Pages

Saturday, May 7, 2011

Al-Qaeda sah Osama mati


PELAJAR agama Pakistan berkumpul di depan rumah tempat Osama dibunuh, di Abbottabad,  semalam.
PELAJAR agama Pakistan berkumpul di depan rumah tempat Osama dibunuh, di Abbottabad, semalam.

ISLAMABAD: Al-Qaeda semalam mengesahkan pemimpinnya, Osama bin Laden mati, sekali gus menghapuskan kekeliruan berhubung kematiannya.
Kumpulan itu juga berikrar untuk melancarkan lebih banyak serangan terhadap Barat berikutan pembunuhan Osama dalam serangan oleh tentera Amerika Syarikat di Pakistan, Ahad lalu.

Pengumuman itu, yang berikrar untuk menyiarkan perutusan Osama yang dirakam sebelum ini, dijangka melenyapkan keraguan yang disuarakan oleh beberapa pihak mengenai kematiannya.

Dalam kenyataan dalam talian menerusi laman Internet yang sering digunakan oleh kumpulan pejuang Islam, ia berkata, ‘darah Osama lebih berharga kepada kami dan kepada setiap umat Islam.’ “Insya Allah, ia akan kekal menghantui Amerika dan konconya, baik di dalam mahupun di luar negara mereka,” katanya. Sehubungan itu, al-Qaeda menggesa rakyat Pakistan bangkit menentang kerajaan mereka sebagai jalan untuk ‘membersihkan’ negara itu berikutan pembunuhan Osama serta ‘kekotoran’ yang dibawa oleh Amerika.’ “Sebelum Sheikh (Osama) meninggal dunia dan sebelum beliau boleh berkongsi dengan negara Islam kegembiraan revolusinya dalam berdepan dengan penindas, beliau merakam ucapannya, mengucapkan tahniah dan nasihat. “Ia akan disiarkan tidak lama lagi, Insya Allah,” kata kumpulan itu.

“Kami memberi amaran kepada rakyat Amerika supaya tidak mengapa-apakan mayat Sheikh (Osama) atau melayannya secara buruk atau mengancam anggota keluarganya, baik yang sudah mati atau yang masih hidup, dan menyerahkan mayat mereka kepada keluarga mereka,” katanya.

Pegawai Amerika sebelum ini berkata, mayat Osama dikebumikan di laut. - Reuters, mymetro

Obama temui pembunuh Osama


WASHINGTON: Presiden Barack Obama semalam menemui anggota komando tentera Amerika Syarikat yang melancarkan serangan di Pakistan dan membunuh orang paling diburu negara itu, Osama bin Laden.
Pertemuan dengan sebahagian anggota operasi itu berlangsung di pangkalan tentera Fort Campbell di Kentucky.

Obama mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Ia langkah terbaru Obama untuk meraikan kematian Osama. Beliau sebelum ini memberi penghormatan kepada mangsa serangan 11 September dengan meletakkan kalungan bunga di Ground Zero di New York. - AP, mymetro

Osama diintip dari dekat


LONDON: Sumber keselamatan Amerika Syarikat semalam berkata, Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengintip Osama bin Laden selama beberapa bulan dari dalam rumah persembunyiannya sendiri.
Dalam satu daripada operasi perisikan paling rumit dalam sejarah CIA, perisik dilaporkan berpindah ke sebuah bangunan berhampiran kediaman Osama untuk mengenal pasti pola hidup pemimpin al-Qaeda itu.

Disebabkan operasi berkenaan terlalu rumit, CIA terpaksa mendapatkan kelulusan Kongres bagi memperoleh pembiayaan bernilai berpuluh juta ringgit.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan jumlah ejen yang terbabit dalam operasi mengintip itu, tetapi mengakui ia sangat sukar.

Katanya, Osama pasti melarikan diri serta-merta sebaik saja mengesan ada sesuatu yang mencurigakan berhampirannya.

“Perisik terbabit menggunakan segala kaedah yang ada untuk mengumpul maklumat, termasuk melalui warga Pakistan, imej satelit, gambar dan alat curi dengar,” katanya.


Sumber itu berkata, Osama sangat mahir menyembunyikan diri sehingga CIA mengagumi komitmennya mengelak dikesan.

“Anda perlu memuji kepintaran Osama,” katanya.
Mengenai premis yang menjadi pusat pengintipan CIA itu, sumber berkenaan berkata, ia tidak terbabit dalam operasi membunuh Osama dan ia kini ditutup.

“Bagaimana CIA boleh berpindah ke pusat operasi rahsia itu samalah dengan kemampuan Osama berjaya bersembunyi di bangunan berkenaan tanpa disedari sesiapa,” katanya.

Abbottabad bukan kubu pengganas seperti Quetta atau Peshawar, sebaliknya bandar itu sering dijadikan tempat percutian.

Keadaan itu menjadikan kadar populasi di Abbottabad sentiasa berubah dan ia memudahkan ejen CIA menyelinap masuk. - DM, mymetro

Isteri tak keluar rumah 6 tahun


ISLAMABAD: Seorang daripada tiga isteri Osama bin Laden berkata, dia tidak pernah meninggalkan tingkat atas rumah yang menjadi tempat persembunyian pemimpin al-Qaeda itu sepanjang enam tahun menetap di situ.
Wanita warga Yaman, Amal Ahmed Abdulfattah berkata demikian kepada pegawai perisik Pakistan yang menyoal siasatnya.

Amal dan dua isteri Osama ditahan pasukan keselamatan Pakistan berikutan serangan terhadap kediaman Osama di bandar Abbottabad Ahad lalu.

Pihak berkuasa Pakistan juga menahan lapan atau sembilan anak pemimpin al-Qaeda itu setelah komando elit Amerika meninggalkan rumah berkenaan. Turut ditemui di rumah terbabit selepas serangan itu ialah mayat tiga lelaki.

Kenyataan ketiga-tiga isteri Osama itu akan membantu mendedahkan bagaimana Osama menghabiskan masa dan bagaimana beliau mengelak daripada ditangkap sepanjang tinggal berhampiran sebuah akademi tentera.

Kenyataan mereka juga penting dalam mendedahkan operasi tentera Amerika di situ.


Seorang pegawai Pakistan berkata, pegawai CIA tidak dibenarkan menemui semua wanita berkenaan.

Dalam pada itu, pegawai perisikan Pakistan terbabit tidak memberitahu sama ada Amal yang cedera di kaki dalam operasi itu turut mengesahkan Osama tinggal di rumah itu sejak 2006.
“Kami masih mendapatkan maklumat daripada mereka,” kata pegawai yang enggan dikenali itu.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan perisikan berkata, Osama berdepan dengan masalah kewangan pada hari-hari terakhirnya dan al-Qaeda berpecah kepada dua dengan kumpulan yang besar dikuasai oleh Ayman al-Zawahri.

Pemimpin al-Qaeda itu tinggal di Abbottabad tanpa sebarang pengawal. Pengikutnya juga tidak berada di kawasan berhampiran untuk membantu mempertahankannya. - Agensi

'Kebumi Osama di laut hina Islam'



Oleh Azrina Ahzan dan Shah Che Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/05/07

Jamil Khir selar cara Amerika urus jenazah 

SEPANG: Tindakan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengebumikan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di laut adalah penghinaan kepada umat Islam yang mempunyai tatacara tersendiri untuk mengendalikan jenazah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
“Keadaan berbeza jika meninggal dunia ketika berada di lautan, wajar dikebumikan di laut, namun perlu mengikut kaedah ditetapkan Islam. Pengurusan jenazah dalam Islam perlu dibuat sewajarnya. Sekiranya umat Islam meninggal dunia di daratan, tidak wajar ia dikebumikan di laut,” katanya di sini, semalam.
Mengenai desakan supaya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil tindakan terhadap Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Jamil Khir meminta semua pihak menunggu hasil siasatan polis kerana JAWI tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya, tetapi perlu mengikut prosedur ditetapkan. 

“Selesai siasatan polis, biarlah pihak pendakwaan menentukan jenis tindakan yang boleh diambil terhadap beliau (Datuk Shazryl Eskay),” katanya mengulas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan Himpunan Amarah Rakyat di Masjid Negara, kelmarin yang antara lain mendesak JAWI mengambil tindakan terhadap Shazryl Eskay. 

Jamil Khir turut menyelar tindakan pihak yang menganjurkan perhimpunan terbabit kerana menganggap ia mencemar kesucian institusi masjid. 

Sementara itu, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin, menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang mengenai keselamatan rantau ini berikutan kematian pemimpin al-Qaeda itu kerana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi sebarang ancaman. 
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pingat North Atlantic Treaty Organisation (NATO) dan pembubaran Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia 1 (MALCON ISAF 1) di Hospital ATM Wangsa Maju di sini, semalam. 

Pada majlis itu, seramai 40 anggota, termasuk sembilan pegawai ATM menerima anugerah pingat NATO bagi mengiktiraf kejayaan pasukan itu menyempurnakan Operasi Interim Nasional Support and Assistance of Afghanistan (Op INSAF). 

Al-Qaeda sahkan kematian





2011/05/07


  • Foto
    PENYOKONG parti Islam Pakistan, Jamiat Ulema-e-Islam membakar bendera Amerika ketika tunjuk perasaan bantah pembunuhan Osama bin Laden, di utara Quetta, Pakistan semalam.
  • Foto
    OBAMA tunduk selepas meletakkan kalungan bunga di tapak Memorial 9/11 di New York, kelmarin.
Kumpulan militan 3 negara janji balas dendam pembunuhan

ISLAMABAD: Kumpulan al-Qaeda semalam mengesahkan ketuanya, Osama bin Laden sudah mati, melenyapkan segala keraguan menyelubungi nasib sebenar lelaki Arab yang paling diburu Amerika Syarikat (AS) itu.
Kumpulan itu yang dituduh melancarkan serangan terhadap AS pada 11 September 2001, berjanji akan menyiarkan pita rakaman yang memuatkan pesanan Osama tidak lama lagi.
Dalam satu kenyataan disebarkan secara online, al-Qaeda berkata: “darah Osama bernilai kepada kami dan seluruh umat Islam dan tidak akan disia-siakan begitu saja.”

Kumpulan itu menggesa rakyat Pakistan untuk bangun menentang kerajaan mereka bagi membersihkan negara itu daripada rasa malu yang dibawa oleh serbuan dan pembunuhan Osama (di Pakistan) dan ‘kekotoran Amerika yang menyebar rasuah.’

“Sebelum sheikh (Osama) meninggal dunia dan sebelum beliau dapat berkongsi dengan negara Islam kejayaan revolusi dibawanya, beliau sempat merakamkan pesanan tahniah dan nasihat yang akan kami siarkan, insya-Allah.”

“Kami memberi amaran kepada Amerika agar tidak merosakkan jenazah sheikh atau mendedahkannya kepada penghinaan atau untuk mengancam mana-mana anggota keluarga beliau yang mati atau hidup dan kami menggesa jenazahnya diserahkan kepada keluarga.” 
Washington sebelum ini berkata, mayat Osama sudah disemadikan di dalam laut.
Kumpulan militan di selatan Pakistan juga berjanji untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Osama. Taliban di Afghanistan dan kumpulan pemuda di Indonesia turut membuat ancaman sama.

Sementara itu, seorang daripada isteri Osama, Amal Ahmed Abdulfattah, memberitahu penyiasat Pakistan, suaminya itu sudah menetap selama lima tahun di rumah yang diserbu pasukan elit tentera Laut AS, SEAL yang membunuh pemimpin al-Qaeda itu, Ahad lalu. – Reuters 

26 penunjuk perasaan ditembak mati di Syria


DAMSYIK: Anggota keselamatan Syria dilaporkan menembak mati sekurang-kurangnya 26 penunjuk perasaan yang mengambil bahagian dalam demonstrasi sempena 'Hari Penentangan' bagi menggulingkan rejim Presiden, Bashar al-Assad, semalam. 

Pada masa sama, kumpulan bersenjata dilaporkan membunuh soerang pegawai dan empat anggota polis ketika tunjuk perasaan itu berlangsung. Di Brussels, Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menguatkuasakan sekatan terhadap Syaria selepas 13 pegawai negara itu terbabit dalam serangan kejam ke atas penunjuk perasaan sebelum ini.

EU juga sedang berbincang untuk mengheret Assad dalam perkara itu, menurut diplomat hari ini. 

Kumpulan hak asasi Syria, Insan berkata angka kematian semalam mencecah 26 orang dan jumlahnya dijangka bertambah lagi. 

Satu lagi kumpulan hak asasi, Najati Tayara, berkata anggota keselamatan Syria dilihat melepaskan tembakan bagi menghalang penunjuk perasaan selepas solat Jumaat di tengah bandar raya berkenaan dengan lapan terbunuh manakala beberapa lagi cedera parah. - AFP 

Obama puji komando AS kejayaan misi hapuskan Osama


FORT CAMPBELL (Kentucky): Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini memuji anggota komando negara atas kejayaan menghapuskan Osama bin Laden sambil melaungkan bahawa Amerika berjaya 'memenggal kepala Al-Qaeda' sekali gus melumpuhkan rangkaian penganas itu. 


Obama menyimpulkan kejayaan itu sebagai 'minggu bersejarah' yang penuh dengan mesyuarat dan merencanakan serangan sulit ke Pakistan bagi menghapuskan ketua Al-Qaeda itu selepas memburunya lebih 10 tahun.
“Saya mengambil peluang ini bagi pihak rakyat Amerika dan mereka di seluruh dunia yang bangga dengan kejayaan ini. Kita menamatkan misi ini dengan kejayaan," katanya kepada satu kumpulan tentera yang baru pulang daripada berkhidmat di Afghanistan.
Ketika rangkaian Al-Qaeda melaungkan ikrar membalas dendam selepas kematian pengasasnya, Obama pula menekankan bahawa misi berkenaan menunjukkan polisinya terhadap meneruskan peperangan di Afghanistan membuahkan hasil dalam menghapuskan rangkaian pengganas. 

“Kita sudah menghapuskan ketuanya dan kita sedang menewaskan mereka," katanya. - AFP 

Al-Qaeda sahkan Osama maut



ISLAMABAD - Kumpulan Al-Qaeda mengesahkan kematian ketuanya, Osama bin Laden dalam satumesej Internet yang disiarkan semalam yang turut menyatakan akan melakukan balas dendam ke atas Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden AS, Barack Obama mengumumkan kematian Osama pada malam Ahad lalu.
Mesej itu berbunyi: "Dalam satu hari penuh sejarah bagi umat Islam, pejuang Sheikh Abu Abdullah Osama bin Mohammed bin Laden telah terbunuh di jalan yang dipilih oleh orang sebelum dan selepasnya. Tahniah kepada umat Islam kerana Osama telah mati syahid."
Kumpulan militan itu menyatakan akan menyiarkan satu pita audio Osama seminggu sebelum kematiannya.
"Dengan izin Tuhan, sumpahan akan menghantui rakyat AS dan sekutunya. Kegembiraan mereka akan bertukar menjadi tangisan. Darah mereka akan bercampur dengan air mata."
Sementara itu, isteri Osama bin Laden yang paling muda, Amal Al-Sadah mendedahkan bahawa suaminya itu tidak meninggalkan dua buah bilik di rumah mereka di bandar Abbottabad selama lima tahun, kata beberapa penyiasat Pakistan yang mengesahkan perkara itu kepada wartawan kelmarin.
Amal, 29, ditembak di kaki dalam serbuan pada malam Ahad lalu apabila dia dilaporkan menerpa ke arah pasukan komando Amerika Syarikat (AS) yang menggempur kediaman mereka.
Dia ialah antara tiga isteri Osama yang kini ditahan dan disoal siasat perkhidmatan perisikan Pakistan.
Seorang pegawai keselamatan berkata, dia tidak menyaksikan suaminya dibunuh.
"Kami masih mendapatkan maklumat daripada mereka (ketiga-tiga isteri Osama)," katanya.
Pihak berkuasa Pakistan turut menahan lapan atau sembilan kanak-kanak yang ditemui selepas pasukan komando AS beredar.
Salah seorang daripada mereka iaitu seorang budak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan memberitahu bahawa dia melihat bapanya ditembak mati dan mayatnya diseret ke sebuah helikopter.
Sekurang-kurangnya tiga mayat yang terbunuh dalam serbuan pasukan komando tersebut ditinggalkan di tempat kejadian.
Seorang bekas komander perkhidmatan perisikan Pakistan, Asad Munir memberitahu saluran berita ABC, semua isteri Osama itu disoal siasat tanpa kekerasan.
"Kami memberikan mereka borang soal selidik yang memiliki 20 soalan. Kami mengubah urutan soalan itu setiap tiga atau empat hari. Anda perlu memiliki daya ingatan yang amat baik jika anda ingin menipu," katanya.
Seorang pegawai kanan perisikan memberitahu akhbar The Times bahawa terdapat 17 orang termasuk empat wanita yang kini ditahan tentera Pakistan untuk mendapatkan maklumat penting tentang Osama dan Al-Qaeda.
Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan, Amal memberitahu pasukan penyiasat Pakistan bahawa Osama masih sedarkan diri selepas dia pertama kali ditembak dan anak perempuannya yang berusia 12 tahun memberitahunya bahawa Osama kemudian ditembak sampai mati.
Wanita itu dan tiga isteri Osama yang lain, mendedahkan maklumat penting yang dapat membantu menyingkap kehidupan rahsia Osama semasa dia bersembunyi daripada pihak berkuasa AS.
Hubungan AS dengan Pakistan kini tegang selepas Islamabad dilaporkan enggan membenarkan Washington menyoal siasat Amal.
Menurut beberapa laporan tersebut, Amal memberitahu, sepanjang tempoh lima tahun berkenaan, Osama hanya membahagikan masanya antara dua bilik berbeza di rumah itu termasuk bilik tempat dia ditembak mati. - Agensi, kosmo

Pengasas Facebook beli rumah pertama




RUMAH baru yang dibeli oleh Mark Zuckerberg di Palo Alto, California.


PALO ALTO - Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 28, membuat keputusan membeli rumah pertamanya berharga AS$7 juta (RM21.02 juta) di sini setelah tiga tahun menjadi bilionair termuda di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Rumah barunya yang mempunyai lima bilik itu terletak di kawasan kejiranan Crescent Park dan hanya 10 minit perjalanan ke pejabat barunya di Menlo Park.
Dengan kekayaan yang dianggarkan sebanyak AS$13.5 bilion (RM40.54 bilion), dia sebelum ini hanya menyewa sebuah rumah dua tingkat di kawasan Palo Alto, California.
Dia tinggal di rumah tersebut bersama kekasihnya, Priscilla Chan dan mereka dijangka bertunang dalam tempoh terdekat. - Agensi, kosmo

Friday, May 6, 2011

Imej 3 lelaki korban komando AS diperoleh


MAYAT seorang lelaki yang tidak dikenali yang  terbunuh dalam serangan pasukan elit tentera AS terhadap Osama  di Abbottabad, Ahad  lalu.

MAYAT seorang lelaki yang tidak dikenali yang terbunuh dalam serangan pasukan elit tentera AS terhadap Osama di Abbottabad, Ahad lalu.

ISLAMABAD: Gambar yang diperoleh Reuters dan dirakam sejam selepas serangan tentera Amerika Syarikat terhadap kediaman Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan, menunjukkan mayat tiga lelaki berlumuran darah.
Mereka bagaimanapun tidak bersenjata.

Gambar itu yang dirakam pegawai keselamatan Pakistan yang memasuki kediaman itu selepas serangan berkenaan menunjukkan dua lelaki berpakaian tradisional Pakistan dan seorang berpakaian kemeja-T dengan darah mengalir di telinga, hidung dan mulut masing-masing.
   
  • FotoDARAH mengalir dari hidung, telinga dan mulut seorang lagi mangsa.
  • FotoLELAKI berpakaian kemeja-T yang turut terbunuh.
Pegawai itu yang enggan dikenali menjual gambar itu kepada Reuters. Tidak seorang pun daripada mereka kelihatan seperti Osama.

Presiden Barack Obama enggan mendedahkan gambar mayat pemimpin al-Qaeda itu kerana ia boleh mencetuskan keganasan dan dijadikan alat propaganda al-Qaeda.

Berdasarkan masa yang tertera, gambar yang dirakam paling awal ialah pada 2 Mei, 2.30 pagi, kira-kira sejam selepas serangan yang membunuh Osama berakhir.
Gambar lain dirakam antara jam 5.21 pagi dan 6.43 pagi.

Reuters yakin kesahihan gambar yang dibelinya itu kerana maklumat dalam gambar berkenaan menunjukkan rangka helikopter, sama dengan butir daripada gambar yang diperoleh sebelum ini. Tentera Amerika Syarikat kehilangan sebuah helikopter dalam serangan itu akibat masalah mekanikal. Ia kemudian dimusnahkan. - Reuters mymetro

Lelaki disebalik pesanan video


LELAKI berjanggut panjang dan penuh karisma yang selama beberapa dekad menjadi igauan ngeri Amerika Syarikat (AS) menemui ajal dalam satu serbuan askar AS di Pakistan, Ahad lalu.
Lelaki yang menggemparkan dunia kerana didakwa mendalangi serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 itu dibunuh di sebuah rumah agam di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad.
Bagaimanapun, kematian pemimpin tertinggi rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden, 54, itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi di dada akhbar antarabangsa termasuk bakal pengganti lelaki misteri itu yang bijak menggagalkan pelbagai percubaan untuk membunuh atau menangkapnya.
Pakar bedah mata kelahiran Maadi, Mesir, Ayman Muhammad Rabaie al-Zawahiri, 59, yang merupakan tulang belakang Osama selama ini, disebut-sebut bakal menjadi ketua Al-Qaeda yang baru.
Dilahirkan pada tahun 1951 dalam sebuah keluarga atasan yang mempunyai cendekiawan dan doktor, Zawahiri bertemu Osama pada pertengahan tahun 1980-an di Peshawar, Pakistan ketika menyokong perjuangan mujahidin menentang pencerobohan Soviet Union di Afghanistan.
"Zawahiri adalah otak bagi tubuh Osama," kata seorang peguam Mesir, Montasser al-Zayat yang pernah mewakili Zawahiri.
Graduan Universiti Kaherah itu digambarkan sebagai ketua pergerakan Al-Qaeda dan penasihat terdekat Osama.
Tidak seperti Osama yang lebih bersikap sederhana, Zawahiri merupakan wajah Al-Qaeda dan sering mengecam AS dan sekutunya melalui pesanan-pesanan video.
"Zawahiri sentiasa menjadi mentor dan selalu dipandang tinggi oleh Osama," kata pakar keganasan di Universiti Georgetown, Profesor Bruce Hoffman.
"Dia pernah menjadi tawanan dan diseksa di penjara orang Mesir. Semasa remaja, dia merupakan seorang pejuang jihad malah telah berjuang sepanjang hayatnya. Pengalaman tersebut telah membentuk pandangannya terhadap dunia," tambah Hoffman lagi.
Zawahiri menyertai ahli kumpulan Jihad Mesir yang diasaskan pada tahun 1973. Dia merupakan salah seorang daripada 301 orang yang ditahan berikutan pembunuhan Presiden Mesir, Anwar Sadat pada tahun 1981.
Lelaki bersosok sederhana, berjambang dan berkaca mata itu telah menjalani perbicaraan dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh.
Pada tahun 1993, Zawahiri memegang tampuk kepimpinan kumpulan Jihad Mesir dan merupakan figura utama dalam kempen pembentukan negara Islam di negara berkenaan pada pertengahan tahun 1990-an.


KEDIAMAN Osama di Abbotabad yang musnah selepas diserang tentera AS.



"Osama mewakili sebuah pergerakan, segala pertuturan dan kemunculannya mempunyai aura serta karisma, Zawahiri tidak boleh menandingi kewibawaannya," kata penyelaras untuk pasukan pemantauan Al-Qaeda-Taliban, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Barrett.
Penasihat Pencegah Keganasan Presiden Barrack Obama, John Brennan pula memberitahu, Zawahiri mempunyai banyak pengkritik dalam organisasi itu.
"Saya rasa anda akan melihat kejadian makan diri sendiri dalam pertubuhan itu semakin bertambah," ujarnya.
Selain Zawahiri, nama-nama lain yang dijangka mampu memimpin rangkaian Al-Qaeda termasuk Anwar al-Awlaki, Abu Yahya al-Libi, Ilyas Kashmiri, Nasir al-Wuhayshi dan beberapa lagi.
Rakan kepada Zawahiri iaitu Aboud Al-Zumur memberitahu AFP, kematian Osama tidak akan menjejaskan organisasi itu.
Al-Qaeda berjanji akan membalas serangan. Zumur yang pernah dipenjarakan bersama Zawahiri kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981 menegaskan kematian Osama adalah syahid.
Dia merupakan antara ahli kumpulan Jihad Mesir yang dibebaskan dari penjara selepas Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan baru-baru ini.
"Al-Qaeda bukanlah individu tetapi satu institusi. Pembunuhan Osama tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah," katanya.
Dia turut menasihati pengikut Osama agar tidak membalas dendam dan bersabar. Sekiranya mereka (penyokong) membuat serangan di kedutaan atau sebagainya, ia hanya membunuh orang yang tidak berdosa.
Zumur menyifatkan Zawahiri, seorang yang dikenali sebagai perancang dalam Al- Qaeda dalam siri serangan ke atas AS, sebagai seorang yang 'berhati mulia'.
Imej AS


PENDUDUK di Abbotabad menjalani kehidupan seperti biasa beberapa hari selepas Osama ditembak mati di kediamannya di bandar itu.



Dalam pada itu, penulis kolum Arab Saudi, Dawood al-Sherian memberitahu, operasi itu menjadi simbol kesungguhan dan memberi kesan positif kepada imej AS.
"Bagaimanapun, penghujung riwayat Osama telah menimbulkan keraguan mengenai masa dan butir-butir kematiannya sekali gus mungkin memberi tamparan kepada imej AS dalam dunia Arab serta Muslim," dia menulis dalam harian Al-Hayat yang berpangkalan di London.
Bagi Sherian, menangkap Osama adalah lebih baik berbanding membunuhnya kerana ia mungkin akan melemahkan Al-Qaeda apabila pemimpin mereka berdepan keadilan seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.
Pengarang akhbar bebas Jordan, Al-Arab Al-Yawm, Fahd Kheitan pula menulis: "Serbuan AS merupakan kemenangan pilihan raya bagi Presiden Barack Obama. Ia hanya mendatangkan kesan kecil kepada Al-Qaeda.
"Al-Qaeda telah kehilangan pemimpin tertinggi mereka tetapi pengikutnya akan cuba membalas dendam ke atas pembunuhan tersebut sekali gus sekutu antikeganasan perlu bersedia menghadapi dendam."
Sementara itu, pakar cegah keganasan berkata, kematian Osama akan memberi tamparan kepada rangkaian pengganas yang diasaskan dan dibangunkannya itu, walaupun peranan Osama lebih bersifat simbolik berbanding operasi sejak kebelakangan ini.
"Melumpuhkan pergerakan tidak akan menghakis gabungan Al-Qaeda dan orang perseorangan yang tetap memberi ancaman," kata John McLaughlin yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Interim, Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS.
"Bagaimanapun, kuasa pusat inspirasi Al-Qaeda akan berkurangan," katanya.
Bagi Paul Pillar yang merupakan bekas pegawai perisik di Asia Barat dan Asia Selatan dari tahun 2000 hingga 2004, Al-Qaeda sebenarnya telah berkembang dan kematian Osama tidak banyak mengubah serangan yang telah dirancang.
"Dari segi kawalan operasi dan arahan, perubahan telah dilakukan.
"Peranan Osama lebih sebagai simbol dan sumber ideologi berbanding orang yang memulakan operasi. Peranan tersebut akan berterusan sama ada dia mati atau masih hidup," katanya.
Katanya, kematian Osama akan memberi makna lebih penting kepada bagaimana AS dan Barat akan bertindak ke atas keganasan, bukan bagaimana pengganas akan menjalankan rangkaian mereka.

Guy Ritchie berkhatan demi Madonna



LOS ANGELES - Pengarah filem terkenal, Guy Ritchie, 42, sanggup berkhatan bagi menggembirakan penyanyi Madonna, 51, semasa mereka belum berpisah, lapor sebuah akhbar semalam.
Ritchie berkhatan kerana Madonna ketika itu menganut kepercayaan Kabbalah, salah satu cabang daripada amalan tradisonal Yahudi.
Penasihat keagamaan Madonna, Karen Berg dalam kenyataannya kepada sebuah majalah memberitahu, Ritchie mengambil keputusan untuk berkhatan kerana menghormati kepercayaan yang dianuti Madonna.
Seorang anak lelaki Madonna dilaporkan turut berkhatan.
Madonna merupakan penganut Kristian Roman Khatolik sebelum dia menukar kepada kepercayaan Kaballah.
Ritchie yang merupakan pengarah filem Sherlock Holmes berkahwin dengan Madonna pada 22 Disember 2000 dan mereka berpisah pada November 2008. - Agensi, kosmo

Penyeludup dadah ditangkap kerana jari




GAMBAR yang disiarkan kelmarin oleh polis di negeri Santa Catarina, Brazil menunjukkan 12 jari milik seorang penyuludup dadah.


SAO PAULO - Seorang penyeludup dadah ditangkap polis di negeri Santa Catarina selepas identitinya dikenal pasti menerusi 12 jarinya.
Menurut seorang pegawai polis, Enio de Oliveira Matos, pada mulanya penyeludup dadah itu menunjukkan identiti dirinya dengan menggunakan dokumen pengenalan milik adiknya menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat menangkapnya, baru-baru ini.
Matos berkata, pihak polis kemudian mendapatkan maklumat daripada Institut Identitifikasi di negeri Parana iaitu lokasi tempat penyeludup tersebut dilahirkan.
Berdasarkan maklumat institut itu, setiap tangan penyeludup tersebut mempunyai enam jari.
Ekoran pengesahan tersebut, pihak polis kemudian menangkap penyeludup tersebut dengan jarinya sebagai bukti identiti dirinya sebagai penyeludup dadah.- Agensi, kosmo

Serombong runtuh ditarik empat buah kenderaan





KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik serombong runtuh ditarik empat buah kenderaan model Amarok di Reading, Britain baru-baru ini.



READING, Britain - Sebuah serombong setinggi 67.05 meter diruntuhkan dengan menggunakan hanya empat buah kenderaan pacuan empat roda, lapor sebuah akhbar semalam.
Demonstrasi itu dibuat oleh syarikat Volkswagen dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda keluaran terbaharu, Amarok di sini, baru-baru ini.
Tali diikat di bahagian atas serombong itu ke tempat penunda empat kenderaan tersebut yang menggunakan empat silinder dan 2.0 liter enjin.
Dalam tempoh beberapa saat, serombong itu yang seberat 140 tan runtuh tanpa memerlukan penggunaan bahan letupan.
Kenderaan itu akan berada di bilik pameran pada minggu depan. - Agensi, kosmo

Isteri Osama jadi rebutan AS-Pakistan




AMAL AL-SADAH


WASHINGTON - Amal Al -Sadah yang merupakan isteri termuda ketua kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden menjadi rebutan antara Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan selepas Islamabad kelmarin enggan membenarkan AS menyoal siasatnya.
Amal penting kepada kedua-dua pihak kerana dia mengetahui tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam operasi membunuh Osama di samping maklumat tentang kumpulan Al-Qaeda yang diketuai suaminya.
Pakistan bagaimanapun melarang AS menyoal siasat Amal, 27, yang kini dirawat di sebuah hospital tentera di Rawalpindi kerana kakinya cedera akibat ditembak.
Wanita berasal dari Yemen itu menerpa ke arah anggota komando AS untuk melindungi suaminya semasa rumah tempat tinggal mereka di bandar Abbottabad, Pakistan diserbu pada malam Ahad lalu.
Anggota komando itu menembak kaki Amal tetapi dia tidak dibawa bersama oleh pasukan komando AS selepas sebuah helikopter dalam operasi itu terhempas di pekarangan rumah tersebut.
Amal kemudian ditangkap oleh pasukan keselamatan Pakistan.
Sebelum ini, AS melaporkan dia ditembak mati anggota komando selepas Osama menggunakannya sebagai perisai manusia untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, AS menukar cerita pada Selasa lalu dengan menyatakan Amal hanya cedera akibat ditembak dan dia tidak menjadi perisai manusia untuk melindungi Osama.
Perkahwinannya dengan Osama dilaporkan diatur bagi mengukuhkan hubungan dan pengaruh ketua Al-Qaeda itu di Yemen.
Amal dilaporkan berbangga kerana dapat menjadi isteri Osama.
Ketua Al-Qaeda itu telah menghantarnya pulang ke Yemen kerana bimbangkan keselamatannya tetapi dia berjaya kembali ke Pakistan walaupun dipantau oleh agensi perisikan AS.
Menurut majalah Time, wanita itu memberitahu penyiasat Pakistan bahawa mereka tinggal di rumah tersebut sejak tahun 2005.
Menurut Time, seramai enam saudara- mara Osama termasuk enam kanak-kanak dan seorang isterinya dibawa ke hospital di Rawalpindi untuk dirawat selepas pasukan komando AS melakukan serbuan. - Agensi

