Pages

Monday, October 22, 2012

Kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,
11 Okt 2012

Antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Salah satunya ialah 10 hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.

Beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah SWT maksudnya:

“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)

Kata Ibnu Kathir:  “Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.” HR: Imam Bukhari.

2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” HR: Ahmad, At-Tirmizi.

3. Firman Allah SWT, maksudnya;

“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah Al-Haj: 28).

Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. HR Ad-Darimi- Hasan.

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut:

1. Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana itulah sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” HR Muslim. - Ini umum untuk semua waktu.

2. Puasa. Kerana puasa juga termasuk di dalam amalan soleh. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata:“Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei.
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hal ini kerana, hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan:“Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari:  “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.

4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya, maksudnya;

”Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” HR Muslim.

PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijjah).

Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Cara-cara menyambut musim kebajikan:

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69).


Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” HR Muslim.

Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).” Syarah Sahih Muslim.

Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga agar kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

http://www.abuanasmadani.com

Pelukis AS ambil 1,200 jam hasil lukisan gergasi


MICHIGAN 21 Okt. - Seorang pelukis Amerika Syarikat mengambil masa selama 1,200 jam dan menggunakan lebih 100 batang pensil untuk menghasilkan sebuah lukisan besar yang dipamerkan pada pertandingan seni ArtPrize 2012 di sini, baru-baru ini.
Chris LaPorte dari Michigan menghasilkan lukisan yang mempunyai ukuran lebar 3.9 meter dan panjang 7.9 meter pada pameran seni antarabangsa yang diadakan di Muzium Seni Grand Rapids, di sini pada awal bulan ini.
LaPorte menggunakan gambar datuknya bersama sekumpulan ahli pancaragam sekolah tinggi untuk menghasilkan lukisan kabur yang digelar sebagai City Band.
Katanya, dia mendapat inspirasi tersebut selepas menemui gambar yang berusia 80 tahun berkenaan di bilik bawah tanah rumah ibunya.
“Gambar itu merupakan gambar datuk saya bersama ahli kumpulan pancaragam sekolahnya.
“Gambar tersebut telah rosak dan kabur seperti tidak wujud, mengingatkan kenangan saya bersamanya," katanya.
LaPorte yang bekerja sebagai seorang pelukis lakaran kartun berkata, dia telah menghasilkan 100,000 potret manusia.
Katanya, dia belajar daripada keadaan persekitaran untuk mengetahui tindak balas muka orang lain.
“Menghasilkan lukisan merupakan perkara yang hebat tidak kira berapa usia dan latar belakang anda.
“Perniagaan karikatur dan potret berjaya menampung kos pelajaran, perjalanan dan studio seni saya," jelasnya.
Lukisan City Band mendapat tempat ke-10 pada pertandingan ArtPrize awal bulan ini dan LaPorte pernah mendapat tempat pertama melalui satu lagi lukisan gergasi baru-baru ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_08/Pelukis-AS-ambil-1200-jam-hasil-lukisan-gergasi#ixzz2A2PbpO00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Google perkenal komputer riba berharga murah

Sundar Pichai memperkenalkan komputer riba yang menggunakan perisian berasaskan Chrome dan tidak mempunyai cakera keras.- AGENSI
NEW YORK 21 Okt. - Syarikat perisian Internet popular, Google memperkenalkan komputer riba pada harga murah bagi menarik pengguna komputer tablet keluaran pesaingnya, Apple Inc. dan Microsoft.
Komputer riba yang dihasilkan dengan kerjasama Samsung itu akan dijual pada harga AS$249 (RM771.90) seunit.
Produk Google itu juga akan menggunakan perisian berasaskan Chrome.
Seperti produk komputer bimbit Google lain yang dipanggil Chromebook, komputer berkenaan tidak akan mempunyai cakera keras, sebaliknya data-data dan maklumat akan disimpan dalam pelayan internet Google.
Komputer bimbit terbaharu Google itu akan dipasarkan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain pada minggu depan.
Naib Presiden Kanan Chrome dan Aplikasi, Google, Sundar Pichai berkata, pengenalan komputer bimbit itu membuka lembaran baru bagi syarikat itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_06/Google-perkenal-komputer-riba-berharga-murah#ixzz2A2P3eBln
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis bermisai, berjambang

BEIJING: Bagi setiap gadis, usia belasan tahun adalah yang paling sukar dalam kehidupan mereka dan juga yang paling menyeronokkan dan tidak boleh dilupakan.
Tetapi tidak bagi Nana, 16, yang baru-baru ini ditumbuhi bulu lebat pada muka dan tubuhnya selepas menjalani rawatan untuk menyelamatkan nyawa.
Dia kini lebih rela menghabiskan masa bersendirian, berkurung di dalam bilik.

pix_middleGadis warga China itu, yang hanya mahu dikenali dengan nama pertamanya, menunjukkan janggut dan misai lebat yang tumbuh kerana menghidap penyakit ganjil, hirsuitism, selepas menjalani rawatan.

“Doktor berkata, penyakitnya amat serius dan dia boleh mati jika tidak dirawat,” kata ibu gadis itu kepada agensi berita China, Zinhua.
Nana terpaksa dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap ‘aplastic anemia’ pada 2010, penyakit yang menyebabkan tulang sumsum Nana tidak menghasilkan sel darah baru secukupnya.

Kesihatannya semakin pulih selepas menjalani rawatan dengan memakan ubat.

Bagaimanapun, keadaan fizikalnya mula berubah.

“Selepas memakan ubat itu, jambang lebat tumbuh pada muka sementara ketiak dan kakinya dilitupi bulu yang juga lebat,” menurut laporan Liao Shen Evening News.

“Setiap hari dia menangis, ingin ke sekolah,” kata ibunya.

Gadis itu berhenti sekolah pada 2010 kerana keadaannya itu.

Si ibu menyifatkan anaknya sebelum ini sebagai periang tetapi sejak menghadapi masalah itu, dia mula memencilkan diri dan memakai topeng kertas untuk melindungi mukanya dan kemeja lengan panjang setiap kali keluar rumah.

“Dia kini tidak mahu bercakap walaupun sepatah dan lebih banyak menghabiskan masa di bilik, membaca buku,” lapor Zinhua. - DM

Manusia supersonik




22 Oktober 2012
 Felix Baumgartner
Baumgartner meraikan kejayaan terjunannya selepas menjadi orang pertama yang memecahkan kelajuan bunyi menggunakan tubuh badannya sendiri
Manusia supersonik
Bagaimana terjunan dilakukan
PADA lewat malam 15 Oktober lalu (waktu Malaysia), jutaan manusia di seluruh dunia tidak berkelip mata selama empat minit, menyaksikan satu bintik putih di angkasa gelap bergerak ke bawah dengan kelajuan mencecah 1,342 km/j dari ketinggian 39,000 meter atau 128,000 kaki.
Bintik putih itu sebenarnya adalah Felix Baumgartner, juruterbang helikopter yang menjalankan misi penerjunan paling tinggi dan paling laju dalam sejarah dunia.
Dalam proses penerjunan mengerikan itu, Baumgartner juga berjaya memecahkan kelajuan bunyi menggunakan badannya sendiri.
Dunia melihat dengan penuh debaran bagaimana lelaki warga Austria berumur 43 tahun itu melompat keluar dari kapsulnya selepas memberi tabik kepada planet bumi di bawahnya.
Perjalanan naik ke angkasa ketika misi itu mengambil masa dua setengah jam, lebih cepat daripada jangkaan awal.

Kapsul itu membawa Baumgartner ke pinggir angkasa selepas beberapa hari tertunda akibat cuaca buruk.

Kurang lima minit selepas terjunan itu, penonton di seluruh dunia yang menyaksikan penerjunan itu secara langsung menarik nafas lega apabila payung terjun Baumgartner akhirnya terbuka pada ketinggian 5,000 kaki (1,524 meter).

Semua kebimbangan hilang, walaupun sebelum itu beberapa detik mencemaskan mendebarkan pasukan saintis dan keluarganya di bilik kawalan misi itu kerana Baumgartner kelihatan seperti hilang kawalan dan berpusing dengan kuat.
Paling mengagumkan, Baumgartner mendarat dengan penuh bergaya, kedua kakinya mencecah tanah dengan sempurna, sebelum lelaki itu melutut di atas tanah dan menumbuk udara tanda gembira, seperti tidak percaya dengan kejayaan luar biasanya.

Siapa lelaki berani ini?
Bekas penerjun tentera dan pengamal sukan payung terjun ekstrem ini telah banyak kali melakukan penerjunan dari bangunan tinggi dan pelbagai bentuk muka bumi di seluruh dunia.
“Kadang-kala kita perlu berada pada kedudukan sangat tinggi untuk menyedari betapa kecilnya diri kita,” katanya dengan gembira beberapa minit selepas dia selamat mendarat.

Namun beliau akui bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu.

“Ia lebih sukar daripada apa yang saya jangka. Percayalah, apabila anda berdiri di atas dunia pada ketinggian seperti itu, anda rasa begitu rendah diri.

“Anda tidak lagi berfikir mahu memecahkan rekod, bukan lagi untuk mendapatkan data saintifik tetapi apa yang anda fikir hanyalah untuk kembali ke bumi dengan selamat,” katanya.

Baumgartner berkata, penerjunan minggu lalu itu adalah cabaran terbesar dalam kariernya kerana dia perlu mengatasi ketakutan yang tidak disangka, iaitu klaustrofobia, atau perasaan takut apabila berada di tempat sempit.

Ketika latihan selama lima tahun untuk misi itu, Baumgartner beberapa kali panik apabila dia perlu menghabiskan masa berjam-jam di dalam sut angkasa dan topi keledarnya.

Sehinggakan pernah sekali pada 2010, Baumgartner melarikan diri dari pusat latihannya di Amerika Syarikat (AS) apabila disuruh menjalankan ujian ketahanan menggunakan sut itu.
Namun dia akhirnya berjaya mengatasi rasa takut itu melalui terapi berterusan dengan pakar dan petunjuk diberikan mentornya, Joseph Kittinger, 84.

Kittinger adalah bekas juruterbang tentera udara AS yang memegang rekod dunia dengan melakukan penerjunan pada ketinggian 31,000 meter pada 1960, sebelum rekod itu dipecahkan Baumgartner minggu lalu.

Sepanjang perjalanan naik ke angkasa, Baumgartner menyibukkan dirinya dengan berkomunikasi secara berterusan dengan Kittinger bagi menghilangkan perasaan fobianya itu.
Apabila tiba detik untuk membuat terjunan itu, Kittinger berkata kepada Baumgartner: “Malaikat pelindung akan menjaga anda”.

Sebelum penerjunan itu, Baumgartner berkata dia tidak akan melakukannya jika kemungkinan untuk selamat adalah tipis.

Apabila ditanya mengenai pihak yang yakin dia tidak akan selamat, Baumgartner berkata, “Saya rasa mereka memandang rendah kemahiran seorang penerjun udara.”

Baumgartner telah melakukan 2,500 penerjunan dari kapal terbang dan bangunan pencakar langit, termasuk menjadi individu pertama terbang merentasi Selat Inggeris dengan memakai sayap fiber.

Menurut Baumgartner, terjunan dari angkasa itu akan menjadi penutup kepada perjalanan hidupnya sebagai penerjun ekstrem.

Baumgartner merancang untuk berkahwin dengan teman wanitanya dan menjadi juruterbang helikopter penyelamat di kawasan pergunungan serta kapal terbang bomba di AS dan negara asalnya Austria.

Sains di sebalik terjunan

Baumgartner melompat keluar dari kapsulnya dengan kepala ke bawah menggunakan gaya ‘lompatan arnab’ dengan menolak kedua belah kaki pada masa sama untuk mengelakkannya jatuh mendatar, keadaan yang mungkin boleh membunuhnya.
Pasukan jurutera, doktor dan saintis yang mengambil masa lima tahun merancang penerjunan itu menjangka Baumgartner akan jatuh pada kelajuan 1,126 km/j semasa 50 saat pertama.

Tetapi Baumgartner berjaya mencapai kelajuan lebih laju, mencecah 1,342 km/j.
Dr Jonathan Clark, pengarah kesihatan Baumgartner berkata, sut angkasa bertekanan tinggi itu melindungi Baumgartner ketika penerjun itu memecahkan kelajuan bunyi.

Namun risiko untuk maut juga tinggi kerana sebarang sentuhan antara Baumgartner dengan dinding kapsul semasa keluar boleh menyebabkan sut terkoyak, mendedahkannya kepada kekurangan oksigen dan suhu serendah - 70 darjah Celcius.
Jika itu berlaku, darah di dalam badan Baumgartner akan mendidih, otaknya meletup dan biji matanya tersembul keluar.

Namun kumpulan pakar yang bekerja bersama Baumgartner sejak lima tahun lalu telah melakukan segala yang mampu untuk memastikan dia berjaya kembali ke bumi dengan selamat.
Sut angkasa direka khas itu bernilai AS$200,000 (RM610,000) dan mampu menahan cuaca ekstrem serta diisi dengan oksigen bertekanan tinggi untuk melindungi badan pemakai.
Ia juga mempunyai satu perbezaan penting dengan sut angkasa dipakai angkasawan, iaitu tetap fleksibel walaupun selepas diisi dengan  gas bertekanan tinggi.

Cermin topi keledar Baumgartner pula dilengkapi pengawal suhu berkuasa tinggi yang memberikannya pandangan jelas tanpa kabus.

Sementara itu, kapsul dinaiki Baumgartner bersaiz 3.35 meter tinggi dan 2.4 meter lebar diperbuat daripada gelas fiber dan rangka besi dengan berat seperti sebuah kereta.
Kapsul itu direka oleh saintis yang menghasilkan jet pengebom AS dan berdasarkan roket Apollo.
Belon diisi sembilan juta meter padu gas helium yang membawa kapsul itu ke angkasa mempunyai ketinggian sama dengan bangunan 55 tingkat selepas dikembangkan.

Belon itu diperbuat daripada plastik khas dengan ketebalan satu persepuluh daripada plastik pembalut.

Selepas Baumgartner melakukan penerjunannya, kapsul itu tertanggal secara automatik daripada belon tersebut dan kembali ke bumi dengan payung terjun khas.

Ujian saintifik untuk masa depan
Kittinger memuji keberanian Baumgartner untuk melakukan misi itu dan berkata penerjun itu bukan hanya memecahkan rekod dunia.
“Dia berjaya menunjukkan manusia boleh selamat dalam situasi kecemasan pada ketinggian ekstrem.

“Selepas ini, angkasawan akan memakai sut angkasa yang diuji Felix dalam penerjunan itu,” katanya.

Semasa penerjunan itu, Baumgartner disokong oleh bilik kawalan yang dipenuhi 300 orang, termasuk 70 jurutera, saintis dan doktor yang sama-sama bekerja untuk projek digelar Red Bull Stratos, sempena nama syarikat minuman yang menaja misi itu.
Selain memecahkan rekod dunia, jurutera dan saintis dalam pasukan Red Bull Stratos mengumpul data untuk membantu juruterbang, angkasawan dan mungkin juga pelancong angkasa untuk menyelamatkan diri jika berlaku kemalangan udara.
“Kami menguji sut angkasa baru, konsep melepaskan diri dalam kecemasan dan protokol rawatan baru jika berlaku kehilangan tekanan pada ketinggian ekstrem,” menurut Clark.

Semasa membina sut dan kapsul itu, pasukan dianggotai veteran angkasa itu turut mempunyai satu persoalan penting: Apa akan berlaku pada badan manusia apabila dia memecahkan kelajuan bunyi?

Jawapannya telah diberikan Baumgartner, iaitu dengan bantuan teknologi yang betul, badan manusia boleh dilindungi walaupun terjatuh dengan kelajuan menakutkan itu.

Assad dalang

Assad dalang
Insiden pengeboman kereta di daerah Ashrafieh, timur Beirut.
BEIRUT - Lubnan kelmarin menuduh Presiden Bashar al-Assad sebagai dalang bertanggungjawab menyebabkan Ketua Perisikan Keselamatan Dalam Negeri terbunuh dalam satu insiden pengeboman kereta di daerah Ashrafieh, timur Beirut.
Menteri Maklumat, Walid Daouk berkata, kejadian menggemparkan itu telah meragut tujuh nyawa termasuk Jeneral Wissam al-Hassan manakala lebih seratus cedera.

Letupan dahsyat tersebut turut memusnahkan beberapa kenderaan dan balkoni di sebuah apartmen berhampiran Dataran Sassine.

Media tempatan melaporkan, letupan itu sememangnya menyasarkan Jeneral Hassan susulan daripada penglibatan beliau sebagai penyokong kumpulan pemberontak Syria dan ketua siasatan yang membawa kepada penahanan sekutu Assad paling setia iaitu bekas Menteri Maklumat, Michel Samaha.

Sebelum ini, Samaha didakwa merancang siri pengeboman dan pembunuhan di Lubnan atas arahan dari Damsyik.

Ogos lalu, bekas menteri tersebut turut dikatakan pernah berkhidmat sebagai salah seorang pembantu tertinggi kepada Assad.

Sementara itu, beberapa jam selepas kejadian tersebut keadaan di Lubnan dilaporkan tegang selepas sekumpulan penduduk bertindak mengadakan protes dan menghalang lalu lintas di beberapa lokasi.

Tunjuk perasaan tersebut turut bertukar ganas selepas penyokong pro-Assad bertempur dengan penentang rejim Syria di bandar Tripoli.

Dalam satu kenyataan, bekas Perdana Menteri Saad Hariri menegaskan beliau juga percaya kejadian pengeboman itu didalangi oleh Assad.
"Jika presiden tersebut boleh membunuh rakyatnya tanpa perikemanusiaan, tidak mustahil beliau akan melakukan tindakan sama ke atas penduduk Lubnan, demi untuk melindungi dirinya," kata Hariri lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Perdana Menteri Najib Mikati memaklumkan satu mesyuarat tergempar melibatkan menteri Kabinet telah diadakan.

Katanya, kerajaan turut mengisytiharkan, semalam sebagai hari berkabung.

Pada Januari 2008, Beirut  pernah digemparkan dengan insiden pengeboman kereta yang  mengorbankan tiga mangsa termasuk penyiasat utama antikeganasan. - AFP

Mangsa perkahwinan paksa kongsi kisah penderitaan

Mangsa perkahwinan paksa kongsi kisah penderitaan
Sally dan Nabil (gambar kecil)
“Apabila saya tidak kembali ke sekolah ketika berumur 13 tahun, mengapa pihak sekolah tidak bertanya apa-apa?
“Semasa saya melahirkan anak pada umur 14 tahun, mengapa doktor, jururawat atau pihak kebajikan masyarakat tidak menyoal ibu saya bagaimana saya boleh mengandung,” kata Sameem Ali, 42, ahli politik Britain yang menetap Manchester.
Berketurunan Pakistan, Sameem dipaksa berkahwin sebaik sahaja dia memasuki umur remaja dengan saudaranya yang berumur dua kali ganda lebih tua, dan hanya ditemuinya pada hari perkahwinan mereka.
“Saya lahir di Britain tetapi pada umur 13 tahun, saya dibawa ke Pakistan untuk bercuti, itu yang ibu bapa saya beritahu,” ceritanya.
Namun enam minggu kemudian, Sameem dikahwinkan dengan saudaranya. Ibunya berkata Sameem hanya boleh kembali ke Britain jika dia mengandung.

“Saya percaya saya dikahwinkan dan mengandung untuk membolehkan suami saya mendapat taraf penduduk tetap di Britain,” katanya.

Menurut Sameem, dia kembali ke Britain ketika sedang mengandung tujuh bulan dan melahirkan anak lelakinya pada usianya  14 tahun.

“Saya melarikan diri dari rumah sebaik sahaja saya disuruh membawa lelaki itu ke Britain ketika berumur 17 tahun. Dan saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya selepas itu,” kata Sameem.

Pada 2011, kerajaan Britain melalui Unit Perkahwinan Paksa merekodkan 1,468 kes remaja bawah umur dipaksa berkahwin, dan 78 peratus daripada jumlah itu membabitkan wanita.
Namun, kerajaan Britain mengakui jumlah itu hanyalah permukaan dan tidak menggambarkan skala sebenar perkahwinan bawah umur kerana kebanyakan kes tidak dilaporkan. Kerajaan menganggarkan 5,000 hingga 8,000 kes perkahwinan paksaan di Britain setiap tahun.
Sameem berpendapat Peraturan Perlindungan Perkahwinan Paksa diperkenalkan pada 2008 di bawah Akta Perkahwinan Paksa (Perlindungan Awam) 2007 tidak boleh membantu mengatasi masalah ini.

“Saya tidak akan menghantar ibu saya ke penjara, walaupun dia memukul saya dengan teruk dan memaksa saya berkahwin,” kata Sameem.
“Undang-undang seperti ini tidak akan membantu kerana tidak ada anak yang akan menuding jari kepada ibu bapa sendiri,” katanya.
Ahli politik muda itu percaya isu perkahwinan paksa boleh ditangani hanya melalui pendidikan dan kesedaran.

Sebagai seorang yang dipaksa berkahwin muda, Sameem sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelakkan kanak-kanak perempuan lain menjadi mangsa sama.
“Saya sanggup ke Pakistan dan menceritakan kisah saya kepada keluarga yang memaksa anak mereka berkahwin pada usia muda,” katanya dengan tegas. -DAWN

Permainan bertukar menjadi tragedi

Ketika zaman kanak-kanak, Sally as-Sabahi suka berlakon berkahwin dengan adik-beradiknya.
Sebagai kanak-kanak perempuan yang hidup susah di ibu negara Yaman, Sanaa, dia membayangkan baju pengantin yang cantik, alat solek dan majlis meriah membantunya melupakan kesusahan hidup dalam kemiskinan.
Jadi apabila ibunya menunjukkan gaun putih dan barang kemas kepadanya, Sally yang berumur 10 tahun bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki dipilih ibu bapanya.
Lelaki bernama Nabil, 25, itu adalah saudaranya sendiri yang sebelum ini pernah berkahwin.
“Ayah dan mak memanggil saya keluar ke halaman rumah,” kata Sally yang menceritakan bagaimana dia akhirnya berkahwin dengan Nabil.

“Mereka beritahu saya supaya menarik nafas panjang dan bertanya sama ada saya ingin berkahwin. Saya jawab ya, tetapi adakah saya akan mendapat sehelai gaun, gula-gula, dan barang permainan?
“Mereka menjawab ya. Mereka berjanji akan memberikan apa sahaja kepada saya,” ceritanya.

Sally memenangi kes di mahkamah untuk bercerai dengan Nabil pada 2010 selepas kisahnya dilaporkan media tempatan dan mencetuskan debat di peringkat kebangsaan mengenai amalan perkahwinan pada usia muda.

“Saya tidak menggelarnya perkahwinan, saya menggelarnya rogol,” kata Shada Nasser, peguam wanita yang telah beberapa kali mengendalikan kes perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur.

Pusat Kajian Wanita Antarabangsa mendapati hampir separuh daripada kanak-kanak perempuan di Yaman dikahwinkan sebelum umur mereka mencecah 18 tahun.

Kajian Universiti Sanaa mendapati di beberapa wilayah di negara itu, separuh daripada kanak-kanak perempuan dikahwinkan sebelum umur 15 tahun.

Sally masih ingat malam pertama perkahwinannya apabila Nabil memaksanya melakukan hubungan seks.

“Pada mulanya, saya rasa selamat. Sebab saya tidak tahu pun apa yang berlaku, jadi tentu saya tidak rasa takut. Tetapi kemudian saya berasa sakit dan darah mula keluar.

“Saya menangis dan menjerit. Saya benci diri saya sendiri. Sejak itu, saya melihat dia seperti bayang kematian,” cerita Sally.

Satu malam, apabila Sally enggan tidur dengan Nabil, ibu mertuanya mengikat kanak-kanak perempuan itu di katil.

Air mata ibu Sally, Nouria mula tumpah.

“Saya tidak pernah bercerita kepada Sally mengenai hubungan seks kerana saya malu. Saya sangka kakak saya (ibu Nabil) akan menjaga Sally seperti anak sendiri,” katanya.
Namun segala penderitaannya berakhir apabila dia memenangi kes penceraian pada 27 Mac 2010.
“Pagi itu saya rasa seolah-olah ada awan hitam di atas kepada saya, tetapi sekarang saya rasa sangat bebas,” katanya selepas menandatangani dokumen penceraian itu.
Apa pula kata Nabil?
“Semua lelaki perlu pertimbangkan umur, otak dan pastikan bakal isteri anda tidak gila,” katanya disambut gelak tawa sekumpulan lelaki yang berkumpul pada hari penceraiannya.
“Saya datang ke rumahnya dan berkahwin dengannya. Saya tak rasa ia adalah satu masalah kerana saya tidak tahu umur sebenar Sally,” katanya. – Al Jazeera

10 maut serangan bom di Damsyik

GAMBAR menunjukkan beberapa buah kereta yang rosak
akibat letupan yang berlaku berhampiran balai polis
 di daerah Bab Touma, Damsyik semalam.
DAMSYIK - Satu letupan kuat berlaku di bandar lama di sini semalam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam, kata aktivis Syria.
Seorang pegawai Syria berkata, letupan itu disasarkan ke atas sebuah balai polis di kawasan kejiranan Bab Touma di sini.
Bab Touma merupakan sebuah tempat tarikan beli-belah yang kebanyakan dihuni oleh kaum minoriti penganut Kristian Syria.
Angka kematian tersebut dilaporkan oleh Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Bagaimanapun, angka tersebut tidak menyatakan sama ada semua mangsa yang maut terdiri daripada orang awam atau turut melibatkan anggota polis.
Namun, ia menggambarkan letupan yang berlaku sebagai amat kuat dan menyatakan beberapa ambulans dan kereta polis dikejarkan ke tempat kejadian.
Tiada maklumat lain diberikan.
Dalam kejadian berasingan, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan di hadapan sebuah hospital di Jalan al-Zohour, bandar Aleppo.
Agensi berita SANA memberitahu, tiada kemalangan jiwa berlaku tetapi letupan itu menyebabkan beberapa pejalan kaki cedera.
Sementara itu, Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-Liga Arab, Lakhdar Brahimi bagi membincangkan soal gencatan senjata selama empat hari sempena sambutan Aidiladha bermula Jumaat ini.
Beliau tiba di Damsyik pada Jumaat lalu selepas mengadakan lawatan di Timur Tengah untuk mendapatkan sokongan pemimpin-pemimpin negara terbabit bagi menghidupkan harapan gencatan senjata di Syria.
Konflik di Syria yang bermula pada Mac 2011 telah meragut lebih 30,000 nyawa. - Agensi

Saturday, October 20, 2012

Etnik Rohingya 'terkurung' di Rakhine

Gambar bertarikh 12 Oktober lalu, menunjukkan beberapa
penduduk Rohingya Islam berjalan di dalam kawasan
Aung Mingalar yang dikelilingi pagar
berduri di Sittwe, Rakhine, barat Myanmar. - AFP
SITTWE 19 Okt. - Hampir 8,000 etnik Rohingya, di sini 'terkurung' dalam ketakutan dan terpaksa bergantung kepada kawalan tentera bagi mengelak diserang penganut Buddha Rakhine berikutan sengketa agama yang berlarutan.
Kehidupan golongan minoriti beragama Islam yang terdiri daripada berpuluh-puluh keluarga itu kini tidak ubah seperti berada dalam 'penjara' di sebuah kawasan penempatan seluas 0.5 kilometer persegi yang dipagari buluh serta pagar berduri.
Sesetengah penduduk yang ingin keluar dari kawasan penempatan berpagar yang terletak di Aung Mingalar itu, bertindak menutup wajah mereka agar tidak dikenali, namun kebanyakan mereka terkurung di kawasan tersebut selama kira-kira empat bulan.
"Pagar buluh itu ibarat sekatan psikologi, melambangkan ketakutan yang memisahkan dua dunia," kata ketua Projek Arakan yang memperjuangkan hak Rohingya Islam, Chris Lewa.
Sambil menyamakan sekatan itu dengan dasar Apartheid di Afrika Selatan sekitar 1980-an, beliau mendakwa keadaan di Aung Mingalar lebih teruk daripada itu kerana penduduknya tidak boleh keluar dari kediaman mereka.
Selain terkurung, penduduk di situ juga sukar mendapatkan keperluan asas berikutan kedai-kedai yang beroperasi di situ ditutup sejak konflik itu meletus.
Bekalan makanan terutama beras, hanya diperoleh melalui bantuan pihak berkuasa dan penduduk Buddha tempatan yang bersimpati, namun masih belum mencukupi.
Beberapa pihak turut mendesak agar kawasan penempatan itu dipindahkan.
Pemimpin pertubuhan sami Buddha, Nya Na berkata, sekiranya penempatan itu masih kekal di tengah bandar Sittwe, masalah akan menjadi semakin runcing.
"Saya tidak mahu melihat kedua-dua komuniti bergaduh, namun seandainya minoriti Rohingya Islam terus tinggal di situ, risiko tetap akan berlarutan," katanya.
Seorang pemuda Rohingya, Mohamed Said menggambarkan kehidupan di padang pasir Sahara jauh lebih baik daripada situasi yang berlaku di kawasan tempat tinggalnya.
"Kami tidak mampu bertahan lagi. Kami hilang segala-galanya termasuk kehidupan. Kami juga manusia," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121020/lu_02/Etnik-Rohingya-terkurung-di-Rakhine#ixzz29uHHN6OI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

18 sekeluarga maut dalam serangan jet tentera Syria

DAMSYIK - Dalam nada suara tenang, Sheikh Mohammed Fardoun menyenaraikan nama saudara-maranya, 18 kesemuanya, yang terbunuh dalam serangan jet pejuang MiG tentera Syria semalam yang menyasarkan bandar utara Maaret al-Numan.

“Fatma Assam Haji Khamis, Abdel Aziz Haji Khamis, Abu Abdel Azziz Haji Khamis, Hassan Haji Khamis," katanya kepada CNN melalui satu wawancara telefon.

"Sebaik sahaja kita mendengar bunyi daripada serangan, saya berlari keluar di jalan dan mendapati rumah mak cik saya sudah menjadi seperti dataran," kata Fardoun.

"Keadaan itu tidak boleh digambarkan. Apa yang anda lihat di TV dan di YouTube tidak boleh menggambarkan jenayah ini. Bangunan ini telah benar-benar diratakan," katanya lagi.

Fardoun sambung, “saya tidak boleh bercakap kepada anda tentang apa yang saya berlaku.”

“Saya mempunyai nama-nama saudara-mara saya dan saya menerima takdir Tuhan, tetapi saya hanya di sini untuk memberi anda maklumat ini sahaja. Saya tidak boleh bercakap lebih dari itu,” katanya.

Tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan video yang dimuat naik di YouTube yang dihantar kepada CNN, sekali gus menyokong kenyataan Fardoun berhubung serangan rambang yang membunuh banyak nyawa itu.

Ia menunjukkan penduduk memanjat timbunan runtuhan untuk mencari mangsa.

Menurut seorang jurukamera,serangan itu turut meranapkan bangunan masjid.

Kejadian ini memperlihatkan sifat berat sebelah pemberontak yang bermula pada Mac 2011, di mana ia bertukar menjadi perang saudara dan mencabar usaha dunia untuk mendamaikannya.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdiss dan General Tentera Bebas Syria, mereka terbuka kepada cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terbuka kepada cadangan Duta khas PBB-Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi untuk gencatan senjata semasa cuti Aidiladha yang bermula pada 25 Oktober.

Tetapi pengumuman itu tidak menarik perhatian penduduk Maaret al-Numan.

"Adakah ini masa untuk bersetuju dengan gencatan senjata?" soal seorang lelaki di hadapan kamera.

"Adakah anda memegang kuasa memadamkan api?

"Kami mempertahankan rakyat kami daripada menggunakan peluru. Daripada bersetuju untuk gencatan senjata sementara, pergi berunding tentang zon larangan terbang. Anak-anak kami dibunuh! Pergi tubuhkan tiada zon terbang,” katanya.

Sementara yang lain pula berkata, "dunia perlu untuk berhenti berbohong.Cukuplah berbohong! Cukup, anda Islam! Demi ALLAH, mereka adalah pendusta. Semua cendekiawan-cendekiawan Islam berbohong.”

Sementara seorang jurukamera berkata "bau mayat di serata kawasan.”

“Lihatlah ini, negara Arab dan orang Islam. Rumah ALLAH akan dimusnahkan,” katanya.

Menurut jurucakap pejabat media, Majlis Kepimpinan Tentera, kira-kira 25 orang mati dalam serangan itu.

Lima belas daripadanya terbakar dan tidak dapat dikenal pasti.

Menurutnya, operasi pemulihan sedang berjalan termasuk menggali kawasan-kawasan yang menjadi sasaran.

Selama lebih seminggu, Maaret al-Numan telah menjadi tapak pertempuran antara pemberontak dan tentera Syria yang mengambil alih kawalan lebuh raya yang menghubungkan Aleppo ke Damsyik.

Serangan itu datang pada hari yang sama apabila Avaaz, sebuah kumpulan aktivis antarabangsa, melaporkan bahawa pasukan kerajaan telah menculik beribu-ribu orang awam dalam tempoh 19 bulan yang lalu.

Avaaz melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 28,000 orang telah "hilang secara paksa."

Sekurang-kurangnya 230 orang terbunuh dalam insiden semalam, 53 daripada mereka di Idlib.

49 orang awam korban serangan udara Syria

49 orang awam korban serangan udara Syria
Sebuah masjid yang dijadikan tempat perlindungan
musnah dalam serangan udara di bandar
Maarat al-Numan, semalam.
SYRIA - Jet pejuang Syria melancarkan serangan ke atas kawasan pemberontak di bandar Maaret al-Numan, Syria, sekali gus membunuh sekurang-kurangnya 49 orang awam, termasuk kanak-kanak.
Anggota penyelamat berkata, letupan di bandar Barat Laut itu memusnahkan dua bangunan kediaman dan masjid, di mana ramai wanita dan kanak-kanak ditempatkan sebagai lokasi perlindungan.

“Kami mengeluarkan 49 mayat, termasuk bayi berusia sembilan bulan dari bawah runtuhan,” katanya.

Menurutnya, mereka dijadikan tebusan oleh pemberontak pada 9 Oktober lalu, dalam usaha mewujudkan zon penampan di sepanjang sempadan Turki.

Manakala di Damsyik, seorang individu bertindak melakukan serangan bom berani mati apabila meletupkan dirinya ketika sedang menunggang motosikal kira-kira 300 meter dari pekarangan kementerian dalam negeri, namun tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan.

Menurut sumber keselamatan, individu itu bertindak demikian selepas Utusan Khas Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi kelmarin, menggesa rejim Presiden Bashar al-Assad untuk melaksanakan gencatan senjata bagi memberi laluan kepada umat Islam  menyambut Aidiladha.

“Jika gencatan senjata dilaksanakan, pergolakan ini berpotensi ditamatkan serta permulaan proses politik baru dapat dilakukan secara damai,” katanya. - AFP

Rantai anak untuk kerja

JIANG Manqi diikat datuknya pada basikal.
JIANG Manqi diikat datuknya pada basikal.
KANAK-KANAK ini dirantai ibu bapa mereka.
KANAK-KANAK ini dirantai ibu bapa mereka.
GUANGZHOU: Dua kanak-kanak dirantai pada sebuah bangunan di bandar raya ini ketika ibu bapa mereka bekerja.
Budak lelaki dan kakaknya, berusia tiga dan empat tahun diikat dengan rantai besar supaya mereka tidak boleh melarikan diri atau diambil oleh orang tidak dikenali.
Kanak-kanak berkenaan, yang ibu bapanya pekerja pendatang yang miskin, pernah dilihat menangis mengenangkan keadaan mereka yang terpaksa di rantai itu.

Penduduk berhampiran berkata, ibu bapa kanak-kanak itu berasal dari Hunan, wilayah selatan China dan melakukan pelbagai jenis kerja di kawasan itu.


Terlalu bahaya untuk membawa mereka ke kawasan pembinaan ketika mereka bekerja.

Kerana itu, pasangan berkenaan merantai anak mereka untuk memastikan mereka selamat.

Si bapa berkata, dia dan isteri sedar mereka tidak sepatutnya merantai anak mereka sedemikian.

“Isteri saya sudah beberapa kali menangis kerana terpaksa merantai mereka.
Tetapi, kami tidak punyai pilihan,” katanya.

Perbuatan itu menggambarkan kemiskinan melampau yang dihadapi ramai keluarga di China.

Sebahagian ibu bapa tidak mampu membayar penjagaan anak atau anggota keluarga yang kurang upaya ketika mereka keluar bekerja.

Bulan lalu, gambar mendedahkan nasib seorang gadis berusia 13 tahun, Jiang Manqi, yang diikat pada basikal berenjin di Fuzhou, wilayah Fujian.

Dia diikat sedemikian untuk membolehkan datuknya mengutip sampah untuk dikitar semula.

Keluarganya tidak mampu untuk mengubati penyakit sawannya. Kerana itu dia diikat pada basikal supaya anggota keluarganya boleh mengawasinya.

Sementara itu, di Nanjing, timur China, seorang wanita merantai anaknya dalam sebuah bilik sejak 21 tahun lalu.

Hong Chunlin, 37, menghabiskan sebahagian besar masanya dengan tangan dirantai pada katil.

Dia dijaga oleh ibunya, Chen Jiufang yang beryusia 71 tahun.

Wanita itu berkata, dia bertindak demikian selepas kelakuan anaknya menjadi ganas. - DM

Restoran di Gaza dikendalikan pekerja bisu

BEBERAPA pekerja menggunakan bahasa isyarat di dapur restoran Atfaluna di Bandar Gaza kelmarin.


BANDAR GAZA, Palestin - Sebuah restoran di sini yang dikendalikan beberapa pekerja bisu dibuka kepada orang ramai pada Selasa lalu.
Restoran Atfaluna yang terletak dekat sebuah pelabuhan digerakkan para pekerjanya yang berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa isyarat.
Ia ditubuhkan dengan bantuan Yayasan Drosos, Switzerland bagi mempromosikan golongan bisu yang boleh bekerja.
Seramai 12 orang bekerja di restoran tersebut.
"Golongan bisu mempunyai keazaman dan tiada sebarang kebimbangan kecuali ketika pekerja berkomunikasi," kata seorang penyelia, Ayat Imtair.
Selepas para pekerja bisu itu menghadiri latihan selama enam bulan, Ayat yakin operasi di restoran tersebut akan berjalan dengan lancar.
- Reuters

Objek berwarna cerah ditemui di Marikh

GAMBAR yang dirakamkan pada 15 Oktober lalu menunjukkan satu objek kecil berwarna cerah di planet Marikh.


LOS ANGELES - Kenderaan robotik Curiosity menemui satu objek kecil yang berwarna cerah di sebuah kawasan di planet Marikh, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.
Saiz objek tersebut hanya satu milimeter dan ditemui selepas kenderaan robotik milik NASA itu menggunakan peralatan penggalian.
Seorang saintis projek Marikh, John Grotzinger berkata, para penyelidik pada mulanya menyangka objek tersebut berasal dari kenderaan robotik itu.
Bagaimanapun, para saintis berpendapat objek itu mungkin sebahagian daripada kandungan yang terdapat di dalam tanah planet berkenaan.
Objek tersebut mungkin sejenis mineral.
Pada minggu lalu, NASA menyatakan satu lagi objek berwarna cerah yang turut ditemui Curiosity di planet Marikh sebenarnya serpihan plastik.
Menurut NASA, plastik tersebut mungkin jatuh dari kenderaan robotik itu.
Curiosity melakukan misi penerokaan di Marikh selepas ia tiba di planet tersebut pada 6 Ogos lalu.
Misi penerokaan selama dua tahun itu melibatkan kos sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.62 bilion). - Agensi

Lelaki paling tinggi di AS dapat kasut baharu



VOVKOVINSKIY memegang kasutnya semasa dia diwawancara wartawan televisyen WCCO, Holly Wagner di Kelab Atlet Rochester di Rochester kelmarin.



ROCHESTER, Minnesota - Lelaki paling tinggi di Amerika Syarikat (AS), Igor Vovkovinskiy memperoleh tiga pasang kasut tenis Reebok pada Khamis lalu.
Kasut itu ditempah khas oleh Vovkovinskiy, 30, yang setinggi 2.35 meter dan ia mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan.
Sepanjang ingatannya, dia hanya mempunyai sepasang kasut kerana ketiadaan saiz yang sesuai untuk kakinya.
Vovkovinskiy berkata, dia telah menjalani 16 kali pembedahan pada kakinya dalam tempoh enam tahun kerana kecederaan akibat memakai kasut yang tidak sesuai.
Menurut laporan akhbar The Post- Bulletin, orang pertama yang diberitahunya tentang kasut itu ialah ibunya.
Kos tinggi diperlukan untuk membuat kasut yang bersaiz 24 itu.
Namun, Vovkovinskiy mengutip derma di internet pada awal tahun ini.
Dia berjaya memperoleh sumbangan lebih AS$32,000 (RM97,666).
Selepas memperoleh wang itu, dia mengunjungi ibu pejabat Reebok di Canton, Massachusetts, AS dan menjalani beberapa siri ujian.
Ujian itu dilakukan bagi membolehkan syarikat tersebut menghasilkan kasut yang sesuai untuk kakinya.
Kasut tersebut telah mengubah corak kehidupan Vovkovinskiy.
"Saya kini boleh pergi ke kedai runcit atau perkakasan jika saya memerlukan barang untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di rumah ibu saya," katanya. - Agensi

Bukti Syria guna bom berangkai



BENTUK bom berangkai yang digunakan tentera Syria.



MAARET AL-NUMAN - Jet-jet tentera Syria melakukan serangan di bandar ini semalam ketika pihak tentera didakwa menggunakan bom berangkai.
Serangan itu dilakukan di bandar itu yang terletak di barat laut negara ini.
Bandar tersebut dianggap strategik di wilayah Idlib kerana ia telah ditawan para penentang tentera Bashar Al-Assad pada minggu lalu.
Sementara itu, para penentang menunjukkan kepada wartawan agensi berita AFP serpihan bom berangkai yang digunakan tentera Syria.
Menurut para penentang itu, bom tersebut digugurkan di beberapa kawasan penduduk.
Beberapa bom tersebutyang gugur tidak meletup.
Bom itu mempunyai aksara Cyril yang menyebakan ia dipercayai dibuat di Rusia.
Rusia merupakan sekutu utama Syria. Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch mendakwa Syria menggunakan bom berangkai.
Bagaimanapun, tentera Syria menafikan ia menggunakan bom tersebut.
Sebuah pertubuhan yang menyokong penentangan terhadap Bashar melaporkan bahawa bom tersebut digugurkan pada minggu lalu di bandar Saraqeb, utara Maaret Al-Numan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyatakan sebanyak 40 peratus bom itu gagal meletup.
Menurut pertubuhan itu, 98 peratus mangsa bom itu ialah orang awam termasuk kanak-kanak yang menyentuhnya kerana mereka menyangka ia merupakan alat permainan.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh.
Para penentang mahu menggulingkan Bashar yang dianggap gagal melaksanakan pembaharuan politik termasuk hak kebebasan bersuara.
- Agensi

Friday, October 19, 2012

Budak enam tahun juruhebah termuda


Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.
Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.
LONDON - Buku Rekod Guinness menamakan seorang budak perempuan berumur enam tahun, Amber Jacobs sebagai juruhebah paling mudah dalam gelombang udara.

Pada umur enam tahun, Amber  atau dikenali sebagai DJ AJ dikategorikan sebagai kanak-kanak matang, menjadi tajuk utama apabila berkongsi muzik yang digemarinya bersama pendengar selain tampil sensasi dalam internet.

Kehebatan Amber terdedah sejak enam bulan lalu, apabila dia membantu bapanya, Steve, seorang pengarah stesen radio internet TBFM Online memilih lagu untuk disiarkan.

Amber kini memiliki slotnya sendiri yang dikeudarakan dalam segmen bapanya dan Amber  bertanggungjawab memilih dan memainkan lagu selain bercakap dan memberi isyarat muzik.

Dalam satu temu bual bersama akhbar harian Britain, The Sun, Steve memberitahu anaknya itu sentiasa menari sebaik sahaja beliau menyiarkan muzik yang digemarinya di dalam studio.  - AFP

Newsweek tamatkan percetakan, beralih kepada majalah digital





Foto
MUKA depan majalah Newsweeek keluaran 29 Jun 2011 yang memaparkan mendiang Puteri Diana bersama menantunya, Kate Middleton jika beliau masih hidup dan berusia 50 tahun.

Foto
LAMAN berita dan blog The Daily Beast dan majalah Newsweeek yang dirakam jurugambar di Washington, Amerika Syarikat pada 12 November 2010. - Foto AFP



WASHINGTON: Newsweek hari ini mengumumkan ia akan menamatkan percetakan majalah berusia 80 tahun itu, dan menerbitkannya menerusi medium digital sebagai tanda industri itu sedang bergelut dalam era internet.

Ketua Pengarang dan pengasas Newsweek, Tina Brown, tidak mengatakan selamat tinggal kepada majalah itu. "Seperti majalah dan surat khabar Amerika Syarikat yang lain, Newsweek bergelut dengan kejatuhan menerusi keuntungan pengiklanan media cetak, pengedaran yang semakin merosot dan penghijrahan pembaca untuk berita online percuma,” katanya.
Edaran majalah itu jatuh daripada lebih empat juta sejak sedekad lalu kepada sekitar 1.5 juta tahun lalu. - AFP

44 maut mangsa serangan jet pejuang Syria



 
MAARET AL-NUMAN (Syria): Jet pejuang Syria meletupkan kawasan pemberontak di bandar Maaret al-Numan hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 44 orang awam, kata anggota penyelamat.

Anggota penyelamat berkata, letupan bom yang berlaku di bandar barat laut itu memusnahkan dua bangunan kediaman dan sebuah masjid, di mana ramai wanita dan kanak-kanak ditempatkan. Mereka ditahan oleh pemberontak pada 9 Oktober lalu dalam usaha mewujudkan zon penampan di sepanjang sempadan Turki.
"Kami berjaya mengeluarkan 44 mayat dari bawah runtuhan," kata anggota penyelamat. - AFP

Maaret al-Numan dibedil


Penduduk Syria mengeluarkan mayat seorang mangsa dari bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat bedilan tentera kerajaan di Maaret al-Numan, semalam. - AFP
MAARET AL-NUMAN, Syria 18 Okt. - Beberapa buah pesawat pejuang Syria melancarkan serangan terbaru ke atas bandar barat laut Syria yang ditawan pemberontak minggu lalu, awal pagi ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 44 termasuk kanak-kanak maut.
AFP melaporkan, serangan itu disasarkan di Maaret al-Numan, bandar strategik yang terletak berhampiran jalan raya menghubungkan antara Damsyik dan Aleppo.
Tentera pembelot yang menawan bandar ini sejak 9 Oktober lalu untuk menjadikan zon penampan sekitar sempadan Turki, cuba menembak pesawat tersebut menggunakan mesingan, namun tidak berjaya.
Seluruh bandar Maaret al-Numan dihujani serangan roket dan bedilan meriam, walaupun didakwa tidak sehebat pertempuran yang berlaku beberapa minggu lalu.
Semalam, sebuah helikopter milik tentera Syria ditembak di Maarhtat, pinggir Maaret al-Numan, menurut pemberontak dan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Dalam perkembangan lain di Syria, pertempuran tercetus di sempadan Lebanon dan Syria lewat malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan maut atau cedera.
Pegawai keselamatan Syria berkata, pasukan tenteranya bertindak menyerang Lebanon selepas penyerang tidak dikenali melepaskan tembakan merentasi sempadan berdekatan perkampungan Aboudiyeh, utara Lebanon.
“Satu daripada serangan itu mengena kawasan Nahr Kbir, menyebabkan penduduk di situ meninggalkan kediaman mereka untuk menyelamatkan diri," kata pegawai tersebut.
Menurutnya, penyerang Lebanon menggunakan mesingan untuk menyerang wilayah Syria, sementara tentera Syria membalas dengan bedilan kereta kebal dan mesingan.
“Tentera Lebanon memperhebatkan kawalannya dan walaupun pertempuran itu berhenti, situasi di situ masih lagi tegang," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121019/lu_01/Maaret-al-Numan-dibedil#ixzz29l7rhvKa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ramai wanita guna Internet jual, beli susu badan untuk bayi

       
LONDON: Ramai wanita di Britain dan Amerika Syarikat (AS) menjual susu mereka di Internet walaupun ia dibimbangi membahayakan bayi.

Media melaporkan, golongan ibu menggunakan forum komuniti, termasuk Facebook, untuk mendapatkan wang segera dengan menjual susu masing-masing.


Membeli susu kini menjadi cara baru ibu yang berdepan masalah mendapatkan susu sendiri bagi diberikan kepada bayi.

Laman sesawang seperti onlythebreast.com adalah satu daripada sumber bagi golongan ibu memperoleh bekalan susu yang diperlukan. Menurut laman sesawang itu, susu yang dijual atau dibeli mereka dipastikan berada dalam keadaan bersih dan selamat.


Semakan mendapati, ada wanita yang menawarkan susu di laman sesawang itu menetap di Essex hingga Newcastle dengan harga kira-kira �1 (RM5) setiap auns (28 gram) berbanding AS$2 (RM6) untuk jumlah sama di AS. - TS

Upah pekerja tampar jika layari Facebook




         
SAN FRANCISCO: Seorang juruprogram komputer mengupah seorang wanita untuk menamparnya setiap kali dia melayari Facebook ketika bekerja.

Maneesh Sethi membayar upah kira-kira RM25 sejam kepada wanita terbabit, dikenali sebagai Kara, bagi membantunya menumpukan perhatian kepada kerja, sekali gus meningkatkan produktiviti. Sebelum ini, Maneesh memaparkan iklan mencari seseorang yang mampu memerhatikannya bekerja di pejabat.


Kata Maneesh, dia malu selepas mendapati dia menghabiskan masa kira-kira 19 jam seminggu melayari Facebook.

“Saya membuat keputusan untuk bertindak selepas menyedari masa sebanyak itu diluangkan melayari laman sosial berkenaan,” katanya. Maneesh berkata, di depan komputer tanpa pengawasan menyebabkan seseorang hanya produktif tiga hari seminggu. - TS

Ney takut ditelan tandas

KETAKUTAN Ney kepada tandas bermula sejak dia melihat satu daripada adegan filem Look Who’s Talking Too (gambar kecil) pada 1990.
KETAKUTAN Ney kepada tandas bermula sejak dia melihat satu daripada adegan filem Look Who’s Talking Too (gambar kecil) pada 1990.
pix_topright 
LONDON: Seorang wanita yang mengalami rasa takut melampau kepada tandas, mengakui dia akan melarikan diri setiap kali mengepam tandas yang digunakan.
Alasannya dia bimbang tandas berkenaan akan menyedutnya. Justeru, setiap kali Ney Decino, 20, perlu ke tandas membuang air, dia terpaksa merayu kepada ahli keluarganya untuk menjadi peneman.

Mereka juga terpaksa mengepam tandas berkenaan selepas digunakan Ney. Fobia melampau itu turut membataskan pergerakan Ney dan terpaksa bekerja dekat dengan rumahnya supaya dia boleh menggunakan tandas yang dirasakannya selamat. Ibu kepada seorang anak itu berkata, bunyi air yang menderu ketika pam ditarik sangat menggerunkan.

“Sebaik tandas dipam, bunyi dan cara deruan air itu menyebabkan saya berlari jauh dari tandas,” katanya.

Menurut Ney, dia hanya boleh berada di sekitar tandas ketika ia dipam jika ada seseorang menemaninya. Kata Ney, ketakutannya bermula sebaik saja memasuki tandas.

“Semakin lama berada di tandas, ia semakin mencemaskan tetapi perasaan itu akan hilang apabila saya keluar dari situ,” katanya. Ketakutan Ney bermula sejak dia berusia empat tahun.


Katanya, ketika itu dia menonton babak tandas boleh berkata-kata dalam filem 1990, Look Who’s Talking Too.

Dalam filem itu, watak The Toilet Man yang digambarkan mempunyai mata besar, bertaring dan bersuara seram menjerit.

Babak itu, kata Ney, menghantuinya sehingga kini. “Ketika berusia 11 tahun, saya pernah terkencing dalam perjalanan pulang dari sekolah kerana saya terlalu takut menggunakan tandas,” katanya. Menurut Ney, dia menjadi lebih takut jika melihat deretan tandas.

“Kerana itu saya hanya masuk ke tandas awam jika benar-benar perlu,” katanya. - DM

Misi cipta rekod lebih laju daripada peluru




Imej yang dihasilkan dengan menggunakan komputer menunjukkan kereta roket yang akan dipandu McGlashan.


SYDNEY - Seorang pelumba Australia, Rosco McGlashan mahu mencipta rekod lebih laju daripada peluru pada 2014 dengan memandu sebuah kereta.
McGlashan percaya dia mampu mencipta rekod itu dengan memandu sebuah kereta yang dilengkapi teknologi roket pada kelajuan 1,609 kilometer sejam.
Kereta yang dipandunya akan bergerak lebih laju daripada sebutir peluru.
Kos bagi menghasilkan kereta itu ialah AS$4.2 juta (RM12.75 juta).
Kereta itu yang diberi nama Invader 5R sepanjang 16 meter.
Ia dijana kuasa roket dan menggunakan bahan bakar bio serta cecair oksigen. -
Dia dan anggota-anggota pasukannya akan menguji kereta tersebut pada tahun depan. - AFP

Google dedah pusat data




IMEJ yang tidak bertarikh menunjukkan sebuah pusat data Google di Hamina, Finland.


SAN FRANCISCO - Syarikat Google kelmarin mendedahkan gambar beberapa pusat datanya yang menunjukkan sejumlah komputer memproses permintaan pengguna internet.
Pusat itu memproses permintaan klip video YouTube dan menghantar e-mel kepada berjuta-juta orang.
Imej pusat data itu boleh dilihat menerusi laman web yang baharu diperkenalkan Google iaituwww.google.com/about/ datacenters/gallery/.
Laman tersebut memaparkan lapan buah pusat data utama yang terletak di Amerika Syarikat, Finland dan Belgium.
Google juga akan membina pusat data baharu di Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Chile. - Agensi

Jual lembu korban dengan cara yang unik



SEORANG jurujual wanita yang berpakaian seperti koboi mengiringi pelanggan wanita di bilik pameran jualan lembu di Depok semalam


DEPOK, Indonesia - Seorang ahli perniagaan, Ramdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi tempat jualan sejumlah lembu untuk dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.
Dia turut menggaji beberapa wanita yang memakai pakaian koboi untuk menjadi jurujual lembu dan melayan pelanggan-pelanggannya.
Jurujual wanita itu turut membawa komputer tablet yang mengandungi maklumat tentang lembu seperti umur, berat badan dan baka haiwan tersebut.
Para pembeli juga boleh membeli lembu itu dengan menggunakan kad kredit dan debit. - Agensi

Askar Syria perhebat serangan



Seorang penduduk Syria berjalan di celah-celah bangunan yang ranap akibat bedilan meriam dan serangan udara tentera Syria di utara bandar Aleppo, kelmarin. - AFP
BEIRUT 17 Okt. - Tentera Syria, semalam memperhebatkan serangan udara dan meriam ke atas kubu kuat pemberontak di utara negara ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh.
Serangan tersebut dilancarkan ketika agensi pemakanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang lebih ramai rakyat Syria terpaksa bergantung kepada bantuan Program Makanan Sedunia untuk meneruskan hidup sepanjang tempoh perang saudara itu.
Jurucakap kumpulan aktivis Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdul-Rahman berkata, pesawat-pesawat pengebom tentera Syria melancarkan serangan udara di dua wilayah yang bersempadan dengan Turki, Idlib dan Allepo.
Menurut Rami, serangan itu merupakan yang paling agresif dilancarkan sejak kumpulan pemberontak mengambil alih bandar Maaret al-Numan di Idlib pada 10 Oktober lalu.
Katanya. bandar tersebut terletak di sepanjang lebuh raya utama menghubungkan Aleppo dengan beberapa bandar lain di selatan, termasuk Homs dan ibu negara, Damsyik.
"Tentera kerajaan meningkatkan serangan udara sebagai usaha menghancurkan kumpulan pemberontak yang menguasai banyak kawasan di bahagian utara negara.
"Pesawat tentera Syria melancarkan sekurang-kurangnya 12 pengeboman dalam tempoh sejam di kawasan-kawasan terbabit," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121018/lu_01/Askar-Syria-perhebat-serangan#ixzz29jFNzsqV
© Utusan Melayu (M) Bhd