Pages

Tuesday, October 12, 2010

Tercampak merata tempat

SEREMBAN: “Saya nampak ada beberapa penumpang tercampak di merata tempat dalam bas yang bergolek selain jeritan penumpang yang cedera dan ketakutan,” kata seorang penumpang bas ekspres yang cedera dalam kemalangan mengorbankan 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Pedas, dekat sini, petang kelmarin.
Pelajar kolej, Tew Chi Ling, 18, berkata keadaan dalam bas ketika itu amat kelam kabut selepas penumpang yang cedera menjerit kesakitan manakala beberapa yang lain tidak bergerak dipercayai sudah mati.
“Sebelum kemalangan, saya terasa bas yang dipandu seorang lelaki terhoyong-hayang hingga ia gagal dikawal lalu terbalik beberapa kali dan masuk ke laluan bertentangan di sebelah.

“Sejurus selepas kemalangan, saya dapati tangan berdarah dan menggagahkan diri keluar dari bas yang terbalik,” katanya yang ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Menurut Tew, dia dan seorang rakan yang menaiki bas berkenaan merangkak keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Dia yang menuntut di sebuah kolej di ibu kota, menaiki bas berkenaan dari Terminal Melaka Sentral kira-kira jam 6 petang selepas pulang bercuti hujung minggu di rumah keluarganya.

Ajal lepas merajuk

MELAKA: “Tak sangka, kami ‘lepaskan’ dia sekejap saja, tetapi dia pergi buat selama-lamanya. Itulah kali pertama dia menaiki bas ekspres sepanjang hayatnya, tapi menjadi yang terakhir,” rintih Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18.


SEDIH...Fadzry dan Rohanta memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.
SEDIH...Fadzry dan Rohanta memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.

Anak bongsu daripada dua beradik itu antara 10 penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh dalam kemalangan ngeri meragut 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, lewat petang kelmarin.

Rohata tidak menduga permintaan Sharene Sofia yang beria-ia mahu ke Klang, Selangor, menemui rakannya sehingga merajuk beberapa hari kerana tidak dibenarkan pergi, ibarat petanda ajalnya sudah hampir.

Menurut Rohata, dia dan suaminya, Fadzry Tan Abdullah, 45, keberatan melepaskan anak mereka menemui rakannya yang dikenali ketika dia mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini tahun lalu.

“Bagaimanapun, Sofia merajuk dan memujuk agar saya membenarkannya pergi bermalam dua hari di rumah rakannya itu.

“Tidak mahu dia merajuk berpanjangan, akhirnya saya membenarkannya pergi,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di Kilometer 14, Kampung Umbai, dekat sini, semalam.
Jenazah Allahyarham Sharene Sofia dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi semalam, di tanah perkuburan Islam Umbai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, bas ekspres Delima yang membawa 34 penumpang, terbabas dan memasuki laluan bertentangan lebuh raya dan menghempap beberapa kenderaan menyebabkan 12 terbunuh.
Polis mengesahkan 10 yang terbunuh penumpang dan pemandu bas ekpres berkenaan dan masing-masing satu dipercayai pemandu van dan kereta Honda Accord.

Rohata berkata, selepas diizinkan pergi, Sharene Sofia mula berubah menjadi terlalu periang dan suka bermanja dengannya serta keluarga.

“Dia nampak ceria berlebihan dan suka bergurau serta menyakat saya. Malam sebelum menaiki bas, dia meminta tidur bersebelahan kakaknya (Natasha Ernie, 19), tetapi anak sulung saya tidak membenarkannya,” katanya yang kini menetap di Taman Semabok Perdana, dekat sini.

Menurut Rohata, selepas menghantar Sharene Sofia di Terminal Melaka Sentral, dia tidak turun dari kereta, sebaliknya hanya bersalaman ketika menurunkannya berhampiran bas yang mahu dinaiki.

“Selepas itu saya tidak lagi melihat kelibatnya. Bagaimanapun, saya sempat menghubunginya bagi memastikan dia selamat menaiki bas,” katanya.

Rohata berkata, sejam selepas itu, dia menghubungi telefon bimbit anaknya lima kali termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi tidak dijawab.

“Saya bertambah bimbang apabila rakannya yang menunggu di Kuala Lumpur menghubungi memberitahu bas dinaiki Sofia belum tiba.

“Saya dihubungi semula rakannya dan terkejut apabila diberitahu kenderaan dinaiki anak saya terbabit kemalangan.

“Saya menghubungi polis di Negeri Sembilan dan Melaka, namun mereka gagal mengesan nama anak saya dalam senarai mangsa cedera atau terbunuh.

“Kerana tidak sedap hati, saya dan suami terus ke Hospital Melaka bagi mendapatkan maklumat di Jabatan Kecemasan, namun masih gagal,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rohata, apabila tiba di Jabatan Forensik, anggota polis memintanya membuat pengecaman menerusi gambar.

“Alangkah terkejut dan pilunya saya apabila mendapati gambar mayat itu anak saya. Apapun, saya tetap reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Bas lesap sekelip mata

MELAKA: “Kira-kira jam 6.44 petang (kelmarin), saya menerima SMS daripada dia (rakannya) memberitahu bas dinaikinya baru melepasi Plaza Tol Ayer Keroh. Kami mengekori bas itu dengan kereta,” kata Nurfaizah Abd Karim, 19, menceritakan detik akhir dua rakannya yang terbunuh dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan 12 orang di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, petang kelmarin.


PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.

Rakannya, Nurshapika Baba, 19, dari Jalan Pokok Mangga dan Muhamad Farizuddin Abu Talib, 19, dari Balai Panjang, terbunuh bersama 10 penumpang lain dalam kemalangan membabitkan bas ekspres Delima yang mereka naiki serta beberapa kenderaan lain.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia menghantar SMS kepada Nurshapika bertanya kedudukan bas dinaikinya kerana gagal mengesan bas berkenaan, tetapi tidak membalas dan saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Apabila tiada balasan dan masih gagal mengesan bas berkenaan, saya hantar beberapa SMS lagi dan mula tidak sedap hati kerana tetap tidak mendapat balasan,” katanya yang mengekori bas berkenaan sejak ia berlepas bersama dari Terminal Melaka Sentral bersama rakannya, Nurul Baidatul Asyikin Asri, 19, dengan kereta.

Nurfaizah yang ditemui di Hospital Melaka di sini, semalam. berkata Nurshapika dan Muhamad Farizuddin yang enggan menaiki kereta bersamanya, berkeras mahu pulang ke Kuala Lumpur dengan bas.

Difahamkan, kedua-dua mangsa masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang, dalam jurusan kejururawatan dan menjalani latihan praktikal peringkat akhir di Hospital Melaka.
Menurut Nurfaizah, kedua-dua rakannya itu tidak menunjukkan perubahan sebelum mereka ke Terminal Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dan ketika bas meninggal terminal, mereka melambaikan tangan bagaikan lambaian terakhir.

“Kami berdua hairan kerana gagal mengesan bas berkenaan dan timbul persoalan, sama ada bas itu laju sangat sehingga kami tidak dapat mengejarnya sedangkan ketika itu kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan akibat kesesakan. Rupanya kesesakan itu akibat kemalangan membabitkan bas dinaiki rakan kami.

Filem Social Network duduki carta pertama



PELAKON-PELAKON filem The Social Network, Justin Timberlake (kiri), Jesse Eisenberg (tengah) dan Andrew Garfield bergambar di tengah London pada Rabu lalu.


LOS ANGELES - Filem Social Network mengenai penubuhan rangkaian sosial Facebook menduduki carta pertama dalam senarai Amerika Utara untuk minggu kedua berturut-turut. Filem arahan David Fincher itu mengisahkan pertembungan personaliti dan perbalahan antara pengasas-pengasas laman tersebut.
Filem itu mendapat kutipan AS$15.5 juta (RM48.08 juta) untuk kekal di tempat teratas untuk minggu kedua berturut-turut pada Ahad lalu. Anggaran kutipan itu dikeluarkan oleh Sony.
Filem itu mendapat kutipan AS$46.1 juta (RM143.02 juta) selama 10 hari tayangan.
Menduduki tempat kedua dengan kutipan AS$14.6 juta (RM45.26 juta) pada hujung minggu ialah Life as We Know It terbitan Warner Bros.
Ia dibintangi oleh Katherine Heigl dan Josh Duhamel yang menjadi penjaga seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu.
Filem perlumbaan kuda, Secretariat yang dibintangi Diane Lane berada di tempat ketiga dengan kutipan hujung minggu AS$12.6 juta (RM39.06 juta).
Menduduki tempat keempat ialah filem Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole keluaran Warner Bros. dengan kutipan AS$7 juta (RM21.7 juta). - Agensi

Menjejaki asal-usul denim



MELALUI lukisan ini, pengkaji dapat mengenal pasti latar komuniti dan lokasinya.


IA menjadi keperluan harian dan juga fesyen kegemaran ramai. Ternyata, jean biru kini telah menguasai planet. Namun, adakah tekstil itu berasal dari kilang kain di New Hampshire, di pantai selatan Perancis atau dari perusahaan tenunan di utara Itali?
Ahli sejarah seni percaya mereka telah menemui petunjuk untuk teka-teki yang berabad lamanya itu. Pembayang itu diperolehi daripada sebuah lukisan abad ke-17 oleh artis utara Itali. Karya yang diberi judul Master of the Blue Jeans itu telah dipamerkan di Paris baru-baru ini.
Menghayati salah satu karya tersebut, seseorang boleh melihat fabrik biru dengan jahitan benang putih pada imej seorang wanita marhain yang memakai skirt dan juga jaket yang dipakai pengemis kanak-kanak. Kesan koyak pada fabrik itu menyerlahkan strukturnya.
"Perician pada pakaian itu dilukis dengan sangat khusus. Amat jarang bagi seseorang pelukis dapat menunjukkan mesej kemiskinan melalui ketelitian elemen tersebut. Jean biru ditemui dalam hampir setiap lukisan," kata kurator, Gerlinde Gruber yang mengkaji hasil kerja seniman tidak bernama itu.
Dalam lukisan lain yang berjudul Mother Sewing, seorang ibu sedang digambarkan menyiapkan selembar kain perca. Ketelitian lukisan itu membolehkan pihak kurator mengenal pasti suasana serupa di Venice, Itali.
Para sejarawan telah sekian lama cuba mengesan asal-usul seluar jean menerusi dua sumber di luar Amerika Syarikat iaitu fabrik kasar yang dikenali dengan de Nimes dari bandar Nimes, Perancis dan juga fabrik fustian kapas dari Genoa di Itali yang dipanggil Genes.
Daripada kedua-dua nama itu, telah tercetus perkataan Inggeris yang dikenali pada hari ini iaitu jean dan denim.
Namun, tidak seperti kehalusan fabrik seperti yang dipakai golongan bangsawan, fabrik kasar tersebut dipakai golongan kelas bawahan sehingga ia lusuh dan koyak rabak.
JAKET yang dipakai kanak-kanak ini jelas menunjukkan fabrik jenis denim.


Sejarah lokasi
Sehingga kini, hanya terdapat rekod bertulis mengenai penghantaran fabrik kos rendah dari Genoa ke bahagian utara Eropah terutamanya England pada pertengahan abad ke 17.
"Kami juga merekodkan dakwaan daripada tukang jahit Inggeris bahawa kain dari Genoa yang digunakannya merupakan fabrik jean asli. Ini telah menghidupkan kembali realiti sejarah yang selama ini dilupakan," jelas Gruber.
Berdasarkan kajian kurator, fabrik berwarna biru telah dilukis seakan-akan dengan rona jean masa kini. Beberapa abad kemudian, kumpulan pereka iaitu Francois dan Marithe Girbaud telah memperoleh reputasi sebagai ketua seluar seluruh dunia.
Menurut para kurator, biru fabrik dalam lukisan tersebut diwarnakan indigo, sama seperti bahan pewarna yang digunakan untuk mencelup denim pada hari ini.
Beberapa kurun kemudian, pasangan pereka suami isteri, Francois dan Marithe Girbaud meraih reputasi sebagai pakar dunia jean. Mereka ialah perintis jean longgar gaya hip-hop yang menggunakan teknik stonewash atau regangan.
"Perkara ini menjawab persoalan sejarah yang selama ini kita hebohkan. Ini sungguh menyeronokkan.
"Dalam fikiran orang ramai, jean dikaitkan dengan Marilyn Monroe, James Dean dan Amerika Syarikat. Sekarang, adakah ia dari Nimes atau Genoa? Saya sendiri tidak tahu jawapannya. Paling penting, jean telah wujud sejak tahun 1655," jelas Francois yang turut terlibat dalam pameran di Paris itu.
Kisah pameran
Sementara itu, sebanyak 10 buah karya kanvas telah didedikasikan buat pelukis Itali itu dengan lapan daripadanya ditayangkan di Paris. Ia dipamerkan bersama karya Michael Sweerts atau Giacomo Ceruti, yang telah dipinjamkan daripada muzium dan juga koleksi peribadi di Rom dan Vienna.
Pada tahun 2004, pemilik galeri yang berpangkalan di Paris, Maurizio Canesso telah membeli lukisan daripada artis yang tidak dikenali di sebuah sekolah seni di Neapolitan, New York.
Canesso cuba menyelidik asal-usul lukisan berjudul The Barber's Shop itu dan telah menemui salinannya di muzium yang terletak di Varese berdekatan Milan.

KEGILAAN berfesyen dengan jean sudah merentas zaman dan kekal popular hingga ke hari ini.


"Itu telah menyebabkan kajian mengenainya bermula," ujarnya.
Pada masa yang sama di Itali, tanpa pengetahuan Canesso, Gruber sedang giat mencari jawapan kepada hasil karya artis yang sama. Hasil kerja pelukis misteri tersebut dinamakan sebagai The Master of the Blue Jeans berikutan pengulangan imej fabrik tersebut dalam siri karyanya.
Rujukannya bermula selepas melakukan pemerhatian terhadap lukisan berjudul Woman Sewing With Two Children dan Beggar Boy With A Piece Of Pie.
Sifat ingin tahu Canesso tercetus apabila membaca artikel ulasan lukisan Gruber yang disiarkan pada tahun 2006. Pada tahun-tahun berikutnya, Canesso membeli kesemua karya yang dihasilkan pelukis yang disebutkan itu.
Berdasarkan di galeri Canesso, setiap lukisan dianggarkan berharga antara AS$60,000 hingga AS$80,000 (RM187,00 hingga RM249,000).

Islam hanya pada nama saja

Hos X-Factor tidak penuhi impian bapa

KONNIE HUQ


LONDON - Hos program realiti pencarian bakat, X Factor, di Britain, Konnie Huq mendedahkan bahawa bapanya berharap agar dia berkahwin dengan seorang lelaki Islam.
Pengacara wanita itu bagaimanapun memilih seorang wartawan penyiaran berlainan agama, Charlie Brooker sebagai suaminya dalam satu upacara perkahwinan rahsia di Las Vegas, Amerika Syarikat, pada Ogos lepas.
"Sudah tentu mereka seboleh-bolehnya mahu bermenantukan orang Islam kerana ibu bapa saya beragama Islam," kata Konnie, 35 dalam satu wawancara yang disiarkan sebuah akhbar Britain semalam.
Namun, menurutnya, bapanya, Muhammad yang berusia 74 tahun dan berketurunan Bangladesh kini dapat menerima Brooker sebagai menantu.
"Saya percayakan cinta dan saya dapat merasakan bahawa mereka saling menyintai. Brooker menulis banyak buku dan dia seorang lelaki yang baik," katanya. - Agensi

Bank Rusia ambil pengintip seksi bekerja


ANNA CHAPMAN


MOSCOW - Seorang perisik Rusia yang telah diusir dari Amerika Syarikat (AS), Anna Chapman kini bekerja dengan sebuah bank Rusia sebagai penasihat presiden bank berkenaan.
Satu kenyataan akhbar FondServisBank menjelaskan mengenai pengambilan Chapman sebagai penasihat itu selepas dia menghadiri majlis ucap selamat terhadap angkasawan Rusia di pusat pelancaran Soyuz di Kazakhstan pada minggu lalu.
FondServisBank merupakan bank rasmi agensi angkasa lepas Rusia, Roskosmos.
"Anna Chapman bekerja dengan FundServiceBank sejak 1 Oktober lalu sebagai penasihat presiden (bank itu) berhubung aspek pelaburan dan inovasi," jelas kenyataan bank terbabit.
Chapman akan membantu memajukan teknologi maklumat bank itu.
Pengintip itu disifatkan sebagai pekerja yang kreatif dan serba boleh.
Chapman menjadi perisik yang cukup sensasi ekoran penyiaran gambar-gambar separuh bogelnya di Internet selepas dia ditangkap oleh pihak berkuasa AS.
Dia dihantar pulang ke Rusia dalam satu program pertukaran perisik melibatkan kedua-dua buah negara pada Julai lalu.
- Agensi

Kapal angkasa komersial diuji



GAMBAR menunjukkan kapal angkasa VSS Enterprise terbang di Mojave, California kelmarin.


LOS ANGELES - Kapal angkasa komersial pertama di dunia, VSS Enterprise melakukan penerbangan buat kali pertama di negeri California, Amerika Syarikat (AS) sebelum mendarat di Lapangan Terbang Kapal Angkasa Mojave, kelmarin.
Kapal angkasa berkenaan dibina oleh kumpulan Virgin, syarikat milik bilionair Britain, Sir Richard Branson yang juga pemilik pasukan perlumbaan Formula Satu (F1), Virgin Racing.
Dalam satu kenyataannya, kumpulan Virgin memberitahu, VSS Enterprise meninggalkan pesawat induknya WhiteKnight2 yang sebelum ini bercantum dengannya pada ketinggian 13,700 meter.
Semasa penerbangan, kapal angkasa itu dikendalikan oleh juruterbang, Pete Siebold dengan Mike Alsbury sebagai pembantu juruterbang.
Penerbangan ujian itu dilakukan untuk menguji perlepasan VSS Enterpise dari kapal induknya selain keupayaan kedua-dua juruterbang itu mengemudi dan mendaratkan kapal angkasa itu di Lapangan Terbang Kapal Angkasa Mojave.
"VSS Enterprise menyeronokkan untuk dikendalikan, bukan sahaja kerana kapal angkasa itu mampu bergerak selaju 4,152 kilometer sejam tetapi ia juga meluncur pada altitud paling tinggi di dunia," kata Siebold. - AFP

Pelombong teruja tunggu masa diselamatkan



SEORANG pekerja mengimpal terowong penyelamat di lombong tembaga dan emas San Jose dekat bandar Copiapo semalam.


COPIAPO, Chile - Seramai 33 orang pelombong yang terperangkap di dalam lombong tembaga dan emas San Jose dan ahli keluarga mereka kelmarin teruja menunggu masa untuk dikeluarkan setelah berada di sana selama 67 hari.
Para jurutera mula melakukan ujian penggunaan sebuah kapsul penyelamat untuk membawa keluar semua mangsa. Pemerintah Chile menjangkakan operasi mengeluarkan mereka yang terperangkap bermula esok.
"Saya sangat penat. Sudah terlalu lama menunggu sahaja," kata Alicia Campos yang anaknya, Daniel Herrera merupakan salah seorang mangsa yang terperangkap.
Dia mahu anaknya itu mencari kerja lain selepas diselamatkan.
Mangsa-mangsa itu akan diraikan oleh anggota-anggota keluarga mereka selain lebih 750 orang wartawan yang mahu menemuramah dan merakamkan gambar.
Para pelombong itu akan dijemput mengunjungi Istana Presiden, diberi percutian percuma serta muncul di dalam pelbagai rancangan televisyen.
Pada 5 Ogos lalu, satu dinding lombong itu runtuh menyebabkan semua pelombong terperangkap. - Reuters

Ahli Parlimen Israel berbalah


GAMBAR fail menunjukkan dua budak Palestin dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki Yahudi di Silwan, timur Baitulmuqaddis pada Jumaat lalu.


BAITULMUQADDIS - Ketegangan berhubung insiden seorang pendatang Yahudi merempuh dua budak lelaki Palestin yang membaling batu di timur Baitulmuqaddis merebak ke Parlimen Israel semalam.
Suasana tegang pada persidangan Parlimen Israel memuncak apabila anggota-anggota Parlimen Yahudi dan Arab-Israel saling melabelkan satu sama lain sebagai 'pengganas' dan 'orang gila' selepas kejadian itu berlaku minggu lalu.
Dalam rakaman insiden pada Jumaat lepas, dua budak lelaki bertopeng sedang berdiri bersama sekumpulan pembaling batu apabila mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang pendatang Yahudi yang kemudian melarikan diri.
Seorang budak lelaki itu terpelanting dan tersembam pada cermin hadapan kenderaan tersebut sebelum terhumban ke jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Israel, Danny Danon dari Parti Likud menyuarakan kekesalannya kerana kanak-kanak Palestin berulang kali terbabit dalam perbuatan membaling batu.
"Ia mengejutkan. Perbuatan membaling batu ke arah kereta yang dinaiki penumpang adalah satu cubaan membunuh," kata Danon dalam satu mesyuarat yang sebahagian besarnya dihadiri oleh wakil-wakil kumpulan propenempatan Yahudi di timur Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.
Namun, suasana tegang tercetus apabila wakil rakyat berketurunan Arab-Israel, Ahmed Tibi melahirkan rasa terkejut kerana jawatankuasa berkenaan langsung tidak mempedulikan nasib dua kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun itu yang teribat dalam kejadain langgar lari.
"Anda langsung tidak bersimpati," kata Ahmed.
"Anda ialah kumpulan manusia gila yang tidak berperasaan walaupun melihat seorang kanak-kanak terpelanting," tambahnya.
Polis mengenal pasti pemandu itu sebagai David Beeri, seorang pemimpin yahudi di Elad. - AFP

TV hibrid tanpa wayar diperkenal



MUSTAPA (tiga dari kiri) dan Yeoh menyaksikkan pertukaran dokumen antara Lee (kiri) dengan Buno Patti (empat dari kiri) sambil diperhatikan oleh Wiser (kanan sekali) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) bakal mencipta satu lagi sejarah dalam industri teknologi maklumat dan dunia penyiaran menerusi perkhidmatan televisyen (TV) hibrid tanpa wayar tidak lama lagi.
Pengenalan tersebut yang merupakan inovasi yang pertama di Malaysia dan juga di kalangan negara-negara Asia Pasifik itu bakal direalisasikan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif, YTL Communications, Wing K. Lee berkata, perkhidmatan tersebut menggabungkan kandungan penyiaran dan Internet dalam sebuah peranti dan disalurkan kepada pelanggan menerusi rangkaian tanpa wayar 4G pihaknya.
“Perkhidmatan TV hibrid tanpa wayar itu akan membolehkan pelanggan menggunakan hanya satu User ID yang sama pada TV mereka untuk menonton siaran kegemaran, video atas permintaan, kandungan Internet termasuk YouTube dan pelbagai lagi.
“Ini menjadikan TV di ruang tamu sebagai jendela dunia dan kami akan meluaskan perkhidmatan ini kepada peranti-peranti skrin yang lain,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian bersama Sezmi Corporation di sini semalam.

Wook lega suami bebas dadah


MOHD. NOR memimpin tangan isterinya, Wook keluar dari mahkamah selepas dibebaskan di Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - Tiada hari paling bermakna buat Wook Kundur, 108, melainkan dapat bertemu semula dengan suaminya, Mohd. Nor Musa, 38, yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengambil dadah.
Wook yang dipercayai wanita tertua di Terengganu turut melahirkan rasa syukur kerana wang jaminan sebanyak RM2,000 yang dikeluarkan untuk menjamin suaminya sebelum ini telah dikembalikan kepadanya.
"Tok tidak pernah memusuhi Mohd. Nor kerana Tok tahu dia tidak bersalah.
"Tok juga sangat bersyukur kerana dapat semula wang jaminan RM2,000 yang boleh digunakan untuk perbelanjaan kami berdua selepas ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Dalam keputusan semalam, Mahkamah Majistret membebaskan Mohd. Nor selepas didapati tidak bersalah menggunakan dadah ketika ditahan dalam satu operasi polis di Kampung Pasir Tinggi dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 12 Ogos lalu.

Google lakukan ujian jalan raya kereta pintar tanpa pemandu


WASHINGTON 11 Okt. - Google Inc. kini dalam proses menjalankan ujian jalan raya untuk kereta yang boleh dipandu, berhenti dan dihidupkan tanpa memerlukan pemandu, kata syarikat enjin carian Internet itu.
"Kereta itu dicipta dengan matlamat mengurangkan kemalangan jalan raya, menjimatkan masa orang ramai serta mengurangkan pengeluaran gas karbon melalui perkongsian kenderaan serta pengenalan kepada sistem 'lebuh raya kereta api masa hadapan'," kata ketua projek tersebut, Sebastian Thrun melalui tulisannya dalam laman blog korporat Google dua hari lalu.
Ini bukan kali pertama Google membayangkan hasrat mereka untuk mengubah cara manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Dalam ucapan pada persidangan TechCrunch "Disrupt" pada 29 September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Google, Eric Schmidt menyatakan setiap kereta perlu dipandu sendiri tanpa kendalian manusia dan tidak mustahil ia boleh dilakukan.
Kereta yang diuji itu telah berjalan sejauh 225,308 kilometer di jalan utama California tanpa banyak campur tangan manusia, menurut kenyataan dalam laman blog korporat Google.
Sebuah syarikat teknologi gergasi yang beribu pejabat di California, The Mountain View menggunakan tujuh buah kereta yang diuji pandu sejauh 1,609 kilometer tanpa kendalian manusia, lapor akhbar New York Times.
Kereta berkenaan mampu mematuhi had laju yang ditetapkan serta dapat membaca aliran trafik dan peta dengan tepat, menggunakan teknologi video kamera, radar pengesan serta laser untuk mengesan kenderaan lain, kata Thrun lagi.
Dalam pada itu, laporan New York Times memetik pendapat beberapa jurutera yang mengatakan kereta itu lebih selamat kerana tindak balasnya lebih cepat berbanding manusia.
Menurut laman blog korporat Google, teknologi kereta tanpa pemandu itu dibangunkan oleh sekumpulan saintis yang terlibat dalam projek sama anjuran kerajaan melalui Agensi Projek Penyelidikan Pertahanan Maju . - AP

Bas bawa 50 penumpang terjunam ke sungai di Bangladesh


RIBUAN rakyat Bangladesh memenuhi tebing sungai berhampiran lokasi bas membawa 50 penumpang terjunam ke dalam sungai di Aminbazar, kira-kira 20 kilometer ke barat Dhaka, Bangladesh, kelmarin. - AP

DHAKA 11 Okt. - Pekerja penyelamat Bangladesh terpaksa bertarung dengan arus deras dan peningkatan kemarahan orang awam ketika mereka bergelut untuk mengesan sebuah bas membawa kira-kira 50 penumpang yang terjunam ke dalam sebuah sungai 24 jam lalu, hari ini.
Ketua pentadbir daerah, Mohibul Haq berkata, bas yang mempunyai 52 tempat duduk itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam sungai Turag, 20 kilometer dari barat Dhaka awal pagi semalam.
"Kami gagal untuk mengesan bas itu. Ia adalah mustahil untuk menyelam ke dalam sungai itu ketika arus sungai itu sangat deras. Sungai itu juga sangat dalam di mana bas itu tenggelam," katanya.
Lapan penumpang berjaya meloloskan diri ketika kemalangan itu berlaku namun semua yang lain dianggap terbunuh.
"Bas itu sarat dengan penumpang ketika ia terjunam ke dalam sungai dan bergolek dua atau tiga kali. Tidak sampai beberapa saat, kami berada di dalam sungai. Kami memecahkan tingkap dan berenang ke tebing," kata seorang mangsa yang terselamat kepada media tempatan.
Pihak berkuasa telah menghantar sebuah pasukan penyelam khas tentera laut dari bandar raya pelabuhan Chittagong, di barat daya negara ini dan menggunakan pengesan logam untuk mengesan bas yang tenggelam itu.
Polis berkata, sekurang-kurangnya 5,000 orang termasuk saudara-mara mangsa yang hilang berkumpul di kedua-dua tebing sungai sekitar kawasan kemalangan. - - AFP, utusan

Liu Xiaobo menangis terima Hadiah Nobel Keamanan


BEIJING 11 Okt. - Penerima Hadiah Nobel Keamanan dari China, Liu Xiaobo sambil menangis mendedikasikan anugerah tersebut kepada mangsa bantahan pro demokrasi di Dataran Tiananmen pada 1989, lapor aktivis ketika isterinya diletakkan di bawah tahanan rumah hari ini.
"Penghargaan ini ditujukan kepada mereka yang kehilangan nyawa semasa kejadian 4 Jun itu," lapor kumpulan Hak Kemanusiaan di China memetik Xiaobo ketika memberitahu isterinya, Liu Xia.
Pemimpin ikon demokrasi China itu merujuk kepada peristiwa berdarah 4 Jun 1989, semasa tindakan keras kerajaan terhadap demonstrasi demokrasi di Dataran Tiananmen.
Penulis berusia 54 tahun yang mula menjalani hukuman penjara selama 11 tahun sejak Disember 2009 selepas menulis satu petisyen berani yang menuntut pembaharuan demokrasi itu, dipilih sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan Jumaat lalu, sekali gus mencetuskan reaksi marah Beijing.
Melalui akaun Twitternya, Xia berkata, dia kini menjalani tahanan rumah di Beijing sejak Jumaat lalu dan selepas melawat suaminya di sebuah penjara di timur laut China bagi memaklumkan tentang anugerah yang diterima Xiaobo.
"Saudaraku, saya telah pulang ke rumah. Pada 8 Oktober lalu, saya diletakkan di bawah tahanan rumah. Saya tidak tahu bila saya boleh berjumpa orang.
"Telefon bimbit saya juga sudah rosak, jadi saya tidak boleh membuat atau menerima panggilan. Saya berjumpa Xiaobo Sabtu lalu di penjara dan memberitahu tentang hadiah yang dimenanginya. Saya akan beritahu lebih lanjut lagi kepada anda nanti. Harap anda boleh tinggalkan ulasan. Terima kasih," demikian kata Xia menerusi akaun Twitter.
Peguam ikon demokrasi itu hujung minggu lalu berkata, isteri Xiaobo dibawa ke penjara diiringi kawalan polis.
Sekurang-kurangnya 24 anggota polis, pegawai berpakaian preman dan kakitangan keselamatan ditempatkan di kawasan rumah Xia hari ini. Mereka turut menyoal siasat penduduk dan menghalang pemberita daripada memasuki kawasan rumah itu.
Xiaobo merupakan rakyat China pertama memenangi Hadiah Nobel Keamanan yang dikeluarkan jawatankuasa Nobel di Oslo dan China dengan segera mengutuk penghargaan itu dengan menyifatkannya sebagai 'pencabulan' dan melabelkan Xiaobo sebagai 'penjenayah'. - AFP

Sikap pengguna bagai 'dirasuk'


KESESAKAN teruk di bandar raya Johor Bahru apabila warga Singapura yang seakan-akan menunjuk-nunjuk kereta mereka sering mewarnai jalan di negeri ini. - gambar hiasan


Saudara Pengarang,
WALAUPUN rakyat Malaysia terkenal dengan sikap bersopan-santun, namun apabila memandu di jalan raya, sikap itu hilang begitu sahaja.
Ada segelintir yang seperti 'dirasuk' dengan memandu tanpa mempedulikan keselamatan diri dan pengguna lain.
Bukan menuduh tetapi ramai yang pasti mengakui cara pemanduan rakyat Malaysia memang berbahaya.
Tindakan memotong barisan, memintas dan memecut laju di kawasan bahaya menjadikan angka kemalangan sentiasa meningkat.
Apabila berlaku kemalangan, baru hendak menyesal. Kalau hanya melibatkan kecederaan ringan, mungkin ia boleh menjadi pengajaran, tetapi kalau mengakibatkan kecederaan parah atau kematian, keluarga tercinta yang menjadi beban.
Lebih mendukacitakan, pengguna lain yang tidak berdosa turut menjadi mangsa.
Bukan menuduh melulu, tetapi sikap pemandu di Johor antara yang agak 'bahaya' berbanding kawasan lain.
Tindakan memandu laju dan memotong barisan serta tidak bertolak ansur dengan pengguna lain sering dilihat setiap hari terutama pada waktu puncak.
Sikap pemandu dari Singapura yang seakan-akan menunjuk-nunjuk kereta mereka yang lebih gah juga sering mewarnai jalan-jalan di negeri ini.
Memang tidak dinafikan, tugas penguatkuasaan penting dalam membentuk sikap pemandu yang lebih berhemah.
Di sinilah cabaran besar bagi pegawai penguat kuasa yang bertugas. Memang bukan mudah, tetapi pemandu yang tidak bertanggungjawab ini perlu dididik dan diberi teguran.
Contohnya jelas, semalam saya memandu balik ke rumah di Permas Jaya. Memang laluan agak 'menyesakkan dada' sejak beberapa lama ekoran pembinaan jalan baru dan lebuh raya di kawasan itu. Terdapat beberapa buah kereta yang memotong barisan dalam keadaan bahaya.
Kebetulan terdapat sebuah kereta peronda polis yang turut dipotong oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Pada anggapan saya, pasti kereta peronda ini akan menahan untuk memberi teguran kepada pemandu berkenaan, namun apa yang mendukacitakan, tiada tindakan diambil dan pemandu itu terlepas begitu sahaja.
Walaupun dalam kereta peronda itu bukan anggota polis trafik, tetapi mereka juga bertanggungjawab untuk menahan dan menegur pemandu yang bersikap kurang ajar dan membahayakan orang lain.
Mudah-mudahan dengan teguran ini, ia akan berikan keinsafan kepada pemandu itu atau setidak-tidaknya beri amaran supaya tidak melakukan tindakan sama.
Diharap, pihak berkuasa sentiasa memantau keadaan seperti ini.
INGAT - malang tidak berbau!
PEMANDU JB