“Biarkan masa depan beritahu perkara sebenar dan nilai setiap satu berdasarkan hasil kerja dan pencapaiannya. Masa kini adalah milik mereka, tetapi masa akan datang yang saya usahakan adalah milik saya. Saya tidak kisah jika idea dicuri, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa asas sendiri,” - Nikola Tesla
Nikola Tesla adalah salah seorang saintis dan jurutera yang memainkan peranan utama dalam pembangunan elektro magnet dan penemuan saintifik lain ketika zamannya.
Beliau terkenal kerana sumbangannya kepada reka bentuk arus (AC) bagi sistem bekalan elektrik moden. Malah, kepintarannya dalam arus elektrik membuatkannya digelar sebagai seorang pembuka jalan bagi teknologi moden.
Semasa hayatnya, Tesla mencipta lampu neon, induksi motor Tesla, gegelung Tesla dan membangunkan arus (AC) sistem bekalan elektrik termasuk motor serta pengubah, dan elektrik 3 fasa.
Kehidupan peribadi
Nikola Tesla dilahirkan pada 10 Julai 1856 dalam sebuah keluarga Serbia di Smiljan Lika, Croatia. Anak kepada pasangan Milutin Tesla dan Duka Tesla ini merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Pada tahun 1861, Tesla menghadiri sekolah rendah di Smiljan di mana beliau belajar bahasa Jerman, aritmetik dan agama.
Sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau merupakan seorang pelajar yang bijak. Ketika belajar di Higher Real Gymnasium pada tahun 1870, Tesla menamatkan pelajaran dalam tempoh tiga tahun berbanding empat tahun yang diperuntukkan.
Difahamkan, Tesla mempunyai keupayaan untuk menggambarkan imej di kepalanya dan sering menggambarkan ciptaan mekanikal serta teori secara spontan.
Malah apabila mengusahakan sesuatu projek, beliau jarang sekali melukis pelan tetapi hanya bergantung pada imej yang berada dalam fikirannya.
Kerjaya awal
Sekitar tahun 1880, Tesla berpindah ke Budapest di mana beliau bekerja untuk sebuah syarikat telegraf. Di sini, beliau belajar mengenai turbin berkembar dan berpeluang membantu membangunkan peranti yang menyediakan amplifikasi apabila menggunakan telefon.
Dua tahun kemudian, Tesla berpindah ke Paris dan bekerja untuk Syarikat Continental Edison. Di sini pula, beliau menambah ilmunya dalam pelbagai jenis peranti yang digunakan oleh syarikat itu.
Malah, beliau turut mengilhamkan induksi moto dan peranti yang digunakan untuk memutarkan medan magnet.
Berbekalkan surat sokongan, Tesla ke Amerika Syarikat pada 1884 untuk bekerja dengan syarikat  Edison Machine Works. Beliau menjadi salah seorang ketua jurutera dan pereka.
Tesla telah diberi tugas untuk memperbaiki sistem elektrik penjana arus terus, dan mendakwa ditawarkan ASD50,000 (RM220,000) jika beliau boleh memperbaiki penjana motor.
Namun, selepas menamatkan tugas itu beliau tidak menerima sebarang bayaran dan ia sekali gus menjadi antara faktor persaingannya dengan Thomas Edison. Akhirnya, Tesla meletak jawatan.
Ciptaan Tesla
Sekitar tahun 1885, George Westinghouse, ketua Syarikat Elektrik Westinghouse membeli kesemua hak paten unyuk sistem dynamo, transformer dan motor Tesla.
Westinghouse kemudiannya menggunakan arus AC Tesla untuk menyalakan Ekspo Columbia Dunia di Chicago pada 1893.
Pada 1886, Tesla menubuhkan syarikat namun ia boleh dikatakan tidak berjaya kerana tidak mendapat sokongan dan kepercayaan terhadap AC.
Setahun kemudian, beliau mengusahakan X-Ray dan berjaya mengambil gambar tulang tangannya. Namun, beliau juga sedar akan kesan sampingan akibat menggunakan radiasi. Ciptaannya tidak mendapat liputan meluas dan akhirnya ia dilupakan.
Pada tahun 1891, Tesla menjadi warganegara Amerika dan ia merupakan satu tempoh kemajuan terbesarnya dalam pengetahuan elektrik.
Tesla mempamerkan potensi pemindahan tenaga tanpa wayar dan kapasiti untuk penjanaan kuasa AC.
Beliau kemudiannya berpindah ke Colorado Springs pada 1899, di mana beliau mempunyai ruang untuk membangunkan eksperimen voltan tinggi. Ia termasuk pelbagai eksperimen radio dan penghantaran elektrik.
Kematian
Ketika bekerja, Tesla merupakan seorang yang tekun dan gila kerja. Dalam sehari, beliau tidak kisah jika hanya tidur selama dua jam.
Ketekunannya juga membuatkan beliau tidak berkahwin. Pada 7 Januari 1943, Tesla meninggal dunia ketika berusia 86 tahun di sebuah bilik hotel di New York.
Selepas kematiannya, Persidangan Agung Timbang dan Ukur menggunakan simbol T (Tesla) sebagai unit ukuran kekuatan medan magnet bagi menghormatinya sumbangannya dalam dalam arus elektrik.