Berdasarkan laporan akhbar Corriera della Sera semalam, Piero Macchi yang merupakan pengasas syarikat Enoplastic yang menghasilkan tudung botol, gabus sintetik, dan label untuk botol minuman, secara senyap menukar wasiatnya sebelum meninggal dunia.
Dalam wasiatnya, Macchi menghadiahkan wang berjumlah 1.5 juta euro (RM6.63 juta) kepada pekerja di kilang syarikat itu di Bodio Lomnago, Banjaran Alps di Itali.
Anak Macchi, Giovanna yang kini Pengurus Bersama Enoplastic berkata, perkara itu diuruskan ibunya, Carla.
“Ibu turut menghantar sepucuk surat terima kasih dengan cek-cek yang diberikan kepada setiap pekerja,’’ katanya.
Cek berkenaan dikeluarkan sebelum Krismas dan setiap pekerja menerima antara 2,000 euro (RM8,845) hingga 10,000 euro (RM44,228) mengikut tahun perkhidmatan selain beberapa pekerja mendapat lebih banyak bonus daripada sepatutnya kerana kesempitan hidup.
Macchi menubuhkan Enoplastic pada 1957 dan mengeksport produknya ke lebih 80 negara. – AFP