Pages

Tuesday, July 24, 2012

Lelaki lepas tembakan, 7 askar Iraq terbunuh

SAMARRA 23 Julai - Seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di sebuah pangkalan tentera di utara Baghdad awal hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh askar Iraq.
Seorang kakitangan perubatan di hospital utama dekat bandar Balad berkata, mereka menerima tujuh mayat tentera dan merawat dua lagi yang tercedera dalam serangan di pangkalan Albu Slaib, timur bandar Dhuluiyah, kira-kira 90km di utara Baghdad.
Bagaimanapun, seorang tentera kanan Iraq menganggarkan jumlah yang terbunuh seramai 15 orang manakala empat lagi tercedera. - AFP

Iran desak PBB bantu etnik Rohingya

GENEVA 22 Julai - Iran menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam usaha untuk menamatkan konflik etnik dan agama di barat Myanmar yang disifatkannya sebagai pembersihan etnik minoriti beragama Islam, lapor saluran televisyen di Teheran, Press TV.
Wakil tetap Iran ke PBB, Mohammad Khazaie berkata, pertubuhan dunia itu perlu mengambil pendekatan segera bagi memelihara semangat piagam PBB dan melindungi hak asasi penduduk Islam di sana.
"PBB perlu menggesa kerajaan Myanmar menamatkan tindakan kekerasan terhadap rakyatnya beragama Islam.
"Kekejaman oleh pasukan keselamatan Myanmar baru-baru ini terhadap golongan minoriti beragama Islam di wilayah Rakhine menyebabkan kehilangan nyawa dan penderitaan beratus-ratus rakyat tidak bersalah, kemusnahan masjid, rumah dan pengusiran rakyat dari negara mereka, tindakan yang melanggar hak asasi manusia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay serta Pengarah Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Valeri Amos.
Khazaie berkata, pembersihan etnik dan agama berasaskan apa-apa alasan tidak boleh diterima di bawah undang-undang antarabangsa.
"Ia lebih membimbangkan dengan kenyataan pihak berkuasa Myanmar yang mencadangkan cubaan untuk melucutkan kewarganegaraan penduduk minoriti Islam itu walaupun terdapat fakta etnik Rohingya telah tinggal selama beberapa kurun di sana," ujarnya.
Beliau turut menggesa Ki-moon segera campur tangan dan bersikap lantang seperti mana pendekatan yang diambil dalam situasi seumpama itu sebelum ini, bagi menghentikan konflik berkenaan.
Beliau turut memberi amaran ketiadaan sebarang tindakan diambil oleh masyarakat antarabangsa terhadap pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan Myanmar, akan terus menyumbang kepada pelanggaran hak asasi manusia dalam hubungan antarabangsa. - AGENSI

Damsyik dihujani bedilan



Imej rakaman YouTube dikeluarkan oleh saluran Shaam News
 Network kelmarin, menunjukkan letupan dipercayai berlaku
 di kawasan penempatan Jouret al-Shayyah, di bandar Homs, tengah Syria. - AFP
BEIRUT 22 Julai - Pertempuran antara tentera kerajaan Syria dengan pemberontak semakin sengit apabila tentera yang setia dengan Presiden, Bashar al-Assad menyerbu lebih tiga daerah di Damsyik ketika pertempuran berlaku di beberapa kawasan perumahan di bandar terbesar Syria, Aleppo hari ini.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, tentera kerajaan pimpinan Assad menyerbu daerah Barzeh dengan kereta kebal selain penembak tepat ditempatkan di atas bumbung bangunan.
"Dua buah helikopter turut melancarkan serangan di Barzeh dan kepulan asap tebal boleh dilihat di kawasan perumahan tersebut," kata wakil badan pemantau, Rami Abdel Rahman kepada AFP.
Beliau berkata, tentera turut dikerahkan ke luar bandar Mazzeh, Damsyik yang menyaksikan seorang maut dan beberapa orang lagi cedera.
Selain Barzeh dan Mazzeh, pertempuran turut berlaku di daerah Tadamon, al-Midan dan Nahr Ayshe.
Pertempuran sengit di Syria menyebabkan berpuluh-puluh ribu rakyatnya melarikan diri ke negara jiran termasuk Turki, Jordan dan Iraq untuk menyelamatkan diri.
Ankara menyatakan, kira-kira 40,000 rakyat Syria memasuki Turki sejak konflik itu bermula.
Di Aleppo, pertempuran sengit berlaku sejak kelmarin di daerah Salaheddin dan Sakhur.
Lebih 19,000 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan di Syria sejak bermulanya pemberontakan rakyat pada tahun lepas, kata Badan Pemantau Hak Asasi Syria. - AFP

Gempa bumi sederhana landa Irian Jaya, Indonesia

KUALA LUMPUR 23 Julai - Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Irian Jaya, Indonesia pada pukul 8.22 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pusat gegaran ialah kira-kira 487km tenggara Sorong, Indonesia dan 2,015km tenggara Semporna, Sabah.
Gempa tidak mendatangkan ancaman tsunami. - BERNAMA

Rakyat Palestin bebas masuki Mesir

KAHERAH 23 Julai - Mesir kini membenarkan rakyat Palestin untuk memasuki negara ini secara bebas, sekali gus menamatkan sekatan selama lima tahun ke atas Genting Gaza, kata pegawai di lapangan terbang.
Pegawai itu berkata, keputusan tersebut dilaksanakan awal pagi ini, buat pertama kalinya apabila tujuh rakyat Palestin yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dibenarkan memasuki Mesir.
"Mereka dibenarkan memasuki negara ini tanpa memerlukan kebenaran keselamatan dan visa yang diperlukan sebelum ini,'' kata pegawai tersebut.
Pegawai tersebut enggan namanya didedahkan kerana tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengulas perkara itu.
Pengumuman rasmi mengenai keputusan membenarkan rakyat Palestin boleh memasuki Mesir masih belum dibuat.
Bagaimanapun, keputusan tersebut akan membenarkan rakyat Palestin meninggalkan Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis dengan bebas.
Sekatan tersebut dikenakan oleh Mesir selepas Hamas merampas kawalan ke atas Gaza pada 2007.
Sekatan itu menyebabkan Palestin sukar meninggalkan Gaza. - AGENSI

Tentera kembali tawan Damsyik

BEIRUT 23 Julai - Tentera Syria hari ini berjaya merampas kembali kawalan di beberapa kawasan di Damsyik daripada pemberontak selepas pertempuran sengit yang berlanjutan selama seminggu, lapor media rasmi dan aktivis.
Aktivis Haytham al-Abdulah berkata, tentera yang setia dengan Presiden, Bashar al-Assad merampas kembali Mazzeh dan Barzeh selepas pemberontak berundur daripada kedua-dua kawasan itu.
"Kira-kira 30 orang, kebanyakannya adalah anggota pemberontak terbunuh dalam pertempuran hari ini,'' katanya.
Aktivis di sempadan utara Syria berkata, pemberontak kini mempunyai kawalan penuh ke atas Bab al-Salam, pintu sempadan dengan Turki.
"Pemberontak kini bergerak ke arah bandar terbesar Syria, Aleppo,'' katanya.
Dalam pada itu, Liga Arab menawarkan 'laluan selamat' kepada Assad dan keluarganya jika beliau meletakkan jawatan.
Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby tidak pula memberi maklumat lanjut berhubung cadangan itu yang dikemukakan pada satu pertemuan menteri-menteri luar Liga Arab di Doha, Qatar pagi ini.
Liga tersebut juga berjanji menyediakan kira-kira AS$100 juta (RM310 juta) untuk membantu pelarian Syria di negara-negara jiran.
Presiden Tunisia, Moncef Marzouki turut menawarkan perlindungan kepada Assad pada Februari lalu jika ia dapat membantu menamatkan konflik di Syria.
Bagaimanapun, Assad sehingga hari ini masih tidak menunjukkan hasrat untuk melepaskan jawatannya itu. - dpa

Liga Arab tawar AS$100 juta kepada pelarian Syria


DOHA 24 Julai - Jawatankuasa Liga Arab semalam bersetuju untuk menawarkan dana berjumlah AS$100 juta (RM3.1 juta) kepada pelarian warga Syria.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim al-Thani berkata, dana tersebut bertujuan untuk membantu pelarian Syria yang meninggalkan negara itu ekoran keganasan berterusan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan jumlah pelarian Syria di beberapa negara jiran kini mencecah 125,000. - REUTERS/DPA

AS halang penghantaran senjata, minyak dari Iran ke Syria

WASHINGTON: Kerajaan AS cuba menghalang penghantaran senjata dan minyak dari Iran ke Syria secara senyap-senyap dalam usaha Washington mempercepat kejatuhan Presiden Bashar al-Assad.
Menurut akhbar Wall Street Journal (WSJ) semalam, usaha dibuat supaya Iraq menutup ruang udara bagi penerbangan di antara Iran dan Syria yang dipercayai perisik membawa senjata untuk pasukan keselamatan prokerajaan. Menurut WSJ, AS juga cuba menghalang kapal disyaki membawa senjata dan minyak ke Syria daripada berlayar melalui Terusan Suez. Satu daripada kapal terbabit, Amin, adalah anak syarikat milik kerajaan Iran. AS kini berunding dengan Mesir dalam usaha mereka menghalang kemasukan Amin, dengan alasan kapal berkenaan tidak menaikkan bendera sepatutnya serta tidak dilindungi syarikat insurans diiktiraf. “AS turut menyediakan laporan perisikan mengenai Syria kepada Turki dan tentera Jordan pula bekerjasama rapat dengan pemberontak,” lapor WSJ. - AFP

Al-Qaeda lagakan Syiah, Sunnah

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh dalam serangan bom dan senjata api di Iraq semalam.
Insiden itu berlaku sehari selepas 20 maut dalam beberapa letupan di negara yang masih bergolak itu. Sementara itu, sekurang-kurangnya 223 cedera dalam serangan bom di bandar kawasan majoriti penganut Syiah di Baghdad, Taji, Kirkuk dan beberapa lokasi lain.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, tetapi seorang pegawai kanan keselamatan Iraq menyalahkan al-Qaeda tempatan. “Serangan ini adalah mesej jelas bahawa al-Qaeda di Iraq mahu mencetuskan perang antara puak.
“Dengan apa yang berlaku di Syria, serangan ini perlu diberi perhatian serius.

“Al-Qaeda mahu membawa Iraq kepada perang antara Syiah dan Sunnah,” katanya. - Reuters

Iran, Hizbullah rancang 20 serangan seluruh dunia: Mossad

BAITULMAQDIS: Ketua perisikan Israel memberitahu Kabinet semalam, Iran dan sekutunya di Lubnan, Hizbullah, merancang serangan di lebih 20 negara sejak dua tahun lalu.
Ketua Mossad, Tamir Pardo, serta ketua agensi keselamatan dalam negeri, Shin Bet, Yiram Cohen, dipanggil untuk memberi penerangan kepada Kabinet mengenai “aktiviti antipengganas” oleh dua badan berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri Israel berkata, tindakan itu diambil ekoran serangan bom di Bulgaria yang menyebabkan lima pelancong Israel dan pemandu mereka terbunuh.
Setakat ini, tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu tetapi Israel menyalahkan Iran dan Hizbullah.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memuji Mossad dan Shin Bet atas maklumat mereka. “Sangat penting untuk membuktikan kepada dunia bahawa Iran dan Hizbullah mendalangi serangan di setiap benua,” katanya. - AFP

Hormuz tak ditutup: Iran

TEHERAN: Pegawai tinggi tentera laut Iran semalam berkata, tentera negara itu mengawal penuh Selat Hormuz tetapi tidak bercadang menutup laluan satu per lima perdagangan minyak dunia itu.
Pemangku Komander Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran, Ali Reza Tangsiri, berkata pihak musuh sering mendakwa negaranya bercadang menutup Selat Hormuz.

“Tetapi kami katakan, tidak bijak menutup selat ini ketika Iran juga menggunakannya,” katanya.
Kenyataan Ali Reza itu dilihat sengaja mengukuhkan tuntutan bahawa Iran mendominasi Selat Hormuz walaupun tentera laut Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran mereka di Teluk. Bagaimanapun, Ali Reza tidak memberi sebarang penjelasan lanjut berhubung kenyataannya itu.

Pemerhati menganggap, kenyataan Ali Reza merujuk kepada usaha Iran membina saluran paip minyak untuk pasaran Asia dan membangunkan pelabuhan lain untuk memberi akses langsung ke Lautan Hindi. Ia juga dilihat usaha memberi jaminan kepada pasaran dunia bahawa Iran anggota Opec kedua paling banyak menghasilkan minyak sebelum sekatan baru-baru ini tidak akan mengganggu bekalannya. Harga minyak dunia menjadi tidak menentu ekoran kebimbangan Iran akan menghentikan trafik kapal tangki sebagai tindak balas sekatan dikenakan ke atas negara itu. Selama beberapa bulan, Teheran mengeluarkan ancaman untuk menutup Selat Hormuz tetapi tiada sebarang usaha dibuat bagi menghalang kapal tangki berlayar di situ. - AP

5 kali dirempuh kereta

WARDLE bersama gambar empat kemalangan di kawasan rumahnya.
WARDLE bersama gambar empat kemalangan di kawasan rumahnya.
LONDON: Sepasang suami isteri yang sudah bersara gagal menjual rumah mereka berharga �350,000 (RM1.75 juta) selepas kediaman itu dirempuh lima kereta dalam masa kurang dua tahun.
Tom Wardle, 66 dan isteri, Shirley, 72, pernah membaiki tembok laman rumah mereka dua kali dalam masa sebulan selepas pemandu hilang kawalan ketika membelok berhampiran hartanah itu meskipun had laju di kawasan itu ditetapkan pada 48 kilometer sejam.

Kemalangan berulang kali itu menyebabkan syarikat insurans pasangan berkenaan menanggung kos sebanyak �15,000 (RM75,000) dan kini mereka gagal menjual rumah teres empat bilik itu. Lima kemalangan memusnahkan tembok sepanjang 4.8 meter dan tinggi satu meter itu terjadi antara September 2010 hingga 4 Julai lalu.
Rumah pasangan itu di Bretforton, berhampiran Evesham, Worcestershire, berada dalam zon 48 kilometer sejam tetapi ia terletak 69 meter dari puncak selekoh tajam di kampung berkenaan yang terkenal sebagai tempat sering berlaku kemalangan.

Pesara syarikat membina kapal itu yang tinggal di kampung berkenaan sejak 18 tahun lalu, mendesak supaya jalan itu ditar semula bagi meningkatkan cengkaman kereta ketika pemandu mengambil selekoh itu.

“Ia hanya menanti masa sebelum seseorang cedera parah atau terbunuh.
“Sebanyak 16 kemalangan berlaku sejak September 2010. Jalan raya itu menjadi licin apabila hujan dan tahap cengkaman menurun mendadak.

“Saya bimbang kemungkinan berlaku kemalangan yang akan meragut nyawa kanak-kanak. Saya tidak dapat tidur kerana setiap kali mendengar bunyi tayar menciut saya akan menanti ia merempuh tembok taman saya.
“Walaupun ia dalam zon had laju 48 kilometer sejam, selekohnya begitu tajam,” kata Wardle.

Menurutnya dia sudah mengadu kepada Majlis Bandaran Worcestershire, merayu supaya jalan itu ditar semula bagi meningkatkan cengkaman.

Hanya beberapa bulan selepas mengiklankan untuk menjual rumah mereka dengan harga �350,000 (RM1.75 juta), seorang pemandu merempuh hartanah itu pada 29 September 2010.

Kemalangan selepas itu berlaku pada 4 April, 2011.

Tembok pasangan itu terpaksa dibaiki dua kali dalam masa sebulan selepas satu kemalangan berlaku 4 Ogos tahun lalu dan satu lagi pada 26 Ogos.

Kemalangan terbaru berlaku 4 Julai lalu apabila seorang pemandu pertengahan usia gagal mengawal keretanya dan merempuh tembok taman pasangan pesara itu.

Pembeli berpotensi rumah itu begitu bimbang dengan hartanah berkenaan yang sering menjadi sasaran kemalangan hingga memaksa Wardle dan isteri menurunkan harga kepada �275,000 (RM1.38 juta) “Saya seperti mahu membunuh diri selepas kemalangan terbaru.

“Kami perlukan tindakan. Kami tidak boleh tidur. Saya mempunyai cucu yang sering datang mengunjungi saya.

“Kami cuba menjual rumah itu tetapi tidak ada yang mahu membelinya kerana banyak berlaku kemalangan. “Kami sudah menurunkan harga sebanyak �75,000 (RM375,000) tetapi ia masih tidak terjual,” katanya. - DM

‘Macam artis pula’

KEMBALI NORMAL...Muhamad Hafiz (kanan) meneliti jahitan di kepala Hisham.
KEMBALI NORMAL...Muhamad Hafiz (kanan)
meneliti jahitan di kepala Hisham.
PASIR MAS: “Ramadan tahun ini sungguh bermakna buat saya selepas tiga tahun terpaksa ‘berkurung’ dalam rumah kerana malu sebab kepala saya lain daripada yang lain,” kata Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, atau lebih dikenali sebagai Hisham yang gembira selepas dibenarkan pulang ke rumah, kelmarin.
Ayat pertama terkeluar daripada mulut Hisham sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, tepat jam 3 petang kelmarin ialah ingin berjumpa hamba Allah dari Pulau Pinang yang menderma dengan seikhlas hati sehingga dia beroleh tempurung kepala baru.
Katanya, jika ditakdirkan menemuinya, dia akan memeluknya sekuat hati sebagai tanda terima kasih kerana sanggup membantunya menjadi lelaki normal semula.

Sebelum ini, sebaik dibenarkan keluar dari hospital, Hisham diibaratkan artis apabila tiba-tiba menjadi tersohor serta tumpuan ramai.


Difahamkan, ramai pelawat termasuk jururawat serta kakitangan wad berkenaan bergambar kenang-kenangan dengannya menyebabkan pemuda ‘istimewa’ itu terkedu malu sebaik berita mengenai dirinya dilaporkan Harian Metro.

Terkurung 21 tahun

DAIF...pemandangan persekitaran Kem Kutupalong yang dihuni lebih 50,000 pelarian Rohingya sejak 21 tahun lalu.
DAIF...pemandangan persekitaran Kem Kutupalong yang dihuni lebih 50,000 pelarian Rohingya sejak 21 tahun lalu.
BINA SENDIRI...seorang pelarian di kem tidak berdaftar membina ‘rumahnya’ dengan ranting kayu dan daun pokok.
BINA SENDIRI...seorang pelarian di kem tidak berdaftar membina ‘rumahnya’ dengan ranting kayu dan daun pokok.
CHITTAGONG (Bangladesh): Meyakini ada hikmah di sebalik sesuatu peristiwa termasuk yang buruk, satu tuntutan di kalangan umat Islam. Mengambil kira faktor ini, konflik berdarah antara etnik Rakhine dengan penduduk Islam Rohingya yang tercetus di Arakan, Myanmar, pada awal Jun lalu, turut tidak terkecuali.
Ini kerana konflik yang meragut ribuan nyawa umat Islam Rohingya itu serta mencetus derita kepada ratusan ribu yang lain, secara tidak langsung menggamit semula perhatian dunia luar terhadap hampir 90,000 pelarian Rohingya yang menghuni tiga kem pelarian di Bangladesh sejak 21 tahun lalu.
Berikutan tempoh panjang itu, mereka yang hidup serba kedaifan dan penuh penderitaan seakan-akan dilupakan apabila jarang menerima bantuan termasuk daripada saudara seagama.

Sepanjang tempoh 21 tahun itu, ramai di kalangan pelarian Rohingya yang sudah meninggal dunia sebagai orang buangan dan pada masa sama, ribuan juga dilahirkan di dalam kem untuk berkongsi status sama.

Sedikit latar belakang, pelarian Rohingya terbabit menyeberangi Sungai Naf yang menjadi sempadan Myanmar-Bangladesh pada 1991 selepas diusir kerajaan tentera Myanmar.

Siri Omar al-Khattab diminta henti

Kaherah: Dunia Arab dilaporkan marah terhadap sebuah siri televisyen yang didakwa menghina seorang tokoh Islam dan memintanya dihentikan kerana percaya penghinaan terbabit sejajar dengan larangan agama. 

Al-Azhar mengeluarkan satu fatwa menentang siri terbabit mengatakan bahawa memaparkan imej Nabi Muhammad dan sahabat baginda adalah dilarang. Dar al-Ifta, pusat penyelidikan perundangan Islam Arab Saudi yang mengeluarkan fatwa agama turut menyokong pandangan berkenaan. 
Drama sahabat nabi 

Drama bersejarah, ‘Omar’, mengisahkan Omar al-Khattab, sahabat Nabi Muhammad dan pemerintah yang bertanggungjawab meluaskan empayar Islam pada kurun ke-7. 

Rancangan itu menyebabkan golongan konservatif dan reformis bergaduh. Siri terbabit disiarkan sempena bulan Ramadan. 

Penerbit Arab Saudi, Middle East Broadcasting Centre (MBC) berkata, rancangan itu adalah penerbitan Arab terbesar pernah dilakukan membabitkan 30,000 pelakon dan pasukan teknikal 10 negara berbeza yang menjalani penggambaran selama 300 hari untuk menghasilkan drama 31 episod itu. AFP'

Padah makanan segera Barat

Singapura: Rakyat Singapura yang sering menikmati hidangan burger, kentang goreng dan makanan segera ala-Amerika Syarikat lain berisiko untuk mendapat penyakit kencing manis dan jantung yang membawa risiko maut, menurut hasil kajian antarabangsa.

Pada masa sama, hasil kajian itu yang disiarkan dalam jurnal Circulation menyebut bahawa makanan segera tempatan atau rantau Asia seperti mee atau ‘dumpling’, tidak memberi risiko yang sama. Disebabkan fenomena globalisasi, makanan segera ala-Amerika kini menjadi sesuatu yang biasa bagi kebanyakan penduduk di Asia Timur dan Asia Tenggara. Kajian dilakukan terhadap lebih 60,000 penduduk Singapura berketurunan Cina. 
“Banyak masyarakat asing menerima (makanan segera Barat) kerana ia satu petanda mereka membangunkan ekonomi,” kata ketua kajian itu, Andrew Odegaard dari Kajian Kesihatan Awam Universiti Minnesota.

“Makanan Barat mungkin diterima lebih baik dari sudut kebudayaan tetapi daripada perspektif kesihatan ia mungkin kesan buruk,” katanya.

Peserta yang mengambil bahagian dalam kajian ditemubual pada 1990-an dan tabiat pemakanan mereka dipantau selama satu dekad. Mereka berusia antara 45 hingga 74 tahun pada permulaan kajian itu.

Ketika masih dalam tempoh kajian, 1,397 peserta meninggal dunia disebabkan masalah jantung dan 2,252 lagi menghidap kencing manis jenis kedua. 
Kajian mendapat, mereka yang makan makanan segera dua kali atau lebih seminggu berisiko 27 peratus untuk menghidap penyakit kencing manis dan 56 peratus berisiko tinggi mendapat sakit jantung berbanding mereka yang makan sedikit atau langsung tidak mengambil makanan segera.

Daripada 811 peserta yang makan makanan segera gaya Barat empat kali atau lebih seminggu, risiko kematian akibat sakit jantung meningkat sehingga 80 peratus.

Hasil kajian itu tidak berubah sekalipun penyelidik mengambil kira faktor lain yang mungkin mempengaruhi kesihatan termasuk umur, jantina, berat, status merokok dan tahap pendidikan.

Selain itu, rakyat Singapura yang makan makanan segera ala Barat kebanyakannya adalah golongan muda, berpendidikan dan aktif secara fizikal dan mungkin tidak merokok berbanding mereka yang terikat dengan diet tradisional.
Reuters

Pakistan sedia bantu pasangan kahwin lari

PESHAWAR: Sebuah mahkamah Pakistan mengarahkan polis melindungi satu pasangan Afghanistan yang bimbang dibunuh saudara sebelah wanita itu selepas mereka kahwin lari. 

Hewad, 22, dan Mariyam Marjman lari dari Kabul bulan lalu selepas jatuh cinta untuk berkahwin di bandar Abbottabad, barat laut Pakistan.Marjman yang seusia pasangan berkata, ibu bapanya mahu dia berkahwin dengan seorang lelaki tua. 
Lelaki berkenaan adalah suami kepada kakaknya yang baru-baru ini meninggal dunia. 

Katanya, dia mungkin dibunuh kerana berkahwin lelaki pilihan hati jika dihantar pulang ke Afghanistan. 

Mahkamah tinggi Peshawar mengambil kes itu selepas nasib pasangan berkenaan mendapat tumpuan ramai. 

“Pasangan terbabit perlu diberi penginapan sebaik-baiknya di Peshawar selain keselamatan ketat kerana nyawa mereka terancam,” kata hakim Dost Muhammad Khan. Pasangan itu pada mulanya dipisahkan sebelum dibawa bersama dengan diiringi polis bersenjata ke mahkamah. 

Hakim menjadualkan sesi keterangan minggu depan bagi memastikan arahan mereka dilaksanakan. 
AFP

107 maut hari ketiga Ramadan di Iraq


BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 107 orang terbunuh kena tembakan dan letupan bom di Iraq semalam dengan kumpulan al-Qaeda dipersalahkan dan dituduh cuba meningkatkan lagi permusuhan antara puak Sunnah, Syiah dan Kurdis.

Angka kematian itu dicatat sehari selepas 20 orang maut dalam beberapa letupan kelmarin. Kebanyakan serangan dilaporkan menyasarkan orang Syiah. Dalam satu serangan terhadap sebuah pos kawalan tentera di Dhuluiya, 70 kilometer ke utara Baghdad, sekumpulan lelaki bersenjata menggunakan senapang dan bom tangan bagi membunuh 16 askar.
Di bandar Taji, 20 kilometer ke utara Baghdad, enam letupan, satu daripadanya ledakan bom kereta berlaku dekat sebuah kompleks kediaman.

Letupan ketujuh di situ menyebabkan 32 terbunuh termasuk 14 anggota polis, 48 cedera, 10 daripadanya anggota keselamatan.

Dua bom kereta meletup dekat sebuah bangunan kerajaan di Kota Sadr, sebuah kawasan miskin Syiah di Baghdad. Letupan juga berlaku di daerah Hussainiya di pinggirnya.

Ia menyebabkan 21 terbunuh dan 73 cedera manakala sembilan orang termasuk enam askar maut dalam beberapa serangan di bandar Mosul.
Di Kirkuk, lima bom kereta membunuh enam orang dan mencederakan 17 lagi manakala serangan menerusi tembakan senjata api ke arah anggota keselamatan di pos kawalan di wilayah Diyala membunuh enam orang termasuk empat askar dan anggota polis selain mencederakan 30 lagi, kata sumber.

Serangan lain berlaku di bandar Khan Bani Saad, Udhaim, Tuz Khurmato, Samarra dan Dujail, semuanya di utara Baghdad, selain Diwaniya, di selatan.

Keganasan itu menyusuli ledakan bom kereta kelmarin di dua bandar selatan Baghdad dan bandar Najaf menyebabkan 20 maut dan 80 lagi cedera.

Angka korban terbaru adalah yang kedua terburuk selepas bulan lalu apabila 237 orang maut dan 603 cedera.

“Serangan terbaru mesej jelas daripada al-Qaeda bahawa ia berazam mencetuskan perang antara puak.

“Ketika Syria juga bergolak, serangan ini perlu dipandang serius,” katanya.
REUTERS

Puluhan pusat pelacuran ditutup di London

GAMBAR fail menunjukkan kad nama pelacur di sebuah
pondok telefon di London.
LONDON - Pekerja seks mendakwa mereka diusir dari jalanan di sekitar Stadium Olimpik di sini dalam operasi pembersihan pelacur sempena temasya sukan berkenaan.
Menurut kajian oleh seorang ahli majlis dewan perbandaran, polis menutup sekitar 80 buah rumah pelacuran di sekitar stadium itu di sini sejak 18 bulan lalu.
"Sejak dua tahun lalu, polis meningkatkan operasi membanteras para pekerja seks di kawasan sekitar stadium," kata Georgina Perry yang mengendalikan sebuah projek kerajaan bagi membantu pelacur di London Timur.
"Sebahagian wanita berkenaan terpaksa mencari pelanggan di jalanan dan berdepan dengan bahaya ekoran banyak rumah pelacuran telah ditutup," tambahnya.
Sukan Olimpik kali ini yang dijangka disaksikan oleh dua juta pelawat, akan membawa masuk pendapatan sekitar £13 bilion (RM64.1 bilion) untuk ekonomi Britain dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pelacuran dibenarkan di Britain tetapi menguruskan rumah pelacuran menjadi kesalahan di negara berkenaan. - AFP

Berlari dengan pakaian pengantin

SEJUMLAH wanita yang memakai gaun 
pengantin berlari 
dalam pertandingan unik yang diadakan 
di Belgrade kelmarin. - REUTERS
BELGRADE, Bulgaria - Sejumlah wanita yang berpakaian pengantin menyertai satu pertandingan unik yang diadakan di sini kelmarin, lapor agensi berita Reuters.
Pemenang, naib juara dan tempat ketiga memperoleh pelbagai hadiah termasuk gaun pengantin yang dipakai mereka.
Kira-kira 50 peserta itu memakai pelbagai jenis gaun pengantin dan kasut semasa mereka berlari sejauh 150 meter. - Agensi