Pages

Thursday, April 14, 2011

Airbus 380 Air France rempuh ekor pesawat kecil


KEADAAN sayap Airbus  380  Air France rosak selepas merempuh pesawat lebih kecil di lapangan terbang John F  Kennedy di New York, semalam.
KEADAAN sayap Airbus 380 Air France rosak selepas merempuh pesawat lebih kecil di lapangan terbang John F Kennedy di New York, semalam.

WASHINGTON: Pesawat Airbus 380 Air France – kapal terbang penumpang terbesar dunia – merempuh ekor sebuah pesawat lebih kecil di lapangan terbang John F Kennedy di New York malam semalam, ketika berada di landasan. 


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat berkata, tiada penumpang cedera dalam kejadian berkenaan.
“Penerbangan 007 Air France yang sedang berlepas ke Paris, dan sebuah pesawat Comair, perkhidmatan penerbangan serantau, terbabit dalam kejadian berkenaan,” kata jurucakap FAA Laura Brown. Comair adalah anak syarikat Delta Air Lines. “Pesawat Airbus 380 itu melanggar pengimbang menegak pesawat Comair yang menyebabkan pesawat berkenaan bergerak.


“Anak kapal pesawat Comair yang baru tiba dari Boston itu dan sedang menunggu untuk kekosongan di bangunan terminal bertindak segera mengeluarkan semua penumpang di dalam pesawat itu,” kata Brown. 


Seorang wartawan rangkaian televisyen Amerika Syarikat, CNN yang berada di dalam pesawat Air France berkenaan berkata pesawat besar itu bergegar seperti melanggar landasan tidak rata. 


Juruterbang bertindak serta-merta menghentikan pesawat dan sejurus kemudian kereta bomba tiba menghampiri pesawat terbabit, kata Jim Bitterman. 
Pesawat Airbus 380 yang mempunyai dua tingkat boleh membawa lebih 500 penumpang, manakala pesawat Comair itu hanya boleh memuatkan 100 orang penumpang. – Reuters 
-kosmo

Budak empat tahun hisap rokok dalam kereta api



LAMAN web Netease.com menunjukkan dua budak dipercayai berusia tiga dan empat tahun menghisap rokok di atas sebuah kereta api di China.


BEIJING - Satu klip video di sebuah laman web di China menunjukkan dua kanak-kanak dipercayai berusia tiga dan empat tahun ketawa semasa mereka merokok di dalam kereta api, lapor sebuah akhbar semalam.
Dua budak itu berdiri di ruang yang kerap dikhaskan untuk penumpang yang merokok.
Dalam klip video tersebut, salah seorang budak itu menghembuskan rokok ke arah rakannya.
Klip video itu mencetuskan perdebatan terbaru mengenai amalan merokok di China yang mempunyai kira-kira 300 juta perokok dewasa.
Imej itu mencetuskan kemarahan daripada penonton yang melihat gelagat budak tersebut di laman Netease.com yang merupakan web portal terbesar di China.
Namun, tiada maklumat yang diberikan berhubung ibu bapa budak tersebut dan destinasi kereta api tersebut. - Agensi, kosmo

Anak remukkan kereta bapa RM1.35 juta


kereta sport Gumpert Apollo


BROKDORF, Jerman - Seorang remaja berusia 20 tahun hilang kawalan menyebabkan kereta sport bapanya yang berharga £275,000 (RM1.35 juta) remuk akibat terbabas di sebatang jalan raya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, remaja tersebut dan seorang penumpang wanita berumur 19 tahun hanya mengalami cedera ringan selepas kereta sport Gumpert Apollo itu terbabas baru-baru ini.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kereta itu remuk sepenuhnya dan hanya bahagian penumpang yang masih berada dalam keadaan baik."
Pihak berkuasa kini melakukan siasatan bagi mengetahui sama ada remaja itu memandu dengan laju di kawasan yang mempunyai had kelajuan 80 kilometer sejam.
Kereta sport itu merupakan salah sebuah kereta yang paling laju di dunia.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.8 saat. - Agensi, kosmo

Ulat bulu serang Bali


SEORANG petani menunjukkan ulat bulu yang berada di lengannya di Denpasar, Bali semalam.


DENPASAR - Sejumlah ulat bulu yang boleh menyebabkan kegatalan pada kulit menyerang Pulau Bali, Indonesia, kata seorang pegawai semalam.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pelancong yang terkena serangan ulat tersebut.
Ketua sebuah agensi pertanian di Bali, Made Putra Suryawan berkata, ulat bulu itu pada mulanya menyerang sebuah kampung pada Jumaat lalu dan ia kini menyerang enam buah daerah termasuk bandar Denpasar.
"Situasi kini berada dalam keadaan terkawal. Sejak Jumaat lalu, para pekerja telah menyembur ubat racun serangga dan membakar sampah di kawasan yang terjejas bagi menghalang penyebaran serangan haiwan itu," katanya.
Ribuan ulat bulu dilaporkan menyerang sebahagian wilayah di Pulau Jawa sejak dua minggu lalu.
Haiwan itu didapati menyerang ladang buah-buahan dan menceroboh kawasan penduduk. - AFP, kosmo

Kuasa dunia mahu Gaddafi berundur


SEBUAH trak pemberontak yang membawa pelancar roket mengawal pintu masuk ke bandar Ajdabiya, Libya semalam.


DOHA - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi perlu segera meninggalkan negara itu manakala pihak pemberontak yang menentang kepimpinannya perlu diberikan bantuan material, kata para menteri luar kuasa dunia pada persidangan di sini semalam bagi membincangkan masa depan negara Afrika Utara itu.
"Para delegasi sebulat suara dan tegas dalam membuat resolusi ini," kata mereka dalam kenyataan terakhir dan muktamad yang diperoleh agensi berita Reuters.
"Gaddafi dan rejimnya tidak lagi diiktiraf dan beliau perlu menyerahkan kuasa dan membiarkan rakyat Libya menentukan masa depan sendiri," tambah kenyataan itu lagi.
Para menteri luar berkenaan yang akan bersidang sekali lagi pada Mei depan, menyatakan, mereka akan bekerjasama dengan kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bagi mewujudkan mekanisme bantuan kewangan sementara bagi membolehkan NTC menggunakan aset Libya yang telah dibekukan.
Para menteri luar itu terdiri daripada 20 buah negara termasuk Perancis, Belgium, Kuwait, Itali dan Britain selain beberapa pertubuhan antarabangsa yang membincangkan mengenai Libya.
Amerika Syarikat (AS) tidak menghantar Setiausaha Negara, Hillary Clinton tetapi ia dilaporkan menghantar delegasi yang disertai Pengarah Politik Jabatan Negara AS, William Burns.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai pemberontak, Ali Al Isawi mendakwa, tentera yang setia kepada Gaddafi telah membunuh 10,000 orang dalam pertempuran di Libya setakat ini.
Beliau yang mewakili NTC pada pertemuan para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg kelmarin memberitahu, 20,000 lagi rakyat Libya masih hilang manakala 30,000 yang lain cedera dengan satu perempat daripada mereka parah.
Sementara itu, satu letupan kuat didengar di ibu kota Libya, Tripoli semalam tetapi punca letupan masih tidak dapat dipastikan. Stesen televisyen Al Arabiya melaporkan dua letupan berlaku berhampiran lapangan terbang Tripoli.
Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.
Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

Hosni ditahan selepas diserang sakit jantung


BEBERAPA anggota polis mengawal sebuah hospital yang menempatkan Hosni Mubarak di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam.


KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, diserang sakit jantung kelmarin semasa beliau disoal siasat di pusat peranginan Sharm El Sheikh, pesisir Laut Merah kelmarin, kata beberapa pegawai keselamatan.
Pemimpin berusia 82 tahun itu memasuki sebuah hospital di Sharm el-Sheikh untuk mendapatkan rawatan.
Pejabat pendakwa raya menyatakan, ketua pendakwa raya, Abdel Maguid Mahmud mengarahkan Hosni dan dua anak lelakinya ditahan selama 15 hari untuk disoal siasat berhubung arahan menyerang para penunjuk perasaan.
Penahanan tiga anak beranak itu dibuat berhubung dakwaan bahawa mereka mengarahkan pasukan keselamatan menembak para penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir pada Januari dan Februari lalu.
Protes menentang Hosni berakhir dengan peletakan jawatan presiden itu pada 11 Februari lalu dengan hampir 800 orang maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Seorang saksi memberitahu, Hosni tiba di hospital berkenaan dengan memakai baju dan seluar trek.
Sebuah akhbar tempatan, Al-Ahram yang memetik beberapa sumber melaporkan bahawa Hosni pergi ke hospital itu dengan berpura-pura sakit bagi mengelak daripada disoal siasat.
Namun, beliau mengalami serangan jantung semasa ditahan kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, Hosni akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Antarabangsa di pinggir ibu kota Mesir, di sini, untuk menjalani rawatan lanjut semasa berada dalam tahanan polis.
Turut ditahan ialah dua anak lelaki beliau, Gamal dan Alaa Mubarak.
Agensi berita rasmi MENA melaporkan kawalan keselamatan diperketatkan di bilik hospital Sharm El Sheikh, tempat Hosni ditahan.
MENA melaporkan bahawa Gamal dan abangnya Alaa diberikan pakaian seragam banduan, tilam dan selimut selepas mereka menyerahkan telefon bimbit masing-masing di sebuah penjara.
Adik beradik berkenaan kelihatan terkejut dan enggan memakan sarapan yang diberikan kepada mereka.
Menteri Kehakiman, Abdel Aziz al-Guindi berkata, pihak pendakwa raya mula menyoal siasat Hosni dan dua anak lelakinya kelmarin.
Stesen televisyen melaporkan bahawa Hosni enggan makan dan minum sejak diberitahu pada pagi kelmarin bahawa beliau akan disoal siasat.
Menurut Abdel Aziz, soal siasat terhadap anak beranak itu berhubung kekayaan mereka yang didakwa diperoleh menerusi salah guna kuasa dan rasuah masih belum bermula.
Selepas beliau meletak jawatan, Hosni dan keluarganya berpindah ke Sharm el-Sheikh.
Walaupun dikenakan larangan ke luar negara, beliau sebelum ini tidak dikenakan sebarang tahanan.
Bantahan bagi menuntut Hosni dibicarakan diadakan pada setiap minggu dengan disertai puluhan ribu orang dan berakhir dengan pertempuran berdarah antara kumpulan penunjuk perasaan dan tentera pada Sabtu lepas.
Keadaan itu berlaku apabila tentera bertindak bagi menyuraikan para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini. - AFP

Wednesday, April 13, 2011

Indonesia beli berpuluh helikopter, jet pejuang baru


JAKARTA: Indonesia bercadang membeli berpuluh-puluh helikopter keluaran Eurocopter dan 16 jet latihan T-50 Golden Eagle dari Korea Selatan.
Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro, berkata jet itu adalah keluaran syarikat Korea Aerospace Industries.

Katanya, Indonesia perlu meningkatkan pertahanan negara itu dengan membeli jet pejuang ringan dan helikopter bagi menangani ancaman keselamatan.

“Kami membelinya dalam jumlah yang agak banyak,” katanya.

Bagaimanapun, dia enggan menyatakan kuantiti pesawat yang dibeli atau bila ia diterima. - Reuters

Mesir tahan dua anak lelaki Mubarak


SHARM EL-SHEIKH: PEGAWAI KANAN POLIS MESIR BERKARA DUA ANAK LELAKI BEKAS PRESIDEN HOSNI MUBARAK DITAHAN 15 HARI UNTUK SIASATAN PERANAN MEREKA DALAN KEGANASAN TERHADAP PENUNJUK PERASAAN DAN RASUAH. 


Mej Jen Mohammed el-Khatib, ketua keselamatan Sinai Selatan, memberitahu orang ramai di luar sebuah mahkamah di bandar peranginan Sharm El-Sheikh bahawa kedua-dua mereka ditahan di Kaherah semetara menunggu hasil siasatan.
Mubarak, 82, dimasukkan ke hospital malam tadi berikutan serangan jantung ketika siasatan berhubung dakwaan rasuah dan serangan terhadap penunjuk perasaan yang menjurus kepada pengunduran beliau, bermula.
Mubarak dipercayai membimbing anak lelaki bongsunya, Gamal yang juga pegawai tinggi dalam parti pemerintah, untuk menggantikan beliau. - AP, bharian

Tentera pro-Gaddafi didakwa bunuh 10,000 pemberontak


LUXEMBOURG 13 April – Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah membunuh kira-kira 10,000 orang sepanjang pertempuran di Libya, dengan 20,000 lagi hilang dan 30,000 cedera.

Angka itu diumumkan oleh wakil dari Majlis Peralihan Kebangsaan Libya, Ali Al Isawi kepada wartawan selepas beliau menghadiri rundingan dengan Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) di Lexembourg, semalam.
Beliau dalam pada itu turut menggesa supaya lebih banyak usaha melindungi penduduk awam dilakukan.
Dalam pertemuan itu, EU yang dianggotai 27 negara buat pertama kalinya telah menerima Majlis Peralihan Kebangsaan itu yang beribu pejabat di Benghazi, sesuatu yang disifatkan sebagai ‘isyarat pengiktirafan’ oleh Menteri Luar Perancis, Alain Juppe. – AFP

Tentera Gaddafi terus serangan, NATO tidak sepakat


AJDABIYA, Libya: Tentera Muammar Gaddafi melepaskan tembakan roket di sepanjang medan tempur di timur negara itu dan membedil bandar Misrata yang dikepung ketika Perancis dan Britain menggesa sekutu NATO termasuk Amerika Syarikat meningkatkan tindakan terhadap rejim Libya. 


Harapan untuk melihat pasukan pemberontak mencapai kemenangan semakin pudar tetapi usaha diplomatik bagi mencari penyelesaian semakin meningkat.
Hari ini, diplomat akan bermesyuarat di Qatar dengan kumpulan Libya bagi menyusun tindakan antarabangsa dalam konflik itu.
Semalam, pemimpin Afrika cuba merundingkan gencatan senjata tetapi ditolak pihak pemberontak yang mendesak Gaddai melepaskan kuasa serta merta. 

Pemberontak Libya jelas terlalu lemah berbanding tentera Gaddafi dan akan tewas teruk tanpa bantuan serangan udara NATO. 

Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, NATO tidak cukup membantu bagi mengurangkan tekanan di Misrata. 

Katanya, tentera bersekutu sepatutnya memusnahkan senjata yang digunakan tentera Gaddafi untuk membedil orang awam di Misrata. - AP , bharian

Setem diraja luar biasa




 GARIS tengah setem pasangan diraja yang mengundang  perhatian selepas dilancarkan di Niue.
GARIS tengah setem pasangan diraja yang mengundang perhatian selepas dilancarkan di Niue.

Niue nafi garis tengah ramal perpisahan William, Middleton
WELLINGTON: Negara Pasifik Niue semalam mempertahankan setem 'luar biasa' pasangan diraja Putera William dan Kate Middleton yang didakwa menarik perhatian seluruh dunia kerana meletakkan garisan memisahkan William daripada bakal isterinya itu.
Setem terbabit diluluskan Ratu Elizabeth II dan garisan itu menjadi penanda membolehkannya dikoyakkan.
Setem pasangan terbabit dijual pada harga NZ$5.80 (RM13.60) tetapi apabila dipisahkan putera terbabit ia bernilai NZ$3.40 (RM8) manakala Middleton lebih murah, NZ$2.40 (RM5.70). 


Perdana Menteri Niue, Toke Talagi mendedahkan beliau menerima banyak maklum balas dari seluruh dunia sejak setem terbabit dikeluarkan bulan lalu dan ramai mengatakan bahawa setem terbabit ‘luar biasa’. 


“Orang ramai menyifatkan bahawa setem oleh pejabat pos New Zealand itu bermaksud pasangan itu akan berpisah di masa depan. Saya tidak tahu mengapa mereka mentafsirkan begitu,” kata Talagi. 


“Saya tidak fikir ia bermaksud begitu. Saya rasa, ia bermaksud mereka amat gembira meraikan perkahwinan diraja.” 
Talagi juga percaya, setem itu boleh meningkatkan pelancongan negara itu yang mempunyai keluasan 260 kilometer persegi di selatan Pasifik dan hanya 1,400 penduduk. 


“Saya sudah membuat jangkaan bahawa pada masa depan ramai orang yang datang ke sini untuk melihat tempat setem itu dikeluarkan,” katanya. 


Pos New Zealand mendedahkan dalam laman web bahawa ‘setem berkenaan merakamkan pasangan diraja dalam keadaan mereka, gembira, tenang dan saling mencintai.’ 


Pengurus besar unit setem pos, Ivor Masters memberitahu berita TV3 New Zealand, setem itu adalah barangan koleksi dan ia tidak akan dikoyakkan di bahagian tengah untuk diposkan. 


Simon O’Conner, pengerusi pertubuhan Monarki New Zealand menyifatkan setem itu sebagai amat pelik tetapi tidak bertujuan menghina. 


“Pihak monarki mempunyai kulit tebal dan mereka juga boleh bergurau mengenainya, kata O’Connor kepada akhbar New Zealand Herald,” katanya. 


Presiden kelab pengumpul setem New Zealand, Steven McLachlan, menjangka setem itu akan popular. 


“Penduduk di seluruh dunia akan membelinya dalam kuantiti banyak dan mereka akan menyukainya,” katanya. – AFP 

Berlusconi beri Ruby RM200,000


GAMBAR Berlusconi dan Karima daripada botol minuman di galeri Edward Cutler di Milan mulai 
6 April lalu.
GAMBAR Berlusconi dan Karima daripada botol minuman di galeri Edward Cutler di Milan mulai 6 April lalu.


PM Itali dakwa wang beli alat rawat bulu 
ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, buat pertama kali kelmarin mengaku memberi £40,000 (RM200,000) kepada penari remaja erotik yang menjadi tumpuan skandal seks untuk membeli peralatan laser membuang bulu bagi pusat kecantikan yang dirancang dibuka wanita itu.
Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu membantu Karima El Mahroug menjalankan perniagaan kerana bimbang kemiskinan dan kurangnya peluang bekerja akan membawa remaja terbabit ke kancah pelacuran.

Beliau juga berulang kali berkata, pada masa itu beliau menganggap gadis terbabit cucu Hosni Mubarak, bekas presiden Mesir. 


Tetapi, pembangkang politik menuduh beliau berbohong, mempersoalkan bagaimana seorang yang ada hubungan dengan pemerintah terkaya Asia Barat itu berisiko menjual diri bagi mendapat wang. 


“Beliau cuba menyesuaikan sesuatu yang tidak sesuai,” kata Anna Finocchiaro, ahli parlimen pembangkang dari Parti Demokratik. 


Berlusconi, 74, bercakap kepada wartawan ketika memasuki mahkamah di Milan bagi perbicaraan terhadap satu daripada tiga membabitkan rasuah dihadapi beliau ketika berhadapan kes pelacuran. 
Dalam perbicaraan seks yang bermula di bangunan mahkamah sama minggu lalu, beliau berhadapan dakwaan membayar khidmat seks dari bintang kelahiran Maghribi membabitkan 13 majlis di kediaman beliau di Milan dan cuba menutup hubungan melalui salah guna kuasa. 


Dakwaan menyatakan, ia berlaku antara Februari dan Mei tahun lalu, ketika gadis terbabit berusia 17 tahun, setahun kurang daripada usia boleh melacur di Itali, kesalahan yang boleh menyebabkan pemimpin itu dipenjara selama tiga tahun. 


Tetapi sebaik Berlusconi memasuki mahkamah, beliau sekali lagi menafikan melakukan hubungan seks dengan Karima yang lebih dikenali Ruby the Heart Stealer sebaliknya kasihan kerana gadis terbabit lari dari rumah. 


Beliau mengaku memberi berpuluh ribu euro untuk memenuhi keperluan gadis itu supaya tidak terjebak ke lembah pelacuran. 


Beliau mahu membantu mencari spa kecantikan yang diingini gadis itu dengan memberikan 45,000 euro bagi membeli mesin membuang bulu roma. 


“Gadis itu menceritakan kisah sedih kepada saya. Jadi, saya berikan beliau peluang membuka sebuah pusat kecantikan bersama seorang rakannya,” katanya. – Agensi 


Beliau mengulangi gesaan kepada polis di Milan supaya membebaskan remaja yang ditahan kerana mencuri pada Mei lalu kerana percaya Karima adalah cucu perempuan Mubarak dan bimbang sekiranya hubungan diplomatik dengan Kaherah terjejas. – Agensi 

Bencana di Fukushima, Chernobyl sama teruk








SEORANG lelaki diperiksa tahap pencemaran radioaktif di Koriyama, Fukushima, semalam.
SEORANG lelaki diperiksa tahap pencemaran radioaktif di Koriyama, Fukushima, semalam.
Pelepasan radioaktif diramal lebih meluas berbanding loji Ukraine
TOKYO: Jepun menetapkan krisis loji nuklearnya setanding dengan bencana atom paling teruk sebelum ini di Chernobyl, Ukraine, pada 1986, selepas menaikkan tahap serius daripada 5 kepada 7 dan satu lagi gempa bumi 6.3 skala Richter di timur Tokyo awal semalam tidak membantu keadaan.
Pada tahap 5, masalah loji Fukushima sama dengan insiden Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979 manakala tahap 7 membabitkan pelepasan radiasi besar-besaran dengan kesan meluas terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Tahap 5 adalah pelepasan terhad bahan radioaktif dengan beberapa kematian, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).


Belum ada kematian disebabkan radiasi dilaporkan sejak gempa bumi disusuli tsunami melanda Jepun sebulan lalu menyebabkan loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan bahan radioaktif manakala 21 pekerjanya jatuh sakit.


Selepas bahan radioaktif dilaporkan sampai di Amerika dan Eropah, Kementerian Sains Jepun menyatakan, bahan strontium, antara unsur radiasi paling bahaya, dikesan dalam kadar kecil dalam tanah dekat loji Fukushima.


Majlis Keselamatan Nuklear Jepun (NSC) dan Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA) menemui unsur radioaktif iodin-131 dan cesium-137 . 
Sejak krisis nuklear bermula, 500,000 terabecquerel radiasi dan iodin-131 dilepaskan ke udara, melebihi tahap minimum radiasi .


Angka itu melebihi tahap 7.


Menurut Skala Insiden Radioaktif, skala itu membabitkan berpuluh ribu terabecquerel iodin-131. Satu terabecquerel sama dengan satu trilion becquerel, satu ukuran radiasi.


Di Chernobyl, 5.2 juta terabecquerel radioaktif dilepaskan, 10 kali ganda dibandingkan Fukushima tetapi seorang pegawai mengakui loji nuklear Jepun akan mengatasi catatan itu jika pelepasan radiasi gagal dikawal.


Suruhanjaya nuklear negara itu juga mengeluarkan satu kiraan awal jumlah terkumpul pendedahan luaran kepada radiasi, mengatakan ia melebihi had setahun 1 milisievert di kawasan meliputi lebih 60 kilometer ke barat laut loji itu dan kira-kira 40 kilometer ke selatan-barat daya, lapor agensi berita Kyodo.


TEPCO sudah mengepam 10,400 tan air radioaktif paras rendah ke laut untuk mengosongkan kapasiti simpanan untuk air amat tercemar dari reaktor.


Dalam satu tindakan terdesak untuk menyejukkan batang bahan api amat radioaktif, TEPCO sudah mengepam air ke dalam reaktor, sesetengahnya yang mengalami peleburan sebahagian.


Namun strategi itu menghalang tindakan memulihkan sistem penyejukan dalaman loji ketika jurutera perlu memfokuskan bagaimana menyimpan 60,000 tan air tercemar.


Jurutera turut mengepam nitrogen ke dalam reaktor untuk membalas peningkatan hidrogen dan menghalang satu lagi letupan yang menyebabkan lebih banyak radiasi terbebas ke udara, namun mereka berkata risiko satu lagi insiden dramatik berkurangan dengan ketara sejak gempa 9.0 skala Richter melanda 11 Mac lalu. – Agensi,bharian

Tentera Syria kepung bandar Banias

NICOSIA: Pasukan keselamatan Syria mengepung bandar Banias yang menjadi medan tunjuk perasaan antikerajaan dan melepaskan tembakan rambang di perkampungan Baida berhampiran, menurut saksi. 
 "Pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata melepaskan tembakan secara rambang di kampung itu," kata seorang saksi menerusi telefon.
Pihak tentera pula mengepung bandar Banias yang terletak kira-kira  280 kilometer ke utara Damsyik dan penduduk bandar itu menghadapi kekurangan bekalan roti.
"Pasukan keselamatan terus menyerang Banias...Berlaku kekurangan bekalan roti di bandar ini manakala bekalan elektrik dipotong dan kebanyakan talian telefon juga dipotong," kata Anas al-Shuhri, seorang daripada pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan. 


Beratus orang juga dilaporkan ditahan. - AFP 

Mubarak di ICU selepas serangan jantung

KAHERAH:  Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital di Sharm el-Sheikh selepas mengalami serangan jantung ketika disoal siasat pihak pendakwaraya. 
"Bekas Presiden Hosni Mubarak dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Antarabangsa Sharm el-Sheikh selepas mengalami serangan jantung," menurut agensi berita rasmi MENA.
MENA melaporkan Menteri Kehakiman, Abdel Aziz al-Guindi, sebagai berkata pendakwaraya sebelum itu baru mula menyoal siasat  Mubarak dan anak lelakinya, Gamal.
Mubarak dimasukkan ke hospital itu pada jam 5 petang (1500 GMT). 


Televisyen Mesir melaporkan Mubarak enggan makan atau minum sejak mendapat berita beliau akan disoal siasat. - AFP 

Bapa Francesca Peter ditemui mati di rumahnya

DUNGUN 12 April - Bapa kepada penyanyi popular era 90-an, Francesca Peter iaitu Lucian Gaberial Peter, 78, ditemui mati di rumahnya di Taman Seri Dungun, di sini, malam tadi.
Lucian atau nama Islamnya, Muhamad Gaberial Peter Abdullah (gambar) ditemui jirannya, Rajasegaran, 31, dalam keadaan tertiarap di dalam rumah pukul 10.30 malam sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dungun.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa Muhamad Gaberial adalah bapa kepada penyanyi itu.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati, kematian dipercayai berpunca daripada penyakit asma yang dihidapi Muhamad Gaberial.
Jenazah Muhamad Gaberial kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, Francesca ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Dungun bersama dua lagi adiknya iaitu Bibyana Peter dan John Joseph Peter enggan mengulas lanjut mengenai kematian bapa mereka.
"Saya tak nak komen. Kalau boleh jangan ambil gambar, kerana saya sedang bersedih," katanya yang berada hampir sejam sebelum meninggalkan pekarangan bilik mayat itu bersama dua adiknya dengan sebuah kereta.
Difahamkan, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar New Straits Times(NST) sekitar 70-an dan telah menetap di Dungun sejak 10 tahun lalu.
Turut difahamkan, Allahyarham pernah tinggal di Kota Bharu, Kelantan sebelum berpindah ke Terengganu dan menetap di Dungun sehingga akhir hayatnya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Dungun, Adnan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan bahawa Allahyarham telah memeluk Islam pada 2007 di Kelantan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah di sini kira-kira pukul 2.30 petang.

Wanita Australia dibenar berperang

SYDNEY 12 April - Kaum wanita Australia tidak lama lagi akan dibenarkan berkhidmat di barisan hadapan pasukan ketenteraan, kata Menteri Pertahanan, Stephen Smith di sini hari ini.
Wanita sebelum ini dibenarkan memenuhi banyak jawatan dalam tentera, namun mereka dikecualikan daripada pasukan berbahaya termasuk pasukan khas dan raifal.
Smith berkata, keadaan itu mungkin berubah selepas pasukan pertahanan mengumumkan beberapa siri penilaian semula berhubung hak wanita yang dibangkitkan oleh satu skandal seks melibatkan seorang kadet wanita di akademi tentera elit Australia.
Beliau berkata, kedudukan tersebut sepatutnya ditentukan melalui kapasiti fizikal dan mental bukannya jantina, dalam usaha mengubah budaya ketenteraan yang didominasi lelaki. - AFP

50 Taliban sertai kerajaan

KANDAHAR 12 April - Kira-kira 50 pemberontak Taliban termasuk seorang yang mengaku dirinya ketua kumpulan tersebut berpaling tadah dan menyertai kerajaan di selatan Kandahar, hari ini, wilayah paling lama dikuasai puak militan.
Kumpulan 50 pemberontak tersebut yang dilengkapi senjata ringan dan mesingan tiba di pejabat kerajaan di daerah Panjwai, Kandahar sambil membawa bendera putih Taliban.
Menurut ketua kumpulan tersebut, Maolawi Abdul Aziz, mereka menyedari kerajaan bukanlah rejim boneka seperti yang dimaklumkan kepada mereka agar mereka melakukan penentangan.
Katanya, dia baru sahaja dilantik sebagai ketua kumpulan berkenaan di bahagian utara wilayah Kunduz. - Reuters

Ulang tahun ke-50 Yuri Gagarin ke angkasa



Pelajar-pelajar memegang gambar wajah angkasawan pertama Yuri Gagarin pada acara meraikan ulang tahun ke-50 penerbangan beliau ke angkasa di Barnaul, wilayah Altai, Rusia, semalam. - REUTERS


MOSCOW 12 April - Rusia hari ini menyambut ulang tahun ke-50 penerbangan bersejarah Yuri Gagarin ke angkasa lepas, satu pencapaian terbesar Kesatuan Soviet dalam kemajuan sains yang dikenang sebagai detik paling bermakna oleh rakyat negara ini.
Pada kira-kira pukul 9.07 pagi waktu tempatan pada 12 April 1961, Gagarin mengungkapkan perkataan 'mari berlepas' ketika roket Vostok dilancarkan dari Kazakhstan.
Selepas melalui perjalanan selama 108 minit yang membuatkan anak tukang kayu berusia 27 tahun itu dikenang sehingga kini, beliau melonjak keluar dari kapsul angkasa lepasnya dan mendarat menggunakan payung terjun di sebuah padang di wilayah Saratov, tengah Rusia.
Bermula dari saat itu, kehidupannya dan penjelajahan moden angkasa lepas mula berubah.
"Penerbangan Gagarin ke angkasa lepas adalah satu peristiwa paling bersejarah dalam kurun ke-20. Penjelajahannya telah membuka halaman baru dalam perkembangan manusia," kata Pengarah Agensi Angkasa Lepas Persekutuan Rusia, Anatoly Perminov.
Pemimpin-pemimpin moden Rusia menggunakan sambutan ulang tahun tersebut bagi mengingatkan rakyat negara ini tentang pencapaian lampaunya dan Presiden Dmitry Medvedev dijangka mengunjungi satu kawalan misi di luar Moscow bagi bertemu para angkasawan.
Ulang tahun penjelajahan Gagarin itu turut disambut seorang angkasawan yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bersama seorang pemuzik rock daripada kumpulan Jethro Tull di Bumi melalui satu persembahan muzik.
Menerusi satu persidangan video, angkasawan Cady Coleman dan penyanyi Ian Anderson mendendangkan lagu Bourree yang pernah dinyanyikan Jethro Tull pada 1969 semasa Neil Armstrong dan Buzz Aldrin menjelajah ke bulan.
White House juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Rusia atas sambutan ulang tahun tersebut. - AFP/dpa

Pengasas Facebook berjaya batal saman Wingklevoss

SAN FRANCISCO 12 April - Mark Zuckerberg berjaya membatalkan saman terhadapnya yang dikemukakan oleh rakan sekelasnya di Universiti Harvard yang menuduh beliau mencuri idea mereka untuk mencipta laman web terkenal, Facebook.
Rakannya Cameron dan Tyler Winklevoss yang merupakan pasangan kembar perlu menerima pampasan penyelesaian bernilai AS$65 juta (RM195 juta), berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pasangan kembar itu mendakwa perjanjian tersebut tidak adil kerana Facebook menyembunyikan maklumat daripada mereka ketika itu.
''Bagaimanapun, pasangan kembar Winklevoss merupakan perunding sofistikated dibantu oleh satu pasukan peguam.
''Winklevoss bukan pihak pertama yang mencabar Zuckerberg dan kemudian mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,'' kata Hakim Alex Kozinki ketika membuat keputusan.
Peguam pasangan pasangan kembar itu tidak mengulas mengenai keputusan tersebut.
Pasangan kembar setinggi 1.96 meter itu merupakan pendayung perahu di Sukan Olimpik di Beijing pada 2008 dan kisah hidup mereka bersama Zuckerberg diceritakan dalam filem The Social Network.
Pasangan kembar itu bersama Divya Narenda menubuhkan satu syarikat dikenali sebagai ConnectU ketika di Harvard.
Mereka mendakwa Zuckerberg mencuri idea mereka, namun Facebook menyangkal dakwaan itu.
Mereka bertiga kemudian bersetuju dengan pampasan bernilai AS$65 juta, namun mereka mendakwa berdasarkan penilaian dalaman yang tidak dinyatakan oleh Facebook, mereka sepatutnya menerima lebih banyak saham Facebook sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, - Reuters

Perancis bolehkan dedah payu dara, purdah haram



Nayet (tengah) dan Kenza Drider (kiri), keluar dari balai polis selepas ditahan kerana memakai purdah di Paris, semalam. – REUTERS


PARIS 12 April – Undang-undang pertama di dunia yang mengharamkan pemakaian purdah mula berkuat kuasa di Perancis semalam, bermakna wanita boleh mendedahkan payu dara di Cannes tetapi tidak boleh menutup muka di Champs-Elysees.
Dua wanita berpurdah ditangkap semasa menyertai satu protes di bandar raya ini hanya beberapa jam selepas pengharaman itu berkuat kuasa semalam, tetapi tidak jelas sama ada mereka turut didenda sebanyak AS$125 (RM645) di bawah undang-undang tersebut.
Demonstrasi yang diharamkan itu, di dataran berbatu menghadap gereja Notre Dame, penuh simbolik dengan sejarah zaman pertengahan Perancis dan semangat memberontak yang biasa ditunjukkan oleh warganya pada zaman moden.
Sesetengah pihak melihat pengharaman itu sebagai menandakan sentimen Islamofobia yang semakin menular.
Namun, kerajaan Presiden Nicolas Sarkozy mempertahankan undang-undang itu sebagai benteng yang melindungi identiti Perancis daripada ketidaksamaan dan fahaman pelampau.
Pengarah filem porno, Rocco Siffredi bersama pelakon porno di Cannes, Perancis, baru-baru ini. – REUTERS


Polis pula merungut, undang-undang baru itu sukar dikuatkuasakan.
“Undang-undang itu sangat jelas. Menyembunyikan muka anda di tempat awam menjadi sebab untuk dikenakan tindakan,” kata Menteri Dalam Negeri, Claude Gueant pada mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg, semalam.
Beliau berkata, pengharaman tersebut melindungi dua prinsip asas iaitu sekularisme dan prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita.
Undang-undang itu hanya akan menjejaskan kehidupan kira-kira 2,000 wanita Islam di Perancis yang memakai purdah (dikenali sebagai niqab di sini) dan burqa, tetapi ramai penduduk Islam melihatnya sebagai penghinaan terhadap agama mereka.
Walaupun mendapat sokongan meluas rakyat Perancis semasa diluluskan pada tahun lepas, undang-undang tersebut membimbangkan sekutu Paris, mencetuskan protes di luar negara dan melambangkan kesukaran negara ini untuk mengintegrasikan penduduk Islam yang berasal daripada kaum pendatang. – Agensi

PM Mesir arah siasat Mubarak

KAHERAH 12 April - Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf memberi jaminan tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak, walaupun pemimpin itu menafikan beliau dan keluarganya terlibat dengan rasuah.
Beliau mengulas kenyataan Mubarak kelmarin yang menafikan beliau menggunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan dan aset sepanjang memerintah Mesir selama tiga dekad.
Dalam satu kenyataan yang dirakam dalam satu pita audio, Mubarak, 82, turut bersetuju 'memberi kebenaran' kepada sesiapa untuk menyiasat hartanya berjanji akan menyaman mana-mana pihak yang cuba mencemarkan reputasinya.
Pendakwa raya awam Mesir, semalam mengarahkan bekas Setiausaha Agung parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Safwat Sherif ditahan selama 15 hari bagi soal siasat melibatkan rasuah.
Turut ditahan ialah bekas Speaker Dewan Rendah Parlimen, Fathi Sorour yang akan disoal siasat, esok atas dakwaan mengumpulkan harta secara haram.
Sherif dan Sorour merupakan orang kanan parti itu, pimpinan Mubarak yang juga pembantu rapatnya.
Sementara itu, Essam turut menyuarakan kekesalan atas tindakan kekerasan kerajaan terhadap penunjuk perasaan di sini pada hujung minggu lalu.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Kehakiman menyiasat kejadian tersebut.
"Semua pihak termasuk rakyat, tentera dan kerajaan kesal dengan insiden yang meragut dua nyawa pada Sabtu lalu," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.
Kumpulan hak asasi kemanusiaan menuduh tentera menggunakan kekerasan semasa cuba menyuraikan penunjuk perasaan pada awal pagi Sabtu lalu, beberapa jam selepas beratus-ratus ribu rakyat melancarkan protes di Dataran Tahrir, di sini.
Sumber perubatan melaporkan, 13 penunjuk perasaan cedera terkena tembakan, sementara dua yang lain maut ketika kejadian.
"Rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan bagi mengetahui kebenarannya, saya akan meminta Kementerian Kehakiman mengambil langkah perlu untuk memastikan tuntutan rakyat itu dipenuhi," katanya. - Reuters

Bencana tahap Tujuh



KANAK-kanak tadika berlindung di bawah meja masing-masing di sekolah mereka ketika satu lagi gempa bumi melanda di Onagawa, Miyagi, semalam. - AFP


TOKYO 12 April - Jepun meningkatkan tahap bencana nuklear ke tahap tertinggi hari ini, meletakkannya pada kedudukan sama dengan insiden nuklear terburuk dunia di Chernobyl, selepas satu lagi gempa bumi melanda timur negara ini, semalam.
Jurutera gagal membaiki sistem penyejuk reaktor yang penting di loji tenaga nuklear Fukushima bagi menurunkan suhu rod yang panas, menunjukkan usaha mengawal kerosakan masih gagal, walaupun kebakaran di bangunan itu berjaya dipadamkan.
Rating kemalangan di loji nuklear Fukushima Daiichi ditingkatkan daripada tahap lima kepada tahap tujuh yang merupakan tahap paling buruk mengikut skala antarabangsa.
Jepun menyatakan tahap terbaru itu menggambarkan keadaan teruk pada permulaan krisis itu dan bukan situasi terkini.
''Ini adalah penilaian awal dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),'' kata seorang pegawai Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA) yang membuat pengumuman bersama Suruhanjaya Keselamatan Nuklear.
Pakar industri nuklear, Murray Jennex yang merupakan seorang profesor madya di Universiti San Diego, California menyangkal perbandingan berkenaan.
''Ia tidak menghampiri tahap itu. Kejadian Chernobyl sangat teruk, ia meletup dan mereka tidak dapat membendung penyebaran nuklear. Mereka (Jepun) berjaya mengawal keadaan dan hanya kolam tenaga sahaja yang terbakar,'' katanya.
Kejadian Tahap Tujuh menunjukkan pembebasan radiasi yang memberi kesan kepada kesihatan dan alam sekitar, manakala Tahap Lima yang kini diklasifikasikan di Fukushima melibatkan pembebasan bahan radioaktif terhad dengan beberapa kematian akibat radiasi, menurut IAEA.
Berita mengenai kebakaran di loji tenaga nuklear Fukushima dilaporkan berlaku hanya beberapa minit selepas gempa bumi sekuat 6.3 pada skala Richter melanda di perairan Chiba, 77 kilometer dari Tokyo.
NISA berkata, gempa bumi semalam yang mengakibatkan tiga maut dan menyebabkan bekalan elektrik ke 220,000 buah rumah terputus, tidak merosakkan loji tenaga nuklear tersebut.
Beberapa ratus gempa bumi susulan berlaku sejak 11 Mac lalu apabila gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun diikuti tsunami setinggi 10 meter. - Reuters

Peroleh RM211,955 kerana video di YouTube


ROB HOMAYOON menunjukkan cara-cara untuk membuat origami di laman YouTube.


GERMANTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelajar pergigian Universiti Temple di Philadelphia, AS, Rob Homayoon menyatakan dia sudah memperoleh pendapatan sebanyak AS$70,000 (RM211,955) sejak 2008 dengan menghasilkan klip video origami di laman YouTube di Internet, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Homayoon, 25, yang tinggal di sini, Pennsylvania menghasilkan klip video mengenai cara untuk membuat origami daripada kertas dari apartmennya.
Origami merupakan kaedah melipatkan kertas untuk menghasilkan pelbagai bentuk seperti burung.
Dia memperoleh pendapatan itu menerusi satu perjanjian dengan YouTube yang menjual iklan.
Menurutnya, dia memperoleh 80 peratus daripada jualan iklan dan Google yang memiliki YouTube memperoleh 20 peratus.
"Semasa (video) saya bermula, saya memperoleh AS$100 (RM302.85) dan saya berpendapat saya boleh menggunakannya untuk wang minyak saya. Kemudian ia meningkat kepada AS$400 (RM1,211) dan AS$600 (RM1,817) dan pada akhirnya saya memperoleh AS$1,000 (RM3,028) dan kemudian AS$2,000 (RM6,057).
"Salah satu cek saya mengandungi lima angka. Ia berlaku pada Disember lalu, empat bulan lalu," kata Homayoon.
Video klip Homayoon kini dimuat naik sebanyak 29.4 juta dan rangkaian klip videonya di YouTube mempunyai 64,000 pelanggan. - Agensi