Portal berita Mail Online melaporkan bahawa saintis yang pernah mencetuskan kontroversi di internet selepas dia mendedahkan hasrat untuk melakukan pembedahan pemindahan kepala manusia serta mendakwa prosedur itu akan membolehkan seseorang yang menghidapi penyakit lumpuh sepenuhnya dapat sembuh dalam beberapa tahun selepas menjalani pemindahan itu.
Kini, selepas bekerja dengan sekumpulan penyelidik dari China dan Korea Selatan, saintis Itali itu mendakwa perancangannya kini semakin hampir, setelah menjalani eksperimen ke atas seekor monyet, tikus dan mayat manusia.
Canavero memberitahu ma­jalah New Scientist: “Saya mahu katakan bahawa kita mempunyai banyak maklumat untuk meneruskan prosedur berkenaan.”
“Adalah penting untuk seseorang berhenti berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil. Prosedur ini boleh dilakukan dan kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Canavero mendakwa seorang doktor dari China, Xiaoping Ren dari Universiti Perubatan Harbin telah berjaya melakukan pembedahan pemindahan kepala seekor monyet dengan menyambungkan saluran darah antara kepala dan badan baharu, tetapi tidak menjejaskan saraf tunjang.
Katanya, penyelidikan mengerikan itu menunjukkan bahawa jika kepala tersebut berada pada tahap beku -15 darjah Celsius seekor monyet mampu bertahan melalui prosedur berkenaan tanpa mengalami kerosakan otak.
“Monyet itu selamat menjalani pembedahan tanpa mengalami kecederaan neurologi atau masalah lain,” kata Ren, sambil menambah kata, tanpa penyambungan saraf tunjang, haiwan itu akan lumpuh dari leher ke bawah dan mampu bertahan selama 20 jam selepas pembedahan dilakukan.
Namun, tidak diketahui sama ada, haiwan tersebut mampu merasai kesakitan di bahagian badan yang dibedah selepas produr ber­kenaan atau tidak.