Osama tak akan ditembak jika berbogel



WASHINGTON - Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) dapat mengelakkan dirinya daripada mati ditembak oleh pasukan komando tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyerbu rumah tempat tinggalnya di bandar Abbottabad, Pakistan pada Ahad lalu jika dia berada dalam keadaan bogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasukan komando tersebut telah diberi arahan supaya menembak mati Osama sekiranya dia ditemui dalam keadaan berpakaian.
Menurut sumber Kongres Amerika Syarikat (AS), pasukan komando telah diarahkan supaya menganggap ketua Al-Qaeda itu memakai jaket bahan letupan di badannya sekiranya dia berpakaian.
Osama dipercayai ditembak di dahi dan jantungnya semasa dia memakai baju tidur.
Operasi di Abbottabad itu dikritik selepas beberapa pihak menganggap ia bertujuan untuk membunuh Osama dan dia tidak akan diberi peluang untuk menyerah diri.
Beberapa pakar tentera dilaporkan berkata, bunyi bising ketibaan empat buah helikopter yang digunakan dalam operasi tersebut akan mengejutkan para penghuni rumah berkenaan dan memastikan bahawa pertempuran akan berlaku.
Kedatangan tanpa senyap itu kata mereka, merupakan petunjuk bahawa operasi tentera tersebut bertujuan untuk melakukan pembunuhan.
"Jika sesiapa dalam pasukan ini menganggap terdapat ancaman dalam apa jua bentuk, kekerasan membunuh dibenarkan (pihak atasan)," kata seorang pegawai komando Seal kepada akhbar LA Timesberhubung operasi di Abbottabad.
Kenyataannya bercanggah dengan dakwaan ketua penasihat antikeganasan AS, John Brennan yang sebelum ini menyatakan, pasukan komando berkenaan telah diberi arahan supaya menangkap Osama hidup-hidup.
"Jika kami mempunyai peluang untuk menangkap Osama hidup-hidup dan jika dia tidak mendatangkan ancaman kepada pasukan komando, mereka bersedia menangkapnya," kata Brennan
Bagaimanapun pada Selasa lepas, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta berkata, Osama membuat pergerakan yang mengancam menyebabkannya dibunuh.
Pada masa yang sama, White House mengeluarkan kenyataan bahawa Osama tidak bersenjata semasa dia ditembak di dahi dan dadanya. - Agensi, kosmo

Osama tinggalkan wasiat terakhir



LONDON - Pengganas yang paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS), Osama bin Laden menyatakan dalam wasiatnya bahawa dia tidak mahu anak-anaknya menyertai kumpulan Al-Qaeda, lapor agensi berita Press Trust of India kelmarin.
Dalam wasiatnya itu Osama memohon maaf kepada anak-anaknya kerana kebanyakan masanya dihabiskan untuk berjihad.
Dokumen empat halaman bertarikh 14 Disember 2001 yang ditandatangani Osama mula disiarkan dalam sebuah akhbar Lebanon pada tahun 2001.
Namun, ia disiarkan semula dalam minggu ini selepas kematian Osama.
Osama dipercayai menulis wasiat itu selepas tragedi serangan 11 September 2001 di New York yang mengorbankan hampir 3,000 orang.
Dalam dokumen itu, Osama menyatakan, empat isterinya speatutnya tidak berkahwin semula selepas kematiannya.
Ketua Al-Qaeda itu dipercayai mempunyai anak seramai 12 hingga 24 orang.
- Bernama, kosmo

Gambar anak Osama mati ditembak disiarkan




SEORANG lelaki dipercayai anak Osama bin Laden, Khalid mati terbaring di sebuah rumah yang menjadi tempat persembunyian bapanya 
di bandar Abbottabad, Pakistan.


LONDON - Seorang anak Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden, Khalid dan dua lagi penyampai mesej ketua Al-Qaeda yang ditembak mati dalam serangan komando Amerika Syarikat (AS) di Pakistan disiarkan untuk tontonan umum.
Foto itu dirakam selepas serangan komando AS di tempat persembunyian Osama di Abbottabad, Pakistan. gambar itu dikeluarkan oleh agensi berita Reuters semalam. Ia menunjukkan keadaan belakang kepala ketiga-tiga individu berkenaan yang berlumuran darah.
Gambar itu turut menunjukkan salah seorang penyampai mesej itu dan seorang lagi pembantu Osama terbaring di atas lantai. Setakat ini foto Osama yang mati tidak disiarkan atas arahan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama kerana bimbang ia boleh mencetuskan rasa marah penganut Islam. Kematian Osama itu sebelum ini diumumkan Obama di White House, Washington pada malam Ahad lalu. Mayat Osama dibuang ke Laut Arab selepas dia ditembak mati. - Agensi, kosmo