Pages

Friday, April 19, 2013

Potong Kemaluan Suami Kerana Mempunyai Kekasih Lain



Seorang wanita berusia 50 tahun, Catherine Kieu Becker memotong kemaluan suaminya dengan sebilah pisau kerana diselubungi perasaan marah selepas menyangka mangsanya itu mempunyai kekasih lain.




Menurut peguam wanita itu, Frank Bittar, Catherine mengalami trauma sepanjang hayatnya selepas dia hidup semasa negara kelahirannya, Vietnam dilanda peperangan.
Bittar dalam hujahnya di sebuah mahkamah semasa perbicaraan kes itu berlangsung berkata, wanita itu juga pernah dirogol oleh seorang abang kandungnya semasa dia berusia enam tahun.

Selepas berpindah ke California dan berkahwin buat kali pertama pada tahun 1984, dia kemudian bercerai pada tahun 1997."Dia (Catherine) tidak cemburu, bukannya zalim dan seorang janda yang jahat," kata Bittar semasa berhujah pada hari pertama perbicaraan kelmarin di Santa Ana, California.


Wanita tersebut kemudian berkahwin buat kali kedua pada Disember 2009.Menurut peguam tersebut, suaminya itu merupakan seorang pelaku seks yang terlalu aktif sehingga dia menggunakan ubat mati pucuk dan memaksa Catherine melakukan hubungan seks yang menyakitkan.

Bittar berkata, dalam pemikiran wanita tersebut, dia melakukan perbuatan itu kerana hendak menghentikan tindakan suaminya.Kemaluan yang telah dipotong itu kemudian dibuang ke dalam mesin pelupusan sampah.Jika disabitkan kesalahan, Catherine akan dihukum penjara seumur hidup kerana melakukan perbuatan itu.


Dia dituduh membubuh ubat tidur dalam makanan malam suaminya yang berusia 60 tahun sebelum mengikat dan memotong kemaluannya di rumah mereka di Garden Grove, timur laut Los Angeles pada tahun 2011.Bagaimanapun, pendakwa raya John Christl berhujah, kes itu adalah tentang seorang suami yang mahu menceraikan isterinya.

Menurut Christl, Catherine enggan menerima perceraian itu menyebabkan dia melakukan perbuatan tersebut.Suami wanita itu yang turut memberi keterangan memberitahu, dia tidak akan memperoleh semula kehidupan seperti lelaki normal lain.
Menurutnya, proses pemulihannya tidak akan berakhir walaupun dia telah menjalani pembedahan selepas kemaluannya dipotong.-Kosmo

Jadi gelandangan



SEJAK kebelakangan ini penampilan pelakon Macaulay Culkin semakin jauh daripada aura seorang bintang filem terkenal. Pelakon filem Home Alone itu selalu dilihat muncul dalam keadaan berserabut seperti orang gelandangan.
Seperti dilaporkan oleh The Sun, seorang wartawan olahraga bernama Marley Spindley melihat bintang ini berjalan di Shoreditch, London, United Kingdom baru-baru ini. Wartawan tersebut nyaris tidak mengenali kelibat Culkin yang ketika itu sedang bersama rakannya, Drew.
“Pada mulanya saya tidak mengenalinya sebab saya ingat dia hanya gelandangan yang sedang menghisap rokok. Kami sempat berbincang sebentar. Saya memang tidak akan tahu kalau Drew tidak mengatakan bahawa lelaki di sampingnya itu ialah Macaulay Culkin," ungkap wartawan itu.
Penampilan mengejutkan itu memang berkali-kali ditunjukkan oleh aktor berusia 32 tahun ini. Awal tahun lalu, dia sempat muncul dengan tubuh kurus keringnya yang cukup menghibakan.
Pelakon filem yang berlakon pada usia kanak-kanak itu dikatakan kelihatan begitu selepas kerjayanya sebagai pelakon semakin merudum sejak kebelakangan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130418/hi_02/Jadi-gelandangan#ixzz2QsYH0cBX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 lelaki 'kacak' dihantar pulang



Dubai: Sekurang-kurangnya tiga lelaki yang menghadiri satu festival kebudayaan tahunan di Arab Saudi terpaksa dibawa keluar dari negara itu selepas pegawai polis agama menyifatkan mereka sebagai terlalu ‘kacak’ untuk tinggal di negara berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki terbabit adalah delegasi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang terbabit dalam Festival Kebudayaan dan Warisan Jenadrivah di Riyadh, apabila anggota mutaween terbabit tiba-tiba menyerbu pusat berkenaan dan membawa ketiga-tiga lelaki terbabit.
Bimbang pengunjung wanita

“Pegawai festival berkata bahawa ketiga lelaki UAE terbabit dibawa keluar kerana alasan mereka terlalu kacak dan Suruhanjaya Amar Makruf Nahi Mungkar dikatakan bimbang pengunjung wanita boleh jatuh hati dengan mereka,” lapor akhbar berbahasa Arab, Elaph.

Delegasi negara UAE terbabit terpaksa dihantar pulang ke negara asal mereka.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan delegasi UAE terbabit berikutan insiden itu berkata bahawa, polis agama terbabit sebenarnya terkejut dengan kehadiran seorang artis wanita dari UAE. - Agensi

Gajah jantan mati bergaduh rebut gajah betina



Chon Buri: Pelancong dan kakitangan sebuah pusat gajah di sini lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri apabila dua gajah jantan bergaduh kerana berebut gajah betina.

Pihak berkuasa yang dipanggil ke Pusat Gajah Khao Chi Chan Pattaya di daerah Sattahip menemui bangkai gajah jantan berusia 69 tahun, Phlai Sompong yang cedera parah pada badannya akibat dirodok seekor gajah lain.


Phlai Sompong adalah antara 22 gajah yang digunakan untuk mengangkut pelancong mengelilingi pusat berkenaan.

Dia mati selepas bergaduh dengan Phlai Noi yang berusia 30 tahun. Phlai Noi dibawa ke pusat itu dari wilayah Surin untuk dikawankan dengan gajah betina di pusat itu.

Warga emas diarah kembalikan bayaran khidmat seks



Tokyo: Seorang wanita berusia 77 tahun yang menerima wang berjumlah AS$4 juta (RM12 juta) sebagai bayaran khidmat seks dan romantik daripada seorang lelaki diarah membayar balik wang itu oleh mahkamah di Jepun.

Wanita berkenaan menerima bayaran sekitar 400 juta yen daripada lelaki berusia 77 tahun itu dalam masa tujuh tahun.


Akhbar Sports Nippon melaporkan, lelaki berkenaan menyangka bayaran itu hanya pinjaman yang diberikan kepada wanita berkenaan yang menggunakannya untuk membeli beberapa kereta mewah dan sebuah kondominium.

“Dia tidak mempunyai keupayaan atau niat untuk membayar semula hutang itu,” kata sebuah mahkamah di Shizuoka, tengah Jepun itu.


Mahkamah sebelum ini diberitahu bagaimana wanita berkenaan yang namanya tidak didedahkan, menggunakan pujuk rayu untuk memaksa lelaki berkenaan memberikannya wang berkenaan. Ia termasuk berbogel di kamar hotel dan meminta lelaki terbabit memandikannya.


Pasangan tua itu mula berpacaran pada Jun 2000 dan wanita berkenaan berulang kali meminta wang daripada mangsa yang menurutnya untuk membayar hutang kepada lelaki lain.

Mangsa yang identitinya juga tidak didedahkan terpaksa menjual tanah yang diwarisinya serta meminjam untuk memenuhi permintaan wanita terbabit.


Wanita berkenaan sebaliknya menggunakan wang berkenaan memberli beberapa kereta mewah, termasuk sebuah Jaguar, satu BMW, dan sebuah Mercedes Benz selain sebuah kondominium. - Reuters

Punca zakar suami dikerat



Los Angeles: Seorang wanita bertindak memotong kemaluan suaminya kerana mahu menghentikan keganasan seks lelaki itu ke atasnya.

Peguam Catherine Kieu Becker, Frank Bittar memberitahu mahkamah wanita itu juga berang kerana menyangka suaminya mempunyai wanita lain.
Catherine memasang perakam audio untuk cuba menangkap suaminya mengadakan seks dengan kekasihnya tetapi gagal.

Peranti itu bagaimanapun merakam kejadian dia memotong kemaluan itu dan membuangkan ke dalam tong sampah.


Catherine, 50, dituduh meletak dadah dalam makanan suaminya untuk mengkhayalkan lelaki berusia 60 tahun itu.


Dia kemudian mengikat mangsa pada katil dan memotong kemaluannya. Kejadian berlaku di rumah mereka di Garden Grove, tenggara Los Angeles pada 2011.

“Ini ialah kes mengenai seorang suami yang berusaha untuk menceraikan isterinya dan ketidaksediaan si isteri untuk diceraikan oleh pasangannya.

“Dengan keengganan untuk dicerai, dia melakukan keganasan itu. Dia memusnahkan kelakian mangsa,” kata pendakwa raya John Christl.

Christl berkata, perakam audio itu merakam kejadian pada 11 Julai 2011 itu apabila dia mencampurkan ubat tidur Zolpidem ke dalam mangkuk sup tahu mangsa.

“Anda boleh mendengar lelaki itu berkata ‘Oh, sedapnya. Anda juga boleh mendengar dia berkata, ‘Ia agak masin,’ sebelum dia masuk tidur awal, kira-kira jam 8.10 malam.

“Ketika mangsa tidur, tertuduh mengikatnya pada katil dengan tali.

“Apabila mangsa sedar, isterinya memberitahunya ‘Anda patut menerima ini,’ tiga kali dan dia kemudian memotong kemaluan mangsa, kata Christl.

Menurut pendakwa raya itu, Catherine kemudian mengambil kemaluan yang sudah putus itu dan memasukkannya ke dalam tong sampah.

Peguam Catherine, Frank Bittar memberitahu mahkamah, anak guamnya sudah sekian lama hidup dalam trauma, bermula sejak zaman kanak-kanaknya di Vietnam, termasuk diperkosa dua abangnya ketika berusia sejak enam tahun.

Jika didapati bersalah, Catherine berepan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang untuk mendapat parol. - AP

Gelagat para peserta pertandingan piza




SALAH satu aksi yang menarik ditunjukkan oleh Takumi Tachikawa semasa dia menebar doh piza.- AP


PARMA, Itali - Beberapa peserta menunjukkan kemahiran mereka menebar doh pada pertandingan kategori gaya bebas Kejohanan Dunia Piza di sini kelmarin.
Doh itu merupakan tepung yang diuli untuk membuat piza.
Pelbagai gelagat menarik ditunjukkan oleh para peserta yang menyertai kategori itu.
Kejohanan kali ke-22 itu berlangsung dari 15 hingga 17 April. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Qr6mDu9w 
Hakcipta terpelihara 

Anak badak air jadi tumpuan di Zoo Prague




VALECEK dan ibunya bermain di dalam kolam itu.


PRAGUE, Republik Czech - Seekor anak badak air yang berusia dua tahun menjadi tumpuan para pengunjung di Zoo Prague di sini kelmarin.
Para pengunjung dapat melihat anak badak air jantan yang diberi nama Valecek itu berenang dan bermain bersama ibu haiwan tersebut di dalam sebuah kolam.
Gelagat kedua-dua ekor badak air itu dapat dilihat oleh pengunjung kerana kolam tersebut mempunyai dinding yang berkaca. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Qr6DbYRR 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, April 18, 2013

'Saiznya cukup untuk telan kami'

'Saiznya cukup untuk telan kami'
Penduduk mengangkat ular sawa gergasi itu.
SIONG - Dua sahabat berhadapan situasi cemas bergelut selama dua jam dengan seekor ular sawa batik sepanjang tujuh meter dianggarkan seberat hampir 150 kilogram ketika melakukan rondaan di kawasan kebun getah di Kampung Becah Sawa kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Penduduk, Mohd Hafiz Mohd Noor, 31, berkata, dia bersama seorang rakannya, Nasir Yaakup, 41, terpaksa bergelut mengatasi tenaga kuat ular itu yang dipercayai baru menetaskan kira-kira 80 telur dalam sebuah lubang di kebun itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama rakannya itu sedang melakukan rondaan bagi mengelakkan kecurian getah sebelum ternampak sesuatu seperti badan ular sawa di dalam sebuah lubang di kawasan kebun itu.

“Saya cuba dekatkan diri dan melihat memang terdapat ular sawa dalam lubang itu. Saya dan rakan cuba menarik ular itu, tapi tidak berjaya. Tenaganya begitu kuat. Hampir dua jam bergelut barulah saya dapat pegang kepala ular itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia dan rakannya terpaksa mengheret ular itu sepanjang beberapa meter sebelum dipindahkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Ketika itu, saya memang tidak ingat apa dah. Saya cuma nak keluarkan ular itu. Saya takut, ada orang kampung yang akan jadi mangsa.

"Saiz ular ini cukup untuk telan kami berdua,” katanya.

Kejayaan menangkap 'ular gergasi' itu turut mendapat perhatian penduduk.

Puluhan penduduk tidak putus-putus mengambil gambar termasuk melihat ular itu dari jarak dekat.

Mohd Hafiz berkata, dia belum membuat keputusan sama ada untuk melepaskan ular itu mahupun menyerahkan kepada pihak berkuasa.

Kek tanda letak jawatan


STANSTED 17 April - Seorang pekerja membuat kejutan dengan mengukir surat peletakan jawatan pada kek yang diserahkan kepada ketuanya.
Kek istimewa dengan dihiasi lapisan gula itu merupakan satu perkara unik yang dilakukan oleh Chris Holmes, 31, untuk meluahkan hasratnya.
Pekerja di Jabatan Imigresen, Lapangan Terbang Stansted itu bertindak melepaskan jawatan bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan membuat kek yang mula diceburi secara kecil-kecilan beberapa tahun lalu.
"Saya menyerahkan sendiri kek tersebut kepada pengurus yang bertugas. Saya rasa dia terkejut dengan kek itu," katanya.
Menurutnya, kek tersebut sangat istimewa kerana dibuat daripada lobak merah yang dicampur kelapa parut, kacang, kismis dan menggunakan krim mentega oren.
"Surat itu mungkin kelihatan agak 'padat' kerana terlalu banyak perkataan yang saya mahu tulis. Bagi saya, ia 'kejutan' yang manis," katanya.
Holmes merasakan cara sedemikian sebagai jalan terbaik untuk melepaskan jawatan dan berharap rasa kek tersebut mampu memberi 'ingatan' menarik kepada mereka yang merasainya.
"Saya sudah merancang perkara ini selama enam bulan, namun merahsiakannya kerana tidak pasti bila saya akan meletak jawatan," katanya.
Holmes sudah bekerja dengan jabatan tersebut selama tujuh tahun dan mula menjalankan perniagaan kek secara kecil-kecilan sejak Julai 2010. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_13/Kek-tanda-letak-jawatan#ixzz2QleXtm6W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Iran dilanda gempa bumi lagi



TEHERAN 18 April - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 skala Richter menggegarkan barat laut Iran hari ini, beberapa hari selepas satu gempa kuat melanda kawasan sempadan Iran-Pakistan yang mengorbankan 40 orang.
Gempa yang berlaku di bandar Tassouj dengan kedalaman lapan kilometer itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemusnahan.
Agensi berita ISNA yang memetik pegawai tempatan di wilayah Azerbaijan Timur, Khalil Saiie berkata, pihaknya masih memantau gempa susulan dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Gegaran gempa itu turut dirasai di beberapa bandar berhampiran Tassouj. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_23/Iran-dilanda-gempa-bumi-lagi#ixzz2Qra0kSpZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Boleh gemuk layan laman sosial



Kajian mendapati wanita sanggup tidak bersarapan kerana menghabiskan masa melayari internet. - AGENSI
LOS ANGELES 17 April - Kajian mendapati hampir empat daripada 10 orang wanita berisiko menjadi gemuk kerana tidak mengambil sarapan pagi semata-mata mahu menghabiskan masa melayari internet terutamanya laman sosial seperti Facebook dan Twitter atau memeriksa e-mel.
Tekanan hidup dalam dunia moden ini menyebabkan hanya 63 peratus golongan wanita mengambil sarapan di rumah dengan selebihnya memilih untuk melayari internet.
Sekurang-kurangnya seorang daripada tiga orang dewasa akan memeriksa e-mel pada sebelah pagi, manakala satu perempat pula lebih gemar melayari Facebook dan Twitter.
Golongan itu tidak menyedari bahawa kajian itu juga mendapati mereka yang tidak mengambil sarapan akan terdedah untuk mengambil makanan yang banyak semasa makan tengah hari.
Keadaan itu menyebabkan mereka mudah menjadi gemuk kerana makanan yang diambil pada tengah hari mengandungi lebih banyak lemak dan manis.
Kajian itu juga mendapati hampir satu daripada lima orang tidak mengambil sarapan pagi selagi tidak menyiapkan kerja mereka.
Manakala terdapat juga yang mengambil sarapan semasa berada di dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kajian juga mendapati, satu daripada tujuh orang terlepas mengambil sarapan kerana mereka sibuk dengan tugasan di rumah.
Malah satu daripada dua orang mengakui tahap tenaga mereka akan menjadi lemah jika terlepas sarapan manakala 45 peratus lagi memberitahu mereka merasa lebih produktif apabila mengambil sarapan pagi.
Penyelidik telah memberi amaran bahawa seseorang yang tidak mengambil makanan dalam tempoh yang panjang akan mengidam makanan berkalori tinggi yang berlebihan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_12/Boleh-gemuk-layan-laman-sosial#ixzz2QleDMtsP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelabuhan zaman Firaun ditemukan



Sebuah pelabuhan yang dipercayai berusia 4,500 tahun ditemukan oleh pakar arkeologi di kawasan perairan Laut Merah, di Mesir, kelmarin. - AGENSI
KAHERAH 17 April - Pakar arkeologi menemukan satu pelabuhan tertua di dunia yang terletak di kawasan perairan Laut Merah di Mesir.
Pelabuhan tersebut dipercayai berusia 4,500 tahun yang digunakan ketika pemerintahan Firaun Khufu (Cheops) pada Dinasti Keempat.
Pelabuhan itu ditemui di kawasan Wadi el-Jarf, selatan Suez, Mesir bersama beberapa manuskrip papirus dalam aksara hiroglif.
Struktur yang dipercayai 1,000 tahun lebih tua dari pelabuhan lain di dunia itu ditemui oleh pasukan Institut Pengajian Arkeologi Perancis.
Akhbar Daily Mail semalam melaporkan pasukan arkeologi itu percaya, pelabuhan berkenaan merupakan pelabuhan komersial paling penting pada zaman purba Mesir dan digunakan untuk mengeksport tembaga dan bahan mineral lain dari Semenanjung Sinai.
Manuskrip tersebut mengandungi maklumat pengurusan untuk mendapatkan roti dan arak kepada pekerja yang akan keluar dari pelabuhan itu.
Satu daripada manuskrip itu juga menceritakan maklumat tentang kehidupan penduduk Mesir purba.
Pihak berkuasa Mesir berkata, pasukan arkeologi tersebut menemukan pelbagai jenis limbungan dan batu sauh. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_09/Pelabuhan-zaman-Firaun-ditemukan#ixzz2Qle1Hq8t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kek gulung paling panjang di dunia dibuat di Jepun




SEBAHAGIAN pelajar meraikan kegembiraan selepas berjaya membuat kek gulung paling panjang di dunia.


TOKYO - Kira-kira 90 orang tukang masak dan pelajar membuat kek gulung yang terpanjang di dunia di sini semalam.
Kek yang sepanjang 130.68 meter (m) itu diperbuat daripada gula seberat 43 kilogram (kg) dan menggunakan tepung sebanyak 54kg.
Sebanyak 2,682 biji telur digunakan untuk membuat kek tersebut.
Panjang kek itu diiktiraf oleh pihak Guinness World Records.
Ia memecahkan rekod kek gulung sepanjang 115.09m yang dibuat di Takasaki, Gunma, Jepun pada 19 November 2011. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2QlFV5PYA 
Hakcipta terpelihara 

Tukang gunting rambut cuci mata pelanggan




SEORANG tukang gunting rambut mencuci mata seorang pelanggannya di sebuah taman di Chengdu, wilayah Sichuan pada 12 April lalu.


CHENGDU - Seorang tukang gunting rambut menggunakan sebilah logam kecil untuk mencuci mata seorang pelanggan di sebuah taman di Chengdu, wilayah Sichuan, China pada 12 April lalu.
Mencuci mata merupakan amalan tradisional penduduk China yang dipercayai akan menyebabkan penglihatan menjadi lebih terang.
Tukang gunting rambut itu, Liu Deyuan menyediakan perkhidmatan mencukur rambut termasuk membersihkan mata pada harga lima yuan (RM2.45).
Deyuan menggunakan logam kecil itu yang dimasukkan ke dalam mata di tepi kelopak semasa dia membersihkan mata tersebut.
Dia menyediakan perkhidmatan itu sejak tujuh tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2QlFAJgoQ 
Hakcipta terpelihara 

Bot gergasi guna kuasa suria tiba di Rabat




BEBERAPA orang nelayan melihat bot PlanetSolar belayar di Sungai Bouregreg, Rabat kelmarin.


RABAT, Maghribi - Sebuah bot gergasi yang menggunakan kuasa suria tiba di Sungai Bouregreg di sini kelmarin.
Bot sepanjang 31 meter itu dikendalikan oleh Gerard d'Aboville.
Ia yang dilengkapi dengan lebih 500 meter persegi panel suria merupakan bot paling panjang yang menggunakan tenaga suria di dunia.
Bot yang dibina di Kiel, Jerman pada tahun 2010 itu diberi nama PlanetSolar.
Ia kemudian akan belayar ke Lautan Atlantik dan tiba di Miami, Amerika Syarikat pada Mei ini untuk memulakan ekspedisi saintifik. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2QlEocii3 
Hakcipta terpelihara 

Kuzmanovic cipta kereta F1 di dalam bengkel




KERETA itu dipandu di sebatang jalan raya yang turut digunakan kenderaan lain.


PRNJAVOR, Bosnia - Seorang penduduk di sini, Miso Kuzmanovic membina sebuah kereta lumba Formula Satu (F1) di dalam sebuah bengkel sejak dua tahun lalu.
Dia membina kereta tersebut bersama rakan-rakan dan anggota keluarganya dengan kos sebanyak AS$33,000 (RM100,006).
Ia menggunakan enjin kereta sport, Porche.
Apabila dia berpindah ke Kanada pada tahun depan, Kuzmanovic merancang untuk mencari sebuah syarikat yang akan mengeluarkan reka bentuk kereta itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2QlEbiVzM 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, April 17, 2013

Angka korban gempa bumi di Iran meningkat 74 orang



QUETTA 17 April - Angka korban akibat gempa bumi di Iran, meningkat kepada 74 orang, dengan 34 daripadanya merupakan penduduk Pakistan.
Gempa tersebut yang berlaku di sempadan wilayah Iran-Pakistan, semalam, turut memusnahkan lebih 1,000 rumah yang diperbuat daripada lumpur di pekan Mashkail, Pakistan.
Sementara itu, lebih 40 orang dikhuatiri terbunuh di Iran selepas gempa berukuran 7.8 skala Richter menggegarkan wilayah Sistan, tenggara negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130417/lu_01/Angka-korban-gempa-bumi-di-Iran-meningkat-74-orang#ixzz2QjFeJ8xC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi 6.8 skala Richter landa Papua New Guinea



SYDNEY 17 April - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 skala Richter menggegarkan Papua New Guinea (PNG) hari ini, menurut agensi berita Xinhua yang memetik Geosains Australia.
Gempa bumi tersebut dilaporkan berlaku pada kedalaman 20 kilometer berhampiran kawasan perairan utara New Guinea pada pukul 8.55 pagi waktu tempatan.
Tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan berhubung gempa bumi tersebut. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130417/lu_12/Gempa-bumi-68-skala-Richter-landa-Papua-New-Guinea#ixzz2QjE5dY00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MASUK ISLAM SELEPAS SAKSI KEJAHATAN MUSUH




Susunan USTAZ ZAINUDIN HASHIM
Manusia di muka bumi ini terutama golongan yang jahat dan benci kepada Islam, mereka merancang sesuatu untuk menyekat kemaraan Islam untuk
diterima sebagai agama Allah. Mereka tidak mampu melakukannya, kerana pada masa yang sama juga Allah merancang untuk menggagalkan perancang mereka, begitulah betapa hebatnya Allah dalam perancangannya yang tidak mahu disekat oleh mana-mana makhluk bernama manusia.
Shariffa Carlo adalah di antara makhluk Allah dari kalangan manusia yang menerima Islam sebagai jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Ketika masih remaja, beliau pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri, bagaimana terdapat individu jahat yang merancang sesuatu bagi memburukkan agama Islam, sedangkan mereka bukanlah makhluk manusia yang berjaya dalam hidup, tetapi mempunyai nafsu besar untuk menyekat Islam agar tidak sampai kepada pengetahuan individu lain.
Ini terdapat pada individu yang bergelar yang berhormat, terutama dalam kalangan mereka yang berjawatan dalam pentadbiran negara Amerika, merekalah yang merancang pengeboman bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001, tetapi menuding ke arah individu Muslim untuk bertanggungjawab.
Akibatnya sejak peristiwa itu, ramai yang bersimpati kepada Islam dan menerimanya, perkara ini tidak dihebah atau dihebohkan kepada umum dikhuatiri ramai lagi yang memeluk Islam.
Ini menunjukkan bahawa perancangan mereka sebenarnya digagalkan Allah dengan kemasukan ramai individu ke dalam Islam dari kalangan warganegara Amerika.
“Ramai daripada kalangan konco-konco yang anti dan benci Islam memperlihatkan sikap mereka yang sebenar di hadapan saya, mereka cuba memperdaya saya dengan mengatakan bahawa tragedi itu dilakukan oleh orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Mereka menegaskan jika saya terima pandangan tersebut mengenai Perhubungan Antarabangsa khususnya di Timur Tengah, mereka akan menjamin saya peluang pekerjaan di Kedutaan Amerika Syarikat di Mesir, ketika itu memang saya belum memiliki pekerjaan malah sedang mengintai peluang, namun hati kecil saya berkata, bahawa ia adalah satu taktik untuk menipu saya,’ujar Shariffa.
Tujuan tawaran pekerjaan di kedutaan tersebut diberikan kepada Shariffa kononnya beliau boleh menggunakan kedudukannya sebagai diplomat Amerika untuk menyekat segenap aktiviti Muslimat, malah menggalakkan mereka untuk menuntut kebebasan.
Pada mulanya beliau menyangkakan idea itu sangat hebat dengan menggalakan wanita Islam bertindak pada perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, di samping menaik-tarafkan rakyat Mesir untuk keluar daripada belenggu kemiskinan kepada hidup yang lebih bermakna, namun semua janji itu adalah kosong belaka dengan pelbagai penipuan dan perancangan jahat mereka.
Shariffa menolak semua tawaran palsu itu, malah beliau beralih kepada bidang pendidikan untuk memperkasa diri dengan nilai akademik yang mantap. Beliau menyambung pengajian di sebuah kolej yang menawarkan pengajian al- Quran, hadis Nabi serta sejarah Islam. Mengkaji bahan-bahan tersebut menjadikannya lebih berminat untuk mengetahui tentang maklumat Islam, sekurang-kurang ia sebagai perisai untuk memperjelaskan kebenaran Islam kepada golongan yang amat membenci Islam, itulah cara untuk menjadi alat yang sangat berharga ketika berhujah dengan golongan sesat lagi menyesatkan.
Shariffa melanjutkan pengajiannya di peringkat PhD di Universiti Harvard dalam bidang Teologi dengan memulakan kajian tentang agama Kristian sebagai satu perbandingan dengan Islam.
Memang menakutkan apa yang dipaparkan dalam buku-buku mengenai Kristian dari sudut olahan mengenai intipati ajaran agama itu, tetapi yang lebih menarik ialah intipati ajaran Islam yang berpaksikan kepada kebenaran wahyu al-Quran yang memberi kepuasan ketika mengkaji dan membahaskannya.
Dalam kesempatan berada dalam satu kelas perbincangan dalam subjek Teologi, terdapat seorang profesor yang beragama Kristian Unitarian, bagi hemat Shariffa beliau tidak berapa percaya kepada konsep triniti atau ketuhanan Isa. Malah beliau begitu yakin bahawa Isa adalah seorang nabi yang diutus oleh Allah, kerap kali beliau menekankan pendapatnya itu dalam kelas, walaupun terdapat sanggahan dalam kalangan pelajarnya, namun beliau membuka ruang perbincangan, inilah yang menarik perhatian Shariffa untuk mendekatinya.
sumber

‘Kami tak akan disakiti lagi’

Foto
FIONA
Foto
MCLELLAND bersama ketiga-tiga anaknya.
Foto
RUMAH pangsa tempat mayat kanak-kanak itu ditemui.

London: Seorang ibu yang sarat mengandung dipercayai membunuh diri bersama tiga anaknya selepas menulis dalam laman Facebooknya: “Kami tak akan disakiti lagi.”

Fiona Anderson dikatakan terjun dari sebuah bangunan tempat letak kereta setinggi 15 meter.


Beberapa jam kemudian tiga anaknya, Levina, tiga, Addy, dua dan Kyeden yang berumur 11 bulan ditemui mati di rumah panagsanya, kira-kira suku kilometer dari bangunan berkenaan.

Rakannya mendedahkan, Fiona, ‘ibu pintar’ yang berusia 23 tahun meninggalkan beberapa mesej meluahkan rasa kecewa selepas Craig McLelland, bapa ketiga-tiga anaknya, meninggalkannya untuk bercinta dengan wanita lain.


Dia sebelum ini menulis: “Tidak ada siapa inginkan kami. Tidak ada siapa yang membantu kami. “Orang sepatutnya membantu kami menipu dan cuba mengambil anak saya. Hanya Craig yang kami ada, tetapi dia juga sudah pergi.” Fiona dari Lowestoft, Suffolk, juga menulis: “Ibu amat sayangkan kamu dan saya akan sentiasa menjaga kamu. Saya memohon maaf kerana menyebabkan kamu kecewa. Kita tak akan disakiti lagi.” Pakar Patologi dari Pejabat Dalam Negeri semalam melakukan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu untuk menentukan punca kematian mereka.


McLelland tiba di rumah pangsa Fiona selepas dimaklumkan ada orang membunuh diri. “Saya dapat merasakan siapa dia,” katanya.



Rakan Fiona Karleigh Burlingham, 20, berkata, Craig meninggalkan wanita itu kira-kira sebulan lalu.
“Ketiga-tiga anaknya sihat dan dibesarkan dengan baik. Dia melalui saat getir.” Seorang rakan lain berkata: “Kami diberitahu dia menulis dalam laman Facebooknya malam tadi: ‘Anak saya akan pergi bersama saya.’ Tidak sangka ada orang terfikir dia akan mencederakan dirinya, lebih-lebih lagi anaknya. - The Sun

Saintis cipta tanaman padi serap garam



Manila: Sekumpulan saintis berjaya mencipta tanaman padi yang mampu menyerap garam bagi membolehkan petani bersawah di atas tanah pinggir pantai yang boleh ditebus guna.

Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) berkata, penyelidik agensi itu kini dalam proses menyempurnakan benih sebelum ia dapat diuji secara meluas. Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, IRRI berkata, mereka berharap benih padi baru itu dapat ditanam petani dalam tempoh empat atau lima tahun lagi. Benih baru itu dibangunkan dengan menggabungkan sejenis padi eksotik liar di kawasan air payau dengan benih dibiakkan IRRI.


“Hasilnya sejenis padi baru yang mampu membuang garam diambil dari tanah ke uara melalui kelenjar yang ada pada daun pokoknya,” kata kenyataan itu. - AFP

Jutawan Saudi sokong wanita memandu



Jutawan Saudi sokong wanita memandu
PUTERA ALWALEED
RIYADH - Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, kelmarin menyatakan sokongan membenarkan golongan wanita di negara itu memandu kereta seperti yang dipaparkan menerusi akaun Twitter beliau.

Menurutnya, kebenaran tersebut dapat membantu kempen kerajaan mengurangkan jumlah pekerja asing.

"Jika larangan itu ditarik balik, kita sebenarnya dapat membuka lebih 50,000 peluang pekerjaan selain memberi faedah kepada sektor sosial dan ekonomi," katanya lagi.

Ribuan pekerja asing dipecat dan dihantar pulang ke negara masing-masing di bawah kempen untuk membendung kemasukan pendatang haram di Arab Saudi.

Minggu lalu, Raja Abdullah turut memberi tempoh tiga bulan kepada golongan itu untuk mengesahkan taraf mereka selepas kini terdapat lebih lapan juta pekerja asing bekerja di negara tersebut. - AP

Gempa kuat landa Pakistan, sederhana di Indonesia




16 April 2013
KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi kuat melanda Barat daya Pakistan manakala gempa sederhana berlaku di Selat Sunda, Indonesia hari ini.
  
Menurut Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di sini hari ini, gempa yang berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku kira-kira pukul 6.44 petang ini berpusat di 209 kilometer tenggara dari Zahedan, Iran.
  
Gempa di Indonesia pula berukuran 5.5 sederhana pada skala Richter berlaku kira-kira pukul 7.26 malam ini berpusat di 149 kilometer barat daya dari bandar Lampung, Indonesia dan 906 kilometer tenggara Johor Bahru, Johor.
  
Kedua-dua gempa itu bagaimanapun tidak membawa ancaman tsunami, demikian menurut jabatan itu.
  
Jabatan itu sedang memantau perkembangan terkini. - Bernama

Ikan paus pembunuh dilihat berenang di utara New Zealand




BEBERAPA ekor ikan paus pembunuh berenang di luar pantai Paihia pada Sabtu lalu. - REUTERS


WELLINGTON - Sekumpulan ikan paus pembunuh spesies pseudo orca dilihat berenang di luar pantai Paihia di kawasan Bay of Islands di Pulau Utara, New Zealand pada Sabtu lalu.
Ikan paus tersebut kerap berenang bersama ikan lumba-lumba bottlenose.
Kepulauan itu memang terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam kalangan pelancong asing dan tempatan yang mahu melihat ikan lumba-lumba dan paus. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2QfPN2Yk6 
Hakcipta terpelihara 

Hakim hukum diri sendiri, bayar denda



IONIA, Michigan - Seorang hakim di Amerika Syarikat (AS), Raymond Voet membayar denda sebanyak AS$25 (RM76) ekoran perbuatannya sendiri.
Voet membayar denda itu kerana beliau menghina mahkamah selepas bunyi telefon pintarnya mengganggu perbicaraan yang dikendalikannya.
Portal berita Sentinel-Standard of Ionia and MLive.com melaporkan, Voet telah melaksanakan peraturan bahawa pemilik peralatan elektronik akan dikenakan tindakan menghina mahkamah jika gajet mereka mengeluarkan bunyi sekali gus mengganggu perbicaraan.
Namun, pada Jumaat lalu, telefon pintar baharu Voet berbunyi semasa beliau menghakimi satu perbicaraan.
"Saya berasa terlanggar telefon itu dan ia mula mengeluarkan bunyi bising," katanya.
Bunyi itu meminta supaya arahan bersuara diberikan.
Menurut Voet, beliau sebelum ini menggunakan telefon BlackBerry. Menurutnya dia tidak biasa dengan operasi telefon baharu yang mempunyai skrin sesentuh.
"Ia merupakan satu alasan tetapi saya tidak akan menerima alasan seperti itu.
"Mahkamah merupakan tempat serius yang perlu dihormati," kata hakim tersebut.
Semasa waktu perbicaraan berhenti rehat, Voet menjatuhkan hukuman menghina mahkamah terhadap dirinya sendiri dan membayar denda tersebut.
"Hakim-hakim merupakan manusia. Mereka tidak berada di atas undang-undang.
"Saya melanggar undang-undang dan saya perlu hidup dalam peraturan," katanya. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2QfPEk7te 
Hakcipta terpelihara