Pages

Monday, November 28, 2011

Pakistan sekat Nato

ISLAMABAD: Pakistan semalam berkata akan mengkaji semula kerjasamanya dengan Amerika Syarikat dan Nato selepas 26 tenteranya maut dalam serangan tentera pakatan Atlantik Utara itu, kelmarin.

Ia menutup sempadannya dengan Afghanistan untuk Nato, sekali gus menghentikan bekalan kepada kira-kira 130,000 tentera asing diketuai AS yang masih berperang dengan Taliban.


Islamabad juga menggesa AS meninggalkan sebuah pangkalan udara rahsia yang dilaporkan digunakan pesawat tanpa juruterbang milik Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Protes paling tegas turut dilakukan Islamabad apabila Duta AS di Pakistan, Cameron Munter, dipanggil untuk menyatakan serangan di kawasan sempadan itu melanggar undang-undang antarabangsa.


Tentera Nato - sehingga kini diketuai AS - di Afghanistan mengakui “kemungkinan besar” jet mereka bertanggungjawab menyebabkan kematian tentera Pakistan dalam serangan sebelum subuh kelmarin.


Insiden di daerah Mohmand itu memburukkan lagi hubungan Islamabad - Washington selepas AS melakukan operasi rahsia membunuh Osama bin Laden pada Mei lalu.

Komander AS di Afghanistan berjanji melakukan siasatan menyeluruh dan mengirim takziah kepada mana-mana tentera “yang mungkin dibunuh” di kawasan kubu Taliban itu.


Afghanistan dan AS menuduh tentera Pakistan bekerjasama dengan Taliban atau sekadar melihat pemberontak itu melepaskan tembakan dari wilayah Pakistan.

Bagaimanapun, sehingga kini belum jelas apa berlaku sebenarnya kelmarin walaupun media melaporkan beberapa jam sebelum itu, komander tentera AS berbincang mengenai koordinasi dengan Panglima Tentera Pakistan, Jeneral Ashfaq Kayani. - AFP

myMetro | Pakistan sekat Nato:

'via Blog this'

Robot canggih bakal kawal banduan Korea Selatan

CANGGIH... robot pengawal penjara yang mampu mengesan sebarang perubahan pada banduan.
CANGGIH... robot pengawal penjara yang mampu mengesan sebarang perubahan pada banduan.

SEOUL: Mana-mana banduan yang cuba melarikan diri dari penjara Korea Selatan tidak lama lagi terpaksa berdepan lebih daripada pengawal, rintangan dan menara kawalan.

Kini pihak berkuasa dilengkapi pengawal baru - robot berteknologi tinggi yang mampu mengesan tingkah laku mencurigakan di kalangan banduan.


Tiga robot pertama - setiap satu setinggi 1.5 meter - akan mula digunakan di penjara bandar Pohang awal tahun depan.

Jika pelaksanaannya berjaya, lebih banyak robot akan dihasilkan untuk mengawal penjara Korea Selatan.


Robot itu diprogramkan untuk meronda di kawasan koridor penjara dan memantau keadaan dalam sel, manakala pengesan yang ada padanya membolehkan ia menilai perubahan keadaan banduan - sama ada agresif atau berisiko membunuh diri.


Semua maklumat itu kemudian dimaklumkan kepada pegawai bertugas. Robot itu bergerak menggunakan empat roda dan boleh menghubungkan tahanan dengan pengawal melalui sistem perhubungan terkawal.

Pegawai Asian Forum For Corrections, Prof Lee Baik-Chul, berkata berbanding sistem kamera litar tertutup yang hanya memantau, robot itu diprogramkan untuk menganalisis pelbagai aktiviti dalam penjara.


“Kini robot itu dalam peringkat perapian bagi membolehkan ia kelihatan lebih mesra kepada banduan,” katanya. DM

myMetro | Robot canggih bakal kawal banduan Korea Selatan:

'via Blog this'

Imran derita lepas cerai







SAAT BAHAGIA...Imran dan Jemima di hari pernikahan mereka pada 1995.
SAAT BAHAGIA...Imran dan Jemima di hari pernikahan mereka pada 1995.
BUAH HATI... Jemima bersama Sulaiman ketika baru dilahirkan di London.
BUAH HATI... Jemima bersama Sulaiman ketika baru dilahirkan di London.
LONDON: Pemain kriket terkemuka Pakistan, Imran Khan, berkata dia hilang semangat untuk hidup selepas perkahwinannya dengan Jemima Glodsmith musnah Dipetik media tempatan semalam, Imran berkata, enam bulan sebelum perceraian dan enam bulan selepasnya adalah detik “paling perit” dalam hidupnya.
Kata Imran, dia juga berasa amat sedih apabila tidak dapat bertemu dua anak lelakinya, Sulaiman, 8, dan Kasim, 5.

“Membesarkan mereka adalah pengalaman paling indah dalam hidup dan kini tanpa mereka di sisi menjadi cabaran terbesar untuk ditangani,” katanya.
Untuk kali pertama, kata Imran, dia memahami bagaimana seseorang boleh patah semangat untuk hidup.

Katanya, kesan terhadap anak-anak ternyata memburukkan lagi keadaan.

“Melihat kesedihan Sulaiman menjadikan kesengsaraan saya berganda.
“Saya sangat rindukan mereka dan tiada apa dapat mengubatinya,” katanya.

Melalui buku terbaru Imran yang diterbitkan dalam usahanya mendapatkan kuasa politik, dia turut menulis bagaimana politik dan kehidupan berkeluarga gagal diserasikan selepas berkahwin dengan Jemima pada 1995.
Ketika itu, Imran berusia 43 tahun, manakala Jemima baru 21.

Kata Imran, pengorbanan terbesarnya kerana terbabit dalam politik adalah masa yang sangat terhad untuk diluangkan bersama keluarga.

Dalam buku itu juga, Imran menceritakan bagaimana dia diperlekeh di Pakistan ketika menubuhkan parti politik sendiri, manakala Jemima didakwa menjadi sebahagian daripada rancangan Zionis menguasai negara itu.

“Jemima berharap saya tak menyertai politik.

“Sebagai wanita pemalu dan sensitif, tuduhan dilakukan ke atasnya sangat berat,” katanya.

Sejurus selepas itu, Jemima kembali ke Britain bersama Sulaiman dan Kasim untuk membolehkan kanak-kanak itu belajar mengenai Islam moden di universiti.

Jemima dan Imran bercerai pada 2004.

Kata Imran, dia lega kerana kesedihan Jemima berakhir selepas mereka berpisah. - DM
myMetro | Imran derita lepas cerai:

'via Blog this'

Rakyat Britain suka berpeluk



David Beckham yang tersenarai sebagai selebriti lelaki paling ingin dipeluk rakyat Britain memeluk anaknya ketika menyaksikan perlawanan bola keranjang pasukan Lakers di Los Angeles. - AGENSI


LONDON 27 Nov. - Satu kajian mendapati rakyat Britain gemar berpelukan untuk menunjukkan kasih sayang terhadap keluarga, pasangan dan sahabat mereka.

Secara purata, rakyat Britain berpelukan sebanyak 13 kali dalam sehari selama 9.5 saat atau kira-kira sejam dalam masa sebulan.

Kajian oleh syarikat produk kecantikan kulit Nivea itu turut menemui dua pertiga daripada masa dalam kehidupan seharian digunakan untuk berpelukan.

Sebanyak 14 peratus pelukan adalah untuk sahabat, manakala sembilan peratus bagi pelukan terhadap ahli keluarga seperti ibu bapa.

Dalam pada itu, kajian yang dijalankan mendapati pemain bola sepak terkenal, David Beckham tergolong dalam senarai selebriti lelaki yang paling ingin dipeluk oleh rakyat Britain.

Selain itu, pelakon George Clooney, Dermot O'Leary, Gary Barlow dan Robbie Williams turut tersenarai dalam kategori yang sama.

Bagi kategori selebriti wanita, Cheryl Cole, Lorraine Kelly, Kate Middleton dan Nigella Lawson menjadi pilihan rakyat negara ini.

Kajian tersebut menyatakan pelukan bukan sesuatu yang bersifat seksual malah ia sebagai satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.

Namun begitu, suku daripada rakyat Britain mengakui berasa kurang selesa melakukan sentuhan fizikal dengan orang sekeliling.

"Saya tidak pernah terfikir untuk memeluk rakan sekerja sebaliknya hanya melakukan demikian dengan ahli keluarga sahaja," kata Glenn Adams, 28. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Ramai utamakan Internet daripada tidur


LONDON 27 Nov. - Satu tinjauan mendapati satu daripada empat orang akan menghabiskan lebih banyak waktu untuk melayari Internet berbanding waktu tidur.

Berdasarkan tinjauan Jon Blumberg daripada syarikat penyedia perkhidmatan Internet, Sky Broadband, kira-kira 51 responden mengakui mereka merasa bimbang jika tidak melayari Internet, sama ada untuk memeriksa e-mel atau Facebook

Mereka akan menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer, telefon pintar dan komputer riba.

Tinjauan juga menunjukkan golongan lelaki meluangkan masa lebih lama melayari Internet berbanding wanita, dengan satu daripada empat orang lelaki boleh menghabiskan masa lebih daripada enam jam sehari melayari Internet.

Tinjauan itu juga mendapati satu daripada 20 pengguna memeriksa e-mel mereka lebih 20 kali sehari, bersamaan sekali setiap 45 minit dan satu daripada tujuh orang melayari laman sosial lebih enam kali sehari.

Blumberg juga berkata, kebanyakan tinjauan yang dijalankan mendapati Internet turut memberi kebaikan kepada pengguna.

"Kira-kira 74 peratus responden mengakui mereka lebih berpengetahuan disebabkan Internet dan 72 peratus yang lain mengetahui perkembangan terkini di seluruh dunia.

"Itu merupakan satu kegunaan yang baik apabila kemudahan tersebut membantu memajukan diri anda, bukannya terpengaruh," katanya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Susilo nafi kos majlis kahwin anak 40 bilion rupiah



Edhie Ibas Baskoro (tiga dari kiri) dan Siti Rubi Aliya (tiga dari kanan) bergambar bersama ibu bapa mereka, dari kiri, Presiden Susilo dan isteri Kristiani (dua dari kiri) bersama Hatta Rajasa (kanan) dan isterinya Okke (dua dari kanan) semasa majlis perkahwinan pasangan itu di Istana Cipanas di Jawa Barat pada 24 November lalu. - REUTERS


JAKARTA 27 Nov. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini menafikan laporan yang mendakwa majlis perkahwinan anak lelakinya dengan anak Menteri Koordinasi Ekonomi, Hatta Rajasa melibatkan kos bernilai kira-kira 40 bilion rupiah (RM17.1 juta).

Majlis perkahwinan antara Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dan Siti Rubiya Aliya Rajasa diadakan selama tiga hari sejak kelmarin dengan sambutan perkahwinan itu dijadual berlangsung pada petang ini di Pusat Konvensyen Jakarta.

Akhbar tabloid Indonesia, Cek dan Ricek melaporkan mengenai kos perkahwinan tersebut mencecah 40 bilion rupiah, namun akhbar terbabit tidak menyatakan sumber kewangan itu.

Bagaimanapun akhbar Jakarta Globe melaporkan pegawai pejabat Presiden di Istana Cipanas menafikan dakwaan itu.

Jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha berkata, berita tersebut tidak benar dan semua pihak yang terlibat dalam perkahwinan itu keliru dengan laporan akhbar terbabit.

Namun, beliau enggan menyatakan kos sebenar perkahwinan itu yang dikatakan tidak setinggi seperti yang dilaporkan.

Julian berkata, kedua-dua keluarga pengantin sama-sama mengeluarkan perbelanjaan untuk perkahwinan itu yang berlangsung di Istana Cipanas, Jawa Barat.

"Segala butiran perbelanjaan perkahwinan akan dihantar kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) untuk tindakan lanjut.

"Jumlah yang dilaporkan pihak media tidak benar dan Presiden telah mengarahkan penganjur perkahwinan supaya menyediakan laporan perkahwinan untuk diserahkan kepada KPK," katanya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Ahli Parlimen Iran sokong kurang hubungan dengan Britain


TEHERAN 27 Nov. - Majoriti ahli Parlimen Iran hari ini menyokong untuk mengurangkan lagi hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Britain sebagai tindak balas kepada sekatan baru oleh negara-negara Barat berhubung program nuklear negara ini.

Menurut siaran langsung stesen radio, seramai 179 ahli Parlimen menyokong mengurangkan hubungan diplomatik itu, sekurang-kurangnya tindakan diambil dengan menghantar pulang Duta Britain.

Empat lagi ahli Parlimen menentang tindakan itu, manakala 11 ahli Parlimen berkecuali.

Perdebatan terus diadakan sama ada tindakan lebih tegas perlu diambil di atas hubungan berkenaan dan tindakan sama perlu diambil ke atas negara-negara Barat lain yang turut mengenakan sekatan.

Keputusan akhir berhubung tindakan tersebut perlu diluluskan oleh Majlis Pengawal sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Selepas rang undang-undang itu dicadangkan pada Rabu lalu, Britain berkata, tindakan itu amat mengecewakan kerana Duta Britain ke Teheran, Dominick Chilcott baru memegang jawatannya itu pada bulan lepas.

Britain bersama Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada 14 November lalu mengumumkan sekatan baru ke atas Iran ekoran program nuklear negara ini selepas pemantau tenaga atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa Teheran menjalankan penyelidikan pembinaan senjata nuklear. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Sekatan terbaru ke atas Iran, agenda politik kotor AS


PADA 23 November lalu, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada mengumumkan sekatan baru ke atas Iran bagi meningkatkan tekanan ke atas Teheran kerana dilapor menjalankan penyelidikan membangunkan bom atom, walaupun negara Islam itu diramal mampu meneruskan program tenaga nuklearnya.

Sekatan terbaru itu merupakan tindakan AS untuk memutuskan hubungan bank pusat Iran dengan sistem kewangan global dengan menuduh negara Islam itu sebagai kawasan ‘penggubahan wang utama’. Amerika dan sekutunya turut menyenaraihitam 11 syarikat Iran dan syarikat lain yang berkerjasama dalam industri minyak dan petrokimia negara itu atas tuduhan membantu program nuklear Teheran.

Sekatan tersebut dilaksanakan selepas laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 8 November lalu menyatakan Iran sedang membangunkan bom atom dan masih menjalankan penyelidikan berkaitan program itu secara rahsia, walaupun Teheran menafikan laporan itu dan bertegas menyatakan program nuklear Iran adalah bertujuan untuk keselamatan dan sumber tenaga.

Duta Besar Iran ke Malaysia, PROF. DR. MOHAMMAD MEHDI ZAHEDI, 57, berkongsi pandangannya berhubung sekatan terbaru negara Barat terhadap Iran semasa ditemubual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN baru-baru ini.

UTUSAN: Apa komen tuan mengenai sekatan terbaru AS, Britain dan Kanada terhadap Iran berhubung isu nuklear?

MOHAMMAD MEHDI: Sekatan terbaru ini dilaksanakan atas tuduhan AS yang tidak berasas dan menunjukkan sikap politik kotor negara itu yang cuba menggugat pencapaian Iran dalam bidang nuklear.

Ia sebenarnya helah AS untuk mengalih perhatian antarabangsa terhadap kegagalan Barat mencapai keamanan di Asia Barat, terutamanya membabitkan konflik antara Palestin dan Israel yang masih menemui jalan buntu.

Apakah tindakan Iran dalam menangani sekatan terbaru itu?

Iran sebenarnya adalah anggota IAEA dan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) serta sentiasa mematuhi kehendak agensi antarabangsa itu.

Jadi, kami tidak akan berdiam diri dan berusaha membuktikan program pembangunan nuklear kami adalah untuk tujuan keamanan dan bukannya untuk membangunkan senjata pemusnah seperti yang digembar-gemburkan oleh AS dan rejim Zionis.

Iran akan menggunakan saluran yang betul dan mengikut undang-undang antarabangsa bagi menyelesaikan isu nuklear ini, walaupun Iran terpaksa berdepan dengan sikap ‘double standard’ kuasa kolonial yang melabel kami sebagai negara yang cuba membangunkan senjata nuklear.

Sektor manakah yang bakal terjejas teruk ekoran sekatan tersebut?

Berdasarkan sekatan kali ini, ia lebih mensasarkan kumpulan atau individu yang terlibat dalam institusi kewangan dan ekonomi Iran dan secara jelasnya ia merupakan cara untuk melemahkan sistem perbankan dan kewangan negara ini.

Namun, tindakan tersebut hanya sia-sia kerana Iran tidak akan berdiam diri, malah tetap melaksanakan pembangunan dan mencapai kemajuan dengan cara sendiri.

Iran dikenakan sekatan sejak sekian lama dan ia mengajar kami mematangkan diri untuk memajukan negara kami dalam keadaan yang terhad daripada segi kewangan dan diplomatik.

Apakah terdapat agenda lain selain nuklear yang membuatkan mereka (negara Barat) mengambil tindakan tersebut?

Pihak AS sebenarnya marah apabila kepentingan mereka menjadi terhad dan tidak boleh campur tangan dalam urusan di negara-negara Arab.

Ini kerana beberapa pemimpin negara Arab yang pro-Barat mula dikecam dan digulingkan oleh rakyat sendiri, sekali gus menyebabkan kepentingan AS di negara terbabit tidak dapat dilindungi lagi.

Mereka juga menyedari kebangkitan Islam (Arab Spring atau Revolusi Arab) merupakan bantahan terhadap diktator atau pemerintah yang mendapat sokongan AS seperti bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Apa punca lain yang menyebabkan kebangkitan tersebut?

Berdasarkan perkembangan di negara-negara Arab yang bangkit menentang pemimpin mereka yang pro-Barat, ia sebenarnya mendapat inspirasi daripada Revolusi Iran pada 1979.

Ia merupakan usaha negara-negara di wilayah ini untuk mencapai kemerdekaan dan kebebasan terutamanya Palestin yang sekian lama bersusah-payah mahu mendapatkan status negara yang sah.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

China ronda Sungai Mekong



Sebuah kapal peronda tentera laut China meronda di Sungai Mekong. - AGENSI


SHANGHAI 27 Nov. - China dilapor bakal berkerjasama dengan Laos, Myanmar dan Thailand untuk mengadakan rondaan di Sungai Mekong selepas 13 kelasi China terbunuh dalam satu serangan di laluan sungai itu pada Oktober lalu.

Agensi berita Xinhua semalam melaporkan kerjasama tersebut yang membabitkan pasukan yang dilengkapi senjata, akan bermula pada 15 Disember ini.

Menurut Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Keselamatan Awam China, polis negara ini akan menyertai pasukan dari Laos, Myanmar dan Thailand untuk menjamin keselamatan urusan perdagangan di laluan kapal tersebut.

Sekurang-kurangnya 13 kelasi dua kapal kargo China terbunuh dalam serangan di Sungai Mekong pada 5 Oktober lalu, dipercayai dilakukan oleh kumpulan pengedar dadah di kawasan Segi Tiga Emas itu yang terkenal dengan aktiviti penyeludupan dadah.

Polis Thailand turut menahan sembilan askar yang disyaki membunuh kelasi-kelasi terbabit dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengedar dadah Myanmar.

Laluan Sungai Mekong dari wilayah Yunan di barat daya China yang mengalir ke Asia Tenggara, merupakan laluan utama perdagangan melibatkan beberapa negara termasuk Kemboja dan Vietnam.

Serangan tersebut membangkitkan kemarahan China, sekali gus memanggil wakil diplomatik Thailand, Laos dan Myanmar bagi menggesa pihak berkuasa di ketiga-tiga negara terbabit mempercepatkan siasatan.

Beijing bakal mengetuai rondaan tersebut dan menubuhkan ibu pejabat bagi memudahkan komunikasi antara negara-negara yang terlibat dalam kerjasama itu pada setiap hari.

Polis keempat-empat negara terbabit turut meneliti cara yang lebih berkesan dalam meningkatkan kawalan di kawasan itu dan China dilapor akan melatih serta menyediakan kemudahan kepada polis Laos dan Myanmar. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pakistan kaji pakatan dengan AS


ISLAMABAD 27 Nov. - Pakistan hari ini mengumumkan akan mengkaji semula pakatannya dengan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selepas lebih 26 anggota tenteranya terbunuh dalam serangan udara merentasi sempadan oleh NATO.

Pakistan bertindak menutup sempadannya dengan Afghanistan kepada NATO, sekali gus akan menghentikan saluran bekalan bantuan kepada lebih 130,000 tentera asing yang menjalankan operasi memburu Taliban, dan mahu AS meninggalkan pangkalan udara rahsia yang dilaporkan digunakan oleh pesawat tanpa juruterbang milik Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Islamabad turut memanggil Duta AS, Cameron Munter berhubung serangan itu dan menyifatkan serangan itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa serta memberi amaran kepada tentera asing akan menerima akibat yang buruk, tindakan paling tegas yang diambil.

Tentera NATO yang diketuai AS di Afghanistan mengaku 'kemungkinan besar' pesawat mereka yang menyebabkan kematian tentera Pakistan itu semalam, sekali gus memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu selepas pembunuhan Osama bin Laden.

Komander AS di Afghanistan berjanji melakukan siasatan penuh berhubung serangan itu dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden di sempadan Afghanistan dan Pakistan itu.

Upacara pengkebumian akan diadakan pada pukul 9.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini di bandar Peshawar.

Menurut Pakistan, helikopter dan pesawat pejuang NATO melancarkan serangan sepanjang malam Jumaat dan Sabtu ke atas dua pos sempadan tentera, menyebabkan antara 24 hingga 26 tenteranya terkorban dan 13 lagi cedera.

Jurucakap NATO bagi Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Brigadier Jeneral Carsten Jacobson mengesahkan, tentera asing yang bekerjasama dengan tentera Afghanistan meminta bantuan serangan udara untuk operasi serangan berhampiran sempadan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Syria kena sekatan



Penunjuk perasaan prokerajaan membawa kain rentang tertera gambar presiden Bashar Assad semasa mengadakan demonstrasi di Damsyik, semalam mengecam keputusan Liga Arab mengenakan sekatan ke atas Syria. - AGENSI


KAHERAH 27 Nov. - Menteri-menteri ekonomi Liga Arab, semalam bersetuju mengenakan sekatan ke atas Syria selepas Damsyik tidak mengendahkan tempoh yang diberikan untuk menamatkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di negara itu.

Kumpulan menteri ekonomi yang berhimpun di Kaherah bagi menangani krisis di Syria itu berkata, beberapa pegawai kanan negara itu telah disekat daripada melakukan perjalanan melalui lapangan terbang di negara-negara Arab.

"Perdagangan antara kerajaan Arab dengan Syria turut dihentikan, kecuali barangan keperluan penduduk," kata menteri-menteri itu dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian pakej sekatan, kerajaan Arab akan menghentikan urusan dengan Bank Pusat Syria dan menggantung penerbangan syarikat milik kerajaan negara itu, kecuali untuk membawa barangan keperluan.

Kumpulan Menteri Arab itu turut menuntut negara-negara anggota membekukan aset milik pegawai-pegawai Syria dan menarik balik pelaburan di negara itu.

Menurut kenyataan tersebut, sekatan itu turut dibuat bagi mengelak rakyat Syria menderita.

Menteri-menteri Luar Liga Arab pula dijadualkan mengadakan mesyuarat hari ini berhubung isu Syria yang akan turut dihadiri Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.

Tempoh akhir yang ditetapkan oleh Liga Arab untuk Damsyik menyokong rancangan membenarkan Liga Arab memantau negara itu, menghentikan kekerasan dan memulakan dialog telah tamat semalam, tetapi tidak diendahkan oleh Syria. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Remaja ‘samseng’ dera seksual


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2011/11/28

MARANG: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berhijrah dan merubah diri menjadi insan lebih baik dengan memasuki sekolah pemulihan akhlak di sini bertukar tragedi, selepas dia menjadi mangsa penderaan seksual dan buli lima pelajar senior di sekolah berkenaan, petang Khamis lalu.

Kejadian malang itu menimpa mangsa yang hanya dikenali sebagai, Mira, 14, dari Klang, Selangor, dan mendakwa diperlakukan sedemikian oleh lima rakan sebiliknya.
Dalam pertemuan dengan Berita Harian semalam, Mira mendakwa dia didera secara seksual kira-kira setengah jam di dalam asrama sekolah itu, selepas berlaku pertengkaran dengan pelajar senior berusia 14 hingga 17 tahun di dalam bilik mandi kira-kira jam 3 petang.
Katanya, dia yang masuk ke sekolah pemulihan akhlak wanita atas inisiatif sendiri pada September lalu, dipanggil oleh kumpulan pelajar berkenaan ke bilik mandi untuk membantunya mencuci rambut, tetapi ketika itu dia membantah tindakan mereka yang meraba-raba belakangnya.

Namun, dia sekali lagi diganggu pelajar berusia 17 tahun ketika bersiap di bilik untuk menyertai satu program sekolah, tetapi cubaannya melawan ketika itu dibalas dengan tindakan agresif apabila ditolak ke dinding dan kemudian direbahkan di katil.

“Saya menempuh azab kira-kira setengah jam apabila mereka memperlakukan saya seperti binatang,” katanya yang mendakwa perlakuan tidak bermoral itu terhenti selepas seorang pelajar mengetuk pintu bilik memintanya segera ke program berkenaan.

Dalam keadaan kesakitan, lemah serta menangis, Mira berkata, dia pergi ke tingkat bawah sebelum terserempak dengan seorang pelajar senior berusia 19 tahun yang juga rakan baiknya, sebelum menceritakan kejadian itu selepas didesak.
“Selepas memberitahu warden mengenai kejadian itu, saya disuruh berehat sementara menunggu warden menyoal siasat lima pelajar terbabit. Mereka akhirnya mengaku selepas didesak. Saya dihantar pihak sekolah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira jam 10 malam,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 34, berkata dia terkilan kerana pihak sekolah cuba menyembunyikan kejadian yang menimpa anaknya Mira, sebaliknya hanya mengetahui kejadian sebenar daripada Mira.

“Saya terima panggilan polis kira-kira jam 2.15 pagi semalam (Jumaat) memaklumkan Mira dimasukkan ke HSNZ, selepas menjadi mangsa buli,” katanya yang datang dari Klang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan, justeru, tidak dapat mengulas lanjut.
Berita Harian Online | Remaja ‘samseng’ dera seksual:

'via Blog this'

Pakistan arah AS kosongkan pangkalan udara

2011/11/28

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mendesak Amerika Syarikat mengosongkan pangkalan udara di negaranya dalam masa 15 hari kerana mengesyaki Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan ia untuk mengendalikan pesawat kawalan jauh.

Desakan itu dibuat kelmarin selepas helikopter dan jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyerang dua pos pemeriksaan tentera Pakistan di sepanjang sempadan Afghanistan, menyebabkan 28 anggota tentera maut.
Islamabad menggariskan tuntutan itu dalam kenyataan yang dihantar kepada wartawan berikutan mesyuarat jawatankuasa pertahanan tergempar yang dipengerusikan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani.
Pangkalan Udara Shamsi terletak di wilayah Baluchistan. Amerika disyaki menggunakan kemudahan itu pada masa lalu untuk melancarkan pesawat bersenjata kawalan jauh dan pesawat pemantau untuk mengenakan tekanan ke atas pergerakan Taliban dan al-Qaeda di wilayah terpencil Pakistan.

Kejadian kelmarin terus menjadikan hubungan Amerika dan Pakistan yang sudah pun tegang, semakin buruk. Pakistan membalas dengan menutup laluan bekalan utama NATO ke Afghanistan, yang digunakan untuk menghantar material tidak membahayakan pakatan itu.

Serangan itu adalah kejadian tunggal paling buruk seumpamanya sejak Pakistan seolah-olah terpaksa berpakat dengan Washington berikutan tragedi 11 September 2001.

Hubungan antara kedua-dua negara, sekutu dalam kempen memerangi keganasan, tegang berikutan pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden oleh pasukan khas Amerika dalam satu serbuan di Abbottabad Mei lalu, yang disifatkan Pakistan mencabul kedaulatannya.
“Ini adalah serangan ke atas kedaulatan Pakistan. Kami tidak akan membenarkan sebarang bentuk serangan ke atas kedaulatan Pakistan,” kata Gilani.

Kementerian Luar berkata ia akan membawa perkara itu dalam nada paling tegas dengan NATO dan Amerika. –Agensi
Berita Harian Online | Pakistan arah AS kosongkan pangkalan udara:

'via Blog this'

Iran undi usir Duta Britain




2011/11/28

Reaksi balas sekatan Barat berkait program nuklear negara itu

TEHRAN: Parlimen Iran semalam mengundi untuk mengusir Duta Britain sebagai reaksi balas pelaksanaan sekatan terbaru Barat berhubung program nuklear negara itu.

Majoriti 179 ahli parlimen mengundi menyokong usaha mengurangkan hubungan diplomatik dengan utusan bawahan dalam masa dua minggu dan menyeimbangkan hubungan ekonomi dengan Britain ke paras minimum, menurut siaran langsung menerusi radio.
Empat wakil mengundi menentang dan 11 lagi berkecuali.
Ahli parlimen turut menimbang kemungkinan ‘menghukum’ negara lain yang mengambil pendirian seperti Britain.

“Rang undang-undang ini cuma satu permulaan,” kata Speaker Parlimen, Ali Larijani.

Rang undang-undang itu akan dikemukakan kepada Majlis Pengawal Perlembagaan Iran untuk kelulusan sebelum dikuatkuasakan.

Selepas rang undang-undang Parlimen itu diperkenalkan Rabu lalu, Britain berkata, ia kesal jika dutanya ke Tehran, Dominick Chilcott, yang baru menyandang jawatan bulan lalu diusir.
Britain, pada 14 November lalu berkata ia menamatkan semua hubungan sistem kewangannya dengan sistem kewangan Iran. Langkah berkenaan, yang diumumkan selari sekatan diambil Amerika Syarikat dan Kanada, dibuat seminggu selepas laporan pemantau kuasa atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dengan tegas Tehran sedang membuat penyelidikan senjata nuklear.

Britain dan Kanada mempunyai kedutaan di Iran. Amerika menutup kedutaannya di negara itu selepas penuntut menjadikan diplomatnya sebagai tebusan dalam revolusi Iran 1979. Iran menyangkal laporan PBB itu dan menegaskan program nuklearnya untuk tujuan aman.

“Kami percaya adalah penting untuk mengekalkan wakil kanan komunikasi terutama pada waktu seperti ini. Hanya menerusi dialog kita dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi,” kata jurucakap Pejabat Luar dan Komanwel Britain.

Penulis rang itu, Allaeddin Boroujerdi, yang mengetuai keselamatan kebangsaan Parlimen dan suruhanjaya dasar luar, berkata: “Jika Britain mengurangkan pendekatan seteru terhadap Iran, kami boleh menjalin hubungan sekali lagi.” – AFP
Berita Harian Online | Iran undi usir Duta Britain:

'via Blog this'

Penerbangan terjejas akibat awan abu



SEBUAH helikopter terbang melintasi awan debu dari gunung berapi Puyehue, Chile.


MONTEVIDEO, Chile - Abu Gunung Berapi Puyehue Chile menyebabkan kelewatan serta pembatalan penerbangan keluar dari Uruguay semalam sekali gus mengecewakan para pelancong yang menggunakan pengangkutan udara di sini, kata beberapa pegawai.

Penerbangan masuk dan keluar dari Buenos Aires telah dibatalkan manakala penerbangan dari Sepanyol berdepan kelewatan berikutan risiko awan abu gunung berapi.

Sejak gunung berapi itu meletus pada 5 Jun lau, perjalanan udara di selatan rantau Amerika Selatan hingga ke Australia terganggu secara berkala berikutan pengeluaran awan abu yang dibawa angin dari gunung berapi Puyehue di banjaran Andes.

Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Kebangsaan Chile menyatakan, gunung berapi Puyehue yang berterusan mengeluarkan abu boleh menjejaskan perjalanan udara selama beberapa bulan.

Pihak berkuasa penerbangan turut bimbang awam abu itu boleh merosakkan pesawat. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Buaya berkeliaran selepas banjir



SEEKOR buaya yang ditangkap di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok diletakkan dalam sebuah bot.


BANGKOK - Banjir besar yang semakin surut di Thailand membawa bersama ratusan ekor buaya dari kawasan paya bakau ke kawasan penempatan penduduk di sini.

Berpuluh-puluh ekor reptilia itu termasuk spesies ular berbisa dilihat berkeliaran di beberapa kawasan di ibu kota Thailand tersebut.

Kehadiran tetamu tidak diundang itu mendorong pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menangkap buaya yang terlepas.

Beberapa pasukan khas Jabatan Perikanan Thai menerima banyak laporan kehadiran reptilia buas itu seperti kejadian yang menimpa seorang penduduk di sini, Anchalee Wannawet.

Lelaki berkenaan melihat seekor buaya sepanjang satu meter dengan mulut terganga luas berada di tepi tandas di luar rumahnya baru-baru ini.

"Saya terus cabut lari," kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Selain buaya liar banjir terburuk dalam tempoh separuh abad itu turut menyebabkan ratusan ekor buaya yang menghuni ladang-ladang buaya di pinggir bandar raya ini terlepas. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Aktivis Greenpeace rantai diri di landasan



SEORANG aktivis Greenpeace menghalang landasan kereta api dekat bandar Lueneburg.


LUENEBURG, Jerman - Sekitar 50 aktivis kumpulan Greenpeace cuba mensabotaj landasan yang dilalui sebuah keretapi mengangkut sisa nuklear ke sebuah loji simpanan di utara Jerman semalam.

Seorang jurucakap polis, Stefan Kuehm-Stoltz berkata, beberapa aktivis merantai diri mereka di landasan untuk menghalang perjalanan kereta api tersebut.

Menurutnya, polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka.

Kereta api yang membawa 11 kontena berisi sisa nuklear yang telah diproses di Loji La Hague, Perancis itu memasuki Jerman pada Jumaat lalu selepas mengalami kelewatan di Perancis.

Tenaga nuklear tidak popular di Jerman sejak sisa kebocoran loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986 memasuki negara itu kerana tiupan angin. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

'Zombi' mengganas di Mexico



ORANG RAMAI berpakaian seperti zombi bergaya di depan kamera semasa menyertai perarakan zombi di Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Beribu-ribu orang memakai kostum dan mekap menyerupai mayat hidup berhimpun di pusat bandar raya ini sempena acara Jalan Kaki Zombi bertujuan untuk mencatat rekod dunia.

Penganjur acara berkenaan, Pablo Guisa berkata, acara tahunan tersebut yang berlangsung semalam disertai seramai 9,860 peserta.

Selain mencatat rekod dunia, para peserta turut mengumpul derma untuk disumbangkan kepada bank makanan tempatan.

Banyak bandar raya di seluruh dunia mengadakan acara serupa dengan rekod dunia Cities Guinness World Records mengiktiraf Asbury Park, New Jersey, sebagai pemegang rekod dunia dengan 4,093 peserta pada 30 Oktober 2010.

Sebuah kumpulan di bandar raya Brisbane, Australia telah memohon untuk rekod dunia kategori berkenaan apabila mendakwa ia berjaya mengumpulkan seramai 8,000 'zombi' pada bulan lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Elvis Afghan pujaan wanita Kabul



PENYANYI Farhad Darya (tengah) beraksi semasa mengadakan konsert di Kabul pada 24 November lalu. - AFP


KABUL, Afghanistan - Digelar Elvis Afghanistan, Farhad Darya mungkin satu-satunya lelaki di negara paling konservatif itu yang dapat membangkitkan gelora wanita sehingga mereka menjerit, melambai dan bersiul semasa menonton kosertnya.

Dalam sebuah negara yang mana hak wanita diabai dan muzik diharamkan oleh Taliban hingga 10 tahun lalu, Darya dianggap sebagai ikon di negara itu.

Populariti penyanyi berkenaan terserlah semasa dia mengadakan konsert yang terhad kepada penonton wanita di sini pada minggu lalu.

Konsert itu berlangsung secara rahsia berikutan kebimbangan ia menjadi sasaran serangan bom kumpulan Taliban.

"Saya sentiasa memberitahu semua orang bahawa dia lelaki idaman saya, dia menyanyi dengan baik, personalitinya cukup menarik, dia hebat," kata seorang pelajar wanita berusia 18 tahun Meetra Alokozay.

Populariti Darya di Afghanistan menyebabkan dia dipilih sebagai Duta Muhibbah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Darya, konsert pada Khamis lalu itu adalah sebahagian kempen memerangi keganasan domestik yang berleluasa di Afghanistan.

"Terdapat masalah besar dalam negara ini. Mereka yang bertanggungjawab dalam politik, kerajaan cuma pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya," kata Darya.

Penyanyi berambut hitam, bermata biru itu masih kacak walaupun usianya kini mencecah 49 tahun.

Dia telah menghasilkan 35 buah album setakat ini dengan kebanyakannya bertemakan politik keamanan.

Lagunya, Kabul Jaan (Kabul yang Dicintai) merupakan lagu pertama dimainkan radio Afghanistan selepas Taliban diusir tentera Amerika Syarikat (AS) dalam tahun 2001.

Elvis Presley ialah antara penyanyi paling popular pada abad ke-20. Lebih 400 juta album penyanyi yang mendapat jolokan Raja Rock&Roll itu dijual di seluruh dunia setakat ini.

Penyanyi dari AS itu meninggal dunia pada 1977. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Empat maut jambatan runtuh di Kalimantan


BEBERAPA anggota polis Indonesia memeriksa tapak jambatan runtuh di bandar Samarinda, Kalimantan Timur semalam.


JAKARTA, Indonesia - Sebuah jambatan sibuk di Kalimantan runtuh dengan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala 19 yang lain cedera selepas sebuah bas, beberapa kereta dan motosikal terjatuh ke dalam sungai, kata polis dan saksi.

Seorang pegawai polis, Kapten Syafii Nafsikin berkata, pasukan pencari dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas nahas berlaku kelmarin.

Jambatan gantung Kutai Kartanegara sepanjang 700 meter itu dibina menyerupai Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat. Ia menghubungi bandar Tenggarong dan Samarinda di wilayah Kalimantan Timur.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen TVONE, saksi kejadian, Syaiful berkata, insiden berlaku ketika jambatan berkenaan sesak dengan kenderaan.

Menurutnya, dia melihat sekurang-kurangnya sebuah bas dan hampir 12 buah motosikal terjunam ke dalam Sungai Mahakam. Beberapa buah kereta turut terjunam ke dalam sungai

"Ramai orang menjeritmeminta tolong ," kata Syaiful.

Jurucakap polis Kalimantan Timur, Kolonel Col. Antonius Wisnu Sutirta berkata, punca jambatan berusia 10 tahun itu tiba-tiba runtuh masih belum dapat dipastikan.

Katanya, semua mangsa yang cedera kini dirawat di beberapa buah hospital berdekatan di wilayah berkenaan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'