Menurut portal Daily Mail, pembinaan patung emas setinggi 36.8 meter itu dibiayai sekumpulan usahawan termasuk beberapa penduduk tempatan dengan kos 3 juta yuan (RM1.99 juta).
Patung tersebut dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi selepas mengambil masa selama hampir sembilan bulan untuk dibina dan diukir bagi menyamai wajah Mao.
“Pengasas Komunis China ini masih dihormati, walaupun selepas hampir 40 tahun kematiannya pada 1976.
“Arca gergasi emas Mao kini berdiri megah di sebuah medan lapang di Kampung Zhushigang berdekatan daerah Tongxu di wilayah Henan,” lapor akhbar People’s Daily.
Kebanyakan penduduk kampung itu dilaporkan merasa bangga dan memuji patung emas itu, namun terdapat juga beberapa kritikan daripada pengguna media sosial yang tidak bersetuju dengan pembinaan patung itu.
“Terdapat komuniti di laman sosial yang menyifatkan pembinaan patung itu bukan cara terbaik menunjukkan rasa hormat kepada pemimpin berkenaan dan ada juga yang mempersoalkan rupa patung tersebut yang tidak sama dengan wajah sebenar Mao,” lapor Daily Mail.