Pages

Monday, November 19, 2012

Gaza mandi darah hari kelima





18-10-12 - 05:25:48 AM
 
Foto
Kepulan asap dilihat di stesen televisyen Al-Aqsa selepas dibedil Israel. - Foto AP

Foto
Unit kereta kebal Israel dekat sempadan menunggu arahan masuk Gaza. - Foto AP

Gaza: Angka korban penduduk Gaza meningkat kepada 64 semalam selepas serangan Israel pada hari ke-5 menyebabkan enam warga Palestin maut, empat daripadanya kanak-kanak.

Ketika usaha mewujudkan gencatan senjata berjalan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membayangkan tenteranya mungkin memasuki Gaza atas alasan mahu menghentikan serangan roket pejuang ke negara Yahudi itu. Tiga mangsa termuda ialah Tamer Abu Sefan, 3, adiknya, Jumana yang berusia 18 bulan dan Iyyad Abu Khusa, 1.
Serangan peluru berpandu terhadap kem pelarian Shati pula membunuh Tasneem al-Nahal, 13, dan seorang lagi anggota keluarganya.

Ketika diplomat kanan Perancis, Laurent Fabius tiba untuk mengadakan gencatan senjata, Israel meneruskan serangan.

Pesawat tempur Israel membedil dua stesen televisyen, al-Aqsa dan al-Quds menyebabkan sekurang-kurangnya lapan wartawan cedera, seorang daripadanya kehilangan sebelah kaki.

Pejuang Palestin sehingga ini melancarkan 33 roket sejak tengah hari semalam, lima daripadanya dipintas sistem pertahanan Israel.
Sehubungan itu, Netanyahu sebelum menemui Fabius berkata: Kami hukum Hamas dan pertubuhan pengganas lain yang memberi ancaman. Tentera sedia memperluas operasi.

Sehingga ini, tentera menyerang lebih 1,000 sasaran pengganas di Gaza dan meneruskan usaha itu.

Setiausaha Luar Britain, William Hague pula mendesak Israel supaya tidak meningkatkan lagi konflik dengan menghantar tentera masuk ke Gaza.

Perdana Menteri (David Cameron) dan saya menekankan bahawa sebarang langkah masuk ke Gaza akan menyebabkan Israel kehilangan sokongan dan simpati antarabangsa, kata Hague kepada Sky News.
Agensi

Kajian dedah 10 lokasi terkotor di restoran



2012/11/19 - 05:22:54 AM
 
Washington: Permukaan kerusi, menu dan potongan buah limau adalah antara 10 benda paling kotor dalam restoran.

Ia hasil kajian yang dijalankan terhadap 10 restoran di tiga negeri Amerika Syarikat.
Perkara itu didedahkan seorang wartawan, Elisabeth Leamy yang mengambil sampel 10 permukaan yang sering disentuh oleh pengunjung restoran.

Sampel terbabit kemudian diuji oleh Dr Philip Tierno dan pasukannya dari Jabatan Mikrobiologi, Universiti New York, lapor ABC News.

Leamy berkata, tombol pintu tandas didapati tidak terlalu kotor kerana ia sering dibersihkan.

Katanya, permukaan gelas juga amat kotor kerana kebanyakan pelayan restoran akan mengambilnya dengan memegang bahagian atasnya.

Ujian sampel yang dikumpulkan di restoran terbabit mengesan pelbagai bakteria termasuk sejenis bakteria yang dikaitkan dengan tibi atau batuk kering.
Meja pula adalah antara tempat yang dipenuhi dengan banyak kotoran berikutan kebanyakan ibu bapa menukar lampin anak mereka di atas meja dan turut membawa anak kecil yang baru belajar ke tandas, ke restoran.

Turut mengejutkan adalah hirisan limau yang didapati antara paling teruk tercemar dan termasuk najis.

Kebanyakan pekerja restoran terus mengambil hirisan limau tanpa menggunakan sarung tangan atau penyepit. Jika mereka tidak mencuci tangan dengan baik selepas ke tandas, bakteria akan mudah merebak.

Sebanyak 70 kerusi pula didapati tercemar dengan 17 jenis bakteria antaranya termasuk E.coli, berikutan kebanyakan restoran tidak pernah membersihkannya.

Agensi

10 maut di Palestin, angka kematian cecah 87 mangsa



GAZA (Sempadan Palestin): Serangan udara Israel di sepanjang Tebing Gaza awal pagi tadi meragut 10 nyawa, seterusnya menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh kepada 87 selepas Israel meneruskan kempen serangan udara yang memasuki hari keenam berturut-turut.

Angka kematian terbaru membabitkan dua petani dalam serangan di timur Khan Yunis (selatan Tebing Gaza), Qarara,
Sebelum itu, tiga sekeluarga warga Palestin maut dalam serangan udara ke atas sebuah kereta di Deir al-Balah.

Di bandar Gaza, dua wanita, seorang kanak-kanak dan petani berusia 50 tahun dari bandar Beit Lahiya maut dalam serangan udara Israel hari ini. - AFP

Mumia anjing ditemui di Mexico




RANGKA mumia anjing ini dipercayai yang pertama ditemui di Mexico.


BANDAR MEXICO - Rangka seekor mumia anjing yang dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun ditemui di Cueva de la Candelaria, Coahuila pada 12 November lalu di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Mumia tersebut merupakan satu-satunya artifak seumpamanya yang ditemui di sini.
Ia dijangka menjalani beberapa kajian seperti radiografi dan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico (INAH) untuk dipulihkan.
Seorang pakar arkeologi INAH, Isaac Aquino Toledo berkata, ia merupakan salah satu daripada beberapa spesimen mumia anjing yang ditemui di dunia. Mumia anjing biasanya ditemui di Mesir dan Peru.
Spesimen itu akan disimpan bersama-sama dengan 2,500 bahan arkeologi lain yang ditemui pada tahun 1953.
Penemuan itu menguatkan lagi pendapat bahawa anjing ditanam bersama-sama tuannya dalam pengebumian orang nomad di rantau ini.
Beberapa objek lain yang ditemui bersama anjing mumia tersebut ialah tekstil, anyaman rotan, kayu, artifak tulang serta 200 rangka tulang manusia. - Reuters

Dua terbunuh kereta api dibom




SEKUMPULAN pegawai polis memeriksa gerabak kereta api yang musnah akibat letupan bom buatan sendiri pemberontak di sebuah stesen kereta api di daerah Reu-so, Narathiwat semalam.


PATTANI - Kumpulan pemberontak disyaki meletupkan bom buatan sendiri, mengakibatkan sebuah kereta api tergelincir dan membunuh dua orang pengawal kereta api di selatan Thailand, beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat negara tersebut.
Serangan pada Ahad berlaku di daerah Rue So, wilayah Narathiwat dan menyebabkan gangguan perkhidmatan kereta api di tiga wilayah selatan yang bergolak itu.
Jurucakap polis, Dulyaman Yaena berkata beberapa pemberontak berbalas tembakan dengan pengawal kereta api sebelum melarikan diri.
Dua pengawal kereta api maut akibat letupan, sementara 15 mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak pemberontakan meletus di wilayah selatan Thailand pada 2004. Insiden tersebut merupakan serangan kedua pada hujung minggu ketibaan Obama ke Thailand. Obama turut dijadual melawat Myanmar dan Kemboja. - Agensi

Israel ancam tingkat serangan



MAYAT seorang wanita Palestin dikeluarkan daripada runtuhan selepas rumah keluarganya di kejiranan Tufah, di Bandar Gaza musnah dibom tentera udara Israel semalam.


GENTING GAZA - Pihak Israel mengancam untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza, biarpun usaha gencatan senjata giat dijalankan bagi menghentikan serangan yang memasuki hari kelima semalam.
Bedilan tentera Israel telah meragut enam lagi nyawa yang terdiri daripada tiga orang kanak-kanak dan seorang bayi berusia 18 bulan.
Angka korban terbaharu itu kini menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terkorban meningkat kepada 52 orang.
Serangan udara yang dilakukan turut menggegarkan dua pusat media di bandar ini menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang wartawan cedera dan salah seorang kehilangan kaki, kata jurucakap kesihatan, Ashraf al-Qudra kepada agensi berita AFP.
Sementara stesen televisyen Rusia, RT memberitahu pejabatnya di Genting Gaza musnah dalam serangan yang dilakukan semalam. Namun semua kakitangannya selamat.

SEKUMPULAN lelaki Palestin menunaikan sembahyang jenazah ke atas mayat Iyad Abu Khoussa yang berusia setahun setengah di sebuah masjid di kem pelarian Bureij, Genting Gaza semalam.


Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Luar Britain, William Hague memberi amaran, tindakan Israel menceroboh Genting Gaza akan menyebabkan simpati dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Israel hilang.
Hague memberitahu stesen televisyen Sky News, korban orang awam akan meningkat jika serangan darat dilakukan dan ia hanya memanjangkan tempoh konflik.
Komen beliau hadir selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Di Tel Aviv, bunyi siren terus kedengaran bagi memberi amaran kepada pejalan kaki dan pemandu kereta supaya mendapatkan perlindungan daripada serangan yang dilakukan oleh pejuang Hamas.
Tujuh buah roket telah dilancarkan ke arah Tel Aviv sejak Khamis lalu. Tiga daripadanya meletup di laut, tiga lagi dipintas oleh sistem perisai Iron Dome dan satu lagi mengenai kawasan lapang. - Agensi

Sunday, November 18, 2012

Israel bom pejabat PM Palestin

Israel bom pejabat PM Palestin
Anggota bomba Palestin berusaha memadam api selepas serangan udara Israel di Gaza City, semalam. - Foto ihsan Reuters
[DIKEMAS KINI] BAITULMUQADDIS - Israel melancarkan serangan udara ke atas bangunan-bangunan kerajaan Hamas termasuk pejabat Perdana Menteri di Gaza hari ini - sehari selepas Kabinetnya meluluskan langkah mengerah 75,000 askar simpanan bagi menggerakkan tindakan ketenteraan dari darat.
Hamas menerajui kerajaan Palestin dari Genting Gaza manakala Presiden Palestin pula berpejabat di Ramallah.

Hamas yang diketuai Perdana Menteri, Ismail Haniyeh berkata, Israel mengebom pejabat Perdana Menteri - lokasi di mana beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Hisham Qandil pagi semalam.
Israel mengadakan mesyuarat hampir empat jam malam tadi dan serangan itu menyusul pertemuan tersebut.
Serangan Israel juga menyasarkan ibu pejabat polis.

Sehingga kini 38 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, separuh daripada mereka merupakan orang awam, sejak Israel memulakan serangan pada Rabu lalu.  Dalam pada itu, tiga rakyat Israel terbunuh dalam serangan roket kelmarin.
Bandar raya Gaza berhadapan dengan serangan bertubi-tubi sejak 9 pagi tadi waktu Malaysia (3 pagi waktu tempatan).
Serangan susulan diteruskan selepas jam 5 pagi waktu tempatan, menyasarkan bangunan kementerian, yang dipercayai kosong ketika tindakan ketenteraan.
Turut menjadi sasaran ialah rumah ketua Hamas di Jabaliya, utara bandar raya Gaza.

Dalam pada itu, pegawai Hamas dalam satu kenyataan berkata, sejurus mengetahui ibu pejabat Ismail  disasarkan dengan empat serangan, bangunan tersebut segera dikosongkan.

“Pesawat pejuang Israel terus melancarkan serangan ke atas pejabat kerajaan dan balai polis serta terowong yang didakwa mereka sebagai tempat penyeludupan dan pangsapuri tiga tingkat,” katanya.

Menurutnya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga menyasarkan ibu pejabat polis Hamas di barat bandar raya Gaza dan ibu pejabat keselamatan dalam negeri di utara Gaza selain 85 serangan balas akan dilakukan.

Serangan udara turut menyebabkan rumah tiga tingkat milik komander Hamas di kem pelarian Jebaliya turut menjadi sasaran bedilan dengan mencederakan lebih 30 penduduk termasuk ratusan kediaman dan kenderaan awam musnah.

Ketika kejadian beliau hanya berada kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Kementerian Dalam Negeri berkata, serangan itu dilakukan ketika umat Islam keluar menunaikan solat subuh, malah tidak terkecuali sebuah masjid berhampiran turut menjadi sasaran dengan lebih 50 penduduk awam cedera.

Di selatan Gaza, satu letupan besar berlaku di bandar Mesir El-Arish, apabila tentera Israel membedil terowong bawah tanah yang didakwa digunakan sebagai laluan penyeludupan senjata tentera Hamas dari Mesir.

Pegawai kesihatan Ashraf al-Kidra pula melaporkan, dalam serangan awal pagi semalam, sembilan orang, termasuk lapan askar terbunuh manakala berpuluh yang lain cedera.

“Sejak Rabu lalu, sekurang-kurangnya 39 rakyat Palestin terbunuh dengan lebih 280 cedera,” katanya.

Menurutnya, tentera Israel menyasarkan 600 serangan roket akan dilancarkan dengan mengganjarkan 600 tentera Palestin dibunuh.

Ketika pergolakan semakin meruncing beberapa pemimpin dunia turut mengadakan lawatan ke bandar itu untuk bertemu Ismail Haniya dan melawat mangsa cedera.

Menteri Luar Tunisia Rafik Abdesslem juga lawat bandar raya Gaza.

Rafik berkata, Tunisia akan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Liga Arab untuk menghentikan pencerobohan terang-terangan Israel di Gaza.

“Israel perlu sedar bahawa mereka tidak kebal seperti serangan empat tahun lalu. Merek juga tidak mempunyai imuniti untuk melawan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Media tempatan melaporkan, tentera Israel mendakwa sudah melakukan serangan lebih 800 sasaran di bandar itu termasuk 180 serangan udara yang dilancarkan sepanjang malam semalam.

Diikuti, pejuang Palestin membalas serangan dengan melancarkan 500 roket termasuk satu tersasar dari sebuah tempat suci di Baitulmuqaddis.
Ibu pejabat Ismail yang mengalami kemusnahan teruk.
Serangan lewat malam tadi menyebabkan lapan rakyat Palestin terbunuh. Tiga yang terbunuh terdiri daripada anggota Briged Izz al-Din al-Qassam, sayap tentera Hamas.

Genting Gaza di ambang perang



LETUPAN kuat dan asap tebal dapat dilihat dengan jelas selepas Israel meningkatkan serangan udara ke atas bangunan-bangunan milik kerajaan Hamas di Bandar Gaza.


GENTING GAZA - Pesawat tentera Yahudi mengebom bangunan-bangunan milik kerajaan Hamas di sini semalam, selepas kabinet Israel meluluskan kerahan tenaga tentera simpanan sehingga 75,000 orang sebagai persiapan untuk menceroboh dari arah darat.
Serangan udara tersebut memusnahkan pejabat Perdana Menteri, Ismail Haniyeh dan Kementerian Dalam Negeri Palestin.
Para pegawai di Gaza memberitahu seramai 41 rakyat Palestin, termasuk 20 orang awam yang terdiri daripada lapan kanak-kanak dan seorang wanita mengandung terbunuh sejak Israel memulakan operasi ketenteraannya empat hari lalu. Setakat ini, tiga orang awam Israel terbunuh akibat serangan roket pada Khamis.
Israel menyatakan tentera udaranya telah mengebom sekurang-kurangnya 180 sasaran sejak semalam. Ini termasuklah ibu pejabat polis, bangunan kerajaan, tempat pelancar roket dan sebuah pusat latihan Hamas.
Negara Yahudi itu melancarkan serangan udara secara agresif pada Rabu dengan tujuan menghalang pejuang Hamas daripada melancarkan roket ke wilayah selatannya.
Hamas menyatakan komitmen untuk meneruskan konfrontasi ke atas Israel.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji usaha Mesir untuk meredakan ketegangan di rantau terbabit. Obama turut kesal atas kematian orang awam di Palestin dan Israel. - Reuters

Saturday, November 17, 2012

Jutaan belalang serang Kefamenanu

Jutaan belalang serang Kefamenanu: "
BELALANG yang dirakam penduduk bandar Kota Kefamenanu baru-baru ini.
KEFAMENANU, Nusa Tenggara Timur - Jutaan ekor belalang 'menyerang' kawasan tumpuan bandar Kota Kefamenanu baru-baru ini, sehingga menimbulkan kehairanan dalam kalangan penduduk setempat.
Kumpulan belalang itu menyerbu setiap pelosok tempat dengan terbang dari arah barat Kefamenanu melalui kawasan pasar, terminal pengangkutan awam, kampung Tubuhue dan terus berpusing-pusing tanpa diketahui motifnya.
Ada di antara belalang itu hinggap ke tanaman penduduk dan rumput, sementara kumpulan lain menjejaskan laluan trafik.
"Sebelum ini, kita hanya mendengar dan terbaca di media tentang belalang yang menyerang kawasan kampung dan pinggir bandar.
"Namun kini, serangga itu mula memasuki kawasan bandar sehingga memenuhi kawasan tumpuan ramai.
"Kami mengambil peluang ini untuk merakamnya menggunakan telefon bimbit masing-masing kerana menganggapnya fenomena unik,'' kata Gery Ndua dan Yes Ale kepada tribunpontianak.co.id.
Penduduk Kefamenanu dapat menyaksikan fenomena itu bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga pukul 4.30 waktu tempatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121117/lu_07/Jutaan-belalang-serang-Kefamenanu#ixzz2CYFcyJVh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Poskad diterima selepas 49 tahun dihantar

Poskad diterima selepas 49 tahun dihantar:



Derek Lewis, akhirnya menerima poskad yang dipos oleh rakannya, selepas 49 tahun. - AGENSI
BERKSHIRE, England 16 Nov. - Sepasang suami isteri di sini, terkejut apabila mereka menerima sekeping poskad berusia 49 tahun.
Jason Crabtree, 37, dan isterinya, Anna menerima poskad itu pada 29 Oktober lalu, yang dikirimkan atas nama Derek Lewis.
Katanya, poskad itu dihantar oleh Gudrun Rentrope dari Jerman pada 3 Mac 1963.
Setelah berusaha menjejaki penerima poskad tersebut, pasangan Crabtree akhirnya bertemu dengan Lewis yang dahulunya pernah tinggal di rumah yang mereka tinggal sekarang.
"Kami amat terkejut apabila melihat tarikh poskad tersebut, namun ia masih berada dalam keadaan baik, termasuk setem serta tulisannya.
"Kami tertanya-tanya mengapa poskad itu mengambil masa yang terlalu lama untuk dihantar kepada penerimanya," kata Jason.
Sementara itu, Lewis, 71, berasa gembira menerima poskad tersebut.
"Poskad itu dikirimkan oleh rakan saya, Rentrope dan kami saling berbalas-balas poskad sejak kami berusia 17 tahun.
"Poskad itu dihantar sebagai ucapan terima kasih kerana saya menjaga bapanya ketika dia melawat England," ujar Lewis.
Sementara itu, syarikat pos Royal Mail menafikan poskad tersebut hilang dalam sistem penghantaran mereka dan mendakwa ia mungkin baru dikirimkan, baru-baru ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121117/lu_05/Poskad-diterima-selepas-49-tahun-dihantar#ixzz2CYFQ0Cko
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jambatan hidup?

Jambatan hidup
Jambatan kayu yang membiak ini menjadi penghubung laluan yang dipisahkan sungai.
Kenapa perlu membina jambatan jika mampu menanamnya? Itu yang terjadi kepada penduduk sebuah lembah di timur laut India yang menghimpunkan kayu pokok sebagai jambatan sejak beratus tahun lalu, kemudian ia membiak menjadi jambatan unik.
Menurut penduduk, mereka begitu memerlukan jambatan sebagai penyambung jalan kerana sungai cetek dalam hutan Khasi Timur itu, akan dipenuhi air semasa musim hujan monsun sekali gus amat berbahaya untuk diharungi.

"Nenek moyang kami membuka laluan jalan kemudian menyambung batang-batang pokok yang kemudian hidup sehingga ke hari ini," katanya.

Sementara itu, sebuah jambatan konkrit baru yang dibina penduduk kampung berkenaan turut bertukar menjadi penyambung laluan yang membiak tumbuh-tumbuhan hijau seperti jambatan terdahulu. - Grindtv.com

Burung unta boleh berenang

Burung unta boleh berenang
Lensa kamera Ria sempat merakamkan pasangan burung unta ini sedang berenang.
Burung unta mungkin tidak mampu terbang tetapi tahukah anda bahawa spesies ini berkebolehan untuk berenang?
Seorang pelancong berjaya merakamkan detik manis sepasang burung unta sedang berenang dalam laut di Yzerfontein, Afrika Selatan.

Ria Dickson berkata, pasangan sejoli yang berketinggian hampir 2.7 meter itu kelihatan sedang membersihkan badan masing-masing kemudian bertindak agresif apabila terserempak dengan sebuah bot nelayan.
Pakar biologi, Christoffer Johansson memberitahu, burung unta sebenarnya mampu berenang kerana bentuk rangka kaki yang mampu menolak air.

Sementara itu, pengawal Ladang Burung Unta Afrika Selatan, Dougie Bester berkata, berkemungkinan pasangan burung unta berkenaan sedang menyejukkan badan di dalam air kerana tidak tahan pada cuaca yang terlampau panas. -The Mail

Kemaluan terpaksa dibuang selepas disuntik minyak zaitun



BANGKOK - Pegawai-pegawai kesihatan semalam menasihati kaum lelaki di Thailand bahawa saiz tidak penting selepas zakar seorang pesakit terpaksa dibuang susulan percubaannya membesarkan organ tersebut dengan suntikan minyak zaitun.
Berisiko dan belum terbukti berkesan, kaedah itu biasa digunakan di Thailand, malah, sebuah hospital di sini menerima sekitar 40 pesakit sebulan yang bimbangkan kesan sampingan teknik tersebut.
Selain minyak zaitun, lelaki Thailand gemar menggunakan lilin lebah, silikon dan parafin untuk membesarkan saiz kemaluan mereka.
Jurucakap Hospital Besar Polis di sini, Sirikul Jiaranaikhajorn memberitahu agensi berita AFP bahawa pesakit berusia 50 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan suntikan minyak zaitun sejak bertahun-tahun lalu.
Menurutnya, kemaluan lelaki itu mengalami jangkitan kuman yang teruk.
Dia juga didapati menghidap kanser zakar sekali gus menyebabkan pembedahan membuang organ berkenaan perlu dilakukan.
"Ini ialah pembedahan membuang kemaluan terbesar yang kami pernah lakukan selepas kami menemui kanser pada organ tersebut," kata Sirikul.
Katanya lagi, mereka merawat antara dua hingga tiga pesakit akibat zakar dijangkiti kuman pada setiap minggu tetapi belum ada bukti teknik itu menyebabkan kanser.
Jelas Sirikul, lelaki berkenaan menjalani suntikan itu di sebuah klinik dengan ditemani beberapa rakannya walaupun amaran telah dikeluarkan bahawa teknik pembesaran zakar seperti itu amat berisiko.
"Kaedah ini hanya mendatangkan mudarat, orang ramai mendapat maklumat salah bahawa ia berkesan," ujarnya.
Tambah jurucakap itu, kebanyakan lelaki mencuba prosedur tersebut kerana terpedaya dengan cerita rakan-rakan mereka.
"Wanita mencintai lelaki bukan kerana saiz zakarnya," jelas Sirikul.
- AF

Israel kerah 16,000 tentera simpanan



AFP
BARISAN kereta kebal dan anggota tentera Israel dihantar ke sempadan Israel-Genting Gaza semalam. Pihak berkuasa Israel menyatakan ia bersedia untuk melancarkan serangan darat ke atas Genting Gaza jika keadaan memaksa.


BAITULMUQADDIS - Tentera Pertahanan Israel (IDF) dilihat mula mengerahkan kira-kira 16,000 anggota tentera simpanannya semalam sebagai persiapan untuk menyerang Genting Gaza.
"Proses memanggil anggota tentera telah pun dimulakan. Sebagai sebahagian daripada Operasi Tiang Pertahanan, IDF akan mula merekrut 16,000 anggota simpanan," kata kementerian terbabit dalam satu tweet rasminya.

AFP
GAMBAR yang dirakam dari sempadan Israel menunjukkan api dan kepulan asap tebal keluar dari bangunan selepas tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Bandar Gaza semalam.


Pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak meluluskan proses untuk memanggil 30,000 tentera simpanan yang boleh dikerah bagi terlibat dalam operasi ketenteraan pada bila-bila masa.
Langkah itu dibuat ketika Israel terus memberi tekanan ke atas pejuang Palestin yang dilihat bakal meningkatkan serangan roket kepada operasi ketenteraan darat selepas sebutir roket mengenai pantai tidak jauh dari Tel Aviv. Roket kedua pula meletup di bahagian selatan bandar tersebut.

AFP
IBU kepada kanak-kanak perempuan Palestin yang terbunuh, Hanen Tafesh ditenangkan oleh suami dan saudara-maranya sebelum mayat anaknya itu dikebumikan di Bandar Gaza. Serangan udara tentera Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 23 orang warga Palestin.


"Kami kini dalam proses meningkatkan operasi ketenteraan. Menteri Pertahanan sudah memberi kelulusan berdasarkan kepada permintaan tentera iaitu penambahan 30,000 anggota lagi.
"Kami akan mengenal pasti berapa ramai tentera yang perlu dipanggil. Ini bermakna kami mempunyai semua pilihan," kata jurucakap ketua tentera Israel, Brigedier Jeneral Yoav Mordechai kepada televisyen Israel, Channel 2.

AFP
ANGGOTA polis antirusuhan Israel menahan seorang lelaki Palestin dalam satu protes membantah operasi ketenteraan Israel ke atas Genting Gaza di di Gerbang Damsyik, Bandar Lama Baitulmuqaddis semalam.


Menteri Kanan Kabinet Israel, Moshe Yaalon turut menyatakan bahawa pihaknya sedang menimbang semua pilihan operasi ketenteraan. Ini termasuklah amaran akan menyerang Gaza bagi menghentikan serangan roket pejuang Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang warga Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera akibat serangan udara Israel di bandar Khan Yunis semalam. "Ismail Qandil telah mati syahid dan seorang lagi mengalami kecederaan," jelas kenyataan perkhidmatan kecemasan Genting Gaza.

AP
SEKUMPULAN tentera simpanan Israel berkumpul di kem Mishmar Hanegev, selatan Israel semalam. Pihak berkuasa Israel pada Khamis telah meluluskan kerahan sehingga 30,000 tentera simpanan jika ia mahu menyerang Genting Gaza.


Jurucakap perkhidmatan kecemasan Genting Gaza, Adham Abu Selmiya memberitahu, dua orang penduduk Palestin telah meninggal dunia kerana cedera dalam serangan udara Israel di bahagian utara wilayah tersebut.
Menurutnya, tiga kematian pada Jumaat menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 23 orang dengan 250 yang lain cedera.

Reuters
PASUKAN bomba Palestin bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sebuah kilang yang terbakar selepas terkena bedilan roket tentera udara Israel semalam.


Sementara itu, Presiden Mesir, Mohamed Mursi menyifatkan serangan Israel ke atas Genting Gaza sebagai pencerobohan kejam terhadap kemanusiaan, sambil menegaskan Mesir tidak akan membiarkan Gaza bersendirian.
Mursi membuat kenyataan itu dalam satu khutbah Jumaat di sebuah masjid di tengah Kaherah, lapor agensi berita Mena. Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil pulang semalam mengadakan lawatan selama tiga ke Genting Gaza.
"Kaherah tidak akan meninggalkan Gaza seorang diri. Mesir hari ini bukannya Mesir semalam. Masyarakat Arab hari ini juga bukan masyarakat Arab seperti sebelum ini," tegas Mursi. - Agensi

Friday, November 16, 2012

Lelaki tangkap belut gergasi


DEVON: Seorang pengail, Andy Parker berjaya menangkap seekor belut seberat 43 kilogram di perairan Britain semalam.
Dia berjuang selama 40 minit untuk menarik naik haiwan itu ketika memancing kiar-kira 35 batu di perairan Torquay, di Devon.

Batang kailnya melendut sebaik belut berkenaan memakan umpan dan cuba untuk melarikan dirinya ke dasar laut. Parker, 42 dari Huddersfield, barat Yorks, berkata: “Ia bagaikan perlawanan tinju. Ia adalah belut terbesar yang saya pernah lihat apalagi menangkapnya.
“Kami seolah-olah tidak percaya dengan saiznya. Ia kelihatan seperti makhluk dasar laut dalam filem seram,” katanya. Parker dan rakannya menaikkan haiwan berukuran 17 kaki itu dan merakam hasil tangkapannya itu sebelum melepaskan ia semula ke laut.

“Memang sangat sukar untuk menangkapnya tetapi berbaloi akhirnya,” katanya. Rekod belut terbesar pernah ditangkap di perairan Britain adalah 60 kilogram dan ditangkap oleh Vic Evans pada 1996 di Brixham, Devon. - TS

Kembar tiga terberat di dunia

JASON memangku (dari kiri) Sidney, Jenson dan Elliot sambilrhatikan Brittany.
JASON memangku (dari kiri) Sidney, Jenson dan Elliot sambilrhatikan Brittany.
SACRAMENTO: Seorang ibu di California melahirkan tiga bayi lelaki yang mencatatkan rekod baru sebagai kembar tiga paling berat di dunia.
Jason dan Brittany Deen dari Sacramento, California, menyambut kelahiran tiga bayi lelaki mereka pada 8 November lalu.

Gabungan berat ketiga-tiga bayi itu ialah sembilan kilogram bermakna mereka mencatat rekod baru dalam Buku Rekod Dunia Guiness, menurut Sacramento Bee. Bayi sulong, Sidney adalah seberat 3.5 kilogram dan adiknya, Elliot seberat 3.3 kilogram, manakala anak bongsu Jenson mencecah 2.5 kilogram.
Pihak hospital telah merekod berat kelahiran kembar tiga itu dan kini keluarga itu telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Guiness untuk pengesahan.

Rekod sedia ada dipegang sepasang suami isteri dari Carolina Utara yang mempunyai kembar tiga dengan jumlah berat keseluruhan ialah 8.2 kilogram pada tahun lalu.

Brittany, 32, yang memberi makan bayi itu secara normal menghadiri kelas mingguan di Sutter Memorial’s Moms untuk mempelajari bagaimana memberikan penjagaan terbaik bayi baru lahir kepada kembar tiga miliknya.
“Menjadi ibu kepada bayi kembar tiga amat menakutkan,” katanya kepada Sacramento Bee.

“Anda dengar mengenai kesukaran dan cabarannya.
“Saya harap dengan menyaksikan saya dan mendengar pengalaman positif yang saya lalui akan memberi inspirasi kepada ibu lain agar tidak berasa takut dan membantu mereka menyedari bahawa mereka tidak sendirian,” katanya. Brittany, seorang jururawat onkologi di Pusat perubatan Universiti California Davis berazam melanjutkan tempoh kehamilan kembar tiga itu dengan sempurna.

Dia memberi perhatian khas mempelajari cara pemakanan untuk empat orang yang bermakna mengambil makanan hingga 6,000 kalori dalam sehari. - DM

Ramai lelaki Jepun bekerja sehingga berumur lebih 70 tahun




KOBUNA bekerja di kedai ikannya di Tokyo pada 26 Oktober lalu.


TOKYO - Ramai lelaki di Jepun terus bekerja walaupun selepas mereka memasuki usia persaraan.
Seorang lelaki warga emas, Mitsumi Kobuna masih menguruskan gerai milik keluarganya di sini sejak 55 tahun lalu walaupun usianya kini mencecah 73 tahun.
Kobuna bekerja selama 15 jam sehari dan bangun pada pukul 5 pagi untuk pergi bekerja.
Sementara itu, seorang lelaki, Koji Sato yang berusia 75 tahun dan mengendalikan sebuah kedai teh berkata, dia akan berasa tua jika berhenti bekerja. Sato bekerja 12 jam sehari.
Pada kebiasaannya, dia bekerja tujuh hari seminggu.
Rata-rata warga emas di Jepun akan bekerja sehingga 16 jam setiap hari selama enam hari dalam seminggu.
"Kami bekerja bukan hanya kerana wang," kata seorang peguam yang juga berusia 73 tahun, Kenji Wada.
"Apa yang penting adalah untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat," tambahnya.
Purata usia persaraan lelaki Jepun ialah 69 tahun dan bagi pekerja wanita ialah 67 tahun.
Usia persaraan tersebut lima tahun lebih lama berbanding di negara-negara maju. - AFP

28 orang disumbat dalam kereta mini




SEORANG jurugambar merakamkan gambar 28 orang wanita yang melakonkan semula cara mereka berada di dalam sebuah kereta mini di London semalam.



LONDON - Seramai 28 wanita berjaya berada di dalam sebuah Mini Cooper di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Records.
Rekod sebelum ini mencatatkan seramai 27 orang berjaya berada di dalam kereta kecil tersebut. Kejayaan rekod terbaharu itu dibuat dalam tempoh 18 minit. - AP

Topi, tongkat Charlie Chaplin dilelong


Sebatang tongkat dan topi milik pelakon komedi filem bisu terkenal, Charlie Chaplin, merupakan antara barangan yang bakal dilelong di Los Angeles, hujung minggu ini. - Reuters
LOS ANGELES 14 Nov. - Satu daripada topi dan tongkat yang digunakan pelakon komedi filem bisu terkenal, Charlie Chaplin dalam filemnya, akan dilelong di Los Angeles pada hujung minggu ini, lapor dewan lelongan Bonhams semalam.
Tongkat dan topi yang digunakan dalam filem seperti City Lights dan Modern Times itu, dijangka akan dibida antara AS$40,000 (RM124,000) dan AS$60,000 (RM186,000) dalam lelongan yang akan diadakan pada 18 November ini.
Pakar barangan Memorabilia Bonhams, Lucy Carr berkata, tidak dapat dipastikan berapa banyak topi dan tongkat Chaplin yang masih wujud.
"Barangan yang akan dilelong ini merupakan koleksi peribadi,'' katanya.
Tongkat dan topi Chaplin tersebut merupakan barangan bidaan utama dalam lelongan artifak popular berkenaan.
Selain barangan Chaplin itu, saksofon milik pemuzik jazz, Charlie Parker dan surat tulisan anggota kumpulan Beatle, John Lennon juga akan dilelong. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121115/lu_06/Topi-tongkat-Charlie-Chaplin-dilelong#ixzz2CMw4RZ2A
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, November 15, 2012

Telan 220 butir berlian

BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
JOHANNESBURG: Seorang penyeludup menelan 220 butir berlian bernilai RM7 juta sebelum cuba menaiki sebuah pesawat, semalam.
Penyeludup warga Lubnan yang namanya tidak didedahkan dan berusia 25 tahun, ditahan ketika menaiki sebuah pesawat yang hendak berlepas dari Johannesburg ke Dubai.

Pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo memberinya makan julap untuk memaksa berlian berkenaan keluar dari sistem penghadamannya.
Polis mengesahkan menahan suspek di pintu masuk selepas menerima maklumat.

“Lelaki itu sudah bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang dengan berlian di dalam perutnya.

“Pegawai kami menerima maklumat mengenai kegiatannya dan menahannya di lapangan terbang. “Dia kemudian dibawa untuk pemeriksaan dan kami menemui 220 berlian di dalam perutnya yang bernilai 20 juta rand (RM7 juta),” kata jurucakap polis, Paul Ramaloko.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan menelan berlian itu sebelum tiba di lapangan terbang atau menelannya kerana cemas selepas nampak polis di pintu masuk ke pesawat.

“Tidak wajar bagi kami untuk meramalkan mengenai apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Lelaki itu diperiksa secara menyeluruh sebelum berlian itu ditemui.

“Kami tidak pasti sama ada dia menelannya sebelum tiba di lapangan terbang atau ,ketika ditahan,” kata Ramaloko.

Suspek ditahan oleh pasukan unit elit polis Afrika Selatan, ‘Hawks,’ dan dijadual dihadapkan ke mahkamah esok.

Menurut Ramaloko, penahanan semalam adalah yang kedua selepas seorang lagi lelaki Lubnan berusia 27 tahun ditangkap di lapangan terbang sama Mac lalu. - DM

Israel sedia guling Mahmud Abbas


pix_gal0Baitulmaqdis: Kementerian Luar Israel mengemukakan kertas dasar menyarankan penggulingan Presiden Mahmud Abbas (gambar) jika usaha Palestin mendapatkan status negara pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan lewat bulan ini.

Menumbangkan rejim Abu Mazen (Abbas) adalah satu-satunya pilihan dalam kes ini. Pilihan lain bermakna mengibarkan bendera putih dan mengaku kegagalan kepemimpinan Israel untuk berdepan dengan cabaran, menurut kertas yang diperoleh AFP itu.
Kertas itu adalah draf dokumen yang diluluskan oleh Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, sebelum diserahkan kepada pegawai Israel yang bertanggungjawab merangka tindak balas kepada usaha Palestin itu.


Lieberman dilaporkan sudah pun meluahkan pandangannya bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) perlu dihapuskan jika usaha di PBB itu berjaya.

Palestin dijadual membentangkan usaha mendapatkan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung pada 29 November ini, yang menyaksikan mereka dijangka mendapat sokongan mudah, di sebalik tentangan Amerika Syarikat dan Israel.

Kertas kementerian itu memberi amaran Israel mesti menghukum Abu Mazen jika Palestin diberi status negara di PBB.

Stesen televisyen Israel, Channel 10, melaporkan awal bulan ini Lieberman menyokong penghapusan PA, dalam komen kepada ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton.
Jika Palestin meneruskan projek mereka di PBB, mereka memang memusnahkan peluang rundingan damai. Jika mereka terus dengan projek ini, saya akan memastikan PA runtuh, stesen itu memetik Lieberman sebagai berkata pada 24 Oktober lalu.

Seorang pegawai kanan Israel memberitahu AFP semalam rejim itu turut mempertimbangkan membatalkan separuh atau semua Perjanjian Oslo 1993 sebagai reaksi kepada tindakan Palestin itu.

Dakwaannya ialah rayuan Palestin kepada PBB melanggar Perjanjian Oslo yang membatalkan perjanjian berkenaan.

Perjanjian Oslo menyatakan setiap perbalahan akan diselesaikan menerusi rundingan secara langsung, katanya.
AFP

Berita Harian | Gempa bumi 6.1 magnitud gegar Chile


SANTIAGO: Gempa bumi kuat berukuran 6.1 magnitud menggegarkan bahagian tengah dan utara Chile pagi tadi tetapi tiada laporan kerosakan atau kecederaan, kata Pejabat Kecemasan Kebangsaan negara itu.

Gempa bumi dengan pusat gempa berdekatan bandar La Higuera kira-kira 500 kilometer utara ibu negara Chile.
Kajian Geologi Amerika Syarikta (USGS) di Washington berkata, gempa itu berukuran 6.1 pada skala magnitud.

Pada Februari 2010, gempa bumi kuat melanda wilayah tengah Maule dan selatan Valparaiso sehingga menyebabkan ombak tsunami dan mengorbankan lebih 500 orang serta kerosakan harta benda berbilion dolar. - AFP

Doktor hanya caj pesakit AS$5 di AS




DOHNER (kanan) berbual dengan seorang pesakit di kliniknya di Rushville pada 20 Oktober lalu.



RUSHVILLE, Illinois - Seorang doktor perubatan mengenakan bayaran sebanyak AS$5 (RM15.20) untuk setiap pesakit yang mahu memeriksa kesihatan mereka di kliniknya di sini.
Dr. Russell Dohner yang berusia 87 tahun itu sebelum ini mengenakan bayaran hanya AS$2 (RM6.12) di kliniknya pada tahun 1955.
"Saya hanya mahu menjadi seorang doktor yang membantu orang ramai yang menghadapi masalah kesihatan," katanya.
"Saya tidak pernah berhasrat untuk memperoleh banyak wang," tambahnya.
Setiausaha doktor itu, Edith Moore mengutip bayaran pendaftaran itu.
Dohner memberitahunya supaya tidak mengambil bayaran tersebut terhadap beberapa pesakit.
Bagaimanapun, beberapa pesakit membuat bantahan kerana doktor tersebut enggan menerima sebarang bayaran.
"Saya akan membayar anda AS$20 (RM61.25) pada masa depan," kata salah seorang pesakit. - Agensi

Gerhana matahari penuh di utara Australia



BENTUK cincin berikutan gerhana matahari yang dapat dilihat di Palm Cove.



PALM COVE, Australia - Puluhan ribu orang berhimpun di utara Australia untuk memerhatikan fenomena gerhana matahari penuh semalam.
Mereka menyaksikan bulan melintasi matahari sekali gus menyebabkan suasana gelap berlaku di sekitar wilayah Queensland.
Bulan perlahan-lahan bergerak melindungi matahari yang menyebabkan terbentuknya fenomena lingkaran cincin.
Perjalanan gerhana matahari itu berlaku pada waktu yang singkat selepas waktu subuh.
Gerhana itu juga boleh disaksikan di Taman Negara Garig Gunak Barlu, Wilayah Utara yang terletak kira-kira 250 kilometer di timur Darwin.
Secara keseluruhan gerhana itu berlaku selama dua minit bermula pukul 6.38 pagi waktu tempatan semalam.
Kebanyakan mereka yang menyaksikan gerhana itu memakai cermin mata khas bagi melindungi mata mereka.
"Wow, serangga dan burung tidak berbunyi," kata seorang pelancong yang menyaksikan gerhana itu, Geoff Scott di laman Twitter.
Seorang lagi pelancong, Stuart Clark turut membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan gerhana itu amat cantik.
Para saintis kini mengkaji kesan gerhana itu terhadap kehidupan marin di Terumbu Karang Besar dan burung-burung di hutan Queensland.
Sejumlah pelancong dan saintis menyaksikan fenomena tersebut yang berlaku buat kali pertama dalam tempoh 1,300 tahun di utara negara ini.
Seramai 50,000 hingga 60,000 orang sanggup datang ke utara negara ini untuk menyaksikan fenomena itu.
Sebanyak tiga penerbangan ditempah khas bagi membawa 1,200 saintis dari Jepun ke wilayah tersebut.
Kali terakhir gerhana penuh itu berlaku ialah 11 Julai 2010 di kawasan Pasifik Selatan.
Gerhana penuh akan berlaku pada 20 Mac 2015 di Iceland, Kepulauan Faroe dan Kepulauan Svalbard di Norway.
Bagi kalangan penduduk asli Australia, bulan itu kerap dianggap sebagai lelaki manakala matahari mewakili perempuan.
"Sebahagian (penduduk asli Australia) percaya, matahari bercinta dengan lelaki tetapi ia (matahari) tidak dapat membalas perasaan cinta menyebabkan matahari mengejar bulan di langit," kata seorang pakar astronomi penduduk asli Australia, Duane Hamacher. - Agensi

Tak boleh henti ketawa


KANAK-KANAK itu bermain bersama abangnya Alex.
KANAK-KANAK itu bermain bersama abangnya Alex.
GALE bersama Elliot.
GALE bersama Elliot.
PRESTON: Seorang kanak-kanak menghidap masalah neurologi yang jarang berlaku, yang membuatnya tidak berhenti ketawa.
Elliot Eland dari Preston, Lancashire, dilahirkan dengan menghidap sindrom Angelman, kecelaruan kromosom yang menyebabkan kesukaran belajar dan sentiasa tersenyum.
Penghidap sindrom itu menunjukkan perilaku riang, selalu tersenyum atau ketawa dan kelihatan begitu mudah gembira.

Sindrom itu begitu jarang dihidapi hinggakan kurang daripada 1,000 kes dilapor di Britain.

Ibu Elliot, Gale berkata: “Apabila kami bersedih, ketawa Elliot akan membantu kami melupakan masalah yang dihadapi. Anda hanya perlu melihatnya dan ketawanya akan membuat kami gembira semula.

“Sekiranya anda mempunyai anak, anda pasti mahu mereka gembira. Elliot sentiasa gembira.”

Menurutnya, satu-satunya masalah ialah apabila Elliot bermain dengan abangnya, Alex.

“Apabila Alex secara tidak sengaja disakiti Elliot, dia akan menangis. Tetapi Elliot akan terus ketawa. Ia merisaukan kerana kami tidak mahu Alex menyangka Elliot gembira apabila dapat menyakitinya,” kata Gale.

Gale, 41, dan suami, Craig, 34, hanya menyedari keadaan sebenar Elliot apabila dia berdepan dengan masalah makan ketika bayi.

“Saya tidak menyangka Elliot berdepan dengan masalah lebih besar. Saya mulanya menyangka dia menghadapi masalah makan,” kata Gale.

Pada minggu keenam pemeriksaan kesihatan, doktor berkata, Elliot kelihatan terlalu kurus dan merujuknya ke Hospital Royal Preston serta diperiksa oleh pakar pediatrik yang serta-merta mengarah kanak-kanak itu dimasukkan ke wad.

Ketika di hospital, kanak-kanak itu menjalani pelbagai ujian darah, imbasan MRI dan sinar-X. Mujur pakar pediatrik itu pernah berdepan dengan pesakit Sindrom Angelman dan menjalankan ujian darah ke atas Elliot.

“Saya mula bimbang apabila diberitahu dia perlu menjalankan ujian genetik itu.

“Kami benar-benar terkejut apabila keputusan ujian menunjukkan positif dan dimaklumkan dia menghidap Angelman. Saya tidak pernah mendengar mengenai penyakit itu sebelum ini,” kata Gale.

Pakar perubatan menggalakkan pasangan suami isteri untuk menjalankan penyelidikan mengenai penyakit itu di Internet.

“Ketika dalam perjalanan pulang, suami saya mencari maklumat mengenai sindrom Angelman menerusi telefon bimbitnya.

“Dia mula membaca mengenainya dan akhirnya saya menangis hingga terpaksa memberihentikan kereta di tepi jalan.

“Sukar untuk kami menerimanya kerana tidak banyak yang kami tahu mengenai sindrom itu.

Ibu bapa Elliot juga berkata, mereka melihat senyumannya dari sudut yang menggembirakan.

“Kami sentiasa menganggap dia sentiasa gembira. Kami tidak pernah memikirkan ia adalah kesan daripada simptom yang lebih serius,” kata Gale. - DM

Wednesday, November 14, 2012

Pramugari Egypt Air mula pakai hijab

KAHERAH - Semua krew wanita pesawat Egypt Air memakai hijab buat kali pertama sejak syarikat penerbangan nasional itu diasaskan pada 1932.

Jurucakap Egypt Air berkata, etika pemakaian itu perlu dipatuhi selepas menerima saranan daripada ulama.

“Beliau sarankan pemakaian itu dan hukumnya wajib, terutama penerbangan ke Jeddah,” katanya.

Ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, hijab dianggap janggal, terutama mereka yang bertugas di stesen televisyen dan syarikat penerbangan nasional.

Namun, selepas beliau diganti dengan Mohamed Mursi, wanita diberi kelonggaran mengenakan hijab. - AFP

Israel serang tempat simpanan senjata Palestin

RAMALLAH - Israel melancarkan serangan udara secara langsung ke atas kawasan penyimpanan senjata tentera Palestin, semalam.

Wakil tentera mendakwa serangan telah dilancarkan dengan 110 buah roket sejak Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, kami tidak akan bertolak ansur jika berlaku cubaan mencederakan orang awam Israel dan akan menyerang kembali sesiapa saja yang cuba melakukan keganasan terhadap negara Israel,” kata wakil Angakatan Tentera Israel.

“Organisasi pengganas Hamas yang patut bertanggungjawab terhadap segala aktiviti keganasan yang berpunca dari Semenanjung Gaza,” ujarnya.

Serangan mula berlaku sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata Israel akan meningkatkan tindak balas ketenteraan ke atas Gaza.

“Dunia mesti memahami yang Israel tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan untuk mencederakan kami. Kami juga sentiasa bersedia untuk bertindak balas,” kata Netanyahu, Ahad lalu.

Tentera Israel juga mula menyerang kumpulan pengganas di Gaza.

Menurut agensi media, 30 rakyat Palestin cedera dengan leboh 10 orang berada dalam keadaan kritikal akibat serangan itu.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhous memberi amaran terhadap Israel kerana keganasan semakin meningkat dan sasaran mereka kepada orang awam terhadap Israel  dan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Tiga serangan udara dilancar di Gaza

Tiga serangan udara dilancar di Gaza
Beberapa penduduk mengusung jenazah saudara mereka yang terkorban dalam serangan udara terbaru di Gaza yang dilancarkan sejak Sabtu lalu. Foto: AFP
GENTING GAZA - Israel melancarkan tiga serangan udara terbaru di kawasan barat bandar Gaza, semalam, yang menyasarkan tempat simpanan senjata tentera Hamas, termasuk kem latihan Ezzedine al-Qassam.

Menurut pihak berkuasa, insiden itu berlaku sehari selepas tentera bersenjata Palestin suarakan hasrat mereka melaksanakan gencatan senjata jika rejim Zionis henti pencerobohan mereka.

Tawaran tersebut dibuat selepas tujuh penduduk Palestin termasuk empat orang awam terbunuh akibat serangan udara dilancarkan oleh Israel sejak Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu beri amaran kononnya mereka ada hak dan kewajipan untuk melindungi penduduk Israel.

"Negara antarabangsa perlu memahami situasi ini kerana kami perlu bertindak menghentikan serangan roket dari Palestin," katanya pada lawatan di selatan Israel bersama diplomat asing. 

Sementara itu, jurucakap tentera Israel memaklumkan serangan balas itu dilancarkan selepas kumpulan militan Gaza menembak enam roket ke selatan negara itu. - AP

Pertandingan janggut di Las Vegas





LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang peserta Austria, Fritz Sendlhofer memenangi pingat emas pada pertandingan janggut kategori Gerabaldi di sini pada Ahad lalu.
Dia turut memenangi Anugerah Pilihan Orang Ramai dan bonus sebanyak AS$1,000 (RM3,066).
Seorang peserta Jerman, Hans-Peter Weis memenangi pingat emas bagi kategori janggut gaya bebas. - Reuters