Pages

Monday, February 20, 2012

Pesawat jet simbol prestij jutawan Asia


Jet eksekutif Legacy 650 milik Jackie Chan dihias dengan lakaran unik yang diilhamkan daripada seekor naga dalam mitos Cina. Ia diterbangkan dari Brazil sempena Pameran Udara Singapura yang berakhir semalam. - AFP


SINGAPURA 19 Feb. - Bagi golongan terkaya di Asia memiliki sebuah jet peribadi kini menjadi simbol status paling berprestij kerana rumah agam, limousin dan kapal layar tidak lagi memadai untuk mereka menunjuk-nunjukkan kekayaan.
Pengeluar jet eksekutif yang ingin menarik pembeli dari kalangan bilionair dan jutawan yang semakin ramai di Asia memperagakan segala produk mereka pada Pameran Udara Singapura yang berakhir hari ini.
Syarikat Embraer dari Brazil menerbangkan jet peribadi Jackie Chan ke Singapura untuk pameran tersebut.
Jet Legacy 650 milik bintang filem Hong Kong itu memaparkan lakaran unik dalam warna putih, merah dan kuning yang diilhamkan daripada seekor naga dalam mitos Cina.
Chan dilantik pada bulan ini sebagai duta jenama pertama bagi Embraer.
Pesawat Chan yang dilengkapi 13 tempat duduk dan berharga AS$31.5 juta (RM98 juta) itu adalah antara beberapa pesawat eksekutif yang dipamerkan oleh pelbagai syarikat termasuk Bombardier dari Kanada dan Gulfstream Aerospace Corp. dari Amerika Syarikat (AS).
"Seperti yang kita semua ketahui, rantau Asia Pasifik ialah pasaran yang berkembang dengan sangat pesat," kata Presiden Embraer, Ernest Edwards pada pameran udara itu.
Asia kini mempunyai bilangan jutawan kedua terbanyak selepas AS, dengan pertambahan mereka di China dan India pada kadar yang menakjubkan, menurut kajian oleh Merrill Lynch Global Wealth Management dan Capgemini.
Pengeluar jet memberi fokus terhadap individu dan keluarga yang memiliki aset boleh labur sekurang-kurangnya AS$30 juta (RM93 juta), iaitu golongan yang dikategorikan sebagai memiliki 'nilai aset bersih sangat tinggi'.
Bilangan mereka di Asia meningkat kepada 23,000 orang pada 2010, menurut laporan itu, manakala majalah perniagaan AS, Forbes menganggarkan China sahaja mempunyai hampir 150 bilionair. - AFP

Video Kevin Rudd maki hamun malukan Buruh


REAKSI Kevin Rudd yang dipetik daripada rakaman video sedang marah terhadap penterjemah bahasa Cina. - AGENSI


SYDNEY 19 Feb. - Parti pemerintah Australia, Parti Buruh hari ini menghadapi kemelut kepimpinan ekoran penyiaran satu rakaman video memaparkan bekas Perdana Menteri, Kevin Rudd memaki hamun seorang penterjemah bahasa Cina.
Rakaman video selama dua minit itu dimuat naik di YouTubue oleh pengguna bernamaHappyVegemiteKR, menunjukkan Rudd sedang merekodkan satu mesej dalam bahasa Mandarin dan mengutuk penulis teks tersebut.
''Bahasa ini susah, dia pula menambah kesukaran. Ini tidak boleh dilakukan,'' jerit Rudd yang merupakan bekas diplomat di China dan boleh berbahasa Mandarin, sambil menghentak meja dengan tangannya.
Rudd dipecat sebagai pemimpin Parti Buruh pada Jun lalu dalam satu rampasan kuasa oleh timbalannya, Julia Gillard yang berjaya memimpin parti itu meraih kemenangan pada pilihan raya umum lalu.
Spekulasi meningkat beberapa minggu lalu bahawa Rudd yang kini menjawat Menteri Luar, sedang melakukan persiapan untuk merampas kembali jawatan utama Parti Buruh.
Rudd menafikan spekulasi itu namun berkata, seseorang akan mempersoalkan masa 'luar biasa' video itu disebarkan kerana ia dirakamkan beberapa tahun lalu ketika beliau masih Perdana Menteri.
Katanya, ini kerana rakaman tersebut selalunya dimusnahkan namun video itu diarkibkan oleh pejabat Perdana Menteri atau jabatan kerajaan lain.
Pejabat Gillard menafikan membocorkan rakaman tersebut.
Rudd juga menegaskan beliau sudah berubah dan belajar untuk tidak terlalu mengawal keadaan serta membuat rujukan secara lebih luas, dua kritikan utama yang menyebabkan beliau kehilangan jawatan utama itu. - AFP

Tentera Syria tembak penunjuk perasaan anti kerajaan di Damsyik

AMMAN 19 Feb. - Seorang penduduk awam terbunuh manakala empat lagi cedera selepas pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan di Damsyik, semalam.
Serangan tersebut berlaku selepas Timbalan Menteri Luar China, Zhai Jun mengemukakan rayuan agar pergolakan yang berlaku selama 11 bulan di negara itu dihentikan ketika mengadakan lawatan ke Syria.
Pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ketika kira-kira 30,000 penunjuk perasaan menyertai upacara pengebumian tiga penduduk awam yang ditembak mati sehari sebelumnya.
"Pasukan keselamatan Syria mula melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas upacara pengebumian selesai," kata seorang saksi kepada Reuters.
Kumpulan aktivis pembangkang, Jawatankuasa Penyelaras Tempatan berkata, pasukan keselamatan menembak mati 14 penduduk awam di Damsyik dan di beberapa kawasan lain di Syria termasuk lima di bandar Homs.
Rakaman upacara pengebumian yang disiarkan menerusi Internet itu menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan slogan berbunyi 'Kami korbankan darah, jiwa kepada semua yang mati syahid. Rakyat Syria bersatu padu'.
Zhai Jun dalam pada itu mengemukakan rayuan agar keganasan di Syria dihentikan termasuk dalam pentadbiran dan ketenteraan.
"China menyokong reformasi yang dilakukan di Syria termasuk langkah-langkah mengatasi pergolakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Assad.
Beijing dan Moscow merupakan penyokong kuat Assad ketika Syria berdepan dengan krisis politiknya manakala Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Eropah, Turki dan Liga Arab mengutuk pergolakan yang berlaku dan menggesa agar pemimpin itu berundur dari jawatannya. - REUTERS

Duda berang dijel


KOTA BHARU - Tindakan seorang duda mencederakan tiga anak kandung dengan menggunakan wayar elektrik dan paip getah kerana berang kad sim telefon bimbitnya dipatahkan menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zawawi Dollah, 37, (gambar) selepas penganggur itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap anak-anaknya yang berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun sehingga badan ketiga-tiga anaknya lebam.
Zawawi didakwa melakukan perbuatan mencederakan anak-anaknya itu dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip di sebuah rumah di Lot 122, Jalan Kuala Krai, Kok Lanas di sini pada pukul 6.30 petang, 13 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, semasa bekas isteri tertuduh hendak menjemput ketiga-tiga anaknya yang berada di bawah jagaan tertuduh dia mendapati ketiga-tiga anaknya mempunyai kesan lebam pada badan akibat dipukul oleh ayah mereka.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah mencederakan anak-anaknya dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip.
Punca tindakan tertuduh disebabkan si bapa marahkan anak-anaknya kerana telah mematahkan kad sim telefon bimbit miliknya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam semasa membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon supaya dia diberikan hukuman yang ringan.
"Saya mohon dikurangkan hukuman. Ini kesalahan pertama saya. Bukan niat saya hendak mencederakan mereka," ujarnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepadanya.
Mohd. Fazaly Ali menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 15 Februari lalu dan dikenakan dua sebatan.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Pesakit barah meninggal dunia


ABDUL GHANI menyiramkan air mawar di pusara Mohd. Zulhafiz di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh, Kuantan semalam.


KUANTAN - Pesakit barah tulang, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani (gambar kecil), 21, menghembus nafas terakhir pada pukul 8.55 malam kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Menurut bapanya, Abdul Ghani Mohamed, 64, anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia ketika ditemani semua ahli keluarga di hospital tersebut.
"Seminggu sebelum ini, ketumbuhan di bahu kirinya tiba-tiba pecah lalu mengeluarkan darah dan cecair yang banyak.
"Akibat itu, arwah dilihat menahan kesakitan kerana terdapat kesan lubang sebesar bola pingpong dan ketumbuhan itu mengecil," katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian Mohd. Zulhafiz pada pukul 11 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh di sini.
Kosmo! 31 Januari lalu melaporkan penderitaan yang ditanggung Mohd. Zulhafiz disebabkan ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kirinya sejak hampir setahun lalu.
Susulan itu, dia diberikan rawatan paliatif bagi mencuci luka serta mengeluarkan nanah oleh pihak HTAA selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap akhir.
Ujar Abdul Ghani lagi, pihak hospital memaklumkan kematian Mohd. Zulhafiz disebabkan jangkitan kuman di paru-paru serta beberapa organ lain akibat penyakit tersebut.
"Kami sekeluarga menyimpan niat untuk mengadakan kenduri kesyukuran kalau dia sembuh. Tapi hajat itu tidak kesampaian dan kami reda," kata Abdul Ghani.
Dalam pada itu, ibunya, Safiah Lebai Yahya, 58, pula berkata, Mohd. Zulhafiz pernah meminta untuk dibawa pulang ke rumah kerana sudah tidak mampu menahan penderitaan.
"Akhirnya dia 'pulang' juga dan saya reda kerana Allah lebih sayangkan dia.
"Kami sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan kepada arwah sebelum ini," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ferrari dijadikan kereta polis dipamerkan


SEBUAH kereta Ferrari milik polis Colombia dipamerkan di sebuah pusat komersial di Bogota kelmarin.


BOGOTA, Colombia - Sebuah kereta Ferrari yang dijadikan sebuah kereta polis selepas ia dirampas daripada seorang penyeludup dadah, Hernando Gomez dipamerkan kelmarin.
Kereta Ferrari 348 model 1991 itu kini berwarna hijau dan putih berbanding warna asalnya merah.
Kenderaan tersebut yang juga mempunyai logo polis dipamerkan kepada orang ramai di sebuah pusat komersial di sini.
Kereta itu dirampas daripada Gomez pada satu operasi polis yang dilakukan pada 2004.
Ferrari itu mempunyai enjin 300 kuasa kuda V8 dan mempunyai kelajuan 275.2 kilometer sejam.
Dalam operasi itu, barang-barang yang bernilai £60 juta (RM289.12 juta), termasuk ladang, rumah dan hasil seni turut dirampas.
Gomez telah diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan penggubahan wang haram dan dadah. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Api mengalir di air terjun

AP/Yosemite National Park Service
IMEJ dekat air terjun kelihatan seperti api sedang 
mengalir di Taman Perkhidmatan Negara Yosemite.

YOSEMITE, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan jurugambar akan berkunjung ke Taman Perkhidmatan Negara Yosemite di sini pada setiap pertengahan Februari.
Mereka akan merakamkan fenomena alam semula jadi yang akan menunjukkan seolah-olah api mengalir dari Glasier Point.
Fenomena itu terjadi apabila Bumi dan matahari berada dalan keadaan sejajar pada waktu matahari terbenam.
Pada waktu tersebut, cahaya matahari akan menyinari salah satu air terjun di taman ini.
Air terjun itu kemudian akan kelihatan seperti lahar yang mengalir. - AP
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Presiden Filipina berharap akan kahwin

GAMBAR fail menunjukkan Benigno Aquino bersama dengan personaliti
 media, Grace Lee di Istana Malacanang, Manila pada 23 Disember tahun lalu.

MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino yang masih bujang menyatakan semalam beliau berharap akan dapat mencari seorang isteri.
Aquino yang berusia 52 tahun dalam bulan ini baru-baru ini mengesahkan beliau keluar temu janji dengan seorang wanita Korea Selatan.
Namun, katanya, beliau telah mencari seorang calon isteri selama beberapa tahun tetapi gagal untuk menemui wanita yang sesuai untuk dijadikan isterinya.
"Saya telah merancang perkara ini bagi tempoh yang lama, sejak zaman kolej. Namun, saya menjadi tidak bertuah," katanya kepada pemberita.
"Ekoran bebanan di pejabat, jika terdapat seseorang yang anda dapat berbual, seseorang yang boleh dipercayai, seseorang yang boleh memberitahu anda bahawa anda masih membuat sesuatu yang baik, kemudian pastinya, ia akan menjadi inspirasi anda," tambahnya kepada pemberita.
Pada awal bulan ini, beliau disahkan menemui seorang personaliti media, Grace Lee, 29.
Lee berpindah ke Filipina dari Korea Selatan semasa masih kanak-kanak dan merupakan hos bersama program radio muzik di Manila dan beberapa program televisyen.
Pada lewat tahun 2010, kakaknya telah mendedahkan beliau berkenalan dengan seorang jurugaya wanita selepas dipilih menjadi Presiden. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Mesir setuju bekal bahan api ke Gaza


BANDAR GAZA, Palestin - Mesir telah berjanji akan menyediakan bahan api diesel untuk digunakan pada loji jana kuasa tunggal di Genting Gaza yang ditutup pada minggu lepas setelah kehabisan bahan api, kata seorang pegawai di sini kelmarin.

Pegawai Agensi Tenaga Gaza, Ahmad Abu al-Amrin berkata, pihak berkuasa minyak di Mesir telah memberi persetujuan untuk membekalkan bahan api.

Loji kuasa yang membekalkan kira-kira satu pertiga elektrik ke Gaza itu mengalami gangguan dan bekalan terputus di seluruh Gaza.

Menurut Agensi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, jumlah bahan api yang dibawa melalui terowong dari Mesir ke Gaza telah menurun ekoran sekatan yang dikenakan oleh polis Mesir. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Israel akan buat keputusan serang Iran


BAITULMUQADDIS - Israel akan membuat keputusan sendiri berhubung serangan ke atas Iran, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Pegawai itu, Leftenan Jeneral Benny Gantz memberitahu stesen televisyen Channel One bahawa Israel sepatutnya mempertahankan negaranya sendiri.

Sejak beberapa minggu lalu, terdapat spekulasi bahawa Israel semakin hampir melakukan serangan ke atas program nuklear Iran.

Namun, Israel menafikan akan melakukan serangan itu. - AFP


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Melancong untuk melacur


TINJAUAN wanita dari negara Uzbezkistan yang menawarkan dirinya untuk dijadikan pelacur di sekitar jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Kegiatan pelacuran membabitkan wanita dari negara-negara Asia Tengah yang pernah dibanteras pada 2009 kini dikesan cuba dihidupkan kembali di kawasan Bukit Bintang di sini.
Risikan polis mendapati, pelacur dari negara Asia Tengah termasuk Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan berusia lingkungan 20-an itu dibawa ke sini oleh sindiket tertentu dengan menggunakan pas pelajar atau pas pelancong.
Mereka kembali digilai atas beberapa faktor termasuk cantik, bertubuh tinggi lampai, berkulit gebu dan seksi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, ia terbukti apabila pihaknya menahan 15 wanita dari negara-negara itu baru-baru ini.
Katanya, kemasukan semula wanita itu disebabkan permintaan tinggi dari lelaki warga asing dan tempatan.
“Aktiviti persundalan sejak hujung tahun lalu itu mula dikesan pada awal tahun ini. Pelacur-pelacur itu akan ‘dibela’ oleh seorang bapa ayam yang akan menghantar mereka ke sebuah pub di Bukit Bintang di sini pada pukul 9 malam untuk mencari pelanggan,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, dalam serbuan itu, 13 gadis dari Asia Tengah tersebut gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan polis percaya pasport mereka dipegang oleh pihak sindiket.
Menurut Abdul Jalil, gadis berkenaan mengenakan caj di antara RM500 dan RM1,000 bagi sekali perkhidmatan seks.
“Pelacur China pula dicari kerana caj perkhidmatan seks yang murah iaitu RM150 hingga RM200 manakala wanita Vietnam pula dipilih kerana pandai berbahasa Inggeris,” katanya.
Ujar Abdul Jalil, pihaknya percaya sindiket-sindiket itu tidak akan berputus asa dan sentiasa mencari jalan untuk menghidupkan semula kegiatan tersebut walaupun polis kerap melakukan serbuan.
“Kita akan tetap mengekang kegiatan itu walaupun mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk mengubah tempat operasi,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Terus muflis angkara bank cuai


WAN ISMAIL menunjukkan laporan polis dan penyata bank ketika ditemui Kosmo! di Ampang Jaya baru-baru ini.


AMPANG JAYA – Seorang peniaga restoran bukan sahaja terpaksa menanggung status muflis sehingga ke hari ini malah wang berjumlah RM17,377.41 di dalam akaun sebuah bank di Pandan Indah di sini 'lesap' begitu saja akibat kecuaian bank tersebut.
Mengimbas sebelum kejadian itu, Wan Ismail Wan Muda, 36, mendakwa, dia diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Selangor pada tahun 2007 selepas menjamin seorang saudara yang membeli sebuah kereta Perodua Kancil berharga RM33,000.
“Mengikut prosedur, selepas diisytihar muflis semua wang dalam akaun saya akan diserahkan ke Jabatan Insolvensi Selangor.
“Tetapi apa yang berlaku pada September 2008, saya yang memeriksa penyata kewangan akaun di bank itu, terkejut mendapati wang RM17,377.41 dalam akaun telah dipindahkan ke Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur.
“Lebih malang, duit yang dipindahkan ke Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur itu atas nama individu lain (yang tidak dikenali),” dakwanya ketika ditemui Kosmo!.
Berikutan masalah itu, Wan Ismail berkata, dia berjumpa dengan pegawai bank berkenaan beberapa kali namun dalam tempoh lima tahun masalah tersebut tidak selesai malah telah banyak menyusahkan hidupnya.
Kata Wan Ismail, antara alasan diberikan pihak bank berhubung masalah tersebut seperti pihak bank perlu menyelesaikan perkara itu dengan berjumpa pihak Insolvensi.
“Tetapi apabila saya pergi ke Jabatan Insolvensi Selangor, pihak sana pula memberitahu bahawa saya perlu merujuk permasalahan tersebut kepada bank kerana wang RM17,377.41 tersebut telah dimasukkan ke akaun lain dan bukan ke jabatan itu.
“Sepanjang tempoh tersebut hingga sekarang, saya terpaksa berulang-alik ke bank dan Jabatan Insolvensi Selangor tetapi masalah ini tetap juga tidak selesai,” katanya yang juga telah membuat laporan polis berhubung masalah yang dihadapinya.
Sejak berhadapan dengan masalah itu, Wan Ismail berkata, dia merasakan dirinya dianiaya kerana pihak bank mengambil masa terlalu lama menyelesaikan kecuaian yang jelas disebabkan pihak bank.
Mengikut maklumat, kerani bank yang melakukan proses memindahkan wang dari dalam akaun miliknya telah bersara.
Bagaimanapun, pada 13 Februari lalu, Wan Ismail berkata, dia menerima sepucuk surat dari pihak bank terbabit yang mengaku berlaku kecuaian pihaknya ketika proses pemindahan wang.
“Dalam surat tersebut, menyatakan pihak bank telah membuat rayuan kepada Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur supaya memindahkan duit dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur ke Jabatan Insolvensi Selangor yang menguruskan kes saya,” kata Wan Ismail bapa kepada dua orang anak.
Katanya, dia merasa amat kecewa dengan sikap pihak bank yang hanya menghantar surat memaklumkan perkara itu dan bukannya mengambil inisiatif untuk berjumpa dengannya bagi menjelaskan masalah itu.
“Saya sebagai pelanggan bank dan disebabkan kecuaian bank saya terpaksa membazir masa selama lima tahun, pihak bank layan saya seperti masalah yang berlaku itu remeh,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bank terbabit ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada Wan Ismail baru-baru ini dan proses untuk memindahkan wang ke Jabatan Insolvensi Selangor sedang diuruskan.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Muka melecur disimbah asid


MOHD. FAZIL masih lemah selepas disimbah asid di sebuah rumah di Marang, Terengganu ketika ditemui di HSNZ semalam.


MARANG – Dua sahabat cedera parah apabila masing-masing disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika sedang tidur selepas menonton perlawanan bola sepak di Kampung Padang Merchang dekat sini semalam.
Kejadian pukul 5.15 pagi itu menyebabkan Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, melecur teruk di muka, tangan dan kaki manakala rakannya, Shahrulzaman Salim, 38, melecur di muka dan badan.
Mohd. Fazil sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia manakala Shahrulzaman, seorang nelayan. Mereka kini dirawat di Unit Kebakaran, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dekat sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Shahrulzaman berkata, pada mulanya dia tidak menyedari dirinya telah disimbah asid sehinggalah terdengar jeritan Mohd. Fazil.
“Dalam keadaan mamai saya tanya dia apa yang terjadi sebelum saya lihat tangannya melecur. Tidak lama selepas itu, baru saya rasa pedih dan rupanya saya juga telah disimbah asid,” ceritanya sambil memberitahu empat lagi rakannya yang turut tidur di situ tidak cedera.
Menurut Shahrulzaman, ketika tidur, tingkap rumah itu dibuka kerana cuaca panas dan percaya individu berkenaan menyimbah asid melalui ruang tersebut yang setinggi kira-kira dua meter.
Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd. Hamizi Hussin, 29, memberitahu, rumahnya sering dijadikan tempat melepak oleh rakan-rakannya setiap hari sambil menonton perlawanan bola sepak.
Katanya, ketika kejadian terdapat enam rakannya bermalam di situ manakala dia keluar menghantar pekerja kilang di Chendering.
“Saya terus pulang sebaik dihubungi rakan dan membawa mereka yang cedera ke Klinik Kesihatan Merchang. Tilam turut terhakis terkena asid serta terdapat bau masam di dalam rumah,” katanya.
Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa mengesahkan kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Enam bulan jadi hamba seks


Woon (kiri) menunjukkan gambar bekas kekasihnya yang sering mengugut
 mahu menyebar gambar bogelnya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
 

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga terpaksa menjadi hamba seks kepada bekas teman lelakinya selama enam bulan ekoran bimbang gambar bogelnya didedahkan jika dia enggan memenuhi nafsu lelaki berkenaan sejurus selepas mereka berpisah pada Julai tahun lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, 29, berkata, sejak perpisahan itu, dia terpaksa memenuhi kehendak bekas teman lelakinya itu yang dikenali sebagai Teh sehingga Disember tahun lalu.
“Saya nekad untuk mengelakkan diri kerana tidak tahan lagi dengan ugutan dia kerana saya ingin menjalani kehidupan dengan aman.
“Dia bukan sahaja sering mengugut untuk menyebarkan 80 keping gambar bogel saya di laman web termasuk menghantarnya kepada rakan dan ahli keluarga jika saya tidak menuruti kehendaknya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat olehnya di Balai Polis Jalan Bandar di sini pada 12 Februari lalu yang juga tarikh terakhir dia diugut oleh lelaki berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya, dia pernah menjalinkan hubungan bersama Teh yang bekerja di bidang teknologi maklumat pada tahun 2000 tetapi telah berpisah pada tahun 2003.
“Namun, kami kembali bersama pada tahun 2010 selepas saya bercerai dengan suami saya pada tahun 2009,” tambahnya yang turut memberitahu, dia membenarkan gambar bogelnya diambil sebagai bukti cinta kepada Teh.
Tambah Woon, lelaki tersebut turut mengugutnya dengan menghantar gambar bogel melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) malah mendaftar akaun laman web sosial Facebook dengan menggunakan gambar separuh bogelnya.
“Saya sudah tidak tahan lagi. Tolonglah berhenti ganggu saya,” rayunya yang kini terpaksa mengambil pil tidur kerana masalah amnesia yang dihadapi akibat kes berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati golongan wanita supaya jangan membenarkan teman lelaki mengambil gambar bogel mereka kerana ia boleh disalahgunakan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Umur Presiden Senegal dikatakan 90 tahun

GAMBAR fail menunjukkan Abdoulaye Wade berkempen dalam
kempen politik di Kampung Dagana, Senegal pada 10 Februari lalu.

KEBEHER, Senegal - Umur Presiden Senegal, Abdoulaye Wade menjadi persoalan kerana ada dakwaan beliau berusia 90 tahun.
Secara rasmi, Wade dilahirkan pada 29 Mei 1926 menjadikan beliau berumur 85 tahun semasa kebanyakan daripada penduduk di negara ini meninggal dunia semasa berusia 59 tahun.
Namun, para pengkritiknya menyatakan beliau mungkin berusia 90 tahun.
Masalah yang dihadapinya ialah dokumen kelahirannya dikunci dalam sebuah bilik.
Persoalan itu timbul kerana beliau kini cuba meyakinkan penduduknya supaya memberikan peluang kali ketiga kepadanya untuk memerintah Senegal.
Isu itu timbul bahawa seorang penduduk yang mengenali Wade menerima ancaman bunuh selepas beliau mendakwa presiden tersebut lahir pada tahun 1919.
"Umurnya menjadi satu masalah. Adakah beliau layak mempinpin negara?, soal Datuk bandar Saint Louis, Cheikh Bamba Dieye.
Dokumen kelahiran Wade disimpan dalam sebuah bilik berkunci di bandar Saint Louis. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Terperangkap dalam kereta selama dua bulan


SEORANG lelaki yang ditemui kelmarin terperangkap di dalam kereta
 ini yang dipenuhi dengan salji tebal di sebatang jalan di sebuah hutan tidak
 jauh dari bandar Umea, Sweden.
 

STOCKHOLM, Sweden – Seorang lelaki Sweden hidup dalam sebuah kereta yang ditimbus salji di sebatang jalan di dalam hutan selama dua bulan tanpa makan, kata polis dan media kelmarin.
Lelaki berusia 45 tahun dari selatan Sweden itu ditemui pada Jumaat lalu dan dia kelihatan sangat kurus dan terlalu lemah untuk bercakap beberapa patah perkataan.
Dia ditemui dalam kereta tidak jauh dari bandar Umea di utara Sweden.
Lelaki itu ditemui oleh beberapa orang yang menaiki skuter salji yang pada mulanya mereka menganggap mereka menemui sebuah bangkai kereta.
Namun, mereka menggali salji ke tingkap kereta tersebut dan melihat terdapat pergerakan di dalam kenderaan itu.
Lelaki itu duduk di tempat duduk belakang di dalam beg tidur dan dia menyatakan telah berada di dalam kereta tersebut sejak 19 Disember tahun lalu.
Seorang pegawai polis, Ebbe Nyberg berkata, pihaknya tidak meragui bahawa lelaki tersebut telah terperangkap di dalam kereta bagi tempoh yang lama.
Hospital Universiti Umea iaitu lokasi lelaki tersebut dirawat selepas diselamatkan oleh polis dan pasukan penyelamat berkata dalam satu kenyataan bahawa dia kini beransur baik.
Doktor-doktor di hospital itu berkata, manusia pada kebiasaannya mampu hidup selama kira-kira empat minggu tanpa makanan.
Menurut Dr. Stefan Branth kepada akhbar Vasterbottens-Kuriren, selain makan salji, lelaki itu mungkin hidup disebabkan dia tidak aktif.
“Seperti seekor beruang yang hibernasi. Manusia bolah melakukannya,” katanya.
Hibernasi merujuk kepada haiwan yang menghabiskan musim sejuk dalam keadaan tidur nyenyak.
“Dia (lelaki itu) mungkin mempunyai suhu badan kira-kira 31 darjah Celsius yang disesuaikanmengikut tubuh badannya.
“Disebabkan suhu yang kecil, tiada banyak tenaga yang digunakan,” kata Dr. Branth.
Polis berkata, kenapa lelaki tersebut berada di dalam kereta di hutan tersebut masih belum diketahui.
– Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Sunday, February 19, 2012

Bom kentut cetus huru-hara

MISSISSIPPI: Gara-gara menggunakan perkataan sensitif pada tempat yang salah, seorang remaja berusia 19 tahun ditahan selepas menulis nota mengandungi perkataan ‘bom’ pada tisu tandas. 
Nota ditulis Harold Wayne Hadley, Jr, itu menyebabkan 11 agensi kecemasan bergegas ke kolej di Mississippi tetapi tidak menemui bom yang dimaksudkan.
Hadley dan keluarganya berkata, dia cuma menjelaskan keseronokan melepaskan kentut di dalam perpustakaan.
“Dia berada di tandas sambil memegang tisu tandas. Dia menggelar kentut sebagai melepaskan bom. Dia menulis ‘saya melepaskan bom dalam perpustakaan.

“Dia maksudkan kentut dan ada orang lain masuk ke dalam tandas dan menemui nota. Dia menyerahkan kepada guru yang mengenal pasti itu adalah tulisan tangan Hadley dan menghubungi pihak berkuasa,” kata ibu saudara Hadley, yang enggan memper-kenalkan diri.

Penyiasat tidak menyebut apa yang ditulis Hadley tetapi laporan WDAM menyatakan tiada ayat melampau selain ‘saya melepaskan bom dalam perpustakaan.’

Hadley ditahan dan dikenakan ikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM60,000). Jika disabitkan mengancam meletupkan sekolah, dia berdepan hukuman penjara 10 tahun dan denda AS$10,000 (RM30,000). – Agensi

Berita Harian Online | Bom kentut cetus huru-hara:

'via Blog this'

Nada dering telefon boleh lemahkan otak

Penggunaan lagu popular, jejas pembelajaran

LONDON: Sekumpulan penyelidik berkata penyelesaian masalah atau mengingati sesuatu perkara menjadi lebih mudah dilakukan, jika telefon bimbit dalam keadaan senyap kerana nada dering terutama lagu yang menarik boleh mengurangkan keupayaan kuasa otak.
Saintis di Universiti Washington, di St Louis mendapati sekumpulan pelajar mendapat markah lebih 25 peratus kurang dalam ujian apabila didedahkan dengan nada dering telefon bimbit.
Keputusan terburuk itu ditunjukkan selepas mendengar lagu yang diketahui atau disukai mereka.

“Kebanyakan kita beranggapan, deringan telefon bimbit di tempat awam adalah satu gangguan yang tidak disukai , tetapi kajian ini mengesahkan gangguan bunyi itu juga memberi kesan dalam hidup,” kata Jill Shelton.

Kajian termasuk eksperimen dijalankan Shelton menggunakan sekumpulan pelajar di dalam kelas syarahan psikologi yang padat di Universiti Louisiana, dan mereka dibenarkan membiarkan telefon bimbit di dalam beg berdering secara berterusan dengan kuat selama 30 saat.

Hasil ujian mendapati, pelajar yang terdedah kepada deringan telefon bimbit mendapat markah 25 peratus lebih rendah berbanding n sebelum gangguan itu.
Pelajar yang diuji sukar mengingati semula kandungan kursus yang dibentangkan ketika gangguan, walaupun maklumat yang sama disampaikan profesor sebelum deringan telefon termasuk dalam teks melalui slaid sepanjang gangguan.

Pelajar mendapat markah lebih teruk apabila Shelton menambahkan gangguan, kerana panik mencari telefon di dalam beg sebagai cubaan untuk menghentikan deringan berkenaan.

Pada peringkat eksperimen ini, pelajar di sebuah makmal diuji dengan ujian pengenalan perkataan mudah ketika didedahkan dengan gangguan bunyi seperti nada tidak relevan, deringan telefon bimbit standard dan sebahagian lagu yang biasa di kalangan pelajar terbabit.

Lagu dalam versi instrumental sebuah gubahan lagu bagi menyokong pasukan American Football university itu dimainkan sekejap-sekejap.

Lagu itu juga menjadi satu deringan telefon bimbit yang popular.

“Apabila kami memainkan lagu semangat itu dalam ujian makmal, faktor gangguan bertahan lebih lama.

“Ia memperlahankan prestasi membuat pilihan mereka untuk tempoh lebih lama berbanding ketika deringan telefon bimbit biasa.

“Bergantung bagaimana kebiasaan seseorang terhadap lagu itu, ia boleh memberikan kesan lebih buruk terhadap keupayaan kognitif mereka,” kata Shelton.

Kajian itu menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai yang cuba memberi perhatian ketika mereka diganggu dengan bunyi deringan daripada e-mel atau mesej teks. – Agensi

Berita Harian Online | Nada dering telefon boleh lemahkan otak:

'via Blog this'

Saintis siasat piramid di Jawa Barat

PEMANDANGAN di Gunung Sadahurip Jawa Barat yang dikatakan mempunyai bentuk seakan-akan sebuah piramid.
PEMANDANGAN di Gunung Sadahurip Jawa Barat yang
dikatakan mempunyai bentuk seakan-akan sebuah piramid.


Tiga kementerian bincang usaha sokong laksana penyelidikan

JAKARTA: Sepasukan saintis sedang berusaha melakukan penyelidikan mengenai khabar angin kononnya wujud piramid di Gunung Sadahurip dan Gunung Padang Cianjur Jawa Barat.
Pegawai khas presiden dalam pengurusan bencana dan hal ehwal sosial Andi Arief, beliau mengadakan satu mesyuarat pada Jumaat membincangkan mengenai isu itu.
“Saya berharap dapat meyakinkan tiga orang menteri negara ini bagi menyokong usaha kumpulan saintis berkenaan,” katanya.

Mesyuarat dihadiri ahli Pasukan Kajian Katastrofik Purba, diketuai ahli sismologi, Danny Hilman dan wakil dari kementerian pelancongan, teknologi dan penyelidikan serta kebudayaan dan pendidikan.

Andi berkata mesyuarat tidak rasmi juga diadakan antara pasukan itu dan pegawai dari Kementerian Pelancongan.

Kementerian berkenaan akan membawa pakar, peralatan dan dana untuk membantu projek berkenaan.
Penemuan piramid di Indonesia, kata Hilman akan menulis semula sejarah di kepulauan berkenaan dan mungkin juga di dunia.

“Kita boleh buktikan bahawa tamadun purba kita lebih maju berbanding apa yang dipercayai sebelum ini, malah lebih lama daripada Majapahit,” katanya merujuk kepada satu daripada kerajaan purba dan terbesar yang diketahui.

Timbalan menteri teknologi dan penyelidikan, Teguh Rahardji, berkata pejabat beliau akan melihat perkara itu sebelum memutuskan sama ada akan terbabit atau tidak.
“Kami menyokong penyelidikan seperti ini,” katanya.

Pasukan itu, kata Andi pada awalnya mahu melakukan penyelidikan geologi berbanding mencari piramid. Beliau berkata idea untuk mencari piramid datang selepas sebuah syarikat pelancongan Geotrek Indonesia menyifatkan bahawa Gunung Sadahurip di daerah Garut kelihatan terlalu berbentuk piramid berbanding bentuk semulajadi.

Tidak semua percayakan teori piramid terbabit. Sujatmiko, seorang ahli geologi dari Persatuan Pakar Geologi Indonesia berkata beliau menyangkakan Sadahurip terbentuk secara semula jadi.

Gunung itu berada di garisan gunung berapi utama di Jawa Barat dan Sujatmiko berkata ia terbentuk sebagai sebuah timbunan piroklastik gunung berapi daripada magma yang muncul dari permukaan bumi tanpa saluran magma tipikal di bawahnya.

Pemangku Ketua Pengarah Kementerian Pelancongan, Gde Pitana berkata tanggapan sejarah Indonesia mungkin termasuk piramid adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Terlalu banyak gunung di sini yang tidak perlu lagi dibina struktur tinggi untuk tujuan penyembahan. – Agensi

Berita Harian Online | Saintis siasat piramid di Jawa Barat:

'via Blog this'

Diplomat Israel disaran tidur dengan senjata bawah bantal




2012/02/19

TEL AVIV: Serangan di India, Georgia dan tiga letupan di Thailand mendorong diplomat Israel di seluruh dunia lebih berwaspada, dan seorang bekas pegawai keselamatan muncul dengan idea lebih melampau – menasihatkan mereka tidur dengan senjata di bawah bantal, lapor media Israel.

“Berhati-hati adalah perkara utama dalam hal ini, kata Nimrod Firstenberg,” kata pegawai agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet.
Firstenberg, yang menjadi anggota pasukan keselamatan pelbagai kedutaan, memberikan amaran keras: “Tidur dengan senjata dan lampu suluh di bawah bantal.” Diplomat Israel di seluruh dunia berada dalam keadaan berjaga-jaga, malah kanak-kanak diberi amaran sentiasa berhati-hati, lapor ynetnews.com.

Sebuah kereta kedutaan Israel yang membawa isteri seorang diplomat menjadi sasaran serangan di New Delhi awal minggu ini manakala di ibu negara Georgia, Tbilisi, polis berjaya mematikan bom diletakkan pada kenderaan seorang warga negara itu yang bekerja dengan kedutaan Israel.

Sehari kemudian, tiga letupan menggegarkan Bangkok dan seorang lelaki Iran cedera.

Diplomat veteran Israel, Eli Shaked, mencadangkan supaya diplomat Israel tidak menonjolkan diri sebaliknya cuba melakukan sesuatu di luar rutin untuk mengelirukan musuh.
“Ia memberikan kesan semua orang termasuk kanak-kanak mungkin tidak ke sekolah. Anda perlu berbuat sesuatu untuk tidak berada di tempat yang sepatutnya bagi mengelakkan tempat pengganas mungkin merancang serangan.

“Malah kanak-kanak sedar ada sesuatu berlaku dan perlu diarahkan memberi perhatian kepada apa yang berlaku tanpa panik serta menakutkan mereka. Matlamat kita ialah menjalani kehidupan normal sebaik yang boleh dalam persekitaran tidak normal,” dia dipetik sebagai berkata.

Diplomat Israel diberitahu supaya tidak menggunakan kereta buat masa ini, lapor media. – Agensi

Berita Harian Online | Diplomat Israel disaran tidur dengan senjata bawah bantal:

'via Blog this'