Pages

Monday, April 16, 2012

Taliban serang Kabul



BEBERAPA anggota keselamatan melakukan rondaan selepas satu serangan berani mati berlaku di daerah Behsood, Jalalabad semalam.


KABUL - Pergerakan Taliban melancarkan satu siri serangan termasuk di ibu kota Afghanistan di sini semalam.
Serangan itu melibatkan pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), bangunan parlimen dan kedutaan Barat.
Taliban turut melancarkan serangan di tiga buah lagi bandar.
Seramai dua anggota Taliban terbunuh dan lima lagi cedera di sini.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengaku pergerakannya bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Menurutnya dalam satu kenyataan, sejumlah pengebom berani mati menyerang Kabul dan tiga buah wilayah lagi iaitu Paktia, Nangarhar dan Logar.
Serangan itu bermula pada waktu tengah hari dengan letupan berlaku di kawasan kejiranan Wazir Akbar Khan yang menempatkan sebuah pangkalan NATO dan sejumlah kedutaan termasuk pejabat kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Bunyi tembakan kedengaran sejurus selepas serangan menyebabkan sejumlah orang di jalan raya mencari tempat berlindung.
Lebih 10 letupan bergema di Kabul.
Asap menjulang tinggi semasa siren bergema.
Dalam satu kenyataan e-mel, Zabuillah berkata, serangan itu menjadikan ibu pejabat NATO sebagai sasaran.
Dia menyatakan turut menjadi sasaran serangan ialah kedutaan Britain dan Jerman, Hotel Kabul Star dan lokasi di tepi jalan Darulaman yang menempatkan kedutaan Rusia.
Menurutnya, pada masa yang sama, para militan melancarkan serangan kemudahan NATO dan Afghanistan di bandar wilayah Nangarhar, Logar dan Paktia.
"Dalam serangan itu, puluhan ribu mujahidin dilengkapi dengan senjata berat dan ringan, baju untuk pengebom berani mati, roket, bom pelancar roket dan bom tangan menyerang sasaran mereka," katanya.
Dia yang memberitahu agensi berita AP menerusi telefon menyatakan bahawa kumpulan tersebut telah merancang untuk melakukan serangan tersebut sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, serangan itu dilakukan bagi menunjukkan kekuatan Taliban selepas NATO menggerakkan kumpulan tersebut telah lemah.
"Kami kuat dan kami boleh menyerang di mana-mana sahaja yang kami mahu," katanya.
Para militan juga melancarkan serangan mortar di sebuah kawasan di sekitar sebuah pangkalan NATO di sebatang jalan raya di Jalalabad di pinggir Kabul.
Kementerian Luar Jerman menyatakan terdapat kerosakan di kedutaan itu tetapi ia dianggap tidak melibatkan kecederaan dan kematian.
Kedutaan AS menyatakan dalam satu kenyataan bahawa terdapat serangan di pekarangan kedutaan tersebut.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Nahim Lalai Hamidzai dari Kandahar menyatakan dia memanjat sebuah menara bangunan parlimen dan melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota Taliban.
"Saya melepaskan 400 hingga 500 butir peluru dari senapang Kalashni-kov milik saya," katanya. - Agensi

Khalifah Umar dan Isterinya


Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel.
Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun marah balik isterinya kerana membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami mula meninggikan suara.
Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau. Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas.
Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku.
Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”
Si suami tadi menjawab,
“Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”
Saidina Umar tersenyum lalu berkata :
“Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

Khalifah Umar yang terkenal dengan ketegasannya dan garang dalam peperangan juga menunjukkan kelembutan dalam rumah tangga.


Sunday, April 15, 2012

Jangan main2 dengan 20 sen...

Tersebut kisah ada seorang Imam yang telah dipanggil ke suatu tepat untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang... baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," hati kecilnya berkata-kata.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!! Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Ps/jgn la gadai iman kita dgn seberapa besar pun nilai wang.. kerna iman tak boleh di jual beli...

en sepi
sumber Admin amRF

Lelaki terjerat dengan wanita nafsu buas minta bantuan

MUNICH: Seorang lelaki mendapat lebih daripada yang diimpikannya selepas berkenalan dengan seorang wanita empat tahun lebih tua daripadanya.
Dia terpaksa melarikan diri ke balkoni sebelum meminta bantuan polis apabila wanita berkenaan enggan melepaskannya kerana mahu lebih banyak seks.

Lelaki berusia 43 tahun itu berkenalan dengan wanita terbabit di sebuah bar di Munich, Isnin lalu.

Menurut akhbar Internet Jerman, The Province, wanita itu membawanya pulang ke aparmentnya, tempat mereka mengadakan seks berulang kali.

Tetapi apabila wanita itu mendesak untuk mengadakan lebih banyak seks, lelaki itu menolak.

Jurucakap polis berkata, dia melayan kehendak wanita itu beberapa kali supaya dapat meninggalkan apartmen itu.




“Tetapi apabila wanita itu mendesak lagi, lelaki itu melarikan diri ke balkoni dan menelefon polis untuk mendapatkan bantuan.

“Lebih buruk lagi, apabila polis tiba, dia cuba menggoda mereka pula,” kata jurucakap itu. Wanita berkenaan mungkin menghadapi tuduhan melakukan serangan seksual. - Agensi

Syria terus bergolak

DAMSYIK: Tentera Syria semalam dituduh mengebom bandar Homs yang dikuasai pemberontak meskipun gencatan senjata sudah dikuatkuasakan.
Serangan itu dilakukan ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersedia mengundi ketetapan bagi penghantaran pemerhati ke negara itu bagi mengawasi gencatan senjata yang masuk hari ketiga, semalam.

Tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad didakwa mengebom daerah Jurat all-Shayah dan Al-Qarabis selama sejam pada sebelah bagi, kata Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia. Ia bagaimanapun tidak memberi butir mengenai kemalangan jiwa.

Di Dmeri, selatan Damsyik, tentera Bashar didakwa menembak sebuah kereta, menyebabkan seorang awam terbunuh dan dua lagi cedera, kata kumpulan pemerhati yang berpejabat di Britain itu.

Ini kematian keenam selepas enam orang awam terbunuh kelmarin ketika ribuan rakyat di seluruh Syria menyahut gesaan pembangkang supaya berarak, mengambil kesempatan terhadap gencatan senjata yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Gencatan senjata itu berkuatkuasa Khamis lalu.




Amerika Syarikat menggesa diadakan undi di Majlis Keselamatan PBB selepas bertelagah dengan Russia mengenai jaminan keselamatan untuk 30 pengawas tentera tanpa senjata.

Duta PBB-Liga Arab, Kofi Annan mahukan mereka ditempatkan di negara bergolak itu minggu depan sebagai sebahagian daripada pelan damai yang bertujuan menamatkan perang saudara di Syria yang memasuki bulan ke-13. Russia juga menentang desakan majlis itu supaya rejim Bashar mengundurkan tentera dan senjata berat dari semua bandar. - Agensi

Suami bunuh isteri kerana tolak keinginan seks

JAKARTA: Seorang lelaki berusia 70 tahun ditangkap kerana dituduh membunuh isterinya, 60, selepas wanita itu menolak untuk mengadakan hubungan kelamin.
Ketua Polis Persanggrahan di Jakarta Selatan, Kompol Darmawan Situmorang, mayat wanita terbabit, Kartinah, ditemui berlumuran darah di rumah pasangan berkenaan.

Menurutnya, polis melancarkan gerakan memburu lelaki itu, Soleh yang akhirnya ditemui di terminal bas di Kebayoran Lama.

Dia dipercayai cuba melarikan diri ke kampung asalnya di Semarang, Jawa Tengah.

“Selepas disoalsiasat, Soleh akhirnya mengaku dia membunuh isterinya selepas mereka bertengkar,” kata Darmawan.

Pertengkaran meletus antara pasangan itu yang sudah puluhan tahun berkahwin selepas Kartinah menolak ajakan suaminya untuk mengadakan hubungan suami isteri.




“Dia mengaku memukul isterinya dengan tukul berulang kali hingga Kartinah mati berlumpuran darah,” kata Darmawan.

Tukul berkenaan ditemui kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. - Agensi

RM6,000 untuk tangkap ‘pontianak’

DHARAMPURI: Beberapa ahli politik menawarkan hadiah wang RM6,000 untuk menangkap pontianak yang didakwa penduduk menghisap darah lembu mereka.
Kampung di sekitar bandar Dharampuri di Tamil Nadu tidak berani keluar rumah selepas matahari tenggelam berikutan laporan mengenai kejadian aneh yang berlaku sebelah malam.

Mereka juga menconteng pintu rumah masing-masing dengan mesej kepada pontianak yang dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai Ratha Kaatteri, supaya tidak membunuh mereka.

Bagaimanapun, ahli politik tempatan mendakwa khabar angin itu disebarkan oleh penjenayah yang tidak mahu penduduk kampung mengganggu kegiatan membuat dan menghantar arak haram.

Untuk membuktikan cerita mengenai pontianak itu palsu semata-mata, mereka menawarkan hadiah 100,000 rupi (RM6,000) kepada sesiapa yang dapat menunjukkan mayat pontianak.

Ahli politik, O Jayaraman berkata: “Cerita pontianak itu palsu. Penjenayah yang terbabit dengan kegiatan arak haram meyebarkan khabar angin dan membunuh haiwan ternakan penduduk.




“Kerana penduduk percaya kepada kisah pontianak itu dan tidak mempercayai kami, kami menawarkan hadiah berkenaan.” - Agensi

Pengamal LBGT dalang pusat urut gay

KUALA LUMPUR: Kewujudan pusat urut dan spa khusus untuk memuaskan nafsu golongan songsang perlu ditangani segera dengan serius oleh semua pihak.
Mufti Selangor, Datuk Seri Utama Diraja Mohamad Tamyes Abd Wahid berkata, kewujudan pusat sebegitu dipercayai didalangi kumpulan yang mengamalkan lesbian, gay, bisekual dan transgender (LGBT).

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan segera menghalang kegiatan golongan itu sebelum mereka selesa mengamalkannya secara terbuka di khalayak umum.

“Saya percaya LGBT berkait rapat dengan kewujudan pusat sebegini yang kian bertambah di Kuala Lumpur mahupun Selangor.

“Saya khuatir, membiarkan gejala itu tanpa usaha membanteras pengusaha mendirikan pusat urut gay itu bakal memberi kesan negatif terhadap struktur sosial negara.

“Malah, tindakan mereka yang seolah-olah berusaha membuka mata pihak luar untuk menerima gaya hidup liberal sebenarnya tidak relevan meskipun mereka menuntut atas lesen hak kemanusiaan,” katanya.




Tamyes berpendapat, tindakan golongan itu menyediakan pakej urutan bogel serta badan ke badan melanggar hukum penjagaan aurat itu sendiri yang jelas haram menurut Islam.

“Aurat lelaki bermula dari atas pusat hingga ke bawah lutut meskipun dia bersama keluarga seperti anak, bapa mahupun saudara.

“Ini bertujuan melindungi akhlak dan menjaga kehormatan, sekali gus menjamin apa dikatakan oleh agama sebagai maksiat tidak berlaku,” katanya yang turut menasihati pengamal perubatan tradisional supaya tidak terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia, Fadhlina Siddiq menyeru ibu bapa mahupun isteri lebih kerap memantau kegiatan anak mahupun suami.

“Bukan tidak pernah terjadi dalam kes membabitkan masalah rumah tangga wujudnya orang ketiga di luar sangkaan seperti ‘gay partner’.

“Isteri mahupun ibu bapa perlu lebih teliti dengan gerak-geri suami atau anak supaya gejala seperti mengunjungi pusat kesihatan songsang seperti ini ditangani awal,” katanya.

Pihaknya ketika ini melihat rundingan serta sesi kaunseling adalah langkah terbaik untuk menyelamatkan golongan tersasar itu.

“Terus menghukum golongan ini menyebabkan mereka bakal menyisihkan diri berbanding dengan pendekatan kaunseling yang dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mengembalikan lelaki berkenaan ke pangkal jalan,” katanya ketika dihubungi.

Pakar karate makan mayat

PERNAMBUCO (Brazil): Seorang pakar karate dan dua wanita ditangkap kerana membunuh sekurang-kurangnya dua orang sebelum memakan daging mangsa untuk ‘membersihkan jiwa.’
Menurut polis, ketiga-tiga warga Brazil yang ditangkap di Pernambuco, timur laut negara itu, adalah anggota yang mempercayai fahaman ‘menyucikan dunia.’ Pakar karate, Jorge da Silveira, 51, ditangkap bersama-sama Isabel Pires, 51, dan Bruna da Silva, 25, kerana merancang membunuh tiga wanita setiap tahun.

Seorang jurucakap polis berkata, rancangan mereka terbongkar apabila polis menemui buku 50 muka milik da Silveira yang mengandungi lukisan dan maklumat mengenai memakan daging manusia.

Polis juga menemui dua mayat di laman rumah kumpulan terbabit.

Mereka percaya mayat itu milik Alexandra Falcao, 20, dan Gisele da Silva, 30, yang dilapor hilang di kawasan itu baru-baru ini.

Kedua-dua mangsa dilapor dilihat berhampiran rumah suspek sejurus sebelum hilang.




Jiran membakar rumah terbabit, tempat mayat itu ditemui Khamis lalu, menurut laporan media Brazil.

Pesuruhjaya Polis, Wesley Fernandes berkata, ketiga-tiga suspek merancang membunuh seorang lagi mangsa berhampiran bandar itu.

Dia percaya suspek sudah membunuh lebih ramai mangsa. - Agensi

Saturday, April 14, 2012

Babun mampu kenal huruf



MARSEILLE 13 April - Babun mampu mengenal perkataan yang mempunyai empat huruf pada skrin komputer, menurut dua saintis dari Perancis, Dr. John Grainger dan Dr. Joel Fagot.
Penyelidik dari Universiti Aix-Marseille itu mendapati, selepas dilatih, haiwan tersebut mampu membezakan antara perkataan yang dieja dengan betul dan kombinasi huruf yang tidak tepat, walaupun tidak dapat membacanya.
Keputusan kajian tersebut menunjukkan kebolehan mengenalpasti perkataan di kalangan babun lebih berkait dengan pengenalan objek, berbanding kemahiran linguistik.
"Kesimpulannya babun mampu menguasai latihan membezakan perkataan dan bukan perkataan, jadi kami sangat gembira apabila mereka mampu melakukannya," kata Dr. Grainger.
Kajian tersebut dilakukan terhadap sekumpulan babun Guinea dalam satu makmal yang dibina di universiti itu.
"Dalam penyelidikan ini, babun dibiarkan bebas untuk menyertai ujian dan akan dikenal pasti secara automatik oleh ujian komputer apabila mereka keluar dari kumpulan sosial secara sukarela serta memasuki satu daripada 10 sistem ujian yang disediakan," kata Dr. Fagot yang mereka cipta sistem tersebut.
Di dalam bilik khas yang disediakan, haiwan tersebut akan didedahkan dengan skrin komputer yang memaparkan sama ada perkataan dengan empat huruf tepat atau huruf yang tidak tepat.
Babun tersebut perlu menyentuh secara tepat sama ada tanda tambah untuk bukan perkataan atau bentuk bujur untuk perkataan.
Seekor daripada babun yang terlibat mampu mengenalpasti sehingga 300 perkataan secara tepat. - AGENSI

