Pages

Tuesday, July 24, 2012

Tentera kembali tawan Damsyik

BEIRUT 23 Julai - Tentera Syria hari ini berjaya merampas kembali kawalan di beberapa kawasan di Damsyik daripada pemberontak selepas pertempuran sengit yang berlanjutan selama seminggu, lapor media rasmi dan aktivis.
Aktivis Haytham al-Abdulah berkata, tentera yang setia dengan Presiden, Bashar al-Assad merampas kembali Mazzeh dan Barzeh selepas pemberontak berundur daripada kedua-dua kawasan itu.
"Kira-kira 30 orang, kebanyakannya adalah anggota pemberontak terbunuh dalam pertempuran hari ini,'' katanya.
Aktivis di sempadan utara Syria berkata, pemberontak kini mempunyai kawalan penuh ke atas Bab al-Salam, pintu sempadan dengan Turki.
"Pemberontak kini bergerak ke arah bandar terbesar Syria, Aleppo,'' katanya.
Dalam pada itu, Liga Arab menawarkan 'laluan selamat' kepada Assad dan keluarganya jika beliau meletakkan jawatan.
Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby tidak pula memberi maklumat lanjut berhubung cadangan itu yang dikemukakan pada satu pertemuan menteri-menteri luar Liga Arab di Doha, Qatar pagi ini.
Liga tersebut juga berjanji menyediakan kira-kira AS$100 juta (RM310 juta) untuk membantu pelarian Syria di negara-negara jiran.
Presiden Tunisia, Moncef Marzouki turut menawarkan perlindungan kepada Assad pada Februari lalu jika ia dapat membantu menamatkan konflik di Syria.
Bagaimanapun, Assad sehingga hari ini masih tidak menunjukkan hasrat untuk melepaskan jawatannya itu. - dpa

No comments: