Pages

Monday, June 25, 2012

116 lagi korban konflik di Syria

PENENTANG kerajaan Syria membawa sepanduk tertulis perkataan bermaksud ‘Wahai Bashar kamu akan hancur’

PENENTANG kerajaan Syria membawa sepanduk tertulis perkataan bermaksud ‘Wahai Bashar kamu akan hancur’
Tentera Damsyik terus bedil kubu penentang Presiden Bashar al-Assad

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 116 orang terbunuh semalam dalam konflik di seluruh Syria selepas tentera membedil kubu penentang Damsyik manakala Turki mengakui pesawatnya menceroboh ruang udara negara jirannya menyebabkan ia ditembak jatuh.
Pada masa sama, Presiden Syria, Bashar al-Assad, membentuk kabinet baru tetapi portfolio penting terus dipegang orang yang sama.
Pertubuhan Syrian Observatory for Human Rights mendedahkan, 116 orang, 77 adalah orang awam terbunuh dalam keganasan di seluruh negara itu selepas penyokong pemerintah memperhebat serangan.

Kumpulan berpejabat di Britain itu berkata, orang awam maut selepas kubu penentang dibedil pesawat tempur.

Ia termasuk keluarga enam sekeluarga di Deir Ezzor, timur Syria, membabitkan seorang lelaki dan tiga anaknya di Kfaraaya, di tengah wilayah Homs dan empat anggota keluarga lain termasuk dia kanak-kanak di Hama, tengah Syria.

Seramai 19 askar maut dalam pertempuran dengan pemberontak dan 10 lagi cedera manakala 10 lagi anggota tentera ditembak mati kerana cuba belot. 
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pula mengutuk pembunuhan seorang pekerjanya, Bashar al-Youssef, 23, di Deir Ezzor, Jumaat lalu.

Sementara itu, di MANILA, Filipina berkata sekurang-kurangnya 14 pegawai imigresen negara itu kini disiasat berikutan satu dakwaan kerana dituduh terbabit dalam penyeludupan manusia membabitkan penduduk miskin negara itu ke Syria yang dilanda keganasan.

Pesuruhjaya Imigresen, Ricardo David berkata bahawa pihaknya sedang bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh sepasukan petugas khas kerajaan mengenai penyeludupan yang boleh membawa kepada pertuduhan jenayah atau pemecatan pegawai terbabit.

“Kami mahu memberitahu orang ramai bahawa biro ini dalam pemantauan saya tidak akan ada tolak ansur dalam perbuatan jenayah,” kata David.

Seramai 19 pegawai imigresen yang didapati membantu agensi merekrut pembantu rumah haram ditamatkan tugas mereka tahun lalu, kata David.

Kementerian Buruh pula berkata penduduk Filipina dari wilayah miskin sering kali mudah tertipu untuk ke Syria. Kebanyakan mereka ialah golongan wanita akhirnya menjadi pembantu rumah dalam keadaan kerja yang amat susah.

Katanya, secara purata seramai 100 penduduk Filipina memasuki Syria setiap bulan.

Kerajaan Filipina melarang rakyatnya daripada bekerja di Syria dan mengarahkan perpindahan mandatori semua rakyatnya di sana pada Disember, kira-kira 10 bulan selepas kebangkitan menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Daripada sejumlah 7,000 rakyat Filipina yang diketahui berada di Syria, seramai 1,500 sudah berjaya dibawa pulang, kata Kementerian Buruh. – AFP

Penjual kereta terpakai dianggap anak Raja Dadah

Felix Beltran Leon
Felix Beltran Leon



MEXICO CITY: Kerajaan Mexico mengakui seorang lelaki yang ditahan anggota keselamatan kerana dianggap anak Raja Dadah, Joaquin 'El Chapo' Guzman, sebenarnya seorang penjual kereta terpakai. 

‘El Chapo’ bermaksud ‘si pendek’ adalah pemimpin sindiket dadah Sinaloa yang dikehendaki pihak berkuasa sejak lari dari penjara pada 2001.
Sindiket dadah Sinaloa mengawal sebahagian besar operasi kokain, marijuana dan metamfetamin ke Amerika Syarikat.
Khamis lalu, pegawai menunjukkan kepada media seorang lelaki yang dikatakan anak Raja Dadah berkenaan iaitu Jesus Alfredo Guzman. 

Bagaimanapun, pejabat Peguam Negara mengesahkan kelmarin lelaki itu sebenarnya ialah Felix Beltran Leon, seorang penjual kereta. 

Ibu Felix, Elodia, berkata keluarganya tidak ada kena mengena atau hubungan keluarga dengan Guzman. 

Pihak berkuasa pada awalnya menghebahkan berita penangkapan anak Guzman dengan menyifatkannya sebagai kejayaan besar sejak beberapa tahun lalu. 
Tetapi, dalam tempoh beberapa jam selepas lelaki itu ditahan, identitinya seperti didakwa pihak berkuasa mula diragui. 

Ia berikutan kenyataan seorang peguam mewakili keluarga Guzman bahawa suspek dalam tahanan itu bukan anak Raja Dadah itu. 

Ia kemudian disusuli kenyataan Elodia kepada wartawan menafikan sebarang hubungan dengan Guzman atau sindiketnya. – Agensi

Mubarak hilang ingatan selepas sedar

Hosni Mubarak
Hosni Mubarak



KAHERAH: Keadaan bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak kini stabil dan beliau sudah sedar daripada koma tetapi berkemungkinan besar hilang ingatan,” lapor akhbar al Arabiya. 

Laporan awal daripada sumber tentera Rabu lalu menyatakan bahawa Mubarak sedang nazak dan secara klinikal dianggap sudah meninggal dunia.
Bekas pemimpin berusia 84 tahun itu diserang strok sebelum dipindahkan dari penjara Tora di pinggir Kaherah, ke sebuah hospital tentera dan terpaksa bergantung kepada alat sokongan hayat.
“Walaupun sudah sedar, beliau mungkin kehilangan daya ingatan dan keupayaan fizikal, manakala penglihatannya menjadi kabur berikutan serangan strok,” kata sumber itu. 

Anak lelaki beliau, Gamal dan Alaa yang ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan, diberi kebenaran khas untuk melawat bapa mereka di Hospital Maadi. Bagaimanapun mereka hanya tiba pada lewat petang berikutan proses mengeluarkan permit yang mengambil masa lama. – Agensi 

Syria mohon maaf tembak pesawat

DUA kanak-kanak bermain layang-layang yang bertulis kata-kata berbunyi ‘cukuplah berbunuhan’ ketika anggota Barisan Tindakan Islam Jordan dan rakyat Syria yang tinggal di negara itu mengadakan tunjuk perasaan menyokong gerakan anti kerajaan di luar kedutaan Syria di Amman semalam.

DUA kanak-kanak bermain layang-layang yang bertulis kata-kata berbunyi ‘cukuplah berbunuhan’ ketika anggota Barisan Tindakan Islam Jordan dan rakyat Syria yang tinggal di negara itu mengadakan tunjuk perasaan menyokong gerakan anti kerajaan di luar kedutaan Syria di Amman semalam.
Ankara timbang reaksi balas, usaha cari dua juruterbang hilang diteruskan 

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata Syria sudah mengemukakan permohonan maaf dan menyatakan kekesalan, selepas ia menembak jatuh sebuah pesawat tempur negara itu yang didakwa memasuki wilayahnya semalam.
“Satu kenyataan permohonan maaf sudah diterima dari Syria berikutan kejadian yang amat serius ini. Negara itu juga melahirkan rasa kesal yang amat sangat dan mengakui kesilapannya,” kata Erdogan.
Beliau berkata pihaknya sedang menimbang reaksi balas dan mengambil semua langkah perlu selepas nasib pesawat itu diketahui sepenuhnya. 

“Turki akan mengumumkan keputusannya selepas semua maklumat mengenai pesawat itu diketahui,” katanya selepas mengadakan mesyuarat tergempar dengan menteri, ketua agensi perisikan dan tentera. 

Syria semalam mengesahkan ia menembak jatuh sebuah pejabat pejuang Turki yang didakwa memasuki ruang udara negara itu semalam, manakala usaha diteruskan untuk mencari dua juruterbangnya yang masih hilang. 

“Sebuah pesawat tidak dikenali didapati menceroboh ruang udara Syria dari arah Barat pada altitud amat rendah tetapi berkelajuan tinggi di timur Mediterranean. 
Satu tembakan menggunakan pelancar anti pesawat dilepaskan ke arah pesawat ketika ia berada pada jarak satu kilometer dari daratan dan terhempas kira-kira 10 kilometer di pantai wilayah Latakia, wilayah Syria,” kata jurucakap tentera kepada agensi berita SANA. 

Beliau berkata pihaknya kemudian mengenal pasti sasaran yang ditembak sebagai pesawat pejuang Turki dan kedua-dua negara kini bekerjasama untuk mencari kedua-dua juruterbangnya. 

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, Martin Nesirky, berkata pemimpin itu memantau rapi perkembangan insiden terbabit 
“Beliau berharap kejadian ini dapat ditangani kedua-dua negara melalui saluran diplomatik dan mengelak meningkatkan ketegangan sedia wujud di Syria,” katanya. 

Sementara itu Duta Muhibah Suruhanjaya Tinggi Bagi Pelarian PBB (UNHCR), Angelina Jolie, menyumbang AS$100,000 (RM320,000) bagi membantu pelarian di Syria. 

Beliau yang melawat kem pelarian Syria di Turki minggu lalu, juga membawa barang permainan untuk diberikan kepada kanak-kanak dan menemui beberapa keluarga untuk mengetahui keadaan mereka. – AFP/Agensi

Lelaki kudung kaki panjat Kilimanjaro

GAMBAR pada 22 Jun menunjukkan lelaki kudung kedua-dua kakinya, Spencer West tiba di puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.



MONTREAL, Kanada - Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki berjaya menakluk puncak tertinggi di Afrika, Gunung Kilimanjaro, sekali gus menyangkal dakwaan beberapa doktor bahawa dia tidak akan dapat berfungsi dan menyumbang kepada masyarakat.
Spencer West, 31, hilang kakinya ketika masih kanak-kanak akibat penyakit genetik, sacral agenesis yang menyebabkan bahagian bawah badannya lumpuh.
Namun, warga bandar Toronto di Kanada itu tidak membiarkan kecacatan itu menghalangnya.
Dia tiba di puncak Kilimanjaro, pada ketinggian sekitar 6,000 meter dari aras laut, Selasa lepas.
"Mendaki Gunung Kilimanjaro merupakan perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan, baik dari sudut fizikal atau pun mental.
"Namun, dengan berbuat demikian kita sedar betapa pentingnya untuk kita percaya kepada diri sendiri dan orang lain," kata West kepada agensi berita AFP dari Nairobi, Kenya.
"Saya memanjat menggunakan tangan. Ia memberi tekanan ke atas bahagian tersebut serta bahu saya," tambahnya.
Sepanjang pendakiannya, West ditemani oleh dua sahabat baiknya, David Johnson dan Alex Meers. Matlamat mereka adalah untuk mengumpul dana buat Free the Children, sebuah pertubuhan yang membekalkan air bersih kepada beratus-ratus orang di Kenya.
Kenya mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun pada 2011.
Misi itu berjaya mengumpul lebih AS$500,000 (RM1.59 juta) untuk pertubuhan amal tersebut.
Dia mendaki Kilimanjaro berkenaan pada Selasa lepas dan tiba di kemuncak gunung berkenaan tiga hari kemudian. - AFP

Misi berlabuh manual China berjaya



GAMBAR skrin besar Pusat Angkasa Lepas Jiuquan menunjukkan kapal angkasa Shenzhou-9 sedia untuk bercantum dengan modul Tiangong-1 semalam.


BEIJING - Sebuah kapal angkasa China berjaya melakukan misi berlabuh secara manual di orbit, kata agensi berita rasmi Xinhua.
Kapal angkasa Shenzhou-9 bercantum secara manual dengan modul Tiangong-1 selepas misi berlabuh secara automatik selesai pada Isnin lalu.
Kejayaan tersebut menyusul seminggu selepas China menghantar sepasukan angkasawan termasuk seorang wanita ke angkasa lepas.
"Prosedur berlabuh secara manual berjalan lancar " kata pusat kawalan misi angkasa lepas dalam satu pengumuman secara langsung yang disiarkan oleh stesen televisyen China.
Pencantuman di orbit merupakan matlamat utama misi Shenzhou-9.
Misi berkenaan menguji teknik berlabuh yang merupakan keperluan utama bagi membolehkan China membina sebuah stesen angkasa lepas menjelang 2020.
Berlabuh secara manual sukar dikuasai kerana melibatkan pencantuman dua kapal angkasa lepas yang berada di orbit sama dan bergerak mengelilingi Bumi pada kelajuan beberapa ribu kilometer sejam.
Sebarang kesilapan akan menyebabkan kedua-dua kapal angkasa berkenaan hancur berkecai. - AFP

Morsi Presiden baharu Mesir



MOHAMED MORSI melambai kepada penyokongnya pada satu perhimpunan di Kaherah pada 20 Mei lalu.


KAHERAH - Calon pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden negara demokratik Mesir yang pertama oleh jawatankuasa pilihan raya semalam selepas beliau menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dengan 51.7 peratus undi pada pusingan kedua pilihan raya Presiden yang berlangsung minggu lalu.
"Pemenang pilihan raya Presiden Mesir pada 16 dan 17 Jun ialah Mohamed Morsi Eissa Al-Ayat," kata ketua suruhan jaya pilihan raya, Faruq Sultan.
Menurutnya, Morsi memperoleh 13,230,131 undi berbanding 12,347,380 undi yang diperoleh Shafiq.
Sekitar 51.8 peratus daripada lebih 50 juta pengundi berdaftar keluar membuang undi pada pilihan raya tersebut.
Morsi, 60, bakal menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan semasa kebangkitan rakyat Mesir 16 bulan lalu.
Namun, majlis tentera yang memerintah sejak kejatuhan Mubarak telah bertindak mengekang kuasa Presiden Mesir.
Langkah tersebut dilihat akan memaksa Morsi bekerjasama dengan tentera sebelum boleh merombak perlembagaan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir membanjiri Dataran Tahrir di sini bagi meraikan kemenangan Morsi.
Mereka bersorak "Tuhan Maha Besar!" sambil mengibarkan bendera Mesir.
"Kemenangan ini merupakan hasil keazaman rakyat Mesir yang mahu suara mereka didengari," kata seorang jurucakap Morsi.
Sementara itu, Shafiq belum mempamerkan sebarang reaksi berhubung kemenangan Morsi.
Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya memberitahu, beliau akan menawarkan diri untuk berkhidmat di bawah pentadbiran Morsi.
Morsi sebelum ini memenangi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir.
Beliau turut berjanji akan membentuk pentadbiran inklusif yang dapat memuaskan hati pelbagai lapisan masyarakat Mesir termasuk golongan minoriti Kristian di negara berkenaan. - Agensi

Bas terbalik lapan maut, 44 cedera

KEADAAN bas yang remuk setelah terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan lapan maut di Gospic, Croatia kelmarin.



ZAGREB, Croatia - Lapan orang maut dan sekurang-kurangnya 44 orang cedera apabila sebuah bas dari Republik Czech yang membawa lebih 50 penumpang merempuh halangan berhampiran sebuah terowong di sini kelmarin.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di sebatang jalan raya yang menuju ke satu destinasi pelancongan terkenal di bandar Adriatic, Split.
"Sebuah bas dengan nombor pendaftaran Republik Czech merempuh halangan keselamatan dan terbalik dekat terowong di Sveti Rok, 230 kilometer dari Zagreb," kata Direktorat Penyelamat dan Perlindungan Nasional.
Media tempatan melaporkan, tujuh mayat mangsa ditemui, sementara mangsa kelapan dikeluarkan tidak lama kemudian daripada bangkai bas.
Duta Republik Czech ke Croatia, Karel Kuhnl dipetik akhbar Jutarnji List sebagai berkata, pemandu bas maut dalam kemalangan itu. Sementara pembantunya cedera dan dimasukkan ke hospital.
"Semasa kemalangan, semua penumpang sedang tidur," kata Kuhnl.
Menurut pasukan penyelamat, mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital berhampiran bandar Gospic. Tiga mangsa yang cedera parah iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak dibawa oleh helikopter tentera ke Zagreb.
Seorang jurucakap agensi pelancongan, Martin Vasulin berkata, semua penumpang bas merupakan warga Republik Czech. - AFP

Peristiwa Dahagi di Singapura (1915)


 Peristiwa Dahagi di Singapura (1915) oleh Danish Farish.

Assalamualaikum,

Saya ada mengisi siri-siri kuliah sejarah bulanan di beberapa buah mesjid di Selangor. Salah satu dari kuliah tersebut ialah 'Perihal sokongan ulama tanah air kepada Khilafah Uthmaniah'. Sebagai mukaddimah saya terangkan di mana kedudukan khalifah dalam sistem politik tertinggi umat Islam dan peranannya di dalam memayungi ummah. Saya jelaskan juga apakah bencana yang menimpa umat ini apabila khilafah terakhir, Khilafah Uthmaniyah luput pada tahun 1924. Di sentuh juga sepintas lalu mengenai usaha as-Syahid Imam Al-Banna dan program maratib-ul-amal untuk mengembalikan khilafah bermula dengan pembinaan syahsiah muslimah sehingga terbitnya ustiazatul alam (Islamic world order yang memayungi seluruh dunia).

Untuk siri yang pertama ini saya bongkar hubungan perjuangan umat Islam di Tanah Melayu dengan sistem khilafah yang berpusat di Istanbul. Saya jelaskan pada hadirin bahawa kita kena letakkan ulama-ulama pejuang yang selama ini dinobat sebagai pejuang nasionalis melayu kepada para mujahiddin yang gerak kerja dan perjuangannya bersifat global dan 'alami. Ini termasuklah peranan yang dimainkan oleh Dato' Bahaman, Tuk Gajah (Imam Perang Rasul), Mat Kilau, Tuk Janggut dan Tuk Ku Paloh.

Apabila pecah perang dunia pertama, Turki Uthmaniy terseret sama ke dalam kancah global ini demi mempertahankan kedaulatan wilayah Islam dari pencerobohan British dan Peranchis. Untuk menghadapi ancaman barat ini maka khilafah telah mengeluarkan pengistiharan Jihad-i-akbar pada bulan Nov 1914. Fatwa kewajipan jihad ini telah membangkitkan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Tanah Melayu. Singapura yang merupakan pusat pentadbiran dan military base bagi British menempatkan juga askar-sakar India muslim dan melayu dalam pasukan British. Mereka akan dihantar ke tanah Arab untuk membantu 'revolusi Arab' menentang Turki Uthmani (Revolusi Arab ini dicetuskan oleh agen British T.E Lawrence atau terkenal dengan gelaran 'Lawrence of Arabia untuk mengusir Turki dari 'levant' termasuk Palestin). Askar melayu pula akan dihantar ke Afrika Timur untuk menggugat wilayah Islam seperti Somalia, Ethiopia, Eritrea, Sudan.

Seorang ulama tempatan bernama Ust Nurul Alam Syah dari Kampung Jawa, Singapura dan seorang saudagar Gujerat bernama Kassim ali telah meniup semangat jihad di kalangan tentera Islam supaya tidak patuh kepada arahan British dan sebaliknya memerangi mereka yang memusuhi Islam. Pada 15 February 1915 seramai 815 askar India Muslim dan 100 askar melayu telah menyerang kedudukan pasukan British, menyebabkan 33 orang askar British terkorban. British telah memohon bantuan dari TSN (Timbalan Setia Negeri) untuk mematahkan pemberontakan ini. Ini adalah satu episod malang di mana Tentera Setia Negeri telah digunakan untuk mengkhianati perjuangan umat Islam.

Peristiwa yang disebut sebagai 'Dahagi' (mutiny - atau pemberontakan) ini telah menyebabkan ramai askar-askar muslim dijatuhkan hukuman bunuh dengan 'firing squad'. Ust Nurul Alam dan Kassim Ali di hukum gantung.
 —

Sunday, June 24, 2012

Mohammed Mursi Presiden baru Mesir

Mohammed Mursi Presiden baru Mesir
Farouk Sultan mengumumkan keputusan pemilihan Presiden Mesir hari ini. – Foto EPA
Mohammed Mursi Presiden baru Mesir
Mohammed Mursi Presiden baru Mesir
KAHERAH - Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytihar memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun lalu.
Mohammed, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73 peratus undi atau lebih 13 juta undi manakala pencabarnya di pusingan kedua pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan 48.27 peratus undi atau lebih 12 juta undi.
Menjelang pengumuman hari ini, yang mula dibuat sejak jam 9 malam tadi (waktu Malaysia), protes diadakan di Dataran Tahrir ekoran pengumuman Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) bahawa pihaknya mahu mengurangkan atau mengehadkan kuasa presiden dan pada masa yang mengukuhkan kuasa tentera.
Pemilihan pusingan kedua diadakan awal minggu lepas. Sebaik sahaja pengundian berakhir, kedua-dua calon itu mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang.
Keputusan pemilihan sepatutnya diumumkan Khamis lalu, tetapi ditangguhkan ekoran aduan daripada calon-calon yang bertanding berhubung proses pengundian dan kiraan kertas undi.
Pusingan pertama pemilihan diadakan bulan lalu.
Seramai 50.3 juta pengundi layak mengundi pada pemilihan kali ini. Kira-kira 37,000 kertas undi telah dibatalkan, kata Ketua Suruhanjaya Pemilihan Presiden, Farouk Sultan yang membacakan mukadimah kira-kira 90 minit sebelum mengumumkan nama pemenang sekitar jam 10.30 malam (waktu Malaysia).
Katanya, suruhanjaya itu menerima sebanyak 452 rayuan daripada kedua-dua calon.
Pengumuman itu membawa kepada kegembiraan di kalangan penyokong Mohammed yang berhimpun di Dataran Tahrir sejak beberapa hari lalu.
Kelewatan pengumuman mencetuskan rasa gelisah dan ketegangan di Mesir khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Mohammed.
Pengumuman dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu - ketika kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.
Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.
Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka.

Pengguna kini boleh sunting komen di Facebook

SAN FRANCISCO - Bagi pengguna yang kerap membuat kesalahan tidak sengaja dan memalukan semasa mengemas kini status atau menghantar komen di Facebook, kini mereka boleh menarik nafas lega.

Kelmarin, laman sosial gergasi itu mengumumkan, pengguna kini boleh menyunting komen mereka tanpa perlu memadamkan keseluruhan status atau komen seperti sebelum ini.
Jurucakap Facebook, Johanna Peace berkata, proses penyuntingan tersebut tidak akan menjejaskan secara langsung keseluruhan perbualan kerana mereka turut menyediakan semakan kepada pengguna.

"Mereka boleh menggunakan aplikasi penyuntingan itu dalam masa beberapa hari lagi," katanya.

Tumor dikeluarkan dari mulut janin

Tumor dikeluarkan dari mulut janin - Global - Sinar Harian:

Tumor dikeluarkan dari mulut janin
Hasil ujian ultra bunyi berjaya mengesan gelembung (tumor) pada mulut Leyna
FLORIDA - Sekumpulan pakar bedah di sebuah hospital di Florida berjaya mengeluarkan tumor dari mulut janin berusia empat bulan dari dalam kandungan ibunya menerusi pembedahan pertama seumpama itu di dunia.
Difahamkan, pembedahan tersebut dilakukan pada Mei 2010 tetapi kejayaannya baru diumumkan, kelmarin selepas laporan penuh itu diterbitkan di dalam Jurnal Obstetrik dan Ginekologi.

"Saya berada dalam keadaan sedar semasa prosedur mengeluarkan tumor sebesar kotak mancis tersebut dilakukan," kata Tammy Gonzalez, 39.

Anaknya, Leyna Mykaella kini membesar dengan cergas selepas menjalani pembedahan laser tersebut walaupun ia sememangnya berisiko tinggi.
Doktor Ruben Quintero dan Dr Efitichia memaklumkan keadaan seperti itu hanya berlaku sekali dalam 100,000 kehamilan.

Hospital tawar RM2,510 derma sperma, ovum

BEIJING - Sebuah hospital di Jiangsu, China menawarkan kira-kira 5,000 yuan (RM2,510) kepada penderma sperma untuk memenuhi permintaan pasangan mandul.
Menurut sumber, penderma ovum pula dibayar tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi kerana proses pengekstrakan telur didakwa lebih rumit.
Penderma juga perlu mengikat kontrak di hospital itu bagi mengelakkan mereka menderma sperma atau ovum di pusat lain.
Difahamkan, mereka hanya boleh menderma 10 kali seumur hidup manakala pihak hospital mempunyai hak untuk menghamilkan lima wanita menggunakan sperma daripada individu yang sama.

Syarat tersebut perlu dipatuhi bagi mengelakkan berlaku sumbang mahram antara penderma dan 'anak' mereka pada masa hadapan.  

Sampah tsunami bawa spesies asing ke AS

Sampah tsunami bawa spesies asing ke AS - Global - Sinar Harian: "SAN FRANCISCO - Ahli sains di Amerika Syarikat khuatir sampah tsunami yang dihanyutkan oleh tsunami di Jepun pada tahun lalu akan membawa pelbagai spesies hidupan akuatik asing ke perairan rantau itu.

Mereka mendakwa sampah terbesar yang ditemui terdampar di pantai Oregon pada awal bulan ini turut membawa puluhan spesies marin asing merentasi Lautan Pasifik.

Presiden syarikat perunding marin di Oakland, Liz Taylor berkata, Teluk San Francisco kini tercemar dengan organisma asing yang dibawa oleh kapal kargo dari seluruh dunia sebelum ini.

"Penyelidikan awal kami mendapati spesies asing itu sebenarnya boleh menjejaskan ekosistem dan biodiversiti hidupan semula jadi di sini. Ia sememangnya bakal menjadi ancaman baru," katanya."

'via Blog this'

Keputusan malam ini. Ahmad isytihar dirinya 'Presiden Mesir'

Keputusan malam ini. Ahmad isytihar dirinya 'Presiden Mesir' - Global - Sinar Harian:

Keputusan malam ini. Ahmad isytihar dirinya 'Presiden Mesir'
Dua calon pemilihan Presiden Mesir pusingan kedua (dari kiri) Mohammed Morsi dan Ahmed Shafik. Keputusan rasmi jam 9 malam ini (waktu Malaysia).
KAHERAH - Sementara rakyat Mesir dan seluruh dunia menanti keputusan rasmi pusingan kedua pemilihan presiden negara itu, bekas Perdana Menteri Ahmed Shafik membuat deklarasi 'terbuka' menerusi laman sosial Facebook bahawa dirinya - "Presiden Ahmed Shafik, Mesir 2012."

Keputusan itu dijadual akan diumumkan oleh suruhanjaya pemilihan presiden pada jam 9 malam ini (waktu Malaysia).

Ahmed, yang dikaitkan dengan rejim bekas Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan awal tahun lalu, membuat deklarasi ini ketika muncul laporan bercanggah siapa yang memenangi pemilihan presiden.

Minggu lalu, beliau dan wakil Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan, Mohammed Morsi mendakwa telah memenangi pemilihan julung kali diadakan ini.
Keputusan itu sepatutnya diumumkan Khamis lalu tetapi ditangguhkan.
"Adakah kita benar-benar akan mengadakan satu revolusi jika Ahmed menang?" soal novelis disegani Alaa al-Aswany menerusi Twitter, dipetik oleh laporan CNN.

Jawi cekup 4 wanita Islam jadi penari pusat hiburan

Jawi cekup 4 wanita Islam jadi penari pusat hiburan - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Hanya kerana bayaran RM100, empat wanita Islam sanggup memakai pakaian tidak sopan sambil mempersembahkan tarian kepada pengunjung sebuah pusat hiburan di sini ketika kelab itu diserbu oleh  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) malam tadi.
Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Baby, 27, berkata beliau hanya datang ke pusat hiburan sekiranya mendapat undangan dan menari hanya untuk suka-suka disamping menambah wang saku kerana  kebetulan, beliau mengambil jurusan tarian ketika belajar di sebuah institusi pengajian swasta satu ketika dulu.

Katanya, ada ejen yang ditugaskan untuk mencari penari dan membayar mereka mengikut ketetapan yang ditentukan.
"Kalau ada undangan, baru saya datang menari kerana bayaran juga mahal untuk 10 ke 15 minit. Saya tidak tertumpu pada pusat hiburan ini saja namun kalau ada undangan di tempat lain dengan bayaran lumayan juga, saya akan sertai," katanya kepada pemberita setelah diambil keterangan oleh pegawai penguatkuasa Jawi ketika serbuan itu.

Seorang lagi wanita yang enggan dikenali berkata beliau menari atas desakan hidup untuk mencari wang saku disamping menghiburkan pengunjung biarpun beliau menyedari tindakannya itu salah di sisi agama Islam.
"Saya hanya menari untuk mencari wang saku dan bukan untuk disentuh oleh pengunjung dan jauh sekali untuk menggadai maruah diri," katanya sambil menambah bahawa beliau menari sejak setahun lalu.
Dalam operasi itu yang bermula pada 10.30 malam dan berakhir 2 pagi itu, 40 anggota penguatkuasa JAWI dengan kerjasama polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan dua lagi di Jalan Dooraisamy.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi Wan Jaafar Wan Ahmad berkata dalam serbuan itu 10 notis pemberitahuan hadir ke JAWI  dikeluarkan untuk siasatan lanjut atas beberapa kesalahan terhadap enam lelaki dan empat wanita beragama Islam.

Katanya, enam lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun itu diberikan notis kerana melanggar Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu meminum minuman keras manakala empat wanita berumur lingkungan 18 hingga 27 tahun tersebut pula diberi notis menurut Seksyen 29 akta yang sama iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
"Kami menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung salah laku orang Islam di sekitar Lembah Klang seperti minum minuman keras dan wanita menjadi pelayan pelangggan (GRO)," katanya kepada pemberita  selepas serbuan itu.
Wan Jaafar berkata tujuan serbuan dibuat adalah untuk menyedarkan orang Islam bahawa perbuatan mereka itu salah di sisi agama dan sesi kaunseling akan diberikan untuk mendidik mereka agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
"Sekiranya mereka tidak hadir ke sesi kaunseling tersebut tanpa sebarang sebab yang paling munasabah, kami akan buat tindakan susulan dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka," katanya.- Bernama


'via Blog this'

Bayi lelaki ditemui di kawasan semak

Bayi lelaki ditemui di kawasan semak - Kelantan - Sinar Harian: "KOTA BHARU - Seorang bayi lelaki seberat 2.25 kilogram ditemui oleh orang awam di kawasan semak berhampiran Sekolah Kebangsaan Tanjung Mas, di Jalan Kubang Human dekat sini, jam 7 pagi tadi.

Bayi yang dibalut dengan surat khabar masih bertali pusat dan tiada kecacatan serta sihat.

Berdasarkan maklumat yang diterima, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II jam 8.45 pagi tadi.

"

'via Blog this'

Isteri Ben Ali dedah rahsia

Kandungan buku ini turut menjawab segala persoalan dan khabar angin yang tersebar selama ini.
Kandungan buku ini turut menjawab segala persoalan dan khabar angin yang tersebar selama ini.
PARIS - Isteri bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, Leila mendakwa rancangan pegawai atasan keselamatan menjadi punca suaminya digulingkan semasa revolusi kebangkitan rakyat pada Januari tahun lalu.

Perkara itu didedahkan menerusi buku berjudul My Truth hasil tulisannya yang dilancarkan di Perancis, kelmarin.

Isteri kedua Ben Ali berumur 55 tahun itu turut mengakui gaya hidupnya yang terlalu mewah turut mengakibatkan kejatuhan pemerintahan selama 23 tahun bekas presiden tersebut.

"Kelemahan dan kesilapan dilakukan oleh keluarga saya termasuk skandal rasuah dijadikan alat oleh pihak luar untuk menjatuhkan kami," katanya.

Kandungan buku itu turut mendedahkan mereka melarikan diri ke Arab Saudi atas desakan pegawai keselamatan Presiden, Ali Seriati yang disyaki sebagai dalang utama mencetuskan revolusi di negara Afrika Utara tersebut sehingga merebak ke Timur Tengah.

"Kami sedia pulang semula ke Tunisia jika diberi jaminan akan dibicarakan secara adil," jelasnya lagi.

Minggu lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ben Ali selepas didapati bersalah mengarahkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan

Keputusan pemilihan Presiden Mesir hari ini

mesir undi
Rakyat Mesir mengundi dalam pemilihan pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan.
KAHERAH - Keputusan pusingan kedua pemilihan jawatan presiden, yang ditangguhkan sehingga mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, dijangka diumumkan hari ini - sekitar 9 malam (waktu Malaysia).
Suruhanjaya pilihan raya Mesir sedang mempertimbangkan rayuan daripada kedua-dua calon iaitu Mohammed Mursi, 60, dari Ikhwanul Muslimin dan bekas Perdana Menteri Ahmed Shafiq, 70.
Kedua-dua mereka mendakwa telah mencapai kemenangan. Keputusan sepatutnya diketahui Khamis lalu.
"Faruk Sultan, ketua suruhanjaya pemilihan presiden akan mengumumkan keputusan pusingan kedua pemilihan presiden pada Ahad, jam 3 petang (9 malam waktu Malaysia)," kata Setiausaha Agung Suruhanjaya, Hatem Bagato dalam satu kenyataan semalam.
Penyokong-penyokong Mohammed terus berhimpun di Dataran Tahrir sejak Jumaat lalu sebagai tanda memprotes ke atas langkah kerajaan sementara tentera mengambil alih bebereapa kuasa pentadbiran negara.

Bahrain guna peluru getah surai protes


MANAMA 23 Jun - Pasukan keselamatan Bahrain melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan satu demonstrasi yang diketuai parti pembangkang, Al-Wefaq, semalam.
Ketua parti pembangkang itu, Sheikh Ali Salman cedera terkena peluru getah dan gas pemedih mata dalam pertempuran dengan polis antirusuhan, kata parti itu dalam satu kenyataan.
Parti Syiah itu menuduh kerajaan meningkatkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan.
Saksi berkata, sejumlah anggota polis dikerah untuk menghentikan perarakan penunjuk perasaan itu.
Mereka melihat polis melepaskan gas pemedih mata dan penunjuk perasaan pula melemparkan bom petrol.
Anggota kanan Parti Wefaq, Matar Matar berkata, pasukan keselamatan sebelum ini mengambil tindakan secara profesional menangani masalah dengan pemimpin politik.

Bank NatWest alami kerosakan

Seorang wanita yang sedang mendukung anak memerhatikan mesin ATM Bank NatWest yang rosak di Olney, Buckinghamshire. - AGENSI
LONDON 23 Jun - Berjuta-juta penduduk Britain, tidak boleh mengakses wang mereka sejak tiga hari lalu selepas sebuah bank utama di negara ini, NatWest mengalami kerosakan komputer.
Kejadian itu menyebabkan mereka tidak boleh membayar bil, membeli barangan keperluan harian malah sejumlah orang dihalau dari rumah kerana tidak membayar yuran.
Masalah yang dijangka berlanjutan sehingga hujung minggu ini berlaku selepas kakitangan bank tersebut cuba memuat turun perisian terkini sistem pemprosesan pembayaran tetapi menyebabkan berlakunya kerosakan sistem.
Keadaan itu menyebabkan pelanggan yang memeriksa akaun mereka tiga hari lalu mendapati ia tidak dikemaskini dan tidak menunjukkan pembayaran baru termasuk mereka yang bergantung kepada kemasukan gaji tidak boleh membayar pinjaman mereka dan bil-bil lain.
Tiga hari kemudian masalah itu masih gagal dibaiki menyebabkan pelanggan bank akan dikenakan caj penalti kerana lewat membuat pembayaran.
Kira-kira 7.5 juta pelanggan peribadi, pelanggan perniagaan selain 100,000 pelanggan Ulster Bank menjadi mangsa masalah tersebut.
Laman web NatWest semalam dipenuhi pelbagai aduan termasuk mereka yang gagal mengeluarkan gaji atau kad kredit mereka tidak boleh digunakan.
Seorang penduduk, Lance King bersama keluarganya berkata, mereka tiada rumah selepas masalah di bank itu menyebabkan pembelian rumah baru tidak dapat dilakukan.
‘‘Saya telah menjual rumah lama kami tetapi tidak boleh pindah ke rumah baru kerana masalah bank itu kerana wang pembelian itu tidak wujud di akuan penjual rumah. Saya dan keluarga telah dipaksa keluar dari rumah lama kami,’’ katanya.
NatWest berkata, pihaknya masih berusaha membaiki kerosakan tersebut dan memberi jaminan pelanggan mereka tidak akan dikenakan denda atas kelewatan yang berlaku. - AGENSI

Serangan Israel, seorang kanak-kanak Palestin maut

Serangan Israel, seorang kanak-kanak Palestin maut:


Penduduk Palestin menguruskan jenazah kanak-kanak berusia enam tahun, Ali Al-Shwaf di Hospital Nasser di Khan Younis untuk dikebumikan. Kanak-kanak itu terbunuh dalam serangan Israel di selatan Gaza, semalam. - REUTERS
GAZA 23 Jun - Seorang kanak-kanak Palestin terbunuh dan 20 lagi cedera termasuk seorang bayi dalam serangan udara Israel ke atas sasaran keselamatan pergerakan Hamas di Gaza, hari ini.
Seorang pegawai perubatan Hamas berkata, kanak-kanak berumur enam tahun itu terbunuh di sebuah padang bola sepak berdekatan bandar Khan Younis dan mencederakan dua yang lain.
Di Rafah, seorang bayi cedera dalam serangan Israel di bandar dekat sempadan Mesir itu.
Peningkatan keganasan di wilayah itu mengancam perjanjian damai Israel-Palestin yang dianjurkan oleh Mesir pada minggu ini.

Anak saudara Saddam Hussein mohon suaka Austria

VIENNA 23 Jun - Anak saudara lelaki kepada pemimpin diktator Saddam Hussein, memohon suaka politik di Austria selepas ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah, lapor Menteri Dalam Negeri.
Lelaki berusia 42 tahun itu dikenali sebagai Bashar N. dikehendaki oleh pihak berkuasa Iraq sejak tahun 2006.
Akhbar Tabloid Austria Kronen Zeitung berkata, dia ditahan semalam semasa kawalan rutin dan mendapati tidak mempunyai pasport dan akan dikenakan tindakan sebagai pengganas . - DPA

40 terbunuh di Daarat Azza

BEIRUT 23 Jun - Sekurang-kurangnya 40 terbunuh di Syria semalam, termasuk 26 kumpulan bersenjata pro kerajaan.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, militan yang dikenali dengan Shabihaa itu terbunuh di utara Aleppo iaitu kawasan yang menjadi sasaran tentera kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Laporan media tempatan berkata, kumpulan bersenjata itu telah menculik dan membunuh 25 penduduk di Daarat Azza yang terletak di wilayah utara Aleppo.
Sementara itu, 24 orang awam terbunuh kerana tentera Syria mengebom kubu kuat pemberontak di wilayah Homs, Daraa dan Idlib yang berdekatan dengan sempadan Turki. - DPA

Syria tembak pesawat Turki

Pesawat pejuang Turki F-4 berlepas dari lapangan terbang Erhac di timur wilayah Malatya sebelum terputus hubungan. Syria mengesahkan menembak jatuh pesawat itu, semalam. - AGENSI
DAMSYIK 23 Jun - Syria hari ini mengesahkan pihaknya menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Turki yang memasuki ruang udara negara ini, mencetuskan krisis baru antara dua negara jiran itu.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya akan mengambil semua langkah sepatutnya selepas Syria mengesahkan fakta pesawat pejuang F-4 itu ditembak di kawasan perairan Laut Mediterranean semalam.
Perdana Menteri Turki mengadakan satu pertemuan khas dengan ketua tentera dan agensi perisikan serta menteri-menteri utama sejurus selepas hubungan terputus dengan pesawat itu.
‘‘Turki akan mengumumkan tindakannya selepas mengambil tindakan sepatutnya setelah semua hal berhubung kejadian itu dijelaskan,’’ katanya selepas pertemuan tersebut.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu menjadi tegang ketika Ankara mengambil tindakan tegas berhubung tindakan kekerasan Damsyik terhadap pemberontakan rakyat dengan memberikan perlindungan kepada askar Syria yang berpaling tadah.
Agensi berita rasmi Syria, SANA mengesahkan Damsyik menembak pesawat pejuang tersebut dalam laporannya awal pagi ini.
‘‘Satu sasaran tidak dikenal pasti memasuki ruang udara Syria dari arah barat dengan terbang rendah dan pada kelajuan tinggi di kawasan perairan,’’ kata agensi berita tersebut yang memetik seorang jurucakap tentera.
Jurucakap itu berkata, pasukan anti-pesawat melepaskan tembakan dan mengenai pesawat itu ketika ia berada kira-kira satu kilometer dari tanah besar.
‘‘Ia terhempas kira-kira 10 kilometer dari wilayah Latakia di kawasan perairan Syria,’’ tambahnya.
Tentera laut kedua-dua negara tersebut kini bekerjasama mencari dua anak kapal pesawat pejuang itu, lapor SANA. - AFP

Arab Saudi dan Qatar biayai pemberontak Syria

JEDDAH 24 Jun - Arab Saudi dan Qatar dilaporkan membiayai pasukan pemberontak di Syria yang menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.
Menurut seorang diplomat Arab Saudi yang identitinya tidak didedahkan, pembiayaan tersebut telah berlangsung selama sebulan dan persetujuan dibuat pada 2 April lalu oleh kedua-dua negara yang terlibat.
"Pembiayaan tersebut bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai tentera Syria berpaling tadah selain menguruskan Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan mengawal organisasi tersebut daripada disertai mana-mana kumpulan radikal," katanya. - REUTERS

Anak badak ke-4 dilahir dalam 10 tahun

RATU melahirkan anak jantan.
RATU melahirkan anak jantan.
JAKARTA: Badak sumbu spesies Sumatra yang hampir pupus, dilahirkan di tempat perlindungan di Indonesia, kelahiran keempat dalam kurungan direkod sejak lebih 10 tahun, memberi harapan kepada ahli pemuliharaan, bilangan spesies ini akan bertambah.
Ahli pemuliharaan Widodo Ramono yang bekerja di tempat perlindungan di Pulau Sumatera, berkata, “Ratu melahirkan seekor anak jantan pada 12.45 malam semalam. Ibu dan anak berada dalam keadaan baik.”
Tiga kelahiran badak sumbu spesies Sumatra sebelum ini direkodkan di Zoo Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat. Bapa kepada anak badak itu, Andalas, adalah yang pertama dihantar di pusat perlindungan dalam 112 tahun. Menurut zoo itu, dia dilahirkan pada September 2001.

Andalas dibawa ke Indonesia untuk mengawan dengan Ratu, badak betina yang hidup liar tetapi keluar dari hutan dan kini tinggal di Tempat Perlindungan Badak Sumbu Sumatra di Taman Negara Kambas.

Populasi badak sumbu Sumatra jatuh 50 peratus sejak 20 tahun lalu disebabkan pemburuan haram dan pemusnahan habitat mereka. - AFP

Jet pejuang keluar dari sempadan

DAMSYIK: Presiden Turki, Abdullah Gul berkata semalam, jet pejuang yang ditembak jatuh oleh Syria mungkin masuk ke ruang udara negara itu.
“Ia perkara biasa untuk pemandu jet pejuang keluar masuk sempadan... apatah lagi dengan kelajuan mereka,” katanya kepada agensi berita Anatolia. 
“Ia bukan dibuat dengan niat tidak baik tetapi di luar kawalan disebabkan kelajuan jeti itu,” katanya.

Katanya, Syria melihat sebuah pesawat di ruang udaranya dan “mengambil tidakan mengikut undang-undang dalam situasi itu” dan pesawat itu kemudian terhempas di Laut Mediterranean.

Tentera Laut Turki dan Syria kini dalam operasi mencari dua kru pesawat itu.

Abdullah juga berkata, mereka sedang menghubungi Syria, walaupun sudah meminta duta masing-masing keluar dari kedutaan mereka di Damsyik Mac lalu dan menghalau duta dari kedutaan di Ankara selepas keganasan di Syria berterusan.

“Kami meminta semua rakyat kami keluar dari Syria atas sebab keselamatan. Ini tidak bermakna kami tidak mempunyai hubungan dengan Damsyik,” katanya.

Pesawat pejuang itu hilang dari radar kira-kira jam 0900 GMT, kelmarin selepas berlepas dari lapangan terbang tentera di bandar Malatya.

Syria mengesahkan ia menembak jatuh pesawat itu dan kerajaan Turki di Ankara akan mengambil langkah sepatutnya sebaik saja ia mendapat fakta kejadian itu.

Perdana Menteri, Recep Tayyib Erdogan berkata mereka akan mengambil langkah sepatutnya.


Dia mengesahkan pesawat itu terhempas kira-kira lapan batu dari bandar Latakia di Syria.

Syria sebelum ini mengesahkan ia menembak jatuh pesawat pejuang Turki yang “masuk ke perairannya.”

Jet F4 Phantom hilang dari radar di Mediterranean kelmarin, satu potensi untuk provokasi krisis baru di jiran Timur Tengah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera dan diedarkan oleh media, ia berkata, “Pertahanan kami berhadapan dengan sasaran yang masuk ke ruang udara kami kelmarin dan menembak jatuh pesawat itu. Ia adalah pesawat ketenteraan Turki.” - Agensi

Gempa 6.6 magnitud landa Aceh

BANDA ACEH: Gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter melanda Aceh pada jam 11.34 pagi waktu tempatan, semalam.
Gempa yang berpusat di Kota Subulussalam ini dikatakan agak kuat tetapi tidak menjadikan warga Aceh panik. 
Data dari Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengatakan gempa itu berada pada 24 kilometer barat laut Kota Subulussalam dengan kedalaman 103 kilometer.
Ramai penduduk keluar dari bangunan, rumah dan kedai tetapi hanya sebilangan yang merasa gegaran itu kerana mereka sedang sibuk melakukan urusan. - Kompas.commyMetroGempa 6.6 magnitud landa Aceh:

Bunuh diri lepas rahsia terbongkar

LONDON: Seorang pengurus pasar raya yang menyembunyikan rahsia mempunyai dua keluarga berbeza selama 20 tahun dan 12 anak, membunuh diri selepas isteri dan kekasihnya mengetahui hal yang sebenar.
Andrew Ingham, 50, mengalami tekanan perasaan teruk selepas dua isterinya meninggalkannya pada Disember tahun lalu selepas mengetahui rahsianya dan dia ditinggalkan berseorangan di sebuah rumah pangsa kecil. 
Walaupun telah berkahwin dengan isterinya Jackie selama 30 tahun, Ingham tetap menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya, Anita Barret, selama 21 tahun.

Dia ayah kepada empat anak bersama wanita simpanannya dan lapan bersama isterinya. Anak sulungnya bersama isterinya berusia 27 tahun sementara yang bongsu berusia lapan tahun.

Dalam inkues kematiannya di Mahkamah Koroner Chelmsford, Jackie, 48 dan Anita, 42 duduk agak jauh di antara satu sama lain.

Ingham membunuh diri selepas merasa tertekan mengenai “kejadian yang berlaku dalam kehidupan peribadinya.”

Sebelum membunuh diri dia meninggalkan beberapa nota yang dialamatkan kepada “sesiapa yang berkenaan.”

Ingham tinggal bersendirian di rumah pangsa di atas restoran di Waltham Abbey dan mayatnya ditemui oleh rakannya, Stuart Pride.

Pride, tuan punya rumah itu merasa sangsi apabila menemui surat saman di kereta Ingham kerana kawannya itu sentiasa berhati-hati untuk tidak disaman.
Dia menggunakan kuncinya sendiri untuk masuk ke rumah Ingham dan menemui mayat rakannya.
Pride berkata, “Saya melangkah ke bilik. Saya lihat ada beberapa nota di atas katil. Saya mengintai ke dalam dan nampak tubuh Andrew tergantung dari alang.” - DMmyMetroBunuh diri lepas rahsia terbongkar:

Presiden ada empat anak luar nikah disingkir

Fernando Lugo
Fernando Lugo



ASUNCION: Kongres Paraguay semalam menyingkirkan Presiden Fernando Lugo daripada jawatannya, selepas satu undi tidak percaya yang beliau dakwa sebagai rampasan kuasa, tetapi memberi jaminan akan menerimanya. 

Lugo, bekas paderi yang bertanding jawatan presiden, didapati bersalah berikutan kesilapannya mengendalikan pertempuran bersenjata berkaitan perebutan tanah yang menyebabkan 17 polis dan petani terbunuh minggu lalu, selain skandal seks membabitkan empat anak luar nikah yang dilahirkan beberapa teman wanitanya.
“Walaupun undang-undang yang ada diputarbelitkan, saya menerima keputusan Kongres.
“Sejarah Paraguay memang sudah lama tercemar,” kata Lugo ketika menyampaikan ucapan ke seluruh negara yang disiarkan secara langsung. 

Beliau digantikan timbalan presidennya yang berhaluan kiri Federico Franco, bagi melengkapkan tahun terakhir beliau menyandang jawatan. 

Ketika berkempen dalam pilihan raya presiden empat tahun lalu, Lugo berikrar untuk menjadi wira penduduk miskin Paraguay, membabitkan perebutan tanah dan eksport soya, tetapi agenda pembaharuannya terjejas berikutan cengkaman pembangkang di Kongres. 

Sekutu politik Lugo menjauhinya minggu lalu, ketika pertumpahan darah memuncak di timur laut negara itu, manakala senat mengundi 39-4 untuk menyingkirkannya kelmarin selepas satu usul dibentangkan di Dewan Rakyat. 
Ribuan penyokong Lugo berhimpun di luar bangunan Kongres di Asuncion dan cuba merempuh sekatan polis ketika keputusan diumumkan. – Reuters