Pages

Saturday, January 22, 2011

Rampas semula kapal MT Bunga Laurel





KOMANDO TLDM (Paskal) mengawasi tujuh lanun Somalia yang ditahan selepas menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel daripada tawanan kumpulan lanun itu di perairan Teluk Aden, timur Oman, kelmarin.


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi terbukti apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman, semalam.
Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam tadi, kapal dagang yang disewa MISC Berhad itu telah ditawan sekumpulan tujuh lanun warga Somalia yang bersenjatakan senapang jenis AK-47 dan pistol.
Kumpulan lanun itu menaiki sampan yang diturunkan dari sebuah kapal induk membawa seramai 18 lanun untuk menyerang kapal dagang berkenaan yang membawa muatan minyak pelincir dan bahan kimia jenis ‘ethylene dichloride’ dari Asia Barat ke Singapura.
Seramai 23 krew kapal MT Bunga Laurel berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam misi menyelamat yang dilancarkan Pasukan Perlindungan Khas ATM itu.
Dalam kejadian itu juga, kesemua tujuh lanun berkenaan berjaya ditahan manakala tiga daripadanya cedera ketika berbalas tembakan dengan tentera ATM.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan di sini hari ini, rampasan itu berlaku selepas dua jam kapal MT Bunga Laurel dipisahkan di perairan selamat setelah diiringi Bunga Mas 5.
“Krew kapal MT Bunga Laurel sempat mengaktifkan sistem penggera keselamatan kapal sebelum bersembunyi di bilik keselamatan khas yang terletak berhampiran bilik jentera kapal.
“Bertindak daripada panggilan kecemasan itu, kapal Bunga Mas 5 yang berada 14 batu nautika (25.9 kilometer) dari MT Bunga Laurel bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu,” katanya.
Dalam operasi tersebut, sebuah helikopter jenis Fennec TLDM yang dilancarkan kapal bantuan Bunga Mas 5 melepaskan tembakan dari udara.
Menurut kenyataan itu lagi, tembakan tepat ke arah kapal induk lanun itu berjaya menghalangnya daripada memberi bantuan kepada kumpulan lanun yang berada atas kapal MT Bunga Laurel.
“Pasukan Perlindungan Khas ATM kemudian melancarkan operasi menggempur lanun itu pada pukul 1.20 pagi dan selepas berbalas tembakan, kesemua lanun itu berjaya ditahan manakala anak kapal itu diselamatkan,” jelas kenyataan itu.
Operasi Fajar yang bermula Julai tahun lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC 2008, memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, ATM dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.
Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.
Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Pertahanan memaklumkan, sebanyak 32 buah kapal dagang masih ditawan lanun di perairan Teluk Aden walaupun pelbagai usaha di peringkat antarabangsa dilakukan untuk menangani kegiatan lanun di perairan Teluk Aden itu.
Sementara itu, jurucakap TLDM ketika dihubungi memberitahu, semua 32 kapal yang ditawan lanun itu tidak melibatkan kapal dagang dari Malaysia.
Jurucakap itu berkata, kesemua 23 anak kapal Bunga Laurel termasuk beberapa warga Filipina yang diselamatkan tidak mengalami kecederaan dan akan dibawa pulang tidak lama lagi.
-utusan

No comments: