Pages

Tuesday, July 5, 2011

Malang model bogel


UNTUK DIJUAL...Albemarle House yang ditawarkan kepada sesiapa yang sanggup selepas bisnes wain Patricia runtuh.
UNTUK DIJUAL...Albemarle House yang ditawarkan kepada sesiapa yang sanggup selepas bisnes wain Patricia runtuh.

SEORANG bekas penari gelek dan model bogel yang popular dengan gelaran ‘janda paling kaya dalam sejarah’ selepas bercerai dengan suaminya, baru-baru ini mengisytiharkan dirinya muflis.
Selepas bercerai daripada suaminya yang kaya-raya 21 tahun lalu, Patricia Kluge mendapat pampasan kira-kira RM4.9 juta.
Foto

Sering melayan keluarga diraja, jutawan dan selebriti di pusat hiburan mewahnya di Virginia pada 1980-an sebelum menceburi bidang penghasilan wain, memfailkan permohonan muflis bersama suami ketiganya.

Apabila bercerai dengan bilionair media, John Kluge, pada 1990, Patricia, 62, dipercayai memperoleh kira-kira RM4.9 bilion.

Wang itu dibelanjakan untuk membeli rumah agak 45 bilik Abemarle House yang terletak di atas tapak seluas 1,214 hektar di Virginia.

Pernah sekali membintangi filem lucah, The Nine Acres of Nakedness, Patricia dikenali sebagai hos parti yang dihadiri golongan kaya dan ternama.

Bagaimanapun, gaya hidup wanita kelahiran Baghdad, Iraq, itu bertukar rupa apabila dia menghadapi masalah kewangan, manakala bisnes wain diusahakannya gagal mencatat keuntungan.

Dokumen permohonan status muflis Patricia menunjukkan, dia cuba menyelamatkan diri sejak tahun lalu dengan menjual pelbagai barangan yang dimiliki.

Bersama suaminya, William Moses, tanggungan hutang mereka dianggarkan bernilai RM151 juta.

Peguam pasangan itu, Kermin Rosenberg, berkata mereka kini meneruskan hidup sebagai orang muflis sambil cuba melangsaikan sedikit demi sedikit hutang masing-masing.

Patricia memperoleh hak ke atas Albemarle House dan tanah di sekitarnya selepas bercerai pada 1990.

Bekas suami Patricia, Kluge, meninggal dunia pada September tahun lalu.

Albermarle House dibangunkan dengan reka bentuk rumah Inggeris abad ke-18, bersama taman bertingkat, air pancut, kolam renang dan kabin tetamu.

Pada 1980-an, Patricia menjadikan rumah itu sebagai tempatnya melayan tetamu istimewa terdiri daripada keluarga bangsawan, tokoh korporat dan selebriti.

Tahun lalu, Patricia berkata, dia tidak lagi tinggal di Albemarle House, sebaliknya menumpukan perhatian kepada bisnes wain.

Permohonan muflis dibuat selepas rundingan dijalankan dengan tiga bank utama yang membiayai bisnes Patricia gagal mencapai persetujuan.

Kegagalan membayar hutang menyebabkan bank berkenaan menyita bisnes Patricia, selain Albermarle Houise dan sebuah lagi rumah mewah dalam pembinaan.

Rosenberg berkata, semua cubaan untuk menstruktur semula hutang Patricia tidak berjaya.

Melalui permohonan muflis itu, aset pasangan Patricia - Moses kini diletakkan di bawah kawalan pemegang amanah dilantik mahkamah.

“Agensi itu bertanggungjawab menguruskan pembayaran semula hutang kepada bank,” katanya.

Bank of America memfailkan saman ke atas Patricia di Mahkamah Daerah Charlottesville dengan mendakwa wanita terbabit mengabaikan tiga pinjaman bernilai lebih RM69 juta untuk membiayai rumah serta tapak berkenaan.

Pasangan itu turut kehilangan hak ke atas syarikat Kluge Estate Winery & Vineyard apabila gagal membayar semula pinjaman dari Farm Credit Bank bernilai RM105 juta yang merudum ketika ekonomi dunia lembap.

Tokoh perniagaan terkemuka, Donald Trump, membeli sebahagian besar bisnes Patricia pada April dan mendakwa mahu mengendalikan perusahaan berkenaan.

Satu lagi bank, Sonabank, mengambil semula anak syarikat Vineyard Estates pada harga RM14.7 juta dalam satu lelongan awam.

Untuk mengumpul wang, tahun lalu Patricia pernah menyenaraikan pelbagai perabot antik dan barangan lain untuk dilelong.

Lelongan pada Jun tahun lalu membolehkan mereka mendapat kira-kira RM45.6 juta.
Patricia turut menjual kebanyakan barang kemasnya pada harga RM15 juta sebelum ini. - DM
myMetro | Malang model bogel

Charlene kahwin paksa


PUTERA Albert kelihatan tenang manakala Puteri Charlene menitiskan air mata di hari perkahwinan mereka di Monaco, kelmarin.
PUTERA Albert kelihatan tenang manakala Puteri Charlene menitiskan air mata di hari perkahwinan mereka di Monaco, kelmarin.

MONACO: Puteri Monaco yang baru, Puteri Charlene, dikatakan tiga kali cuba melarikan diri kembali ke negaranya di Afrika Selatan kerana menolak ‘perkahwinan yang diatur’ dengan Putera Albert.
Kali pertama Puteri Charlene (atau nama sebenarnya Chalene Wittstock) 33, cuba melarikan diri ketika berada di Paris pada Mei lalu untuk mencuba baju pengantinnya.

Menurut sumber, beliau melarikan diri dan bersembunyi di kedutaan negaranya yang terletak Paris. Dakwaan terbabit disiarkan akhbar Perancis, Le Journal du Dimanche, ternyata agak mengejutkan kerana Charlene tetap meneruskan perkahwinannya pada Ahad lalu.
Akhbar itu turut melaporkan, cubaan kedua Charlene dibuat pada bulan sama ketika Grand Prix Formula Satu Monaco berlangsung.

Menurut akhbar itu lagi, pihak berkuasa istana merampas pasport Charlene ketika beliau dalam perjalanan ke lapangan terbang Nice untuk menggunakan perkhidmatan helikopter ke Paris.

Dia kemudian dipujuk untuk meneruskan perkahwinannya.
Akhbar Le Journal du Dimanche melaporkan, beberapa sumber mengesahkan bahawa persetujuan dicapai di antara bakal suami dan isteri itu. Namun begitu, Charlene dikatakan menangis teresak-esak sambil diperhatikan dengan tenang oleh suaminyanya yang berusia 53 tahun itu.

Sumber berkata, istana Monaco berharap, perkahwinan yang gilang gemilang itu - dihadiri oleh ramai orang terkenal dan kerabat diraja Eropah - akan menenggelamkan laporan mengenai anak luar nikah Albert.
Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan diraja itu menjadi bahan ketawa kerana menggunakan ciri-ciri yang keterlaluan, seperti kek perkahwinan terlalu tinggi sehingga lebih tinggi daripada pengantin, serta lantai tarian yang dilengkapi cermin. - DM
myMetro | Charlene kahwin paksa

Rais menang kes saman penulis blog





AMIZUDIN (kanan) bersama peguamnya hadir di Mahkamah Jalan Duta, semalam.
AMIZUDIN (kanan) bersama peguamnya hadir di Mahkamah Jalan Duta, semalam.

Hakim putuskan ahli PKR bersalah papar artikel fitnah

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam menang saman fitnah terhadap seorang penulis blog berhubung artikel memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan penulis blog, Amizudin Ahmat, 42, didapati bersalah memfitnah Rais.
“Selepas mendengar keterangan dan hujah peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saya tidak mempunyai pilihan selain mendapati defendan bersalah melakukan fitnah,” katanya.

Hakim Zabariah menetapkan hari ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung nilai ganti rugi.

Pada 31 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin, sharpshooterblogger.blogspot.com berserta gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lalu.

Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata seluruh artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat memfitnahnya dan perkataan dalam artikel bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.
Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu menafikan tuduhan itu selepas penulis blog menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Masnah Rais, memberitahu beliau mempunyai keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata, beliau membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan nama, keluarganya dan juga reputasi kerajaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada isteri dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya. – BERNAMA Berita Harian Online | Rais menang kes saman penulis blog

Remaja hilang ditemui kena kerat, bakar


Nurrahayu
Nurrahayu


JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak tiga minggu lalu di Pekan Seri Alam di sini, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badan dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai dan Ulu Tiram, petang kelmarin.

Polis menemui anggota badan itu kira-kira jam 5 petang di sebuah perkuburan Hindu di Masai dan ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, dipercayai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti dekat Skudai, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16.
Malah, polis menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari sebuah tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di Pekan Seri Alam, selepas dihantar pulang teman lelakinya kira-kira jam 2 pagi pada 14 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai mangsa dibunuh dengan anggota badan dikerat dan dibakar.

Katanya, polis menemui serpihan tulang terbakar serta beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan mangsa.

"Sehubungan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun mulai hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit bersalah," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.
Sabtu lalu, media melaporkan kehilangan Nurrahayu secara misteri selepas dihantar pulang teman lelakinya. Namun, kakaknya, Wayaaliasanti, 19, mendedahkan mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula, tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit. Berita Harian Online | Remaja hilang ditemui kena kerat, bakar

Mladic buat kecoh di hadapan hakim


PENDUDUK Sarajevo menonton prosiding mahkamah jenayah antarabangsa terhadap Mladic.
PENDUDUK Sarajevo menonton prosiding mahkamah jenayah antarabangsa terhadap Mladic.

Bekas ketua gerila menghina mahkamah

THE HAGUE: Bekas jeneral gerila Serb Bosnia, Ratko Mladic mencetuskan kekecohan di tribunal jenayah perang Yugoslavia semalam apabila berulang kali memaki ke arah hakim, enggan akur kepada perintah mereka dan tidak mahu menyatakan pengakuan terhadap 11 dakwaan ke atasnya menyebabkan ketua hakim mengusirnya daripada sesi keterangan.
Selepas sesi ditangguhkan seketika sehingga Mladic keluar dari bilik perbicaraan, ketua hakim, Alphons Orie menyambung prosiding dan secara rasmi memberi pengakuan tidak bersalah bagi pihak Mladic sejajar peraturan jika tertuduh kes enggan membuat pengakuan.
“Kamu mahu paksa hujah pembelaan untuk saya, mahkamah jenis apakah ini?” jerit Mladic ke arah Orie, sejurus pengawal mengiringi Mladic keluar dari mahkamah.

Mladic, 69, dituduh merancang kekejaman terburuk gerila Serb ketika perang di Bosnia pada 1992 hingga 1995 yang mengorbankan kira-kira 100,000 penduduk.

Beliau dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika pembunuhan 8,000 lelaki dan budak lelaki Muslim di wilayah Srebrenica, pembunuhan paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Mladic sengaja mengganggu dan menyampuk prosiding pada kemunculan keduanya di mahkamah itu sejak ekstradisi dari Serbia, sebulan lalu apabila ditahan di sebuah perkampungan luar Belgrade selepas 16 tahun diburu.
Beliau memakai topi dan mengangguk kepada orang awam yang hadir meskipun diarah tidak berbuat demikian oleh Orie.

Tidak mempedulikan ketua hakim, Mladic berkata dia hanya seorang lelaki tua dan memakai topi itu kerana kepalanya sejuk.

Mladic mengancam memboikot sesi berkenaan kerana pegawai mahkamah belum melantik peguam Serbia dan Russia yang mahu mewakilinya. Pada masa ini, beliau diwakili peguam yang dilantik mahkamah, Aleksander Aleksic.

“Kamu mahu memaksa saya menerima sesuatu perkara yang mustahil, saya tidak mahu peguam ini,” katanya pada awal perbicaraan.

Orie memberitahu Mladic, mahkamah memegang hak untuk meluluskan dua peguam itu.

Seorang peguam yang dikehendaki Mladic ialah Milos Saljic yang menyifatkan peri laku Mladic di mahkamah menunjukkan tertuduh itu tidak layak untuk dibicarakan.

Beratus-ratus penduduk Sarajevo berhimpun di medan utama di ibu negara Bosnia bagi menonton siaran secara langsung prosiding itu sambil bersorak dan menjerit ‘penjahat kejam sudah tiada’ ketika Mladic dibawa keluar bilik mahkamah. – AP Berita Harian Online | Mladic buat kecoh di hadapan hakim

Tentera akur wakil rakyat mampu selesai isu negara


POSTER Abhisit diturunkan selepas beliau tewas kepada  Yingluck pada pilihan raya umum Thailand, Ahad lalu.
POSTER Abhisit diturunkan selepas beliau tewas kepada Yingluck pada pilihan raya umum Thailand, Ahad lalu.


BANGKOK: Tentera Thailand menerima kemenangan besar Parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra, adik kepada bekas Perdana Menteri yang kini tinggal dalam buangan Thaksin Shinawatra dan memberi isyarat bahawa keadaan akan semakin stabil di negara itu sejak rampasan kuasa lima tahun lalu.

Menteri Pertahanan yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon, berkata beliau sudah berbincang dengan pemimpin tentera dan mereka bersetuju membenarkan ahli politik menyelesaikan isu kepemimpinan negara itu.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa tentera tidak akan melanggar undang-undang. Saya mengadakan perbincangan dengan pemimpin tentera dan kami bersetuju untuk tidak terbabit.
“Kita wajar membiarkan ahli politik yang terpilih melaksanakan tugas. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Rakyat sudah menyatakan pilihan mereka, jadi tentera tidak boleh berbuat apa-apa dan kami perlu menerimanya,” katanya.

Penganalisis politik berkata kemenangan dengan majoriti kecil boleh mencetuskan satu lagi bantahan jalanan atau campur tangan tentera, tetapi kemenangan besar akan menyukarkan pemimpin tentera untuk bertindak merampas kuasa.

Parti Puea Thai berjaya memperoleh majoriti mutlak apabila menang 264 daripada 500 kerusi parlimen yang dipertandingkan, satu pencapaian yang menyukarkan lawan Thaksin untuk menghalang Yingluck daripada menjadi Perdana Menteri wanita pertama Thailand.

“Peluang untuk menyekat Parti Puea Thai amat terhad. Ramalan keadaan tidak stabil yang digembar-gemburkan sebelum ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan. Tentera akan lebih pragmatik sekarang,” kata penganalisis dari agensi penyelidikan risiko politik Asia Tenggara Eurasia Group, Roberto Harrera-Lim.
Keputusan pilihan raya kali ini dilihat sebagai satu ‘tamparan’ kepada pendukung institusi diraja di Bangkok yang disokong Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva selain sokongan besar kepada dasar diperkenalkan Thaksin yang dianggap wira penduduk miskin ketika menjadi Perdana Menteri pada 2001 dan 2005. – AFP/Reuters Berita Harian Online | Tentera akur wakil rakyat mampu selesai isu negara

Yingluck tubuh kerajaan gabungan


pix_gal0
Lima parti bekerjasama tadbir negara, Abhisit lepas jawatan ketua Demokrat

BANGKOK: Parti Puea Thai yang memenangi majoriti kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum Ahad lalu, mengumumkan akan menubuhkan kerajaan gabungan dengan empat parti kecil yang lain.
Keseluruhannya lima parti itu akan menguasai 299 daripada 500 kerusi di Parlimen, kata pemimpin Puea Thai, Yingluck Shinawatra yang akan muncul sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand.
“Semua lima parti sudah bersetuju untuk bekerjasama mentadbir negara dan menyelesaikan masalah rakyat,” kata ahli perniagaan berusia 44 tahun itu yang dilihat sebagai proksi kepada abangnya, Thaksin yang digulingkan sebagai Perdana Menteri pada 2006 oleh tentera.

“Isu paling utama ialah bagaimana untuk menyatukan negara,” kata Yingluck pada sidang akhbar semalam.

Parti Puea Thai – yang digerakkan oleh Thaksin dari Dubai di mana beliau hidup dalam buangan untuk mengelak hukuman penjara di Thailand – memenangi 265 kerusi selepas semua undi dikira.

Jumlah itu melebihi 159 kerusi yang dimenangi parti Demokrat dipimpin Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mengaku kalah selepas dua setengah tahun berkuasa.
Walaupun menguasai majoriti kerusi di parlimen, Puea Thai bertindak pantas menubuhkan kerajaan gabungan untuk melindungi majoritinya jika berlaku ahli Parlimen yang keluar parti atau dibatalkan kemenangannya.

Empat parti lain dalam gabungan itu ialah Chart Thai Pattana, Chart Pattana Pheupandin, Palangchon dan Mahachon.

Sementara itu, Abhisit meletak jawatan sebagai Ketua Parti Demokrat berkuat kuasa serta-merta.

“Sebagai pemimpin parti Demokrat semasa pilihan raya lalu, saya harus bertanggung jawab terhadap kekalahan ini dan sebagai pemimpin yang baik saya harus meletak jawatan,” kata Abhisit memberitahu sidang akhbar.

“Parti Demokrat akan mengadakan perhimpunan agung dalam 90 hari untuk memilih ketua baru,” katanya. – AFP/Agensi
  Berita Harian Online | Yingluck tubuh kerajaan gabungan

Rai cerai jadi trend di Jepun






MIKI menunjukkan gaun perceraian yang direka khas pada upacara perpisahan dengan Tomoharu.
MIKI menunjukkan gaun perceraian yang direka khas pada upacara perpisahan dengan Tomoharu.


Fenomena selepas gempa, tsunami

TOKYO: Upacara meraikan perceraian semakin meningkat di Jepun selepas gempa bumi kuat dan tsunami melanda negara itu Mac lalu, disusuli krisis nuklear yang dikatakan menjadi penyebab pasangan tidak gembira mula menilai semula kehidupan mereka.
Upacara yang dibuat bagi menandakan permulaan perubahan status pasangan kepada kehidupan solo, menelan belanja 55,000 yen (RM2,072), termasuk hidangan bufet dan upacara menghancurkan cincin perkahwinan menggunakan tukul kecil.
Tomoharu Saito meraikan upacara itu di Tokyo bersama isteri, Miki beberapa hari sebelum mereka dijadual bercerai berkata, upacara memecahkan cincin membuat dia lega.

“Saya tidak sangka dapat menghancurkan cincin dengan mudah, tetapi saya dapat melakukannya. Saya terkejut pada mulanya, tetapi ia membantu saya memulakan hidup baru dengan fikiran terbuka,” katanya.

Upacara itu juga termasuk pembelian ‘pakaian cerai’. Bagi upacara itu, Miki memilih sehelai gaun musim panas berwarna kuning bunga daisy untuk upacara itu. Di Jepun, warna ‘daisy’ dipercayai melambangkan ‘hubungan baik atau platonik’.

“Mereka yang mahu bercerai secara baik akan melakukan upacara ini. Selepas gempa bumi, keinginan saya untuk kembali tinggal bersama ibu bapa semakin kuat dan kerana itu saya memilih untuk bercerai dengan Tomoharu,” katanya.
Rakan pasangan itu, Hiroko Tada hadir pada upacara perkahwinan dan perceraian pasangan Saito.

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana bercerai secara baik. Saya tidak pernah membayangkan ia akan berakhir begini kerana saya juga hadir ketika perkahwinan mereka dulu,” katanya.

Pereka pakaian, Akuiue Go berkata, beliau mencipta pakaian yang memberi penekanan kepada bahagian belakang, agar lebih cantik. – Reuters
Berita Harian Online | Rai cerai jadi trend di Jepun

Empat jurugambar polis beri keterangan


SHAH ALAM - Hari pertama perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menyaksikan empat jurugambar polis dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Mereka ialah Detektif Koperal Mokhtar Hussain dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Lans Koperal Abdul Aziz Ahmad dan Detektif Sarjan Mhd. Rasdi Mhd. Safien yang kedua-duanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat serta Detektif Koperal K. Velamal dari Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Berdasarkan keterangan keempat-empat saksi itu, sebanyak 168 keping gambar telah dirakam di beberapa lokasi kejadian pembunuhan kejam itu termasuk tempat serpihan tulang-tulang dibuang dipercayai milik empat mangsa.

Antara lokasi rakaman gambar itu termasuk di Sungai Panchau yang terletak di Jalan Morib dan Sungai Kanchong, Banting.

Semua 168 keping gambar itu dikemukakan di mahkamah sebagai eksibit ketika sesi soal jawab di peringkat pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Terdahulu, saksi pendakwaan ketiga, Mhd. Rasdi memberitahu, dia mengambil gambar di tiga lokasi iaitu sebanyak 73 keping gambar dirakam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Sungai Panchau (42 keping) dan tali air yang terletak di Pekan Banting (23 keping).

Semua gambar itu dirakam pada 12 September 2010.

Kosmo! Online - Negara

Bukti peguam rancang bunuh Sosilawati


PATHMANABHAN (kanan), Matan (depan), Khatavarayan (kanan) dan Thilaiyagan (belakang) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM - Pihak pendakwaan semalam mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya berdasarkan penemuan DNA milik mangsa-mangsa pada barang-barang kes.

Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank, Noorhisham Mohammad pada kayu kriket dan DNA peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Dua pekerja ladang Pathmanabhan, U. Suresh dan T. Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R. Khatavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa.

Kemuncak keterangan itu, Suresh dan Sarawanan akan memberi keterangan mengenai peranan setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T. Thilaiyagan membunuh setiap mangsa. Suresh dan Sarawanan sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir. Ishak dalam ucapannya memberitahu, antara saksi yang akan memberi keterangan termasuk Erni Dekritawati Buhari, anak Sosilawati. Erni akan memberi keterangan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada Sosilawati bertulis: "Jangan bagi Kamal masuk rumah, jika datang hubungi Bisah dia ambil gambar mak."

Kosmo! Online - Negara

Rais menang saman fitnah ke atas blogger


KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam memenangi saman fitnah terhadap seorang penulis blog berhubung artikel memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof memutuskan penulis blog, Amizudin Ahmat, 42, (gambar kecil) didapati bersalah memfitnah.

"Selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saya tidak mempunyai pilihan selain mendapati defendan bersalah melakukan fitnah," katanya.

Hakim Zabariah menetapkan hari ini untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung nilai ganti rugi.

Pada 31 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga ahli jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin,sharpshooterblogger.blogspot.com. berserta dengan gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.

Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata, seluruh artikel dalam bahasa Malaysia itu adalah berniat jahat dan memfitnahnya serta perkataan dalam artikel itu bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Rais, yang juga Ahli Parlimen Jelebu menafikan tuduhan itu selepas penulis blog itu menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya Datin Seri Masnah Rais, memberitahu pemberita bahawa beliau sentiasa mempunyai sepenuh keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata, beliau telah membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya, keluarganya dan juga reputasi kerajaan.

Kosmo! Online - Negara

Penulis blog fitnah Cowell minta maaf


LONDON - Seorang penulis blog yang mendakwa syarikat penerbitan milik selebriti Simon Cowell mengatur kemenangan dalam program realiti televisyen, Britain's Got Talent memohon maaf selepas identitinya diketahui polis, lapor sebuah akhbar semalam.

Penulis blog berusia 52 tahun itu yang menghadapi masalah kesihatan mental mengaku dakwaannya itu adalah satu penipuan.

Dalam permohonan maafnya, dia menyatakan terlalu taksub dengan program mencungkil bakat baharu yang diterbitkan oleh stesen televisyen ITV itu.

Dia turut menganggap jutaan peminat Britain's Got Talent bodoh kerana menerima apa sahaja komen Cowell dalam program realiti tersebut.

Dalam blog yang tidak disertakan nama penulisnya dan kononnya ditulis oleh eksekutif syarikat rakaman Sony BMG, lelaki berkenaan mendakwa syarikat produksi Cowell, Syco, mahu menjadikan budak lelaki berusia 12 tahun, Ronan Parke sebagai pemenang.

Namun, Parke hanya menduduki tempat kedua dalam program yang dimenangi oleh Jai McDowall pada bulan lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Astora Jabat sudah jangka kalah



ASTORA JABAT


KOTA BHARU - Bekas wartawan Utusan Malaysia, Asae Toramae atau lebih dikenali sebagai Astora Jabat kalah dalam pilihan raya umum Thailand yang menyaksikan Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva tumbang.

Beliau sudah menjangkakan kekalahan tersebut kerana pencalonannya bagi kawasan Parlimen Ruso/Jabat iaitu kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat di selatan Thailand hanyalah satu permulaan baginya menceburi dunia politik.

"Saya sudah jangka akan kalah kerana menjadi orang terakhir mendaftar sehari sebelum tamat pencalonan.

"Tetapi saya tidak anggap kalah kerana saya seorang yang tidak akan mengalah dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau yang mewakili Parti Harapan Baru (NAP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Jeneral Chawalit Yongchaiyud, tewas dalam pertembungan tujuh penjuru.

Astora menjelaskan, banyak faktor menyebabkan kekalahan antaranya kerana beliau tidak dapat berkempen lebih lama.

Beliau yang berasal dari Ruso masih belum cukup dikenali masyarakat tempatan.

"Masyarakat belum cukup mengenali saya kerana selama 35 tahun saya berada di luar negara seperti Mesir, Maghribi dan Malaysia.

"Saya anggap ini pengalaman baharu yang bagus dan ia percubaan saya untuk mengenali dunia politik di sini,'' katanya.

Kosmo! Online - Dunia

Parti adik Thaksin akan bentuk kerajaan campuran

YINGLUCK SHINAWATRA (kanan) disambut oleh beberapa penyokongnya sebelum dia mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin empat parti politik di sebuah hotel di Bangkok semalam.


BANGKOK - Parti Pheu Thai akan membentuk kerajaan campuran dengan empat parti politik lain bagi memastikan kerajaan stabil, kata calon perdana menteri, Yingluck Shinawatra daripada parti berkenaan semalam.

Pheu Thai yang memenangi 265 kerusi pada pilihan raya umum kelmarin, akan bekerjasama dengan Chart Thai Pattana yang mendapat 19 kerusi parlimen, Chart Pattana Pueu Pandin (tujuh kerusi), Phalang Chon (tujuh kerusi) dan Mahachon (satu kerusi).

"Dengan 299 kerusi, kerajaan campuran stabil sepenuhnya untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan parti-parti itu di sini semalam.

Pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Wichaidit, penasihat Chart Thai Pattana, Mejar Jeneral Sanan Kajornprasart, pemimpin parti Chart Pattana Puea Pandin, Wannarat Charnnukul dan pemimpin Phalang Chon, Chao Maneewong hadir pada mesyuarat itu.

Yingluck berkata, agenda segera kerajaan baharu ialah untuk bekerja ke arah mencapai penyatuan rakyat dan menangani masalah ekonomi khasnya mengenai kenaikan harga barang dan komoditi.

"Kita juga akan memulihkan hubungan dua hala dengan negara jiran kita," katanya yang jelas merujuk pada hubungan Thai-Kemboja.

Hubungan kedua-dua negara agak renggang kebelakangan ini akibat konflik sempadan.

Beliau berkata, kesemua lima parti komponen berkongssi aspirasi yang sama untuk membawa negara ini ke mercu pembangunan baharu dan kestabilan untuk manfaat rakyat.

Mengikut Perlembagaan Thai, Parlimen perlu mengadakan sesi sidang pertamanya dalam masa 30 hari dari hari pilihan raya dan kemudian akan memilih perdana menteri menerusi proses pengundian di parlimen sebelum kerajaan baharu boleh dibentuk. - Bernama

Kosmo! Online - Dunia

Mayat Nurrahayu ditemui dalam keadaan menyayat hati



SEORANG penduduk menunjukkan tempat cebisan mayat Nurrahayu ditemui di tanah perkuburan Hindu, Masai, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang remaja berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mangsa dibunuh dan dibakar sebanyak dua kali sebelum cebisan mayatnya ditemui di Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini kelmarin.

Mayat mangsa, Nurrahayu Qomarodin (gambar kecil) yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu oleh ibu bapanya dipercayai dibakar di dua lokasi berasingan iaitu Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini yang jarak di antara kedua-duanya kira-kira 20 kilometer bagi menghilangkan bukti.

Keadaan mayat mangsa yang merupakan anak seorang pengusaha kantin di sebuah kuari di Masai ditemui hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan di antara pukul 4 hingga 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan saksi, mangsa dikatakan dilarikan oleh seorang lelaki pada hari kejadian dan sejak itu tidak pulang ke rumah keluarganya.

"Pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapat maklumat daripada orang awam yang memberitahu menjumpai cebisan rambut, baju dan selipar di sebuah tanah perkuburan Hindu, Masai.

"Berdasarkan siasatan, kesemua barang bukti konsisten dengan kes kehilangan mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Roslan, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

Kosmo! Online - Negara

Diselamatkan selepas lapan jam terperangkap



DUA anggota bomba melihat seorang rakan mereka menurunkan remaja perempuan dari roller-coaster di Strathclyde Country Park dekat Glasgow, Scotland kelmarin.


GLASGOW, Scotland - Sekumpulan penumpang terperangkap selama lapan jam tergantung setinggi 18.28 meter selepas roller-coaster yang mereka naiki rosak di taman tema Strathclyde Country Park dekat sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Seramai sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dibawa turun oleh beberapa anggota jabatan bomba dengan menggunakan tali.

Kumpulan itu terperangkap sejak pukul 4.30 petang dengan penumpang pertama dibawa turun pada pukul 8.30 malam.

Beberapa penumpang terperangkap lebih lapan jam dengan mangsa paling akhir diselamatkan pada pukul 12.45 pagi tadi.

Namun, tiada seorang pun penumpang yang cedera dalam kejadian itu.

Pergerakan roller-coaster itu terhenti selepas pihak pengurusan mendapati ia mengalami masalah teknikal. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Berhenti kerja kerana dipaksa pakai mekap



LONDON - Seorang gadis berusia 24 tahun, Melanie Stark (gambar) meletakkan jawatan sebagai pembantu jualan di gedung beli-belah Harrods di Knightsbridge kerana dia dipaksa memakai mekap jika mahu terus bekerja, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, dia diarah pulang dari gedung tersebut selepas tidak mematuhi peraturan yang mahu pekerja wanita memakai mekap.

