Pages

Saturday, June 27, 2015

Gumpalan rambut sepanjang 1.5 meter dalam usus remaja


Pakar bedah, Dr. Lal Bahadur Sidharth menunjukkan gumpalan rambut sepanjang 1.5 meter yang dikeluarkan dari usus Kavita Kumari (kanan). AGENSI
27 Jun 2015 1:16 AM

NEW DELHI 26 Jun – Tabiat seorang remaja di India yang suka mengunyah rambut sejak setahun lalu, membawa padah apabila dia terpaksa menjalani pembedahan un­­tuk mengeluarkan gumpalan ram­­but sepanjang 1.5 meter yang menyebabkan dia sukar menelan air.
Menurut laporan portal Mail Online, mangsa yang dikenali sebagai Kavita Kumari, 15, bukan sahaja mengunyah rambut sendiri, tetapi juga rambut rakan-rakan­nya di sekolah.
Ketagihan remaja berkenaan itu turut menyebabkan dia hilang selera makan, dan muntah apabila dipaksa untuk makan selain sering mengadu mengalami sakit abdomen serta lemah badan.
Bapa Kumari, Bechan Ram, 34, berkata, keadaan membimbangkan itu membuatkan dia membawa anaknya ke Pusat Kajian dan Hospital Pakar Siddhart di Uttar Pradesh untuk menjalani pemeriksaan.
Jelasnya, hasil ujian imbasan mendapati segumpal rambut berada di dalam badan Kumari selain kesan luka yang besar di bahagian perut dan usus kecil.
“Doktor memberitahu Kumari menghidap Sindrom Rapunzel, penyakit jarang berlaku melibatkan gumpalan rambut terkumpul di dalam perut dan kebiasaannya berlaku kepada wanita muda.
“Saya juga dimaklumkan bahawa keadaan kesihatan Kumari sangat membimbangkan dan berdepan risiko tidak terselamat ketika menjalani pembedahan membuang gumpalan rambut itu,” katanya.
Bagaimanapun, Kumari berjaya mengharungi pembedahan selama dua jam tersebut untuk mengeluarkan gumpalan rambut sepanjang 1.5 meter.
Pakar yang mengetuai pembedahan terbabit, Dr. Lal Bahadur Sidharth berkata, beliau tidak menyangka akan mengeluarkan gumpalan rambut yang begitu besar dan panjang.
“Saya tidak pernah berdepan kes sebegini dan Kumari perlu menjalani sesi kaunseling bagi menghilangkan tabiat mengunyah rambut yang boleh menjejaskan kesihatannya.
“Dia kini sedang menjalani proses pemulihan dan boleh menikmati semula makanan tidak lama lagi,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gumpalan-rambut-sepanjang-1-5-meter-dalam-usus-remaja-1.107555#sthash.elb5NvA9.dpuf

Gorila tampan di Jepun


Ambil gambar seolah-olah model lelaki

Shabani menjadi kegilaan dalam kalangan gadis di Jepun kerana
Shabani menjadi kegilaan dalam kalangan gadis di Jepun kerana disifatkan sebagai haiwan paling kacak di Zoo Higashimaya. AGENSI
NAGOYA 26 Jun - Seekor gorila yang dikenali sebagai Shabani, menjadi ke­gilaan dalam kalangan gadis di Jepun kerana disifatkan sebagai haiwan paling ‘kacak’ di situ.
Daily Mail melaporkan, Shabani yang membesar di Zoo Taronga di Australia sebelum dipindahkan ke Nagoya pada 2007, dikatakan menerima kunjungan tertinggi daripada peminatnya saban hari.
Menurut pegawai Zoo Higashimaya, Shabani merupakan antara gorila terawal yang diperkenalkan di zoo itu.
Difahamkan, jumlah pengunjung wanita ke zoo tersebut juga bertambah.
Pengunjung wanita sering ber­kunjung ke zoo tersebut hanya kerana mahu bergambar dan meluangkan dengan Shabani selepas haiwan itu menjadi popular dalam laman sosial seperti Twitter.
Gambar-gambar Shabani yang dimuat­­naik di laman sosial memaparkan aksi haiwan itu yang tidak ubah seperti model lelaki ketika bergambar.
Antara gaya mencuit hati oleh Shabani yang dikongsi peminatnya, memaparkan haiwan itu menjeling, menunjukkan ototnya, serta termenung jauh selain daripada bermain dengan gorila lain.
Peminat Shabani sering meng­ge­lar dirinya dengan nama ‘ikemen’ yang bermaksud lelaki tampan dalam bahasa Jepun.
Komen yang dimuat naik dalam sosial menyifatkan Shabani sebagai binatang paling seksi, comel, dan terlampau kacak.
Seorang wanita menulis, ‘Saya hanya ke zoo untuk bertemu de­ngan Shabani, dia terlampau tampan.’
Satu lagi kapsyen menarik pengunjung yang sanggup berkunjung bersama kawan-kawannya untuk melihat Shabani berbunyi, ‘Saya akan melawat Shabani, gorila terkacak. Ini adalah percutian pa­ling menarik.’
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gorila-tampan-di-jepun-1.107557#sthash.nCK1SVaG.dpuf

Friday, June 26, 2015

Ibu sewa papan iklan ucap tahniah kepada anak

Ibu sewa papan iklan ucap tahniah kepada anak
Ibu sewa papan iklan ucap tahniah kepada anak

NEW JERSEY - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu, sanggup menyewa papan iklan untuk menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan yang diperoleh anaknya.

Ovella O Neil menyewa sebuah papan iklan berharga  £460 (RM1,939) untuk mengucapkan tahniah kepada anaknya, Aljelani.

"Seorang ibu tidak mampu membesarkan seorang lelaki, tepati saya mampu membesarkan seorang lelaki yang budiman. Kami mempunyai keduanya. Sayang dari keluarga. Tahniah 2015," katanya.

Bercakap kepada ABC News, Ovella berkata anaknya adalah seorang yang bijak, dan dia sentiasa berada di landasan yang betul.

Anaknya sangat berdisiplin dan sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkannya termasuk tidak dibenarkan untuk menelefon teman wanita.

"Semua perkara seperti itu boleh dilakukan selepas tamat persekolahan dan kini masanya untuk saya memberi penghargaan kepada anaknya itu.

Aljelani kini melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.

Silap pilih mangsa

Johannesburg: Ular gergasi ini mati selepas tersilap memilih mangsa, landak seberat 13 kilogram mengakibatkan ia mati ditusuk dari dalam.
Bangkai sawa berukuran empat meter itu ditemui di bawah belebas batu di Taman Negara Lake Eland, Afrika Selatan dengan bahagian dalam tubuhnya luka tertusuk duri landak itu ketika ia cuba menghadam haiwan itu.
Pengurus besar taman Jennifer Fuller berkata: “Punca sebenar kematian ular itu tidak jelas, namun beberapa duri landak ditemui dalam saluran penghadaman dan reptilia itu juga jatuh dari belebas.
“Kami tidak dapat memastikan sama ada ular itu mati sebelum jatuh atau jika duri berkenaan menikamnya ketika jatuh dari belebas.”
Pemangsa lazimnya mengelak menjadikan landak mangsa kerana takutkan durinya, namun ular rata-rata bergantung kepada deria pengesan haba untuk mencari makan pada waktu malam, tanpa mengira fizikal mangsa. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 7:41 AM


BANGKAI ular sawa berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60207#sthash.PgAlKsXh.dpuf

Thursday, June 25, 2015

Lelaki ‘terhodoh’ timang anak kelapan

Lelaki ‘terhodoh’ timang anak kelapan
Godfrey Baguma berkahwin dengan Kate Namanda pada tahun 2013
KAMPALA - UGANDA. Rupa paras bukan menjadi ukuran kebahagiaan sesebuah perkahwinan.
 
Hal ini dibuktikan oleh seorang bekas tukang kasut yang digelar lelaki terhodoh menerima cahaya mata kelapannya.
 
Godfrey Baguma, 47, dipercayai mengidap penyakit ganjil berkahwin dengan Kate Namanda, 30, dan baru menerima kelahiran bayi perempuan.
 
Selepas dikurniakan anak pertama pada tahun 2008, pasangan itu memutuskan untuk berkahwin pada tahun 2013 dan kini mereka dikurniakan 6 orang cahaya mata.
 
Sebelum berkahwin dengan Kate, Godfrey dikurniakan dua orang anak bersama perkahwinan terdahulu namun berakhir selepas mendapati isteri pertamanya curang.
 
Menurut Godfrey, dia pernah menasihatkan Kate untuk meninggalkannya kerana rupa paras yang dimilikinya.
 
“Dia pernah tinggalkan saya ketika dia hamil 6 bulan tetapi dia kemudiannya mula menerima takdir dan kembali kepada saya 2 bulan selepas itu,” katanya dipetik Metro.uk.
 
Sementara itu, menurut isterinya, Kate percaya dengan pilihan hatinya dan menganggap rupa paras bukanlah keutamaannya.
 
"Jika anda telah bertemu dengan lelaki yang betul, pedulikan apa yang orang katakan. Ikut kata hati. Duit dan penampilan fizikal bukanlah satu isu untuk menjamin kebahagiaan," katanya dipetik Metro.uk.
 
Godfrey yang dikenali dengan nama pentas Ssebabi kini mendapatkan wang melalui persembahan nyanyian dan komedi.

Nelayan tangkap jerung pelik



GAMBAR fail dikeluarkan oleh Muzium Victoria Isnin lepas menunjukkan pegawai muzium mengukur ikan jerung yang ditangkap secara tidak sengaja oleh nelayan di Bass Straip, tenggara Australia.- AFP


MELBOURNE – Seekor ikan jerung pelik berukuran 6.3 meter yang berjaya ditangkap oleh sekumpulan nelayan memberi peluang kepada para saintis untuk melakukan penyelidikan terhadap ikan kedua terbesar di dunia itu.
Spesies ikan itu jarang diketahui kerana tidak muncul di permukaan air bagi mendapatkan udara untuk hidup menyebabkan haiwan marin berkenaan begitu jarang dilihat.
Spesimen ikan itu telah didermakan kepada Muzium Victoria yang akan menggunakan sampel tisu, isi perut dan tulang untuk melakukan penyelidikan terhadap genetik, diet dan sejarah kehidupan.
Menurut kenyataan muzium, kepala dan sirip ikan tersebut turut digunakan untuk membina model lengkap bagi tujuan pameran.
“Penemuan unik ini akan menyediakan lebih banyak informasi yang tidak diketahui selain membantu usaha pemuliharaan dan penyelidikan biologi,” ujar Kurator Kanan Bahagian Iktiologi, Martin Gomon.
Spesies ikan jerung yang ditangkap secara tidak sengaja oleh nelayan di perairan Bass Strait di bahagian tenggara Australia itu biasanya bergerak secara perlahan dan memakan plankton, malah mampu membesar sehingga 12 meter. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3e1RQuRFY 
Hakcipta terpelihara 

Guna kaki jawab peperiksaan sukar


BEIJING 24 Jun – Keadaan dirinya yang tidak sempurna, bukan menjadi penghalang kepada seorang pelajar kurang upaya (OKU) untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan kemasukan universiti di daerah Sichuan, China baru-baru ini.
WALAUPUN menjawab peperiksaan menggunakan kaki, peng chao berjaya lulus cemerlang. agensi
Lebih menarik, Peng Chao, 20, menjawab soalan peperiksaan yang sukar itu hanya menggunakan kakinya selepas hilang kedua-dua tangan dalam satu kemalangan ketika berusia enam tahun.
Menurut Daily Mail, Chao mendapat 603 daripada 750 markah atau pencapaian 80 peratus dalam peperiksaan yang dianggap paling sukar di China, sekali gus membuktikan kecacatan bukan alasan untuk tidak berjaya dalam hidup.
Dia yang kehilangan tangannya dalam kemalangan elektrik selepas berdiri terlalu dekat dengan pagar bervoltan tinggi, mula belajar menggunakan kakinya untuk menulis, makan, dan menggunakan komputer.
“Saya telah mengambil peperiksaan kemasukan ke universiti tahun lepas, namun mengulanginya kerana tidak berpuas hati dengan markah sebanyak 538 sahaja.
“Saya bercita-cita untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Zhejiang, tetapi ibu bapa mahu saya pilih yang dekat supaya mereka boleh menjaga saya,” katanya.
Dalam peperiksaan tersebut, Chao juga diberikan 45 minit masa tambahan selain daripada menggunakan kerusi dan meja khas yang membantunya menjawab dengan lebih selesa seperti yang diperuntukkan dalam polisi bagi golongan OKU.
Sekitar sembilan juta pelajar sekolah tinggi didaftarkan di seluruh China untuk mengambil peperiksaan tiga hari yang dikenali sebagai ‘gaokao’ itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/guna-kaki-jawab-peperiksaan-sukar-1.106779#sthash.8bLVU6UE.dpuf

Wednesday, June 24, 2015

Jika pakai jeans ketat, jangan bertinggung!

London: Mereka yang suka memakai seluar jeans ketat perlu berhati-hati, terutama jangan bertinggung terlalu lama berikutan doktor di Australia melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun terpaksa dirawat ke hospital selama empat hari.
Kaki wanita itu mengalami kerosakan otot. bengkak dan saraf tersekat selepas bertinggung selama beberapa jam ketika memakai seluar jeans ketat.
“Kami amat terkejut dengan apa yang berlaku kepada saraf dan otot wanita itu,” kata Dr Thomas Kimber dari Hopsital Royal Adelaide di Australia melalui emel.
Wanita itu yang menghabiskan harinya sebelum itu membantu seseorang bergerak, bertinggung lama ketika mengosongkan almari ketika memakai jeans ketat , memberitahu doktor dia kakinya menjadi kebas ketika berjalan pulang hingga terjatuh.
Wanita itu yang gagal bangun selama beberapa jam kemudian dihantar ke hospital.
Semalam, Kimber dan rakan sekerjanya menyiarkan laporan kes itu dalam Journal Neurology, Neurosurgery and Psychiatry.
Menurut Kimber, seluar jeans ketat sebelum ini dilaporkan memberi kesan kepada saraf di kelengkang dan bertinggung memberi tekanan kepada saraf kaki, mengurangkan penyaluran darah kepada otot.
Selepas seluarnya dibuka dan dirawat selama empat hari, wanita itu masih berasa lemah pada kakinya tetapi kini sudah pulih. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 4:15 PM


Seluar jeans ketat (gambar hiasan) memberi tekanan kepada saraf kaki, mengurangkan penyaluran darah kepada otot ketika bertinggung. - Foto eBay
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59601#sthash.vZE6VHPn.dpuf

Kucing pun faham erti Ramadan

Jeddah: Gambar seekor kucing menanti waktu berbuka puasa di Masjidiharam yang menjadi viral di media sosial mendapat pujian masyarakat Islam dan bukan Islam.
Ramai yang memuji haiwan berkenaan kerana begitu sopan serta sabar.
Amed Al-Jawhari berkata, di Twitter perbuatan kucing itu jelas menunjukkan haiwan juga mampu menghormati Ramadan dan Tuhan.
“Nampaknya kucing ini sudah menempah tempat duduknya untuk berbuka puasa di Masjidilharam,” katanya.
Mohammad Massad pula berkata: “Terujanya melihat kucing duduk bersama kami menunggu waktu berbuka puasa.”
Seorang lagi, Asael Bukhari berkata, gambar itu membuktikan hak diberikan Islam kepada haiwan.
“Tidak siapapun menghalau kucing itu walaupun dia duduk bersama orang yang menanti waktu berbuka puasa.
“Sebaliknya mereka yang berada di situ bergembira dengan kehadiran kucing itu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna laman media sosial Azmat Ahmed kagum dengan kesabaran haiwan berkenaan.
“Lazimnya kucing tidak akan menunggu jika makanan diletakkan di depannya.
“Namun kucing ini begitu sopan, membuktikan haiwan juga memahami besarnya erti Ramadan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:50 AM


KUCING sabar menanti waktu berbuka puasa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59495#sthash.o7cbZlik.dpuf

Tuesday, June 23, 2015

Hutan batu Madagascar

Hutan batu Madagascar

SEBUT sahaja perkataan hutan, pasti terbayang pelbagai pepohon hijau yang merimbun.

Namun, berbeza pula situasinya dengan sebuah kawasan unik terdapat di Madagascar yang digelar hutan batu.

Hutan batu ini dikenali dengan nama Tsingy de Bemaraha National Park. Ia terletak di wilayah Melaky.

Suasana hutan ini cukup menyeramkan. Tsingy sendiri membawa maksud "Tempat di mana orang tidak boleh berjalan".

Menurut laporan Daily Mail, struktur batuan di kawasan ini menjulang tinggi sehingga 91 meter dan hujungnya pula kelihatan tajam.

Ia terjadi akibat proses hakisan oleh hujan tropika yang berlaku selama ribuan tahun.

Meskipun ia dilihat sebagai tempat menyeramkan, namun kawasan yang diisytiharkan sebagai taman negara ini menjadi habitat lemur putih termasuk beberapa jenis reptilia serta burung.

Tsingy de Bemaraha National Park juga antara tarikan pelancong ke Madagascar.

Keunikan Pamukkale

Keunikan Pamukkale

PAMUKKALE adalah sebuah bukit dan satu daripada keunikan alam semula jadi yang terdapat di Turki.

Nama Pamukkale bermaksud ‘istana putih’ atau ‘istana kapas’ dalam bahasa Turki kerana keputihannya yang unik bak salji.

Difahamkan melalui laporan kuriositas, ia berwarna putih hasil pemendakan garam mineral kalsit sejak berjuta-juta tahun lalu.

Dengan ketinggian lebih kurang 200 meter, kawasan ini dihiasi teres yang terbentuk secara semula jadi.

Di teres ini terdapat 17 kolam air panas sekitar 35 darjah Celsius.

Air panas ini mengalir daripada puncanya yang terletak jauh dari kawasan ini iaitu sesar (rekahan dan gerakan bumi akibat gempa) yang mengeluarkan wap panas.

Sesar ini mengakibatkan lagaan antara batu kapur dan batuan enapan dan mengakibatkan pembentukan sistem hidraulik yang rencam.

Hasil daripada bentuk bumi unik ini, tidak hairan Pamukkale menjadi tarikan pelancong kerana rupa bentuk geologinya yang sukar dijumpai di muka bumi.

Monday, June 22, 2015

Tertelan sudu lepas disergah rakan

sudu

HUBEI - CHINA . Seorang pelajar universiti dimasukkan ke hospital selepas tertelan sudu besi sepanjang 14 sentimeter secara tidak sengaja.

Menurut laporan portal Shanghaiist.com, pelajar itu disergah oleh rakan sekelasnya ketika dia menikmati aiskrim.

Ketika kejadian berlaku, pelajar berusia 22 tahun itu dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke asramanya apabila salah seorang dari rakan sekelasnya menolaknya dari belakang secara tiba-tiba.

“Ketika pelajar tersebut menjerit, sudu besi tersebut tersumbat masuk ke dalam tekaknya, menyebabkan dia menelan sudu tersebut.

“Hasil imbasan X-Ray menunjukkan sudu tersebut berada di dalam perutnya,” kata laporan terbabit.

Menurut pelajar yang tidak dinamakan itu, sewaktu kejadian, dia mengakui berasa tercekik sebaik sahaja objek tersebut melalui kerongkongnya namun enggan mendapat rawatan pada awalnya.

Doktor yang merawat mangsa mengambil masa sehingga 10 minit untuk mengeluarkan objek tersebut dan tiada pendarahan dilapor terjadi.

Baru-baru ini , seorang wanita di wilayah Guandong nyaris maut selepas tertelan sebuah senduk yang digunakannya untuk membersihkan kerongkong.

Guan Hsuing, 31 gagal bernafas selepas panik dan menyebabkan kerongkongnya mengecut dan menyekat senduk tersebut dari dikeluarkan.

Ayam Dong Tao berkaki besar popular di Vietnam


HANOI 21 Jun – Jika sekilas pandang, anda mungkin menyangka sekumpulan ayam di Vietnam mungkin berpenyakit gara-gara mempunyai sepasang kaki yang besar dan mengerikan berban­ding ayam biasa.
Ayam Dong Tao memiliki kaki besar dan rasa daging yang sedap mendapat permintaan tinggi di Vietnam. AGENSI
Namun sebenarnya, ayam ber­kenaan merupakan baka unik dan jarang ditemui, dikenali sebagai ayam Dong Tao yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Vietnam teruta­manya bagi golongan kaya dan mewah.
Menurut laporan portal Od­dity Central, seekor ayam Dong Tao dewasa boleh mencapai berat antara tiga dan enam kilogram, manakala bahagian kakinya boleh menyamai besar pergelangan ta­ngan manusia dewasa.
Ayam betina kebiasaannya ber­warna putih, manakala ayam jantan baka tersebut mempunyai bulu yang berwarna-warni. Daging ayam Dong Tao dikatakan le­bih sedap berbanding ayam biasa, menyebabkan permintaan yang tinggi daripada orang ramai.
Menurut Oddity Central, sekilo daging ayam Dong Tao boleh mencecah harga antara 350,000 dong (RM59) dan 400,000 dong (RM68) bergantung pada bahagian ayam tersebut, manakala baka ayam berkenaan dijual pada harga enam juta dong (RM1,027) seekor.
Malah harga ayam Dong Tao meningkat berkali ganda semasa musim perayaan Tet, sambutan Tahun Baharu Vietnam ekoran permintaan yang tinggi.
Berdasarkan rekod, pada 2013, seorang petani dari bandar Ho Chi Minh pernah menolak tawaran yang kurang daripada 50 juta dong (RM8,561) bagi sepasang ayam Dong Tao yang di­belanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ayam-dong-tao-berkaki-besar-popular-di-vietnam-1.105629#sthash.VD0W2EXE.dpuf

Taman bunga terbesar di dunia


22 Jun 2015 12:23 AM
(FOTO) Taman Bunga Terbesar Di Dunia Ada Di Dubai



DUBAI 21 Jun – Taman bunga terbesar di dunia yang dikenali sebagai Taman Ajaib Dubai (Dubai Miracle Garden), yang merupakan sebuah lembah oasis yang dipenuhi dengan 45 juta bunga daripada 45 spesies yang diimport dari seluruh dunia.
Taman bunga seluas 7.2 hektar ini dibina di tengah-tengah gurun di Dubai, dan bunga-bunga yang tumbuh di batas-batas yang berwarna-warni itu disirami air sepanjang masa menggunakan sistem pengairan kitar semula bagi mengelakkan pe­ngluapan.
Taman bunga itu merupakan satu tarikan baru di te­ngah-tengah padang pasir Dubai, yang dikenali de­ngan bangunan-bangunan ter­tinggi di dunia
Menurut Daily Mail, taman bunga itu menjadi lembah berwarna warni yang indah menghiasi kawasan kediaman berhampiran Arab Ranches di tanah besar Dubai.
Taman bunga itu yang juga dikenali sebagai ‘taman pelangi’ mula dibuka pada Hari Kekasih pada 2013 yang direka khas untuk menarik pelancong ke negara ini.
Yang menariknya, sistem pengairan di taman berkenaan yang menyiram bunga-bungaan secara kitar semula dan proses tersebut dikatakan dapat menjimatkan sehingga 75 peratus penggunaan air dan tenaga.
Sebuah syarikat seni taman, Akar yang diberi tanggungjawab menguruskan taman itu berkata, kebanyakan bunga di taman ini jarang-jarang atau pertama kali ditemui di Asia Barat, se­perti bunga Petunias dan Geraniums.
Taman itu turut dilengkapi tempat letak kereta terbuka, tempat letak kereta untuk VIP, tempat rehat, surau, tandas, tempat berwuduk, bilik ke­selamatan, bilik pertolongan cemas, kereta untuk pelawat kurang upaya, kedai runcit dan komersial dan perkhidmatan lain yang berkaitan untuk kemudahan pengunjung.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/taman-bunga-terbesar-di-dunia-1.105640#sthash.V7TXxygL.dpuf

Sunday, June 21, 2015

Kucing unik terkenal kerana bermata 'alien'

Kucing unik terkenal kerana bermata 'alien'
Matilda telah memiliki lebih dari 77,500 pengikut di akaun instagramnya @aliencatmatilda.

TORONTO - KANADA- Seekor kucing yang berusia dua tahun menjadi selebriti secara tiba-tiba apabila mempunyai mata yang mirip seperti makhluk asing.

Kucing yang diberi nama Matilda itu sebenarnya menghidapi penyakit lens luxation, hal tersebut membuatkan matanya membesar bak mata makhluk asing.

Menurut pemiliknya Meghan, matilda yang ditemuinya ketika menyorok di sebuah bangsal pada asalnya sama seperti mana-mana kucing comel yang lain.

"Pada awalnya ia normal, namun setahun kemudian mata kanannya membesar, dan sedikit-sedikit mempengaruhi mata kirinya.

"Walaupun Matilda  hampir buta ia boleh melihat cahaya dan beberapa gerakan," kata Meghan kepada Huftington Post.

Jelas Meghan lagi, Matilda suka dipeluk dan akan duduk di atas sesiapa sahaja.

Sementara menurut seorang pakar haiwan memberitahu bahawa ramai orang salah sangka mengenai keadaan Matilda.

"Ramai orang melihat gambar ia dan menganggap ia dalam kesakitan dan perlu diambil dari pemiliknya,namun tidak sebenarnya,"  kata doktor haiwan tersebut.

Dek kerana keunikannya juga Meghan memilih untuk membiarkan sahaja Matilda dengan matanya yang unik itu tanpa membuat sebarang pembedahan mata.

"Tak peduli apa yang terjadi padanya, aku fikir ia cantik. Dan lagi, bukankah luar biasa memiliki seekor kucing 'alien'?" ujar Meghan.

Kini Matilda telah memiliki lebih dari 77,500 pengikut  di akaun instagramnya @aliencatmatilda.

Kapal penumpang terbesar belayar 2016

REUTERS - KAPAL Harmony of the Seas berada di kawasan limbungan STX Les Chantiers de l’Atlantique di Saint-Nazaire,Perancis kelmarin.


SAINT-NAZAIRE – Kerangka gergasi kapal penumpang terbesar di dunia berada di laut di barat Perancis kelmarin dengan para pekerja merancang menyiapkannya untuk pelayaran pertama pada 2016.
Kapal itu, Harmony of the Seas sedang dalam pembinaan sejak September 2013 di beberapa buah limbungan di Saint-Nazaire.
Apabila siap kelak, kapal itu akan memiliki berat 227,000 tan dengan panjang 362 meter, 50 meter lebih panjang daripada ketinggian Menara Eiffel.
Harmony of the Seas juga satu meter lebih lebar daripada dua kapal persiaran terbesar dunia masa kini yang juga sepanjang 362 meter.
Allure of the Seas dan Oasis of the Seas yang merupakan kapal penumpang terbesar di dunia itu memiliki lebar 65 meter dengan setiap satu seberat 225,000 tan.
Ketiga-tiga kapal itu dimiliki olef firma Royal Caribbean International.
Kira-kira 2,500 orang bekerja untuk membina Harmony of the Seas yang memerlukan karpet seluas 90,000 meter persegi dan 500,000 liter cat.
Beberapa pelayaran ujian akan dilakukan pada pertengahan Februari 2016, manakala pelayaran pertamanya dirancang pada Mei tahun depan melibatkan perjalanan dari Southampton di Britain menuju ke bandar raya Barcelona, Sepanyol.
Kapal Harmony of the Seas memiliki bilik untuk 6,360 penum­pang dan 2,100 krunya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3de56OnAb 
Hakcipta terpelihara 

Penduduk Islam Artik puasa ikut waktu Mekah


Penduduk Islam di Artik berpuasa mengikut waktu Mekah berikutan
Penduduk Islam di Artik berpuasa mengikut waktu Mekah berikutan matahari terbit sepanjang hari di Kutub Utara. AGENSI
OSLO 20 Jun – Penduduk Islam yang tinggal di Lingkaran Kutub Artik menemui kaedah untuk berpuasa sepanjang Ramadan ini selepas matahari di wilayah berkenaan terbit sepanjang hari.
Takrif berpuasa mengikut Islam adalah menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.
Seorang penduduk yang juga pekerja di Pusat Islam Norway Utara, Hassan Ahmed berkata, sepanjang 24 jam, matahari tidak terbenam di Tromso dan umat Islam di bandar itu mencari alternatif bagi menentukan waktu berbuka puasa.
“Fatwa menyatakan, kami boleh mengikut waktu berpuasa negara Islam terdekat atau waktu Mekah,’’ katanya seperti lapor portal SBS.
Penduduk yang baru memeluk Islam, Sandra Maryam Moe bersetuju dengan kenyataan Hassan.
“Oleh kerana kita mempunyai matahari pada waktu malam semasa Ramadan tahun ini, kami memilih untuk menggunakan waktu berpuasa Mekah,’’ katanya yang juga pengurus pusat masyarakat Islam Tromso dan Masjid Alnor, masjid paling utara di dunia.
Maryam menambah, waktu berpuasa Mekah juga menjadikan ibadah sembahyang dan berpuasa mereka agak seimbang.
Norway, Sweden dan Finland merupakan antara negara yang mengalami siang sepanjang tempoh 24 jam pada Ramadan kali ini, fenomena yang dilapor berlaku setiap akhir Mei hingga penghujung Julai.
Tromso dihuni kira-kira 1,000 penduduk Islam yang kebanyakannya pendatang dari Somalia, Pakistan, dan Iraq.
Kali terakhir penduduk Tromso mengalami fenomena siang sepanjang 24 jam adalah sekitar tahun 1980-an.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-islam-artik-puasa-ikut-waktu-mekah-1.105162#sthash.xjtyqmqH.dpuf

Saturday, June 20, 2015

Manusia tertua 116 tahun meninggal dunia



TALLEY meninggal dunia di Michigan, 26 hari selepas hari lahirnya yang ke-116. - REUTERS


CHICAGO – Manusia tertua di dunia meninggal du­nia di kediamannya di Amerika Syarikat (AS) pada usia 116 tahun, menurut laporan media kelmarin.
Wanita itu, Jeralean Talley yang masih bermain bo­ling sehingga berusia 104 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada Rabu lepas di Inkster, dekat Detroit, lapor akbar Detroit Free Press.
Talley dilahirkan di negeri Georgia, selatan AS di penghujung kurun ke-19 pada 23 Mei, 1899.
“Dia seorang yang cantik dan pemaaf,” kata anak perempuannya, Thelma Holloway, 77, sambil menambah bahawa Talley telah dima­sukkan ke hospital selama seminggu sebelum dibawa pulang pada Sabtu lalu.
Talley meninggalkan anak perempuannya di samping beberapa cucu dan cicit.
Suaminya yang dikahwini selama 52 tahun, Alfred Talley meninggal dunia pada 1988 semasa berusia 95 tahun.
Susulan kematian Talley, gelaran manusia tertua di dunia kini milik seorang lagi wanita, Susannah Mushatt Jones yang lahir pada 6 Julai, 1899.
Manusia paling tua setakat ini menurut Guinness World Records ialah Jeanne Louise Calment.
Dia meninggal dunia di tanah airnya Perancis pada 1997 semasa berusia 122 tahun dan 164 hari. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3dYF3sxHG 
Hakcipta terpelihara 

Friday, June 19, 2015

Wanita mengandung ketagih jilat sabun

Wanita mengandung ketagih jilat sabun
Jilat sabun menjadi kegemaran Gayford.

BRISTOL - BRITAIN. Seorang ibu mengandung tidak dapat menahan keinginan peliknya iaitu makan sabun.

Jess Gayford, 26, yang kini mengandung lapan bulan kerap menjilat ketulan sabun atau cecair sabun pencuci tangan.

"Saya tidak pasti mengapa saya ingin makan sabun, tetapi setiap kali melihat sabun, saya ingin menjilatnya.

"Saya ke pasaraya untuk membeli sabun dan akan menjilatnya. Ia kedengaran menjijikan tetapi saya amat gemarkannya," katanya dipetik Bristolpost.

Suaminya, Jess Le Trimby berkata, pada mulanya dia agak bimbang mengenai keinginan pelik isterinya itu, namun berasa lega kerana ia tidak akan membahayakan kandungan isterinya itu.

Perlumbaan basikal kayu di Filipina



MASYARAKAT suku Igorat di Filipina menyertai pertandingan lumba basikal yang diperbuat daripada kayu baru-baru ini. - AGENSI


MANILA – Masyarakat suku Igorat di Filipina membina basikal buatan sendiri menggunakan kayu bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pertandingan lumba basikal baru-baru ini.
Seorang jurugambar, Richard Haw telah merakam aktiviti masyarakat berkenaan di sebatang jalan di bandar Batad.
Basikal tersebut dibuat sepenuhnya daripada kayu dan tidak mempunyai brek yang sempurna. Kenderaan tersebut mampu mencapai kelajuan sehingga 40 kilometer sejam ketika menuruni kawasan berbukit.
Peserta pertandingan itu juga dilihat tidak memakai sebarang pakaian perlindungan melainkan pakaian tradisional orang gunung yang dipanggil bahag dan sehelai jubah mengikut suku-suku mereka
“Saya tidak pernah dengar berita kematian atau kemalangan semasa mereka mengendalikan basikal itu.
“Namun melihat kaki mereka yang berparut dalam, saya boleh membayangkan bahawa mungkin berpunca daripada aksi ini,” ujar seorang pengunjung dari Tokyo, Jepun.
Penunggang kenderaan tersebut pada mulanya hanya mereka bentuk basikal yang mudah sebelum mereka menghasilkan motif seperti naga yang luar biasa, singa dan koboi pada kenderaan itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3dSTK37Dw 
Hakcipta terpelihara 

Ikan jerung malang


Perut dibelah, 34 ekor anak turut mati

Seorang nelayan bot Phoenix mengeluarkan anak jerung dari perut
Seorang nelayan bot Phoenix mengeluarkan anak jerung dari perut ibunya di Destin, Florida, awal bulan ini. AGENSI
NEW YORK 18 Jun - Seorang nelayan bertindak di luar peri kemanusiaan apabila mengeluarkan sebanyak 34 ekor anak ikan jerung dari perut ibu ikan itu yang telah mati, sambil disaksikan orang ramai termasuk beberapa orang kanak-kanak, dalam satu insiden mengejutkan di Florida baru-baru ini.
Malah, insiden itu juga sempat dirakam dalam video klip selama 1.15 minit, yang memaparkan nelayan tersebut menggodek perut jerung sepanjang 3.9 meter terbabit, selepas terperangkap pada jaring sebuat bot sewa yang mengikuti trip memancing, awal bulan ini di perairan antarabangsa.
Menurut saksi, ikan seberat 376 kilogram itu yang juga spesies ikan terancam dilihat mempunyai kesan lubang akibat tembakan atau lembing pada badannya, manakala sirip haiwan tersebut telah dipotong.
Insiden itu berlaku di Pelabuhan Harborwalk di Destin.
Agak malang, seperti nasib ibunya, semua 34 ekor anak ikan jerung itu turut mati.
Individu yang merakam klip tersebut, Jeff Bratcher berkata, dia sendiri tidak tahu ikan tersebut datang daripada spesies terancam.
“Anak saya yang berada bersama saya turut menyatakan apa yang dilihatnya itu adalah salah,” ujarnya seperti laporan Mail Online.
Jerung jenis tukul itu disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Alam dan turut berada dalam ‘Senarai Merah’.
Bagaimanapun, ikan itu tidak dilindungi oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Akta Spesies Terancam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ikan-jerung-malang-1.104509#sthash.LKZqhk1o.dpuf