Pages

Tuesday, November 15, 2011

Maut dibaham badak kesayangan

myMetro | Maut dibaham badak kesayangan:



E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEBELUM MENGAMUK...Els menunggang Humphrey di tasik yang dibuat khas untuk haiwan liar itu, baru-baru ini.
SEBELUM MENGAMUK...Els menunggang Humphrey di tasik yang dibuat khas untuk haiwan liar itu, baru-baru ini.

KLERKSDORP (Afrika Selatan): Seorang peladang maut dibunuh badak air yang dibelanya sejak haiwan liar itu berusia lima bulan dan dilayan seperti anak sendiri.

Marius Els dilaporkan dibaham berkali-kali Humphrey - nama badak air itu sehingga dia menemui ajalnya pada malam Sabtu lalu.


Media semalam melaporkan, mayat Els, 41, yang mempunyai kesan cedera serius ditemui terapung dalam sungai di kawasan ladangnya di Klerksdorp, wilayah Barat Laut Afrika Selatan.

Awal tahun ini, Els menjadi perhatian ramai apabila gambarnya menunggang Humphrey disiarkan.


Kata Els, Humphrey seberat 1,200 kilogram itu seolah-olah anak lelakinya sendiri.


“Perangainya juga seperti manusia,” katanya.


Menurut Els, wujud pertalian unik dan akrab di antara dirinya dengan Humphrey tetapi ia gagal difahami ramai orang.


“Bagi sesetengah orang, mereka menyangka hubungan baik manusia dengan haiwan hanya boleh berlaku jika ia membabitkan anjing, kucing dan haiwan domestik,” katanya.

Memiliki ladang seluas 162 hektar, Els berbangga kerana dia mampu menjalin hubungan baik dengan haiwan paling berbahaya di Afrika.


Selain Humphrey, Els memelihara 20 haiwan eksotik berlainan spesies di ladang itu, termasuk zirafah dan badak sumbu.


Bagaimanapun, Els mempunyai hubungan istimewa dengan Humphrey sejak ia dibeli ketika haiwan liar itu berusia lima bulan.


Els juga membina tasik khas untuk Humphrey di ladangnya.


Ketika ini, Humphrey berusia enam tahun.


Menurut Els, dia sedar ada bahaya pada setiap haiwan peliharaannya itu dan sentiasa berhati-hati.


“Jika Humphrey berasa tidak mahu ditunggangi, dia akan mencampak saya seperti seekor kuda,” katanya satu ketika dulu.


Mac lalu, Humphrey menyerang dua pemain kenu yang melalui tasik berkenaan untuk ke Sungai berhampiran. - DM


'via Blog this'

Bapa nekad ekori penculik

Berita Harian Online | Bapa nekad ekori penculik: Kes Nurin dorong cari warga Kemboja cuba larikan anak

KUALA LUMPUR: “Saya tak boleh tengok orang buat benda tak elok, kalau ada kes ragut depan mata pun saya akan cuba tangkap (penjenayah), apa lagi berlaku pada anak sendiri... itu yang mendorong saya mencari lelaki itu sampai dapat, sebelum menghubungi polis,” kata Saifuddin Abu Samah, 37.
Keberanian Saifuddin mencari dan mengekori lelaki warga Kemboja yang didakwa cuba melarikan anak perempuannya, Nurfarihah, 6, sejauh dua kilometer termasuk nekad menyeberangi Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Taman Melati Utama di sini, malam Sabtu lalu, membolehkan suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.
Saifuddin, pengurus projek sebuah syarikat telekomunikasi berkata, jika kejadian yang hampir menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu berlaku pada kanak-kanak lain, beliau tetap mengambil tindakan sama.

“Saya tak boleh tengok benda tak elok, apa lagi kes membabitkan kanak-kanak.
Sekarang ini banyak kes jenayah dilaporkan dan kalau berlaku depan mata saya, takkan saya tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, lelaki warga Kemboja terbabit dikatakan menghulur kedua-dua tangan dan cuba menerkam Nurfariha ketika kanak-kanak berkenaan sedang berjalan bersama ibunya, Rohani Abd Raof, 37, selepas makan malam di sebuah restoran di Taman Melati Utama.
Suspek bagaimanapun melarikan diri selepas mendengar jeritan ibu mangsa memanggil anaknya sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada suaminya yang kemudian mencari dan mengekori lelaki terbabit sebelum ditangkap anggota polis.