"Saya mengetahui bentuk wajah saya jika saya memakai mekap. Saya pernah menggunakan mekap suatu masa dahulu walaupun saya tidak memakai alat solek di tempat kerja.

"Namun, saya tidak tahu kenapa pada zaman ini, Harrods boleh mengambil hak saya untuk memilih memakai mekap atau tidak," kata Melanie.

Bagaimanapun, seorang jurucakap Harrods menyatakan semua kakitangannya tertakluk pada peraturan pakaian semasa mereka menandatangni perjanjian untuk bekerja dengan gedung itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Paip gas ke Israel meletup

SEBATANG paip gas ke Israel meletup di Bir al-Abd, Mesir semalam.


BAITULMUQADDIS - Seorang pegawai Israel semalam menolak kebimbangan bahawa bekalan bahan api terputus selepas satu serangan bom ke atas paip gas Mesir menyebabkan penyaluran gas ke negara Yahudi berkenaan terhenti untuk kali ketiga sejak Februari lalu.

"Pada masa ini tiada bekalan gas dari Mesir," kata pegawai itu yang merupakan jurucakap Kementerian Infrastruktur Nasional, Maya Etzioni.

"Bagaimanapun, kami (Israel) sentiasa bersedia dengan penyelesaian alternatif, bekalan alternatif. Terdapat gas dari Yam Thetis," katanya yang merujuk kepada bekalan gas di pesisir pantai Israel.

Mesir menyalurkan sekitar 40 peratus bekalan gas asli Israel yang digunakan untuk menghasilkan kuasa elektrik.

Selepas serangan pada Februari lalu, Israel membenarkan stesen jana kuasa elektrik menggunakan petrol atau arang batu sebagai bahan api untuk mengelakkan bekalan elektrik terganggu.

Pasukan keselamatan Israel menyatakan, pihaknya menerima maklumat perisikan sekitar sepuluh hari lalu bahawa sebuah kumpulan jihad merancang untuk menyerang saluran paip di Semenanjung Sinai Mesir.

Namun, ia memberitahu, masih terlalu awal untuk menuding jari ke arah kumpulan berkenaan bertanggungjawab melakukan serangan semalam itu. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Pasukan khas Barat mahu bunuh Gaddafi

MOSCOW - Presiden Persekutuan Catur Dunia (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov semalam menyatakan Barat menempatkan pasukan khas di ibu kota Libya, Tripoli untuk membunuh pemimpin berkenaan.

Ilyumzhinov berkata, maklumat itu disampaikan kepadanya oleh anak lelaki sulung Gaddafi, Muhammad Gaddafi semasa pertemuan mereka di Tripoli.

"Saya menemui Ketua Jawatankuasa Olimpik Libya, Muhammad Gaddafi, yang memberitahu saya bahawa beberapa kumpulan pasukan khas dari Barat dihantar ke ibu kota Libya untuk membunuh bapanya," kata Ilyumzhinov dalam wawancara bersama agensi berita Interfax.

"Menurut Muhammad, tiga kumpulan pasukan khas kini berada di Tripoli. Beliau berpendapat Barat serius mahu menyingkirkan bapanya," tambah Ilyumzhinov.

Kata Ilyumzhinov, Muhammad turut menegaskan bahawa Gaddafi tidak akan meninggalkan Libya.

"Ayah saya (Gadaffi) mencintai negaranya lebih daripada nyawanya," Ilyumzhinov memetik anak lelaki pemimpin Libya itu sebagai berkata.

Pada bulan lalu, stesen televisyen Rusia menyiarkan Ilyumzhinov bermain catur dengan Gaddafi dalam satu lawatannya ke Tripoli.

Beliau menyatakan melawat negara Afrika Utara itu kerana urusannya sebagai Presiden FIDE. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Penggodam hantar mesej Obama mati dibunuh



WASHINGTON - Akaun Twitter stesen FoxNewspolitics milik syarikat penyiaran Fox digodam semalam dengan menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) sudah mati ditembak.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, laporan mengenai kematian Obama adalah tidak benar kerana presiden berkenaan menghabiskan masa bersama keluarganya semalam.

"Para penggodam telah menghantar beberapa mesej yang menyatakan Obama dibunuh," kata kenyataan daripada syarikat Fox.

Menurut syarikat itu, penggodaman itu sedang disiasat. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia