Pages

Saturday, August 13, 2016

Burqini 'tak hormat amalan baik'



GAMBAR hiasan, seorang anggota penyelamat Muslim bertugas di pantai Australia.

AFP
Cannes (Perancis): Datuk Bandar Cannes mengharamkan penggunaan pakaian renang muslimah atau burqini di pantai bandar peranginan itu, kata pihak berkuasa semalam.

David Lisnard meluluskan perintah bahawa ‘akses kepada pantai dan untuk berenang dilarang bagi sesiapa yang tidak memakai (pakaian renang) yang menghormati amalan baik serta sekularisme’ yang dianggap prinsip asas republik Perancis.

“Pakaian renang yang sengaja mempamerkan fahaman keagamaan sedangkan Perancis dan lokasi ibadah kini menjadi sasaran pengganas mampu menimbulkan risiko terhadap ketenteraman awam yang perlu dielakkan,” kata perintah itu.


Ketua perkhidmatan perbandaran bandar itu, Thierry Migoule ketika diminta menjelaskan perintah berkenaan berkata: “Kami bukannya mengharamkan penggunaan pakaian keagamaan di pantai, sebaliknya pakaian yang terang-terangan mempamerkan sokongan terhadap kumpulan pengganas yang kini berperang dengan kita.”

Pada 14 Julai lalu, serangan pengganas didakwa dilakukan Daish di Nice mengakibatkan 85 maut apabila sebuah lori merempuh orang ramai yang keluar menyambut hari kebangsaan Perancis.

Sementara itu, pada 26 Julai lalu, seorang paderi dibunuh di gerejanya di timur laut negara itu oleh dua penyerang yang mendakwa setia kepada Daish.

Pakaian Islamik topik panas di Perancis dengan penggunaan purdah dilarang di tempat awam. Namun tiada larangan rasmi terhadap pakaian atau alat keagamaan.

Migoule berkata, tiada
burqini dilihat di mana-mana pantai di Cannes sejak perintah itu dikuatkuasakan pada 28 Julai lalu.

Awal minggu lalu, sebuah taman air di Marseille membatalkan perancangan membenarkan acara tertutup untuk wanita Islam yang memakai burqini selepas mencetuskan kemarahan orang ramai. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:00 AM

No comments: