Pages

Tuesday, October 16, 2012

Sekolah Rusia larang murid perempuan Islam pakai tudung


MOSCOW 16 Okt. - Beberapa keluarga Islam tidak membenarkan anak perempuan mereka belajar di sekolah-sekolah di selatan Rusia selepas pihak sekolah melarang pemakaian tudung.
Mufti wilayah Stavropol, Muhammad-Haji Rakhimov semalam berkata, beliau menerima banyak aduan daripada beberapa keluarga yang mendakwa anak perempuan mereka tidak dibenarkan memakai tudung di sekolah.
Katanya, isu tersebut menemui gagal diselesaikan selepas ibu bapa murid dan pihak sekolah enggan mengalah, menyebabkan beberapa murid perempuan tidak hadir ke sekolah selama dua minggu.
"Ibu bapa murid perempuan tidak membenarkan anak mereka ke sekolah dan situasi itu boleh menyebabkan agensi kebajikan kanak-kanak campur tangan," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121016/lu_12/Sekolah-Rusia-larang-murid-perempuan-Islam-pakai-tudung#ixzz29UAtjeNj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ukiran labu menyeramkan

MENARIK...pelbagai bentuk ukiran Villafane.
MENARIK...pelbagai bentuk ukiran Villafane.
BELLAIRE: Inilah skulptur menyeramkan yang diukir daripada buah labu.
Artis, Ray Villafane dan Andy Bergholtz menghasilkan ciptaan Halloween yang menyeramkan ini di bengkel mereka.
Bekas guru seni, Villafane mula mengukir tanpa sebarang latihan dan hanya meyedari bakatnya selepas menawarkan khidmat mengukir labu kepada seorang muridnya.

Dia kini boleh mengukir buah berkenaan dalam masa hanya dua jam.


Villafane yang berasal dari Bellaire di Michigan, Amerika Syarikat berkata: “Selalunya saya tidak mempunyai idea ukiran yang hendak saya lakukan.

“Saya hanya mulakan ukiran dan idea kreatif itu akan datang.

“Hasilnya tidak semesti apa yang saya kehendaki dan selalu juga saya terpaksa buang labu itu dan memulakan yang baru.

“Labu itu adalah elemen paling penting dalam kerjaya saya. Saya akan mendapatkan kira-kira 50 jenis buah itu sebelum dapat menemui satu yang sesuai untuk diukir.

“Labu terbaik ialah yang lebih berat daripada saiznya. Ini bermakna ia tebal. Anda perlukan labu tebal supaya dapat mengukir imej 3-D daripadanya,” DM

Basikal kadbod dicipta




BASIKAL kadbod Gafni lebih ringan.


MOSHAV AHITUV, Israel - Seorang pencipta Israel, Izhar Gafni mencipta sebuah basikal yang hampir keseluruhan badannya diperbuat daripada kadbod.
Menurut Gafni, basikal itu dihasilkan selepas menjalani banyak ujian.
Beliau yang berusia 50 tahun berkata, pengeluaran basikal itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi dan akan dijual pada harga tidak lebih AS$20 (RM61.17).
"Semasa kami bermula (mencipta basikal tersebut) setahun setengah lalu, orang ramai ketawakan kami. Namun, kini kami menerima sebanyak 12 e-mel pada setiap hari untuk bertanyakan di mana mereka boleh membeli basikal itu," katanya.
Dia mencipta basikal itu di sebuah bengkel di sini.
Gafni meramalkan bahawa pada masa depan, kadbod mungkin digunakan dalam pembuatan kereta dan pesawat.
Kadbod dihasilkan daripada pulpa kayu yang dicipta pada abad ke-19. - Reuters

Kenderaan amfibia dijual di AS




KENDERAAN Quadski dipandu ke arah permukaan air di Oxford, Michigan pada 12 Oktober lalu.


DETROIT - Sebuah kenderaan amfibia yang boleh bergerak di permukaan air dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$40,000 (RM122,279).
Kenderaan itu dikeluarkan oleh syarikat Gibbs Sports Amphibians Incorporation di sini.
Pihak pengurusan syarikat itu berharap kenderaan tersebut yang bernama Quadski akan dijual di seluruh dunia menjelang 2014.
Ia menggunakan enjin yang dibekalkan syarikat pengeluar kenderaan BMW dan mempunyai satu tempat duduk.
Kenderaan itu boleh bergerak sejauh 72 kilometer sejam di daratan dan butang khas perlu ditekan jika penggunanya mahu ia bergerak di permukaan air.
Butang itu akan menyebabkan empat tayar kenderaan itu 'dilipat' bagi boleh membolehkannya bergerak di permukaan air pada kelajuan yang sama di daratan. - Agensi

Baumgartner lebih pantas daripada kelajuan bunyi




TERJUNAN yang dibuat Baumgartner.


WASHINGTON - Pelagak ngeri Austria, Felix Baumgartner menjadi manusia pertama bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi di luar sebuah kapsul kelmarin.
Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi.
Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium.
Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.
Kelajuannya mencecah 1,342 kilometer sejam (km/j).
Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.
Baumgartner, 43, kemudian mendarat dengan menggunakan payung terjun di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di dalam kapsul tersebut.
Baumgartner menanggalkan topi dan menggenggam kedua-dua tangannya selepas dia mendarat dengan selamat.
"Apabila saya berdiri di atas dunia, anda berasa rendah diri. Anda tidak berfikir tentang memecahkan rekod lagi. Anda juga tidak memikirkan untuk memperoleh data saintifik.
"Satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah pulang dengan selamat," katanya selepas dia selamat mendarat kepada wartawan stesen televisyen CBS.
Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat terjunan dari altitud tinggi.
Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.
Baumgartner menyatakan pengalamannya terjun dengan lebih laju daripada bunyi itu sukar untuk digambarkan.
"Anda tidak mengetahui kepantasan anda," katanya.
Rekod itu kemudian disahkan oleh jurucakap Persekutuan Aeronautik Antarabangsa (FAI) pada sidang akhbar di Roswell, New Mexico.
Presiden Austria, Heinz Fischer mengucapkan tahniah ekoran kejayaannya dalam projek terjunan anjuran Red Bull Stratos.
Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999. - Agensi

Monday, October 15, 2012

Berlian 400 tahun bakal dilelong

Berlian 400 tahun bakal dilelong:



NEW YORK 14 Okt. - Sebutir berlian berusia 400 tahun sebesar ibu jari orang dewasa yang dianggarkan bernilai lebih AS$15 juta (RM45 juta) bakal dilelong di Switzerland pada 13 November ini.
Berlian Archduke Joseph yang diberi nama sempena nama Putera Hungary, Archduke Joseph August itu dianggarkan 10 kali lebih berat berbanding cincin berlian yang dipakai aktres terkenal Hollywood, Jennifer Aniston.
Berlian milik Aniston itu dipercayai seberat 1.6 gram, manakala berlian Archduke Joseph pula seberat 15.2 gram.
Program stesen televisyen NMCToday yang memetik kenyataan Pengarah Bahagian Berlian firma lelongan Christie, Rahul Kadakia berkata, sukar untuk membayangkan saiz sebenar berlian Archduke Joseph itu.
"Berlian berkenaan dianggarkan sebesar telur burung puyuh dan benar-benar asli serta mempunyai warna yang terang," katanya.
Berlian tersebut dipamerkan di New York, hari ini sebelum dilelong pada jualan lelong Magnificent Jewel di Geneva, Switzerland, awal bulan depan.
Meskipun harganya dianggarkan bernilai AS$15 juta (RM45 juta), pakar berlian percaya harga barang kemas itu lebih mahal daripada itu.
Malah, beberapa pembeli dari Asia Barat, Asia dan Rusia telah menyatakan minat untuk membida berlian terbabit.
Menurut Kadakia, RM45 juta merupakan harga yang berpatutan dan pihaknya mengharapkan jualan berlian itu akan mencatat rekod baharu.
Firma Christie pernah menjual berlian tersebut pada harga AS$6.5 juta (RM13.5 juta) di Geneva pada 1993.
Berlian itu dilombong dari lombong Golconda di India dan tergolong sebagai antara berlian termahal di dunia termasuklah berlian Kohinoor milik koleksi kerabat Diraja Britain dan berlian Regent yang dipasang pada Mahkota Perancis. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121015/lu_07/Berlian-400-tahun-bakal-dilelong#ixzz29RUfdcfr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Derita hidup peniaga daging

Kosmo! Online - Negara:


MUTUKRISHNAN menunjukkan ibu jari tangan kanan yang didakwa dikerat ah long di Selayang, Selangor semalam.


SELAYANG – Seorang peniaga daging kambing tidak menyangka kehidupannya tidak pernah sunyi daripada penderitaan setelah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan sebuah syarikat kewangan berlesen pada tahun 2006 untuk tujuan menjalankan perniagaan.
Deritanya bermula apabila dia gagal menjelaskan baki pinjaman berkenaan sebanyak RM13,000 tahun lalu.
Akibatnya kepala dia ditetak dengan senjata tajam, telinga kanannya dihiris manakala dan ibu jari tangan kanannya dipotong tahun lalu.
Bagaimanapun mangsa, A. Mutukrishnan menerima satu lagi kejutan apabila dia dihalau dari rumahnya di Selayang di sini oleh pekerja syarikat kewangan berlesen itu baru-baru ini.
Alasan yang diberikan ialah rumah tersebut sudah digadai kepada bank.
“Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan itu, saya telah merujuk perkara tersebut ke bank berkenaan.
“Saya cukup terkejut apabila bank mengakui kelalaian mereka meluluskan proses tukar hak milik rumah tersebut kepada syarikat terbabit tanpa pengetahuan saya,” dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Perlumbaan lembu di sawah padi

Kosmo! Online - Dunia:




SEJUMLAH penonton menyaksikan pertandingan perlumbaan Pacu Jawi. - Agensi



PADANG PANJANG, Sumatera Barat – Satu perlumbaan lembu di kawasan sawah padi diadakan di sini kelmarin.
Sukan itu dikenali sebagai Pacu Jawi dalam kalangan penduduk Minangkabau.
Ia diadakan selepas musim menuai padi berakhir. Pada perlumbaan itu, seorang lelaki akan berdiri di atas sekeping papan yang ditarik dua ekor lembu.
Lelaki itu turut memukul ekor haiwan itu supaya berlari dengan lebih pantas untuk menewaskan pesaingnya. – Agensi

Syria didakwa guna bom berangkai

Kosmo! Online - Dunia:

SEORANG kanak-kanak yang cedera selepas terkena bedilan tentera Syria mendapat rawatan di sebuah hospital di Homs kelmarin. - Reuters


AMMAN - Sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa semalam menyatakan ia mempunyai bukti baharu bahawa tentera Syria menggunakan bom berangkai.
Bom itu diharamkan secara meluas kerana penggunaannya memberi risiko yang besar terhadap manusia.
Ia boleh digunakan di sebuah kawasan yang besar dan hanya akan meletup jika disentuh penduduk.
Seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch (HRW) Steve Goose menyatakan, bom tersebut telah diharamkan di kebanyakan negara.
Menurutnya, Syria sepatutnya menghentikan penggunaan bom tersebut yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh.
"Sebelum ini, HRW melaporkan tinggalan bom berangkai ditemui di Homs dan kawasan berdekatan Hama pada musim panas," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengumumkan bahawa pihaknya melarang penerbangan awam Syria memasuki ruang udara negaranya.
Tindakan itu dilakukan sehari selepas Syria melarang pesawat awam Turki memasuki negaranya.
Davutoglu berkata, larangan itu dilaksanakan selepas sebuah pesawat awam Syria membawa peralatan ketenteraan ketika menggunakan ruang udara Turki.
Pada minggu lalu, Turki memaksa sebuah pesawat penumpang Syria yang berlepas dari Moscow mendarat di sebuah lapangan terbang negara tersebut.
Anggota-anggota pihak berkuasa kemudian merampas peralatan ketenteraan dari pesawat tersebut yang dalam penerbangan ke Damsyik.
Bagaimanapun, Rusia menyatakan pesawat berkenaan membawa peralatan ketenteraan.
Insiden itu berlaku selepas tentera Turki dan Syria saling berbalas bedilan meriam di kawasan sempadan.
Sebuah akhbar melaporkan, Turki menambah bilangan kapal tentera laut di sepanjang pantai negaranya di utara Syria.
Menurut akhbar Hurriyet, kapal-kapal itu dilengkapi meriam dan sistem pertahanan antipeluru berpandu serta antikapal.
Pergolakan di Syria masih belum berakhir apabila kumpulan pemberontak masih berjuang menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.
Kebangkitan rakyat di Syria bermula pada Mac lalu dan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak para pemberontak bertempur menentang tentera Syria. - Agensi

Sunday, October 14, 2012

Labi-labi gergasi ditangkap

Labi-labi gergasi ditangkap:


BEBERAPA penduduk kampung mengangkat labi-labi gergasi seberat 100 kilogram yang ditemui di Bojonegoro, Jawa Timur, baru-baru ini. - AGENSI
BOJONEGORO, Jawa Timur - Misteri kemunculan seekor labi-labi gergasi yang sering dilihat penduduk Kampung Pucangarum di sini akhirnya terjawab selepas haiwan itu ditangkap ketika cuba menyeberangi Sungai Bengawan Solo.
Malah beberapa penduduk tempatan terpaksa bekerja keras untuk menangkap labi-labi seberat kira-kira 100 kilogram tersebut dan membawanya ke darat sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Menurut seorang penduduk kampung, Darun, labi-labi gergasi berwarna perang itu mempunyai ukuran panjang 1.4 meter dan lebar 93 sentimeter.
Katanya, haiwan amfibia itu dipercayai berusia beratus-ratus tahun berdasarkan warna kulitnya.
"Pada mulanya, kami hanya melihat kepalanya dan penduduk kampung tidak berani untuk menangkapnya," katanya kepada beritatajim.com.
Darun bersama empat rakannya, Wito, Sarijan, Purdi dan Kusni terpaksa memanggil lebih ramai penduduk untuk membantu mereka menangkap labi-labi tersebut sebelum membawanya ke darat.
Malah semasa mengangkat labi-labi itu keluar dari air, seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Kasan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat digigit haiwan itu.
Beberapa penduduk kampung mendakwa, mereka sering melihat labi-labi gergasi itu sebelum ini, namun hanya untuk tempoh yang singkat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_10/Labi-labi-gergasi-ditangkap#ixzz29LfJ3UhO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Pontianak ditimpa hujan ais

Penduduk Pontianak ditimpa hujan ais:


Sejumlah ketulan ais yang turun berserta hujan di Pontianak, baru-baru ini. - AGENSI
PONTIANAK, Kalimantan Barat - Bandar Pontianak dan daerah Kubu Raya di sini baru-baru ini, digemparkan dengan fenomena hujan ais berserta angin kencang.
Menurut seorang penduduk tempatan, Dewi, fenomena yang berlaku pada waktu petang itu merupakan kejadian pertama yang melanda bandar ini.
"Pada mulanya, saya menyangka ada orang membaling batu ke arah saya. Namun apabila diteliti, batu tersebut adalah ais dan jumlahnya semakin banyak.
"Ais yang turun berserta hujan lebat itu berukuran seperti batu kerikil," katanya kepada Metrovnews.com.
Seorang lagi penduduk, Erwin Harahap berkata, dia ditimpa hujan ais ketika sedang membaiki radio di belakang rumahnya.
"Rasanya sakit seperti terkena batu," ujarnya.
Pegawai Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pontianak, Sutikno berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan proses kondensasi di atmosfera melalui lapisan sejuk di atas paras beku.
"Ais akan terbentuk dalam ukuran yang besar, namun saat turun bersama hujan, saiz ais akan berubah menjadi kecil disebabkan perubahan suhu.
"Hujan ais ini akan berlanjutan selama beberapa hari. Oleh itu, penduduk perlu berhati-hati agar tidak terkena ketulan ais," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_11/Penduduk-Pontianak-ditimpa-hujan-ais#ixzz29LfA32bC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peti sejuk punyai ciri-ciri dapur lengkap

Peti sejuk punyai ciri-ciri dapur lengkap:


Peti sejuk La Cambusa dibina dengan ciri-ciri moden menyerupai sebuah dapur lengkap. - Agensi
LONDON 12 Okt. - Pembuat peti sejuk dari Itali, Meneghini menghasilkan sebuah peti sejuk serbaguna moden yang mempunyai ciri-ciri sebuah dapur lengkap.
Peti sejuk tiga pintu itu dinamakan sebagai La Cambusa yang mampu menempatkan pembancuh kopi, tempat simpanan makanan yang mempunyai pengawal suhu dan pembuat ais.
Malah, sebuah televisyen juga boleh diletakkan dalam satu ruangan khas.
Peti sejuk yang kelihatan seperti perabot antik itu berukuran 2.5 meter lebar dengan berat 499 kilogram serta mempunyai ruang simpanan sehingga 754 liter.
La Cambusa dijual pada harga sehingga AS$41,500 (RM127,312) dan disasarkan untuk dijual kepada golongan mewah.
Bagaimanapun, peti sejuk itu masih boleh ditempah mengikut keperluan pembeli.
Mereka perlu membayar sejumlah AS$26,000 (RM79,761) untuk bingkai peti sejuk yang diperbuat daripada kayu dan ia boleh dicat mengikut lebih 500 warna.
Pembeli kemudiannya perlu membayar sama ada untuk peti sejuk, tempat penyimpanan gelas dan perkakas lain mengikut kemahuan mereka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_08/Peti-sejuk-punyai-ciri-ciri-dapur-lengkap#ixzz29LexZUS4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kad kredit berkompas

Kad kredit berkompas:


Kad kredit MasterCard dikeluarkan Bank Al Hillal turut tidak mengenakan faedah terhadap penggunanya. - Agensi
ABU DHABI 13 Okt. - Sebuah bank di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bank Al Hillal memperkenalkan kad kredit dilengkapi kompas yang menunjukkan arah kiblat.
Pengenalan kad kredit MasterCard baru itu adalah sempena pelaksanaan undang-undang syariah mengharamkan faedah dikenakan terhadap pinjaman di negara-negara Arab.
Jurucakap Mastercard, Hames Issokson berkata, pihaknya melihat terdapat peningkatan terutama di Asia Barat untuk perbankan Islam dan dalam kes itu, pengeluaran kad kredit mengikut undang-undang syariah.
Selain kompas, katanya, pemilik kad kredit baru itu akan mendapat beberapa faedah lain iaitu baucer perjalanan untuk mengerjakan haji.
"Sejumlah wang daripada penggunaan kad kredit itu juga akan didermakan kepada badan kebajikan tempatan,'' katanya kepada agensi berita, NBCNEWS.com.
Operator kad kredit di negara-negara Arab akan melaksanakan yuran kad selepas mereka dilarang mengenakan faedah ke atas pinjaman dibuat oleh pelanggan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_07/Kad-kredit-berkompas#ixzz29Le7UkQj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konflik Syria: 33,082 terkorban

Konflik Syria: 33,082 terkorban:
BEIRUT 14 Okt. - Pertumpahan darah di Syria telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33,082 orang dengan kebanyakannya adalah orang awam, kata Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam.
Kira-kira 1,000 orang telah terbunuh dalam tempoh lima hari lalu sahaja, kata badan yang berpangkalan di Britain itu.
“Ini adalah perang dan tidak ada cara lain untuk menggambarkan kekejaman di Syria," kata pengarah pertubuhan, Rami Abdel Rahman.
Sekurang-kurangnya 23,630 orang awam telah dibunuh, diikuti 8,211 tentera dan 1,241 adalah tentera yang berpaling tadah yang menyertai pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_10/Konflik-Syria-33082-terkorban#ixzz29LaTbIFh 
© Utusan Melayu (M) Bhd '

Lelaki temui al-Quran tertua

Berita Harian | Lelaki temui al-Quran tertua:

Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Manama: Seorang lelaki Yaman mendakwa menemui sebuah manuskrip lama yang dipercayai paling tua iaitu naskhah Al-Quran.

Kitab suci umat Islam itu ditemui di dalam penutup kulit dalam sebuah gua di pergunungan selatan bandar Dhale, di bahagian selatan negara itu, lapor halaman web berita Yaman berbahasa Arab, Aden Gulf News. 
Perkataan “Manuskrip ini ditulis tangan pada 200 Hijrah (815 Masihi) tertulis pada halaman pertama dan ujian awal menunjukkan bahawa naskhah berkenaan adalah tulen, menjadikan ia kitab Al-Quran tertua masih wujud. 

Berdasarkan halaman web itu, huruf Arab tidak mempunyai titik yang hanya diperkenalkan pada peringkat akhir dalam abjad Arab untuk membezakan ia dengan huruf lain yang kelihatan sama.

“Pemuda yang enggan dikenali itu dilaporkan turut menerima tawaran sejumlah 
besar wang bagi menukar manuskrip berkenaan termasuk sejumlah YR12 juta (RM170,664) yang ditawarkan kepadanya, tetapi enggan berbuat demikian,” kata saudara terdekatnya.

Katanya beliau tiba di gua gunung berkenaan dengan mendaki menggunakan tali dan menegaskan itu hanya satu-satu cara untuk ke sana.
Halaman berita itu mendakwa lelaki berkenaan juga menemui sebilah pedang bersebelahan naskhah al-Quran tyang dipercayai milik Ali Bin Abu Talib, Khalifah keempat Islam yang juga menantu Nabi Muhammad.

Beberapa perakuan sejarah mengatakan bahawa ia adalah pedang Dhu Al Faqqar yang dihadiahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ali. - Agensi

Aktivis remaja ditembak Taliban stabil

Kosmo! Online - Dunia:



MURID-MURID perempuan sebuah sekolah rendah di Peshawar berdoa untuk kesejahteraan aktivis remaja, Malala Yousafzai yang cedera
ditembak di kepala.



ISLAMABAD - Seorang pelajar perempuan yang ditembak di kepala oleh anggota kumpulan Taliban berada dalam keadaan stabil ketika rakyat negara ini terus berdoa agar dia cepat sembuh.
Insiden Malala Yousafzai, 14, ditembak yang berkempen untuk menuntut hak pendidikan, mendapat kecaman daripada seluruh dunia, malah pihak berkuasa Pakistan menawarkan ganjaran lebih AS$100,000 (RM305,780) bagi menangkap penyerangnya.
"Kondisi kesihatan Malala semakin memuaskan. Organ-organ pentingnya baik dan dia masih menggunakan ventilator. Sepasukan doktor juga ditugaskan untuk memantau keadaannya," jelas satu kenyataan daripada tentera Pakistan. Dia kini dirawat di sebuah hospital tentera terkenal di Rawalpindi.
Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf melawat Yousafzai dan dua orang rakannya yang cedera pada Jumaat. Mereka cedera apabila seorang lelaki bersenjata tiba-tiba masuk ke dalam bas sekolah dan melepaskan tembakan pada Selasa lalu.
"Ini bukan jenayah ke atas individu. Tetapi jenayah terhadap kemanusiaan serta serangan ke atas nilai sosial," kata Ashraf.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Saleem Bajwa semalam menyatakan tempoh 36 hingga 48 jam adalah kritikal buat Yousafzai.
Semalam, para pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara itu membaca doa buat Yousafzai. Masjid-masjid dan rumah ibadat lain turut mengadakan upacara khas untuk mendoakan Yousafzai. - AFP

'via Blog this'

Saturday, October 13, 2012

Bola mata gergasi ditemui di pantai AS

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR yang disiarkan Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Ikan Florida kelmarin menunjukkan bola mata gergasi yang ditemui di Pantai Pompano, Florida.


PANTAI POMPANO, Florida - Beberapa saintis Amerika Syarikat (AS) cuba menyelesaikan misteri satu bola mata gergasi yang ditemui di sini.
Mata gergasi yang sebesar bola lisut itu ditemui oleh seorang lelaki semasa dia berjalan pada Rabu lalu.
Beberapa pegawai hidupan liar menyatakan mata itu mungkin milik sotong gergasi atau ikan paus kerana ia ditemui di pantai.
Mata tersebut kini disimpan di sebuah makmal Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Ikan Florida (AS) untuk dikaji bagi menentukan sama ada ia milik haiwan hidupan laut.
Ia disimpan dalam larutan formalin bagi mengelak berlakunya proses pereputan. - Agensi

'via Blog this'

Juruterbang pamer kemahiran kendali jet F/A 18




'AWAN' terbentuk semasa jet F/A 18 terbang di Axalp kelmarin.


AXALP - Beberapa juruterbang tentera Switzerland menunjukkan kemahiran mereka mengendalikan jet F/A 18 buatan Amerika Syarikat di sini kelmarin.
Salah seorang juruterbang itu menghasilkan 'awan' pada satu demonstrasi yang disaksikan sejumlah orang.
'Awan' itu terbentuk apabila berlaku tekanan yang sangat rendah pada aliran udara di sekitar jet tersebut.
Axalp merupakan kawasan pergunungan yang menjadi destinasi pelancongan popular di negara ini. - Agensi

Turki hantar jet ke sempadan Syria



ASAP akibat serangan mortar dan senjata kelihatan semasa kumpulan pemberontak bertempur dengan tentera Syria di bandar Azmarin yang terletak di sempadan Turki kelmarin.


ANKARA - Turki menghantar sebuah jet semalam selepas sebuah helikopter tentera Syria membedil bandar Azmarin dekat sempadan negara itu, kata seorang pegawai kepada agensi berita AFP.
"Jet itu berlepas dari pangkalan Diyarbakir di tenggara Turki selepas rejim Syria menghantar sebuah helikopter untuk membedil Azmarin yang ditawan kumpulan pemberontak," kata pegawai tersebut.
Hubungan antara kedua-dua buah negara sejak kebelakangan ini tegang ekoran kebangkitan penduduk Syria yang menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.
Kebangkitan rakyat yang menentang Bashar itu dilakukan menerusi pertempuran dengan tentera Syria di kebanyakan tempat di negara tersebut.
Kelmarin, pihak berkuasa Turki menahan sebuah pesawat penumpang Syria yang dalam penerbangan dari Moscow ke Damsyik kerana disyaki membawa kargo berisi komponen senjata.
Kargo itu kemudian dirampas sebelum pesawat tersebut yang membawa 35 penumpang dibenarkan meneruskan penerbangan selepas ditahan di Lapangan Terbang Esenboga 28 kilometer ke timur laut Ankara.
Bagaimanapun, sebuah akhbar Rusia, Kommersant melaporkan bahawa pesawat itu membawa radar dan bukannya senjata.
Menurut akhbar itu, pesawat tersebut membawa 12 kotak yang mengandungi radar untuk digunakan dalam sistem pertahanan peluru berpandu Syria.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemberontak membunuh 14 askar Syria dalam satu serangan di sebuah pos tentera di wilayah Daraa semalam.
Enam anggota pemberontak turut terbunuh dalam serangan itu.
Kematian itu berlaku sehari selepas 92 askar Syria terbunuh yang merupakan angka kematian anggota tentera paling ramai dicatatkan sejak kebangkitan rakyat negara tersebut berlaku pada Mac tahun lalu.
Lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak konflik di negara Syria itu berlaku. - Agensi

Friday, October 12, 2012

Kebakaran asrama pekerja di China, 12 terbunuh

Kebakaran asrama pekerja di China, 12 terbunuh:

BEIJING 11 Okt. - Sekurang-kurangnya 12 pekerja pembinaan terbunuh dan 24 lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah asrama pekerja di barat laut China, semalam.
Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan melaporkan, kebakaran tersebut berlaku di tapak projek pembinaan terowong yang dibiayai oleh syarikat lintasan kereta api, China Railway 18th Bureau Group di Zhouzhi dekat wilayah Shaanxi.
Menurut laporan tersebut, dua mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar daripada hospital manakala yang lain masih mendapatkan rawatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121011/lu_16/Kebakaran-asrama-pekerja-di-China-12-terbunuh#ixzz299yxE3Ws
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pertempuran di Syria, 69 lagi terbunuh

Pertempuran di Syria, 69 lagi terbunuh:

'via Blog this'
Anggota Tentera Pembebasan Syria berkeliaran di bandar Marat al-Numan selepas berjaya menawan bandar itu pada 9 Oktober lalu. - REUTERS
BEIRUT 11 Okt. - Sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam pertempuran terbaru antara tentera Syria dan pemberontak di beberapa bandar di utara negara itu, menurut Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, hari ini.
Angka kematian itu termasuk 15 orang awam, 21 anggota tentera dan 33 pemberontak, dalam pertempuran di wilayah utara Idlib, termasuk di kawasan Maaret al-Numan dan beberapa bandar sekitar lebuh raya yang menghubungkan antara Damsyik dan Aleppo, semalam.
Pesawat pejuang tentera turut bertindak mengebom kubu kuat pemberontak di bandar Homs dan meneruskan serangan awal pagi ini di bandar Maaret al-Numan, yang ditawan pemberontak selepas pertempuran selama 48 jam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121012/lu_02/Pertempuran-di-Syria-69-lagi-terbunuh#ixzz299ymlZjF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi kuat di Kepulauan Aru, Indonesia

Gempa bumi kuat di Kepulauan Aru, Indonesia: "KUALA LUMPUR 12 Okt. - Gempa bumi kuat bermagnitud 6.6 pada skala Richter berlaku di Kepulauan Aru, Indonesia pada pukul 8.31 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berpusat di 5.1 darjah Selatan dan 134.1 darjah Timur, 567 kilometer tenggara dari Sorong, Indonesia dan 2,029 kilometer tenggara dari Semporna, Sabah.

Menurut kenyataan itu, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. UTUSAN"

'via Blog this'

Gempa bumi sederhana gegar Costa Rica

Gempa bumi sederhana gegar Costa Rica:

MANUEL ANTONIO 11 Okt. - Satu gempa sederhana berukuran 5.3 skala Richter menggegarkan barat Costa Rica semalam, lapor Pusat Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Menurut USGS, gempa tersebut berlaku di 43 kilometer di selatan bandar Liberia pada kedalaman 35.6 kilometer.
Tiada kecederaan dan kemusnahan dilaporkan dalam kejadian tersebut. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121011/lu_17/Gempa-bumi-sederhana-gegar-Costa-Rica#ixzz299y6gvWG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Pelajar pulang cek RM2.1 trilion

Pelajar pulang cek RM2.1 trilion - Global - Sinar Harian:

FORT BENNING - Seorang pelajar, Allen Smith menerima cek daripada Hal Ehwal Veteran (VA) RM1,988 ($650) setiap bulan.
Namun kali ini jumlah diterima mencecah setengah bilion dollar.
Smith yang berusia 22 tahun itu menerima cek daripada Jabatan Perbendaharaan untuk membantu menampung yuran pengajian kerana ayahnya pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat.
Ibu Smith, Patricia Attwood Smith berkata, “dia segera pergi ke pejabat VA di Fort Benning dan memulangkan cek itu."
Dia kagum dengan anaknya itu dan tahu ayahnya turut akan berbangga dengan tindakan anaknya itu.
Sehingga kini, cek RM2,110,174,031 (AS$690,000,000) itu masih misteri.
Smith diberitahu bahawa cek itu mungkin tersalah cetak atau pejabat itu digodam.
Penyelia VA menjamin cek itu akan dikembalikan kepada yang berhak.

'via Blog this'

Pemuda temui al-Quran tertua

myMetro | Pemuda temui al-Quran tertua: "MANAMA: Seorang pemuda Yaman, mendakwa menemui manuskrip tertua al-Quran.

Kitab Suci itu ditemui di dalam sarung kulit di sebuah gua di kawasan pergunungan selatan bandar Dhale di bahagian paling selatan negara ini, lapor laman berita, Aden Gulf News, semalam.
Ayat “manuskrip ini ditulis tangan pada 200 Hijrah (815 Masehi)” tertulis di muka surat pertama dan ujian awal mendapati manuskrip itu asli, menjadikan ia al-Quran tertua ditemui.

Menurut laman berita itu, tulisan Arab itu tidak mempunyai titik seperti yang diperkenalkan pada peringkat terkemudian dalam huruf Arab untuk membezakan huruf yang hampir sama.


Pemuda yang tidak didedahkan namanya itu ditawarkan wang yang banyak untuk manuskrip itu, termasuk YR 12 juta (RM171,511), tetapi pemuda itu menolak kerana mahu menyimpannya, kata saudaranya.


Menurutnya, dia berjaya turun ke gua itu dengan menggunakan tali kerana hanya itu saja caranya untuk masuk ke gua itu.

Laman berita itu berkata, pemuda itu turut menemui sebilah pedang di sebelah al-Quran itu, dipercayai kepunyaan Ali bin Abi Talib, menantu Nabi Muhammad. - Arab News"

'via Blog this'

Turki tahan pesawat Syria

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR menunjukkan sebuah pesawat penumpang Syria yang ditahan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara semalam.


ANKARA - Turki telah mengarahkan sebuah pesawat penumpang Syria yang dalam penerbangan dari Moscow untuk mendarat di Ankara semalam selepas menerima laporan bahawa pesawat itu disyaki membawa kargo berisi komponen senjata.
Tindakan Turki itu sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara dua buah negara jiran itu.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, pihak berkuasa menahan kargo yang terdapat di dalam pesawat penumpang Syria itu kerana disyaki berbahaya.
Pesawat itu dalam penerbangan menuju ke Damsyik.
Agensi media Anatolia memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, pihaknya mengesyaki pesawat tersebut membawa kargo senjata.
"Terdapat kargo yang haram di dalam pesawat itu yang sepatutnya dilaporkan selaras dengan peraturan penerbangan awam," kata Davutoglu.
Menurutnya, kargo itu akan ditahan buat sementara waktu.
Turki menghantar dua buah jet untuk mengarahkan pesawat Airbus A-320 itu mendarat di Ankara kerana disyaki membawa senjata dan peluru.
Menurut rangkaian berita NTV, kargo yang dirampas itu dipercayai komponen peluru berpandu.
Bagaimanapun, stesen televisyen TRT membuat spekulasi bahawa kargo tersebut mengandungi peralatan komunikasi yang menuju ke Damsyik.
Pesawat itu dibenarkan untuk meninggalkan Lapangan Terbang Esenboga di sini selepas sembilan jam ditahan.
Seramai 35 penumpang berada di dalam pesawat itu.
Menurut agensi berita Interfax, seramai 17 penumpang pesawat itu ialah warga Rusia termasuk kanak-kanak.
Kedutaan Rusia di Ankara telah menghubungi pemerintah Turki untuk mendapatkan penjelasan.
Bagaimanapun, Davutoglu menyatakan insiden tersebut tidak akan menjejaskan hubungan antara Turki dengan Rusia.
Ketika ini Syria dilanda pergolakan ekoran kumpulan pemberontak mahu menyingkirkan Presiden Bashar Al-Assad.
Pertempuran antara para pemberontak dan tentera Syria itu berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang terbunuh. - Agensi

'via Blog this'

Thursday, October 11, 2012

Tentera Syria balas bedil

Tentera Syria balas bedil - Global - Sinar Harian:

Tentera Syria balas bedil
Tentera kerajaan memperhebatkan serangan mereka di kawasan tawanan pemberontak.
DAMSYIK - Kumpulan tentera kerajaan memperhebatkan lagi serangan mereka terhadap kawasan-kawasan tawanan pemberontak di seluruh negara terutama sekali di wilayah Idlib dan Homs.

Menurut aktivis, jet pejuang tentera Syria membedil bom ke kawasan bandar Maarat Al-Numan di Idlib, kelmarin, memaksa penduduk mengosongkan kediaman mereka.

Pada hari sama, ibu negara Syria turut bergegar dengan bedilan bom oleh tentera kerajaan.

Jurucakap kerajaan mendedahkan, serangan bom berani mati melibatkan sebuah kereta berlaku berhampiran kawasan perisikan Syria di Harasta, pinggir bandar Damsyik sementara satu lagi letupan meletus di wilayah Jobar.

Di Homs, pertempuran berdarah dilaporkan tercetus di antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak yang menawan kawasan itu sejak 120 hari lalu.

Wilayah utara Aleppo dan timur Deir Az-Zor turut menjadi lokasi pertempuran dua kumpulan itu.

Di wilayah selatan Derra, pertempuran yang tercetus di Karak Al-Sharqi menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh termasuk lima pemberontak tempatan. - Al-Jazeera

'via Blog this'

Serangan balas selatan Thailand, 11 pemisah Islam maut

Serangan balas selatan Thailand, 11 pemisah Islam maut - Global - Sinar Harian:

Serangan balas selatan Thailand, 11 pemisah Islam maut
Anggota tentera menjalankan siasatan di lokasi kejadian di wilayah Pattani, Thailand.
BANGKOK -  Seramai 11 individu disyaki dari puak pemisah Islam, maut dalam serangan balas di beberapa lokasi di selatan Thailand.

Polis tempatan berkata, serangan itu turut meragut tiga askar ketika menuju ke wilayah Pattani, kelmarin.

“Empat penoreh getah dibunuh oleh dua lelaki bersenjata di lokasi sama semalam,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi dibunuh ketika sedang memandu dalam perjalanan menuju ke wilayah Yala manakala dua lagi ditembak mati di wilayah Songkhla.

“Kejadian serangan ini makin serius sejak bulan ini dengan lebih 15 nyawa terkorban sejak April lalu. - AP

'via Blog this'

Abu Hamza hadapi 11 tuduhan di AS

Abu Hamza hadapi 11 tuduhan di AS - Global - Sinar Harian:

Abu Hamza al-Masri
Abu Hamza al-Masri
NEW YORK - Seorang ulama Islam, Abu Hamza al-Masri yang pernah menyifatkan Osama bin Laden sebagai “seorang hero”, semalam mengaku tidak bersalah terhadap 11 tuduhan berkaitan keganasan.

Dia diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS)  dari Britain minggu lalu untuk menghadapi perbicaraan.

Jika disabit bersalah, Abu Hamza boleh dihukum penjara seumur hidup.

Hakim Katherine Forrest menetapkan tarikh perbicaraan 26 Ogos depan untuk Hamza, 54, pendakwah kelahiran Mesir yang kehilangan kedua-dua belah tangan dan sebelah matanya buta selepas mengalami kecederaan ketika beliau melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Afghanistan pada 1980an.

Hamza telah dituduh pada 2004 kerana terlibat  dalam menahan tebusan pada 1998 di Yaman yang menyebabkan kematian tiga warga Britain dan Australia.

Beliau turut didakwa menyediakan keperluan untuk menyokong rangkaian al-Qaeda dengan membangunkan kem latihan di Oregon dan cuba untuk menguruskan bantuan kepada Taliban di Afghanistan.

Melalui peguamnya, Hamza meminta supaya beliau dirujuk sebagai Mustafa Mustafa Kamel iaitu nama beliau ketika lahir dan bukannya Abu Hamza.

Jeremy Schneider, peguam yang dilantik oleh mahkamah, memberitahu hakim bahawa anak guamnya ingin membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dakwaan.

"Adakah itu rayuan anda, Mustafa?" hakim bertanya.

"Ya," jawab Abu Hamza.

Sementara itu, di Washington, Peguam Negara, Eric Holder memberitahu pemberita, lima suspek keganasan kini “akhirnya berada di sini.”

"Kini mereka akan diadili di sini dan saya fikir ia adalah satu perkara yang baik," ujar Holder.

'via Blog this'

Pemandu teksi diberi AS$2,000 kerana bersikap jujur

Kosmo! Online - Dunia:


WOLDEMARIM berdiri di depan teksinya di Las Vegas pada 5 Oktober lalu.


LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang pemandu teksi di sini, Adam Woldemarim diberi ganjaran sebanyak AS$2,000 (RM6,148) oleh pemilik wang tunai berjumlah AS$221,510 (RM680,927), lapor agensi berita AP semalam.
Pemilik wang tersebut yang merupakan seorang pemenang permainan judi memberikan ganjaran itu kerana berasa gembira dengan sikap Woldemarim.
Woldemarim, 42, yang berasal dari Habsyah menemui wang tersebut semasa dia membersihkan teksinya pada 2 September lalu.
Wang tunai itu tersimpan di dalam sebuah beg komputer riba.
Dia kemudian menghubungi seorang rakannya yang pernah memandu teksi itu.
Bagaimanapun, rakannya itu yang juga berasal dari Habsyah menafikan wang tersebut miliknya.
Rakannya itu meminta dia memberitahu pejabat keselamatan syarikat yang memiliki teksi berkenaan.
Woldemarim kemudian membuat laporan di pejabat keselamatan itu yang kemudian menghubungi polis.
Seorang pengawal keselamatan merakamkan gambar wang itu.
Sejam kemudian, Woldemarim dihubungi seorang pengawal keselamatan supaya datang semula ke pejabat tersebut.
Dia menemui pemilik wang tersebut yang berada di pejabat berkenaan.
Pemilik wang itu sebelum ini telah menghubungi syarikat teksi berkenaan bagi memberitahu dia tertinggal wang itu semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang. - Agensi

'via Blog this'

Amra dipilih sebagai datuk bandar wanita pertama Bosnia

Kosmo! Online - Dunia:


amra


VISOKO, Bosnia-Herzegovina - Seorang ibu kepada tiga orang anak, Amra Babic merupakan datuk bandar wanita yang pertama memakai tudung di negara ini.
Menurut Amra, rakan-rakannya menunjukkan semangat yang jitu kerana memilih beliau sebagai datuk bandar.
Amra, 43, memenangi 30 peratus undi pada pilihan raya datuk bandar di sini yang didiami 40,000 penduduk.
Beliau merupakan ahli ekonomi dan pernah menjadi menteri kewangan untuk wilayah Zenica mewakili Parti Tindakan Demokratik.
"Saya percaya tudung kepala saya tidak akan menjadi penghalang (untuknya melaksanakan tugas)," katanya kelmarin.
"Saya tidak akan menyalahgunakan politik untuk kepentingan agama," tambahnya yang dipilih para pengundi pada Ahad lalu.
Suaminya terbunuh dalam Perang Bosnia yang berlaku pada 1992 hingga 1995. - AFP

'via Blog this'

Tentera Syria bedil Homs, penduduk terkepung

Kosmo! Online - Dunia:
GAMBAR yang diperoleh menerusi video menunjukkan kepulan asap di bandar Homs akibat bedilan tentera Syria kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria semalam membedil bandar Homs pada awal pagi dan di bandar Qusayr dekat sempadan Lebanon, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Pihak tentera telah meningkatkan operasi ketenteraan di Homs dan Qusayr yang telah dikepung sejak beberapa bulan lalu.
Seorang aktivis di Bandar Lama Homs menyatakan, semua kawasan di daerah tersebut telah dikepung.
"Tiada jalan keluar. Situasi kini amat buruk dan membuat setiap penduduk menangis," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bilal.
"Hospital-hospital dipenuhi dengan ramai penduduk yang cedera dan memerlukan pembedahan. Tiada sebarang jalan keluar," tambahnya.
Bandar tersebut telah dikepung lebih empat bulan oleh tentera Syria yang berdepan dengan tentangan kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak itu menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
"Kami menghubungi Jawatankuasa Antarabangsa Palang merah dan Bulan Sabit untuk datang bagi menghulurkan bantuan," kata aktivis itu.
Sementara itu, Turki memberi amaran akan menyerang balas dengan lebih hebat jika bedilan mortar dan meriam mengenai wilayahnya.
"Kami akan bertindak balas dengan serangan lebih hebat," kata Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Necdat Ozel.
Pada minggu lalu, Turki dan Syria saling berbalas bedilan di kawasan sempadan sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik di Syria akan merebak di rantau tersebut.
Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi

'via Blog this'