Jaxon Emmet Buell yang dilahirkan tanpa otak sempurna dan ketiadaan tulang tempurung kepala mencipta keajaiban apabila selamat menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya bulan lepas walaupun doktor menyatakan dia tidak akan hidup lama. AGENSI
Portal Daily Mail melaporkan, ibu bapa Jaxon Emmet Buell, Brandon dan Brittany dimaklumkan bahawa anak mereka itu ketika dalam kandungan mengalami kerosakan otak dan tidak akan hidup lama.
Jaxon dikesan menghidap sejenis penyakit kerosakan saraf ketika dilahirkan, Anencephaly yang menyaksikan seseorang bayi akan lahir tanpa otak dan tempurung kepala lengkap.
Menurut Pusat Kawalan Penyakit berkata, hanya 1 daripada 4,859 bayi di Amerika Syarikat (AS) lahir menghidap Anencephaly, dan biasanya mereka meninggal dunia selepas dilahirkan.
Brandon, 30, berkata, selepas menjalani ujian kedua ultrabunyi ke atas kandungannya pada minggu ke-17, dia dan suaminya berasa timbul masalah apabila juruteknik tersebut tiba-tiba terdiam apabila melihat keadaan kepala bayinya.
“Kami dimaklumkan mengenai masalah tersebut dan menemui beberapa orang doktor yang kemudian meminta kami menggugurkan sahaja kandungan itu.
“Kami menentang pengguguran bayi. Kami melakukan apa sahaja untuk membolehkan Jaxon selamat,” katanya.
Jaxon selamat dilahirkan me­lalui pembedahan pada 27 Ogos 2014 dengan berat 1.81 kilogram dan dalam tempoh tiga minggu pertama selepas dilahirkan Jaxon ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal di Winnie Palmer Hospital, Florida ketika pakar otak cuba memahami keadaannya.