Saifuddin berkata, pengalamannya yang pernah bersama-sama bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, mencari kanak-kanak mangsa pembunuhan kejam itu ketika kehilangannya beberapa tahun lalu, membuatkan beliau sentiasa mengambil langkah berhati-hati.

“Saya mengenali Jazimin kerana pernah bersekolah bersama, saya memahami perasaan beliau ketika itu dan beliau sendiri pernah menasihatkan saya supaya sentiasa memastikan keselamatan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi berkata, suspek berusia 33 tahun itu sudah dibebaskan selepas siasatan mendapati tiada elemen culik dalam kes berkenaan.

Katanya, lelaki warga Kemboja yang juga pekerja binaan itu juga didapati tidak melakukan sebarang sentuhan fizikal terhadap kanak-kanak terbabit selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah

'via Blog this'

Banjir ancam kuil purba Ayutthaya

Berita Harian Online | Banjir ancam kuil purba Ayutthaya: AYUTTHAYA: Banjir terburuk di Thailand menjadikan kompleks kuil purba Ayutthaya kelihatan seperti pulau manakala sebuah patung tidur gergasi Buddha kelihatan berbayang di dalam air.

Pakar bimbang sekurang-kurangnya lebih separuh daripada 200 biara dan kuil ditenggelami air manakala monumen lain di ibu kota yang pernah menjadi bandar diraja itu bakal musnah.
“Bayangkan beribu-ribu tan batu bata bersandarkan pada asas yang lembut, tanpa sebarang cerucuk moden. Kami amat bimbang,” kata pengarah Taman Sejarah Ayutthaya Chaiyanand Busayarat.
Ketika banjir semakin surut, sebilangan pakar mencadangkan satu perubahan untuk menghalang bencana alam yang sama pada masa depan, dengan berpatah semula kira-kira empat abad lalu untuk mencontohi perancangan bandar dan kejuruteraan ketika itu.

“Kita tidak boleh menghalang banjir jadi kita perlu belajar untuk tinggal bersama air semula, seperti yang diwujudkan Ayutthaya. Mari keluarkan peta lama bandar raya terbabit,” kata Timbalan Ketua pengarah Jabatan Seni Halus kerajaan Thailand Anek Sihamat.

Beliau mencadangkan menggali terusan lama yang mampu memberi laluan kepada jalan raya dan menghalang kawasan industri dan perbandaran yang menghalang pengaliran air secara semula jadi.

Ibu negara selama 417 tahun itu menyaksikan pemerintahan 33 orang raja. Ayutthaya disifatkan sebagai sebuah bandar raya terbesar dalam air dengan rangkaian terusan yang berukuran lebih 140 kilometer. Dibina di atas dataran banjir pusat Thailand di pertemuan tiga sungai, sering dilanda banjir setiap tahun, tetapi rakyatnya tinggal di rumah rakit dan menggunakan bot sebagai pengangkutan.
Air juga menghalang Ayutthaya daripada dirampas Burma pada 1767 yang memaksa perubahan semula ibu negara ke Bangkok, 80 kilometer ke selatan.

Banjir dari kawasan tanah tinggi di utara lewat Julai lalu membunuh lebih 520 penduduk adalah yang terburuk sejak 1940-an walaupun Ayutthaya pernah mengalami banjir hampir setiap musim monsun.

Dalam masa beberapa minggu, pakar akan menilai kemusnahan dan menentukan apa perlu dibuat untuk mengubah dan melindungi bandar raya itu yang turut tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO 1991.

Penasihat dari Venice dan Belanda, dua tempat yang menghadapi cabaran hidup dikelilingi air sedia untuk datang manakala beberapa negara termasuk Jepun dan Jerman berjanji menyediakan dana untuk memperbaikinya.

Anek, pegawai Seni Halus menganggarkan kira-kira AS$20 juta diperlukan. – AP

'via Blog this'

Berlusconi ikrar tak mahu bertanding

Berita Harian Online | Berlusconi ikrar tak mahu bertanding: Bekas PM Itali bakal berdepan tindakan undang-undang, cabaran kewangan

ROME: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi bakal berdepan tindakan undang-undang dan cabaran kewangan, manakala prospek kehidupannya mungkin tidak lagi menjadi perhatian antarabangsa selepas meletakkan jawatan.

Beliau berikrar tidak akan bertanding semula, manakala ada pihak menjangka Berlusconi akan meninggalkan terus bidang politik Itali. Berlusconi sendiri berkata bahawa beliau mungkin membantu kempen di sana sini kerana bidang politik memberinya pelbagai kebaikan.
Peletakan jawatan Berlusconi sebagai perdana menteri kelmarin berikutan krisis pasaran selama beberapa bulan, menandakan berakhirnya satu era politik di Itali dan sekali lagi, Berlusconi yang berusia 75 tahun itu akan kembali kepada kehidupannya sebagai seorang jutawan.
“Apa yang kami lihat sekarang bukanlah berakhirnya sebuah kerajaan tetapi kesudahan salah satu sistem daripada satu sistem politik,” kata seorang penganalisis akhbar harian, Corriere Della Sera, Massimo Franco.

Malah, Berlusconi yang menguasai politik Itali sejak 17 tahun lalu adalah seorang tokoh berbeza yang berkhidmat selama tiga penggal sebagai perdana menteri. Beliau berhadapan dengan penentang politik dan majistret yang mendakwanya kerana rasuah serta tuduhan salah laku seks tetapi mengenepikan tekanan pasaran dan antarabangsa.

Tokoh media itu sering kali bertemu dengan kuasa dunia sama ada bercuti dengan pemimpin Russia, Vladimir Putin atau menerima layanan mewah Texas dalam satu mesyuarat sekutu perang Iraq yang dianjurkan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W Bush.

Disebabkan perubahan ekonomi, pengunduran beliau dilihat terlalu cepat ketika Itali dilanda krisis hutang Eropah.
Sama ada beliau kembali semula mengendalikan empayar media miliknya atau berpatah balik selepas mengosongkan jawatan presiden pasukan bola sepak kesayangannya, AC Milan, Berlusconi terus berdepan rasa kurang senang pihak media terhadapnya.

“Hentikan teknokrat Eropah. Kerajaan ini satu rampasan kuasa,” kata satu tajuk berita akhbar keluarga II Giornale yang meramalkan kerajaan baru Itali akan diketuai oleh ahli ekonomi, Mario Monti. – AP

'via Blog this'

Kedutaan Arab Saudi, Qatar kena serbu

Berita Harian Online | Kedutaan Arab Saudi, Qatar kena serbu: PENDUDUK  mengibar bendera Syria di atas bumbung Kedutaan Qatar di Damsyik, kelmarin.
PENDUDUK mengibar bendera Syria di atas bumbung Kedutaan Qatar di Damsyik, kelmarin.
Penduduk Syria bantah tindakan Liga Arab undi gantung keanggotaan negara

DAMSYIK: Penunjuk perasaan menyerbu kedutaan Arab Saudi di ibu negara Syria semalam selepas Liga Arab mengundi untuk mengenakan sekatan terhadap keanggotaan Syria berikutan tindakan kerajaan negara itu yang melakukan kekejaman terhadap penentang kepada rejim Bashar Assad.

Agensi rasmi Arab Saudi, Saudi Press Agency melaporkan penunjuk perasaan memasuki pekarangan kedutaan di ibu negara Syria itu lewat kelmarin, memecahkan tingkap dan menyerbu beberapa kawasan di dalamnya. Laporan itu tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kerosakan atau sama ada kedutaan itu beroperasi pada hari Ahad.
Agensi sama melaporkan Arab Saudi mengutuk serangan yang dilakukan terhadap kedutaan mereka di Syria itu.
Ia mengatakan serangan itu berlaku selepas beratus-ratus penunjuk perasaan melontarkan batu ke arah kedutaan itu berikutan keputusan yang dibuat Liga Arab.

Malah penunjuk perasaan pro rejim yang lain turut melontarkan telur dan tomato ke arah kedutaan Qatar.

Tunjuk perasaan dilaporkan turut berlaku di hadapan kedutaan Qatar, Turki dan Amerika Syarikat.

Demonstrasi juga diadakan di beberapa bandar raya utama di Syria seperti Aleppo, Raqqa, Lattakia, Tartous, Hasaka dan Sweida.
Laporan menyatakan beberapa penunjuk perasan memecah masuk ke kedutaan Arab Saudi manakala yang lain masuk melalui bumbung ke bangunan kedutaan Qatar dan mengibarkan bendera kebangsaan Syria.

Kumpulan penunjuk perasaan lain melontar Kedutaan Qatar dengan tomato dan telur sebagai membantah tindakan Doha mengadakan sidang tergempar Liga Arab dan mengumumkan penggantungan keanggotaan Syria.

Sambil melaungkan slogan menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad, penunjuk perasaan kemudian berhimpun di depan kedutaan Turki dan Amerika Syarikat, mengutuk blok Arab kerana bertindak melakukan plot yang disifatkan mereka mengikut telunjuk Amerika Syarikat.

Bantahan sama diadakan di rangkaian berita Arab Saudi, Al-Arabiya dan Al-Jazeera yang berada di ibu negara Jordan, Amman.

Penunjuk perasaan yang marah cuba untuk memecah masuk bangunan rangkaian berita itu yang dipersalahkan kerana mengikut agenda Amerika Syarikat dan Israel terhadap Syria.

Liga Arab mengundi untuk menggantung aktiviti Syria dalam mesyuarat itu sehingga pelan damai yang dicadangkan badan berkenaan dilaksanakan kerajaan Syria.

Ia juga menggesa negara Arab memanggil pulang wakil mereka dari Damsyik dan menangguhkan sekatan ekonomi dan politik terhadap Syria.

Pengumuman penggantungan keanggotaan Syria itu dibuat ketika mesyuarat tergempar liga itu di ibu pejabatnya di Kaherah, Mesir.

Syria berhadapan dengan kebangkitan berdarah sejak pertengahan Mac dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lebih 3,500 penduduk terbunuh dalam keganasan itu. Beratus pasukan keselamatan Syria adalah antara yang maut dalam kejadian berkenaan.

Ketika pembangkang Syria mendakwa operasi pasukan keselamatan terhadap apa yang dipanggil tunjuk perasaan anti kerajaan itu, Damsyik mendakwa keganasan itu mendapat bantuan negara asing.

Bagaimanapun, pembangkang Syria menyambut baik keputusan Liga Arab untuk menggantung keanggotaan negara itu berikutan kekejaman dilakukan terhadap penunjuk perasaan dan menyifatkan mereka juga bersedia untuk berbincang bagi merangka perubahan.

Majlis Kebangsaan Syria menyambut baik keputusan dikeluarkan Majlis Menteri Arab, menyifatkan ia sebagai satu langkah ke arah yang tepat dan kritikan jelas terhadap rejim Syria yang meneruskan pembunuhan dan mematahkan kempen,” kata pegawai majlis.

Keputusan ini mengesahkan peranan Arab dalam menyokong penduduk Syria, kata seorang pegawai yang enggan namanya disebut yang memetik satu kenyataan e-mel diterima AFP di Nicosia.

“Apa yang dicapai setakat ini adalah satu keputusan semula jadi kesengsaraan yang dihadapi penduduk membabitkan rejim kejam dan penduduk Syria menerimanya,” katanya. – AP/AFP/Agensi

'via Blog this'

Dua sepupu maut nahas motosikal

Kosmo! Online - Negara:



ORANG RAMAI melihat mayat Nik Muhamad Azmir selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Merang, Setiu kelmarin.


SETIU - Dua sepupu maut manakala rakan mereka cedera parah apabila motosikal masing-masing bertembung antara satu sama lain ketika hujan lebat di Kampung Merang di sini kelmarin.

Nik Muhamad Azmir Nik Ismail, 15, dari Kampung Gong Tengah, Merang di sini maut di tempat kejadian manakala sepupunya, Mohamad Tarmimi Mahasan, 17, juga dari kampung yang sama meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Rakan mereka, Muhamad Anis Zaireni, 14, dari Kampung Lembah Bidong dekat sini pula cedera parah di kaki dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan.

Kejadian berlaku pada pukul 9 malam ketika Nik Muhamad Azmir yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang dari Lembah Bidong ke rumahnya selepas membeli makanan.

Tiba di tempat kejadian, motosikal Nik Muhamad Azmir dikatakan telah bertembung dan melanggar motosikal Mohamad Tarmimi yang dinaiki bersama Muhamad Anis secara melawan arus.

Bapa saudara Muhamad Tarmimi yang hanya mahu dikenali sebagai Mahusin, 47, ketika ditemui berkata, akibat perlanggaran itu, Nik Muhamad Azmir tercampak sejauh enam meter dan cedera parah di kepala.


'via Blog this'

Pemandu teksi saman polis RM214,000

Kosmo! Online - Negara:



LEONG KANG menunjukkan kesan tembakan pada betisnya di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi menuntut ganti rugi sebanyak RM214,000 daripada seorang pegawai polis dan kerajaan Malaysia ekoran kecuaian pegawai polis terbabit yang tertembak kakinya pada 23 September tahun lalu.

Mangsa, Yeow Leong Kang, 42, berkata, ekoran kecederaan yang dialami, dia kini hilang punca pendapatan dan mengalami masalah untuk berjalan kerana sakit.

“Saya memfailkan saman untuk membuat tuntutan ganti rugi sebanyak RM214,000 termasuk ganti rugi khas RM14,000, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan masing-masing sebanyak RM100,000,” katanya pada sidang akhbar di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini Rabu lepas.

Cerita Leong Kang, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam teksinya di tepi perhentian bas berdekatan Pejabat Pos, Jalan Pudu di sini.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan ke arah teksi saya dan pada masa sama, kaki saya terasa amat sakit. Rupa-rupanya peluru yang dilepaskan telah menembusi betis kanan dan tapak kaki kiri saya.

“Lima minit kemudian, seorang pegawai polis berpakaian biasa datang dan memberitahu ambulans telah dipanggil dan saya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapat rawatan selama tiga hari,” jelasnya.


'via Blog this'

Lelaki maut ditembak di meja sarapan

Kosmo! Online - Negara:



ANGGOTA polis memeriksa mayat Shoo Toong di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas mati ditembak sebaik dia selesai bersarapan pagi di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.10 pagi itu, Lee Shoo Toong, 60, yang ditemani isterinya ketika bersarapan di restoran terbabit mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan di bahagian kiri dada.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal di sebuah pangsapuri Taman Skudai Baru dekat sini baru selesai makan sebelum seorang lelaki menaiki motosikal tiba-tiba berhenti di depan restoran tersebut.

Suspek kemudian dengan pantas melepaskan satu das tembakan dari arah belakang dan tembakan itu mengenai tepat pada bahagian dada kiri mangsa.

Lelaki itu bertindak melarikan diri dengan motosikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, isteri mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian, mangsa yang duduk di meja paling hadapan iaitu di kaki lima restoran baru selesai makan dan sedang membaca akhbar.

"Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga isteri mangsa juga tidak sempat mengecam suspek," katanya kepada pemberita di sini semalam.


'via Blog this'

Shah Bunga jual isteri dipenjara 70 bulan

Kosmo! Online - Negara:


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Bunga kerana mampu memiliki lebih 21 isteri dijatuhi hukuman penjara 70 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam atas dakwaan memperdagang dan mengeskploitasi salah seorang isterinya sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Bahau pada awal bulan ini.

Tertuduh, Suhaimi Saad, 32, dari Alor Setar, Kedah dikenakan hukuman tersebut selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Hukuman penjara tersebut diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 2 November lalu di hadapan sebuah pusat hiburan di Bahau.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shukri Hussain mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Imigran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda jika disabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa memperdagangkan serta mengeksploitasi isterinya, Mashmidar Mansor, 19, dengan memaksa mangsa bekerja sebagai pelayan kelab malam sebelum merampas gaji wanita itu sebanyak RM20 sehari sebaik mangsa selesai bekerja.

Mangsa dipaksa bekerja di Kelab Happy Mansion Karaoke 7 Lounge di premis No. 34 Taman Sornam, Bahau, Jempol.

Rentetan tangkapan terhadap tertuduh, polis berjaya menyelamatkan Mashmidar yang hampir tujuh bulan dikurung di sebuah rumah sewa di Bahau di sini sejak April lalu.


'via Blog this'

Tiga sahabat temui ajal serentak

Kosmo! Online - Negara:



KEADAAN kereta Proton Wira yang mengorbankan tiga sahabat di Kampung Wakaf Lichong di Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Tiga sahabat maut apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki terbabas dan bertembung dengan sebuah treler di Kampung Wakaf Lichong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, mereka yang terbunuh ialah Mohd. Adli Ariffin, 21, Mohd. Shahrol Syazuan Mohd. Rosli, 23, dan pemandu kereta itu, Mohd. Shahrolazuan Mohd. Hazli, 21.

Kesemua mangsa itu berasal dari Taman Madani dan Taman Indah, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu.

Menurut beliau, ketika kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, kereta tersebut yang dalam perjalanan dari Jerteh ke Kota Bharu bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dipandu laju di kawasan selekoh sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler," kata beliau.

Pemandu treler berkenaan, Ahmad Yunus, 56, tidak cedera.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, pihaknya mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta dengan memotong bumbung dan pintu kereta yang remuk itu.

Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


'via Blog this'

Istana Negara lama ditutup secara rasmi hari ini

Kosmo! Online - Negara:



Istana Negara baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur dirakamkan dari Menara Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Istana Negara lama yang telah menjangkau usia 83 tahun akan ditutup secara rasmi setelah selesai Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana itu di sini hari ini.

Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta pula akan menjadi kediaman rasmi baharu bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya setelah tamat tempoh jawatan yang kini dipegang oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tersergam indah di tepi Bukit Petaling, pelbagai peristiwa telah berlaku di istana lama itu yang pada asalnya sebuah banglo yang dibina pada 1928 oleh pemilik asalnya iaitu seorang jutawan dari China, Chan Wing.

Bagaimanapun, sejak tercetusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan negara ini ditawan Jepun, banglo yang telah ditinggalkan jutawan berkenaan digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun bermula 1942 sehinggalah 1945.

Sejurus tamatnya perang itu, banglo tersebut telah bertukar tangan kepada British Military Administration (Malaya) yang menjadikannya sebagai mes pegawai kanan British pada 1946.

Kemudian ia bertukar milik kepada Kerajaan Negeri Selangor apabila dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah istana untuk Sultan Selangor ketika itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Istana itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila kerajaan Persekutuan membelinya pada harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.


'via Blog this'

Paling ramai obes

Kosmo! Online - Negara:


RAMAI rakyat Malaysia mengalami obesiti dan bilangan mereka adalah paling ramai di Asia Tenggara. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara yang paling ramai rakyatnya mengalami obesiti dan tempat keenam di negara Asia Pasifik, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian semua pihak.

"Kita serius diancam dengan pengambilan gula berlebihan yang menyebabkan pelbagai penyakit termasuk diabetes," katanya semasa menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Seng Giaw ingin tahu tahap penggunaan gula berlebihan di Malaysia berbanding negara lain dan tindakan yang diambil kepada pihak-pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Rosnah berkata, kadar pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia adalah terlalu tinggi iaitu purata 51 gram, melebihi saranan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 50 gram.


'via Blog this'

Abu mayat diproses jadi manik

Kosmo! Online - Dunia:



PENGASAS syarikat Bonhyang, Jae-yul menunjukkan mesin yang menukar abu mayat manusia kepada manik perhiasan. (Gambar kecil)MANIK-MANIK kristal yang terhasil selepas pembakaran abu mayat manusia.


INCHEON, Korea Selatan - Rakyat Korea Selatan mencuba kaedah baharu untuk memperingati orang kaum keluarga dan sanak saudara yang sudah tiada.

Sekitar 500 orang telah menukar abu mayat orang tersayang mereka menjadi manik melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Bonhyang di sini, selatan bandar raya Seoul.

Seorang lelaki berusia 69 tahun, Kim II-nam menggali kubur bapanya dan menyerahkan mayat bapanya untuk dibakar.

Dia membayar AS$870 (RM2,728) untuk abu mayat bapanya diproses menjadi manik-manik kristal menyerupai batu permata.

"Setiap kali saya melihat manik-manik ini, saya menganggap ia adalah bapa saya dan saya akan mengingati hari-hari bahagia bersamanya," kata II-nam.

Pengasas Bonhyang, Bae Jae-yul berkata, manik-manik itu membolehkan orang ramai berada dekat dengan saudara-mara mereka yang telah mati.

"Manik-manik kami bersih dan tidak berbau," katanya.

Menurut Jae-yul, syarikatnya menggunakan suhu yang amat tinggi untuk meleburkan abu mayat sehingga abu berkenaan bertukar menjadi kristal berbentuk manik. Proses itu memakan masa selama 90 minit. - Agensi



'via Blog this'

Kapal angkasa Rusia, Soyuz TMA -22 berlepas ke ISS

Kosmo! Online - Dunia:



TIGA angkasawan, Dan Burbank (tengah) Anton Shkaplerov (kiri) serta Anatoly Ivanishin bergambar di pusat misi angkasa lepas Baikonur, Kazakhtan semalam.


MOSCOW - Sebuah kapal angkasa Rusia membawa seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan dua kosmonaut Rusia berlepas semalam dari kawasan padang rumput steppe di Kazakhtan menuju ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Kapal angkasa Soyuz TMA-22 berlepas mengikut jadual pada pukul 8.14 pagi waktu Kazakhtan dari pusat pelancaran misi angkasa lepas Baikonur di Kazakhtan.

Ia yang membawa angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA), Dan Burbank dan dua kosmonaut Rusia, Anton Shkaplerov serta Anatoly Ivanishin dan dijangka berlabuh di ISS esok.

Mereka akan berada di ISS yang dibina dengan kos AS$100 bilion (RM313.4 bilion) hingga Mac tahun depan bagi menggantikan tiga angkasawan yang kini bertugas di stesen angkasa lepas berkenaan.

Angkasawan-angkasawan tersebut dijadualkan kembali ke Bumi pada 21 November ini.

Pelancaran itu pernah ditangguhkan selama dua bulan susulan sebuah kapal angkasa kargo yang terhempas pada Ogos lalu. - Agensi


'via Blog this'

Penghantaran Putera William ke Falkland dipertahan

Kosmo! Online - Dunia:



PUTERA William yang bertindak selaku juruterbang helikopter pencari dan penyelamat, Sea King akan ditugaskan ke Pulau Falkland pada tahun depan.


LONDON - Pegawai-pegawai Britain kelmarin mempertahankan tindakan menghantar Putera William untuk bertugas di Kepulauan Falkland selepas Argentina mengecam tindakan tersebut sebagai mencetuskan provokasi.

Kementerian Pertahanan pada minggu ini mengumumkan bahawa Putera William, 29, yang bertugas sebagai juruterbang pencari dan penyelamat Tentera Udara Diraja Britain akan dihantar ke pos tentera di Kepulauan Falklands selama enam minggu pada tahun depan.

Penghantaran beliau yang akan dibuat menjelang sambutan ulang tahun ke-30 kekalahan Argentina kepada Britain dalam perang Falkland mencetuskan kemarahan beberapa pemimpin Argentina.

Seorang pegawai Argentina, Sebastian Brugo memberitahu akhbar negara berkenaan, La Nacionbahawa langkah itu bersifat provokatif.

Ketua angkatan bersenjata Britain, David Richards bagaimanapun menafikan London mempunyai motif tersembunyi dalam membuat keputusan tersebut.

"Putera William bersama adiknya Putera Harry ialah anggota angkatan bersenjata Britain. Mereka perlu melakukan tugas berdasarkan jadual yang telah diatur," kata Richards.

Britain memerintah Kepulauan Falkland yang terletak 460 kilometer ke timur pantai Argentina selama lebih 180 tahun.

Argentina bagaimanapun menuntut kedaulatan ke atas kepulauan berkenaan yang digelar Las Malvinas.

Kedua-dua negara itu terlibat dalam perang singkat kerana isu kepulauan berkenaan pada 1982. - Agensi



'via Blog this'

Libya kembali bergolak

Kosmo! Online - Dunia:



BEBERAPA anggota militia mengawal sebatang jalan menuju ke Tripoli kelmarin.


TRIPOLI, Libya - Dua kumpulan militia yang bermusuh bertempur di pinggir ibu negara Libya di sini untuk hari keempat kelmarin dalam keganasan paling berdarah sejak penangkapan dan pembunuhan bekas pemimpin negara berkenaan, Muammar Gaddafi pada bulan lalu.

Beberapa saksi berkata, anggota-anggota kedua-dua militia itu saling melancarkan serangan dengan menggunakan peluru mortar, mesingan dan roket.

Pertempuran melibatkan beberapa kumpulan militia tersebut membunuh sekurang-kurangnya 13 orang sejak minggu lalu.

Ia turut mencetuskan kebimbangan mengenai keupayaan pentadbiran peralihan mengembalikan keamanan di Libya yang terjejas selepas perang saudara selama lapan bulan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin pentadbiran peralihan Libya, Mustafa Abdul Jalil berkata, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang mentadbir negara itu berjaya mencapai persetujuan dengan ketua-ketua kumpulan militia yang bermusuh supaya menamatkan pertikaian mereka.

"Saya memberi jaminan kepada rakyat Libya bahawa semuanya terkawal," Mustafa kelmarin.

Namun, ketika kenyataan tersebut dibuat, pertempuran masih sengit di bandar Zawiya dan Warshefana di pinggir bandar raya ini.

Punca pertempuran berlaku masih tidak dapat dipastikan tetapi seorang pejuang berkata, kedua-dua belah pihak bertempur untuk menguasai sebuah kem tentera milik bekas rejim Gaddafi. - Agensi


'via Blog this'

Tujuh maut restoran meletup di China

Kosmo! Online - Dunia:



POLIS menutup kawasan sebuah restoran makanan segera yang meletup di sebuah pusat beli-belah di bandar Xian, barat daya China semalam.


BEIJING - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dengan puluhan yang lain cedera apabila satu letupan kuat memusnahkan sebuah restoran makanan segera di China semalam.

Beberapa pegawai dan media tempatan menyatakan, letupan kuat itu menghamburkan serpihan-serpihan cermin kaca hingga tiga kilometer dari tempat kejadian.

Agensi berita Xinhua melaporkan, antara mangsa termasuklah kanak-kanak yang melintasi bangunan berkenaan semasa dalam perjalanan ke sekolah.

Gambar-gambar yang dirakam di luar bangunan sebuah pasar raya yang menempatkan premis tersebut di bandar Xian, barat daya China, menunjukkan timbunan kaca dan serpihan berselerakan di atas jalan berhampiran tempat kejadian.

Mayat-mayat mangsa pula diletakkan di atas pengusung dan ditutup menggunakan kain biru.

Xinhua memetik beberapa pegawai tempatan dan saksi sebagai menyatakan, kejadian berpunca daripada letupan gas di restoran makanan segera itu yang terletak di tingkat satu bangunan berkenaan.

"13 orang dihantar ke hospital dengan tiga meninggal dunia iaitu dua lelaki dewasa dan seorang budak perempuan berusia tiga tahun. Seorang lagi kritikal," kata seorang doktor di Hospital Shaanxi Renmin.

Seramai 19 orang lagi yang cedera dalam letupan sama dihantar ke Hospital Xian Gaoxin dengan empat daripada mereka meninggal dunia.

Setakat ini, polis masih menyiasat punca sebenar letupan tersebut. - AFP


'via Blog this'