Pages

Saturday, October 16, 2010

IMPORTANT and URGENT

IMPORTANT and URGENT
مواقع اسلامية بإدارة يهودية
هذه الرسالة مهمة وخطيرة
تأكد من المواقع بنفسك
Please send this message to all your contacts!!!

الرجاء ارسال هذه الرسالة لكل من تعرف

Beware of the following websites:
انتبهوا من هذه المواقع على الإنترنت:
1. www.answering-islam.org
2. www.aboutislam.com
3. www.thequran.com
4. www.allahassurance.com
These sites have been developed by the Jews

هذه المواقع تم تصميمها من قبل اليهود...

Who intentionally spread wrong information about the QURAN , the HADITH and the Islam?

وهم ينشرون معلومات خاطئة جدّاً عن القرآن والسنة والأحاديث النبويّة الشريفةوالإسلام

Please spread this information to all the Muslim brothers and sisters around the world.

أستحلفكم بالله أن تنشروا هذه الرسالة لكل المسلمين في العالم

Always check the source of any Islamic web site even if it is very convincing‏

تأكد دائماً من مصدر المواقع التي تتحدث عن الإسلام

A FAKE AMERICAN QURAAN
http://www.amazon.com/exec/obidos/tg/detail/-/1579211755/qid%3D1096805827 /102-4933271-2395342
هذا الموقع يباع فيه نسخة محرّفة كاملة عن القرآن الكريم تم تأليفه من قبل اليهود والأمريكان الحاقدين ‎
The new AMERICAN Quran: a dangerous trick a new Quran is being distributed in Kuwait titled 'The True Furqan'

Pope tak suka Carla Bruni




2010/10/16

VATICAN: Pemimpin Vatican, Pope Benedict XVI memberitahu Presiden Perancis Nicolas Sarkozy bahawa isterinya, Carla Bruni, tidak dialu-alukan jika mahu melakukan kunjungan terbarunya ke sini kerana media Itali mungkin menerbitkan gambar lucah wanita pertama Perancis itu. 

Vatican dikatakan menghantar mesej kepada duta Perancis berhubung kehadiran supermodel kelahiran Itali itu ketika pertemuan suaminya selama 30 minit dengan Pope awal bulan ini, mengatakan: “Carla Sarkozy tidak dialu-alukan di Vatican.”Akhbar mingguan Le Canard Enchaîné, melaporkan Pope bimbang kehadirannya mungkin menyebabkan akhbar Itali menyiarkan banyak gambar bogel dan lucah bekas model itu.“Pope mahu mengelak gambar menunjukkan Carla dan Pope bersama pada gambar muka depan bersebelahan gambar lucah Carla,” kata akhbar itu. 

Akibatnya, model dan penyanyi berusia 43 tahun itu tinggal di Paris ketika kunjungan kilat suaminya. 

Gambar wanita pertama Perancis itu sama ada berbogel atau separuh bogel ketika menjadi model menjadi pemandangan biasa di Perancis dan media antarabangsa. 

Dalam satu gambar muka depan dikeluarkan majalah Sepanyol beberapa minggu sebelum perkahwinannya pada Februari 2008 dengan Sarkozy, Carla Bruni bergambar bogel sambil bersandar pada sofa kulit hitam dengan memakai but tinggi. 
Satu gambar hitam putihnya yang berbogel dan hanya menutup bahagian sulitnya dengan tangan dilelong di Christie’s beberapa hari selepas lawatan negara pertamanya ke Britain pada Mac 2008. 

Sarkozy memohon pertemuan sulit dengan Pope, kata pemerhati, untuk memujuk pengundi konservatif majoriti Katolik Perancis yang terkejut dengan usahanya mengusir penduduk Gipsi Roma pada musim panas, tindakan yang dikritik Vatican sendiri. 

