Pages

Thursday, July 28, 2011

Mayat bayi lelaki ditemui dalam sungai

KLANG 27 Julai - Seorang suri rumah tidak menyangka objek yang disangkanya anak patung rupa-rupanya mayat seorang bayi lelaki yang baru lahir.

Mayat yang cukup sifat itu ditemui Norazizah Ismail, 43, ketika sedang mencedok air di tebing Sungai Klang kira-kira pukul 6.05 petang ini.

Norazizah ketika ditemui berkata, dia sedang mengambil air sungai itu bersama suaminya untuk disiram di kebun yang terletak berdekatan sebelum ternampak objek terapung-apung menghampiri tebing.

Pada mula, katanya, objek itu disangkakan anak patung. Namun, akibat ingin tahu dia menghampiri tebing sungai itu dan menterbalikkan objek itu.

"Saya terkejut kerana objek yang sejuk dan dihurung lalat itu rupa-rupanya mayat bayi lelaki yang saya percaya baru dilahirkan.

"Saya dan suami terus memanggil orang kampung sebelum menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Tambahnya, mayat itu yang masih bertali pusat mungkin dihanyutkan arus sungai sehingga ke tebing tempat dia mencedok air.

Katanya lagi, pihak polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian membawa mayat bayi malang itu ke hospital kira-kira pukul 8 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments: