Pages

Tuesday, November 2, 2010

Tembusi terowong terpanjang di Asia




PARA pekerja mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya meletupkan batu ketika majlis penembusan Terowong Berkembar Berapit bagi PLBE di Padang Rengas, Kuala Kangsar semalam.


PADANG RENGAS - Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar mencatat sejarah tersendiri apabila bahagian terakhir Terowong Berkembar Berapit (TBB) sepanjang 3.3 kilometer yang dibina di sini berjaya ditembusi semalam.
Bagaimanapun pembinaan TTB yang merupakan terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara itu akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sehingga semalam pemaju projek terbabit, MMC-Gamuda JV berjaya menyelesaikan 70 peratus kerja-kerja pembangunan terowong berkenaan manakala bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat.
"Pembinaan terowong ini bermula pada 4 Oktober 2009 menggunakan konsep berkembar dengan satu landasan setiap satu, serta pembinaan sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan.
"Baki 30 peratus pembinaan terowong ini merangkumi kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan melengkapkan sistem bahkan kita yakin ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

MAS terima B737-800 pertama




MUNIR (kanan), Azmil (lima dari kanan) bersama para pegawai kanan MAS bergambar di sisi pesawat Boeing 737-800 di Subang semalam.


SUBANG - Malaysia Airlines (MAS) semalam menerima pesawat pertama Boeing 737-800 iaitu pesawat Boeing 737 generasi baru yang diterbangkan dari Seattle, Amerika Syarikat dengan identiti yang lebih dinamik dan mempesonakan.
Pengerusi MAS, Tan Sri Munir Majid berkata, pihaknya menempah sebanyak 55 buah pesawat jenis itu dengan tiga daripadanya dijadualkan diperoleh pada tahun ini manakala bakinya akan dihantar secara berperingkat-peringkat mulai tahun depan.
Menurut beliau, pesawat Boeing 737-800 itu akan melakukan penerbangan sulungnya ke Kota Kinabalu diikuti dengan penerbangan komersial dari Kota Kinabalu ke Haneda, Tokyo pada 15 November ini.
"Melalui pesawat ini, kesemua penumpang tak kira dalam kelas ekonomi atau bisnes akan menikmati infrastruktur yang menakjubkan.
"Kita menyediakan reka bentuk dan suasana yang lebih kondusif selain menyediakan sistem audio dan kelengkapan Video on Demand (VOD) dan banyak lagi," katanya.

Wanita tak boleh jadi juruwang





2010/11/02

Ulama Arab Saudi keluarkan fatwa 

RIYADH: Majlis Ulama Arab Saudi dilaporkan meluluskan fatwa yang melarang wanita menjadi juruwang atau terbabit dalam aktiviti perniagaan kerana ia melanggar sekatan terhadap percampuran lelaki dan wanita di negara terbabit.
Anggota jawatankuasa itu berkata, mereka menjelaskan dalam keputusan berkenaan kelmarin bahawa percampuran antara jantina adalah dilarang dan wanita tidak sepatutnya bekerja di tempat mereka akan menemui lelaki.
Keputusan itu dikeluarkan selepas seorang penceramah konservatif dibidas Ogos lalu kerana melanggar sekatan kerajaan terhadap perbuatan mengeluarkan fatwa apabila menggesa orang ramai memboikot pasar raya yang mengambil wanita sebagai juruwang. 

Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah cuba mengurangkan ideologi terlampau konservatif sebagai usaha beliau untuk memodenkan negara terbabit. Tetapi, usahanya dicabar oleh ulama berpengaruh yang memainkan peranan penting di negara itu. 

Beberapa reaksi di laman web menunjukkan umumnya penduduk awam tidak menyokong keputusan ulama berkenaan. 

Seorang warga tempatan memperkenalkan diri sebagai Emad memberi ulasan sinis dengan berkata: “Keputusan itu bagus kerana tiada lagi pengemis wanita di tepi jalan, tiada lagi amah, tiada lagi kedai mengambil wanita sebagai pekerja kerana mereka akan bertemu lelaki.” 
Hantar saja semua wanita ke sebuah pulau tanpa penghuni kerana mereka pasti tidak akan berjumpa lelaki, katanya lagi. 

Seorang lagi pengulas, Amina menyifatkan anggota majlis berkenaan sebagai golongan ‘pelampau lelaki.’ 

“Di seluruh dunia khususnya di Barat, wanita boleh hidup bebas mengikut hak yang diberi tuhan kecuali di dunia Islam dan khususnya di Arab Saudi. – Agensi 
“Wanita ada di mana-mana saja dan lebih baik daripada lelaki dalam pekerjaan. Mungkin itulah sebabnya mereka risau,” katanya. 

Seorang lagi pengulas ialah Hazem Abussaud yang berkata: “Membuat keputusan memang mudah. Jika tokoh itu serius, mereka boleh beri wang gaji sendiri untuk wanita yang menganggur sedangkan golongan itu hanya mahu bekerja bagi mencari nafkah halal?”. 

Anggota Majlis Ulama Saudi yang dilantik Raja untuk penggal empat tahun, sebelum ini pernah dikritik kerana mengeluarkan fatwa yang dianggap tidak sejajar dengan keperluan moden. 

Kerajaan biasanya tidak campur tangan apabila fatwa dikeluarkan tetapi seorang anggotanya pernah digugurkan pada 2009 selepas mengkritik penubuhan universiti untuk pelajar lelaki dan wanita. 

Seorang lagi ulama, Sheik Saleh al-Lihedan dipecat sebagai ketua Majlis Kehakiman Agung kerana mengeluarkan fatwa membenarkan pemilik televisyen satelit dibunuh jika menyiarkan program ‘tidak bermoral.’ - Agensi

China sabotaj Ratu Norway





2010/11/02

MILLS dinobat pemenang Ratu Dunia 2010. Gambar kiri, Mariann Birkedal
MILLS dinobat pemenang Ratu Dunia 2010. Gambar kiri, Mariann Birkedal
Pertelingkahan diplomatik punca jelitawan Oslo tak menang 

SANYA: Pertandingan Ratu Dunia (Miss World) di sini diselubungi kontroversi kelmarin selepas peserta yang dianggap pilihan utama dari Norway untuk menang gagal merangkul takhta disebabkan pertikaian diplomatik Beijing dan Oslo.
Remaja Amerika Syarikat, Alexandria Mills, 18, diisytihar pemenang pertandingan itu yang menyambut ulang tahun ke-60, malam Sabtu lalu.
Tetapi, kemenangan Mills tercemar dengan dakwaan bahawa pilihan utama, Mariann Birkedal gagal mara ke pusingan akhir kerana disekat oleh penganjur tuan rumah, China, lapor akhbar Britain, Daily Mail. 

Pertandingan itu disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dan diikuti kira-kira satu bilion penonton. 

Pemerhati terkejut selepas jelitawan Norway, Birkedal, 23, yang juga pilihan utama untuk menang, tidak langsung berada dalam senarai lima ratu ke pusingan akhir. 

Laporan menyatakan, hakim akur kepada tekanan Beijing yang terbabit dalam pertelingkahan diplomatik dengan Oslo.
China berang selepas jawatankuasa Hadiah Keamanan Nobel di Oslo memberi anugerah itu kepada penentang kerajaan, Liu Xiaobo awal bulan ini. 

Sebelum keputusan diumumkan, Ratu Norway itu dilihat sebagai hampir pasti menang bukan Mills. 

Kathrine Sorland, personaliti televisyen Norway yang menduduki tempat ke-4 dalam pertandingan pada 2002, percaya kemarahan China terhadap keputusan jawatankuasa Nobel menjadi sebab Mills menang. 

“Saya yakin dia (Birkedal) akan menang. Mereka tentu buat keputusan kerana politik. Tanpa membuat sebarang kesimpulan, saya mahu tekankan bahawa pertandingan ini selalu dipengaruhi faktor politik. Kebetulan pula hubungan China dan Norway agak tegang pada masa ini,” katanya. – Agensi

Beruntungnya menjadi wanita Islam!


ISLAM MENGANGKAT DARJAT WANITA

Mengutamakan ibu ke atas bapa.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?”

Baginda menjawab, “Ibumu!”

Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bapamu!” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak perempuan menjadi penyelamat di akhirat.
“Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat Bukhari) Begitu juga bagi mereka yang mempunyai satu atau lebih anak perempuan.

Wanita bukan hamba lelaki tetapi setaraf dari segi nilai kemanusiaan bagaikan adik beradik.   
   
“Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Abu Daud)

Amal soleh wanita diiktiraf oleh Allah sebagaimana amal soleh lelaki diiktiraf.
 “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.” (Surah al-Nisa’: 124)

Hak wanita diiktiraf.
Umar al-Khattab r.a. berkata, “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

sumber: Solusi25, mukasurat 70 dalam ruangan Info

PERBUALAN SEORANG BAYI SEBELUM KELAHIRANNYA


 Baca dan hayati kisah di bawah ini. Fahami mesej yang cuba disampaikan. Dan paling penting, amalkan ilmu yang anda dapat.


Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.
  •  Bayi  itu bertanya kepada Tuhan : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah.”
Tuhan menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”
  • Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”
Tuhan menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”
  • Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”  
  • Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”
  • Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di  Bumi  banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’
  • Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.
  • Dan sang bayi bertanya perlahan : “Tuhan, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah  Kamu  khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”
Tuhan menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”.  Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat. 

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu. Sucikanlah 4 perkara dengan 4 perkara :
  1. Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan
  2. Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu
  3. Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Robb mu
  4. Dosa-dosa mu yang lalu dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu
 Sekian, semoga dapat sikit sebanyak manfaat daripada coretan ini.

Balasan...Melewatkan Waktu Solat


 

بسم الله الرحمن الرحيم       

Suatu cerita yang telah berlaku beberapa tahun dulu di Makkah …Kisah Benar … kisah yang boleh kita renungkan bersama   serta jadikan panduan   dalam diri kita ini. Kisah yang anda baca ini bukannya datang dari majalah Mastika  atau majalah2 tabloid tetapi kisah dari tanah perkuburan Sa’raya, Makkah.

Pada beberapa tahun dahulu ada seorang perempuan yang berumur 40an telah meninggal dunia. Mereka telah mengusung jenazah beliau untuk dikebumikan di tanah perkuburan Al Ma’ala yakni lebih kurang 2 kilometer   dari Masjidil Haram selepas solat zuhur. Apabila sampai sahaja di tanah perkuburan tersebut, alangkah terperanjatnya mereka bila mendapati se ekor ular  yang berwarna Hitam  sebesar peha bersisik tebal telah berada  di dalam liang lahat (dalam kubur tersebut). Subhanallah … keadaan ular tersebut amat menggerukan. Mereka pun terus berlalu dari situ dan membawa jenazah wanita tersebut ke tanah perkuburan yang lain   yakni di tanah perkuburan Sa’raya lebih kurang setengah jam  memandu dari situ (8 km Jauhnya)  . Apabila mereka sampai di tanah perkuburan tersebut, rupa-rupanya Ular Hitam yang sama juga telah menunggu jenazah wanita yang ingin dikebumikan di situ. Allahuakbar … mereka mengambil keputusan untuk memindahkan  serta mengangkat ular  tersebut dan letakkan di luar yakni berjauhan sedikit   dari kawasan tersebut dan mengkebumikan jenazah wanita  itu (yang peliknya Ular Hitam  itu tidak melakukan apa-apa bila disentuh oleh mereka). 

Selepas sahaja mereka mengkebumikan mayat wanita itu, tiba-tiba Ular Hitam yang diletakkan berjauhan dari situ terus datang menjalar dengan pantas dan masuk  meluru ke dalam kubur wanita itu. MasyaAllah (seperti menjunam kedalam swimming pool dari atas – keadaan sewaktu ular itu masuk ke dalam kubur). Dengan beberapa seketika mereka mendengar bunyi seperti dahan-dahan pokok yang dipatah patahkan dan apabila mereka melihat ke dalam kubur wanita tersebut, alangkah terperanjatnya kerana Ular Hitam sedang membelit jenazah wanita itu serta mematah matahkan tulang jenazah  itu … Subhanallah.Ada beberapa orang yang berada di persekitaran kubur itu turut pengsan melihat kejadian itu. Selepas diselidiki kenapa perkara tersebut boleh terjadi, rupa-rupanya sewaktu hayatnya, wanita tersebut suka melewat lewatkan Solatnya.

Marilah kita ambil iktibar dan pedoman dari kejadian ini. Semoga Allah swt kuatkan iman kita dalam mendirikan solat 5 waktu daripada gangguan syaitan dan iblis insyaAllah. Ini baru seksaan di dunia akibat melewatkan solat….Bagaimana kalau tak solat…..


Madu lebah asli ‘diburu’





Pencari madu lebah sedang membuat tinjauan di sebatang pokok yang terdapat sarang lebah di dalam hutan di Kampung Paya Pulai, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.


TEMERLOH 1 Nov. – Tempoh antara April hingga ke hujung tahun sememangnya dinanti-nantikan oleh sekumpulan anak muda di sini kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan dengan memburu madu lebah asli.
Sekumpulan tujuh anak muda dari Kampung Paya Pulai di sini yang diketuai Azman Mansor, 32, dibantu enam rakan lain iaitu Mohd. Redza Abdul Ghani, 44, Mohd. Khairudin Mat Zaini, 40, atau ‘Mat’, Yuszaime Abu Samah, 31, Azahari Omar, 34, dan Ahmad Bakhtiar Ishak, 30, juga tidak ketinggalan dalam aktiviti itu.
Turut sama ialah Ishak Abu Bakar, orang lama yang selesa dengan panggilan Pak Teh Li. Kumpulan itu terdiri daripada mereka yang pakar dalam selok-belok hutan dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam aktiviti mencari madu lebah.
Persediaan untuk mengambil madu perlu dilakukan dengan teliti kerana proses mencari sarang lebah bermula dengan mengikut jejak lebah yang keluar mencari makanan.
Azman ketika ditemui mendedahkan, teknik pencarian sarang lebah yang sempurna adalah antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi kerana waktu itu adalah paling mudah untuk melihat kawanan lebah keluar mencari makan.
Menurutnya, kawanan lebah akan mula mendapatkan makanan daripada ribuan jenis bunga termasuklah bunga kelapa sawit, bunga durian, rambutan dan bunga pokok-pokok hutan yang biasa terdapat di kampung.
“Lebah ini akan dijejak dari satu bunga ke satu bunga hingga akhirnya membawa saya ke sarang. Proses ini memerlukan kesabaran kerana kami perlu mengikut ke mana sahaja ia pergi.
“Pernah saya berjalan mengikut jejak lebah ini sehingga satu kilometer jauhnya dan berpusing-pusing dalam hutan,” katanya.
Tambah Azman, apabila dapat menjejak sarang, barulah kumpulannya menyediakan peralatan asas seperti baldi, tali, lampu picit, pisau untuk mengambil madu.
Menurutnya, untuk menghalau lebah, dia menggunakan kulit pokok kenanga sebagai alat utama bagi mengasap lebah dan alat yang dipanggil ‘karuk’ atau ‘suluh’ itu tidak dijual sebaliknya memerlukan kemahiran membuatnya sendiri.
Kulit kayu Kenanga dipilih kerana baranya tidak mudah padam dan sentiasa mengeluarkan asap. Apabila sarang lebah ditemui, peralatan cukup disediakan, maka tiba masa mengambil madu lebah.
Penulis turut dipelawa mengikuti proses mengambil madu lebah diketuai Azman dan rakan-rakannya dan lokasi mengambil madu lebah kali ini agak jauh ke dalam hutan.
Kebetulan pada hari yang sama dua sarang lebah dikenalpasti dan akan diambil secara serentak.
Selepas berkumpul kira-kira setengah jam di rumah Azman di Kampung Paya Pulai kira-kira jam 9.30 malam, kumpulan itu bergerak menaiki motosikal ke hujung kampung.
Sebaik sampai, kerja dilakukan dengan pantas dan Azman memberi isyarat untuk mula memanjat pokok dengan berpaut pada lilitan akar di sekeliling pangkal batang pulai bersaiz kira-kira tiga pemeluk itu.
Mereka mendakwa, kawanan lebah itu tidak akan menyerang tetapi dengan syarat, jangan pasang lampu suluh terlalu lama dan jika dihinggapi, jangan ditampar atau dikuis sebaliknya biarkan sahaja.
Tak sampai lima minit, Azman sudah sampai di atas pokok lebih tinggi dari kedudukan sarang lebah itu yang jaraknya kira-kira tiga meter dari tanah. Tidak lama selepas itu karuk dinyalakan, diasapkan ke sarang dan diketuk-ketuk pada sarang.
Bara api yang jatuh dikejar ribuan lebah, saat itu paling mencemaskan apabila mendengar deruan lebah memenuhi sekeliling kumpulan tersebut yang berada dalam lingkungan kira-kira 3 meter dari sarang.
Kurang dari lima minit, Azman mengambil pisau dan menoreh madu lebah itu perlahan-lahan dan dimasukkan ke dalam baldi.
Proses menapis madu dilakukan semalaman sebelum dimasukkan ke dalama dibotolkan.
Azman seterusnya berkata, madu lebah asli menjadi buruan kerana harganya kini mencecah RM70 bagi 600 gram di pasaran Temerloh. Harganya akan meningkat sehingga RM100 apabila tiba di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Tambahnya, tahun ini sahaja, dia telah mengumpul lebih 4.8 kilogram madu lebah asli daripada 38 sarang lebah yang diambilnya.
Menurutnya, dia tidak pernah menjual di luar, sebaliknya pelanggan yang datang ke rumah kerana sudah mengenalinya sebagai pencari madu lebah asli.
“Sebenarnya kerja mengambil madu lebah asli ini kadang-kala boleh menjadi bahaya jika tidak diikuti beberapa petua dan pantang larang,” jelasnya.
Katanya, musim madu lebah asli akan berakhir penghujung tahun dan ketika itulah madu lebah asli pokok tualang akan muncul dengan banyak.
“Mencari madu lebah asli tualang bagi saya lebih mudah berbanding mengambil madu lebah biasa. Walaupun terpaksa memanjat hingga ke puncak pokok tualang, kerja yang dilakukan sangat berbaloi.
“Biasanya kalau pokok tualang yang mempunyai 20 sarang ke atas barulah kami panjat, kalau tidak, kerja kami tidak berbaloi,” katanya.
Bagi mereka yang inginkan madu lebah asli boleh datang terus ke rumah Azman di Kampung Paya Pulai atau menghubunginya 019-9332471.

Pukau: Hati-hati lelaki berkopiah



RAKAMAN kamera litar tertutup di sebuah bank yang menunjukkan seorang lelaki berkopiah yang didakwa memukau seorang peniaga sehingga kerugian RM2,100 di Shah Alam, baru-baru ini


SHAH ALAM 1 Nov. - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik seorang lelaki berkopiah berusia lingkungan 50-an yang disyaki memukau mangsa ketika mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) di bandar raya ini.
Dalam kejadian terbaru, seorang pengusaha kedai runcit mendakwa menjadi mangsa pukau lelaki itu ketika mendepositkan wang hasil perniagaannya berjumlah RM5,000 di sebuah bank di Seksyen 14 di sini.
Ketika kejadian, mangsa mendakwa dia tiba-tiba ditepuk dari belakang oleh seseorang dan sebaik sahaja dia menoleh, seorang lelaki berpakaian kemas menegurnya konon cara dia memasukkan wang itu salah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa kemudian menyerahkan wang sejumlah RM5,000 kepada suspek sebelum ia dikembalikan semula kepada mangsa.
Menurut beliau, mangsa kemudian memasukkan semula wang itu ke dalam mesin deposit tanpa menyedari bahawa wang itu sudah berkurangan.
"Apabila transaksi berjaya, mangsa mendapati jumlah yang tertera pada resit hanya RM2,900 manakala baki RM2,100 sudah lesap.
"Ketika itu, mangsa mendakwa terdapat dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang melindung perlakuan suspek daripada dilihat orang ramai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noor Azam memberitahu, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di bank tersebut, polis mendapati seorang lelaki berkopiah putih dan dua lagi rakannya berada di belakang mangsa ketika kejadian.
Beliau menyeru orang ramai agar berhati-hati jika ingin mendepositkan wang, lebih baik pergi ke kaunter jika ingin memasukkan wang dengan jumlah yang banyak kerana kes seumpama itu kerap berlaku.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memberikan wang kepada orang yang tidak dikenali.
Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Sarjan Fuzi Daud di talian 03-55102222 bagi membantu siasatan.

Merapi hambur ‘awan panas’ penduduk bertempiaran lari





Seorang sukarelawan menunjukkan arah jalan kepada penduduk yang meninggalkan kampung mereka setelah Gunung Merapi di Cakringan, Yogyakarta, Indonesia terus menghamburkan ‘awan panas’ dan debu awal pagi semalam. – AP


YOGYAKARTA 1 Nov. – Kepulan ‘awan panas’ atau disebut ‘wedhus gembel’ bergulung-gulung keluar dari kawah Gunung Merapi menyebabkan orang ramai panik lalu bertempiaran lari menyelamatkan diri pagi ini.
Letusan yang lebih besar berbanding kejadian pertama pada 26 Oktober itu berlaku pada pukul 10.10 pagi ini ketika kebanyakan penduduk di sekitar Sleman, Klaten, Magelang, Boyolali pulang ke rumah masing-masing bagi melihat haiwan ternakan masing-masing.
‘Awan panas’ itu dilihat melepasi Bukit Kendil dan Gunung Merbabu yang terletak berhampiran Gunung Merapi – situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Visual yang ditayangkan oleh TvOne dari Magelang dan Kaliurang menunjukkan letusan yang cukup besar sehingga mengepul setinggi 7,000 meter.
Di Magelang 400 pelajar sekolah bertempiaran lagi setelah debu panas tiba-tiba menyelubungi kawasan sekolah berkenaan.
Sehingga tengah hari, kepulan ‘awan panas’ Merapi masih mengepul dan kelihatan semakin menebal serta kehitaman menuju ke arah utara dan timur laut.
Di kota Yogyakarta, jalan di Kaliurang menjadi sesak kerana dipenuhi oleh kenderaan orang ramai yang meninggalkan kawasan berkenaan kira-kira 20 kilometer dari Gunung Merapi.
Situasi panik itu menyebabkan kesesakan lebih teruk apabila ada kenderaan yang seolah-olah tidak tahu ke mana hendak dituju.
Bunyi siren kenderaan penyelamat yang hilir mudik dari kawasan bencana letusan ke pusat pemindahan mangsa bencana alam itu, menambah hingar-bingar.
Setakat ini 35 orang terbunuh dalam bencana yang berlaku pada 26 Oktober lalu termasuk juru kunci Merapi, Mbah Maridjan dan wartawan VIVAnews.com, Yuniawan Wahyu Nugroho. Yuniawan terbunuh ketika cuba memujuk penjaga Gunung Merapi itu turun menyelamatkan diri. – Utusan

Mangsa nahas ngeri di Setiu dikebumikan


Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bual, Pasir Akar, Besut, semalam.

BESUT 1 Nov. – Empat sekeluarga termasuk seorang bayi yang terbunuh dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan van di Kilometer 67.5 Jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bual, Pasir Akar dekat sini hari ini.
Jenazah Noorazrydyelwy Sidek, 32, bersama adiknya, Noorazry Elmy, 29, Noor Afzan Efizalman, 16, serta bayi perempuan Noorazry Elmy, Noor Amysha Maisarah, 1, dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 1.30 petang ini.
Isteri kepada Noorazry Elmy, Che Marina Awang, 23, yang kehilangan suami dan bayinya serentak, tidak dapat menahan perasaan namun reda dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu.
“Saya kini kehilangan tempat bergantung dan anak untuk bermanja selain dua orang ipar.
“Buat sementara ini saya akan berpindah ke rumah ibu saya yang berada tidak jauh dari rumah mertua serta mencari pekerjaan,” ujar suri rumah itu ketika ditemui di tanah perkuburan tersebut petang ini.

Blaine tabik Houdini

WAJAH ahli silap mata terkenal de�ngan aksi jalanannya, David Blaine, tiba-tiba mengukir senyuman sebaik saja diberi peluang istimewa menjenguk kha�zanah tokoh dikaguminya, Harry Houdini, di New York, minggu lalu.
Kurator Muzium Yahudi di bandar raya itu memberi kebenaran khas kepada Blaine untuk melihat pelbagai barangan ahli silap mata terkenal itu serta memberi penghormatan kepadanya.
Harry Houdini - atau nama sebenarnya, Erik Weisz, lahir di Hungary pada 24 Mac 1874 dan mati pada 31 Oktober 1926 adalah tokoh silap mata terulung dalam sejarah ke�rana pelbagai kemampuan sensasinya melepaskan diri daripada pelbagai hala�ngan.
BELAJAR DARIPADA GURU...bersama tong susu berkunci yang pernah menjadi tempat Houdini dikunci seketika sebelum berjaya melepaskan diri.
BELAJAR DARIPADA GURU...bersama tong susu berkunci yang pernah menjadi tempat Houdini dikunci seketika sebelum berjaya melepaskan diri.


Mengenai pengalaman istimewa itu, Blaine berkata, dia teruja dan amat kagum dengan pelbagai barangan silap mata pernah digunakan Houdini itu.

“Saya pasti Houdini akan gembira melihat pameran ini jika dia masih hidup,” katanya.
Antara barangan dipamerkan di muzium itu adalah potongan filem rakaman hitam putih aksi Houdini, poster promosi asal mengenai persembahannya serta beberapa peralatan pernah digunakan dan mengagumkan berjuta-juta penonton, seperti gari, rantai tangan dan kaki, straitjacket (baju untuk dipakaikan kepada orang gila), tong susu dan kotak kayu.

Tidak ketinggalan, peralatan terkenalnya, Sel Seksaan Air serta jarum berbenang yang pernah ditelan dan ditarik semula melalui mulutnya.

Kata Blaine, 37, dia ba�nyak terhutang budi kepada Houdini sehingga membolehkan dia mencipta nama besar di peringkat antarabangsa.

Katanya, antara helah yang selalu membingungkan orang ramai serta polis adalah kemampuannya membuka gari.

“Polis rasa tercabar melihat saya membuka gari seperti anda membuka pintu rumah,” katanya.

Walaupun lahir di Hungary, Houdini dibawa keluarganya berpindah ke Wisconsin di AS ketika masih kanak-kanak.

Houdini meninggal dunia ketika berusia 52 tahun apabila helah silap mata�nya - dia ditumbuk di perut - tidak menjadi seperti diharapkan.

Helah itu bertukar menjadi tragedi apabila apendiks Houdini dipercayai pecah akibat tumbukan ber�kenaan.

Namun, kesahihan me�ngenainya tidak pernah diperoleh apabila tiada bedah siasat dijalankan ke atas mayat Houdini.

Sesetengah pihak mendakwa, kematian itu sengaja direka, manakala ada pihak lain mengesyaki Houdini sebenarnya menjadi mangsa pembunuhan.

Turut mendapat tempat, dakwaan Houdini kononnya diracun pengamal ilmu hitam selepas dia mempertikaikan kemampuan golongan itu berhubungan dengan roh orang mati.

Antara pihak yang disyaki adalah penulis cerita Sherlock Holmes dan orang yang bersimpati terhadap pengamal ilmu hitam, Sir Arthur Conan Doyle.

Sebuah biografi berjudul The Secret Life of Houdini (diterbitkan pada 2006) sekali lagi mengungkit isu berkenaan dan berjaya meyakinkan sesetengah pihak mengenai dakwaan meracun itu.

Walaupun Houdini memandang serius ancaman maut daripada pengamal ilmu hitam itu, dia sentiasa mengembara dari satu tempat ke tempat lain tanpa kawalan keselamatan sepatutnya.

Biasanya, Houdini hanya ditemani isterinya, Bess.

Justeru, pemerhati berpendapat, bukan sesuatu yang sukar untuk meracun tokoh silap mata itu de�ngan keadaan kawalan keselamatan yang begitu longgar.

Dikenali sebagai pakar silap mata yang licik, Blaine selalu mencipta kejutan hasil inspirasi daripada Houdini.

Aksi berani mati pertamanya - ditanam hidup-hidup selama tujuh hari - dilakukan selepas mendapat restu daripada cucu Houdini.

Lagak ngeri lain pernah dilakukan Blaine adalah dikurung dalam ketulan ais, berdiri di atas tiang se�tinggi 30.5 meter serta ‘dilemaskan’ dalam air selama beberapa hari.

Blaine juga pernah menghabiskan masa 44 hari tergantung dalam kotak yang disambung kepada kren bersebelahan Sungai Thames di London pada 2003.

Kali terakhir Blaine beraksi adalah pada 2008 apabila dia melakukan pertunjukan Dive Of Death yang menampilkannya digantung terbalik selama 60 jam tanpa sebarang ja�ring keselamatan di Central Park, New York.

Monday, November 1, 2010

Kapal persiaran nyaris rempuh jambatan




KAPAL Allure of the Seas nyaris merempuh sebuah jambatan di Pulau Fuenen, Denmark kelmarin.


PULAU FUENEN, Denmark - Sebuah kapal persiaran yang dikenali sebagai The Allure of the Seas bernilai AS$1.6 bilion (RM4.97 bilion) sebesar empat padang bola sepak nyaris mengenai jambatan Store Belt di sini kelmarin.
Jambatan yang menghubungkan Pulau Fuenen dan Zealand di Denmark itu cuma 30 sentimeter lebih tinggi daripada kapal yang melalui di bawahnya selepas ia belayar keluar dari sebuah limbungan di Turku, barat Finland.
Kapal itu sepanjang 361 meter dan lebar 66 meter kapal itu boleh membawa 6,360 penumpang dan anak kapal seramai 2,100 dari 65 buah negara.
Ia dijangka tiba di Pelabuhan Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Kapal itu mempunyai kemudahan spa, dewan menari setinggi dua dek, pawagam 1,380 kerusi, beberapa buah kolam, gimnasium, bar, restoran, kafe dan pusat beli-belah yang dihiasi dengan barisan pokok.
Pelayaran sulungnya akan bermula lewat tahun ini. - Agensi

Tunggang gajah tengok badak sumbu




BEBERAPA pelancong menunggang dua ekor gajah untuk melihat badak sumbu di pusat pemuliharaan hidupan liar Pobitora di India semalam.


GAUHATI - Beberapa pelancong menunggang gajah untuk melihat sejumlah haiwan di pusat pemuliharaan hidupan liar Pobitora, 55 kilometer ke timur Gauhati semalam.
Pusat pemuliharaan itu dibuka semalam selepas ditutup buat sementara waktu kerana musim hujan.
Pusat hidupan liar itu terkenal dengan badak sumbu India yang mempunyai satu tanduk, kerbau, harimau bintang dan musang. - Agensi

Buku nota Diana dipenuhi kesilapan




BUKU nota bertulisan tangan milik mendiang Puteri Diana.


LONDON - Nota kelas peperiksaan 0-level milik mendiang Puteri Diana yang merupakan ibu kepada pewaris kedua takhta Britain, Putera William ditemui dalam tong sampah, lapor sebuah akhbar semalam.
Diana menulis nota dalam buku itu pada 1977 semasa dia berumur 16 tahun dan bersekolah di Sekolah West Heath Girls di Sevenoaks, Kent.
Dia gagal dalam semua peperiksaan O-level dan dalam notanya dipenuhi dengan banyak kesilapan seperti memanggil tokoh falsafah Yunani, Aristotle sebagai Aristocktile.
Pemiliknya, Yvonne Pullen dari Keighley, West Yorks berkata, bapanya menemui buku itu di dalam beg sampah semasa dia bekerja sebagai penjaga flat dekat rumah Diana di Istana Kensington.
Seorang pegawai lelongan, David Powell berkata, buku itu boleh dilelong pada harga antara £1,000 (RM4,986) hingga £1,500 (RM7,480).
Buku itu turut menunjukkan kelemahan Diana dalam bidang matematik apabila dia tidak dapat mengira £2.80 campur £8 dengan mencongak.
Puteri itu terpaksa menulis angka itu dalam buku tersebut untuk mendapatkan jawapan.
Pada 1997, Puteri Diana meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Paris bersama kekasihnya, Dodi Al-Fayed setelah dia bercerai dengan bapa Putera William, Putera Charles. - Agensi

Pemuda bakal kahwin janda 15 anak




GAMBAR menunjukkan Craig Le-Sauvage berdiri di sebelah tunangnya, Joanne Watson (tengah) dan anak-anaknya.


LONDON - Seorang pemuda, Craig Le Sauvage berusia 34 tahun melamar bekas jirannya, Joanne Watson berusia 39 tahun yang sudah mempunyai 15 anak, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemuda itu melamar Joanne pada awal bulan ini setelah dia berjumpa dengan wanita tersebut yang mengunjungi tempat bekerjanya di sebuah pusat bersantai.
Pemuda itu melamar wanita tersebut selepas dia mendapatinya masih cantik walaupun 15 tahun setelah mereka tidak lagi tinggal berjiran.
Sebelum ini Joanne telah berpisah dengan suaminya, John selepas mereka mendirikan rumah tangga selama 22 tahun.
Le-Sauvage mendedahkan dia turut gementar untuk menjadi bapa tiri kepada 15 anak Joanne yang berumur antara 22 tahun hingga 22 bulan.
Pemuda itu berkata, dia melamar wanita tersebut selepas dia memberitahu dirinya hamil tiga minggu selepas mereka keluar temu janji dan berkenalan dengan lebih mesra.
Justeru, Le-Sauvage bakal menjadi bapa kepada 16 anak apabila bakal isterinya melahirkan seorang lagi anaknya pada tahun depan. - Agensi

PM Itali beri hadiah kepada penari erotik

Karima Keyek


MILAN – Seorang penari erotik, Karima Keyek berumur 17 tahun memberitahu, dia diberikan 7,000 euro (RM30,358) dan seutas rantai berlian oleh Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, lapor sebuah akhbar semalam.
Bagaimanapun, penari itu menegaskan dia tidak pernah melakukan hubungan seks dengan Berlusconi.
Karima berkata, Perdana Menteri itu dianggap sebagai bapa kepadanya.
Hubungan Berlusconi dengan penari berketurunan Maghribi itu mendapat perhatian selepas Perdana Menteri itu meminta gadis tersebut dibebaskan polis selepas ditahan kerana dakwaan mencuri.
Dalam satu temu ramah dengan akhbar La Repubblica, Karima mendedahkan dia merupakan antara sepuluh orang yang diundang menghadiri parti berlusconi pada Hari kekasih di kediamannya di Arcore dekat Milan.
“Saya meninggalkan kediaman itu sebelum tengah malam. “Saya memberitahunya semua masalah saya. Dia (berlusconi) memberikan saya 7,000 euro dan rantai leher berlian Damiani. Selepas itu, saya tidak pernah mendengar berita daripadanya,” kata gadis itu. – Agensi

5 korban kereta bertembung van


KEADAAN kereta Proton Wira yang meragut empat nyawa selepas merempuh sebuah van di Jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh, Setiu semalam.

SETIU - Tiga beradik bersama seorang bayi yang dalam perjalanan pulang selepas membeli ikan di sebuah pantai dekat sini menemui ajal apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah van di Jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh di sini semalam.
Turut maut dalam kemalangan pada pukul 1.30 petang itu ialah seorang wanita warga emas, Mek Wook Yaakob, 76. Mek Wook merupakan salah seorang daripada 13 penumpang yang menaiki van yang terlibat dalam kemalangan itu.
Tiga adik-beradik lelaki malang yang terkorban ialah pemandu kereta Proton Wira, Noorazydyelwy Sidek, 32; Noorazry Elmy, 29; dan Noor Afzan Efizalman, 16.
Anak tunggal Noorazryelwy yang dibawa sama membeli ikan, Nor Amysha Maisarah, 1, turut terbunuh.
Kesemua mangsa berasal dari Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Besut dekat sini.
Tiga beradik itu maut di tempat kejadian manakala bayi itu pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.
Sebelum kemalangan, Noorazydyelwy yang juga kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan dua adiknya serta anak saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membeli ikan di Pantai Penarek.
Bagaimanapun, tiba di tempat kejadian kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal dipercayai akibat jalan licin ekoran hujan.
Ekoran itu, kereta itu terbabas ke kanan jalan sebelum ia bertembung dengan sebuah van membawa 13 penumpang dari arah Permaisuri menuju ke Kuala Terengganu.kosmo