Jam tangan pintar Sony




Jam tangan pintar SmartWatch keluaran Sony, memudahkan pengguna melayari Internet menggunakan sistem operasi Google, Android. - Agensi


SAN FRANCISCO 13 April - Syarikat elektronik, Sony memperkenalkan jam tangan yang boleh melayari Intenet menggunakan aplikasi sistem operasi Google, Android.
Menurut Sony, SmartWatch boleh melayari Internet melalui sambungan tanpa wayar menggunakan teknologi Bluetooth ke telefon pintar Android.
Jam tangan berharga AS$150 (RM465) itu boleh dibeli di Internet dan kedai Sony.
Presiden unit pelanggan Sony Mobile Communication, Paul Hamnett berkata, SmartWatch menyediakan akses kepada bahan kandungan dan hiburan secara langsung.
Katanya, SmartWatch boleh bertukar daripada memaparkan masa kepada skin sesentuh untuk melayari Internet.
Gegaran atau pemberitahuan panggilan telefon pintar dipaparkan di skrin seluas 1.3 inci dan pengguna hanya perlu mengangkat lengan untuk melihat emel atau mesej teks serta Facebook dan Twitter.
Sony berkata, aplikasi mini lain untuk SmartWatch juga boleh didapati di kedai dalam talian Google Play. - AFP

FUTURISTIK




Kapal layar mewah trimaran, Adastra, yang mempunyai ciri-ciri seperti kapal angkasa, menarik perhatian orang ramai ketika pelancarannya di Zhu Ha, China, kelmarin. – AGENSI


KAPAL layar mewah trimaran dikenali sebagai Adastra yang mencecah harga AS$15 juta (RM46 juta) berjaya mencuri tumpuan ramai ketika pelancarannya di Zhu Ha, China, kelmarin.
Adastra yang mempunyai reka bentuk seperti ‘kapal angkasa’ ditempah oleh pasangan Anto dan Elaine Maiden yang juga merupakan pelayar dari Hong Kong.
Mempunyai panjang 42.5 meter dan lebar 16 meter, Adastra dengan berat 52 tan direka oleh John Shuttleworth Yacht Designs dan dibina oleh McConaghy Boats dalam tempoh lima tahun.
Ia mempunyai kelajuan maksimum 22.5 knot dan mampu mencapai jarak 4,000 batu nautika pada kelajuan 17 knot.
Kapal layar mewah yang direka khas ini mampu belayar dari United Kingdom ke New York.
Adastra boleh memuatkan sembilan tetamu dengan ruang untuk enam krew. Ia digerakkan oleh satu enjin Caterpillar C18 dan boleh dikawal menggunakan iPad mahu pun Apple pada jarak 50 meter. – AGENSI

Pertempuran pertama selepas gencatan senjata di Syria




Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Syria, Shaam News Network menunjukkan kerosakan bangunan akibat dibedil di daerah Bab Dreib, Homs, kelmarin. - AFP


BEIRUT 13 April - Pasukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dilaporkan bertempur dengan pemberontak berdekatan sempadan Turki hari ini, pertempuran pertama selepas gencatan senjata anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilihat berjalan lancar selepas dikuatkuasakan kelmarin.
Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, pertempuran itu berlaku di wilayah barat laut, Idlib, bersempadan Turki selepas tentera ditempatkan bagi mengusir pemberontak di kawasan tersebut.
Menurutnya, beberapa penyerang ditahan ketika pertempuran bermula, namun angka kematian tidak dinyatakan dan pertempuran dipercayai telah dihentikan.
Rami berkata, gencatan senjata yang dianjurkan oleh perutusan khas PBB, Kofi Annan, sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara, namun tiada tanda-tanda penempatan tentera di kawasan bandar ditarik balik.
Sementara itu, Jawatankuasa Koordinasi Tempatan berkata, pertempuran besar berlaku di perkampungan Kherbet Joz semalam, berdekatan dengan Turki dan berpuluh-puluh kereta kebal dikerah ke kawasan tersebut.
Sekurang-kurangnya 10 terbunuh termasuk tujuh orang awam, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dalam pertempuran tersebut.
PBB mendakwa, tentera Assad telah membunuh lebih 9,000 penduduk sejak pemberontakan terhadapnya memuncak sejak 13 bulan lalu.
Pihak berkuasa mendakwa, pemberontakan tersebut berpunca daripada kumpulan pemberontak yang ditaja pihak luar yang didakwa mereka telah membunuh lebih 2,500 anggota polis dan tentera. - REUTERS

Potong alat sulit rakan selepas saudara dirogol

Berita Harian Online | Potong alat sulit rakan selepas saudara dirogol:




2012/04/14

MUMBAI: Seorang lelaki berusia 38, tahun menjatuhkan hukuman bunuh paling mengerikan ke atas rakannya malam Selasa lalu dengan memotong alat sulit mangsa selepas saudara perempuannya mengadu dirogol lelaki berkenaan. 

Dia menyerah diri kepada polis Pant Nagar di Ghatkopar.


Polis terkejut apabila lelaki berkenaan datang ke balai dengan memegang alat pemotong. Memperkenalkan dirinya sebagai Kannan Muttu Kumar Swami Pillai, dia kemudian mengaku membunuh rakannya, Govindan, 35.

Pillai mendakwa Govinda merogol saudara perempuannya, dan dia membunuhnya bagi membalas dendam. Pillai kemudian diiringi polis ke tempat dia membuang mayat Govindan selepas mengelar leher dan memotong alat sulit mangsa. 

Pillai mendakwa dia memberikan tempat tinggal dan kerja kepada Govindan. 

“Dia memberikan tempat tinggal kepada Govindan, apabila mangsa berpindah ke Mumbai lima tahun lalu. Pillai juga memberikan peluang kerja kepada Govindan dalam perniagaan makanan ikan yang diusahakannya. 

“Namun Isnin lalu dia mengetahui Govindan selalu bercakap dengan saudara perempuannya dan merogol wanita itu,” kata pegawai polis Panta Nagar. 
Pillai memutuskan untuk memberikan pengajaran kepada Govindan dan membawa mangsa keluar bersuka ria pada malam Selasa lalu. – Agensi

Budak sepintar Stephen Hawking

Berita Harian Online | Budak sepintar Stephen Hawking:





2012/04/14

  HEIDI kanak-kanak berusia empat tahun disahkan mempunyai IQ kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia.
HEIDI kanak-kanak berusia empat tahun disahkan mempunyai IQ kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia.
Heidi mempunyai IQ kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia 

LONDON: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun warga British diterima sebagai individu yang mempunyai kecerdasan akal (IQ) yang hanya kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia, Stephen Hawking, kata Persatuan Kecerdasan Akal (IQ) Tinggi (Mensa) yang dipetik akhbar The Sun.


Ketua Eksekutif Mensa British John Stevenage, berkata organisasi itu bangga mengalu-alukan Heidi Hankins dari Winchester, England, ke ranking itu selepas beliau mendapat markah 159 dalam ujian IQ dan meletakkannya hanya satu markah di belakang IQ Hawking iaitu 160 markah.

Ujian yang diambil kanak-kanak terbabit khusus dibuat untuk kanak-kanak seusia dengannya dan mengandungi campuran soalan yang berupa penyelesaian masalah dan permainan perkataan. 

Akhbar Korean Herald pula melaporkan bapa kanak-kanak itu, Matthew Hankins, 46, berkata dia dan isterinya sejak awal sudah mengetahui yang anak mereka istimewa. 

“Kami selalu fikir Heidi bijak kerana dari kecil dia sudah pandai membaca. Saya ingin tahu mengenai IQ anak kami dan hasilnya adalah luar jangkaan. 

“Saya membelikannya satu set buku bacaan kanak-kanak Oxford ketika dia berusia dua tahun dan Heidi membaca keseluruhan set yang mengandungi 30 buku dalam masa sejam. 
“Sebenarnya apa yang dilakukan Heidi ini adalah yang boleh dilakukan kanak-kanak berusia tujuh tahun. 

“Heidi cuba bercakap sejak mula lahir dan pada usia setahun dia fasih bercakap dan banyak perkataan diketahuinya,” katanya. 

Matthew yang juga pensyarah kesihatan awam di Universiti Southampton, berharap anaknya boleh melompat kelas setahun untuk membolehkan kanak-kanak itu selari dengan cabaran. 

Mensa adalah persatuan IQ tinggi tertua dan terbesar dunia. Ia adalah organisasi bukan kerajaan dan terbuka kepada mereka yang mendapat markah 98 peratus atau lebih tinggi daripada standard ditetapkan dengan IQ dipantau atau ujian kecerdasan lain yang diluluskan. 

Aktres Hollywood Sharon Stone mempunyai IQ sebanyak 154, manakala penyanyi Columbia turut termasuk dalam individu istimewa dengan IQ sebanyak 140. – Agensi

AS tahan Shah Rukh Khan, India marah

shah rukh khan
NEW YORK - India melahirkan rasa marah dengan tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan aktor popular Bollywood, Shah Rukh Khan kira-kira 90 minit di lapangan terbang White Plains dekat sini, hari ini.
Menteri Hal Ehwal Luar India, SM Krishna berkata, dasar menahan dan kemudian meminta maaf di pihak berkuasa AS tidak harus berterusan.
Aktor itu tiba di lapangan terbang White Plains dengan menaiki pesawat peribadi untuk menghadiri satu majlis di Universiti Yale.\
Pihak berkuasa kastam dan perlindungan sempadan memohon maaf atas insiden itu.
Jurucakap Kedutaan AS di Delhi, Peter Vrooman juga memohon maaf "jika Shah Rukh Khan berhadapan dengan situasi yang tidak selesa atau sebarang kelewatan."
Tidak jelas sebab aktor itu ditahan di lapangan itu.
Pada 2009, Shah Rukh Khan ditahan selama dua jam di lapangan terbang Newark dan kemudian dibebaskan selepas campur tangan India di AS.
Ketika itu, Shah Rukh Khan berkata dia ditahan sebab membawa nama Islam.
Pegawai-pegawai AS menafikan Shah Rukh Khan ditahan, tetapi menekankan bahawa dia hanya disoal siasat.
"Permohonan maaf Amerika menjadi sesuatu yang mekanikal," kata Krishna hari ini.
Krishna juga telah meminta Duta India di AS, Nirupama Rao mengemukakan protes kepada kerajaan negara itu.

Sekutu Hosni diharam tanding

KAHERAH: Parlimen Mesir semalam meluluskan undang-undang yang mengharamkan anggota pentadbiran rejim Hosni Mubarak bertanding merebut jawatan awam.
Keputusan itu adalah perkembangan terbaru dalam kemelut politik negara itu.

Undang-undang berkenaan yang perlu diluluskan oleh Majlis Tentera yang memerintah sementara Mesir, akan menyaksikan bekas pegawai, termasuk bekas ketua perisikan, Omar Suleiman, (gambar) dilarang bertanding pada pilihan raya presiden bulan depan.

Pindaan terhadap undang-undang kegiatan politik itu mengharamkan mana-mana presiden, naib presiden, perdana menteri atau pemimpin atau anggota kanan Parti Demokratik Kebangsaan yang sudah dibubarkan daripada bergiat cergas dalam politik selama 10 tahun,” kata anggota Parlimen pada sesi sidang yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Ia dikuatkuasakan terhadap pegawai era Hosni yang berkhidmat pada dekad lalu hingga ke tarikh beliau digulingkan.

Ini bermakna, Ahmed Shafiq, perdana menteri terakhir yang berkhidmat dengan Hosni, juga tidak layak bertanding.

Bekas ketua perisik, Omar Suleiman yang dilantik menjadi naib presiden oleh Hosni pada minggu-minggu terakhir pemerintahannya, menegaskan sebelum ini, pencalonannya untuk jawatan presiden akan mengembalikan kestabilan di negara itu.

Ketika mengumumkan pencalonannya, bekas jeneral itu cuba untuk menjauhkan dirinya dengan Hosni.
“Jika saya pernah menjadi ketua perisikan dan kemudian naib presiden, itu tidak bermakna saya adalah sebahagian daripada rejim yang ditentang oleh rakyat,” katanya dalam wawancara sebelum mengemukakan pencalonannya.

Majlis Tinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih pemerintahan selepas penggulingan Hosni berkata, ia akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam Jun ini selepas presiden baru dipilih.

Pendaftaran untuk jawatan tertinggi di Mesir itu ditutup Ahad lalu. - AFP
-metro

Tergantung satu jam


MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.
MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.


KENINGAU: “Saya terdengar bunyi dentuman dan melihat kawan saya terpelanting selain percikan api turut kelihatan. Sejurus kemudian, saya lihat dia terkulai di atas tangga,” kata Michael Gubongo, 32, mengenai kematian rakan sekerjanya akibat terkena renjatan elektrik, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, Gilbert Santos Alani, 39, yang juga juruteknik penyelenggaraan menyelenggara sambungan lampu jalan di pencawang berhampiran Tamu Apin-Apin, di sini.

Mangsa mati di tempat kejadian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi dan mayat mangsa dibiarkan tergantung hampir sejam sebelum pasukan penyelamat tiba dan menurunkannya.

Michael berkata, sebelum itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian tidak berani menurunkan mayat mangsa kerana takut terkena renjatan elektrik yang dipercayai masih mengalir di pencawang berkenaan.

“Saya berada berhampiran mangsa ketika kejadian dan menyedari sesuatu tidak kena apabila melihat dia seperti ‘ditendang’ arus kuat. Ketika kejadian dia cuba menyambung wayar lampu jalan ke kabel utama di pencawang itu,” katanya.

Michael berkata, dia cuba membantu, tetapi membatalkan hasrat itu apabila melihat percikan api pada tangga digunakan mangsa.


“Walaupun sedih, saya hanya mampu melihat badannya terjuntai di atas tangga tanpa mampu memberi sebarang bantuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak, menetap di Kampung Biah Tengah, di sini.

“Sebelum ini, dia sering bercerita mengenai hajatnya untuk berhijrah dan bekerja di Afrika sebagai penyelia elektrik. Dia tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil dan kami sudah bekerja bersama sejak 12 tahun lalu,” kata Michael.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 11.15 pagi sebelum mengarahkan dua jentera termasuk kenderaan utiliti bersama 11 anggota ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati seorang lelaki tergantung dalam keadaan terkulai di pencawang elektrik di tepi jalan berhampiran Tamu berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum menurunkan mayat mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mematuhi ciri keselamatan ketika melakukan penyelenggaraan elektrik.

“Kami mendapati mangsa hanya berseluar pendek, tidak memakai sarung tangan dan hanya berselipar ketika kejadian.

“Kecuaian sebegini sepatutnya tidak berlaku. Kemalangan boleh dielak jika semua pihak mengutamakan keselamatan, lebih-lebih lagi dalam pekerjaan berisiko tinggi seperti ini,” katanya.
-metro

Pijak anak sampai mati


PILU...anggota keluarga menuntut mayat bayi berkenaan di HRPB, semalam.
PILU...anggota keluarga menuntut mayat bayi berkenaan di HRPB, semalam.


IPOH: Berang apabila adik ipar menegur sikap buruknya yang kerap mengabaikan keluarga dan sering memukul anak, seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila memijak bayi lelakinya yang berusia dua minggu hingga mati.
Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin di rumah keluarga berkenaan di Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam, dekat sini, lelaki terbabit yang berusia 40-an sebelum itu menyerang adik iparnya dengan parang.
Sumber polis berkata, bagaimanapun, mangsa yang berusia 32 tahun bernasib baik kerana hanya cedera ringan di telinga dan jari kaki kirinya.

Menurutnya, suspek yang bekerja dengan syarikat pengumpul barang lusuh sering mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan memukul enam anaknya setiap kali bertengkar dengan isterinya yang berusia 36 tahun.


“Perbuatan ganas suspek menyebabkan adik iparnya yang tinggal berhampiran hilang sabar lalu menegur sikap buruknya itu. Bagaimanapun, tindakan itu tidak disenangi suspek hingga mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Potong telinga suspek pengeboman

HELMAND: Sekumpulan penduduk di wilayah ini bertindak memotong kedua-dua telinga lelaki yang disyaki bertanggungjawab memasang jerangkap samar.
Jerangkap samar yang dipasang itu meletup kelmarin dan mengorban dua orang awam. Setelah kejadian, penduduk menangkap seorang lelaki yang disyaki terbabit. Jurucakap pejabat pentadbiran Helmand, Daud Ahmadi berkata, lelaki itu nyaris digantung. Tetapi beberapa saksi menandatangani akuan menafikan dia terlibat. Namun, penduduk sudahpun memotong telinga lelaki itu. - AP

Tiada jemaah Syria tunai umrah

MAKKAH: Tiada jemaah umrah dari Syria tiba di bandar suci ini untuk melakukan ibadah berkenaan sejak Januari lalu.
Seorang anggota jawatankuasa Haji dan Umrah di Dewan Perniagaan dan Industri Makkah berkata, perkembangan itu disebabkan pembatalan penerbangan dan perjalanan bas dari negara itu yang dilanda keganasan sejak tahun lalu.

Ia ditambah buruk dengan penutupan kedutaan dan pejabat konsul Arab Saudi di Syria. “Kami belum menerima sebarang permohonan untuk mengerjakan umrah dari Syria,” kata Ahmad Bajuather, pemilik syarikat haji dan umrah yang menguruskan jemaah dari negara itu.

Menurutnya, jika syarikat umrah dibenarkan mengaturkan perjalanan warga Syria untuk melakukan ibadah itu, mereka akan menolak.

“Memandangkan keadaan di Syria ketika ini, ramai rakyat negara itu sudah pasti mahu datang bekerja dan tinggal di negara ini. Mereka tidak mahu pulang ke negara asal kerana sengketa politik dan kesulitan ekonomi. Kami berdepan dengan risiko tinggi jika mahu mengatur kedatangan jemaah Syria,” kata Ahmad.

Ketua Jawatankuasa Pengangkutan Tempatan, Jameel Al-Qurashi berkata, rakyat Syria menghadapi kesukaran untuk menunaikan umrah tahun ini kerana Arab Saudi bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Damsyik. - AN

14 tahun makan gaji buta

MINDEN: Seorang pesara Jerman yang menamatkan perkhidmatannya baru-baru ini menghantar e-mel kepada 500 rakan sekerjanya memberitahu mereka bahawa dia tidak melakukan apa-apa tugas selama 14 tahun.
Ucapan terakhir lelaki berusia 65 tahun itu ialah menghebahkan kepada rakan sekerjanya mengatakan dia meraih lebih 600,000 pound (RM3 juta) tanpa menggerakkan satu jari pun.

“Sejak 1998, saya datang ke tempat kerja tetapi bukan ada di pejabat dalam erti kata sebenar. Jadi, saya memang telah bersedia untuk bersara - Selamat Tinggal,” tulisnya.

Namun, dia tidak terfikir e-mel itu bukan hanya berlegar di pejabat di North Rhine-Westphalia saja, tetapi ia turut didedahkan kepada media. “Saya tidak mahu katakan apa-apa lagi,” katanya kepada akhbar tempatan ketika petugas media menemuinya di depan pintu rumahnya di Minden.

“E-mel itu bukan untuk tatapan umum,” katanya. Lelaki yang tidak didedahkan identitinya dan bekerja sebagai juruukur sejak 1974 itu berkata, situasi terbabit berlaku kerana kesilapan majlis perbandaran yang melantik dua orang untuk satu tugas dan rakannya melakukan semua tugas itu. - Agensi

Berlusconi akui bayar pelacur

PASANGAN kembar Imma dan Eleonora De Vivo.
PASANGAN kembar Imma dan Eleonora De Vivo.


SILVIO Berlusconi.
SILVIO Berlusconi.

ROME: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi membayar lebih 100,000 pound (RM500,000) kepada pelacur yang dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes pelacuran ‘bunga bunga.’
Peguamnya semalam mengesahkan bayaran itu dibuat, tetapi menafikan ia cubaan untuk mempengaruhi keterangan wanita berkenaan.
Rekod bank yang diperoleh pendakwa raya menunjukkan bilionair itu membayar RM525,000 kepada bintang harapan Anglo-Itali yang kemudian menjadi ahli politik, Nicole Minetti dan gadis panggung yang menghadiri partinya iaitu pasangan kembar Imma serta Eleonora De Vivo.

Ketiga-tiganya akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan Berlusconi, yang menghadapi tuduhan membayar untuk mendapatkan khidmat seks kepada pelacur bawah umur, penari keturunan Maghribi yang bergelar Ruby atau ‘si pencuri hati.’


Berlusconi juga dituduh menyalahgunakan jawatannya apabila cuba membebaskan wanita itu daripada tahanan polis.

Perbicaraan yang bermula setahun lalu itu masih berjalan dan disambung Isnin ini.

Berlusconi dan Ruby atau nama sebenarnya Karima El Mahroug menafikan tuduhan itu.

Menurut pendakwa raya, kembar De Vivo antara lebih 30 wanita yang didakwa dibayar Berlusconi untuk mendapatkan khidmat seks.

Berlusconi sebelum ini pernah berkata, walaupun dia ‘nakal,’ dia memerlukan stamina lelaki berusia 30 tahun untuk melakukan perbuatan sedemikian.

Nicole yang mempunyai ibu yang bekerja sebagai jurulatih tari dan berasal dari Britain tetapi tinggal di Itali, dituduh dalam perbicaraan berasingan kerana mendapatkan pelacur untuk parti seks ‘bunga bunga’ Berlusconi di kediamannya di luar Milan.

Berlusconi, 75, menegaskan parti yang diadakan di kediamannya itu hanya parti makan malam untuk rakan dan pembantunya. - Agensi 
-metro

‘Spiderman’ panjat hotel di Doha



ROBERT memanjat tanpa menggunakan tali. -AFP


DOHA – Pemanjat legenda Perancis, Alain Robert kelmarin memanjat Hotel The Torch Doha setinggi 300 meter di sini dalam masa 93 minit dan 47 saat sekali gus mencatatkan rekod baharu Guinness.
Ia merupakan bangunan tertinggi di Qatar dan dibina untuk Sukan Asia pada tahun 2006.
“Setiap bangunan berbeza. Bangunan ini agak sukar menyebabkan saya berasa teruja dan sedikit gementar pada masa yang sama. Perasaan ini adalah normal,” katanya yang diberi nama jolokan ‘Spiderman’.
Robert, 50, pernah memanjat lebih 85 bangunan di seluruh dunia. – Agensi

Korea Utara malu roket berkecai



GAMBAR fail menunjukkan roket Unha-3 yang membawa satelit di pusat pelancaran Tangachai-ri, Korea Utara pada 8 April lalu.


PYONGYANG – Korea Utara semalam mengumumkan roket jarak jauhnya, Unha-3 gagal menuju ke orbit yang merupakan pengakuan yang memalukan.
Kegagalan tersebut sekali gus memberi tamparan hebat kepada pemimpin muda negara komunis itu, Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 20-an.
Jong-un menggantikan bapanya, Kim Jong-il yang mati dipercayai kerana serangan sakit jantung pada Disember tahun lalu.
Pelancaran itu dibuat bagi meraikan ulang tahun ke-100 kematian pengasas Korea Utara, Kim Il-sung yang juga datuk Jong-un.
Ia juga dilakukan bagi meraikan kebangkitan Jong-un yang kini dilaporkan mahu meneruskan ujian nuklear yang ketiga dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan tentera negaranya.
Satelit yang dihantar itu didakwa Korea Utara akan digunakan untuk tujuan penyelidikan.
Korea Utara menegaskan, roket membawa satelit itu ke orbit berkecai sebelum jatuh ke laut selepas bergerak dalam jarak yang lebih pendek berbanding sebuah lagi roket yang pernah dilancarkan sebelum ini.
Roket tersebut hanya terbang selama beberapa minit sebelum meletup di laut yang memisahkan Semenanjung Korea dan China.
Pada tahun 2009, sebuah roket Korea Utara berkecai selepas bergerak sejauh 3,800km.
Pasukan Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) memberitahu, bahagian pertama roket itu jatuh ke dalam laut di barat Korea Selatan.
Pelancaran roket itu melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia turut menerima kecaman AS, Rusia, Korea Utara dan Jepun yang mengancam mengetatkan lagi sekatan bagi menghalang Korea Utara membangunkan senjata nuklearnya.
Sementara itu, Setiausaha PBB, Ban Ki-moon meminta Korea Utara supaya berhenti daripada melakukan tindakan provokatif susulan kegagalan pelancaran roket jarak jauh negara berkenaan.
Kenyataan Ki-moon di Geneva dibuat selepas timbuh spekulasi bahawa negara yang dikembali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) itu merancang untuk melakukan ujian nuklear seterusnya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung berkenaan menjelaskan bahawa PBB masih komited untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada Korea Utara.
“Setiausaha Agung PBB menggesa DPRK supaya tidak meneruskan tindakan provokatif yang boleh meningkatkan situasi tegang di rantau Korea,” kata jurucakapnya, Martin Nesirky.
Pelancaran roket jarak jauh tersebut “amat dikesali” dan pada masa yang sama, ia melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata Ki-moon melalui jurucakapnya itu. – Agensi