tangan para pejuang Hezbollah.
Para pemimpin Israel bimbang jika rejim Presiden Bashar Al-Assad tumbang, senjata itu akan diperoleh para pejuang Hezbollah dari Lebanon.
Sementara itu, Turki menutup laluan komersial di sempadan Syria.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu memberitahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai pelarian bahawa sempadannya itu masih dibuka untuk para pelarian dari Syria.
Sementara itu, keganasan di bandar raya kedua Syria, Aleppo, memuncak kelmarin ekoran pertempuran tentera pemerintah dengan kumpulan pemberontak, kata pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Badan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu melaporkan pertempuran berlaku di daerah Bustan Al-Qasr, selatan Aleppo dengan tentera Bashar menggunakan beberapa helikopter tempur di kawasan penempatan penduduk.
Kebangkitan penduduk di Syria bermula pada Mac lalu apabila kumpulan pemberontak menentang tentera Bashar.
Kumpulan pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran kabangkitan rakyat berlaku di Tunisia dan Mesir.
Tentera Pembebasan Syria yang turut mewakili pemberontak turut terlibat dalam serangan menentang tentera Bashar.
Setakat ini lebih 20,000 orang telah terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak itu dengan tentera Bashar.
- Agensi

Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam



Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali.

Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir.

Berapa Juta Liter Air Zam-Zam?

Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah lebih kurang dua juta orang.

Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter.

Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter.

Keanehan Air Zam-Zam

Pada tahun 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.

Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut, Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zamzam.

Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah untuk diuji.

Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya.

Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.

Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter).

Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.

Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan.

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci.

Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun!.

Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba.

Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar.

Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya.

Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak:

“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga”.

Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman.

Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.



Mengandungi Zat Anti Kuman

Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat.

Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.

Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan.

Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun. Boleh Menyembuhkan Penyakit Nabi saw menjelaskan: ”Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi”.

Nabi S.A.W. menambahkan: “Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”.
(HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).

Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain dari yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah.

1) Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan.

2) Air Zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

3) Yang juga menakjubkan adalah tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.

4) Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam-zam tetap berair. Dan air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.

Beberapa ulama fiqah mencadangkan agar jemaah haji membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam boleh jadi sebagai ubat untuk penyembuhan.

Ini terbukti ramai jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.
 

Wednesday, July 25, 2012

JUMAAT: KELEBIHAN & KERUGIAN



1) Orang-orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur, perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat, dia akan dicop dengan cop iman dan terpelihara daripada siksa kubur." (HR Al-Baihaqi)

2) Rasulullah SAW juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan sembahyang Jumaat melalui sabda Baginda yang maksudnya: "Apabila seseorang berwuduk lalu dia memperelokkan wuduknya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan sembahyang, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia bersembahyang Malaikat sentiasa memohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat sembahyang dan belum berhadas, Malaikat memohonkan: Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!" (HR Al-Bukhari)

Dalam hadis ini mengandungi beberapa perkara yang penting. Pertama ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang pergi berjemaah di masjid dengan sedia berwuduk lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwuduk di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu sembahyang serta dalam keadaan suci kerana telah bersedia lebih awal lagi. Oleh yang demikian hari Jumaat adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

HADIR JUMAAT LEBIH AWAL
Sesungguhnya kita dituntut agar menepati waktu sembahyang dan dilarang melengahkannya. Ini kerana bukan sahaja menepati waktu sembahyang itu merupakan tuntutan agama malahan orang yang menepati waktu sembahyang itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah SAW yang maksudnya: "Orang-orang yang bersembahyang pada waktunya dan menyempurnakan wuduknya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyu'nya, rukuknya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. Sembahyang itupun berkata: "Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan sembahyang itu)". Tetapi sesiapa yang bersembahyang tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wuduknya, khusyu'nya, rukuknya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: "Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku". Sehinggakan setelah sembahyang itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya." (HR At-Thabrani)

Oleh itu berusahalah untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat itu dan ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid hendaklah dengan khusyu' dan merendah diri. Apabila sampai di masjid, jangan lupa berniat iktikaf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Quran, beristighfar, berzikir dan berdoa, kerana pada hari Jumaat itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila datang hari Jumaat, maka setiap pintu masjid ada Malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur." (HR Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa orang yang menghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari Jumaat adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. Sembahyang tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara sembahyang kerana jika dilengahkan waktu sembahyang tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu. Malah Allah SWT juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah orang-orang yang tetap mengerjakan sembahyang pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya: "Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya." (QS Al-Mukminun:9)

Kesimpulannya, sembahyang dengan khusyu' dan tawadhuk serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu kewajipan. Maka adalah disunatkan kepada orang yang wajib atasnya sembahyang Jumaat supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadhilat datang awal ke masjid seperti mana maksud hadis di atas. Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah sebagaimana telah diceritakan dalam hadis di atas.
.
Ini bererti para Malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari Jumaat itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir Jumaat sahaja, tetapi tidak tersenarai dari orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas. Ulama Syafie juga sepakat mengatakan bahawa sunat (mustahab) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jumaat.