Pages

Friday, July 29, 2011

Kerosakan teknikal punca nahas



PEMANDANGAN dari udara yang diambil pada 24 Julai lalu merakamkan pasukan menyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa daripada gerabak kereta api laju yang berlanggar dengan sebuah lagi kereta api laju sehari sebelum itu di bandar Shuangyu, pinggir Wenzhou, wilayah Zhejiang, China. – AFP


BEIJING 28 Julai – Nahas kereta api yang meragut 39 nyawa di timur China pada Sabtu lalu berpunca daripada kelemahan reka bentuk peralatan isyarat dan kesilapan manusia.

Sebuah kereta api laju merempuh dari belakang sebuah lagi tren yang kehilangan kuasa dekat bandar Wenzhou di wilayah Zhejing pada Sabtu lalu kerana lampu isyarat yang sepatutnya bertukar merah selepas tren itu dipanah petir masih hijau, lapor agensi berita rasmi, Xinhua hari ini.

Xinhua memetik ketua Biro Kereta Api Shanghai, An Lusheng sebagai berkata, kakitangan di stesen kereta api Wenzhou juga tidak mengambil tindakan yang betul selepas sistem isyarat itu gagal.

Peralatan isyarat tersebut yang beroperasi sejak September 2009 direka sebuah institut penyelidikan dan reka bentuk di Beijing, lapor Xinhua yang tidak mendedahkan nama penuh institut itu.

Perdana Menteri, Wen Jiabao mengarahkan siasatan dilancarkan dan berjanji akan mengambil langkah-langkah keselamatan ‘yang tegas’ berikutan kemalangan kereta api terburuk di China sejak 2008 itu.

Jiabao tiba di Wenzhou pagi ini untuk mengucapkan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan melawat tempat kejadian.

Kemarahan orang ramai terhadap pihak berkuasa berhubung nahas itu diluahkan menerusi kenyataan di Internet dan sekurang-kurangnya satu protes diadakan.

Semalam, lebih 100 ahli keluarga kepada penumpang yang maut mengadakan demonstrasi di luar sebuah stesen kereta api untuk menyuarakan kemarahan kerana belum ada pihak yang dipertanggungjawabkan terhadap insiden tersebut.

Penunjuk perasaan menuntut untuk mengadakan pertemuan dengan para pegawai Kementerian Kereta Api, lapor Global Times, akhbar tabloid milik lidah rasmi Parti Komunis, People’s Daily. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: