Pages

Tuesday, August 19, 2014

Buaya 458kg berjaya ditangkap


Keluarga Stokes berjaya menangkap seekor buaya gergasi seberat 458 kilogram berhampiran Thomaston, Alabama, Sabtu lalu. - AGENSI
ALABAMA 18 Ogos - Sebuah keluarga di sini berjaya menangkap seekor buaya gergasi dan direkodkan sebagai tangkapan buaya terbesar di negeri ini, kelmarin.
Portal Mail Online melaporkan, reptilia yang berukuran 457 sentimeter panjang dan seberat 458 kilogram itu berjaya ditangkap oleh keluarga Stokes berhampiran Thomaston, di sini.
Mandy Stokes berkata, dia bersama ahli keluarga termasuk suaminya, John, abang iparnya, Kevin Jenskins dan dua anaknya, Savanah dan Parker mengambil masa selama 10 jam untuk menangkap buaya gergasi itu.
Mereka sebelum itu, mula memburu buaya tersebut sejak malam Jumaat sehingga berlarutan keesokan paginya.
Mandy berkata, mereka sekeluarga melalui pelbagai rintangan untuk menangkap buaya itu, sebelum bertarung dengan haiwan ganas tersebut dan membuat keputusan membunuhnya.
"Pada awalnya, keadaan adalah tenang tetapi selepas menariknya ke darat, buaya itu mula mengamuk," ujar Mandy.
Binatang tersebut akhirnya terpaksa diangkat menggunakan jentolak dan ditimbang.
Buaya tersebut kini secara rasmi dinamakan sebagai buaya yang paling besar di Alabama, yang membenarkan penangkapan buaya, sekali gus mencatatkan rekod baharu.
Jun lalu, Safari Club International mengumumkan seekor buaya seberat 390 kilogram dan sepanjang 426 sentimeter panjang dibunuh di Chalk Creek berhampiran Lufkin, Texas oleh Justin Well dari Bossier City.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140819/lu_12/Buaya-458kg-berjaya-ditangkap#ixzz3AmpyQypH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, August 18, 2014

20,000 mati setahun


Riyadh: Kira-kira 20,000 orang mati di Arab Saudi akibat penyakit yang berkait dengan obesiti setiap tahun.

Persatuan Pencegahan Diabetik negara itu memberi amaran jumlah pesakit kencing manis mungkin meningkat memandangkan pertambahan jumlah penduduk obes.

Menurutnya, lebih tiga juta penduduk Saudi berdepan dengan masalah berat badan melampau walaupun kerajaan berusaha mengekang fenomena itu menerusi program pendidikan kesihatan di sekolah.

“Penyakit ini bukan saja mengancam kesihatan rakyat, tetapi juga ekonomi Saudi,” kata persatuan itu.

Ia menggesa kerajaan melaksanakan langkah serta-merta bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat, termasuk memaksa mereka mengubah gaya hidup.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Padah terlalu banyak tindik


Menurut laporan akhbar Emarat Al Youm, Rolf dihantar semula ke Turki.
Sumber yang dipetik laporan itu menyatakan, muka lelaki itu penuh dengan tindikan, berlubang dan juga mempunyai dua ‘tanduk’ pada dahinya.

“Orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ketakutan melihat penampilannya,” menurut laporan itu.
Foto
ROLF miliki 453 lubang pada muka, telinga dan anggota tubuh.

Buchholz dikatakan datang ke Dubai untuk muncul di satu pertunjukan kelab malam yang mempamerkan orang paling ganjil di dunia.

Dia hadir sebagai orang paling banyak lubang pada muka, telinga dan anggota tubuh lain - 453 semuanya.

Menurut laporan media, Buchhoz, pengatur cara komputer, menjalani pembedahan plastik besar-besaran untuk mendapatkan penampilan sedemikian.

Dia diiktiraf oleh Buku Rekod Guinness pada 2012 selaku lelaki paling banyak bertindik di dunia.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Badak sumbu diangkut dengan helikopter



GAMBAR menunjukkan seekor badak sumbu dipindahkan dengan menggunakan sebuah helikopter.


CAPE TOWN - Lebih 500 ekor badak sumbu termasuk badak sumbu hitam dipindahkan dengan menggunakan helikopter, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Haiwan-haiwan itu dipindahkan melalui helikopter kerana ia menjadi sasaran pemburu-pemburu haram ekoran permintaan tinggi terhadap tanduknya sejak kebelakangan ini.
Angka itu menunjukkan peningkatan pembunuhan yang mengejutkan apabila hanya 13 ekor badak sumbu dibunuh pada tahun 2007 berbanding 1,004 haiwan itu dibunuh pada tahun lalu.
Pada tahun ini, sebanyak 630 badak sumbu kehilangan nyawa dan 408 ekor daripada jumlah itu dibunuh di Taman Negara Kruger, timur laut Afrika Selatan.
Pengurus projek memindahkan haiwan itu, Dr. Jacques Flamand berkata: "Kami kerap menggunakan lori untuk memindahkan badak-badak sumbu itu kerana laluan yang teruk atau diterbangkan melalui udara.
"Prosedur itu membuktikan helikopter lebih selamat digunakan. Sebagai seorang doktor haiwan, itu adalah pilihan saya kerana ia cepat dan tidak berbahaya untuk badak sumbu itu," katanya.
Menurutnya, kesemua badak sumbu itu telah mula makan sebaik sahaja ia dibebaskan.
Pada kebiasaannya, sebuah helikopter akan mengambil kurang dari 10 minit untuk memindahkan badak sumbu itu.
Dalam pada itu, sebuah klip video menunjukkan seekor badak sumbu hitam diterbangkan dari Taman Negara Kruger, timur laut Afrika Selatan ke tanah rizab yang seluas 34,000 hektar di Kwa Zulu Natal, Afrika Selatan.
Kaki dan tangan haiwan itu diikat sebelum dipindahkan ke kawasan itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Ah72ICdE 
Hakcipta terpelihara 

Penyelidik temui asteroid akan hentam Bumi pada tahun 2880



GAMBAR lakaran artis menunjukkan sebuah asteroid menghentam Bumi.


WASHINGTON - Sekumpulan penyelidik di Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS) menjumpai sebuah asteroid gergasi yang berkemungkinan menghentam Bumi pada tarikh 16 Mac 2880, lapor akhbar MailOnline semalam.
Semua kehidupan dijangka mati ekoran hentaman tersebut.
Walaupun peluang untuk asteroid sepanjang satu kilometer yang dikenali sebagai 1950 DA menghentam Bumi adalah satu bagi setiap 300 tetapi bagi pandangan para saintis, peluang objek berkenaan berlanggar dengan Bumi tetap ada.
Menurut laporan yang disiarkan di jurnal Nature, para saintis memberitahu, asteroid berkenaan mempunyai diameter hampir satu kilometer dan bergerak dengan kelajuan kira-kira 14 kilometer sesaat menuju ke Bumi.
Asteroid berkenaan juga berputar dengan sangat pantas iaitu sekali dalam tempoh dua jam dan enam minit.
Dengan putaran sepantas itu, asteroid berkenaan sepatutnya berpecah tetapi satu tenaga yang dikenali sebagai van der Waals menjadikan batu angkasa itu tetap tidak terbelah.
Menurut para saintis, mereka tidak pernah menemui tenaga seperti itu pada sesebuah asteroid.
Sekiranya asteroid berkenan menghentam Bumi ia akan berlanggar pada kelajuan 61,155 kilometer sejam dan menghasilkan tenaga menyamai kuasa 44,800 megatan trinitrotoluena (TNT).
Impak pelanggaran itu menyebabkan letupan yang sangat besar dan kejadian tsunami serta mengubah iklim Bumi serta memusnahkan semua kehidupan di Bumi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Ah6qdUI3 
Hakcipta terpelihara 

Ribuan penduduk Jepun simbah air



SEBAHAGIAN peserta perarakan memakai pakaian tradisi di Festival Hachiman Fukugawa di pinggir Tokyo semalam.


TOKYO - Beribu-ribu penduduk menyaksikan satu festival musim panas yang berlangsung berhampiran sebuah kuil di pinggir bandar ini semalam.
Pada festival itu, beribu-ribu peserta berbaris di sebatang jalan menuju ke Kuil Tomioka Hachimangu yang terletak di pinggir bandar Tokyo.
Para pembawa binaan yang mempunyai kaitan dengan legenda Hachiman iaitu seorang pahlawan Samurai itu berarak dengan memakai pakaian tradisi.
Mereka kemudian akan disimbah air oleh orang ramai.
Festival tahunan itu merupakan antara acara popular di Tokyo dan disambut selama beberapa hari pada setiap musim panas. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Ah5aVmO8 
Hakcipta terpelihara 

Banduan sertai pertandingan panjat tiang licin di Bali



BANDUAN-BANDUAN memanjat tiang licin di Penjara Kerobokan, Bali semalam.


BALI - Sebuah penjara di sini menganjurkan pelbagai acara sebagai menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-69 semalam.
Antara acara yang dianjurkan adalah pertandingan memanjat tiang licin yang disertai oleh beratus-ratus banduan termasuk wanita.
Dalam pertandingan tersebut, beberapa kumpulan banduan termasuk warga asing di Penjara Kerobokan akan memanjat tiang yang telah disapukan gris untuk mengambil hadiah dan bendera yang diletakkan di atas tiang.
Turut menyertai pertandingan tersebut beberapa banduan asing termasuk wanita. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Ah6NpOkj 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, August 17, 2014

Ikan kerapu gergasi dijual RM9,120


  • Kong Yoong (kanan) bergambar dengan ikan kerapu gergasi.Kong Yoong (kanan) bergambar dengan ikan kerapu gergasi.

ALOR SETAR - Sekumpulan nelayan di perairan Kuala Kedah gempar apabila pertama kali berjaya menangkap ikan kerapu harimau gergasi sepanjang 2.1 meter seberat 152 kilogram (kg).

Ikan yang dikenali sebagai ‘loong tan’ dalam kalangan masyarakat Cina ditangkap nelayan Khamis lalu.

Pemborong ikan, Ng Kong Yoong, 37, tidak menyangka akan mendapat hasil tangkapan seperti itu kerana kebiasaannya hanya memperolehi ikan kecil.

“Biasanya ikan yang kami tangkap adalah lebih kecil dan mempunyai berat kurang dari 100 kg. Tetapi, sejak tiga tahun berniaga, inilah kali pertama saya mendapat hasil tangkapan terbesar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjual ikan itu kepada sebuah restoran makanan laut di sini dengan harga RM9,120.

Askar AS cemar mayat Taliban ditemui mati


  • Askar AS cemar mayat Taliban ditemui mati

CAROLINA UTARA - AMERIKA SYARIKAT. Bekas penembak tepat yang menimbulkan kontroversi selepas membuang air kecil pada mayat pejuang Taliban, ditemui mati Jumaat lalu.

Koperal Robert Richards, 28, ditemui mati oleh isterinya di rumah mereka di Jacksonville.

Peguam Richards, Guy Womack memberitahu, tidak terdapat sebarang unsur jenayah atau bunuh diri dalam kes kematian askar AS berkenaan.

Punca kematian mungkin disebabkan perubahan ubat-ubatan yang diambil oleh Richards.

Richards diturunkan pangkat setelah video menunjukkan beliau membuang air kecil pada tiga mayat pejuang Taliban dimuat naik ke YouTube.

Video yang dirakam pada 2012 tersebut dikecam masyarakat antarabangsa dan menaikkan kemarahan di Timur Tengah.

Nama Muhammad paling popular



London: Muhammad menjadi nama paling popular untuk bayi lelaki di England dan Wales tahun lalu.

Satu kajian yang hasilnya diumumkan semalam bagaimanapun berkata, nama itu tidak berada di tempat teratas senarai nama paling banyak digunakan kerana ia dieja berbeza.


Ejaan Muhammad, Mohammed dan Mohammad, apabila digabungkan, jumlahnya mencecah 7,445.

Kajian itu sebaliknya menyenaraikan Oliver secara rasmi sebagai nama terpopular dengan jumlah 6,949.


Harry, nama paling popular di kalangan bayi yang dilahirkan di England dan Wales pada 2012, kini menduduki tempat kedua.


Untuk bayi perempuan, Amelia kekal di tempat pertama untuk tahun ketiga berturut-turut, mendahului Olivia dan Emily.

Kebanyakan bayi yang dinamakan Muhammad tertumpu di bandar raya London dan Midland Barat sementara Oliver di tenggara, Wales Selatan dan Wales.


Tahun lalu turut menyaksikan George memasuki senarai 10 nama paling popular berikuran kelahiran Putera George.



Nama kerabat diraja Britain, Willilam, Harry dan George kini menguasai tiga daripada 10 tempat dalam senarai nama paling popular di Britain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada: 2014/08/17

Firma AS bina senjata digital godam komputer


WASHINGTON - Sebuah firma Amerika Syarikat (AS) didakwa membina perisian intipan yang berfungsi sebagai senjata digital untuk dijual di luar AS.
Akhbar The Washington Post baru-baru ini melaporkan teknologi canggih itu diperoleh firma AS berkenaan, CloudShield daripada konglomerat Britain, Gamma Group beberapa tahun lalu.
Perisian intipan itu mampu menggodam dan menguasai komputer, menyalin fail komputer atau mendengar perbualan telefon internet seperti Skype selain mengaktifkan kamera web secara senyap.
Menurut The Washington Post, teknologi yang diperoleh Gamma Group digunakan oleh CloudShield untuk membina perisian dan peralatan serupa dikenali sebagai CS-2000.
Akhbar berkenaan turut diberitahu, CloudShield kemudian menjual CS-2000 kepada Tentera Udara AS dan pelanggan Pentagon lain yang digunakan untuk melindungi rangkaian komputer masing-masing.
Perisian CloudShield itu menjadi batu loncatan kepada firma-firma lain membina aplikasi serupa yang boleh digunakan untuk menyerang sistem komputer milik kerajaan atau swasta.
Peralatan dan aplikasi intipan itu boleh dihantar untuk menyerang sistem komputer melalui grid internet antarabangsa.
Akhbar sama menyatakan, perkhidmatan perisikan boleh menggunakan perisian itu untuk mengintip komunikasi dan mencuri fail pengguna. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3AbGR3nmq 
Hakcipta terpelihara 

41 telefon bimbit simpan 1 gram emas


SEBUAH telefon bimbit dilaporkan mengandungi emas pada nilai sekitar AS$1.67. - Gambar hiasan


LONDON - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan mengenai sisa elektronik menyatakan, sebanyak 1 gram emas digunakan dalam pembuatan 41 buah telefon bimbit, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Pada bulan lalu, perkara serupa dinyatakan oleh Pesuruhjaya Eropah Tentang Alam Sekitar, Janez Potocnik.
"Terdapat emas dalam sisa buangan (telefon bimbit)," katanya ketika berucap membentangkan sasaran program kitar semula Kesatuan Eropah (EU).
"Sebanyak 1 tan bijih diperlukan untuk mendapatkan hanya 1 gram emas tetapi jumlah sama boleh diperoleh dengan mengitar semula 41 buah telefon bimbit," tambahnya.
Ketika diminta mengulas laporan PBB dan EU tersebut, firma teknologi di Brussels, Umicore dalam satu temu bual bersama BBC berkata, jumlah 1 gram emas itu terkandung dalam cuma 35 buah telefon bimbit.
Berdasarkan harga pasaran semasa, sebuah telefon bimbit mengandungi emas bernilai sekitar AS$1.67 (RM5.30).
Kesedaran itu mendorong Potocnik untuk menggesa program kitar semula lebih efektif melibatkan 600 juta tan bahan boleh diguna yang terkandung dalam sisa buangan di Eropah.
"Kami mencadangkan untuk menjadikan EU sebagai masyarakat tanpa pembaziran," katanya.
Mengulas isu sama seorang pakar Britain, Dave Holwell memberitahu, kira-kira 2,700 tan emas dihasilkan pada setiap tahun di seluruh dunia atau sekitar 7.4 tan sehari.
"Kita boleh mendapat jumlah sama dengan mengitar semula 300 juta telefon bimbit," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3AbGAADWB 
Hakcipta terpelihara 

Budak 11 tahun atasi IQ Einstein, Hawking



SEORANG budak lelaki dari Britain, Ramarni (kiri) memperoleh markah tertinggi dalam satu ujian kecerdasan minda (IQ) sekali gus mengatasi Albert Einstein (tengah) dan Stephen Hawking.


LONDON - Seorang budak lelaki Britain, Boffin Ramarni Wilfred, 11, memperoleh markah tertinggi dalam satu ujian kecerdasan minda (IQ) sekali gus mengatasi IQ dua saintis ternama Stephen Hawking dan pengasas Microsoft, Bill Gates.
Markah yang diperoleh Boffin turut mengatasi kecerdasan saintis legenda, Albert Einstein.
Ujian Q itu diadakan oleh Mensa iaitu sebuah pertubuhan global dianggotai oleh mereka yang mempunyai IQ tinggi.
Boffin dikesan memiliki IQ tinggi apabila dia sudah boleh membaca ensiklopedia ketika masih bergelar anak kecil.
Dia memperoleh markah sebanyak 162 dalam ujian IQ Mensa berbanding Hawking dan Gates yang masing-masing mendapat 160 markah.
Semasa berusia 10 tahun, Boffin yang masih berada di sekolah rendah telah menulis esei falsafah untuk Universiti Oxford.
"Namun, dia masih seperti kanak-kanak lain. Anak saya gemar menonton saluran Disney dan membaca komik." kata ibunya, Anthea, 37 yang inginkan anaknya membesar sama seperti kanak-kanak lain.
Menurut Pengarah Eksekutif Mensa, John Stevenage, markah yang diperoleh Ramarni sangat baik dan menunjukkan dia mempunyai potensi yang hebat.
Ramarni yang kini berada di sekolah menengah berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dan bercita-cita untuk menjadi pakar astrofizik. - Agensi


Artikel terpelihara  
 

Friday, August 15, 2014

Pengantin silap rumah


Sanaa (Yaman): Seorang pengantin perempuan dibawa ke rumah pengantin lelaki lain oleh rombongan yang mengiringinya.

Dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian yang memalukan itu pada saat akhir.

Penduduk kampung berhampiran Sanaa berbaris di sepanjang jalan raya untuk menyambut ketibaan pengantin perempuan berkenaan yang menaiki sebuah kereta mewah dengan diiringi kenderaan lain sambil mereka membunyikan hon kenderaan masing-masing untuk memeriahkan suasana.

Apabila rombongan itu tiba di rumah pengantin lelaki terbabit, satu rombongan pengantin perempuan lain juga berhenti berhampiran rumah sama.

“Hon kenderaan dan muzik dihentikan tiba-tiba dan orang ramai mula ketawa.



Anggota keluarga pengantin lelaki meluru keluar dari rumah dan memberitahu rombongan pengantin perempuan pertama bahawa mereka tersilap pengantin lelaki dan salah rumah,” lapor media tempatan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

200 pesakit hidup diisytihar mati


Melbourne: Sebuah hospital semalam memohon maaf selepas tersilap menghantar notis kepada doktor lebih 200 pesakit untuk memaklumkan mereka bahawa pesakit terbabit meninggal dunia.

Notis itu sepatutnya dihantar untuk memberitahu bahawa pesakit berkenaan sudah dibenar pulang.

Kesilapan Hospital Austin di Melbourne itu dikesan dalam masa beberapa jam dan doktor dimaklumkan mengenai kekeliruan itu.

Bagaimanapun, ia agak terlewat apabila seorang doktor menghubungi keluarga pesakitnya untuk mengucapkan takziah.

Austin Health yang mentadbir hospital itu berkata, ia tersilap menghantar notis berkenaan selepas perubahan pada templat notis pemberitahuan kematian pada komputer digunakan untuk templat notis pemberitahuan keluar hospital.

“Sebaik menyedari kesilapan itu, kami serta-merta menghubungi semua doktor terbabit.



Kami memohon maaf dan mengaku ia kesilapan di pihak kami,” kata jurucakap Austin Health, Taryn Sheehy.

Presiden Persatuan Perubatan Australia cawangan Victoria, Tony Bartone berkata, kesilapan itu tidak boleh diterima.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Restoran robot


Pekerja mekanikal itu menyambut pelanggan, menghantar makanan ke meja, malah memasak makanan di restoran yang dibuka secara rasmi minggu lalu.
“Anak saya meminta saya mencipta robot kerana dia tidak gemar melakukan kerja rumah,” kata pengasas restoran Song Yugang.

Dua robot ditempatkan di pintu untuk mengala-alukan ketibaan pelanggan, sementara empat digunakan untuk menghantar makanan ke meja.
Foto
ROBOT juga digunakan untuk memasak.
Foto
ROBOT pelayan menghantar makanan kepada pelanggan.

Di dapur, dua robot biru dengan mata merah menyala digunakan untuk memasak sementara satu lagi ditugaskan untuk membuat kuih.

Menurut Song, setiap robot berharga kira-kira 40,000 yuan (RM21,000), hampir sama dengan gaji tahunan pekerja biasa.

“Robot itu boleh memahami 40 ayat yang biasa digunakan setiap hari. Mereka tidak akan sakit atau memohon cuti. Selepas dicas selama dua jam, mereka boleh bekerja selama lima jam,” kata Song.

Restoran itu bagaimanapun bukan yang pertama menggunakan khidmat robot.

Sebuah restoran di Harbin, timur laut China menggunakan khidmat pekerja seperti itu sejak 2012.

Bagaimanapun, robot yang digunakan untuk memasak mempunyai kepintaran terhad. Mereka perlu dibantu oleh pekerja biasa.

Namun pelanggan, khususnya kanak-kanak tetap terhibur dengan pelayan berkepala bulat itu walaupun ia hanya boleh bergerak pada laluan yang sudah ditetapkan saja.

Ia secara ramah akan meminta pelanggan ke tepi sekiranya laluan mereka dihalang.

Kos pekerja yang semakin meningkat di negara itu menggalakkan syarikat pembuatan beralih kepada robot dan China tahun lalu mengatasi Jepun untuk menjadi negara pengguna robot perindustrian terbesar dunia.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Kucing paling gemuk di Amerika Syarikat


Seorang kakitangan Pusat Penjagaan Haiwan Maricopa memangku Meatball semasa kucing itu diserahkan tuannya kepada pusat tersebut, baru-baru ini. - AGENSI
PHOENIX 14 Ogos - Seekor kucing paling gemuk di Amerika Syarikat atau mungkin di dunia seberat 15.8 kilogram terpaksa diserahkan kepada sebuah Pusat Penjagaan Haiwan Maricopa County selepas pemiliknya enggan menjaga haiwan comel tersebut lagi.
Akhbar Daily Mail melaporkan kucing itu yang diberi nama Meatball diserahkan tuannya kepada sebuah pusat penjagaan haiwan di Phoenix, Arizona selepas dia tidak mampu menjaganya lagi.
Wakil pusat penjagaan haiwan itu, Melissa Gable mendapati kucing tersebut terlalu berat sehingga sukar untuk diangkat, ekoran beratnya kini hampir menyamai seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Gable mengesyaki Meatball telah diberi diet, selain diberi makanan kucing oleh pemiliknya, dia juga begitu meminati sos berperisa epal yang biasanya dihidangkan bersama makan malam.
"Kami dimaklumkan bahawa kucing itu hanya diberi makan makanan kucing, tetapi sebenarnya ia tidak menunjukkan minat terhadap makanan kucing langsung.
"Dia didapati lebih berminat makan sos epal yang dihidangkan sebagai juadah makan tengah hari saya, dan saya berpendapat kucing itu telah diberi makanan yang dimakan manusia menyebabkan kucing ini menjadi sebesar ini," katanya.
Meatball yang mengalami masalah glaucoma merupakan satu-satunya kucing yang pernah dilihatnya bersaiz terlalu besar dan tidak mampu bergerak pantas.
Pemilik Meatball mengambilnya daripada seorang kenalan dan memelihara kucing itu selama enam bulan sebelum ia mula merosakkan harta benda di dalam rumah tuannya itu, lalu tuannya menyerahkannya kepada pusat penjagaan haiwan tersebut.
Kakitangan pusat jagaan haiwan itu kini meletakkan kucing berusia empat tahun itu menjalani diet yang ketat ekoran keadaan kesihatan dan berat badannya itu akan menyukarkan orang lain untuk memeliharanya kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140815/lu_12/Kucing-paling-gemuk-di-Amerika-Syarikat#ixzz3APRtoRep
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sheikh Abdurrahman Al-Sudais, Imam Masjidil Haram, telah mengecam pertubuhan Negara Islam Iraq dan Syria



MEKAH, ARAB SAUDI ~ JUMAAT 15 OGOS 2014

Sheikh Abdurrahman Al-Sudais, Imam Masjidil Haram, telah mengecam pertubuhan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dan menyifatkan mereka adalah golongan Khawarij zaman moden hingga memalukan dan menghina syariah jihad dalam Islam.

Sewaktu khutbahnya di Masjidil Haram, Sheikh Abdurrahman Al-Sudais berkata, ISIS hampir sama dengan kumpulan Khawarij zaman dulu yang fahaman agama yang menyimpang jauh daripada tujuan yang difirmankan Allah (SWT).

ISIS, katanya hanya memburukkan Islam yang bersifat manusiawi dan toleran.

Menurut beliau lagi, orang awam yang tidak mengetahui Islam secara mendalam akan menganggap tindakan ISIS itu berasal dari Islam sedangkan yang dilakukan kumpulan itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.
Ini hanya memburukkan imej Islam yang bersifat teduh, manusiawi, toleran dan moderat.

Menurut Sheikh Abdurrahman Al-Sudais lagi, orang-orang awam yang tidak mengetahui Islam dengan benar pasti akan mengatakan bahawa tindakan ISIS itu berasal dari Islam.

Imam besar Masjidil Haram itu juga mengingatkan pemuda Islam supaya tidak terpedaya dengan slogan kumpulan berkenaan dan mengikuti perjuangan mereka.

“Mereka sebenarnya bertujuan untuk menghancurkan kesatuan masyarakat Islam, walaupun slogan yang mereka bawa berasal daripada istilah dalam Islam,” katanya.

Menurut Sheikh Abdurrahman Al-Sudais lagi, pengikut ISIS dijadikan perantaraan untuk tujuan yang sangat remeh dan jalan untuk memenuhi hawa nafsu jahat pemimpin kumpulan itu.

“Akhirnya mereka bertindak SOMBONG dan SESAT,”

Thursday, August 14, 2014

Rantai anak degil


Wanita itu, A-Qiong Ho, penyambut tetamu di sebuah hotel di Langzhou, di wilayah Sichuan, barat daya China berkata dia berpisah dengan suami ketika anak lelakinya Xiaolong berusia lima tahun. 
Sejak itu A- Qiong berusaha keras mendisiplinkan Xiaolong dan bekerja untuk menyara kehidupan mereka. 

Dia akhirnya hilang sabar dengan sikap anaknya apabila motosikal elektriknya hilang dan anaknya tiada di rumah.
Foto
XIAOLONG dirantai di balkoni rumahnya.

“Saya menyangka dia di rumah membuat kerja sekolah. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menunggunya hingga pulang beberapa jam kemudian.

“Saya lambat ke tempat kerja dan tidak mempunyai pilihan lain selain menghukumnya,” katanya kepada media. 

Kerana tidak mahu Xiaolong keluar lagi, A-Qiong merantai anaknya di balkoni rumah mereka. 

Tindakan itu memeranjatkan jiran. 

Kerana bimbangkan, mereka membuat aduan kepada polis. 

Polis mengarahkan A-Qiong menjelaskan tindakannya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Keluarga paling unik


Itu yang dilihat oleh orang ramai mengenai Bianca, Nick dan dua anak mereka.
Bagaimanapun, Bianca, 32, sebenarnya dilahirkan lelaki sementara Nick, 27, dilahirkan perempuan.

Bianca menjalani pembesaran payudara dan rawatan laser untuk membuang bulu roma sementara Nick mengambil testosterone untuk mengubah penampilannya serta membuang payu daranya, lapor akhbar Metro UK, semalam.
Foto
BIANCA (kiri) bersama-sama Nick yang hamil.
Foto
PASANGAN itu bersama anak mereka.
Mereka mendakwa menjalani kehidupan biasa sehingga Nick hamil. Kehidupannya berubah mendadak dan terpaksa berdepan dengan masalah setiap hari apabila perutnya yang semakin membesar mula menarik perhatian orang ramai.
Dia mengaku benci terhadap perubahan bentuk badannya.

Dia memilih melahirkan kandungannya menerusi pembedahan sementara Bianca lega kerana tidak perlu melalui pengalaman itu.

Kini, pasangan itu tidak segan untuk bercakap mengenai kisah mereka dalam usaha untuk menimbulkan kesedaran.

Bagaimanapun, anak mereka yang kini berusia tiga dan satu tahun, masih terlalu muda untuk memahaminya.

Namun, mereka yakin kanak-kanak itu akan dapat memahami dan menerima kenyataan mengenai keadaan sebenar ibu bapa mereka kemudian hari kerana dibesarkan dengan kasih sayang, sokongan keselamatan dan didikan normal.

Bianca dan Nick berharap untuk menjalani pembedahan jantina tetapi buat masa ini masih belum mampu kerana mahu memberi tumpuan terhadap anak mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Wednesday, August 13, 2014

Sarung tangan ini bernilai RM1.25 juta


HARAKAHDAILY | .

SARUNG tangan yang dipakai Muhammad Ali ketika perlawanan penentuan World Heavyweight Champion ketika menentang Joe Frazier telah di lelong dengan harga RM1.25 juta. Perlawanan pada 8 Mac 1971 itu di gelar 'The Fight of the Century' menyaksikan Muhammad Ali tumpas kepada Frazier. Perlawanan ini adalah perlawanan pertama mereka iaitu kedua-dua peninju berada di puncak. Perlawanan ini mendapat liputan di 35 negara.

Ali kemudiannya kembali dan berjaya mengalahkan Joe Frazier pada 1 Oktober 1975 di Manila. Beliau bersara sepenuhnya daripada arena tinju pada Disember 1981, selepas kalah beberapa kali dan mula menghadapi masalah kesihatan.

Muhammad Ali dianggap legenda tinju kerana satu-satunya peninju yang tiga kali menjadi Juara Dunia Tinju kelas Berat (Heayweight).

http://www.stylosport.com/

Panda kembar tiga di China


  • Kelahiran panda ini dianggap sesuatu yang ajaib. Foto oleh AFPKelahiran panda ini dianggap sesuatu yang ajaib. Foto oleh AFP

HONG KONG - CHINA. Sebuah zoo di China semalam memperkenalkan panda kembar tiga yang baharu dilahirkan dan disifatkan sebagai ajaib berikutan kadar pembiakan yang rendah bagi haiwan spesies itu.

Ibu panda, Juxio melahirkan anaknya pada 29 Julai lalu di Taman Safari Chimelong Guangzhou.

"Kelahiran ini adalah satu keajaiban dan ia melebihi jangkaan kami. 15 hari sudah berlalu dan ia hidup lebih lama berbanding mana-mana panda kembar tiga yang pernah dilahirkan sebelum ini,"menurut Pengurus Besar taman safari, Dong Guixin kepada AFP.

Gaza! Tahukah anda...?


http://btmmari.blogspot.com | .
 
Tahukah anda...?
Walaupun Gaza berada dalam kepungan, tetapi Gaza lah satu-satunya wilayah dari negara Arab yang menghasilkan kelengkapan ketenteraan 100% dari tangan mereka sendiri.
Di Gaza, mereka berjaya menghasilkan roket-roket, senapang-senapang, sehinggalah pesawat tanpa pemandu, yang mana gagal dihasilkan mana-mana negara Arab sendiri.
Allahu Akbar.

Keadaan orang soleh di akhir zaman, gugur dalam perang suci


http://detikislam.blogspot.com | .
 
Ketika manusia ketakutan di hari kiamat, bagi golongan yang mati syahid tidak merasa takut. Dalam Sunan At-Tirmidzi dan Ibnu Majah diriwayatkan dari Miqdam ibn Ma'dikarab, mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang mati syahid mendapatkan enam kelebihan di sisi Allah, Pertama diampuni dosanya pada pembelaan pertama, diperlihatkan tempat duduknya di syurga, dibebaskan dari azab kubur dan selamat dari ketakutan besar, di kepalanya diletakkan mahkota kehormatan yang satu batu mulianya bernilai lebih baik daripada dunia dan isinya, diberi pasangan 72 bidadari, dan dapat memberi pertolongan pada 70 kerabatnya. "
 
Dalam hadis itu disebutkan orang yang mati syahid akan selamat dari ketakutan besar, iaitu ketakutan pada hari kiamat. Demikian halnya orang yang ditugaskan sebagai askar perang di jalan Allah. Bila dia gugur dalam keadaan bertugas, Allah akan menyelamatkannya dari ketakutan besar. At-Thabarani telah meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Abu ad-Darda bahawa Nabi SAW bersabda, "Tugas di suatu tempat (sebagai askar) selama satu hari lebih baik dari puasa selama setahun, dan siapa yang gugur dalam keadaan bertugas di jalan Allah, dia akan selamat dari ketakutan besar, mendapat rezeki dan wangian dari syurga, dan pahala bertugasnya mengalir terus hingga Allah membangkitkannya. 
 
Diantara kemuliaan yang Allah beri kepada orang yang mati syahid adalah Allah akan membangkitkannya dengan lukanya yang mengeluarkan darah segar dan bau harum mewangi. Dalam Shahih al-Bukhari diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Demi Yang menguasai diriku, siapa yang terluka di jalan Allah, dan Allah paling mengatahui orang yang terluka di jalan Nya, dia akan datang pada hari kiamat dengan lukanya yang berdarah dan semerbak mewangi." 
 
At-Tirmidizi, An-Nasa'i, dan Abu Dawud meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Mua'dz ibn Jabal, yang mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang berperang di jalan Allah dari pagi hingga petang, dia memperoleh syurga. Siapa yang terluka atau berdarah di jalan Allah, maka darah itu pada hari kiamat akan kelihatan seperti yang dahulu dengan warna minyak za'faran (merah) dan bau minyak misik (kasturi, wangi). 
 
Ibn Hajar mengatakan, "Para ulama berkata bahawa hikmah dibangkitkan seperti itu adalah lukanya sebagai saksi atau bukti keluhurannya mengorbankan jiwa dalam ketaatan kepada Allah SWT." [Sumber: Ensiklopedia Kiamat / Karya: Dr Umar Sulayman al-Asykar / Penerbit: Serambi]
 
Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Kota Konstantinopel


http://mselim3.blogspot.com | .

Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Kota Konstantinopel
Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Kota Konstantinopel

Hadis Nabi Saw direalisasikan hampir 600 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "Sebaik-baik raja" dan "Sebaik-baik tentera dalam hadis ini? 

Sabdanya Rasullulah saw ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq: 

".... Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...." 

(HRiwayat Imam Ahmad

Umat islam telah berlumba-lumba berusaha membebaskan Konstantinopel seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah swt dalam hadis ini. Namun begitu semuanya menemui kegagalan, peperangan yang menemui kegagalan ialah lima peperangan di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu di zaman Kerajaan Abbasiyyah, dan dua di zaman Kerajaan di zaman Uthmaniyyah. 


Biodata Ringkas 

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 M di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria). Sejarah hidup baginda telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut "Sebaik-baik raja" di dalam hadis. Baginda dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel. 

Baginda menaiki tahta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451-1481). Baginda merupakan seorang pemimpin dan panglima yang ulung yang memimpin sendiri 25 siri ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout tetapi ada juga yang berpendapat baginda mangkat kerana diracun. 

Pendidikan 

Sultan Muhammad Al-Fateh menerima pendidikan dalam bidang agama melalui gurunya, Syeikh Shamsuddin Al-Wali keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Dalam ilmu peperangan, baginda diajar teknik peperangan seperti strategik, memanah, dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera baginda. 

Dalam bidang akademik pula, Sultan Muhammad Al-Fateh adalah seorang yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Latin, Bahasa Greek, Bahasa Serbia, Bahasa Turki, dan Bahasa Hebrew. 


Dalam bidang ilmu pemerinahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh bersuluk ke Pulau Magnesia dan telah melantik Sultan Muhammad Al-Fateh yang berusia 12 menjadi Khalifah dan pada usia semuda itu juga, baginda telah mahir tipu daya musuh. 


Keperibadian

Sultan Muhammad Al-Fateh sentiasa bersifat tawaduk (merendah diri). Semasa membina Benteng Rumeli Hissari baginda membuka baju dan serban hanya semata-mata untuk mengangkat batu dan pasir tindakan Sultan Muhammad Al-Fateh ini menjadi ikutan ulama dan menteri untuk turut sama bekerja. Baginda seorang yang tenang, pendiam, berani, sabar, dan tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka perihal permasalahan negara. 

Pada kali pertama solat jumaat hendak didirikan timbul masalah siapakah yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan semua tenteranya termasuk dirinya untuk berdiri lantas bertanya,"Siapakah diantara mereka sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk! Tiada seorang pun yang duduk kerana tiada seorang pun diantara mereka pernah meninggalkan solat fardu. 


Baginda bertanya lagi,"Siapakah diantara mereka sejak baligh pernah meninggalkan solat rawatib, sila duduk! Sebahagian tenteranya duduk. 


Kemudian, Sultan Muhammad Al-Fateh bertanya lagi,"Siapakah diantara kita diantara mereka sejak baligh pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam. Kali ini semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh. Baginda adalah sebaik-baik raja yang telah disyariatkan oleh Rasullulah saw dalam hadisnya. 


Persiapan Awal membebaskan Konstantinopel 

Selama 2 tahun selepas menaiki tahta Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji pelan Kota Konstantinopel bagi mengenalpasti titik kelemahan dan kekuatannya. Beliau mengkaji sebab-sebab kegagalan peperangan-peperangan yang terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima tentang strategi yang sesuai digunakan. Strategi yang dilancarkan terhadap tentera Rom ini mengandungi strategi daripada peperangan oleh Rasullulah saw dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini menjadi tempat rujukan yang paling disanjungi oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. 

meriahmuhammadalfateh
Meriah Muhammad Al-Fateh

Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan dibina peralatan meriah besar yang termoden yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina ditebing sebelah Eropah lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinopel di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildrim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memecilkan Konstantinopel apabila diserang nanti. 


Sultan Muhammad Al-Fateh membawa para ulama dan pakar motivasi ke medan perang yang bertujuan memberikan motivasi semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera islam bersolat dan melaungkan azan yang memecahkan kesunyian alam. 
tembokkotakonstantinopel
Tembok Kota Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantine supaya menyerah diri. Keengganan Raja Byzantine menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung pada 19 April 1453 serangan dimulakan. Kota Konstantinopel dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya telah rosak tetapi tengahnya masih teguh. Tembok Kota Konstantinopel ini mempunyai tiga lapisan, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki  

Menara Bergerak 

Seterusnya, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantine telah memusnahkan menara bergerak ini setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka. 

Pope di Rom menghantar bantuan 5 armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthamiyyah (tentera islam). Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantine. Kegembiraan mereka tidak lama. 


Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung 

Keesokkannya mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmiyyah di Teluk Perairan Golden Horn. Ini adalah kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui antara peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri.Kapal-kapal ini membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar terkenal bedilan meriam Uthmaniyyah. 

Pertahanan Byzantine semakin lemah. Sultan Muhammad Al-Fateh mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan tentang hadis Rasullulah saw dan berdoa kepada Allah SWT. 


Memanjat dan Melastik Dinding Kota 

Keesokkan paginya tentera islam telah memanjat tembok dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit oleh tentera Byzantine menyebabkan ramai tentera islam yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur tetapi bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari. 

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh. Pada saat, yang genting itu baginda berucap untuk menaikkan semangat tenteranya "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".


Mendengar itu, Hasan Ulubate salah seorang tentera baginda yang mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh sambil mencacak bendera islam disitu. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani dengan anak panah musuh. Kemudian, tentera islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah "Allahu Akbar".


Penawanan Kota Konstantinopel 

Pada 29 Mei 1453 Kota Konstantinopel jatuh ke tangan islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (islam keseluruhannya) dan kemudian akhirnya di tukar nama Istanbul. Gereja Besar St.Sophie ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Sultan Muhammad Al-Fateh dengan tawaduk melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah baginda diberikan gelaran "Al-Fateh" yang bermaksud pembuka ataupenakluk lantaran kejayaannya membebaskan Kota Konstantinopel.

Hari ini kita ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan tamadun dan kegemilangan islam kembali. Marilah kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menakluk kota hebat seperti Kota Konstantinopel ini.  


Sekian.... 

Dron mini dijual pada harga RM319



DRON mini itu dikenali dengan nama Rolling Spider dan boleh dikawal dengan menggunakan telefon bimbit.


TOKYO - Sebuah syarikat teknologi dari Perancis, Parrot memperkenalkan sebuah Dron mini yang boleh dikawal dengan menggunakan telefon pintar.
Dron mini yang dikenali sebagai Rolling Spider itu mempunyai empat kipas, sebuah kamera dan sepasang pelindung tayar yang boleh ditanggalkan.
Dron tersebut boleh memanjat dinding serta siling.
Gajet berkenaan bakal dijual pada bulan ini dengan harga AS$100 (RM319). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3ADpLsDqh 
Hakcipta terpelihara