Undian menunjukkan populariti Sarkozy di kalangan penduduk Katolik Perancis jatuh daripada 61 peratus kepada 47 peratus sejak beberapa tahun lalu. – Agensi 

Guru serang pelancong berpurdah bakal dipenjara


sumber

2010/10/16

Wanita boleh didenda RM3,669 

PARIS: Seorang wanita Perancis yang dituduh merentap niqab seorang pelancong Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menggigit serta mencakar mangsa yang cuba memakainya semula, berdepan tuntutan perundangan bagi hukuman penjara dua bulan tertangguh kelmarin.“Kita perlu bertoleransi dengan orang lain tidak kira apa yang mereka pakai atas dasar tinggal bersama,” kata pendakwa raya Anne Fontette kepada mahkamah di sini.Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa tertinggi perlembagaan meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian burqa termasuk pakaian menutup muka lain dengan pesalah berpotensi didenda 150 euro (RM583) atau perlu mengambil bahagian dalam kelas kewarganegaraan. 

Rang undang-undang berkenaan dijangka berkuat kuasa selepas enam bulan bagi membolehkan peraturan itu dimaklumkan sepenuhnya kepada wanita berpurdah. 

Penyerang yang juga guru bahasa Inggeris sudah bersara dikenali sebagai Marlene Ruby, memberitahu polis dia meminta wanita dari UAE itu dalam bahasa Inggeris supaya membuka penutup mukanya. 

Namun, wanita itu enggan, lalu dia merentapnya dan wanita itu memakainya semula, dia menumbuk, mencakar dan menggigitnya. 
“Saya tahu akan hilang pertimbangan satu hari nanti. Saya mahu ia dianggap skandal. Burqa mula menjengkelkan saya,” kata Marlene, 63, kepada polis. Dia juga boleh didenda 750 euro (RM3,086). Insiden itu berlaku di sebuah butik mewah di sini, Februari lalu. 

Marlene, yang tidak hadir di mahkamah dan tidak diwakili peguam, mempertahankan pendiriannya kepada media. 

Bercakap kepada akhbar Le Parisien, dia berkata wanita yang memakai penutup muka itu tidak dapat diterima dalam apa digelarnya tempat kelahiran hak asasi manusia. 

Dia menafikan melakukan tindakan ganas dalam akhbar. 

Ramai pemimpin Islam berkata, mereka bersikap berkecuali dalam undang-undang itu. Keputusan itu dijangka diputuskan 4 November depan. 

Fontette juga berkata, kejadian berlaku pada Februari lalu ketika pakaian berpurdah dibenarkan di Perancis. 

Tetapi, beliau juga menegaskan, perbuatan Marlene tetap dipandang hina pada masa ini meskipun pengharaman burqa berkuat kuasa. – Agensi 

Guru hidang khinzir kena pecat




2010/10/16

BETZDORF (Jerman): Seorang guru di sebuah sekolah di sini yang digantung tugas tujuh bulan kerana menghidangkan daging babi kepada pelajar Islam, dipecat daripada jawatannya semalam. 

Pihak pengurusan sekolah di Christophorus berkata keputusan memecat Ursula E, 59, yang sudah berkhidmat 18 tahun diambil selepas mengambil kira sensitiviti pelajar Islam di sekolah berkenaan.Dalam kejadian itu, Ursula didakwa menghidangkan dua sajian tanpa label kepada pelajar, satu mengandungi empat ketul daging dan satu lagi 11 ketul yang diberikan kepada pelajar Islam tanpa mengetahui jenis daging itu.“Seorang daripada murid bertanya kepada Ursula tetapi beliau menjawab tidak tahu. Pelajar itu yang berketurunan Turki tidak menyentuh daging berkenaan sebaliknya memberikannya kepada rakannya berbangsa Jerman. 

“Ursula menyangka masalah itu sudah selesai, tetapi beberapa hari kemudian, 15 orang ibu bapa pelajar keturunan Turki datang ke sekolah dan mendesak beliau dipecat,” kata jurucakap pengurusan sekolah. 

Pihak sekolah bertindak menggantung tugas Ursula serta-merta dan beliau tidak lagi dibenarkan mengajar. – Agensi 

4 militan Pakistan maut serangan roket AS




2010/10/16

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya empat militan terbunuh dalam serangan roket tentera Amerika Syarikat di kawasan terpencil di barat laut Pakistan, selang beberapa jam selepas tiga militan terbunuh di wilayah sama. 

Serangan terbaru tentera Amerika Syarikat itu mensasarkan markas militan di bandar Aziz Khen di Daerah Mir Ali di utara Waziristan — daerah yang menjadi pusat gerakan Taliban dan Al-Qaeda.“Tentera Amerika melepaskan empat roket di kawasan sasaran berkenaan dan empat militan dilaporkan maut," kata pegawai keselamatan yang enggan namanya disebut.“Kawasan markas berkenaan musnah dan militan kini dikepung," katanya. - AFP 

Lelaki tunggang singa jantan

sumber


GAMBAR menunjukkan Kevin Richardson menunggang seekor singa di taman Dunia Singa Putih di Broederstroom, dekat Johannesburg, Afrika Selatan.


BROEDERSTROOM - Berdepan dengan seekor singa jantan dewasa memang perbuatan bodoh manakala menunggang belakangnya ibarat sengaja membunuh diri, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, bagi seorang penjinak singa di Afrika Selatan, Kevin Richardson, aksinya cukup selamat dan dia gemar melakukan kegiatan tersebut.
Menggelarkan dirinya sebagai 'duta singa' Richardson, 34, mendakwa bahawa dia boleh tidur sekali gus bermalam bersama haiwan itu.
Lelaki itu menguruskan sebuah taman pemuliharaan haiwan yang dikenali sebagai taman Dunia Singa Putih di sini dan dia turut memelihara beberapa ekor cheetah, harimau bintang serta dubuk.
Dia menjadi kawan rapat haiwan-haiwan itu dengan bercakap dan melayan dengan penuh kasih sayang. - Agensi

Rumah RM3.2 bilion untuk empat beranak

sumber

GAMBAR menunjukkan bangunan 27 tingkat yang menempatkan rumah Mukesh Ambani di Mumbai, India masih dalam pembinaan.


MUMBAI - Sebuah bangunan setinggi 27 tingkat milik lelaki paling kaya di India, Mukesh Ambani, 53, sedang dibina manakala tingkat paling atas akan menjadi tempat tinggal untuk keluarganya seramai empat orang di Mumbai yang berharga AS$1 bilion (RM3.2 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.
Bangunan yang diberi nama Antilia itu setinggi 173.73 meter dan seluas 3,437 meter persegi.
Ia bakal dilengkapi dengan satu kelab kesihatan, gimnasium, studio tarian, sekurang-kurangnya satu kolam renang dan panggung wayang berkapasiti 50 tempat duduk.
Bangunan itu turut mempunyai tiga tempat pendaratan helikopter, 160 ruang tempat meletak kenderaan, sembilan lif dan empat taman tergantung.
Ia dijangka siap pada hujung bulan ini.
Ambani akan menggaji 600 orang kakitangan untuk bekerja di bangunan tersebut.
Keluarganya akan tinggal di bahagian atas hartanah itu yang membolehkan mereka melihat pemandangan ke arah Laut Arab.
Bahagian dalamannya direka oleh satu firma Amerika Syarikat (AS) yang mengambil konsep Asia kontemporari.
Ambani merupakan pemilik syarikat konglomerat Reliance Industries yang terlibat dalam perniagan minyak, peruncitan dan bioteknologi.
Dia dikatakan memiliki kekayaan sebanyak AS$28.8 bilion (RM88.8 bilion).
Beliau turut dinamakan sebagai orang keempat paling kaya di dunia oleh majalah Forbes. - Agensi

UFO sebenarnya belon parti guru

sumber


GAMBAR yang dirakamkan pada Rabu lalu menunjukkan objek misteri (dalam bulatan) yang bercahaya di langit Manhattan, New York.


NEW YORK - Objek terbang tidak dikenali (UFO) yang menggemparkan penduduk di bandar raya ini pada Rabu lalu dipercayai beberapa belon parti sebuah sekolah di Westchester, lapor sebuah akh bar semalam.
Seorang guru besar Sekolah Milestone di Mount Vernon, Westchester, Angela Freeman berkata, seorang ibu membawa empat dozen belon untuk parti meraikan seorang guru. "Tiba-tiba, 12 daripada belon itu terlepas," katanya.
Ia terlepas ke udara pada kira-kira pukul 1 petang manakala satu objek yang disangka UFO dilihat buat kali pertama di Manhattan pada pukul 1.30 petang.
"Ia munasabah (UFO itu sebenarnya belon). Belon itu bergerak ke West Side (New York)," kata guru besar itu.
Kemunculan objek misteri itu menyebabkan ramai orang menghubungi talian kecemasan 911 pada Rabu lalu.
Seorang ahli meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Brian Ciemnecki berkata, angin mungkin dengan mudahnya menolak belon itu ke Manhattan di New York.
Sebelum dia membuat kenyataan itu, Pengarah Pusat Laporan UFO Kebangsaan, Peter Davenport menyatakan, berdasarkan pendapatnya, objek misteri itu sebenarnya adalah belon. - Agensi

Burger McDonald's tidak busuk selama enam bulan

sumber

BURGER dan kentang goreng di atas pinggan di apartmen Sally Davies di New York pada 14 Oktober lalu.


NEW YORK - Burger daging dan kentang goreng McDonald's didapati tidak busuk selama enam bulan selepas ia dibiarkan berada di atas pinggan di dalam apartmen seorang wanita, Sally Davies di New York.
Wanita itu membeli set Happy Meal McDonald's enam bulan lalu dan dia tidak memakannya.
Apa yang dibuat dengan burger itu ialah dia merakamkan gambar makanan tersebut dengan kamera bagi melihat sama ada ia mengalami perubahan selama enam bulan. Dia membeli burger dan kentang goreng itu pada 10 April lalu.
Burger dan kentang goreng yang tidak busuk itu pernah disiarkan dalam beberapa program televisyen dan menjadi perdebatan semasa orang ramai memikirkan bagaimana makanan segera boleh menunjukkan perubahan bentuk selepas enam bulan berada di atas pinggan.
"Ia (merakamkan burger itu selama enam bulan) bermula dengan satu pertaruhan dengan seorang rakan saya," katanya.
"Oleh itu, pada 10 April lalu, saya membeli sebiji burger dan saya mula merakamkan gambarnya tetapi tidak ada apa yang berlaku. Burger itu berbau selama satu hari dan ia kemudian terhenti (tidak ada bau lagi)," kata wanita tersebut.
Roti burger itu mengecut sedikit tetapi ia masih mengekalkan keadaan asal dan kelihatan sama seperti baru dibeli. Seperti yang dikatakan wanita itu, burger itu juga tidak ada bau.
Dua ekor anjingnya, Shih Tzu dan Charlie tidak menunjukkan minat untuk memakan buger itu kerana ia tidak mengeluarkan bau.
Ketahanan buger tersebut selama enam bulan mencetuskan kebingungan dan kebimbangan ramai pihak sama ada makanan segera yang bertahan lama itu sihat untuk kesihatan.
Pihak McDonald's enggan memenuhi permintaan ditemu ramah.
Bagaimanapun, menurut satu kenyataan rangkaian restoran itu, bahan makanan segar disediakan di restoran McDonald's.
"Adalah tidak munasabah untuk menyediakan satu maklumat terperinci berhubung dakwaan (wanita itu) tanpa mengetahui keadaan makanan itu disimpan. Kami meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan," kata kenyataan daripada rangkaian restoran McDonald's.
Menurut kenyataan itu, bakteria dan kulat membiak berdasarkan keadaan tertentu. Jika makanan kering secukupnya, ia tidak akan membesarkan bakteria atau kulat.
Wanita yang merakamkan gambar itu benci dengan dakwaan yang diterimanya menerusi e-mel bahawa dia menipu berhubung burger tersebut.
"Saya tidak tahu kenapa saya mahu menipu. Saya berharap orang ramai akan membeli burger itu dan melakukan beberapa eksperimen," katanya. - AFP "

Indonesia terpaksa import beras

sumber


DUA orang petani bekerja di sebuah sawah padi di Tangerang, Indonesia semalam.


JAKARTA - Indonesia terpaksa mengimport beras dan mengurangkan eksport komoditi-komoditi lain selepas cuaca yang ekstrem menjejaskan sektor pertaniannya sejak beberapa bulan lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Peladang Indonesia, Benny Pasaribu berkata, hasil-hasil tanaman terutama beras terjejas apabila fenomena La Nina mengurangkan tempoh musim kering di antara April dan September.
"La Nina memainkan peranan penting dalam mengurangkan hasil pertanian. Ia mengakibatkan banjir di seluruh Indonesia. Jika keadaan ini berterusan, pengeluaran hasil tanaman akan merudum," katanya.
Ketua Agensi Statistik Negeri, Sutarto Alimoeso berkata, pertumbuhan beras hanya mencecah dua peratus pada tahun ini berbanding 6.7 peratus pada tahun lalu.
Katanya, beras dari Thailand dan Vietnam akan diimport ke Indonesia.
Indonesia yang merupakan pengeluar beras ketiga terbesar di dunia dijangka mengimport sehingga 300,000 tan metrik beras yang merupakan pembelian pertama sejak 2007. Pengerusi Persatuan Koko Indonesia, Zulhefi Sikumbang menyatakan La Nina turut mengakibatkan pokok koko dijangkiti kulat dan akhirnya reput.
"Berbanding tahun lalu, pengeluaran koko telah jatuh lebih 10 peratus. Para peladang di kepulauan Sulawesi dan Sumatera antara yang paling teruk terjejas," kata Zulhefi. - AFP

Polis buka semula depot minyak

sumber



BEBERAPA anggota polis berdiri semasa mengawal depot minyak Fos-sur-Mer di Perancis semalam.




PARIS - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengarahkan anggota-anggota polis untuk membuka semula depot-depot minyak yang ditutup oleh beberapa kumpulan pekerja yang melakukan mogok ekoran cadangan pemerintah mahu melanjutkan usia persaran daripada 60 tahun kepada 62 tahun bagi mengurangkan defisit awam negara tersebut.
Penggunaan polis itu dilakukan bagi menghalang berlakunya kekurangan bekalan bahan api kerana pembelian panik selepas operasi lapan daripada 12 loji penapisan minyak diberhentikan akibat mogok.
Walaupun anggota-anggota polis berjaya membuka pagar beberapa buah depot, penunjuk perasaan melancarkan mogok-mogok baru di sekurang-kurangnya lima pusat pengagihan minyak di seluruh Perancis semalam.
Antara pusat pengagihan itu adalah di Caen dan Ouistreham di bahagian utara, Le Mans serta Vern-sur-Seiche di barat daya selain La Rochelle di kawasan pantai Atlantik.
Para pekerja di depot Fos-sur-Mer berhampiran Marseille tidak menunjukkan sebarang tentangan apabila anggota-anggota polis mahu membuka semula kemudahan itu yang telah ditutup sejak Khamis lalu.
Polis turut membuka semula depot-depot pengagihan minyak di Bassens, Lespinasse dan Cournon d'Auvergne.
Kesatuan-kesatuan pekerja utama di Perancis berterusan mahu menentang reformasi pencen tersebut. Ia menggesa ahli-ahli dan penyokong mereka mengadakan siri tunjuk perasaan di jalanan pada esok dan Selasa minggu depan. - AFP

Ahmadinejad terima hadiah raifal

sumber

Hassan Nasrallah (kanan) menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang anggota tentera Israel kepada Ahmadinejad pada akhir lawatan Presiden Iran itu ke Lebanon di Kedutaan Iran di Beirut, kelmarin. - AFP


BEIRUT 15 Okt. - Pemimpin pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang askar Israel, kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pada akhir lawatan beliau ke Lebanon.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Kedutaan Iran di Beirut lewat semalam pada akhir lawatan dua hari Ahmadinejad ke negara ini.
Semasa lawatan itu, Ahmadinejad mengunjungi kawasan selatan Lebanon yang bersempadan dengan Israel dalam langkah yang dilihat sebagai mencabar rejim Zionis itu.
Hizbullah dalam kenyataannya berkata, Ahmadinejad dan Nasrallah telah membincangkan lawatan 'bersejarah' pemimpin Iran itu.
Sebagai tanda penghargaan dan kesetiaan, Nasrallah menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang askar Israel semasa perang Hizbullah dengan tentera rejim Yahudi itu pada 2006.
Lawatan Ahmadinejad menunjukkan pengaruh luas yang dimainkan oleh Iran di Lebanon menerusi proksinya, Hizbullah, iaitu kuasa tentera dan politik terbesar di negara ini.
Namun, lawatan itu dikecam oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta blok pro-Barat di Parlimen Lebanon yang menyifatkannya sebagai satu provokasi dan percubaan untuk menggambarkan Lebanon sebagai 'pangkalan Iran di Mediterranean'. - AFP

Hos The View tinggal pentas bela orang Islam


Whoopi Goldberg (kiri) dan Joy Behar bergambar bersama sebelum bermula program bicara The View, di New York. - AP

sumber
NEW YORK 15 Okt. - Joy Behar dan Whoopi Goldberg bertindak meninggalkan pentas rancangan The View, semalam apabila mereka bertengkar dengan hos Fox News Channel, Bill O'Reilly berhubung rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid dekat bekas tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang runtuh dalam serangan pada 11 September, 2001.
Kedua-dua wanita tersebut yang merupakan hos bersama The View, membantah kenyataan O'Reilly yang menyelar orang Islam. Mereka kembali ke pentas selepas tokoh konservatif itu memohon maaf.
O'Reilly yang muncul pada rancangan wawancara popular itu untuk mempromosi bukunya, Pinheads and Patriots: Where You Stand in the Age of Obama, berkata, membina Pusat Islam begitu dekat dengan Ground Zero adalah tidak wajar 'kerana orang Islam membunuh kita pada 11 September'.
Goldberg membalas dengan mengeluarkan kata makian, sambil Behar bangun dari tempat duduknya meninggalkan pentas.
"Saya tidak mahu duduk di sini. Saya meluat dengan kenyataan itu," kata Behar yang meninggalkan pentas, disusuli oleh Goldberg.
Sejurus kemudian penerbit rancangan, Barbara Walters berkata, rakan-rakannya itu tidak sepatutnya meninggalkan pentas.
"Kita sepatutnya boleh mengadakan perbincangan tanpa mengambil sikap lepas tangan, menjerit-jerit dan meninggalkan pentas," kata Walters.
Beliau turut menegur O'Reilly dengan berkata, sekumpulan pelampau melakukan keganasan pada 11 September itu.
"Kita tidak boleh melibatkan semua penganut sebuah agama dan menghina mereka," kata Walters.
"Saya tidak menghina sesiapa," kata O'Reilly yang disangkal oleh Walters.
Selepas kedua-duanya bertikam lidah lagi, O'Reilly akhirnya berkata, 'jika ada sesiapa yang merasakan saya menghina semua orang Islam, saya memohon maaf'.
Behar dan Goldberg kembali ke pentas, dengan Behar berkata, 'kami datang balik kerana awak memohon maaf'. - AP

Pelombong ditawar habuan

sumber

Presiden Chile, Sebastian Pinera (kanan) memeluk ketua pelombong, Luis Urzua, yang merupakan pelombong terakhir berjaya diselamatkan menggunakan alat seperti kapsul dalam operasi menyelamatkan 33 pelombong yang terperangkap di lombong San Jose di Copiapo pada 13 Oktober, 2010. - REUTERS


COPIAPO, Chile 15 Okt. - Media Chile dilapor berlumba-lumba bagi mendapatkan berita eksklusif daripada 33 pelombong yang terperangkap di bawah tanah selama lebih dua bulan, dengan menawarkan pelbagai 'habuan' kepada pelombong-pelombong terbabit.
Selepas terperangkap dalam gelap serta sempit di bawah tanah, 'selebriti-selebriti' baru itu dihujani tawaran pelancongan mewah dan wang tunai untuk ditemuramah pemberita semasa mereka meninggalkan hospital, semalam.
"Tidak seperti media lain, kami membayar anda," kata seorang wartawan yang menyusup di celah-celah orang ramai kepada Brunela Oliva, isteri pelombong Renan Avalos, semasa wanita itu meninggalkan hospital Copiapo di utara Chile.
Oliva berkata, dia akan berbincang dengan suaminya tentang tawaran wawancara eksklusif itu, yang bakal mendedahkan pengalaman suaminya yang tinggal di satu ruang gelap di bawah tanah bersama 32 pelombong lain.
Kebanyakan keluarga pelombong dilihat bakal mengenakan bayaran kepada media bagi mendapatkan cerita tentang pengalaman pelombong-pelombong terbabit, sekali gus mendedahkan setiap detik peristiwa yang menjadi tarikan berjuta-juta penduduk seluruh dunia, bermula dari hari lombong itu runtuh pada 5 Ogos lalu hinggalah kepada operasi menyelamat yang berjaya dilaksanakan dengan selamat, kelmarin.
"Ia memang logik. Media akan dapat banyak keuntungan daripada kami. Kami juga perlu dibayar. Kisah ini penuh emosi," kata Oliva kepada AFP selepas menceritakan kegembiraannya kerana dapat bertemu suaminya semula.
Avalos, 29, merupakan seorang daripada 33 pelombong yang berjaya diselamatkan dalam satu operasi menyelamat menggunakan kapsul penyelamat yang dibawa naik melalui terowong sempit lewat malam kelmarin.
Kakak tiri seorang pelombong lagi, Claudio Yanez Lagos berkata, para pelombong terbabit bercadang meminta bayaran sebanyak 20 juta pesos (RM128,928) bagi setiap sesi wawancara.
"Mereka telah membuat satu perjanjian bersama untuk mengenakan bayaran," kata Jennifer Navarrete Lagos ketika meninggalkan hospital.
Kira-kira 2,000 pemberita membanjiri lombong San Jose di utara Chile semasa operasi menyelamat dijalankan bagi mendapatkan laporan tentang pelombong dan keluarga mereka, yang kemudian meminta wang sebagai bayaran.
Sementara itu, tiga pelombong pertama dibenarkan keluar dari hospital semalam selepas menerima rawatan.
Kesemua 33 pelombong yang terperangkap sejauh hampir 700 meter di bawah tanah di sebuah lombong emas dan tembaga berjaya diselamatkan dalam satu operasi yang mengambil masa lebih 22 jam yang berakhir lewat malam Selasa lalu. - AFP

19 masjid solat hajat 'gadis ghaib'

sumber


PENDUDUK Kampung Tanah Merah, Besut, semalam mengadakan solat hajat berikutan gangguan misteri dialami Siti Balqis Mohd. Nor yang kerap ghaib di Kampung Gong Nangka, Besut, Terengganu sejak dua bulan lalu. - UTUSAN/KAMARUDIN HAMZAH



BESUT 15 Okt. - Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang bersimpati dengan nasib malang menimpa Siti Balqis Mohd. Nor di Kampung Gong Nangka dekat sini mengadakan solat hajat hari ini.
Selepas solat Jumaat, kariah di 19 masjid mengadakan solat hajat berjemaah bagi memohon pertolongan agar masalah yang dihadapi oleh 'gadis ghaib' dan keluarganya itu berakhir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali berkata, semua masjid sebelum ini diminta berbuat demikian sebagai sebahagian daripada pertolongan yang mampu diberikan.
Beliau sendiri bersama lebih 50 ahli jemaah telah menunaikan solat hajat di Masjid Kampung Tanah Merah.
Sementara itu, ibu Siti Balqis, Norizan Said ketika ditemui di rumahnya petang ini memberitahu, malam tadi anak sulungnya itu masih diganggu apabila ditarik sebanyak 12 kali.
Katanya, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika masih ramai ahli keluarga berkumpul di ruang tamu apabila tiba-tiba tangan Siti Balqis seakan disentak dan ditarik menuju ke luar rumah melalui pintu dapur.
Bagaimanapun katanya, nasib baik pintu itu ditutup dan dihalang dengan beberapa bakul yang telah diletakkan di kawasan itu terlebih awal bagi mengelakkan pintu terbuka dengan mudah.
"Kemudian sekali lagi anak saya ditarik tangannya menuju keluar rumah melalu pintu hadapan tetapi tidak berjaya," katanya sambil mengurut bahu tangan anaknya yang terbaring di sisinya.
Ekoran kejadian itu katanya, Siti Balqis mengalami sakit-sakit badan dan menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan gejala misteri itu selain menjadikannya letih kerana banyak berjaga.
Malam kelmarin, Siti Balqis juga mengalami serangan misteri itu tetapi hanya sebanyak tujuh kali bermula pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi.
Malam itu juga menyaksikan 14 biji batu permata dengan pelbagai warna jatuh ke dalam rumah itu secara tiba-tiba tetapi sehingga awal pagi tadi, kesemuanya berjumlah 15 biji.