Sunday, November 27, 2011
HIDUP BIAR BERJASA, MATI BIAR MULIA
MEREBUT KELEBIHAN BULAN MUHARRAM
ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.
” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Merebut kelebihan bulan Muharram | Islam Itu Indah:'via Blog this'
Pemanasan global lebih buruk?
Tarikh : November 27, 2011
WASHINGTON – Kejadian kemarau di Texas, banjir terburuk di Thailand dan gelombang suhu panas di Rusia antara bencana alam akibat pemanasan global melanda dunia baru-baru ini.
Berikutan beberapa insiden bencana alam sejak akhir-akhir ini, para saintis iklim antarabangsa dan pakar bencana mengeluarkan amaran kepada pemimpin dunia; Bersedia dengan cuaca lebih dahsyat yang tidak pernah berlaku, akibat daripada pemanasan global.
Mereka turut menyatakan kebimbangan bahawa tanpa persediaan awal, keadaan cuaca yang semakin tidak menentu akan memberi kesan buruk kepada beberapa tempat, sekali gus ia mungkin menjadi kawasan tidak sesuai lagi didiami penduduk.
Panel terdiri daripada penerima Hadiah Nobel antara kerajaan berhubung Perubahan Iklim ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Organisasi Meteorologi Sedunia telah mengemukakan laporan khas mengenai pemanasan global serta perubahan mendadak suhu dunia dalam mesyuarat di Kampala, Uganda, minggu lalu.
Ia adalah kali pertama, kumpulan saintis memfokuskan mengenai bahaya perubahan cuaca melampau menyebabkan peningkatan gelombang panas, banjir, kemarau dan ribut taufan.
Mereka mendakwa fenomena kejadian itu adalah lebih berbahaya berbanding peningkatan secara perlahan purata suhu tahunan di bumi.
Sebagai contoh, laporan tersebut meramalkan gelombang panas berlaku sekali dalam setiap generasi akan menjadi lebih tinggi dan berlaku sekali pada setiap lima tahun menjelang pertengahan serta akhir abad.
Dan di beberapa kawasan seperti di seluruh kawasan Amerika Latin, Afrika dan sebahagian Asia, kejadian ini mungkin akan menyebabkan suhu sekitar menjadi lebih panas daripada biasa.
Hujan ribut biasanya berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun pula dipercayai akan melanda lebih kerap di beberapa kawasan seperti Amerika Syarikat dan Kanada.
Menurut ramalan mereka lagi, di Asia Tenggara pula banjir dipercayai akan menjadi lebih dahsyat kerana pada masa depan ia mungkin berlaku kira-kira empat kali lebih kerap berbanding sekarang.
Kawasan seperti Texas dan Oklahoma juga dipercayai mencatatkan suhu lebih panas, berbanding negeri lain di Amerika Syarikat.
Salah seorang penulis laporan tersebut, David Easterling berkata, sudah tiba masanya masyarakat membuka mata untuk melihat kesan yang lebih buruk pada masa depan akibat daripada pemanasan global.
“Kita patut risau dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum ia menjadi lebih buruk. Keadaan bencana alam di beberapa negara sudah pun diisytiharkan terburuk dalam sejarah mereka,” menurut ketua kajian, Pengarah Palang Merah di Netherlands, Maarten Van Aalst.
Bagaimanapun, Chris Field dari Universiti Stanford pula menyatakan, dalam satu kajian lain, saintis seperti tidak dapat memastikan sama ada bencana alam bakal menjadi ancaman terbesar dan mempunyai kaitan dengan krisis ekonomi serta lokasi kepadatan penduduk.
“Kelemahan masyarakat untuk menangani bencana alam semakin meningkat kerana mereka tidak peka dengan keadaaan semasa,” menurutnya.
Dalam kenyataan kepada Associated Press, Field turut menyatakan sudah jelas bencana di sesebuah negara telah menyebabkan kerugian berganda yang mencecah AS$200 bilion (RM640 bilion) setahun.
“Lebih 95 peratus kematian akibat bencana alam di negara-negara membangun dicatatkan sejak 1970-an sehingga kini,” jelasnya lagi.
Ilmu sains yang telah berkembang sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan saintis yakin untuk mengesahkan peningkatan cuaca melampau adalah berpunca daripada pemanasan global.
Mereka juga seakan pasti gelombang panas akan menjadi semakin buruk dalam tempoh lebih panjang berbanding cuaca sejuk.
Ringkasan laporan penuh 29 muka surat itu turut mendedahkan hujan lebat berterusan juga dijangka akan meningkat di kawasan tropika dan utara.
Beberapa negara miskin dipercayai berpotensi tinggi dilanda bencana alam ini termasuk negara maju seperti Kanada, Rusia, Greenland.
Menurut kajian mereka lagi, kejadian banjir akibat paras laut yang semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu adalah bencana terburuk setakat ini kerana ia menyebabkan kerugian dan angka kematian lebih besar.
Isu berhubung pemanasan global yang memberi kesan peningka-tan kepada suhu bumi ini sering kali menjadi tajuk utama untuk dibahaskan secara berterusan oleh saintis dan pengkaji bidang meteorologi.
Tetapi, adakah mereka sedar, pemanasan global ini berpunca daripada kerakusan manusia sehingga menyebabkan pencemaran alam yang telah meningkatkan kesan terhadap rumah hijau.
Firman ALLAH dalam Surah Ar-Ruum, ayat 41, “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
'via Blog this'
Nato bunuh 25 tentera Pakistan
Jurucakap tentera Pakistan berkata, serangan itu berlaku di wilayah Mohmand, kira-kira 2.5 kilometer dari sempadan Afghanistan.
Antara yang terbunuh ialah seorang anggota berpangkat mejar. - AFP
'via Blog this'
Masak kurma mayat suami
ISLAMABAD: Polis Pakistan menangkap seorang wanita kerana disyaki membunuh suaminya sebelum mencincang dan kemudian memasaknya dalam usaha untuk menghapuskan bukti.
Zainab Bibi, 42, dilapor memberitahu pihak berkuasa bahawa dia membunuh suaminya, Ahmad Abbas selepas lelaki itu cuba memperkosa anaknya berusia 17 tahun dari perkahwinan pertamanya.
Zainab memberitahu polis, dia mencampurkan pil tidur dalam minuman Ahmad dan kemudian menjerut lelaki itu hingga mati dengan tali sebelum mencincang mayat mangsa.
Polis berkata, mereka mula menyiasat kes itu selepas jiran mengadu bau busuk yang datang dari rumah keluarga itu.
Anak saudara Zainab berusia 22 tahun, Zaheer Ahmed, juga ditangkap kerana didakwa terbabit mencincang mayat Ahmad. Ketika diwawancara oleh wartawan televisyen ARY di bilik kurungannya, Zainab berkata: “Saya bunuh suami saya sebelum dia menyentuh anak saya.” Kejadian mula terbongkar apabila tuan rumah Zainab, Behzad yang tinggal di tingkat bawah rumah dua tingkat itu, kecewa dengan bau busuk masakan dari tingkat atas.
Dia naik untuk menegur wanita itu.
Polis mendakwa Behzad mendapati Zainab di dapur, memasak korma dari daging lengan dan kaki suaminya kerana percaya ia satu-satunya cara untuk menghapuskan mayat suaminya.
Akhbar tempatan, The Express Tribune melaporkan, Zainab tinggal di rumah itu bersama-sama anaknya, Sonia dan Ahmad yang dikahwininya lima tahun lalu dan pernah menjadi guru Sonia ketika dia mengajar di sekolah gadis itu.
Zainab dipetik sebagai berkata: “Sebaik dia mati, saya merasa ketakutan buat kali pertama. Saya tidak mempunyai keberanian untuk menghampiri mayatnya selama sejam. “Terlintas di fikiran saya untuk memasak mayatnya sebagai cara untuk menghindar bau busuk.” Bagaimanapun, menurut wanita itu, dia tidak berniat untuk memakan masakan itu, sebaliknya mahu membuangnya. “Saya akan memberitahu jiran, korma itu tak sedap,” katanya. - Agensi
'via Blog this'
Mayat berulat atas siling
POTONG... anggota bomba memotong besi penghadang bumbung bagi membolehkan mayat dibawa keluar.
SEBERANG JAYA: “Daripada mula lagi saya berdebar, memang sejak awal seperti dapat dirasakan ada orang di bumbung rumah.
“Telahan saya terbukti benar, tetapi mengejutkan apabila terjumpa sekujur tubuh seorang lelaki dalam keadaan tertiarap,” kata seorang pekerja syarikat pendawaian elektrik.
Pekerja syarikat pendawaian elektrik yang tidak mahu dikenali itu menemui mayat berkenaan berhampiran kotak penyambung utama bekalan elektrik di bumbung sebuah rumah di Kampung Jalan Baru, dekat sini, jam 12 tengah hari semalam.
Dia kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat tidak dikenali itu.
Menurutnya, dia ke rumah yang baru siap pembinaan itu selepas dimaklumkan oleh kontraktor mengenai ketiadaan bekalan elektrik di kediaman terbabit, jam 11 pagi.
Katanya, dia memeriksa bekalan elektrik dari tiang bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi didapati ada arus elektrik disalurkan ke rumah berkenaan.
“Saya mula mengesyaki ada masalah pada kotak sambungan bekalan di bumbung rumah dan ketika itu juga saya mula merasakan sesuatu perkara buruk berlaku.
“Bagi memastikan masalah yang berlaku, saya naik ke bumbung sebelum menemui mayat itu,” katanya.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang berusia 20 hingga 30-an adalah penduduk berhampiran dan ditemui dalam keadaan berulat, berbau dan kehitaman, dipercayai terkena renjatan elektrik.
Polis mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membawa turun mayat lelaki terbabit.
Difahamkan juga, turut ditemui berhampiran mayat lelaki berkenaan adalah beberapa gulungan wayar yang dipercayai baru dipotong dari rumah dalam proses akhir pembinaan itu.
Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
'via Blog this'
Tertarik kerana sabar
HULU LANGAT: Kehangatan berpacaran dengan lelaki bergelar warga emas tidak pernah pudar di hati Noraida Abdul Saman, 36, walaupun perkenalannya dengan suami, Abdul Aziz Uteh, 76, hanya dua minggu ketika mereka bertemu di Kampung Ketumbar, Ampalas, Medan, Indonesia.
Ketika berjumpa dalam pertemuan diuruskan keluarga, Noraida terpaksa membuat keputusan sama ada menerima atau tidak lamaran lelaki itu yang pada mulanya dianggap main-main kerana menyangka dia sudah berumah tangga.
“Bagaimanapun, selepas dia membawa dua daripada lima anaknya ketika itu, baru saya menyedari dia bersungguh-sungguh, malah lebih mengharukan apabila kedua-dua anaknya sibuk menguruskan perkahwinan kami di kampung saya dan menerima saya seadanya.
“Saya berkahwin ketika berusia 27 tahun manakala abang (suami) pula 67, sebenarnya saya tidak mempunyai ibu bapa dan bapa saudara saya memberitahu ini mungkin jodoh saya, manakala adik beradik lain pada mulanya risaukan keselamatan saya jika pulang ke Malaysia.
“Saya pada mulanya risau, mana tahu saya dijual atau tidak dilayan sebagai isteri, namun selama setahun kami hidup bersama saya akhirnya berasa selesa, malah hingga kini sering berulang-alik ke Medan, menyebabkan kebimbangan adik-beradik hilang,” katanya.
Kini, selepas sembilan tahun berkongsi hidup dengan Abdul Aziz, Noraida yang bunting pelamin ketika perkahwinannya mempunyai dua cahaya mata yang menyerikan hidup mereka iaitu Mohd Ashraf, 9, dan Siti Nurasnida, 5.
Ditanya apa yang membuatkannya tertarik kepada Abdul Aziz, Noraida berkata, ketika awal pertemuan mereka, dia dapat merasakan suaminya penyabar tetapi menyangka ia mungkin sekadar untuk mengambil hatinya, namun selepas hampir 10 tahun hidup bersama, telahan itu terbukti tepat.
Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditanya sama ada dia mengamalkan pemakanan atau senaman tertentu memberitahu, tiada amalan atau rahsia yang diamalkannya kecuali melakukan senaman ringan pada awal pagi dan mengelak minuman sejuk, selain sentiasa tenang dalam menghadapi sebarang keadaan.
“Tiada apa petua atau amalan, cuma kita kena jaga kesihatan sendiri, malah saya juga mempunyai penyakit, iaitu darah tinggi dan sakit lutut, jadi saya ikut arahan doktor dan melakukan senaman setiap pagi,” katanya yang masih berniaga sekitar daerah ini sambil dibantu isteri.
Menurutnya, perkahwinan terbarunya adalah yang ketiga. Perkahwinan pertama pada 1960 dan dikurniakan lima anak kini berusia 49, 48, 46 dan 44 tahun (anak bongsu meninggal dunia pada usia 17 tahun dalam nahas jalan raya).
“Isteri saya meninggal dunia sebelum saya mendapat pengganti, tetapi perkahwinan kedua tidak bertahan lama dan akhirnya kami berpisah. Kami juga tidak ada zuriat sebelum saya berasa kesunyian lalu bertemu jodoh dengan wanita dari seberang ini.
“Sebenarnya jodoh kami adalah hasil usaha keluarga saya yang masih ada di sana kerana saya berketurunan Mendeling dan merekalah yang menemukan kami berdua.
“Alhamdulillah sehingga hari ini saya sentiasa bahagia dengannya, malah anak saya juga menerima perkahwinan ini,” katanya.
Menceritakan mengenai sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, beliau berkata, anaknya pulang menyambut lebaran di rumahnya dan ada kalanya ke Medan menyambut hari raya di sana.
“Kalau ada rezeki lebih, kami akan beraya di sana, malah Aidiladha lalu, anak saya turut mengadakan korban di kampung ibu tiri mereka dan ia sangat mengharukan saya,” katanya.
Abdul Aziz yang masih boleh membaca tanpa memakai kanta mata berkata, dia mempunyai 19 cucu dan dua daripadanya bakal berkahwin tahun depan.
Ditanya sama ada dia bercadang menambah zuriatnya dalam masa terdekat, katanya, tiada cadangan ke arah itu setakat ini dan kehadiran sepasang cahaya mata sebagai pengikat kasih dalam rumah tangga mereka sudah memadai kerana mempunyai tujuh anak sebelum ini.
“Kami kini lebih menumpukan pada persekolahan anak dan perniagaan, namun kita hanya merancang, tuhan juga yang menentukan,” katanya.
'via Blog this'
Amal pucuk kesum
MARANG: Pucuk daun kesum dan ubi menjadi rahsia seorang warga emas berusia 60 tahun di Kampung Tok Fakir, Merchang, di sini, yang beristeri empat untuk mengekalkan stamina dan susuk tubuh menarik sehingga tampak muda berbanding umur sebenar.
Mohamed Nor Awang atau lebih mesra dipanggil Pok Nor berkata, dia hanya mengamalkan pemakanan sihat, terutama pucuk kesum dan ubi, untuk mengekalkan stamina seperti orang muda selain ingin tampak menarik.
Malah, pokok kesum ditanam di setiap rumah isterinya yang tinggal berasingan bagi memudahkan dia menjamah ulam kegemarannya setiap kali makan nasi.
“Pok Nor tak pernah guna ubat-ubatan atau majun, sebaliknya mengamalkan petua orang lama iaitu makan pucuk kesum dan ubi. Sejak 50 tahun mengamalkannya, Pok Nor kekal sihat zahir batin.
“Pucuk kesum dan ubi dijadikan ulam-ulaman ketika makan nasi dan sehingga kini Pok Nor tidak menghidap penyakit berbahaya, malah masih kuat bekerja sebagai penjual kayu api dan buruh.
“Ramai juga pelik dengan kecergasan Pok Nor, namun itulah hakikatnya apabila kita menjaga kesihatan serta mengamalkan petua yang betul.
“Pernah juga rakan mencadangkan Pok Nor mengambil majun untuk kekal sihat, namun ia tidak perlu kerana Allah mengurniakan kesihatan zahir batin kepada Pok Nor,” katanya.
Empat isterinya ialah Wan Rukiah Mat Yusoff, 55, Khalthum Dollah, 42, Noraini Daud, 43, dan Suzi Sulong, 37.
Usia Suzi sebaya dengan anak sulungnya, Shamsudin Mohamed Nor.
Isteri pertamanya, Wan Rukiah dikahwini pada 1973 dan dikurniakan sembilan anak berusia 16 hingga 37 tahun, manakala Khalthum dinikahinya pada 1987 dan dikurniakan empat anak berusia 15 hingga 22 tahun.
Dia berkahwin dengan Noraini pada 1988 dan dikurniakan lima anak berusia tujuh hingga 21 tahun, manakala isteri keempat, Suzi pada 10 Julai 2008.
Bersama Suzi, mereka belum dikurniakan cahaya mata selepas isterinya mengalami keguguran tahun lalu.
Bagaimanapun, perkahwinan dengan Suzi berdepan masalah apabila permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah untuk berkahwin lagi ditangguh pihak mahkamah sehingga mendorong ketiga-tiga isterinya turut membuat rayuan supaya membenarkan serta menyokong permohonan suami mereka.
Menurutnya, pernah seorang Datuk berstatus VIP yang ingin berpoligami berjumpanya untuk mencungkil rahsia dan petua mengekalkan keharmonian rumah tangga dan kekuatan batin.
“Tiada petua khusus selain mengamalkan makan pucuk kesum untuk kesihatan tubuh badan serta menerapkan amalan agama, termasuk bacaan surah Yasin setiap malam Jumaat secara beramai-ramai dengan keluarga untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
“Memang jarang yang gemar makan pucuk kesum, padahal ia rahsia semula jadi yang diamalkan orang lama. Pucuk ubi juga bagus tetapi tidak dapat menandingi pucuk kesum.
“Pantang paling besar dalam hidup Pok Nor ialah tidur siang secara berlebihan, terutama petang. Siang adalah masa untuk badan kita bekerja dan aktif, manakala berehat hanya pada sebelah malam,” katanya.
Pok Nor berkata, dia bahagia bersama empat isteri dan 18 anaknya.
“Paling meriah ketika menyambut hari raya apabila semua anak dan cucu berkumpul dan kami bersama-sama menyiapkan hidangan hari raya untuk meraikan tetamu.
“Saya bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan baik, boleh melihat cucu dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami empat isteri, bapa kepada 18 anak dan datuk kepada 12 cucu,” katanya.
'via Blog this'
Sepasang kekasih maut
RAGUT NYAWA... Keadaan kereta kancil yang remuk setelah bertembung dengan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut dekat Lahat yang mengorbankan dua nyawa, di sini semalam.
IPOH: “Kedua-duanya sudah lama mengenali antara satu sama lain dan keluarga juga merestui hubungan mereka. Kami sedih hubungan mereka berakhir sebegini,” kata ahli keluarga Ain Nadia Baharuddin, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, Ain Nadia dan rakan sekuliahnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Muhammad Hilmi Md Yusoff, 21, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 7, Jalan Ipoh-Lumut, di sini.
Ahli keluarga Ain yang enggan dikenali berkata, arwah berasal dari Kampung Dato Ahmad Said Tambahan, Manjoi di sini, adalah anak bongsu daripada lima beradik manakala Muhammad Hilmi berasal dari Hulu Kinta.
Dia berkata, kedua-duanya sudah berkenalan lama sebelum sama-sama mendapat peluang melanjutkan pengajian dalam bidang sama.
“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini. Kami terkilan kerana hasrat arwah untuk menukar kursus diploma diikutinya kepada ijazah sarjana muda tidak kesampaian,” katanya sedih.
Muhammad Hilmi adalah penuntut program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di UiTM Seri Iskandar manakala Ain Nadia penuntut program diploma kursus sama. Difahamkan, Ain Nadia ketika ini mengikuti program penerapan untuk menukar program diplomanya kepada sarjana muda.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Kancil dipandu Muhammad Hilmi dalam perjalanan dari Jelapang menghala ke Lumut, gagal memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, kereta Kancil terbabit tercampak kembali ke laluan menghala ke Lumut dan dilanggar sebuah kereta Honda CRV manakala lori pula terbabas ke kiri jalan,” katanya di sini, semalam.
Wan Shahruddin berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit pada mulanya menyangka hanya seorang mangsa di tempat duduk pemandu berikutan seorang lagi mangsa terperosok di bawah kereta yang remuk teruk itu.
Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke kampus UiTM Seri Iskandar.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing, petang semalam.
'via Blog this'
Wang darah RM1.7j untuk bebas
JEDDAH; Seorang amah warga Indonesia perlu membayar wang darah atau denda sebanyak dua juta riyal (RM1.7 juta) untuk mengelak hukuman mati.
Satinah yang didapati bersalah membunuh majikannya kira-kira empat tahun lalu, diberi tempoh sehingga akhir Disember ini untuk menjelaskan wang darah itu.
Keluarga mangsa sebelum ini enggan memaafkannya, sebaliknya mahukan hukuman pancung itu dijalankan segera. -Agensi
'via Blog this'
Bantah PM baru Mesir
SEORANG penunjuk perasaan yang cedera diusung oleh rakannya selepas pertempuran dengan anggota pasukan keselamatan berhampiran Dataran Tahrir di Kaherah, semalam.
KAHERAH: Penunjuk perasaan semalam meneruskan tuntutan mereka supaya majlis tentera menamatkan pemerintahannya sementara beberapa pertempuran berlaku berhampiran Dataran Tahrir, dua hari sebelum pilihan raya Parlimen.
Ratusan penunjuk perasaan berkhemah sepanjang malam di dataran itu dan sebahagian mereka berarak menuju ke bangunan Parlimen berhampiran pada awal pagi untuk membantah perlantikan perdana menteri baru oleh majlis tentera.
Majlis berkenaan kelmarin melantik Kamal Ganzouri untuk membentuk Kabinet baru. Kamal pernah menjadi perdana menteri ketika pemerintahan Hosni Mubarak.
Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu. Empat orang dilapor cedera.
Pertempuran singkat itu adalah yang pertama selepas keganasan terhenti dua hari lalu setelah 41 orang terbunuh dalam pertempuran selama beberapa hari sejak Sabtu lalu.
Sementara itu, kumpulan yang berhimpun di Dataran Tahrir melaungkan slogan mendesak Ketua Majlis Tentera, Mohamed Hussein Tantawi meletak jawatan.
Jumaat lalu, puluhan ribu rakyat Mesir mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi mendesak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera menyegerakan penyerahan kuasa kepada orang awam yang mereka percaya memerlukan pemimpin tentera berundur sekarang.
Kekacauan politik dan keganasan memburukkan keadaan ekonomi negara itu yang teruk terjejas sejak penggulingan Hosni Februari lalu.
Sehingga ini, belum ada tanda-tanda menunjukkan pemimpin tentera bersedia untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan.
Mereka sebaliknya berjanji bahawa presiden baru akan dilantik menerusi pilihan raya pada pertengahan tahun depan, lebih cepat daripada yang diumumkan sebelum ini serta melantik Kamal, 78, untuk mengetuai kerajaan sementara.
Sementara itu, majlis tentera mengumumkan setiap peringkat pengundian akan diadakan selama dua hari bagi memberi peluang semua orang mengundi.
Pengundian akan bermula esok tetapi tidak akan berakhir sehingga awal Januari kerana ia terpaksa melalui pelbagai peringkat. - AP
'via Blog this'
Maut dalam lubang digali
BUKIT KAYU HITAM: Seorang pemandu jengkaut maut apabila tebing lubang yang digalinya sedalam hampir tiga meter runtuh dan menimpanya ketika mangsa masuk ke dalam lubang berkenaan untuk memeriksa mata jenteranya yang tersangkut, pagi kelmarin.
Kejadian berhampiran Kuaters Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), di sini, berlaku kira-kira jam 10.45 pagi ketika mangsa, Abdul Hamid Ismail, 47, turun ke dalam lubang untuk memeriksa mata jengkautnya yang dipercayai tersangkut pada batang paip ketika mengorek lubang di situ.Rakannya, Supian Ariffin, 45, berkata ketika itu dia pergi mengambil tukul besi di dalam kereta kira-kira 30 meter dari lokasi mereka bekerja.“Saya nampak dia masuk ke dalam lubang itu tetapi tiba-tiba tebing runtuh lalu menimpanya. Saya cuba menarik tangannya tetapi gagal.
“Berikutan itu saya terpaksa mendapatkan bantuan anggota UPP yang berada kira-kira 200 meter dari situ, tetapi sebaik tiba di lubang berkenaan Abdul Hamid dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Teja, Changlun, dekat sini, semalam.
Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.
Isteri mangsa, Rosmah Abdullah, 50, berkata, dia tidak menyangka gurauan suaminya untuk melangsaikan semua hutang kepadanya adalah petanda dia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
'via Blog this'
Pemuda dikhuatiri lemas
Mohd Farid Mohd Yusoff, 20, dikatakan tetap berkeras dan mandi berseorangan ketika kejadian walaupun sudah dinasihatkan penduduk supaya tidak berbuat demikian kerana keadaan laut berbahaya di kawasan itu yang sebelum ini juga pernah merekodkan kes lemas.Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 4.55 petang dan menghantar enam anggota termasuk dua anggota bomba sukarela.“Usaha mencari pemuda itu sedang dilakukan dengan bantuan Unit Skuba selain anggota bomba dan penduduk. Sehingga jam 6.30 petang ini (semalam), mayat mangsa belum ditemui,” katanya.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat petang semalam adalah 1,623 orang membabitkan 397 mangsa di jajahan ini, Pasir Mas (1,148) dan Tumpat (78).
Di KUALA TERENGGANU, sehingga jam 6.30 petang semalam, 272 mangsa banjir masih ditempatkan di lima pusat pemindahan di Setiu, Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, manakala tujuh mangsa terakhir di Sekolah Padang Kemunting, Kemaman sudah dibenarkan pulang.
Seramai 77 mangsa daripada 15 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Kampung Beris Tok Ku di Setiu, 23 orang daripada tujuh keluarga di Marang, 165 daripada 37 keluarga di Kuala Terengganu dan tujuh mangsa daripada dua keluarga di Hulu Terengganu.
Di KUANTAN, cuaca panas sejak kelmarin membolehkan 11 mangsa yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Chendor, dekat Cherating sejak Khamis lalu, pulang ke rumah sebelum pusat pemindahan banjir yang menempatkan dua keluarga berkenaan ditutup semalam.
'via Blog this'
Pesta beli-belah bertukar ganas di AS
NEW YORK: Detik bermula musim belah-belah sebelum perayaan Krismas yang digelar ‘Black Friday’ di Amerika Syarikat memalit tragedi hitam selepas orang ramai bersesak merebut membeli permainan video, pembuat waffle dan tuala hingga ada yang menggunakan taktik ganas.
Satu daripada insiden paling luar biasa pada hari itu berlaku di Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di gedung Walmart menggunakan semburan lada untuk mendapatkan permainan Xbox.Walmart kelihatan mengalami hari paling buruk berbanding mana-mana peruncit ketika pelanggan menjerit, menolak dan menyiku antara satu sama lain semata-mata untuk berjimat.Insiden di seluruh negara termasuk seorang lelaki ditembak perompak di tempat letak kereta di luar San Leandro, kedai di California dan pelanggan disembur penyembur lada oleh pengawal keselamatan di sebuah kedai di Kinston, Carolina Utara.
Perebutan untuk memiliki tuala direkodkan di sebuah kedai di Michigan hingga menjadi klip sensasi YouTube. Perebutan hingga membawa kepada pergaduhan kerana merebut tuala murah juga berlaku di sebuah gedung Walmart di Oregon, Ohio.
“Mereka berebut untuk mendapatkan tuala mandi yang dijual pada harga AS$1.88 (RM6.01), sukar dipercayai,” kata Sarjan Jason Druckenmiller.
“Seorang wanita cuba berebut tuala apabila dia ditolak dari belakang menyebabkannya bertindak balas terhadap orang itu.”
Jurucakap syarikat itu, Greg Rossiter berkata, pergaduhan di beberapa kedai mencemarkan permulaan musim membeli belah Krismas di beribu gedung Walmart.
Rakaman video keganasan membeli belah memenuhi YouTube lewat kelmarin. Satu klip menunjukkan sekumpulan pelanggan merempuh dan mengoyakkan kotak telefon bimbit murah percuma untuk semua. Satu lagi menunjukkan pelanggan membanjiri kedai ketika pintu baru dibuka.
“Inikah apa yang sudah manusia capai?” tanya seseorang yang mengulas secara online. Seorang lagi berkata ‘keadaan seperti piranha sedang menyerbu makan dengan lahapnya.”
Contoh lagi saat klasik adalah klip video suasana huru hara di Arkansas untuk merebut pembuat waffle berharga AS$2 (RM6.39).
Klip yang bergoyang selama 48 saat itu menunjukkan sekumpulan pelanggan lelaki mencangkung dan menjerit, wanita dan kanak-kanak memanjat antara satu sama lain, merebut dan membaling kotak dengan seorang wanita tidak perasan seluarnya terlondeh.
“Oh Tuhan!” kedengaran seorang wanita menjerit dengan suara nyaring. Seorang penonton video menulis: “Inilah kemuncak tamadun Barat.”
Sebuah gedung Walmart di Cave Creek, Arizona, dikosongkan malam Khamis lalu selepas sebuah bungkusan mencurigakan ditemui dalam bilik rehat pekerja, kata jurucakap Maricopa County Jabatan Sherif, Christopher Hegstrom. Robot polis mengambil bungkusan itu manakala anjing pengesan bom menggeledah kedai sebelum ia dibuka.
Satu lagi rakaman video yang banyak dilihat di YouTube menunjukkan seorang lelaki tua yang cedera dipukul polis di Walmart Arizona.
Video menunjukkan lelaki itu tidak sedarkan diri dan berdarah pada muka ketika polis menggulingkannya dan mengelap darah. Ada yang membantah tindakan polis, menuduh mereka bertindak kejam dan menyuruh orang lain menelefon 911 untuk bantuan kecemasan. – Reuters
'via Blog this'
KALAU JODOH TAK KE MANA
'via Blog this'
Tukang kebun parah disondol babi hutan 60kg
KEADAAN Nordin yang cedera akibat diserang babi hutan dan dirawat di HSAH, Alor Setar semalam. |
SUNGAI PETANI - Seorang tukang kebun sekolah cedera parah akibat disondol seekor babi hutan di pekarangan rumahnya di Kampung Pokok Asam Lama, Bukit Jenun, Pendang dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi ketika mangsa, Nordin Said, 51, sedang tidur di dalam rumahnya.
Menurut adik mangsa, Jaafar Said, 37, (gambar) abangnya kemudian dikejutkan dengan bunyi bising dari halaman rumah.
"Pada mulanya dia menyangka ia bunyi kambing memijak atap zink yang diletakkan di luar rumah.
"Dia kemudian keluar dan melihat kawasan sekitar rumahnya tetapi tiba-tiba seekor babi hutan menyondolnya," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.
'via Blog this'
Banjir di empat negeri makin pulih
KOTA BHARU - Keadaan banjir semakin pulih apabila 2,329 mangsa kini masih berada di pusat pemindahan di empat buah negeri yang dilanda bencana tersebut semalam.
Menurut laman rasmi e-Banjir Kelantan, jumlah mangsa di negeri tersebut ialah 1,760 orang yang melibatkan tiga daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat berbanding 1,817 kelmarin di enam daerah.
Sehingga pukul 5 petang semalam paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih mencatat paras bahaya tetapi menurun kepada 10.17 meter berbanding 10.24 meter kelmarin.
Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan merangkumi Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, Jalan Rantau panjang-Panglima Bayu, Jalan Cabang Empat- Kampung Jambu, Tumpat dan Jalan Banggol Kulim Lokasi Dua.
Di Kuala Terengganu, hanya 561 mangsa masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semalam berbanding 761 orang kelmarin.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata, setakat pukul 5 petang, sebanyak 12 pusat pemindahan masih dibuka masing-masing tujuh di daerah Setiu, Kuala Terengganu (2), Marang (2) dan Hulu Terengganu (1).
Daerah Besut dan Kemaman telah pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa banjir telah dibenarkan pulang sejak kelmarin.
Dalam pada itu, lapan jalan raya yang ditutup semalam telah dibuka kepada semua kenderaan dengan hanya tiga laluan yang masih ditutup akibat dinaiki air.
'via Blog this'
Ancaman perogol bersiri berakhir
SUSPEK (gambar kiri) ditangkap ketika cuba merogol mangsa ke-20 dalam asrama pekerja yang terletak di dalam bangunan ini di Kota Bharu kelmarin. |
KOTA BHARU – Pemburuan polis Kelantan terhadap seorang lelaki yang dilabelkan sebagai penjenayah seks paling dikehendaki berakhir apabila dia ditangkap oleh orang awam ketika cuba merogol mangsa dalam sebuah asrama di sini kelmarin.
Gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu yang bekerja sebagai jurujual sepatutnya menjadi mangsa ke-20 lelaki tersebut.
Namun kegiatan licik suspek yang juga penganggur berusia 29 tahun itu memerangkap diri sendiri apabila suaranya dalam rumah perempuan itu menarik perhatian jiran mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang wanita yang bertugas sebagai penjaga asrama tersebut pada pukul 11.10 pagi kelmarin.
Penjaga asrama itu bersama dua lelaki yang juga pekerja di sebuah kedai datang menyiasat atas kepercayaan ada penghuni membawa masuk teman lelaki tetapi kemudian terkejut mendapati suspek cuba merogol mangsa yang diikat dengan wayar seterika.
“Dua pekerja itu kemudian menangkap lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada polis.
“Saya nampak ada kesan luka pada pipi mangsa dan tangannya diikat dengan wayar seterika,” kata wanita berusia 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut.
'via Blog this'