Pages

Thursday, September 8, 2016

Lelaki Indonesia berumur 145 tahun, Mbah Gotho dianggap manusia tertua di dunia







MBAH Gotho berehat di kediaman cucunya di Sragen, Jawa Tengah baru-baru ini. - Agensi

JAKARTA – Seorang lelaki Indonesia mendakwa dirinya lelaki tertua di dunia pada umur 145 tahun, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Menurut dokumen pengenalan yang diiktiraf oleh pemerintah Indonesia, lelaki itu, Mbah Gotho berumur 145 tahun dan dilahirkan pada 31 Disember 1870.

Dia hidup lebih lama daripada semua 10 adik-beradik dan empat isterinya. Isteri terakhir Mbah Gotho meninggal dunia pada 1988.

Semua anak lelaki Mbah Gotho juga sudah mati dan yang tinggal sekarang ialah cucu, cicit serta piutnya.

Jika usianya sahih, Mbah Gotho adalah jauh lebih tua daripada manusia tertua di dunia, gelaran milik wanita Perancis, Jeanne Calment yang hidup selama 122 tahun.

Warga adi emas dari Sragen, Jawa Tengah itu diwawancara oleh program berita televisyen, Liputan 6.

Mbah Gotho berkata, dia sudah menempuh segalanya dan bersedia untuk ajalnya.

“Saya mahu pergi menemui ajal. Cucu-cucu saya semuanya dapat hidup sendiri,” katanya kepada Liputan 6 kelmarin.

“Mbah Gotho makan apa sahaja dan tidak pernah jatuh sakit,” kata seorang ahli keluarganya.

Cucu lelakinya, Suryanto berkata, Mbah Gotho membuat persediaan untuk kematiannya sejak berusia 122 tahun tetapi datuknya itu masih hidup hingga sekarang.

“Batu nisannya siap pada 1992 iaitu 24 tahun lalu,” kata Suryanto.

Ketika ditanya tentang rahsia dia berumur panjang, Mbah Gotho berkata: “Resipinya cuma sabar.” – Agensi



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4JcOE8MMx
Hakcipta terpelihara 

No comments: