Pages

Saturday, November 8, 2014

Lelaki menangis gagal beli iPhone 6 dapat S$14,446



YOUTUBE - PHAM menangis selepas diminta membayar caj tambahan sebagai pakej jaminan bagi pembelian iPhone 6.


SINGAPURA – Seorang pekerja kilang terkejut selepas sebuah kedai telefon bimbit mengenakan caj tambahan sebanyak S$1,445 (RM3,700) semasa dia membeli telefon pintar iPhone 6, lapor kelmarin.
Warga Vietnam, Pham Van Thoai, 28, sebelum itu telah membayar wang sebanyak S$949 (RM2,436) untuk harga iPhone 6 kepada sebuah kedai menjual telefon bimbit di Sim Lim Square di sini.
Bagaimanapun, dia terkejut selepas seorang pekerja kedai itu memberitahu, dia tidak boleh pulang sehingga dia membayar wang tambahan sebanyak S$1,507 (RM3,861) untuk pakej jaminan.
Pham yang tidak mampu membayar caj tambahan itu kemudian meminta supaya wangnya dipulangkan semula tetapi penjual berkenaan enggan memulangkan wang berkenaan.
Keadaan Pham yang merayu sambil menangis serta melutut agar wang tersebut dikembalikan turut menyebabkan dia diketawakan.
Katanya, dia menyimpan wang sebanyak S$169 (RM434) setiap sebulan sejak beberapa bulan lalu untuk membeli iPhone 6 sebagai hadiah hari jadi untuk kekasihnya.
Aksi Pham itu dirakam oleh seorang pelanggan di kedai berkenaan menyebabkan video tersebut kini menjadi popular di internet.
Ekoran keprihatinan orang ramai, lelaki malang itu berjaya menerima sumbangan S$14,446 (RM37,000) dari seluruh negara.
Seorang warga Singapura yang mengambil inisiatif itu, Gabriel Kang berkata, dia berbuat demikian kerana mahu membuktikan negara itu bukan pencuri atau penipu.
Kedai berkenaan sememangnya mempunyai reputasi buruk dengan 18 aduan diterima oleh pihak berkuasa selain pernah memulangkan wang pelanggan dalam bentuk syiling sebanyak S$1,651 (RM4,233). – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3IQa3nY9V 
Hakcipta terpelihara 

Penempatan di bulan bakal jadi kenyataan

Ilustrasi menunjukkan kediaman cadangan ESA yang dihasilkan daripada
Ilustrasi menunjukkan kediaman cadangan ESA yang dihasilkan daripada robot pencetak 3D dan akan dilengkapi dengan bilik untuk empat orang. – AGENSI
LONDON 7 Nov. – Tinggal di bulan mungkin tidak lagi mustahil selepas Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) mendedahkan rancangan membangunkan penempatan manusia pertama di planet itu dengan menggunakan robot pencetak tiga dimensi (3D) dalam tempoh 40 tahun lagi.
Kediaman itu akan diperbuat daripada tanah di bulan sebelum diproses oleh robot pencetak kepada bentuk gelembung untuk memastikan struktur bangunan berkenaan selamat.
Mail Online melaporkan, kediaman berkenaan akan dilengkapi dengan bilik untuk empat orang.
Struktur itu pula boleh melindungi penghuninya daripada jatuhan meteor dan sinaran gamma.
Bagi membangunkan projek tersebut, ESA akan bekerjasama dengan firma arkitek, Foster + Partners untuk memastikan kehadiran manusia di bulan secara tetap yang merupakan satelit semula jadi bagi Bumi.
Pasukan penerbangan angkasa manusia ESA, Scott Hovland berkata, pencetak 3D menawarkan satu potensi yang memudahkan penempatan di bulan dengan mengurangkan pengangkutan dari bumi.
“Mengikut teori, sebanyak 90 peratus daripada material yang diperlukan untuk membangunkan struktur itu telah pun wujud di bulan. Oleh itu, hanya robot dan bahagian-bahagian yang ringan seperti gelembung dan penyambung pejal serta kemasukan segmen yang perlu dibawa dari Bumi,’’ katanya.
Sementara itu, wakil Foster + Partners, Xavier De Kestelier berkata, sebagai latihan, mereka membiasakan diri dengan keadaan iklim ekstrem di Bumi dan mengeksploitasi manfaat alam sekitar dengan menggunakan bahan-bahan tempatan yang kukuh.
“Penempatan di bulan akan mengikut logik yang sama seperti di Bumi,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penempatan-di-bulan-bakal-jadi-kenyataan-1.21951#sthash.f9HrfmS2.dpuf

Presiden termiskin dunia ditawar AS$1 juta

JOSE MUJICA hanya menaiki kereta klasik Volkswagen Beetle 1987
JOSE MUJICA hanya menaiki kereta klasik Volkswagen Beetle 1987 ketika mengundi dalam pilihan raya Presiden pada 26 Oktober lalu. – AGENSI
MONTEVIDEO 7 Nov. - Presiden Uruguay, Jose Mujica mengakui beliau menerima tawaran sebanyak AS$1 juta (RM3.26 juta) daripada seorang jutawan Arab yang mahu membeli kereta antik Volkswagen Beetle 1978 yang menjadi simbol kehidupan sederhananya.
Mujica, 79, yang disenaraikan sebagai presiden termiskin di dunia memberitahu majalah mingguan, Busqueda baru-baru ini tentang hasrat jutawan Arab yang tidak dinamakan itu untuk membeli keretanya yang berusia 27 tahun.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk menjual kereta tersebut kerana tidak berminat mengumpul kereta antik, tetapi tidak mengambil serius tentang tawaran itu.
“Jika saya mendapat wang sebanyak itu, saya akan menggunakan wang tersebut untuk program pembinaan rumah bagi gelandangan atau membeli trak atas kegunaan pejabat kesihatan awam Uruguay atau pekerja kempen.
“Sudah menjadi sifat manusia untuk memiliki minat terhadap sesuatu objek termasuk mengumpul kereta klasik,” kata Mujica apabila ditanya tentang sebab jutawan Arab yang sanggup berbelanja besar untuk membeli kereta tersebut.
Mujica telah menggunakan kereta berkenaan sejak bertahun-tahun termasuk selepas menjadi Presiden Uruguay pada 2010 selain dikenali sebagai pemimpin yang mengamalkan hidup bersederhana.
Beliau menyerahkan 90 peratus daripada AS$11,000 (RM36,718) duit gajinya sebagai Presiden pada setiap bulan kepada pusat kebajikan selain tinggal di sebuah rumah kecil terletak di pinggir ibu negara, Montevideo.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/presiden-termiskin-dunia-ditawar-as-1-juta-1.21947#sthash.khDNhiSa.dpuf

Friday, November 7, 2014

Wanita lahir bayi beruban

Beirut: Kelahiran seorang bayi dengan rambut beruban di kem pelarian Syria di Lubnan menjadi viral di negara itu. Ramai pengguna laman sosial menyifatkannya sebagai lambang kepada krisis yang berlaku di Syria.
Akhbar di Lubnan melaporkan, bayi lelaki itu dilahirkan oleh seorang pelarian Syria di Lubnan tetap tidak menyebut di mana.
Gambar bayi berkenaan dimuat naik di beberapa laman sosial negara itu.
Ada yang berkata, ia berpunca daripada penyakit sementara yang lain mendakwa, ia petanda hari kiamat sudah hampir.
“Keadaan bayi itu menggambarkan keadaan di Syria. Semoga Allah membantu ibu dan keluarganya. Ibunya melahirkannya selepas dia mengharungi tragedi. Semoga Allah membantu rakyat Syria,” komen seorang pembaca. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:01 AM


BAYI yang didakwa beruban sejurus selepas dilahirkan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7062#sthash.EjFN5VX1.dpuf

Kasih sampai mati

Beijing: Seorang lelaki di Shandong mengotakan janjinya untuk memperisterikan teman wanitanya yang menghidap barah.
Yu Haining, 24, dan Fan Huixiang, 25, yang bercinta sejak lima tahun lalu. Yu sanggup berhenti kerja selepas mendapat tahu kekasihnya menghidap barah, semata-mata mahu menjaganya.
Menurut doktor, Fan yang menghidap adenokarsinoma metastatik tahap empat mungkin hanya mempunyai beberapa bulan untuk hidup.
Fan mengakui sehingga minggu lalu dia masih ragu-ragu sama ada wajar mengahwini Yu.
“Setiap wanita mengidamkan untuk berkahwin namun hakikatnya saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan hidup. Tidak adil jika saya bersetuju mengahwininya namun ‘meninggalkannya’ pula nanti,” katanya.
Pasangan itu mengikat tali perkahwinan semalam dan masing-masing dilihat menunjukkan sijil kahwin mereka.
Julai lalu, seorang wanita di Changsha, wilayah Hunan melamar teman lelakinya yang mendapat rawatan kerana leukemia.
Ketika itu, teman lelakinya dilaporkan berkata: “Saya begitu teringin melihatnya berpakaian dan mengambil gambar seperti pengantin walaupun tidak dapat bersamanya di dalam gambar berkenaan.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:03 AM


YU dan Fan. menunjukkan sijil perkahwinan mereka, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7074#sthash.nKdTCIuX.dpuf

Marah kereta rosak

Rome: Seorang akauntan yang berang kereta barunya rosak bertindak luar jangkaan apabila melepaskan geram dengan ‘menyerang’ kenderaan itu menggunakan kapak.
Spartaco Capon, 35, yang tinggal di Lissone, Itali utara, membeli kereta Fiat 500 itu kerana tidak tahan menaiki pengangkutan awam yang tidak tepat waktu menyebabkan dia sering lambat ke tempat kerja, malah sudah diberi amaran oleh bosnya.
Namun Capon marah apabila kereta itu tidak berfungsi selepas hanya seminggu dibeli, mendorongnya melepaskan geram dengan menggunakan kapak ke atas kenderaan itu.
Jurucakap polis Anastasio Gallo berkata, beberapa anggota datang menyiasat selepas jiran mengesyaki dia melakukan vandalisme.
“Jarang sekali ada orang mahu merosakkan kereta sendiri namun lelaki itu berjaya membuktikan kenderaan itu miliknya.
“Kemungkinan besar dia dalam keadaan tertekan. Kami membawanya ke hospital dan kini di bawah pengawasan doktor,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:04 AM


KEADAAN kereta yang dikapak oleh Capon.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7081#sthash.BC8m2LFC.dpuf

Lelaki ‘bertelur’

Agensi
Jakarta: Seorang warga emas mendakwa, dia boleh bertelur sejak 1998 dan setakat ini tiada siapa tahu punca fenomena itu.
Kata Sinin, 62, polis juga pernah menyoal siasat - dan mengambil telurnya - selepas penduduk setempat kecoh mengenai ‘kelebihan’ dimilikinya.
“Mula-mula telur itu keluar dari dubur saya tiga bulan sekali, tetapi kini saya bertelur lebih kerap,” katanya.
Kini menetap di Penjaringan di Jakarta Utara, Sinin berkata, sehingga kini menurutnya, dia sudah mengeluarkan 202 biji telur, termasuk 100 biji yang keluar pada tahun 2000.
Kata Sinin, sesetengah telurnya dibuang begitu saja, manakala sebahagian lagi diberi kepada sesiapa yang berminat.
Menceritakan pengalamannya bertelur, Sinin berkata, mula-mula dia berasa sakit seperti memulas pada perut.
Lama-kelamaan, menurutnya, dia akan mengeluarkan telur melalui proses sama seperti orang membuang air besar.
Sehingga kini Sinin masih bingung untuk menjelaskan bagaimana kejadian itu berlaku.
“Cuma dulu saya pernah bermimpi ada seseorang memberi saya telur.
“Tiba-tiba saya boleh bertelur,” katanya.
Bagaimanapun, telur Sinin yang mirip seperti telur ayam tidak boleh keras apabila direbus.
Anak Sinin, Sunarto, 40, berkata dia pernah cuba merebus telur bapanya tetapi selepas satu jam, ia kekal seperti asal.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:14 AM


SEORANG lelaki tidak dikenali menunjukkan telur yang dikeluarkan Sinin (kiri).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7175#sthash.lAgmqpXc.dpuf

20 ulat berenga hidup dalam badan


Agensi - DUA ekor ular berenga yang dikeluarkan dari badan Ma.


BEIJING – Seorang lelaki di sini yang baru pulang dari Afrika terkejut selepas doktor mengeluarkan sebanyak 20 ekor ulat berenga yang masih hidup di bawah lapisan kulitnya.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Ma berada di Afrika selama enam bulan untuk bekerja dan sebaik pulang ke China dia mula berasa gatal di beberapa bahagian badannya.
Lelaki itu telah mendapatkan rawatan seorang pakar kulit di sebuah hospital di sini dan terkejut selepas doktor memberitahu bahawa terdapat ulat berenga di dalam badannya.
Agensi - KEADAAN kulit Ma yang mengelupas selepas dimasuki ulat berenga.


Kata doktor, ulat berenga tersebut dikesan berada di bahagian perut dan paha. Ulat itu juga didapati memakan tisu lelaki berkenaan yang menyebabkan dia berasa gatal.
Doktor yang membuat satu pembedahan kecil kemudiannya berjaya mengeluarkan kira-kira 20 ekor ulat berenga dari dalam badan lelaki tersebut.
Ulat berenga tersebut dipercayai berasal daripada sejenis langau yang dikenali sebagai Tumbu dan gemar bertelur dalam badan manusia atau haiwan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3IKoNrCeq 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, November 6, 2014

Tahanan paling lama Guantanamo akhirnya pulang ke Kuwait

MIAMI: Seorang tahanan yang ditahan paling lama di Teluk Guantanamo, Fawzi al-Odah, dihantar pulang ke Kuwait semalam.
Peguamnya, Eric Lewis, berkata al-Odah diberitahu pembebasannya akan datang tetapi beliau tidak tahu tarikhnya sehingga sebelum dibawa menaiki pesawat ke negaranya dari pangkalan udara di tenggara Cuba.
Al-Odah, 37, menjadi tumpuan berikutan usaha berterusan untuk mendapatkan pembebasannya yang disokong oleh kerajaannya.
Lewis, yang bercakap dengan Fawzi seminggu sebelum pembebasannya, berkata tahanan terbabit tidak mahu memikirkan apa-apa lagi dan hanya ingin meneruskan kehidupannya.
"Tiada kepahitan, tiada kemarahan.
"Hanya ada kegembiraan bahawa dia akan balik ke rumahnya," kata Lewis.
Al-Odah menghadapi tahanan minimum setahun di pusat pemulihan militan di penjara Kuwait di bawah perjanjian perpindahan.
Lewis berkata selepas enam bulan, al-Odah layak keluar sebahagian hari untuk menemui keluarganya atau bekerja.
Perpindahannya menjadikan jumlah tahanan di Teluk Guantanamo kini 148 orang. Dia adalah yang pertama sejak Mei lalu apabila Presiden Barack Obama menimbulkan kemarahan Kongres dengan menukar lima tahanan Taliban dengan Sarjan tentera Bowe Bergdahl tanpa memaklumkan ahli Parlimen.
Al-Odah berada di Guantanamo sejak Februari 2002, antara tahanan awal yang dibawa ke pangkalan berkenaan selepas disyaki mempunyai hubungan dengan al-Qaeda atau Taliban.
Pentadbiran Obama berikrar akan cuba menutup pusat tahanan itu, yang dibuka pada Januari 2002 dan pembebasan tambahan dijangka dilakukan dalam beberapa bulan lagi.
Ayahnya, Khalid al-Odah, berkata dalam beberapa temu ramah sejak beberapa tahun lalu, anaknya hanya seorang guru di Afghanistan dan tersalah serah kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mendapatkan ganjaran.
"Kadangkala isteri saya memanggil nama anak saya yang seorang lagi dengan nama Fawzi. Pada masa lain saya terbangun pada waktu malam dan mendapati isteri saya tidur di bilik Fawzi," kata ayahnya dalam temu ramah pada 2005. - AP

Melolong seperti serigala pergi, pulang sekolah


Melolong seperti serigala pergi, pulang sekolah
GUANGXI - CHINA. Danli Tan, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun tinggal di desa pergunungan daerah Chaimen, Nanxiang wilayah autonomi Guangxi, China.

Kisah Danli mula mendapat perhatian masyarakat apabila sebuah saluran televisyen di China telah mengeluarkan video kisah hidupnya yang begitu menyentuh perasaan.

Tatkala ditanya wartawan berapa masa yang diambil olehnya untuk pergi dan pulang ke sekolah, Danli berkata, dia mengambil masa hampir dua jam untuk meredah hutan ke sekolah.

Menjelajahi keheningan hutan, Danli akan membuat suara seperti serigala jika ingin pulang dari sekolah.

“Itu cara untuk saya mengusir binatang buas sepertimana yang diajar ayah kepada saya . Setiap kali pulang ke sekolah kalau dijalan tidak bersama orang lain saya akan melolong seperti itu,” katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai jari kakinya yang kelihatan seperti sakit, Danli menjawab kesakitan itu sudah biasa baginya.

Dalam pada itu, tinjauan wartawan itu mendapati bahawa dalam ‘hutan’ tersebut hanya kelihatan satu-satunya rumah kayu suku Maonan yang masih tinggal  iaitu rumah Tan Danli.

Rumahnya berselerak, bumbung rumahnya bocor. Ayahnya  seorang ‘doktor’ haiwan, namun sekarang menghidapi penyakit tua.

Sementara itu, rutin harian Danli adalah menyediakan makanan untuk ayahnya kerana ayahnya sudah tidak mampu untuk melakukan ‘aktiviti’ memasak, kerana sakit.

“Sebaik sahaja saya pulang daripada sekolah saya akan masak untuk ayah, dulu ayah yang masak tetapi sekarang ayah sakit, terutama matanya.

“Dia sudah bertahun-tahun menjaga saya, kini tiba masanya saya menjaganya pula,” kata Danli.

Untuk rekod Danli merupakan seorang pelajar yang cemerlang di sekolah, dia menduduki ranking kedua untuk keseluruhan pelajar di sekolahnya.

Jutawan China beli lukisan RM207 juta


Beijing: Seorang daripada tokoh paling kaya di China semalam dilapor membeli karya agung pelukis Vincent van Gogh yang bernilai hampir AS$62 juta (RM207 juta).

Menurut akhbar di Shanghai, pengerusi studio filem Huayi Brothers, Wang Zhongjun, membeli lukisan Still Life, Vase with Daisies and Poppies karya van Gogh pada 1890.

Lukisan itu dilelong firma Sotheby’s di New York dan dianggarkan bernilai antara AS$30 (RM100 juta) hingga AS$50 juta (RM166 juta).

Pembelian itu menjadikan Wang seorang lagi hartawan China membelanjakan begitu banyak wang untuk memperolehi karya seni antarabangsa.

Tahun lalu, seorang lagi hartawan Kumpulan Wanda, Wang Jianlin, membawa pulang lukisan Pablo Picasso berjudul Claude and Paloma bernilai AS$28 juta (RM93 juta).

Lukisan itu dihasilkan pada 1950.

Harga dikeluarkan adalah lebih dua kali ganda berbanding anggaran nilai sebenar iaitu AS$12 juta (RM40 juta).

Ketika itu syarikat terbabit dikecam kerana berbelanja keterlaluan dan patriotisme Wang dipertikaikan.

Kecaman sama turut ditujukan terhadap pembelian karya van Gogh semalam.

Seorang daripada pengguna laman mikro blog Sina Weibo berkata, tindakan Wang tidak ubah seperti seorang gila membeli lukisan seorang gila lain.

“Adakah begini dia membelanjakan semua wang pelabur? Membazir sungguh!” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:07 AM

LUKISAN berusia 124 tahun karya van Gogh dipamerkan kepada media di firma lelongan Sotheby’s di New York baru-baru ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6880#sthash.8A0RsLJu.dpuf

Tuesday, November 4, 2014

Amerika Syarikat milik 7,300 senjata nuklear


Gambar hiasan
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Penduduk bumi hari ini dikira bernasib baik kerana masih belum mengalami sebarang bencana besar nuklear sejak ledakan bom atom meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada tahun 1945.
 
Lebih 200,000 nyawa terkorban dalam bencana yang amat dahsyat itu.
 
Namun, hakikatnya ancaman bencana nuklear terhadap manusia dilihat semakin besar hari ini berbanding apa yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua memandangkan kemajuan pesat teknologi nuklear serta jumlah senjata itu yang ada begitu tinggi.
 
Ketika ini terdapat kira-kira 16,300 senjata nuklear di seluruh dunia yang mana daripada jumlah itu, 7,300 milik Amerika Syarikat (AS), Rusia (8,000), China (240), Perancis (300), United Kingdom (225), Israel (80), India (80-100), Pakistan (90-110) dan Korea Utara (1).
 
Kira-kira 4,400 daripada senjata itu diletakkan dalam keadaan berwaspada dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja.
 
"Mungkin memerlukan hanya empat hingga lapan minit untuk mana-mana jeneral atau presiden memutuskan sama ada mahu melancarkan senjata itu atau tidak", kata Profesor Gareth Evans dalam forum anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di Wisma Putra baru-baru ini.
 
Musnah hanya dengan menekan butang
 
Bagaimanapun, Evans yang juga mantan Menteri Luar Australia menyatakan perang nuklear mungkin berlaku bukan kerana tindakan kejam seorang 'penyangak' tetapi lebih kepada kesilapan sistem atau manusia akibat salah jangkaan atau salah anggapan.
 
"Jadi jika setakat ini masih belum ada bom nuklear yang meletup dan meragut nyawa kita, ia  bukan kerana pengurusan atau pentadbiran yang tegas tetapi lebih kepada nasib semata-mata", kata Evans.
 
Beliau turut menyatakan bahawa dunia sejagat termasuk Malaysia boleh terjejas teruk walaupun perang nuklear yang meletus itu hanya melibatkan kawasan kecil dunia.
 
Kebenaran yang menekan
 
Buku "Nuclear Weapons: The State of Play" menyatakan bahawa risiko perang nuklear semakin meningkat di sebalik jumlah senjata nuklear yang lebih kecil berbanding sewaktu Perang Dingin.
 
Ini memandangkan lebih banyak negara di rantau yang semakin tidak stabil di samping jumlah kumpulan pengganas yang kian meningkat berterusan mencari untuk memiliki senjata nuklear.
 
Sementara itu, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff berkata pada majlis yang sama, amat menyedihkan bahawa usaha pelucutan senjata yang menjadi keutamaan tertinggi masyarakat antarabangsa masih jauh daripada sasarannya.
 
"Kurang kesungguhan politik akan terus menjejaskan usaha mencapai permuafakatan di samping menjadikan usaha pelbagai jentera ke arah pelucutan kurang berhasil", katanya ketika Perhimpunan Agung PBB di New York bulan Oktober lepas.
 
Sementara itu, Evans menjelaskan bahawa semua negara yang mempunyai senjata nuklear termasuk China, Perancis, United Kingdom, Rusia dan AS yang kelima-limanya ahli Perjanjian Pengawalan Senjata sepatutnya komited kepada pelucutan senjata itu tetapi setakat ini tidak melakukan apa-apa ke arah matlamat itu.
 
Katanya, tidak ada satu negara yang mempunyai senjata nuklear memberi komitmen kepada sebarang jadual untuk mengurangkan stok simpanan itu, apa lagi untuk menghapuskannya.
 
Tambah beliau, stok simpanan nuklear kian meningkat terutama di Korea Utara dan sebagai tambahan kepada itu, program nuklear Iran.
 
"Apa yang berlaku sekarang sememangnya mudah untuk menjadikan kita pesimis dan melupakan sahaja usaha pelucutan senjata tetapi itu menunjukkan kita sudah berputus asa", kata Evans.
 
Yakin dengan generasi akan datang
 
Bagaimanapun, Evans tetap optimis dan menggesa generasi muda mengambil giliran untuk bertindak.
 
Antara langkah penting yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang panjang ini ke arah dunia bebas senjata nukleaer adalah untuk berhujah secara berterusan untuk menghapuskan senjata nuklear.
 
Contohnya, untuk menghapuskan kepercayaan senjata nuklear sebenarnya penstabil keamanan dalam kalangan kuasa besar.
 
Ini perlu dilakukan secara berterusan menerusi ucapan dan penulisan bagi memastikan mesej itu dihayati pembuat dasar.
 
Beliau juga menekankan fokus juga perlu diberi kepada mengurangkan proses senjata nuklear sebelum membuat jadual untuk pelucutan senjata itu sepenuhnya.
 
"Secara jujur kita perlu akur kita tak akan berjaya mencapai pelucutan senjata 100 peratus dan pastinya juga kita tak akan dapat mencapainya, katakan menjelang 2030.
 
"Perlu ada dua peringkat penting, pertama, meminimumkan dan kemudian menghapuskan. Mungkin proses ini tidak akan selancar yang diharapkan.
 
"Apabila kita bergerak daripada angka yang rendah kepada sifar, bukan sahaja ada sekatan psikologi dan geopolitik tetapi juga halangan teknikal yang serius di samping, pengesahan dan penguatkuasaan", katanya. - Bernama

10 tahun tak keluar rumah

Al-Ahsa: Kerana gemuk melampau, Adam Mohammad Abdulhamid Al-Jasim 28, sudah 10 tahun tidak keluar rumah.
Sepanjang tempoh itu, lelaki yang mempunyai berat badan 400 kilogram itu hanya menghabiskan masa di atas katil kerana tidak berupaya melakukan aktiviti fizikal paling ringan, seperti berdiri, berjalan atau merangkak.
Adam yang kini menetap di rumah di Al-Hofouf di Al-Ahsa yang besarnya hanya 40 meter persegi berkata, dia menghabiskan sekolah rendah dan tinggal di rumah.
“Berat badan saya meningkat cepat dan sejak itu saya tidak boleh bergerak,” katanya.
Walaupun keadaannya serius, Adam tidak mendaftarkan diri untuk mendapat bantuan.
Dia yang hidup miskin berharap akan dapat berjalan dan bekerja untuk membaiki keadaan keluarganya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM


ADAM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6307#sthash.T3tgXrXV.dpuf

62 kali kahwin

Kaherah: Seorang lelaki, Abu Shadeed, berkata, dia kahwin kali pertama ketika berusia 16 tahun dan sehingga ini sudah 62 kali berumah tangga, tiga daripadanya masih menjadi isterinya yang sah,
Lelaki itu yang namanya bermakna ‘bapa kekuatan’ dalam bahasa Melayu berkata, dia tidur dengan isterinya lima kali sehari dan hidup dengan makan daging mentah serta ikan dengan tulangnya sekali.
Ketika muncul dalam rancangan terbitan rangkaian televisyen Al Hayat, semalam, Abu Shadeed dan beberapa anaknya mengejutkan penonton apabila mereka makan rumput.
“Saya makan rumput hanya untuk membuka selera. Makan seharian saya ialah daging mentah dan ikan, yang saya makan dengan tulangnya sekali. Saya juga boleh makan arang yang masih terbakar,” katanya
Menurutnya, dia ketika ini mempunyai tiga isteri selepas menceraikan yang keempat atas alasan wanita itu menyokong Ikhwanul Muslimin.
“Saya sudah berkahwin 62 kali. Kebanyakan mereka berkahwin dengan saya kerana tenaga luar biasa saya. Saya tidur dengan isteri saya lima kali sehari.
“Saya tidak ambil ubat perangsang atau dadah. Kekuatan saya adalah anugerah Tuhan.
“Saya kini merancang mencari isteri keempat dan dia perlu langsing serta berkulit sawo matang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:16 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6434#sthash.o5JKtqNg.dpuf

Monday, November 3, 2014

Dibunuh kerana tukar lirik lagu

Seoul: Presiden Korea Utara Kim Jong Un dilapor mengarah seorang pegawai kanan tenteranya diheret keluar dari rumah dan ditembak oleh skuad penembak kerana mengubah seni kata lagu kebangsaan negara itu ketika berkaraoke.

Kim dilapor berang selepas mengetahui lelaki itu mengubah senikata yang bermaksud ‘terima kasih kepada parti kami’ kepada ‘terima kasih kepada parti anda’ dan ‘Bencikan musuh anda, cinta negara anda,’ kepada ‘Bencikan isteri anda, cintakan wanita simpanan anda.’
Pemimpin tertinggi Korea Utara berkata, tindakan lelaki itu adalah tanda memberontak dan dia diheret keluar dari rumahnya sebelum ditembak mati keesokannya.
Laporan dari Korea Selatan menyatakan, lelaki itu mulanya melakukan kesilapan, tetapi selepas menyedarinya, dia cuba berjenaka.
Baru-baru ini, beberapa bekas pemimpin tentera juga mati ditembak skuad penembak selepas mereka ditangkap menonton drama Barat.
Sebelum ini, menyanyi lagu patriotik dianggap sebagai mengisi masa terluang, tetapi kini ia mungkin dikaji memandangkan ada risiko untuk dihukum bunuh jika tersilap lirik. 
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6084#sthash.ZK1WtUUY.dpuf

Mayat pemuda jadi ‘bomoh’

Basey, Samar (Filipina): Pada September 1981, Guillermo Jacobe meninggal dunia selepas dirawat tiga hari di hospital kerana komplikasi usus.
Tiga hari kemudian - selepas semua ritual dilakukan - mayat Guillermo ditanam seperti sepatutnya.
Beberapa malam kemudian kakak Guillermo, Remedios Tagana, 55, bermimpi pemuda terbabit meminta digali semula secepat mungkin kerana dia masih hidup.
Mimpi itu diberitahu kepada bapa mereka, Francisco Jacobe, 92, yang enggan mempercayainya.
Malam berikutnya Remedion bermimpi perkara sama sekali lagi dan ia mendorong mereka sekeluarga menggali semula kubur berkenaan pada November 1981.
Sumber berkata, mereka terkejut apabila mendapati mayat Guillermo tidak banyak berubah.
Keranda itu dibawa pulang untuk membolehkan mayat Guillermo dibersihkan dan ketika itulah ibunya, Illuminada, 77, mendapati tubuh pemuda terbabit seperti berpeluh.
Kata Illuminada, sejak itu mereka menyimpan tubuh Guillermo di rumah dan dia menukar pakaian anaknya setiap Ahad.
“Pada ketika tertentu, saya berborak dengan dia, terutama ketika badan saya sakit.
“Nampaknya kesakitan itu hilang selepas beberapa jam kemudian,” katanya.
Lebih menarik, Guillermo juga dilaporkan boleh ‘membantu’ menyembuhkan penyakit orang lain.
Sejak itu rumah mereka kerap dikunjungi orang ramai yang ingin mencuba kemujaraban ‘kuasa’ Guillermo.
Seorang daripada mereka berkata, pesakit hanya perlu berbisik kepada mayat Guillermo mengenai masalah dihadapi.
“Ia akan hilang tidak lama kemudian,” katanya.
Selepas 33 tahun, mayat Guillermo dilaporkan masih utuh dengan gigi, wajah, kulit tangan dan salur darahnya masih elok.
Keluarga itu juga berikrar menjaga Guillermo sehingga akhir hayat mereka. 
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 AM


PASANGAN suami isteri Jacobe bersama mayat Guillermo di rumah mereka di Sitio Biga.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6093#sthash.vWxNTegy.dpuf

Berhenti kerja demi cinta

Henan: Seorang pemuda berusia 24 tahun di Shandong sanggup berhenti kerja dan berpindah ke Henan untuk menjaga kekasihnya yang menghidap barah.
Yu Haining menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya, Fan Huiziang, 25, sejak lima tahun lalu.
Selepas mengetahui kekasihnya itu disahkan menghidap barah Jun lalu, dia serta-merta meletakkan jawatan untuk menjaganya.
Yu bersungguh-sungguh mahu mengahwini Fan secepat mungkin.
“Tidak kira apa yang berlaku pada masa depan, saya akan sentiasa bersamanya,” kata lelaki itu kepada wartawan ketika ditemui di hospital di Henan.
“Kerana cinta, saya memegang erat tangan kamu. Kerana cinta juga, saya mengharapkan keajaiban. Saya berharap sangat anda bersetuju menjadi isteri saya dan terima saya menjadi suami kami,” kata Yu kepada kekasihnya itu.
Fan pula berkata, perasaannya bercampur-aduk walaupun mengaku bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga dengan Yu.
“Semua wanita mahu berkahwin. Tetapi saya tidak pasti berapa lama lagi saya boleh hidup. Jika saya bersetuju menerima lamarannya dan meninggalkannya kemudian, apa yang boleh dia lakukan,” kata wanita itu.
Kisah cinta Yu itu mendapat pujian ribuan pengunjung laman sosial.
Seorang pengunjung menulis: “Anda meyakinkan saya mengenai cinta.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 AM


YU menyuapkan makanan kepada kekasihnya di hospital di Henan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6105#sthash.C8wIHhBq.dpuf

Cinta tak kenal jantina

Nakhon Ratchasima: Seorang anak perempuan pengusaha kedai pembekal bahan binaan semalam dikahwinkan dengan pasangannya juga seorang perempuan dengan hantaran simbolik bernilai THB200,00 (RM20,000) dan sedikit emas.
Majlis meriah itu diadakan di bandar Nakhon Ratchasima.
Bagaimanapun, disebabkan keanehan pasangan Piyanat Sae Kim dan Yupa Chanmuenwai itu, ia tidak lepas daripada diperkatakan orang ramai.
Yupa, 31, membawa sendiri hantaran itu untuk keluarga Piyanat.
Menurut sumber, Piyanat, 25, menjalin hubungan romantik dengan Yupa sejak dua tahun lalu sebelum mereka bersetuju ‘disatukan’ sebagai suami isteri.
Yupa ialah seorang kakitangan bank tempatan.
Kata sumber, rumah mereka terletak berhampiran dan sering bertembung secara kebetulan.
“Lama-kelamaan, timbul perasaan cinta sesama mereka dalam diam.
“Pada suatu hari Yupa memberanikan diri mengajak Piyanat keluar,” katanya.
Selepas mencurahkan isi hati masing-masing, pasangan terbabit masih berdepan cabaran untuk hidup sebagai pasangan bahagia.
Bagaimanapun, kata sumber, kesukaran itu dapat diatasi selepas Yupa memenangi hati ibu bapa Piyanat yang kagum dengan sikap berdikari dan tekun bekerja ditunjukkannya.
Ketika ini Thailand tidak mempunyai undang-undang menguruskan perkahwinan sejenis walaupun parti Demokrat dan Pheu Thai bersetuju menubuhkan panel bersama untuk menggubal peraturan mengenainya tahun lalu.
Tidak dapat dipastikan nasib cadangan itu kerana tentera merampas kuasa daripada Yingluck Shinawatra pada Mei lalu.
Melalui rang undang-undang itu, warga Thailand berusia sekurang-kurangnya 20 tahun boleh mendaftar perkahwinan sama jantina jika mereka boleh membuktikan kedua-duanya tidak bersaudara dan belum berumah tangga.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:10 AM


YUPA (kiri) dan ‘isterinya’ disahkan sebagai pasangan suami isteri dalam majlis tradisional di Nakhon Ratchasima semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6115#sthash.82sbgDvq.dpuf