Pages

Friday, September 2, 2016

Hidupan terawal di Bumi dianggar berusia 3.7 bilion tahun






AFP - NUTMAN (kiri) bersama rakan pengkaji, Prof. Madya Vickie Bennett menunjukkan spesimen batu yang mengandungi stromatolit berusia 3.7 bilion tahun di Greenland dalam gambar yang disiarkan semalam.

SYDNEY – Saintis dari Australia semalam menganggarkan hidupan paling awal Bumi ini berusia 3.7 bilion tahun berdasarkan kajian terhadap penemuan satu fosil purba.

Struktur fosil yang dipanggil stromatolit itu tersimpan di dalam batu purba di Greenland yang dipercayai 220 juta tahun lebih berusia daripada pemegang rekod terdahulu.

Menurut Ketua Pengkaji daripada University of Wollongong, Allen Nutman, pe­nemuan itu membuktikan bahawa kehidupan bermula beberapa ratus juta tahun selepas Bumi terbina kira-kira 4.5 bilion tahun lalu.

“Penemuan ini menjadi tanda aras baharu kepada bukti tertua mengenai kehidupan di Bumi.

“Struktur dan geokimia daripada batuan baharu tersebut menunjukkan ke­semua ciri-ciri yang terdapat pada batu-batu muda bagi memberi hujah mengenai asal-usul biologi. Ia menunjukkan kemunculan hidupan di Bumi,” ujar pengkaji bersama daripada University of New South Wales, Prof. Martin Julian Van Kranendonk.

Stromatolit Isua setinggi satu hingga empat senti­meter itu terdedah selepas pencairan salji di Isua Greenstone Belt. Ia menyamai bukti biologi lain dalam evolusi kod genetik pada tempoh masa sama.

Beliau menambah, pene­muan tersebut dapat membantu pencarian hidupan di planet Marikh yang menjadi lokasi berkemungkinan besar sesuai untuk hidupan mikrob berbanding planet-planet lain di Sistem Solar. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4J3HbHUoQ
Hakcipta terpelihara 

No comments: