Pages

Saturday, July 30, 2011

Ketua pemberontak kena tembak, dibakar


Abdel Fattah Younes
Abdel Fattah Younes

Gaddafi disyaki dalang pembunuhan Abdel Fattah Younes

BENGHAZI/NALUT: Ketua pemberontak tentera Libya ditembak mati dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada pertelagahan dalam pergerakan menyingkirkan Muammar Gaddafi atau dibunuh oleh penyokong Gaddafi.
Pembunuhan Abdel Fattah Younes yang dianggap misteri menjejaskan pergerakan anti Gaddafi ketika mereka semakin kukuh selepas diiktiraf negara Barat sebagai pemerintah baru Libya.
Fattah juga bertahun-tahun dekat dengan pentadbiran Gaddafi sebelum berpaling tadah bagi menjadi ketua tentera Majlis Pentadbiran Kebangsaan (TNC).

Penyokong yang berkabung kematiannya membawa mayat Fattah penuh dengan kesan tembakan dan dibakar ke medan utama di Benghazi, kubu kuat pemberontak di timur Libya.

“Kami bawa mayatnya ke sini semalam. Dia ditembak kemudian dibakar. Dia menelefon kami pada 10 pagi (Khamis) dan memberitahu dia dalam perjalanan ke sini,” kata anak saudara Fattah, Abdul Hakim.

Fakta pembunuhan Fattah juga masih kabur selepas dia diminta ke Benghazi ketika berada di medan tempur di bandar Brega.
“Pembunuhan ini nampaknya satu operasi anjuran penyokong Gaddafi. Anggota keselamatan Gaddafi memenuhi misi mereka untuk membunuh Fattah,” dakwa wartawan Libya dan aktivis berpejabat di London, Shamis Ashour.

“Mereka harap dapat cetuskan perbalahan di kalangan pemberontak. Nampaknya ada tali barut (Gaddafi) di kalangan pemberontak.

“Fattah berada di medan perang dan dipujuk kembali ke Benghazi dan dibunuh sebelum tiba di sana. Ini satu tamparan hebat kepada pemberontak,” katanya lagi.

Pembunuhan itu berlaku ketika pemberontak mula menyerang kawasan sebelah barat dan menerima lebih banyak daripada masyarakat antarabangsa yang diharapkan membolehkan mereka menerima aset berbilion dolar Libya yang dibekukan di negara asing.

Selepas khabar angin bertiup kencang, pemimpin politik pemberontak, Mustafa Abdel Jalil memberitahu Fattah dan dua pengawal peribadinya dibunuh sebelum menghadiri sesi soal siasat dengan jawatankuasa kehakiman pemberontak mengenai isu ketenteraan.

Tidak jelas di mana pembunuhan itu berlaku. Fattah tidak dipercayai ramai pemimpin kanan pemberontak kerana rekodnya sebelum ini menindas penentang Gaddafi.

Tetapi, kematiannya dianggap memberi tamparan hebat kepada mereka kerana 30 negara sudah memberi pengiktirafan kepada mereka ketika kemajuan di medan perang agak perlahan.

“Ramai ahli TNC adalah penyokong Gaddafi sejak lama dulu. Mereka adalah penasihat dan menyertai TNC selepas pemberontakan meletus beberapa lama,” kata Geoff Porter, perunding agensi North Africa Risk Consulting. – Reuters
http://www.bharian.com.my

Friday, July 29, 2011

Yahoo: Malaysia tangga teratas


KUALA LUMPUR 28 Julai - Pertumbuhan pesat penjaringan sosial di Malaysia, yang merupakan aktiviti paling popular, akan menghasilkan peningkatan kesedaran bagi keperluan untuk membina "dinding" di dalam jaringan sedia ada, kata Yahoo.

Menurut kajian Yahoo!-Synovate Net Index 2011, dinding itu akan dibina bagi mengawal pertukaran maklumat dan memastikan bualan kekal berisi dan dengan banyak pihak.

Kajian 2011 kedua berturut-turut itu mengenai "Trend Internet, Perkembangan Digital dan Kelakuan Online di Malaysia" dilaksanakan antara Januari hingga Mac.

Kajian Yahoo! Net Index itu juga mengkaji media Internet pertama penggunaan internet kawasan perbandaran di negara-negara terpilih di seluruh Asia Tenggara.

Keinginan meluap-luap rakyat Malaysia bagi menjalin penjaringan sosial akan dapat mempercepatkan kemunculan "golongan bersosial berpilih-pilih" seperti menghadkan maklumat kerahsiaan peribadi masing-masing, mengkhususkan siapa yang mereka mahu jalinkan hubungan.

Kajian itu menunjukkan Malaysia menerajui penjaringan di seluruh Asia tenggara, dengan catatan 90 peratus, yang merupakan peningkatan 29 peratus sejak 2010.

Bagaimana pun, e-mel (87 peratus) dan penggunaan penyampaian pesanan segera (58 peratus) juga semakin meningkat, dengan pertumbuhan yang jitu sejak tahun lepas.

Minat utama rakyat Malaysia yang lain ialah carian dalam talian (89 peratus) dan penggunaan gerbang dalam talian (80 peratus), yang juga menduduki antara tangga tertinggi.

Duta Negara bagi Malaysia Yahoo! Jon-Tjin Kee berkata, kajian itu juga menunjukkan bahawa agregat janji niaga dalam talian dan pembelian berkumpulan mempunyai potensi yang signifikan bagi mencatatkan pertumbuhan pesat.

"Pendidikan pengguna dan keselesaan membayar secara dalam talian akan menentukan kadar pertumbuhan itu. Sekali gus, ini menyediakan persekitaran pertumbuhan e-niaga yang subur dengan pesat di Malaysia," katanya. - Bernama

Utusan Malaysia Online - Korporat

Culik anak saudara tuntut wang tebusan


HANOI 28 Julai - Seorang lelaki di selatan Vietnam diberkas kerana disyaki menculik anak saudaranya berusia 3 tahun untuk meminta wang tebusan.

Menurut polis, Tran Dai Nam, 26, ditangkap ketika dia cuba mengambil wang tebusan kira-kira AS$600 (RM1,800) daripada kakaknya, semalam.

"Ini merupakan kali pertama polis menyelesaikan kes seperti ini.

"Suspek menyatakan dia tidak mempunyai wang dan bertindak menculik anak saudaranya untuk mendapatkan wang tebusan daripada kakaknya," kata Timbalan Ketua Polis Thong Nhat, Tran Si Quynh.

Menurut Quynh, Nam baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara kerana merompak dan kini didakwa menculik anak saudaranya sendiri.

Tambahnya, suspek didakwa telah mengugut kakaknya untuk menjual anak saudaranya jika dia tidak mendapat wang tebusan, malah turut mengugut akan membunuh kanak-kanak tersebut jika kakaknya cuba menghubungi polis.

Katanya, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit selepas mengesan tempat dia disembunyikan.

Nam mungkin dijatuhi hukuman sehingga 12 tahun penjara jika didapati bersalah. - DPA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Penduduk dunia 7 bilion


WASHINGTON 28 Julai Jumlah penduduk dunia akan mencapai angka tujuh bilion orang pada tahun ini, walaupun terdapat tanda-tanda berlaku peningkatan secara perlahan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Biro Rujukan Jumlah Penduduk, jumlah kelahiran penduduk mengalami penurunan daripada 2.1 peratus setahun pada lewat 1960-an kepada 1.2 peratus ketika ini.

Namun, laporan itu turut mendapati beberapa penurunan kadar kelahiran itu diimbangi oleh kemajuan ubat dan kesihatan awam yang memanjangkan hayat manusia.

Jika kadar pertumbuhan 2.1 peratus berterusan sejak 1960-an, jumlah penduduk dunia dianggarkan mencecah 8.7 bilion orang tahun ini, menurut tinjauan itu.

Jumlah peningkatan penduduk pada kadar 1 bilion orang untuk setiap 12 tahun juga dilihat akan terus kekal.

“Jumlah enam dan tujuh bilion telah dicapai pada tempoh itu dan kemungkinan besar angka lapan bilion penduduk juga akan dicapai dalam tempoh 12 tahun,” kata tinjauan itu.

Jumlah penduduk dunia pada awal abad ke-20 ialah 1.6 bilion.

Sementara itu, jumlah kelahiran tertinggi masih kekal di negara-negara membangun dan miskin, tetapi jumlah kematian bayi turut mengalami kejatuhan ekoran kemajuan perubatan.

Perbezaaan antara kejatuhan kadar kematian dan kejatuhan kadar kelahiran pula berada pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di Kenya contohnya, kadar kelahiran berada pada tahap empat peratus pada awal 1950-an dan tidak mengalami penurunan sehingga lewat 1970-an, ketika jangka hayat penduduk di negara itu meningkat kepada 56 tahun dari 42 tahun pada awal 1950-an.

Tinjauan ini melibatkan kajian di empat negara iaitu Uganda, Guatemala, India dan Jerman yang mempunyai perubahan tahap penduduk yang berbeza. – dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kerosakan teknikal punca nahas



PEMANDANGAN dari udara yang diambil pada 24 Julai lalu merakamkan pasukan menyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa daripada gerabak kereta api laju yang berlanggar dengan sebuah lagi kereta api laju sehari sebelum itu di bandar Shuangyu, pinggir Wenzhou, wilayah Zhejiang, China. – AFP


BEIJING 28 Julai – Nahas kereta api yang meragut 39 nyawa di timur China pada Sabtu lalu berpunca daripada kelemahan reka bentuk peralatan isyarat dan kesilapan manusia.

Sebuah kereta api laju merempuh dari belakang sebuah lagi tren yang kehilangan kuasa dekat bandar Wenzhou di wilayah Zhejing pada Sabtu lalu kerana lampu isyarat yang sepatutnya bertukar merah selepas tren itu dipanah petir masih hijau, lapor agensi berita rasmi, Xinhua hari ini.

Xinhua memetik ketua Biro Kereta Api Shanghai, An Lusheng sebagai berkata, kakitangan di stesen kereta api Wenzhou juga tidak mengambil tindakan yang betul selepas sistem isyarat itu gagal.

Peralatan isyarat tersebut yang beroperasi sejak September 2009 direka sebuah institut penyelidikan dan reka bentuk di Beijing, lapor Xinhua yang tidak mendedahkan nama penuh institut itu.

Perdana Menteri, Wen Jiabao mengarahkan siasatan dilancarkan dan berjanji akan mengambil langkah-langkah keselamatan ‘yang tegas’ berikutan kemalangan kereta api terburuk di China sejak 2008 itu.

Jiabao tiba di Wenzhou pagi ini untuk mengucapkan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan melawat tempat kejadian.

Kemarahan orang ramai terhadap pihak berkuasa berhubung nahas itu diluahkan menerusi kenyataan di Internet dan sekurang-kurangnya satu protes diadakan.

Semalam, lebih 100 ahli keluarga kepada penumpang yang maut mengadakan demonstrasi di luar sebuah stesen kereta api untuk menyuarakan kemarahan kerana belum ada pihak yang dipertanggungjawabkan terhadap insiden tersebut.

Penunjuk perasaan menuntut untuk mengadakan pertemuan dengan para pegawai Kementerian Kereta Api, lapor Global Times, akhbar tabloid milik lidah rasmi Parti Komunis, People’s Daily. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Medan Samudera musnah terbakar



Keadaan salah sebuah kedai di Medan Samudera yang musnah terbakar di Banda Hilir, Melaka, semalam.


MELAKA 28 Julai – Pusat menjual pelbagai produk kraftangan, pakaian dan makanan tradisional terkenal di negeri ini, Medan Samudera di Jalan Quayside Banda Hilir di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini.

Kebakaran bermula pukul 5.19 pagi itu mengakibatkan 25 daripada 50 buah kedai menjual pelbagai produk kraftangan dan pakaian di tingkat bawah medan selera itu musnah.

Turut terjejas, 50 buah lot gerai makanan di tingkat atas apabila asap hitam menyelubungi bangunan dua tingkat itu.

Difahamkan, 25 lagi premis kraftangan di bahagian belakang tingkat bawah bangunan itu tidak mengalami kerosakan.

Kejadian berlaku ketika premis itu dipenuhi produk kraftangan dan pakaian yang baru ditempah oleh peniaga-peniaga tersebut sempena Ramadan minggu depan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pusat perniagaan itu tidak beroperasi pada waktu kejadian.

Pengerusi Penjaja dan Peniaga Kecil Usahawan Banda Hilir, Mohd. Rujahan Sidik, 48, yang juga peniaga capal dan kraftangan di situ berkata, dia menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 5.40 pagi tadi sebaik sahaja dihubungi seorang rakan.

“Saya terus menjadi lemah apabila memikirkan stok barang yang baru ditempah beberapa hari lalu sebagai persediaan untuk jualan di bazar Ramadan Taman Cempaka, Ahad ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Ekoran kejadian itu katanya, dia yang telah berniaga di Medan Samudera sejak bangunan itu dibuka lapan tahun lalu menganggarkan kerugian dialami hampir RM300,000.

Peniaga kraftangan dan kuih tradisional, Nor Hasikin Zaini, 36, pula berkata, dia sukar menerima kenyataan perniagaan yang diusahakan hasil titik peluhnya sendiri musnah dalam sekelip mata.

Lebih malang, Hasikin berkata, dia tidak tahu bagaimana untuk mencari modal bagi memulakan semula perniagaan kerana tidak mempunyai perlindungan insurans. Tambahnya, kerugian dianggarkan hampir RM100,000.

Mohd. Fazil Abdullah, 45, yang juga peniaga kraftangan berkata, kejadian itu mengakibatkan dia kerugian RM200,000 kerana premisnya dipenuhi barangan yang baru ditempah daripada pembekal untuk perniagaan sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. Tahir yang mengetuai operasi berkata, empat jentera dengan kekuatan 30 anggota dari Jalan Kubu, Ayer Keroh dan Bukit Katil dikerahkan ke tempat kejadian.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 8.45 pagi dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

4 maut, 2 parah, 3 cedera ringan



Keadaan bahagian hadapan bas ekspres remuk selepas berlanggar dengan sebuah lori treler yang mengakibat empat orang maut di Bagan Serai, Perak, malam kelmarin.


BAGAN SERAI 28 Julai – Empat terbunuh manakala dua parah dan tiga cedera ringan apabila sebuah treler terbabas lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 201.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kira-kira lima kilometer ke susur keluar Kamunting dekat sini, tengah malam tadi.

Mereka yang maut ialah anggota polis, Konstabel Abdul Shahreer Abu Hassan, 23, dan anak lelakinya, Mohamad Faris Daniel, berusia 20 bulan selain pemandu dan kelindan treler iaitu A. Yugeswara Rao, 25, dan K. Supramaniam, 30.

Abdul Shahreer, Yugeswara Rao dan Supramaniam mati di tempat kejadian manakala Mohamad Faris Daniel yang tercampak keluar dari bas itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping (HT).

Dua yang cedera parah ialah isteri Abdul Shahreer, Fauziah Md. Moktar, 24, dan pemandu bas, Mohamad Azizi Abdul Rahman, 30-an, manakala tiga cedera ringan ialah dua warganegara Indonesia dikenali sebagai Jasmani, 41, dan Hadiyanto, 46, serta seorang anggota tentera, Jebat Abdul Samarudin, 22. Kesemua mereka sedang dirawat di HT.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, dalam kejadian pukul 12.25 tengah malam, sebuah treler dari arah selatan menuju ke utara dipercayai terbabas ke kanan lebuh raya lalu merempuh penghadang lebuh raya dan bas ekspres S&S Internasional yang sedang dalam perjalanan dari Perlis ke Johor Bahru.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, tiga penumpang bas ekspres iaitu tiga beranak Abdul Shahreer, Fauziah dan anak pasangan tersebut, Mohamad Faris Daniel tercampak keluar dari bas yang dinaiki oleh 30 penumpang.

“Anggota Bomba dan Penyelamat dari sini, Taiping dan Kamunting dipanggil untuk mengeluarkan Yugeswara Rao dan Supramaniam serta Mohamad Azizi yang tersepit dalam treler dan bas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Fauzi berkata, ketiga-tiga mangsa yang mati di tempat kejadian dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk bedah siasat dan dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, jenazah Abdul Shahreer dan anaknya, Mohamad Faris Daniel dikafan dan disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini sebelum dikebumikan di kampung halaman mereka di Kuala Nerang, Kedah, petang ini.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Mayat berulat dalam bilik

SENTUL: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Taman Wilayah, di sini terbongkar dengan penemuan mayat seorang wanita berulat dalam bilik tidur dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh suaminya, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis yang tiba di tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang menemui mayat wanita berusia 23 tahun dan berasal dari Indonesia lengkap berbaju tidur dipercayai mati lebih dari dua hari sebelum mayatnya ditemui.


“Siasatan awal, mangsa tinggal bersama suaminya dan ketika polis tiba di rumah berkenaan, suami mangsa sudah menghilangkan diri. “Pasukan forensik yang dihantar ke tempat kejadian turut menemui dua kesan tikaman pada belakang mangsa dan berkemungkinan mangsa dibunuh menggunakan pemutar skru berdasarkan penemuan bahagian hulu pemutar skru itu di sisi mayat,” katanya.

Katanya, ketika polis tiba, tiada orang di dalam rumah berkenaan selain pintu bilik tempat mayat ditemui berkunci dari dalam.


Polis kini giat memburu suami mangsa dan motif pembunuhan mungkin disebabkan masalah dalaman keluarga. Setakat ini, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

myMetro | Mayat berulat dalam bilik

Budak dirotan masuk hospital

LEBAM...Mastura menunjukkan kaki cucunya, Nur yang lebam.
LEBAM...Mastura menunjukkan kaki cucunya, Nur yang lebam.
SAKIT...kaki Nur yang lebam dirotan guru.
SAKIT...kaki Nur yang lebam dirotan guru.

KUALA LUMPUR: Akibat dirotan guru tabika, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lebam di kaki, tangan dan badan hingga dimasukkan ke hospital dalam kejadian Khamis lalu.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 6, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu akibat kecederaannya selepas dirotan guru terbabit yang mengajar di Taman Pelangi, Sentul. Akibatnya, mangsa trauma dan kini tidak mahu ke sekolah, malah sering meracau pada waktu malam.


Menceritakan kejadian itu, Nur berkata, guru terbabit memukulnya dengan rotan panjang beberapa kali dan bukan dia saja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa rakannya turut dirotan.

Katanya, ini bukan kali pertama dia diperlakukan begitu, malah sudah lebih 10 kali, tetapi dia mendiamkan diri selepas diugut guru itu supaya tidak mengadu kepada keluarga.


“Saya tidak pernah memberitahu nenek kejadian itu kerana takut dirotan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.


Nenek mangsa yang dikenali sebagai, Mastura, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian ketika mahu menyapu losyen di badan cucunya yang dijaga sejak kecil itu.

“Saya terkejut selepas mendapati kaki, tangan dan badannya lebam dan cuba bertanyakan hal itu.

“Pada mulanya dia enggan menceritakan hal sebenar dan memberitahu digigit nyamuk, selepas dipujuk baru dia memberitahu kerap dirotan guru walaupun tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama dia nampak kesan kemerahan di badan cucunya itu, malah sudah beberapa kali sejak dia mula belajar di tabika berkenaan mulai awal tahun ini. “Cucu saya itu juga sudah tidak seceria dulu dan kini semakin murung,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

myMetro | Budak dirotan masuk hospital

Hentak kepala bapa

HULU SELANGOR: Dua beradik lelaki sanggup memukul dan menghentak kepala bapa mereka menggunakan kerusi dan kayu hanya kerana dinasihati bapanya itu supaya mencari kerja di rumah mereka di Bukit Sentosa di sini, pagi kelmarin.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 9 pagi itu bermula selepas kedua-dua beradik berusia 20 dan 22 tahun itu tiba-tiba naik angin apabila tidur mereka diganggu bapanya yang mengejutkan mereka supaya bangun dan pergi mencari apa-apa pekerjaan.


Menurut sumber, mangsa berusia lewat 40-an sering menasihati kedua-dua anak lelakinya itu supaya mencari pekerjaan memandangkan keadaannya yang sering tidak sihat.

Malah, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik dikatakan sering bercuti sakit menyebabkan dia mahu berhenti kerja selepas kedua-dua anak lelakinya itu mempunyai kerja.


“Bagaimanapun, mangsa yang mahu keluar bekerja menyedari kedua-dua anak lelakinya itu sedang tidur di dalam sebuah bilik lalu mengejutkan mereka supaya bangun dan keluar mencari pekerjaan,” katanya.


Malangnya, tindakan mangsa membawa padah apabila seorang daripada anaknya bangun dari katil dan mengambil kerusi sebelum menghentak kepala bapanya.

“Mangsa cuba melawan, namun seorang lagi anak lelakinya mengambil kayu dan turut memukul kepala bapanya itu,” katanya.


Sumber berkata, isteri mangsa yang juga seorang suri rumah hanya mampu melihat dan menyuruh mangsa beredar kerana bimbang dipukul lagi.

Berikutan itu, mangsa ke balai polis berhampiran membuat laporan berhubung kejadian itu kerana bimbang keselamatannya.

myMetro | Hentak kepala bapa

RM120j harta tak dituntut

KUALA LUMPUR: Kurang sedar mengenai kepentingan wasiat menjadi salah satu faktor hanya 570,000 wasiat berdaftar diuruskan Amanah Rakyat berhad (ARB) sehingga tempoh berakhir 30 Jun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan ARB, Alina Hashim berkata, daripada jumlah itu, 90 peratus adalah penyimpan beragama Islam manakala selebihnya bukan Islam.


“Jumlah 570,000 wasiat berdaftar itu menunjukkan bahawa peratusan masyarakat yang menyedari dan mengambil berat akan kepentingan penulisan, penyimpanan dan pelaksanaan wasiat masih lagi rendah.

“Bagaimanapun, itu adalah jumlah yang hanya dimiliki ARB dan tidak termasuk jumlah keseluruhan kerana setakat ini, tiada lagi pusat pengumpulan data yang melakukan kerja pengiraan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Amanah Raya 2011 di Wisma ARB, di sini, semalam.


Majlis itu dirasmikan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Abu Kassim Mohamed sambil disaksikan Pengerusi ARB, Datuk Dusuki Ahmad.


Alina berkata, sikap itu menyebabkan aset milik individu yang meninggal dunia tidak dituntut atau lebih mudah disebut sebagai pembekuan aset.

“Tidak dinafikan, hal sebegitu wujud menyebabkan harta si mati terbiar tanpa pewaris menuntutnya atau kami tidak dapat mencari dan mengesan pewaris berkenaan.

“Sehingga kini, kami masih meneruskan usaha mencari pewaris layak itu dan jumlah harta tidak dituntut yang berada dalam jagaan kami sebanyak RM120 juta,” katanya.

Menurutnya, antara faktor penyebab pembekuan aset atau harta kerana terdapatnya pertelingkahan di kalangan ahli keluarga si mati dan juga mereka tidak mahu bekerjasama dengan ARB dalam hal pengesanan waris termasuklah urusan pentadbiran bagi tujuan urusan itu.


Justeru, beliau menasihati orang ramai agar lebih peka mengenai perkara terbabit supaya memudahkan semua pihak.


Sementara itu, pada majlis berkenaan, Abu Kassim dan Dusuki mengingatkan kakitangan ARB agar sentiasa hidup dalam integriti dengan menerapkan sikap jujur, amanah, bertanggungjawab, kesetiaan dan dedikasi terhadap bidang kerja masing-masing dan menganggapnya sebagai satu ibadat.


Abu Kassim berkata, ketiadaan integriti dalam diri individu menyebabkan berlakunya gejala rasuah di kalangan orang dalaman di sesebuah institusi atau organisasi.


myMetro | RM120j harta tak dituntut

Ditimpa pokok sawit

SEDIH...Norazat (dua dari kanan) ditenangkan jiran di rumahnya di Felda Tenggaroh. Gambar kecil, Arbain Ali.
SEDIH...Norazat (dua dari kanan) ditenangkan jiran di rumahnya di Felda Tenggaroh. Gambar kecil, Arbain Ali.

MERSING: Kegembiraan keluarga Arbain Ali, 52, menyambut Ramadan yang bakal menjelang beberapa hari lagi bertukar duka apabila lelaki berkenaan maut dihempap pokok kelapa sawit di Ladang Kelapa Sawit Felda Tenggaroh 2 di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Arbain sedang mengawasi kerja penebangan pokok kelapa sawit tua dilakukan sebuah jentera sebelum dia tiba-tiba dihempap sebatang pokok berkenaan.

Mangsa yang parah di beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Isterinya, Norazat Atan, 53, berkata, sebelum kejadian suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan selain memasang langsir tingkap rumah sebelum keluar bekerja.


“Sebelum ini, dia hanya memasang langsir rumah pada saat akhir menjelang Aidilfitri,” katanya.

myMetro | Ditimpa pokok sawit

Rentung dalam wad

CEMAS...kelihatan orang awam menunggu di luar bangunan Hospital Besar Kuala Lumpur manakala jentera Bomba dan Penyelamat menghampiri pintu masuk bahagian kecemasan zon kuning berikutan kebakaran sebuah bilik yang menempatkan pesakit di ICU. Foto: Mohd Yusni Ariffin
CEMAS...kelihatan orang awam menunggu di luar bangunan Hospital Besar Kuala Lumpur manakala jentera Bomba dan Penyelamat menghampiri pintu masuk bahagian kecemasan zon kuning berikutan kebakaran sebuah bilik yang menempatkan pesakit di ICU. Foto: Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) rentung dalam kebakaran di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, mangsa, Dedy Mulia Abdul Ghani, 33 yang dipercayai menghidap sakit mental sedang dirawat di hopsital berkenaan gagal diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik di wad terbabit.


Pengarah Penguat Kuasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, anggota bomba menerima panggilan pada jam 12.34 pagi dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit selepas itu.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba Chow Kit dan Sentul dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.


“Ketika sampai di HKL, kita dapati kakitangan hospital sedang berusaha memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api.


“Kami mengambil alih memadamkan kebakaran di wad terbabit yang diselubungi asap tebal,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Azizan, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.

“Kakitangan hospital juga berjaya memindahkan seramai 15 pesakit ke wad lain. Bagaimanapun, Dedy yang terperangkap di dalam bilik terbabit gagal diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian terbabit bagi mencari punca kebakaran dan bagaimana mangsa terperangkap di dalam bilik itu.

myMetro | Rentung dalam wad

Tujuh askar Filipina maut

ZAMBOANGA (Filipina): Tujuh anggota tentera Filipina terbunuh dan 21 lagi cedera dalam pertempuran dengan kumpulan militan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda di selatan negara itu, semalam.

Tentera laut Filipina bertempur selama lima jam dengan anggota kumpulan Abu Sayyaf di salah satu tempat persembunyian mereka di kawasan hutan di Pulau Jolo, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolf Cabangbang kepada wartawan. Pertempuran antara anggota tentera dengan kumpulan Abu Sayyaf berlaku dengan sengit,” katanya.


Menurutnya, anggota tentera tambahan dan dua helikopter dikerah ke kawasan itu untuk memberi bantuan bagi melindungi helikopter yang membawa askar yang cedera ke hospital tentera di pulau itu dan mengesan penyerang. Beliau berkata, anggota tentera menemui kem utama Abu Sayyaf ketika mengejar sekumpulan kecil ahli militan di Jolo, pulau yang mempunyai 11 kali saiz Hong Kong dengan kawasan berbatu-batan. “Saya rasa apa yang berlaku ialah anggota tentera bergerak sepanjang malam dan pada waktu pagi, baru mereka sedar mereka berada dalam kawasan kem Abu Sayyaf. Itu adalah penjelasan mengapa ramai anggota kita terkorban,” katanya. Beliau berkata, tentera pada awalnya ingin memburu anggota militan yang dikehendaki atas beberapa siri penculikan di kawasan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk penculikan seorang lelaki India yang melawat kampung asal isterinya di Filipina dan ahli perniagaan Malaysia. - AFP

myMetro | Tujuh askar Filipina maut

Saya sudah selesai, kata Breivik sebaik ditangkap

OSLO: Perkataan pertama yang keluar dari mulut pembunuh Norway, Anders Behring Breivik selepas dia ditangkap adalah, “Saya sudah selesai sekarang”, lapor media Norway, semalam.

“Saya sudah selesai sekarang,” kata lelaki berusia 32 tahun itu ketika diberkas dua minit selepas polis sampai - kira-kira satu jam selepas panggilan kecemasan dibuat - di Pulau Utoeya yang berbentuk hati kira-kira 40 kilometer dari Oslo.


Behring Breivik yang dikatakan peguamnya berada dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah ketika serangan, bercakap tanpa henti, lapor akhbar harian Verdens Gang tanpa mendedahkan apa yang dikatakan selanjutnya. Haavard Gaasbakk yang mengetuai pasukan serbuan berkata, mereka nampak peluru ditembak ke arah air laut ketika sampai di tengah keadaan tembakan bertalu-talu.

Dia berkata: “Kami sampai dan berlari ke arah selatan. Kami terpaksa berlari 300 hingga 350 meter. Ketika sampai di lokasi kejadian, kami menjerit: “Kami polis dan kami bersenjata.” Lima pegawai itu kemudian tiba di kawasan hutan.


“Tiba-tiba penembak itu berada di depan kami, tangannya diangkat ke udara,” kata Gaasbakk. - AFP

myMetro | Saya sudah selesai, kata Breivik sebaik ditangkap

Gua Superman didesak jadi warisan dunia

GUA mirip dalam komik Superman yang terdapat di lombong Naica, Mexico.


LOMBONG NAICA, Mexico - Sebuah gua yang mengandungi gipsum berwarna putih kelihatan mirip gua dalam komik mengenai kisah adi wira, Superman yang ditemui di sini dicadangkan dijadikan warisan dunia, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Gua itu ditemui dua pelombong sepuluh tahun lalu dan dianggap fenomena ajaib di dunia.

"Ia salah sebuah daripada keajaiban dunia," kata seorang ahli geologi dari Institut Andaluz de Las Ciencias de la Tierra, Juanma Garcia Ruiz yang mengkaji lombong berkenaan.

"Gua itu merupakan sesuatu yang mengagumkan dan masih terdapat orang di Mexico yang tidak mengetahui betapa pentingnya ia dipelihara sebaik mungkin," tambahnya.

Pembentukan batang-batang umpama kristal itu yang terletak 290 meter di bawah permukaan Bumi terjadi apabila air yang amat panas menjadi sejuk dan tepu bersama gipsum.

Ia umpama gua yang terdapat dalam komik Superman yang dikenali sebagai Fortress of Solitude. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Motosikal pelik reka bentuk naga

SEORANG pekerja menunggang motosikal yang mempunyai reka bentuk seperti naga di Bangkok kelmarin.


BANGKOK - Sebuah motosikal yang mempunyai reka bentuk seperti seekor naga dicipta oleh seorang artis di Bangkok, Roongrojna Sangwongprisarn dengan menggunakan pelbagai jenis alat ganti dan barang kitar semula.

Roongrojna yang berusia 54 tahun mencipta motosikal unik itu di dalam bengkelnya di sini.

Dia yang mempunyai empat bengkel di Thailand turut mengeksport pelbagai hasil ciptaannya kepada para pelanggannya dari seluruh dunia.- Reuters

Kosmo! Online - Dunia

Pelajar wanita jumpa kamera intip



BENTUK alat pengesan asap yang didakwa mengandungi kamera tersembunyi.


TAMPA, Florida - Dua pelajar wanita dari Bulgaria terkejut apabila mendapati terdapat beberapa kamera tersembunyi yang mengintip pergerakan mereka di setiap bilik dalam apartmen mereka di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kedua-dua pelajar itu, Vanya Amokovareva, 22, dan Ralitsa Dzhambazova, 23, bertindak menghubungi polis apabila mereka mendapati terdapat kamera tersembunyi pada alat pengesan asap.

Kamera itu juga didapati terdapat di dalam bilik mandi.

Selama tiga bulan mereka berada di dalam apartmen tersebut, setiap pergerakan pelajar itu dirakamkan menerusi kamera berkenaan.

Mereka menemui kamera itu pada Isnin lalu.

"Saya tidak pernah menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku pada saya dan rakan saya," kata Dzhambazova.

Menurutnya, mereka datang ke sini untuk menghabiskan cuti musim panas dengan bekerja di Amerika Syarikat.

Para penyiasat kini mencari individu yang meletakkan kamera itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Poster undang-undang syariah ditampal di Britain

SEORANG aktivis, Anjem Choudary menunjukkan poster mengenai larangan perbuatan menyalahi undang-undang syariah di Leyton, timur London baru-baru ini.


LONDON - Golongan ekstremis Islam melancarkan kempen poster untuk memaklumkan kepada orang awam mengenai kewujudan zon penguatkuasaan undang-undang Islam di serata Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Poster berkenaan memberitahu para pengunjung bahawa mereka memasuki zon undang-undang Islam dan dilarang melakukan aktiviti yang melanggar hukum syarak seperti meminum alkohol atau melanggan pelacur.

"Anda memasuki zon kawalan syariah, lokasi undang-undang Islam dikuatkuasakan," menurut tulisan pada satu poster itu di sini.

Poster berwarna kuning terang itu turut tertera amaran meminta dilarang berjudi, tidak dibenarkan mengadakan konsert, merokok dan dadah.

Sejumlah poster berkenaan ditampal di stesen bas dan tiang lampu beberapa kawasan di sini.

Seorang pendakwah, Anjem Choudary mengaku bertanggungjawab melancarkan kempen poster syariah itu.

"Kami memiliki beribu-ribu orang di seluruh Britain yang sanggup meronda untuk memastikan undang-undang syariah dikuatkuasakan di zon-zon berkenaan," kata Anjem.

"Kami memiliki antara 10,000 hingga 50,000 poster untuk diedarkan di kawasan penduduk Islam di Britain," tambahnya.

Bagaimanapun, pihak Scotland Yard bekerjasama dengan majlis kerajaan tempatan untuk menanggalkan poster-poster itu dan mencari dalang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Ratusan uji bakat program jadi jutawan di Florida

SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri uji bakat kuiz televisyen Who Wants To Be A Millionaire di Hotel Grand Hyatt Tampa, Florida kelmarin.


TAMPA BAY, Amerika Syarikat (AS) - Seramai 600 orang hadir untuk sesi uji bakat kuiz televisyenWho Wants To Be A Millionaire dengan harapan mereka berpeluang untuk bergelar seorang jutawan, lapor sebuah akhbar semalam.

Sesi uji bakat musim terkini kuiz popular itu yang menawarkan peluang memenangi wang tunai AS$1 juta (RM2.95 juta), diadakan di Hotel Grand Hyatt di sini, negeri Florida kelmarin.

Seorang wanita yang ditemui di lokasi itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap kuiz Who Wants To Be A Millionaire mendorongnya mencuba nasib dalam sesi uji bakat tersebut.

Para peserta yang berjaya dalam sesi uji bakat di sini akan dihantar ke New York bersama peserta lain dari seluruh AS.

Beberapa peserta yang bertuah dalam kalangan mereka akan dipilih sebagai antara finalis yang berpeluang untuk bertanding dalam kuiz Who Wants To Be A Millionaire. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Thursday, July 28, 2011

Mayat bayi lelaki ditemui dalam sungai

KLANG 27 Julai - Seorang suri rumah tidak menyangka objek yang disangkanya anak patung rupa-rupanya mayat seorang bayi lelaki yang baru lahir.

Mayat yang cukup sifat itu ditemui Norazizah Ismail, 43, ketika sedang mencedok air di tebing Sungai Klang kira-kira pukul 6.05 petang ini.

Norazizah ketika ditemui berkata, dia sedang mengambil air sungai itu bersama suaminya untuk disiram di kebun yang terletak berdekatan sebelum ternampak objek terapung-apung menghampiri tebing.

Pada mula, katanya, objek itu disangkakan anak patung. Namun, akibat ingin tahu dia menghampiri tebing sungai itu dan menterbalikkan objek itu.

"Saya terkejut kerana objek yang sejuk dan dihurung lalat itu rupa-rupanya mayat bayi lelaki yang saya percaya baru dilahirkan.

"Saya dan suami terus memanggil orang kampung sebelum menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Tambahnya, mayat itu yang masih bertali pusat mungkin dihanyutkan arus sungai sehingga ke tebing tempat dia mencedok air.

Katanya lagi, pihak polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian membawa mayat bayi malang itu ke hospital kira-kira pukul 8 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ribut tropika korban 25 orang di Filipina



Sebuah kereta dihanyutkan banjir dan sebatang tiang elektrik patah di tepi sebatang jalan raya yang rosak teruk akibat dilanda ribut tropika Nock-ten di Daraga, Albay di tengah Filipina, semalam. Setakat ini 20 orang terbunuh manakala lebih 600,000 penduduk dipindahkan ekoran bencana itu. - REUTERS


MANILA 27 Julai - Ribut tropika yang membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir serta tanah runtuh di Filipina setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang.

Ketua Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, Benito Ramos berkata, sembilan orang turut dilaporkan hilang dan lebih 645,000 lagi terpaksa berpindah akibat banjir di wilayah Albay dan Camarines Sur di selatan Luzon.

Menurut perkhidmatan kaji cuaca, ribut yang dikenali sebagai Nock-ten itu dijangka mengakibatkan lebih banyak kerosakan di kawasan pergunungan utara pulau Luzon hari ini, manakala Manila pula dilanda hujan lebat - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Hosni Mubarak enggan makan


SHARM EL-SHEIKH, Mesir 27 Julai – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dilaporkan enggan makan sejak empat hari lalu menyebabkan beliau kehilangan berat badan dan lemah, meningkatkan spekulasi bekas pemimpin negara ini tidak akan dibicarakan pada minggu depan seperti dijadualkan.

Ketua pasukan perubatan Mubarak, Assam Azzam semalam berkata. bekas Presiden yang digulingkan itu lemah dan kehilangan berat badan selepas enggan makan.

Doktor di hospital di sini berkata, Mubarak hanya minum air sahaja selepas didesak pasukan perubatan atau isterinya, Suzanne.

‘‘Mubarak lebih mendengar kata doktor berbanding isterinya.

‘‘Doktor akan terpaksa memberi makanan melalui tiub makanan jika keadaannya terus buruk,’’ kata Azzam.

Beliau menambah, tekanan perasaan merupakan ancaman terbesar kepada kesihatan Mubarak.

‘‘Kami bimbang keadaan psikologi yang buruk akan mempengaruhi keadaan fizikalnya,’’ ujarnya.

Azzam berkata, Mubarak yang mentadbir Mesir selama 29 tahun dijangka dibicarakan pada 3 Ogos ini atas dakwaan rasuah dan mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan ketika pemberontakan rakyat baru-baru ini.

Walaupun tiada pengumuman rasmi, media tempatan melaporkan sebuah bilik mahkamah telah disediakan di Sharm el-Sheikh untuk mengadakan perbicaraan tersebut.

Ketua keselamatan selatan Sinai, Mohammed Nagib berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Kementerian Dalam Negeri untuk mengatur rancangan keselamatan sempena perbicaraan berkenaan.

‘‘Jika perbicaraan diadakan di bandar ini, kementerian akan menghantar pasukan keselamatan dari tempat lain bagi memastikan tahap keselamatan,’’ ujarnya. – Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Senator wanita desak Saudi tarik larangan memandu

WASHINGTON 27 Julai - Seramai 14 senator wanita Amerika Syarikat (AS) menulis sepucuk surat kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bagi mendesak negara itu menarik balik larangan memandu terhadap wanita.

Senator-senator terlibat menyifatkan tindakan itu merupakan satu langkah besar ke arah melaksanakan hak asasi kemanusiaan.

"Kami percaya sudah tiba masanya larangan memandu terhadap wanita dimansuhkan, terutamanya mengambil kira peranan Arab Saudi sebagai anggota baru Lembaga Wanita bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata kumpulan itu, yang diketuai Senator Barbara Boxer (gambar) dan Mary Landrieu dari Parti Demokratik. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tanah runtuh di Korea, 32 maut



Pasukan menyelamat mengangkat satu mayat penduduk yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat tanah runtuh ekoran hujan lebat di Seoul, semalam. - REUTERS


SEOUL 27 Julai - Seramai 32 maut, sementara 10 lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di sebuah pusat peranginan di bandar Chuncheon, utara Korea Selatan, awal pagi ini.

Pegawai bomba, Byun In-soo berkata, 10 yang terbunuh merupakan pelajar kolej yang sedang mengikuti kerja-kerja sukarela.

Katanya, kesemua mangsa tertimbus ketika sedang tidur dalam sebuah kabin di Chuncheon, kira-kira 110 kilometer di timur laut Seoul.

Seramai 24 mangsa turut cedera dalam kejadian tanah runtuh itu yang menyaksikan beberapa buah bangunan serta premis musnah.

Kira-kira 500 pekerja penyelamat kini giat menjalankan operasi mencari 10 mangsa yang hilang, katanya.

Seorang lagi pegawai bomba, Lee Ju-hee berkata, antara yang maut ialah sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Pegawai kaji cuaca berkata, kira-kira 400 milimeter bacaan hujan direkod di Seoul dalam tempoh 17 jam sejak tengah hari semalam yang mengakibatkan beberapa bahagian bandar utama termasuk Seoul ditenggelami air.

Jalan-jalan raya di Seoul hari ini turut dilanda banjir lumpur sehingga memaksa orang ramai naik ke bumbung kereta masing-masing yang hampir ditenggelami air.

Banjir turut menenggelamkan stesen-stesen kereta api bawah tanah dan menyebabkan sisa kumbahan melimpah dari tangki pembetung.

Menurut pegawai bencana bandar, kira-kira 800 rumah ditenggelami air di Seoul, namun masih belum ada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan.

Agensi Polis Metropolitan Seoul mengeluarkan satu amaran lalu lintas serta mengerahkan lebih ramai anggota polis bagi mengawal keadaan akibat hujan lebat. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kejutan menaikkan toman gergasi



YONG (kanan) menunjukkan ikan toman gergasi yang berjaya dinaikkan di tasik Taman Rekreasi Bukit Serindit, Melaka semalam.


BESAR. Seorang pemancing yang mahu dikenali sebagai Ah Yong tidak menyangka kunjungan ke tasik Taman Rekreasi Bukit Serindit, Melaka petang kelmarin berakhir dengan kejutan.

Yong yang kerap memancing di tasik itu, mendapat habuan terbesarnya setakat ini apabila dia berjaya menaikkan ikan toman gergasi seberat hampir 19 kilogram.

Dia berjaya menarik perhatian ikan itu hasil penggunaan teknik pelampung dengan umpan anak ikan keli hidup.

Kosmo! Online - Negara

Hot dog paling mahal di dunia



GAMBAR menunjukkan hot dog paling mahal yang dijual
di stadium besbol Roxstadium Brockton, Massachusetts sejak Sabtu lalu.


BROCKTON, Amerika Syarikat - Menu terbaharu, McMullen Dogyang dijual di stadium besbol Roxstadium Brockton, Massachusetts menjadi hot dog termahal di dunia, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Berharga AS$80 (RM235.39), hot dog tersebut yang mengandungi sosej daging lembu yang dimasak dengan minyak truffle, kaviar, serbuk cendawan dan freche krim mula dijual sejak Sabtu lalu.

Roti hot dog tersebut pula dibuat menggunakan gandum yang terbaik yang dibeli dari Cape Cod, sebuah kedai roti eksklusif bersama sos dan mustard istimewa.

Menurut pengurus makanan dan minuman stadium berkenaan, Sander Stotland, walaupun harga tiket hanya AS$15 (RM44.35) dan lebih murah dari hot dog tersebut, ia tetap mendapat sambutan hangat daripada peminat yang datang menyaksikan perlawanan besbol.

Menurutnya, nama McMullen Dog itu diberi sempena nama tukang masak terkenal Atlantic City, Ryan McMullen yang memberi idea mengenai hot dog tersebut. - Agensi.

Kosmo! Online - Dunia

Petugas baca akhbar semasa pandu kereta api digantung kerja


KERETA API yang dipandu oleh seorang pemandu yang membaca akhbar.


LONDON - Seorang pemandu kereta api digantung kerja kerana didapati membaca akhbar ketika memandu kereta api yang berkelajuan 96.5 kilometer (km) sejam.

Kenderaan itu yang mampu mencapai kelajuan 201km sejam berlepas dari Plymouth pada pukul 5.53 pagi 4 Julai lalu untuk menuju ke Paddington.

Gambar yang menunjukkan pemandu itu membaca sambil memandu kereta api laju tersebut dirakamkan oleh Jim Hales, 64.

Hales terkejut sejurus menyaksikan gelagat pemandu itu di laluan terowong Coryton berdekatan Dawlish, Devon pada pukul 6.37 pagi waktu tempatan.

Kini petugas yang bertanggungjawab membawa ratusan penumpang itu telah digantung kerja sehingga siasatan mengenai kejadian berkenaan selesai dilakukan.

"Ia kelihatan sangat bahaya. Dia mempunyai tanggungjawab besar apabila memandu kereta api yang dipenuhi penumpang," jelas Hale kepada akhbar Daily Mirror. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Dipenjara kerana jangkiti wanita dengan HIV





DARLASTON, Britain - Seorang lelaki yang sengaja menjangkiti dua wanita dengan virus HIV dan dipercayai menjangkiti tujuh wanita lain, kini dipenjara selama empat tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki warga Zimbabwe itu, Nkosinati Mabanda, 44, dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Mahkota Wolverhampton, Britain selepas dia mengaku bersalah kerana memudaratkan orang lain.

Seorang mangsanya mendapat tahu Mabanda menghidap HIV selepas membaca mesej telefon bimbit Mabanda yang dihantar oleh tunang lelaki itu.

Dia kemudian menghubungi tunang Mabanda dan dinasihatkan supaya menjalani ujian HIV oleh wanita berkenaan.

Mangsa yang disahkan menghidap HIV bertindak melaporkan Mabanda kepada polis pada 2009.

Ketika dia ditangkap lelaki tersebut mengaku melakukan hubungan seks tidak selamat bersama tujuh wanita lain.

Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Seorang wanita lain kemudian tampil membuat aduan terhadap Mabanda selepas melihat wajahnya di akhbar tempatan berhubung kes berkenaan.

Mangsa kedua yang berasmara dengan Mabanda selepas dia diikat jamin memberitahu, lelaki itu tidak memaklumkan kepadanya bahawa dia menghidap HIV. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Kapal selam China menyelam 5,057 meter


GAMBAR fail pada 1 Julai lalu menunjukkan kapal selam China yang berjaya menyelam 5,057 meter di dasar laut di timur laut Lautan Pasifik pada Selasa lalu.


BEIJING - Sebuah kapal selam China menyelam sedalam 5,057 meter dari aras laut untuk mencatat rekod selaman paling dalam pernah dilakukan kapal selam dari negara berkenaan.
Pegawai-pegawai China enggan mendedahkan lokasi sebenar lokasi selaman kapal selam itu yang dikenali sebagai Jiaolong.
Namun, ujian selaman tersebut dipercayai dilakukan di timur laut Lautan Pasifik kelmarin.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Jiaolong yang berupaya mencapai kedalaman 7,000 meter, membawa tiga orang menuruni dasar lautan sedalam sekitar 5,057 meter semasa ujian selaman itu.
Kejayaan ujian selaman itu membayangkan bahawa kapal selam tersebut mampu sampai lebih 70 peratus ke dasar laut planet Bumi.
Keupayaan teknikal China mencapai kemajuan besar sejak beberapa dekad lalu yang dibuktikan dengan menjadi negara ketiga di dunia yang menghantar manusia ke angkasa lepas pada 2003.
Seramai 12 lelaki pernah menjejak kaki ke bulan dan 500 lagi berada di angkasa lepas tetapi setakat ini, cuma dua individu iaitu Jacques Piccard dan Don Walsh berjaya sampai ke kawasan lautan paling dalam di dunia yang dikenali sebagai Challenger Deep di Pasifik Barat pada 23 Januari 1960.
Pengarah filem sains fiksyen Avatar, James Cameron merancang untuk menuruti jejak dua penjelajah itu untuk penggambaran sekuel filem tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia