Pages

Monday, May 2, 2016

Wanita 100 tahun jadi model iklan fesyen


GILBERT dipilih menjadi model iklan bagi butik Harvey Nichols sempena meraikan ulang tahun majalah Vogue yang ke-100.


LONDON – Sebuah butik terkemuka di sini memilih seorang model berusia 100 tahun untuk memperagakan koleksi pakaiannya di dalam iklan majalah terkemuka, Vogue baru-baru ini.
Butik Harvey Nichols itu memilih warga emas tersebut, Bo Gilbert sempena meraikan ulang tahun bersejarah majalah berkenaan yang ke-100 pada tahun ini.
Ketika sesi penggambaran dijalankan, Gilbert berjaya membuktikan golongan tua masih boleh bergaya tanpa rasa takut pada usia lanjut serta menangani masalah penuaan dalam industri fesyen.
Gambar itu dirakam oleh jurugambar, Phil Poynter yang bekerja dengan butik-butik fesyen terkenal seperti Prada, Louis Vuitton dan Lacoste.
Gilbert dilihat sangat bergaya apabila dia mengenakan kot berwarna merah jambu, seluar berwarna putih dan busana Victoria Beckham serta memakai cermin mata Valentino.
“Saya agak terkejut selepas melihat gambar-gambar yang dirakam itu kerana saya kelihatan sangat cantik walaupun telah tua,” kata Gilbert.
Selain itu, Gilbert akan beraksi dalam satu filem pendek yang dihasilkan butik tersebut dan kempen iklannya turut dipaparkan dalam keluaran bulan Jun bagi Vogue edisi Britain.
Pada April lalu, majalah Vogue edisi Britain memilih penyanyi terkenal, Rihanna sebagai penghias muka depan mereka. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz47UIm9skW 
Hakcipta terpelihara 

Pulangkan buku selepas 67 tahun


AUCKLAND 1 Mei – Seorang wanita di New Zealand terlepas daripada dikenakan denda sebanyak AS$17,000 (RM66,538) gara-gara lewat memulangkan buku yang dipinjam daripada sebuah perpustakaan di sini selama 67 tahun.
Perpustakaan Awam Epson berkongsikan rekod yang menunjukkan tarikh asal seorang pelanggannya meminjam sebuah buku sebelum dipulangkan semula selepas 67 tahun. AGENSI
Menurut kenyataan Perpustakaan Awam Epsom, wanita yang dirahsiakan namanya itu turut memulangkan kad asal pinjaman buku berkenaan yang tertera tarikh 17 Disember 1948.
“Seorang pelanggan datang ke perpustakaan dan memulangkan buku yang dipinjam sejak 67 tahun lalu.
“Dia mengaku tidak sengaja membawa buku tersebut apabila berpindah ke Auckland bersama keluarganya,” jelas kenya­taan itu.
Staf perpustakaan, Zoe Cornelius berkata, buku tersebut berada dalam keadaan baik apabila dipulangkan dan wanita berkenaan tidak dikenakan sebarang denda lewat memandang­kan dia meminjam buku terbabit ketika masih kanak-kanak.
“Kanak-kanak tidak tertakluk pada peraturan tersebut, jadi dia terlepas daripada denda.
“Dia berasa malu kerana lewat memulangkan buku ber­kenaan, tetapi turut berasa gembira kerana telah banyak kali membaca bahan bacaan tersebut sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pulangkan-buku-selepas-67-tahun-1.304530#sthash.48JIwrCW.dpuf

Mayat sami disadur dengan emas

In this photo taken March 16, 2016, a man takes a photo of the

gambar bertarikh 16 Mac lalu memaparkan jasad Fu Hou yang disadur dengan lapisan emas di Quanzhou, tenggara China. – AGENSI
FUJIAN 1 Mei – Seorang sami me­nerima penghormatan daripada sebuah tokong di Quanzhou, tenggara China apabila mayatnya yang telah diawet disadur dengan emas, baru-baru ini.
Menurut laman Daily Mirror, Fu Hou meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 94 tahun.
Jasadnya sebelum itu telah diawet dan disimpan di dalam sebuah bekas besar.
Hou dikatakan menerima penghormatan tersebut kerana telah menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Tokong Chongfu selepas mula menjadi sami pada umur 17 tahun.
Sebaik sahaja disahkan mati, mayatnya terus dibersihkan dan diawet oleh dua pakar sebelum dimasukkan ke dalam bekas besar itu dalam keadaan bertafakur.
Akhbar The Telegraph melaporkan, upacara ‘pengebumian sementara’ itu dibuat mengikut agama Buddha sepenuhnya.
Selepas beberapa tahun ‘di­semadikan’ dalam bekas besar itu, jasad Hou yang masih berada dalam keadaan yang baik itu dikeluarkan.
Proses menyadur mayatnya dengan lapisan emas dimulakan dengan membersihkan jasad Hou dengan alkohol sebelum tubuhnya dibalut dengan beberapa helaian kain.
Jasad Hu seterusnya disapu dengan sejenis syelek khas sebelum disadur dengan emas di Tokong Puzhao sebagai penghormatan terhadap sami berkenaan.
Keseluruhan proses tersebut mengambil masa tiga bulan dan ja­sad Hou akan dipamerkan di Tokong Chongfu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mayat-sami-disadur-dengan-emas-1.304555#sthash.CNFC2iek.dpuf

Sunday, April 24, 2016

Kerbau RM47.8 juta


Johannesburg: Seekor kerbau dinamakan Horizon dilaporkan sebagai paling berharga di dunia apabila bernilai £8.5 juta (RM47.8 juta) disebabkan tanduknya yang berukuran 142 sentimeter.

Horizon sungguh berharga sehingga penjualan milikan sebanyak 25 peratus haiwan itu meraih lebih £2.1 juta (RM11.8 juta) kepada ahli perniagaan Afrika Selatan, Peter Bellingham, pada Februari lalu.

Horizon bagaikan lubuk emas dengan nilai tinggi terletak pada tanduknya yang luar biasa dan gen yang sempurna menyebabkannya menjadi buruan golongan penternak untuk membiakkan kerbau seumpamanya.

Pemilik taman rizab sering membeli kerbau untuk menarik pelancong dan Horizon memberi peluang untuk mereka membiakkan haiwan yang paling besar dan hebat.

Aktiviti memburu juga meraih keuntungan tinggi di Afrika, bererti kerbau dengan tanduk sehebat Horizon pasti menarik minat pemburu paling berpengalaman yang mahukan cabaran.

Horizon membiakkan anak berkualiti tinggi seterusnya nilai kerbau betina yang mengawan dengannya turut bertambah apabila kerbau bunting biasa bernilai £38,000 (RM214,000) manakala yang dibuntingkan Horizon pula lebih £121,000 (RM681,000).

Horizon kini dimiliki empat ahli perniagaan Afrika Selatan dan tinggal di ladang seorang pemiliknya, Piet du Toit di Rustenberg.

Setiap mereka mempunyai pegangan 25 peratus terhadap Horizon dan masing-maing dibenarkan mengawankannya dengan 10 kerbau betina setahun dengan hak terhadap anak dilahirkan.

Du Toit, 45, berkata: “Horizon bukan saja mempunyai tanduk yang hebat, malah sihat dan kerbau yang paling besar. Lazimnya tanduk kerbau cuma antara 91 sentimeter hingga 102 sentimeter.

“Jarang sekali kerbau jantan mampu menurunkan ciri-ciri genetik hebat kepada anaknya, tetapi Horizon menghasilkan anak yang sangat berkualiti tinggi dan ini menambah nilainya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:03 AM

HORIZON kerbau paling berharga.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132956#sthash.NSvVRTEn.dpuf

Jumpa harta karun zaman purba belakang rumah


Jumpa harta karun zaman purba belakang rumah

22 APRIL 2016 AARGAU - SWITZERLAND. Seorang petani menemui lebih 4,000 syiling purba dipercayai milik kerajaan Rom belakang rumahnya di Ueken, baru-baru ini.
Menurut laporan CNN, selepas satu lagi operasi cari gali dijalankan, 4,166 keping syiling perak dan tembaga tersebut dianggarkan berumur kira-kira 1,700 tahun.
"Ini adalah penemuan yang menakjubkan," kata Geroge Matter, seorang ahli arkeologis yang menjayakan operasi cari gali kedua.
Kata George, harta karun berkenaan berasal dari zaman pemerintahan Maharaja Aurelian pada tahun 274 dan Maharaja Maximian pada tahun 294.
"Dalam bidang arkeologi sendiri, tak sampai 2,500 syiling dijumpai. Kali ini, kita menemui lebih dari 4,000. Penemuan ini sangat unik," jelas George.
Oleh kerana petani yang menemui syiling tersebut membuat keputusan untuk tidak menyimpannya, maka pihak muzium Vindonissa de Brugg membersihkan dan mempamerkan syiling tersebut di muzim.

Friday, April 22, 2016

Kanak-Kanak Perempuan Lima Tahun Dipaksa Berkahwin


Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 10:39 AM

VIDEO pasangan kanak-kanak yang didakwa dipaksa berkahwin mendapat simpati pelbagai pihak termasuk  Yayasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Majlis perkahwinan kanak-kanak berusia 10 tahun itu dirakam di Chittorgarh, sebuah bandar di  Rajasthan, utara India.
Rakaman itu dianggap menyayat hati apabila kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menangis dan meminta bantuan bapanya.
Bagaimanapun dia terus dipaksa untuk mengikuti ritual perkahwinan berkenaan.
Selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun turut disuruh berkahwin dengan budak lelaki 11 tahun.
Dia telah dipimpin oleh seorang lelaki dipercayai bapanya untuk mengikuti ritual perkahwinan berkenaan sehingga selesai.
Seorang aktivis kanak-kanak, Kriti Bharti yang juga pengasas Yayasan Saarti berkata, hatinya luluh selepas melihat kanak-kanak tersebut dipaksa berkahwin.
Jelasnya, pertubuhan yang diwujudkan berjaya menghalang 850 perkahwinan kana-kanak di Rajasthan sebelum ini.

Angkut 798 kilogram syiling simpan dalam bank


JILIN, Beijing 21 April – Seorang pengusaha penapis air di bandar ini menggemparkan negara kerana sanggup ‘mengangkut’ beribu-ribu keping duit syiling seberat 798 kilogram untuk disimpan di sebuah bank di sini.
Menurut portal Mail Online, lelaki yang dikenali sebagai Zhang itu memperoleh duit syiling berkenaan hasil perniagaan penapis air yang beroperasi di seluruh Jilin.
Mesin penapis air itu hanya menerima duit syiling bernilai 5 yuan (RM2.9) dan 11 yuan (RM6.50).
Zhang sebelum itu membungkus ribuan keping duit syiling ber­kenaan yang bernilai 100,000 yuan (RM59,732) di dalam gulungan kertas sebelum dibawa ke sebuah bank di Changchun.
Bulan lalu, seorang wanita membawa duit syiling sebanyak 540,000 yuan (RM322,553) untuk disimpan di sebuah bank di bandar Dongyang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/angkut-798-kilogram-syiling-simpan-dalam-bank-1.283262#sthash.qOpI8wGn.dpuf

Wanita ‘diserang’ tebuan gergasi

TEBUAN gergasi,spesies serangga yang mampu menyebabkan kematian,

TEBUAN gergasi,spesies serangga yang mampu menyebabkan kematian, ditemukan seorang wanita hinggap di atas baju sejuknya diJepun, baru-baru ini. AGENSI
TOKYO 21 April – Seorang wanita Jepun terkejut apabila melihat seekor serangga berbisa dan bersaiz besar ‘merayap’ di atas sehelai baju sejuk di dalam almari pakaiannya.
Serangga itu, seekor tebuan Asia yang besar atau dikenali sebagai ‘vespa mandarinia’ dipercayai hidup liar di sekitar pergunungan di Jepun.
Portal berita Mail Online me­laporkan, serangga tersebut dikenali oleh masyarakat Jepun sebagai ‘osuzumebachi’ dan ‘menyimpan’ racun yang kuat sehingga mampu mero­sakkan tisu manusia.
Tebuan gergasi berkenaan dikesan merayap di atas sehelai baju sejuk berwarna hijau yang tergantung di penyangkut baju milik wanita itu.
Dia amat bernasib baik kerana serangga tersebut tidak menye­ngatnya.
Tebuan Asia merupakan spesies serangga yang paling aktif antara bulan Ogos dan Oktober.
Tahun lalu, beberapa ekor tebuan Asia ‘menyerang’ Eropah selepas ‘diangkut’ secara tidak sengaja melalui sejenis tumbuhan dan menyebabkan enam kematian di Perancis.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas disengat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-8216-diserang-8217-tebuan-gergasi-1.283264#sthash.UxvXHrZd.dpuf

Wednesday, April 20, 2016

Remaja masih sekolah kini jutawan kasut


16 April 2016 4:00 PM



Sering diberi hadiah berupa kasut oleh ibunya telah menarik minat anak muda kelahiran Amerika Syarikat, Benjamin Kapelushnik, 16, untuk menjual koleksi kasut berjenama sehingga berjaya mengumpul pendapatan sebanyak AS$1 juta (RM3.89 juta) dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Benjamin Kapelushnik atau lebih dikenali ‘The Sneaker Don’ menjadi penjual semula (reseller) kasut-kasut berjenama yang berada di pasaran sehingga bergelar jutawan muda.
Lebih membanggakan, dia turut menjual semula kasut kepada penyanyi tersohor antarabangsa, Chris Brown dan Dj Khaled yang juga merupakan pelanggan tetapnya setiap kali koleksi terbaharu dikeluarkan.
Benjamin semakin dikenali dengan jualan kasut yang jarang diperoleh apabila dia diperkenalkan dengan Dj Khaled yang ketika itu memerlukan tiga pasang kasut jenama Nike ‘Pantone’ pek Air Jordan XI.
Dijadikan cerita, kejayaan itu bermula apabila Benjamin menerima kasut pertamanya iaitu Nike Galaxy LeBron dan Kobe dari ibunya. Tanpa mengetahui apa-apa mengenai kasut tersebut, dia telah menjadikan kasut itu sebagai kasut harian dengan memakainya ke sekolah.
Benjamin berkata, kasutnya mula menjadi tumpuan para pelajar di sekolah dengan menganggap kasut itu kelihatan hebat dan berbeza dengan kasut yang dipakai mereka. Daripada situ, dia sedar bahawa kasutnya mempunyai nilai harga yang mahal di pasaran.
“Pada mulanya, pengetahuan saya mengenai dunia kasut tidak banyak, tetapi sejak ditegur rakan-rakan, minat saya terhadap kasut semakin bertambah sehingga saya berjaya mengumpul pelbagai koleksi kasut berjenama.
“Ketika itu, saya hanya mengumpul kasut keluaran terbaharu jenama terkenal seperti Adidas, Nike, dan sebagainya sebelum merancang untuk menjualnya semula kepada orang lain,” katanya yang dipetik daripada complex.com.
Melihat latar belakang keluarga Benjamin, dia sendiri memang dilahirkan dalam keluarga yang berada. Jadi, tiada masalah untuknya mendapatkan dana awal bagi memulakan perniagaan tersebut.
Tambah Benjamin, pada mulanya, minat berniaga sekadar suka-suka sahaja. Bermula dengan menjual sepasang kasut daripada koleksinya, minat itu semakin bercambah dan menjadi serius sehingga jualan kasut yang diusahakannya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Bercerita mengenai koleksi kasut yang diperolehinya, Benjamin berkata, untuk mendapatkan kasut terbaharu, beliau menggunakan khidmat ‘orang dalam’ yang memegang kontrak kasut di antara Nike dan Adidas.
“Khidmat orang dalam itu memudahkan urusan saya dengan pelbagai pihak,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, katanya, apabila tidak ada koleksi yang diinginkan pembeli, Benjamin sanggup mengupah rakan-rakannya untuk beratur membeli kasut terbabit dengan memberi upah sebanyak AS$50 (RM194) setiap seorang.
“Ini bagi memastikan koleksi yang dipesan oleh pelanggan dapat saya tunaikan meskipun terpaksa berhabis duit untuk mengupah rakan-rakan. Keuntungan yang saya perolehi lebih daripada 30 peratus daripada setiap pembelian itu,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, katanya, cabaran yang dihadapinya adalah apabila mereka perlu berbahagi masa, antara pelajaran dan perniagaan yang semakin ramai pengikutnya di laman sosial Instagram sehingga pernah ditegur gurunya kerana membawa telefon ke sekolah.
Menurut Benjamin lagi, dia turut bercadang untuk membuka kedai bagi menempatkan koleksi kasut jualannya bagi memudahkan pelanggan memperolehnya dengan cepat, berbanding berurusan di Instagram yang mengambil masa lebih lama.
“Saya tidak akan menjual kasut di Instagram untuk jangka masa panjang kerana saya akan melanjutkan pengajian ke kolej, selain mahu memberi tumpuan kepada kehidupan saya sebagai remaja,” ujarnya. -Susunan SITI AISHAH
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-masih-sekolah-kini-jutawan-kasut-1.261875#sthash.tayCwStK.dpuf

Oakwood Tower bangunan kayu tertinggi dunia


Lakaran artis, Oakwood Tower yang akan dibina di pinggir Barbican menggunakan kayu dijangka menjadi bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard apabila siap kelak. Agensi
LONDON 15 April – Sebuah bangunan pencakar langit setinggi lebih 300 meter dijangka dibina di pinggir Barbican dalam kota London hasil cetusan idea sekumpulan kakitangan Universiti Cambridge.
Lebih menarik, bangunan 80 tingkat berkeluasan 93,000 meter persegi yang dikenali sebagai Oakwood Tower itu dibina sepenuhnya daripada kayu dan turut menempatkan beberapa kediaman.
Menurut portal Dailymail.co.uk, konsep bangunan itu diperkenalkan oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson dan bakal diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard serta bangunan kayu tertinggi di dunia.
Pengarah Pusat Cambridge (Inovasi Menggunakan Bahan Semula Jadi), Micheal Romage berkata, Barbican yang wujud sejak pertengahan abad lalu telah berjaya ‘menghidupkan’ kota London dengan suasana kediaman.
Oleh yang demikian ujarnya, London perlu memiliki bangunan tinggi bagi memastikan pembangunan kota itu yang semakin padat dapat diseimbangkan dengan penempatan kediaman.
“Kami percaya orang ramai dan bangunan tinggi terutamanya yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi mempunyai perkaitan berbanding bangunan yang dibina daripada batu dan konkrit,” katanya.
Ketika ini, blok pangsapuri setinggi 14 tingkat di Bergen, Norway diiktiraf sebagai binaan kayu tertinggi di dunia.
Selain Norway dan Britain, beberapa buah negara termasuk Perancis dan Sweden turut mempunyai perancangan untuk membina bangunan yang sama.
Sementara itu, firma arkitek untuk pembinaan Oakwood Tower iaitu PLP Architecture menerusi wakilnya, Kevin Flanagan berkata, penggunaan kayu sebagai bahan utama dalam pembinaan bangunan boleh menjadi cara baharu mengubah corak pembangunan di London.
“Bangunan kayu sebenarnya mempunyai potensi dari segi seni bina untuk menghasilkan suasana yang lebih menyenangkan selain pengalaman kehidupan di bandar dengan cara baharu,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/oakwood-tower-bangunan-kayu-tertinggi-dunia-1.267912#sthash.celTJZWn.dpuf

Sunday, April 10, 2016

18 askar Filipina maut bertempur dengan Abu Sayyaf




PERTEMPURAN dengan Abu Sayyaf adalah kekalahan terbesar tentera Filipina setakat ini pada 2016. - Foto fail AP
MANILA: Lapan belas anggota tentera Filipina terbunuh dalam pertempuran sengit dengan militan Abu Sayyaf yang turut meragut nyawa lima anggota pertubuhan itu, termasuk pejuang dari Maghribi.
Ia adalah kekalahan terbesar tentera negara itu dalam peperangan selama sehari setakat ini pada 2016.
Jurucakap tentera wilayah, Mejar Filemon Tan, berkata sekurang-kurangnya 53 anggota tentera lagi cedera dalam peperangan seharian semalam dengan Abu Sayyaf dan sekutunya di kawasan pedalaman bersempadan bandar Tipo Tipo dan Al Barka, di Pulau Basilan.
Angka kematian tinggi itu dilaporkan ketika Filipina meraikan Hari Valor semalam sempena mengingati veteran negara itu yang maut dalam Perang Dunia Kedua.
Tentera kerajaan ditugaskan membunuh atau menangkap komander Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang melafazkan ikrar taat setia kepada militan IS secara terbuka dan diburu selama beberapa tahu berikutan dakwaan pembabitannya dalam beberapa serangan pengganas.
Washington menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta (RM19 juta) kepada maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pendakwaan Hapilon.
Militan Abu Sayyaf, kebanyakannya bersenjatakan pelancar bom tangan M203, dapat mengukuhkan kedudukan mereka dengan pantas ketika pertempuran meletus dan mengumpulkan antara 100 dan 150 pemisah, membolehkan mereka membunuh ramai anggota tentera.
Pertempuran berlanjutan lebih sembilan jam. - AP

Monday, April 4, 2016

Majlis kahwin RM4 bilion


 
myMetro
Dengan kehadiran Jennifer Lopez, Enrique Iglesias untuk menghiburkan tetamu dan pakaian pengantin yang mencecah RM4 juta, sudah pasti ia diluar jangkauan kebanyakan orang.

Namun, ia bukan masalah besar jika bapa pengantin itu bilionair.


Said Gutseriev, 28, anak jutawan Russia dari etnik Kazakh, Mikhail Gutseriev, melangsungkan perkahwinannya dengan pelajar Khadija Uzhakov di Moscow minggu lalu dalam majlis yang dikatakan mencecah RM4 bilion.

Pengantin perempuan tiba dengan gaun rekaan Eli Saab, dilapor berharga kira RM4 juta.

Ia diimport dari Paris dan seberat kira-kira 12 kilogram sehingga Khadija perlu dibantu beberapa orang untuk naik ke pelamin.

Pengantin perempuan itu bertambah menawan dengan beg tangan sama warna, tiara berlian serta rantai juga dengan loket berlian menghiasi lehernya.

BAPA pengantin lelaki, bilionair Mikhail Gutseriev menyambut sendiri ketibaan 600 tetamu yang antaranya termasuk Presiden Ingushetia. 
Tetamu yang hadir dibawa dengan kereta mewah, termasuk Rolls Royce yang dilihat membarisi luar sebuah restoran terkenal di Moscow.

Sebagai cenderamata, tetamu dihadiahkan kotak emas dengan nama pengantin dan tarikh perkahwinan diukir padanya.
KHADIJA bsesama seorang tetamu.
Hiburan yang disediakan juga bukan murah dengan kejadiran Jennifer Lopez, Enrique Iglesias dan kumpulan Sting yang bergilir-gilir menaiki pentas untuk menyanyi.

PENGANTIN perempuan, Khadija Uzakhovs dengan pakaian pengantin yang dikatakan berharga hampir RM4 juta. 
Majlis itu sudah pasti hanya sesuai kepada anak bilionair seperti Said yang kekayaan bapanya, Mikhail, dipercayai bernilai RM24 bilion.

Said, yang dilahirkan pada 1988 mendapat pendidikan di Harrow sebelum ke University Oxford, tempat dia belajar arkeologi dan geologi.

ANTARA perhiasan di dewan majlis.
Tak banyak yang diketahui mengenai pengantin perempuan kecuali dia pelajar tahun pertama Universiti Perubatan dan Pergigian Moscow.

“Usaha memilih pengantin perempuan berlangsung selama empat tahun. Ibu bapanya juga tidak mahu dikenali. Buat masa ini, mereka hanya diketahui berasal dari Ingushetia,” kata sumber.

KEK perkahwinan setinggi sembilan tingkat.
Ingushetia, tempat keluarga Khadioja dilahirkan mempunyai kadar pengangguran tertinggi di Russia, kira-kira 52 peratus.

Dalam pada itu, satu lagi majlis akan diadakan untuk meraikan pasangan itu minggu ini. Kali ini di London dengan hanya anggota keluarga dan rakan rapat sahaja dijemput.

TETAMU, Presiden Ingushetia Yunus-Bek Yevkurov (kiri), bapa pengantin lelaki, Mikhail Gutseriev (dua dari kiri) dan bekas Presiden Ingushetia Ruslan Aushev Beslan (kanan) di majlis berkenaan. 
Menurut laporan, Elton John dan Beyonce pula akan menghiburkan tetamu di majlis itu.
SAID anak bilionair Russia dari etnik Kazakh.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:00 AM


KHADIJA dikatakan dimekap Irina Mitroshkina sementara rambutnya didandan oleh Anna Timofeyeva
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127179#foto

Sunday, April 3, 2016

Lelaki Russia tawar wang kahwin gadis Pakistan

Chitral, Pakistan: Seorang lelaki Russia yang datang ke bandar ini bagi mencari gadis tempatan untuk dijadikan isteri ditahan dan disoal siasat pihak berkuasa, kata pegawai, semalam.
Apelgans Viacheslov, 28, yang berasal dari Moscow menampal beberapa poster bagi menyatakan impiannya mengahwini gadis tempatan.
Ketua polis Chitral, Asif Iqbal berkata, lelaki itu turut menawarkan ganjaran AS$9,550 (RM37,164) kepada sesiapa yang membantunya mencapai impian itu.
Katanya, poster berkenaan memaparkan wajah lelaki itu dan alamat hotel penginapannya, di sini.
“Untuk mencapai cita-citanya, Viacheslov memeluk agama Islam. Dia juga menukarkan namanya kepada Turud Ali,” jelasnya.
Bagaimanapun, lelaki itu ditahan pihak berkuasa kerana dia tidak mendaftarkan diri di balai polis ketika tiba di wilayah berkenaan.
Menurutnya, orang asing dikehendaki mendaftarkan diri ke balai polis sebagai langkah keselamatan.
Seorang pegawai keselamatan mengesahkan penahanan berkenaan, tetapi enggan memberitahu sama ada ia berkaitan dengan niat Viacheslov yang mahu berkahwin dengan gadis tempatan.
“Lelaki itu mahu berkahwin dengan gadis tempatan dan tinggal di bandar ini,” katanya.
Chitral adalah sebuah daerah terpencil terletak berhampiran Afghanistan dan menjadi tempat tinggal suku kaum Kalash. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:04 AM


GAMBAR hiasan, beberapa gadis suku Kalash.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127493#sthash.uvUIlfGu.dpuf

Saturday, April 2, 2016

Mas kahwin segelas air

Aceh: Selepas dihebohkan dengan cerita mengenai pasangan yang gagal dinikahkan di Kuala Lumpur disebabkan wang hantaran, timbul pula kisah mengharukan dari daerah Kampung Pea Jambu di wilayah Indonesia ini.
Gambar yang dipaparkan dalam akaun Facebook pemilik bernama Purwanto menunjukkan sepasang pengantin duduk di dalam sebuah masjid.
Sekali lihat, ia acara seperti pernikahan biasa. Pasangan itu duduk di masjid dengan pengantin perempuan minum segelas air.
Bagaimanapun, menurut Purwanto, ia bukan air biasa. Sebaliknya segelas air putih itu ialah hantaran yang diberikan pengantin lelaki kepada isterinya.
“Pernikahan Hari & Rohani dengan mahar segelas air minum. Langsung diminum maharnya...Semoga menjadi keluarga yang bahagia,” tulis Purwanto.
Hari dan Rohani itu ialah nama pasangan pengantin berkenaan.
Dalam komen dibawah, pemilik akaun Facebook itu berkata, pengantin lelaki itu ialah pegawai agama di Pejabat Urusan Agama Singkohol.
“Ia. Yang menikah ialah pegawai agama. Pernikahan dilangsungkan di Masjid Al Falah Kampung Pea Jambu, Khamis 24 Mac 2016,” tulis Purwanto. Ramai pengguna Facebook terharu dengan laporan itu kerana tidak percaya ada pernikahan boleh dilangsungkan dengan hantaran segelas air putih sahaja.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 8:46 AM

PENGANTIN perempuan minum air yang menjadi hantaran pernikahannya.

Tuesday, March 29, 2016

Singa tidak boleh 
tidur tanpa selimut

Haiwan ‘jinak’ selepas dipelihara sebuah keluarga

Lambert gemar bermain dengan selimut, malah turut tidur dengan

Lambert gemar bermain dengan selimut, malah turut tidur dengan kain tersebut membalut tubuhnya. Agensi
TEXAS 27 Mac - Singa mungkin sinonim dengan gelaran raja belantara, namun lain pula kisahnya dengan seekor singa jantan dewasa yang sangat taksub dengan selimut, sehingga tidak boleh tidur tanpa kain tersebut.
Mail Online melaporkan, singa yang diberi nama Lambert itu, diselamatkan oleh pengasas Pusat Pendidikan dan Penyelamat Hidupan Liar Eksotik di Texas, Vicky Keahey yang mengambilnya daripada sebuah keluarga yang enggan menja­ganya lagi.
Menurut Keahey, Lambert pada mulanya dibeli secara tidak sah oleh pemilik tersebut untuk anaknya yang berusia dua dan tiga tahun selepas menonton filem The Lion King.
“Bagaimanapun, mereka kemudian bersetuju untuk melepaskannya yang ketika itu berusia tiga bulan kepada saya,” katanya kepada laman web khusus untuk penjagaan haiwan, The Dodo.
Oleh kerana dilahirkan dalam kurungan, singa tersebut ‘jinak’ dan mudah dijaga.
“Saya berfikir, Lambert sudah biasa tinggal dalam rumah dan tidur bersama ahli keluarga tersebut. Jadi, saya cuba dapatkan selimut untuknya.
“Sejak itu, haiwan tersebut sentiasa bersama selimut terutamanya ketika tidur,” katanya yang turut mengajar Lambert untuk menyukai dan makan daging mentah, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Kata Keahey, Lambert yang kini berusia dua tahun juga suka bermain dengan papan luncur selepas sering bermain tab plastik ketika kecil.
“Jika dia sukakan kamu, kamu akan mengetahuinya dan jika dia tidak sukakan kamu juga, kamu akan tahu,” katanya yang memberitahu, walaupun Lambert agak manja, namun, singa itu tetap berperangai seperti kucing Afrika yang lain.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/singa-tidak-boleh-8232-tidur-tanpa-selimut-1.205522#sthash.tvLoACYJ.dpuf

Pemuda langsai hutang rumah datuk, nenek


TEXAS 28 Mac – Demi menunaikan janji membantu datuk dan neneknya membayar hutang rumah, seorang pelajar kolej di Houston sanggup mengorbankan zaman remajanya dan mengikat perut dengan hanya memakan piza sejuk beku selama hampir enam tahun.
Stefun Darts (tengah) memberikan replika cek kepada datuknya, Cecil Roberts (kiri) dan neneknya, Marilyn, bagi membantu melunaskan bayaran rumah kediaman mereka. AGENSI
Usaha murni tersebut mendapat perhatian ramai selepas video rakaman mengenai detik mengharukan bagaimana Stefun Darts, 24, membuat kejutan kepada datuk dan neneknya itu tersebar di laman Facebook beberapa hari lalu.
Menurut portal Mail Online, Darts berjaya memenuhi janji yang dibuat ketika berumur lapan tahun dengan menghadiahkan replika cek bernilai AS$15,000 (RM60,247) untuk melangsaikan hutang tersebut.
Bukan itu sahaja, pemuda tersebut turut menghadiahkan tiket percutian ke Bahamas kepada datuk dan neneknya, sehingga membuatkan kedua-dua mereka menitiskan air mata.
Pasangan warga emas itu telah membayar ansuran bulanan untuk kediaman mereka selama hampir 20 tahun dan wang pemberian Darts membantu melangsaikan jumlah hutang tersebut yang masih berbaki empat tahun lagi.
“Saya sangat terkejut dan sukar untuk mempercayainya. Darts seperti satu rahmat bagi kami,” ujar neneknya, Marilyn Roberts.
Darts yang juga Pre­siden Yayasan Belia Prihatin yang menjalankan program mentor untuk golongan belia mengakui tidak berniat untuk menarik perhatian sesiapa, namun berharap pengorbanan ikhlasnya itu menjadi sumber inspirasi kepada remaja lain.
“Saya tidak melakukannya untuk mendapatkan penghargaan. Peluang melihat air mata kegembiraan dan menikmati pengalaman itu sepanjang hidup merupakan sesuatu yang amat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemuda-langsai-hutang-rumah-datuk-nenek-1.205977#sthash.8n6Ly2op.dpuf

Wanita merempat jadi jutawan


LONDON 28 Mac – Ibarat tuah datang bergolek, seorang bekas jurusolek yang hidup merempat tahun lalu, bakal menjadi jutawan apabila pakaian rekaannya yang diperbuat daripada 3,000 butir gula-gula Skittles mendapat perhatian syarikat pakaian terkenal, Ripleys.
Sarah Louise Bryan
Sarah Louise Bryan, 27, yang merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki mendapat idea untuk mereka pakaian wanita itu secara tiba-tiba pada suatu malam ketika dia hampir terlena.
Menurut laporan Mail Online, untuk menyiapkan pakaian itu, wanita tersebut mengambil masa selama enam jam sehari selama sebulan membabitkan 145 bungkusan Skittles yang dilekatkan menggunakan 90 tiub gam.
Bakat Bryan itu dihidu oleh syarikat Ripleys setelah wanita tersebut memuat naik gambar pakaian berkenaan yang disifatkan ‘amat mengagumkan’ dalam media sosial yang kemudian menjadi viral.
Syarikat tersebut yang kagum dengan rekaan Bryan telah meminta dia mereka cipta koleksi pakaian dan beg menggunakan jenama namanya sendiri, Sarah Louise Bryan.
Fesyen rekaannya mendapat sambutan hebat daripada selebriti se­perti artis Big Brother, Chloe Jasmine yang dilihat memakai beg ta­ngan rekaannya.
Menurut Bryan, sejak pakai­an Skittles menjadi viral, dia telah dijemput menghadiri pelbagai majlis dan pertunjukan fesyen.
Tahun lalu, wanita itu terpaksa hidup merempat tanpa wang bersama-sama anaknya dan hanya mengharap ihsan dengan me­numpang di rumah kawannya.
Kini Bryan mampu menyewa rumah yang cantik dan membeli sebuah kereta sport.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-merempat-jadi-jutawan-1.205975#sthash.zuJXGqnu.dpuf

Sunday, March 27, 2016

Berdiri di puncak gunung Banjaran Alps


AGENSI - AKSI pendaki di puncak gunung Aiguille Dibona di Banjaran Alps, Perancis.


PARIS – Seorang jurugambar merakamkan beberapa gambar aksi pendaki di puncak gunung dengan ketinggian 3,050 meter di Banjaran Alps, Perancis baru-baru ini.
Para pendaki perlu mengambil risiko tinggi mendaki gunung Aiguille Dibona yang berkedudukan tegak dan berbahaya itu selain memiliki ruang untuk berdiri yang sangat sempit.
Jurugambar, Thomas Vuillaume, 28, sendiri perlu membuat pendakian sukar bagi membolehkan dia merakamkan gambar-gambar yang menakjubkan tersebut.
Pendakian ke puncak gunung tersebut mengambil masa kira-kira dua jam untuk mendaki dan dua jam lagi untuk memanjat ke puncak.
“Misi seperti ini hanya dicadangkan kepada pendaki berpengalaman kerana tebingnya yang menegak. Bagaimanapun kesemua pendaki yang terlibat adalah berpengalaman, jadi mereka tahu apa yang mereka lakukan,” kata Vuillaume.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz443SSJMIS 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, March 20, 2016

'Alien' suruh bina piramid di tengah-tengah gurun


BANDAR MEXICO - MEXICO. Seorang petani berasal dari Mexico Raymundo Corona membina sebuah piramid Aztec setinggi 6.7 meter di kawasan gurun Mexico, 74 kilometer dari persempadanan Mexico-Amerika Syarikat.

Memetik laporan media tempatan Mexico, odditycentral.com alasan Corona membina piramid Aztec di tengah-tengah gurun adalah kerana mendapat arahan daripada makhluk asing yang pernah menemuinya.

Corona menggambarkan makhluk asing yang mengunjunginya sebagai 'seorang lelaki' yang mempunyai ketinggian luar biasa dengan mata berwarna keemasan seperti madu dan berambut putih yang bernama Herulayka.

Berdasarkan cerita Corona, ia mengaku Herulayka berasal dari planet Nefilin, iaitu sebuah planet yang mempunyai ukuran  20 kali lebih besar daripada Bumi dan berada di orbit Orion.

Ujarnya lagi, walaupun sesetengah masyarakat memandangnya sebagai 'lelaki gila' dek kerana usaha dan ceritanya itu, namun beliau tidak mengendahkannya.

Menurut cerita Corona, ia dikunjungi Herulyaka pada tahun 1984, ketika dia berusia 33 tahun.

Ujarnya ketika itu, isterinya sedang hamil dan akan melahirkan seorang bayi perempuan ketika Herulayka 'singgah' di dalam mimpinya.

Namun, pada suatu malam, beberapa hari setelah mimpi itu terjadi, ia mendapati ada orang datang mengetuk pintu rumahnya. Tanpa disangkanya makhluk di dalam mimpinya itu benar-benar datang untuk mengunjunginya.

"Ia memerintahkan aku untuk membina sebuah piramid," kata Corona.

"Ketika aku bertanya kenapa  piramid, ia mengatakan,'bangunan itu harus seperti keyakinanku, sesuatu yang tak musnah dibadai oleh angin ataupun badai, namun akan selalu teguh  ke atas,", katanya.