Pages

Saturday, October 5, 2013

60 spesies baharu ditemui di hutan Surinam





KINGSTON, Jamaica - Sekumpulan sainstis dan ahli ekologi antarabangsa dikatakan telah menemui kira-kira 60 spesies baharu di hutan Surinam. Ini termasuklah enam spesies katak dan 11 ikan yang baharu.
Salah seorang saintis terlibat, Trond Larsen daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pemuliharaan Antarabangsa memberitahu, pasukannya mendokumentasi dan mengkaji sumber-sumber air bersih di hutan tebal Surinam yang terletak berhampiran sempadan Brazil.
Pemuliharaan Antarabangsa telah melakukan kajian selama bertahun-tahun di hutan Surinam yang mempunyai keluasan 162,265 kilometer persegi di bahagian utara Amerika Selatan.
Antara spesies yang dianggap baharu kepada sains termasuklah seekor katak berwarna coklat yang diberi nama 'katak koko' serta seekor katak daripada keluarga katak beracun.
"Walaupun banyak populasi katak mengalami kepupusan di seluruh dunia, penemuan spesies baharu ini amat mengujakan," kata Larsen.
Pasukan saintis itu turut mendokumentasikan sejenis ikan keli atau tetra berwarna-warni dan enam spesies ikan lain di sebatang sungai.
Mereka mengumpul data 1,378 spesies tumbuhan, burung, mamalia, serangga, ikan dan amfibia. Kumpulan tersebut dibantu oleh 30 Orang Asli untuk meneroka hutan tebal Surinam. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2gndcG0eU 
Hakcipta terpelihara 

Friday, October 4, 2013

Gunung berapi gergasi ditemuidi Marikh


LOS ANGELES - Para saintis di Amerika Syrikat (AS) di sini telah menemui beberapa kawasan baharu rangkaian gunung berapi gergasi purba di planet Marikh semalam.
Gunung berapi purba itu didakwa menyamai kawah gunung berapi Caldera di Taman Negara Yellowstone di sini.
Kawah gunung berapi sebelum ini pernah ditemui di satu kawasan lain di Marikh yang dipercayai telah aktif pada berbilion tahun dahulu.
Apa yang membezakan rangkaian gunung berapi gergasi itu adalah ia ditemui di kawasan tanah tinggi di utara planet terbabit. Ia merupakan satu kawasan yang sebelum ini tidak pernah diketahui sebagai aktif.
Hasil kajian ke atas beberapa imej yang dirakamkan kapal angkasa di Marikh, para penyelidik di Muzium Sejarah Semula Jadi London dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mendapati, sekurang-kurangnya satu gunung berapi yang besar di situ.
Bukti-bukti lain yang ditemui ialah kepulan asap tebal daripada muntahan lahar dan debu.
Penemuan itu dilaporkan dalam majalah Jurnal Nature isu Khamis yang mencadangkan bahawa Marikh pada awalnya lebih aktif daripada penemuan sebelum ini.
Letusan sebelum ini mungkin telah mempengaruhi iklim dan atmosfera planet Merah berkenaan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2giSDpInn 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, October 3, 2013

Lelaki paling pendek di dunia

Lelaki paling pendek di duniaMaster Nau mempunyai ketinggian 41sm.

KATHMANDU - NEPAL. Seorang warga emas sanggup pergi ke Kathmandu bagi menunaikan hasratnya untuk diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki paling pendek di dunia.

Master Nau, 73, dari Bhairahawa mempunyai ketinggian 41 sentimeter (sm).

Anak saudaranya, Seema Sheikh berkata, kehadiran Nau disambut meriah media dari pelbagai agensi.

"Master Nau gemar melancong dan suka berkongsi tentang kehidupan hariannya," katanya.

Difahamkan, rekod manusia paling pendek di dunia ketika ini dipegang seorang lelaki warga Nepal, Chandra Bahadur Dangi, 74, dengan ketinggian 54.6sm, laporan dipetik dari AP.

Makan tikus gergasi

Hunan: Petani di sini menangkap dan membunuh seekor tikus raksasa yang mengganas di pedalaman Shaoyang dan memakan ikan, menurut akhbar Sanxiang Metropolis Daily.
Mereka mendakwa melihat tikus besar itu menerkam seekor ikan seberat 3 kilogram dari kolam sebelum mengepung dan membunuh haiwan seberat 5 kilogram dan satu meter panjang. 
“Dua pisau patah ketika memotong daging tikus itu sebelum dimasak”, kata petani.
Tikus menjadi makanan ruji di Guangdong, dihidangkan secara panggang, kukus dan sup.
Foto
SEORANG petani menunjukkan seekor tikus gergasi ditangkap sebelum dimasak untuk dimakan

Pakai kostum pada majlis pengkebumian



SERAMAI 250 orang hadir ke majlis pengkebumian Pattison telah menunaikan hasrat rakan mereka buat kali terakhir di pusat pengkebumian Newcastle Crematorium Britain pada 27 September.- Agensi


NEWCASTLE - Seorang penggemar motosikal berkuasa tinggi, Gary Pattison, meminta rakan-rakan dan saudara-mara yang berkabung atas kematiannya memakai pakaian beragam, kata sebuah akhbar kelmarin.
Mendiang Pattison yang dikenali dengan sifat suka bergurau itu telah mewasiatkan bahawa semua individu yang datang bagi memberi penghormatan terakhir di majlis pengkebumiannya mengenakan pakaian berwarna-warni.
Majlis pengkebumian itu diadakan di pusat pengkebumian Newcastle Crematorium di Newcastle-Under-Lyme, Britain pada 27 September lalu.
Pattison, 42, yang merupakan seorang bapa kepada seorang anak telah membuat permintaan pelik itu sebelum terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal di Lower Elkstone, Staffordshire di sini awal bulan lalu.
Seramai 250 orang tetamu hadir ke majlis pengkebumiannya itu. Ada antara mereka memakai kostum watak Fred Flintstone, Star Wars stormtrooper, Super Mario dan banyak lagi.
Seorang rakannya, Vanda Kaminski, 31, menggambarkan Pattinson sebagai bapa yang penyayang kepada anak perempuannya Becca, 13, ketika mereka tinggal bersama di Newcastle-under-Lyme.
"Gary merupakan seorang penunggang motosikal tegar, peminat aktiviti berkayak dan seorang pendaki bukit. Dia seorang yang ramah dengan rakan-rakannya," kata Kaminski. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2gbgpRQua 
Hakcipta terpelihara 

Ratu cantik ayam akan diadakan di Arab Saudi



PERTANDINGAN ratu cantik ayam ini julug kali diadakan berbanding haiwan ternakan lain di negara Teluk tersebut.- Agensi


RIYADH - Satu pertandingan ratu cantik untuk ayam akan diadakan di ibu kota Arab Saudi pada Jumaat ini, lapor akhbar berbahasa Arab, Sabq kelmarin.
Acara itu akan diadakan oleh seorang peladang di Arab Saudi yang turut menjemput peladang-peladang di beberapa negara Teluk lain ke pertandingan berkenaan.
Puluhan ekor ayam betina dan jantan akan berhimpun di ladang tersebut untuk pertandingan ratu cantik ayam yang julug kali diadakan di negara berkenaan.
Peladang itu, Mutaab Al-Othman berkata, pertandingan tersebut diadakan di ladang miliknya dekat ibu kota Riyadh pada hari Jumaat.
"Pertandingan ini akan melibatkan satu acara lelongan untuk ayam yang jarang ditemui. Sebahagian ayam ini pernah menyertai pertandingan yang sama di Jerman dan mendapat kedudukan yang baik," katanya
Al-Othman berkata, ayam yang dipertandingkan mampu mencecah harga di antara SR$2,000 hingga SR$10,000 (RM1,726 hingga RM8,630) setiap seekor di acara lelongan tersebut.
"Sebahagian baka ayam pernah dijual lebih dari SR$35,000 (RM30,208) pada satu acara lelongan sebelum ini," tambahnya yang tidak menjelaskan bagaimana ratu ayam itu akan dipilih kelak dalam acara berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2gbgKMTVw 
Hakcipta terpelihara 

Mr. Bean masuk Islam?


Mr. Bean dikatakan memeluk Islam selepas menonton fil
em Innocent of Muslim.- Agensi


LONDON - Pelakon komedi yang terkenal dengan watak Mr.Bean, Rowan Atkinson dilaporkan memeluk agama Islam pada 1 Oktober.
Berdasarkan kepada dua media sosial, sadabladi.com dan israellycool.com, Mr. Bean berkata, dia memilih Islam selepas menonton filem Innocent of Muslim.
Sementara itu, laman web, Islampos.com pula berkata, pelakon itu tidak banyak bercakap apabila pihak media bertanya mengenai perkara itu.
Dia hanya mengangkat jari sebagai isyarat dia bersyahadah.
Bagaimanapun, sehingga kini media-media di United Kingdom masih belum menyiarkan khabar angin itu, biarpun media Arab sudah heboh mengenainya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gbfSi6MU 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, October 2, 2013

Budak lelaki hamil kembar parasit



KEADAAN perut Xiao Feng yang membusung menyebabkan dia mengalami masalah pernafasan.- Agensi


HUAXI - Seorang budak lelaki yang berusia dua tahun di China terpaksa dibedah selepas beberapa doktor mendapati dia hamil, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Anak kecil itu, terpaksa dibedah untuk mengeluarkan seorang bayi lelaki di dalam perutnya.
Feng yang berasal dari sini, dalam wilayah Guizhou, dikejarkan ke hospital selepas perutnya membesar sehingga menyebabkan dia sukar bernafas.
Ketika di hospital, anak kecil itu menjalani pemeriksaan X-ray dan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk mengetahui punca penyakitnya.
Hasil pemeriksaan itu, doktor-doktor mendapati Feng sedang mengandungkan janin kembarnya sendiri yang gagal berkembang.
Dia kemudian menjalani pembedahan dengan segera bagi mengeluarkan janin berkenaan.
Janin tersebut yang dikeluarkan itu berukuran 20 sentimeter lebar dan memiliki tulang belakang dan anggota tubuh yang lengkap termasuk jari tangan dan kaki.
Fenomena itu disebut sebagai kembar parasit
Kembar parasit itu berkembang menjadi seorang bayi lelaki dan telah membesar sehingga mencecah 2/3 saiz perut Feng. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2gVs2DppY 
Hakcipta terpelihara 

Gadis guna YouTube untuk letak jawatan



MARINA Shifrin menari mengikut rentak lagu penyanyi Kanye West.- Agensi


TAIPEI - Seorang wanita meletakkan jawatan di sebuah syarikat animasi Taiwan dengan memuat naik sebuah rakaman videonya menari di laman web perkongsian video YouTube, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita itu, Marina Shifrin, 25, menari mengikut rentak lagu penyanyi terkenal, Kanye West yang berjudul Gone.
Shifrin memberi penjelasan berhubung peletakan jawatannya itu menerusi sari kata yang tertera dalam klip berkenaan.
Video tersebut ditonton lebih 100,000 kali di YouTube.
"Sejak dua tahun lalu saya telah korbankan semua hubungan cinta, masa dan tenaga untuk kerja ini," tulis Shifrin dalam video tersebut.
Bagaimanapun, ketika memberitahu akhbar Huffington Post, wanita warga Amerika Syarikat itu tidak mendedahkan nama syarikat atau bekas majikannya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2gVrIq28H 
Hakcipta terpelihara 

Wanita menang peraduan raih RM524,868 sejak dua dekad lalu



SETIAP barang yang dimiliki Kim Searle merupakan hasil kemenangannya menyertai peraduan di Cardiff.- Agensi


CARDIFF, Britain - Seorang wanita di sini, Kim Searle memenangi sejumlah hadiah bernilai £100,000 (RM524,868) selepas dia menyertai 100 peraduan sehari sejak 24 tahun lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Wanita berusia 50 tahun itu serius menyertai peraduan selepas dia mula memenangi sebuah ketuhar gelombang mikro pada tahun 1989.
Dia memperoleh maklumat mengenai peraduan-peraduan tersebut menerusi sejumlah majalah dan laman web.
"Saya menyertai pertandingan setiap pagi, petang dan malam. Saya semakin ketagih. Saya akan menyertai setiap peraduan tanpa mengambil kira hadiah yang ditawarkan.
"Menanti posmen tiba dengan bungkusan hadiah sudah menjadi satu kewajipan," katanya.
Antara hadiah yang dimenangi sejak beberapa tahun lalu dan tidak pernah digunakan adalah kot mudah alih, katil kanak-kanak dua tingkat, buku panduan menjahit dan sebuah kit pertolongan cemas.
Hadiah paling istimewa hingga mendorongnyaterus menyertai peraduan adalah sebuah kereta. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2gVqpAv00 
Hakcipta terpelihara 

Bayi lahir hasil eksperimen ovari wanita menopaus



PROFESOR Aaron Hsueh antara individu yang membangunkan teknik yang boleh menyebabkan ovari wanita kembali subur bagi menghasilkan sel telur.- AFP


WASHINGTON - Seorang bayi berjaya dilahirkan di Jepun menggunakan teknik menyuburkan kembali rahim wanita meno- paus bagi menghasilkan sel telur, kata beberapa saintis antarabangsa kelmarin.
Kajian itu diterbitkan dalam sebuah jurnal Amerika Syarikat (AS), Proceedings of the National Academy of Sciences.
Menurut jurnal tersebut, seorang lagi wanita dilaporkan turut hamil menerusi kaedah sama.
Pasukan penyelidik berkenaan memberi- tahu, teknik itu dapat menawarkan harapan kepada wanita mandul untuk hamil.
Kerjasama kajian teknik itu melibatkan saintis Universiti Stanford, AS dan Sekolah Perubatan Universiti St Marianna di Jepun.
Ia melibatkan rahim dikeluarkan dengan sel-selnya disuburkan di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit.
"Teknik ini perlu diperbaiki tetapi kami menjangkakan ia dapat membantu 25 hingga 30 peratus wanita yang menghadapi masalah kemandulan," kata Profesor Aaron Hsueh dari Universiti Stanford. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2gVppzA3p 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, October 1, 2013

13 tahun kahwin dengan patung

Michigan: Seorang lelaki di Amerika Syarikat berkahwin dengan patung yang benar-benar menyerupai seorang wanita selama 13 tahun.
Lelaki yang digelar sebagai Davecat itu mendapat perhatian media tempatan The Atlantic berikutan kisah hidupnya yang aneh itu.

Menurutnya, dia perlu menyimpan wang selama setahun setengah untuk membeli patung wanita dari kilang pengeluar patung, RealDoll dengan harga AS$6,000 (RM19,566). Patung yang dibelinya pada 2000 itu diberi nama Sidore Kuroneko. Davecat kemudian membentuk wajah, warna mata, warna kulit, susuk tubuh dan payu dara patung itu.
“Hasilnya benar-benar mengagumkan bagai jatuh cinta pandang pertama,” katanya.

RealDoll ialah kilang pengeluar patung seks.

Secara anatomi. Sidore memang menyerupai manusia. Kulitnya amat halus walaupun diperbuat daripada silikon. Walaupun Sidore ialah patung seks, tetapi Davecat menganggapnya sebagai pasangan hidupnya. Menurut Davecat, hubungannya dengan Sidore dapat dibahagikan kepada 70 peratus hubungan seksual dan 30 peratus hubungan semula jadi. Dia juga mengakui dirinya sering tertarik dengan robot wanita atau Gynoids.
Foto
DAVECAT bersama Sidore di kediaman mereka.
Davecat berkata, keputusannya untuk menjalin hubungan dengan patung dibuat selepas hubungannya dengan manusia sering menemui kegagalan.

Menurut Davecat, hubungannya dengan patung yang disebut sebagai ‘Sintetik’ lebih bermakna.
“Pengalaman saya dengan ‘Organik’ (manusia) tidak pernah bertahan lama atau selalu berakhir dengan kekecewaan. “Sintetik tidak akan curang, berbohong atau mengadili diri anda,” katanya. Selain Sidore, dia juga memiliki sebuah patung yang dibelinya dari Russia dan dinamakan sebagai Elena. Menurutnya, Elena ialah patung simpanan dan juga teman kepada Sidore. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Gerabak kereta api lama jadi penginapan mewah



GERABAK kereta api lama ini memiliki hiasan dalaman serba mewah kelas pertama untuk kegunaan pengunjung ke penginapan tersebut di Allerston, North Yorkshire, Britain.


ALLERSTON, Britain - Sepasang suami isteri di Britain telah menukar tiga gerabak kereta api lama di Allerston, North Yorkshire menjadi sebuah rumah tetamu kelas pertama sejak 17 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Pasangan itu, Carol dan Mark Benson menukar keseluruhan ruang dalaman tiga gerabak kereta api restoran layan diri tersebut kepada ruang penginapan mewah.
Stesen itu kini mengalu-alukan kehadiran para tetamu pelbagai peringkat usia sama ada dari kanak-kanak sekolah sehingga warga emas yang telah bersara.
Gerabak-gerabak berusia 45 tahun itu dilengkapi sebuah dapur, ruang tamu dan dua hingga tiga bilik tidur.
"Kami pada mulanya sedang mencari idea untuk membuka sebuah perniagaan penginapan di kawasan tersebut dan saya suka stesen kereta api itu sebaik sahaja melihatnya," kata Carol, 54, ibu kepada dua orang anak.
Stesen kereta api itu pada asalnya digelar Stesen Wilton. Namun, ia ditukar nama kepada Stesen Ebberston selepas tahun 1900. Kini ia diberi nama The Old Station.
"Saya menemui stesen ini dan memberitahu suami yang saya mahu membelinya. Keadaannya ketika itu sangat menyedihkan.
"Suami saya mempersoalkan di mana dia mahu meletakkan pengunjung itu nanti. Kemudian saya mendapat idea. Saya jawab sudah tentu kita letak mereka di dalam gerabak. Bahagian lain hanya tinggal sejarah," kata Carol. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2gQBvdiEq 
Hakcipta terpelihara 

Satu pokok hasil 250 jenis epal



BARNETT menggunakan tangga untuk melabel 250 jenis epal di setiap ranting pada induk pokok epal di belakang rumahnya di Chidham, Amerika Syarikat.


CHIDHAM, West Sussex - Seorang lelaki di sini mengambil tempoh masa selama 20 tahun untuk menanam sebatang pokok buah epal yang menghasilkan 250 jenis epal dibelakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bagi melakukannya, Paul Barnett telah mencantumkan 250 jenis tunas pokok epal berlainan jenis pada ranting sebatang pokok epal yang bertindak sebagai induk.
Melalui teknik itu, dia kini memiliki banyak pilihan buah epal dari pelbagai jenis untuk dimakan, dimasak dan dijadikan cuka.
Barnett turut melabelkan setiap dahan epal untuk memudahkan dirinya mengingati dahan bagi jenis epal yang dicantumkan pada pokok berkenaan.
"Saya mula bekerja di sebuah tapak semaian yang mengandungi 90 jenis pokok epal pada setiap batas," kata lelaki berusia 40 tahun itu.
"Saya mahu menanam pokok-pokok saya sendiri, namun saya tidak memiliki kawasan untuk melakukannya. Oleh itu saya menggunakan kaedah pencantuman tunas untuk tujuan tersebut," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2gQBc5NIu 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak di China kenal logo rokok



SEORANG lelaki menghisap rokok di sebuah pusat pengumpulan surat khabar lama. China merupakan antara negara yang memiliki tabiat merokok paling tinggi di dunia.


WASHINGTON - Dianggarkan sembilan dalam setiap 10 kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun di China dapat mengenali logo jenama rokok, menurut satu kajian yang disiarkan oleh jurnal Pediatrics semalam.
Kajian itu turut melibatkan responden di India, Nigeria, Pakistan, Rusia dan Brazil.
Lima negara itu direkodkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara yang memiliki tabiat merokok paling tinggi di dunia.
Sebanyak 68 peratus daripada 2,423 kanak-kanak boleh mengenal pasti sekurang-kurangnya satu logo jenama rokok.
Kanak-kanak di China mencatatkan kadar pengecaman tertinggi dengan 86 peratus diikuti Rusia sebanyak 50 peratus.
Kajian tersebut diketuai penyelidik dari Universiti Maryland, Amerika Syarikat, Dina Borzekowski.
Menurut jurnal itu, penemuan tersebut menimbulkan kebimbangan sama ada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana mematuhi pengharaman antarabangsa berhubung iklan rokok terhadap kanak-kanak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2gQBNidU9 
Hakcipta terpelihara 

Monday, September 30, 2013

Akhbar tertua dunia kini dalam talian

 Akhbar tertua dunia  kini dalam talianAkhbar Lloyd’s List kini tersedia secara dalam talian. London: Akhbar tertua dunia, Lloyd's List yang diterbitkan sejak 279 tahun lalu sebagai catatan pemberitahuan yang ditampal di dinding sebuah kafe di London, akan tersedia secara online mulai akhir tahun ini.

Penerbitan bercetak terakhir Lloyd's List, membawa berita dalam industri perkapalan ialah pada 20 Disember ini.
Hanya 25 orang baca nakhah bercetak


Kajian yang dijalankan mendapati hanya 25 orang saja membaca naskhah bercetak akhbar itu.

“Ini hanya sebahagian daripada perkembangan dan evolusi akhbar ini,” kata pengarang kanan Llyod’s List, Richard Meade yang dipetik Perbadanan Penyiaran Britain.

Beliau berkata perkembangan terbaru ini hanya memberi sedikit perubahan sejak akhbar itu diterbitkan pada 1734, dalam bentuk notis yang ditampal di dinding kedai bagi memberi maklumat keluar masuk kapal di pelabuhan kepada pedagang.

“Kami tidak banyak berubah, tetapi sekarang pelanggan boleh mengakses akhbar ini dari mana-mana kedai kopi di seluruh dunia.
Meade berkata, walaupun syarikatnya masih mempunyai nostalgia terhadap akhbar bercetak, pelanggan kini hanya perlu membayar sedikit wang untuk mengakses Llyod’s List dan tidak perlu menunggu kiriman melalui pos.

Lloyds’ List diasaskan Edward Lloyd yang mencetak butiran terperinci mengenai ketibaan dan keberangkatan kapal, selain maklumat kematian apabila kemalangan berlaku di laut. - AGENSI

Teknik celup kain 500 tahun diancam kepupusan



DUA orangpekerjamemegangsehelai kain denganrekaan'Pengantinlelaki danperempuan'yang sudahsiapdicelup.


KANO, Nigeria - Teknik mencelup warna kain kapas yang diwarisi sejak 500 tahun lalu oleh sekumpulan pengusaha kain di utara Nigeria kini diancam kepupusan.
Di sebuah pusat mencelup kain di sini, pewarna yang diperbuat daripada bancuhan nila, abu dan tawas diperam selama sekurang-kurangnya sebulan sebelum boleh digunakan. Bancuhan itu menelan kos sebanyak AS$300 (RM967) dan dianggap tidak kos efektif.
Pusat mencelup kain yang dikenali sebagai Kofar Mata itu dibina pada tahun 1498 oleh nenek moyang pemilik perniagaan tersebut sekarang.
Ia kekal menjadi pengeluar kain tradisional terakhir yang ada di bandar ini, walaupun jumlah pengeluarannya semakin menurun.
"Berpegang kepada teknik lama merupakan rahsia kenapa kami mampu bertahan hingga ke hari ini. Namun, bersifat konservatif ada cabarannya," kata salah seorang pengusaha, Yusuf Sa'id.
Komitmen segelintir pengusaha kain membolehkan warisan itu terus hidup di sebalik perkembangan semasa Nigeria yang memberi impak negatif kepada industri tekstil di sini.
Kos operasi yang tinggi, ditambah dengan kebanjiran fabrik dari luar negara terutama China yang murah telah memaksa kira-kira 20 kilang tekstil tradisional di Kano ditutup sejak dua dekad lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2gJo1zPbc 
Hakcipta terpelihara 

500 buah kereta vintaj Chevrolet dilelong



ORANG ramai mengerumuni sebuah Chevrolet Impala tahun 1959 sebelum kereta klasik itu dilelong di Pierce, Nebraska, Amerika Syarikat kelmarin.


PIERCE, Nebraska - Beribu-ribu peminat kenderaan berkumpul di sebuah ladang di sini untuk menghadiri acara lelongan kereta-kereta vintaj Chevrolet yang dianggap terbesar di Amerika Syarikat kelmarin.
Pembeli kereta antik, peminat sejarah dan orang ramai berpusu-pusu untuk melihat secara dekat 500 buah kereta vintaj yang dilelong pada hujung minggu lalu.
Kereta-kereta tersebut adalah milik mendiang Ray Lambrecht yang merupakan pengedar kenderaan Chevrolet selama 50 tahun.
Lambrecht dikatakan menyimpan semua kereta yang tidak terjual di merata-rata tempat. Sebanyak 430 buah kereta dan trak pikap dialihkan dari bawah pokok. Sebanyak 50 buah lagi yang berada dalam keadaan baik diambil dari parkir berbumbung.
"Anda tidak akan jangka bahawa semua kereta ini masih wujud di sini. Saya harap para pembeli tidak kecewa kerana bukan semua kereta ini berada dalam keadaan yang sempurna," kata salah seorang ahli keluarga Lambrecht, Cassie Wondersee.
Antara kenderaan yang dilelong ialah trak pikap Cameo tahun 1958 dengan odometer menunjukkan ia hanya bergerak kurang tiga kilometer serta dua buah Chevrolet Impala tahun 1964 dan 1963 berwarna merah.
Acara lelongan itu menyebabkan kawasan yang jarang dikunjungi tersebut menjadi begitu meriah sehinggakan para pekerja restoran makanan segera dan kedai runcit menyewakan bilik masing-masing kepada pengunjung yang datang dari jauh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2gJnP3UK5 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, September 29, 2013

Buang kepala tambahan


Kabul: Seorang bayi berusia tiga bulan yang dilahirkan dengan kepala tambahan kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan yang mengancam nyawa untuk membuang kepala kedua itu.

Menurut Badan Penyiaran Britain (BBC), Asree Gul menjalani pembedahan itu baru-baru ini.


Anak petani di daerah Chaparhar itu juga mempunyai adik kembar yang dilahirkan tanpa masalah.

Keadaan unik Asree itu menyebabkan dia sukar tidur.


Ketua pakar bedah hospital berkenaan, Ahmad Obaid Mojadidi berkata, pembedahan yang dilakukan ke atas bayi itu adalah yang pertama di wilayah itu.


Asree yang bermakna ‘bunga baru’ tidak berapa sihat selepas dibedah.

Foto
ASREE dengan kepala tambahan sebelum menjalani pembedahan.

Foto
ASREE (kiri) bersama adik kembarnya selepas dia menjalani pembedahan.
Bapanya, Nematullah berkata, dia tidak menjangka anaknya akan selamat.


“Dengan izin Allah, doktor berjaya menyelamatkannya,” kata Nematullah.

Doktor yakin kepala tambahan itu adalah milik adik kembar ketiga Asree yang tidak menjadi.


Seorang bayi Mesir, Manar Maged pernah mengalami keadaan serupa dan dia menjalani pembedahan itu ketika berusia 10 bulan pada 2005.


Meskipun pembedahan itu berjaya, kanak-kanak berkenaan dijangkiti kuman pada otaknya dan meninggal dunia setahun selepas dibedah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

Ribuan fosil kaki dinosaur ditemui

Ribuan    fosil kaki dinosaur ditemuiBanyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam. Washington: Beribu-ribu fosil tapak kaki dinosaur pemakan daging dan daun, ditemui di sepanjang Sungai Yukon di Alaska baru-baru ini, kata saintis.

Profesor geologi Universiti Alaska Fairbanks, Paul McCarthy berkata, beliau terkejut dengan jumlah fosil berjaya ditemui ketika melakukan ekspedisi bersama pasukannya.
“Kami temui fosil tapak kaki dinosaur hampir di semua lokasi yang kami lalui. Kesannya di sepanjang Sungai Yukon terlalu banyak. Kami dapat mengumpul sehingga 50 spesimen hanya dalam tempoh 10 minit,” katanya.



Tidak seperti tapak kaki dinosaur yang lain, banyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam.

Ketua Jabatan Paleontologi di Muzium Alam Semula Jadi Amerika, Mark Norell, berkata beliau kini memikirkan apa yang sebenarnya berlaku di atas kawasan basah dan berpasir itu berjuta-juta tahun lalu.

Fosil tertimbus
“Ribut besar dan tiupan angin akan menyebabkan fosil itu tertimbus tanah liat dan tidak kelihatan.

“Selepas berjuta-juta tahun acuan tanah liat itu, membentuk kesan tapak kaki seperti yang kita lihat sekarang. Ia adalah kesan sebenar tapak kaki haiwan itu ketika ia hidup,” katanya kepada stesen berita Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC).

Wujud banyak laman web dipenuhi dengan fosil dinosaur kawasan sekitar Amerika Amerika Syarikat, tetapi Alaska belum diterokai dengan rapi setakat ini. - AGENSI 

Facebook aplikasi paling popular

Facebook aplikasi paling popular
Facebook aplikasi paling banyak digunakan.
Manila: Facebook tidak syak lagi adalah rangkaian media sosial paling popular di dunia. Kajian terbaru di tiga negara di Asia Tenggara menunjukkan Facebook aplikasi (app) adalah yang paling banyak digunakan mengikut kajian firma Nielsen.

Firma itu melakukan penyelidikan untuk menilai 10 app paling banyak digunakan pengguna telefon pintar.
Paling digemari


Facebook didapati yang paling digemari di Indonesia, Malaysia dan Filipina selain di tempat ke-2 di Filipina selepas app mesej LINE.

App popular lain termasuk Google Play Store, YouTube, LINE dan Candy Crush Saga, semuanya dalam senarai 10 paling popular di empat negara berkenaan mengikut kajian Nielsen Informate Mobile Insights.

“Pengaruh dan pentingnya app dalam pasaran telefon bimbit pada masa ini meningkat sejak beberapa tahun lalu,” kata Sagar Phadke, jurucakap unit Telecom and Technology Practice Nielsen di Asia Tenggara, Asia Timur dan Pasifik.

“Pengguna telefon bimbit di Asia memang menyukai app dan bilangan penggunanya di Asia meningkat pantas dan ini memberi peluang besar kepada pemasar jenama untuk mewujudkan hubungan rapat dengan pengguna,” katanya lagi.
Di Filipina, 10 app utama ialah Facebook, Google Play Store, YouTube, Candy Crush Saga, Viber, WeChat, LINE, Google Search, Skype dan Facebook Messenger.

Tiga suku jam sehari

Kaji selidik Nielsen juga menunjukkan pemilik telefon pintar di Asia Tenggara menghabiskan masa tiga suku jam sehari menggunakan app.

Penggunaan tertinggi ialah di Malaysia dengan 66 minit sehari diikuti Thailand, 46 minit; Filipina, 41 minit dan Indonesia, 40 minit.

Dalam perkembangan berkaitan, Facebook juga menghadapi persaingan hebat daripada app WhatsApp yang mencatat 25 bilion teks sehari.

Jun lalu, dalam satu tinjauan di India membabitkan 17,500 remaja, 75 peratus berkata mereka lebih suka menghantar teks daripada berbual. - AGENSI

Dunia semakin panas

Dunia semakin panasSuhu bumi diramal meningkat hingga 4.8 darjah Celsius lagi abad ini

Stockholm: Dunia akan menjadi semakin panas, manakala suhu Bumi dijangka meningkat sehingga 4.8 darjah Celsius pada abad ini, kata panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Panel berkenaan juga menegaskan bahawa manusia menjadi punca pemanasan global dan pembakaran bahan api fosil perlu dibendung.
“Gelombang panas, banjir dan paras air laut yang meningkat adalah antara ancaman yang akan semakin kerap melanda,” kata laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dalam laporannya.


Laporan itu juga menyatakan bahawa panel berkenaan 95 peratus yakin bahawa manusia adalah punca pemanasan global berdasarkan pemerhatian sejak 60 tahun lalu.

Peringatan kepada seluruh dunia

Ketua panel iklim PBB Christiana Figueres berkata, laporan itu adalah peringatan kepada seluruh dunia supaya berusaha menghindari penghuninya daripada zon bahaya.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera dengan mempersetujui perjanjian menentang penghasilan gas rumah hijau pada 2015,” katanya.
Setiausaha Negara Amerika John Kerry juga menggesa tindakan tegas diambil dan menyifatkan laporan itu sebagai ‘pembuka mata’.

“Mana-mana pihak yang menafikannya dan enggan mengambil sebarang tindakan akan menerima kesan buruk,” katanya.

IPCC sudah menyerahkan empat laporan penilaian sejak 25 tahun penubuhannya.
Setiap edisi laporan menyuarakan tahap kebimbangan yang semakin meningkat membabitkan suhu yang semakin meningkat dan masalah dalam sistem iklim yang semakin ketara.

Ramalan masalah iklim pada awal abad ini dibuat berasaskan model komputer membabitkan trend penghasilan gas rumah hijau, teruma daripada arang, minyak dan gas yang menjadi tulang belakang bekalan tenaga hari ini.

Laporan itu menyatakan bergantung kepada sebanyak mana gas karbon memasuki atmosfera, paras air laut akan meningkat antara 26 hingga 82 sentimeter menjelang 2100.

Pengerusi bersama bagi persediaan laporan, Thomas Stocker berkata tempoh 30 tahun diperlukan untuk melihat tahap perubahan iklim dunia.

Beliau berkata IPCC mengakui walaupun perubahan iklim didapati semakin perlahan, tahun 2010 masih menjadi tahun paling panas pernah direkodkan. - AGENSI

Duta Besar Paraguay di Indonesia peluk agama Islam


Duta Besar Republik Paraguay ke Indonesia, Cecar Estebon Grillion (dua dari kiri) memegang naskhah al-Quran semasa mengucapkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan Menteri Agama, Suryadharma Ali (kiri sekali) dalam satu majlis di Masjid Istiqlal, Jakarta, kelmarin. - Agensi
JAKARTA 28 Sept. - Selepas sekian lama tertarik dengan agama Islam, Duta Besar Republik Paraguay ke Indonesia, Cecar Estebon Grillion akhirnya memilih untuk memeluk agama itu selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Istiqlal di sini, semalam.
Di hadapan ribuan jemaah yang selesai mengerjakan solat Jumaat dan disaksikan Menteri Agama, Suryadharma Ali, Grillion secara rasmi kini merupakan seorang penganut agama Islam.
Grillion dibimbing oleh Imam Besar Masjid Istiqlal, Ali Mustafa Yaqub ketika mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab.
Ribuan jemaah Masjid Istiqlal didengar mengucapkan Alhamdulillah sebaik-baik duta itu selesai melafazkan kalimah syahadah.
Menurut Grillion, beliau sudah lama tertarik dengan agama Islam.
"Saya mengenal Islam setelah membaca buku-buku mengenai Islam milik anak saya," ujarnya seperti yang dipetik dari laman web Kementerian Agama Indonesia.
Pada masa sama, Grillion juga mendapat hidayah untuk mendalami Islam melalui perkenalannya dengan seorang muslimah Indonesia, Yulie Setyohadi yang membuka hatinya untuk mempelajari agama itu.
"Saya berjanji saya memeluk agama Islam bukan atas dasar menukar agama sahaja, tetapi untuk menjadi seorang muslim yang baik dengan bantuan semua," jelas beliau.
Sementara itu, Suryadharma berharap, keputusan Grillion memeluk Islam dapat memberi inspirasi kepada saudara lain untuk sama-sama mengambil jalan yang diredai oleh Allah.
"Semoga imannya makin kuat, menjadi muslim yang soleh serta mematuhi perintah Allah," katanya.
Bagi Ali Mustafa yang membimbing Grillion pula, keinginan duta besar itu untuk memeluk agama Islam bukan disebabkan oleh tekanan atau kerana ingin bernikah dengan wanita Islam.
Sebaliknya, hasrat itu, katanya, bertitik tolak daripada hidayah yang diperoleh Grillion daripada Allah.
Keseriusan Grillion untuk memeluk agama Islam dapat dilihat melalui usahanya mendalami agama itu daripada tokoh agama tersohor Indonesia, Prof. Quraish Shihab selain dengan beliau sendiri sebagai Imam Besar Masjid Istiqlal.
Grillion juga berhasrat menukar namanya kepada Ibrahim.
"Saya cadangkan ditambah Muhammad pada awal nama itu," tambah Suryadharma pula.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_04/Duta-Besar-Paraguay-di-Indonesia-peluk-agama-Islam#ixzz2gEgq3YqO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesara tanam sayur gergasi



IAN NEALE menunjukkan lobak merah terbesar di Britain yang ditanam di kebunnya di Langstone, selatan Wales.- AGENSI


LONDON - Seorang pesara memecahkan dua rekod perkebunan semalam apabila dia mendedahkan lobak swede terbesar di dunia dan lobak merah paling besar di Britain.
Ian Neale memecah rekodnya sendiri dengan menanam lobak swede seberat 54 kilogram (kg) dan mengatasi satu lagi rekod apabila lobak merahnya mencatat berat 8.35 kg.
Semua sayuran itu ditanam di kebun belakang rumahnya di Langstone, selatan Wales.
Neale, 70, menggunakan baja buatan sendiri dengan ramuan yang disempurnakan sejak lebih 30 tahun lalu untuk menghasilkan tanaman yang segar dan besar.
"Namun, jika cuaca tidak terlalu pelik pada tahun ini seperti musim panas yang ekstrem, saya rasa saya dapat menanam sayuran lebih besar," katanya.
Dia mempamerkan produk pertanian itu menjelang pameran tanaman musim luruh di Worcestershire.
Pameran tersebut menarik kehadiran sekitar 50,000 pengunjung pada setiap tahun.
Dalam pada itu, seorang pekerja pasar raya, Richard Smith, 48, mempamerkan sebiji labu gergasi seberat 100 kg. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2gDzJcCRj 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi kuat gegar barat daya Pakistan



MANGSA-MANGSA gempa bumi Pakistan diberi bantuan khemah di sebuah lokasi di Awaran, barat daya Pakistan semalam.- AFP


ISLAMABAD - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan barat daya Pakistan semalam beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa yang meragut lebih 300 nyawa.
Menurut pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran baharu itu pada pukul 12.34 tengah hari (waktu tempatan)
Ia berpusat 96 kilometer (km) ke timur laut daerah Awaran pada kedalaman 14km di bawah permukaan bumi.
"Ini bukan gegaran susulan tetapi, satu gempa bumi berasingan," kata Pengarah Pusat Seismik Pakistan, Zahid Rafi di saluran Geo TV.
Bagaimanapun, ketua ahli meteorologi Pakistan, Arif Mehmood memberitahu saluran televisyen Express News bahawa gegaran semalam berukuran 7.2 pada skala Richter.
Awaran yang merupakan daerah pedalaman di wilayah Baluchistan digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter pada Selasa lalu.
Bencana buruk tersebut meragut 359 nyawa dengan lebih 100,000 orang hilang tempat tinggal.
Seorang wartawan agensi berita AFP di Awaran berkata, beratus-ratus pesakit yang dirawat di sebuah hospital lari menyelamatkan diri apabila gegaran baharu berlaku. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2gDykYTjj 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, September 28, 2013

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiri

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiriFLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Jodi Steel menghilangkan rasa bosan dalam bilik kuliah dengan cara unik.

Gadis kelahiran Florida ini bakal melukis pehanya sendiri semasa menunggu kuliah pensyarahnya berakhir.

Sebaik pulang ke rumah, Steel akan memuatnaik gambar itu di blognya dan memadamkannya lukisan di pehanya.

Uniknya, lukisannya itu menghasilkan gambar-gambar yang mengagumkan dan membuatkan ramai pelawat ke blognya.

Malahan beberapa gambar 'hasil seninya' yang sering mendapat perhatian adalah seperti wajah pelakon dan seniman seperti Joseph Gordon-Levitt serta vokalis Radiohead, Thom Yorke sehingga ke gambar gajah dan kucing.

“Selalunya, orang memang berharap karya seninya dilihat orang tetapi saya sendiri tak berfikir bahawa gambar-gambar ini akan menjadi perhatian orang,” katanya seperti yang dipetik dari Daily Mail.

Tentera udara yang hilang sejak WW II dikebumi

Tentera udara yang hilang sejak WW II dikebumi28 September 2013
SALT LAKE CITY – AMERIKA SYARIKAT. Setelah 69 tahun hilang tanpa khabar berita, akhirnya keluarga juruterbang Perang Dunia Kedua dapat menarik nafas lega apabila beberapa rangka tulang juruterbang itu ditemui, baru-baru ini.

Walaupun tidak berada dalam jasad yang lengkap, mendiang tetap dikebumikan dengan penghormatan penuh adat istiadat ketenteraan di Utah, semalam.

Pesawat yang dipandu Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) Kedua, Leftenan Vernal J.Bird terhempas di sebuah pulau berhampiran Lautan Pasifik hampir 70 tahun yang lalu.

Bird hilang di Papua New Guinea ketika pengeboman lapangan terbang Jepun pada tahun 1944.

Kawasan kejadian ditemui 12 tahun lalu tetapi serpihan mayat yang ditemui baru dikenal pasti yang mengatakan ia milik Bird.

Hanya tulang kaki Bird yang ditemui dan ia dibawa dalam sebuah keranda yang dilitupi bendera.

Minggu ini, kira-kira 150 saudara mara Bird dari jauh datang ke Lapangan Terbang Salt Lake untuk menyambut ‘kepulangan’ Bird.

Namun, serpihan mayat juruterbang bersama Bird, Sarjan Roy Davis dari New Hampshire tidak ditemui.

Wanita urus ladang 283 hektar


Dari kiri, Harriet, Carol, Georgina, dan Katy, mengambil tanggungjawab menguruskan ladang keluarga selepas kematian suami dan bapa mereka. - AGENSI
LONDON 27 Sept. - Walaupun bidang perladangan didominasi oleh lelaki, seorang ibu dan tiga orang anak perempuannya bertindak mengambil alih pengendalian ladang seluas 283 hektar apabila kematian ketua keluarga mereka akibat kanser.
Carol Besent, 52, mengambil keputusan untuk meneruskan ladang milik suaminya itu, Michael yang meninggal dunia empat tahun lalu, berbanding menjualkannya.
Keputusan untuk bekerja di ladang Higher Melcombe Farm di Dorchester, Dorset yang mengeluarkan komoditi gandum dan barli itu mendapat sokongan daripada tiga orang anak perempuannya.
Carol mengusahakan ladang tersebut bersama anak keduanya Harriet, 25, yang memiliki ijazah pertanian dengan Georgina, 28, dan Katy, 21, bertindak sebagai buruh.
Mereka kini sibuk mengusahakan ladang yang mampu menjana pendapatan satu juta pound (RM5.17 juta) setahun.
Ini berikutan musim penuaian semakin dekat yang memerlukan mereka bekerja selama 14 jam sehari.
Katy akan mengendalikan jentera penuai manakala Harriet akan memandu jentolak dan lori treler untuk membawa sebanyak 400 tan hasil tuaian barli dan Georgina pula akan menguruskan proses pemerahan susu melibatkan 180 ekor lembu susu.
Carol berkata, banyak pihak terkejut dengan keputusan yang diambilnya untuk menguruskan ladang tersebut.
"Ada yang memberikan sokongan dan nasihat kepada kami, perladangan secara tradisinya tidak diuruskan oleh kaum wanita dan beberapa petani tradisional melihat perkara dari sudut yang berbeza.
''Tetapi kami tidak melakukan semua perkara dan bertindak mengupah pekerja untuk membantu kami," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_08/Wanita-urus-ladang-283-hektar#ixzz2g8CZY8E3
© Utusan Melayu (M) Bhd