MARANG – Pasangan suami isteri, Syed Mustafa Tuan Seman dan Tuan Azizah Tuan Chik yang menetap di Kampung Pusu Tiga, Bukit Payong di sini, semalam, bersyukur kerana menerima empat menantu serentak.

Syed Mustafa dan isterinya mengambil keputusan untuk mengadakan majlis persandingan serentak untuk empat anak perempuan mereka di kediaman mereka.

Anak perempuan mereka iaitu Tuan Syarifah Noor Juliana, 26, mengahwini Mohd Muhaimin, 27, manakala Tuan Syarifah Noor Syuhada, 25, dengan pasangannya Mohd Amzar, 28, dan Tuan Syarifah Nur Shuhalai, 23, dengan Mohd Nor Azli, 29.

Sementara itu, Tuan Syarifah Nur Saibah, 20, pula mengahwini Muhammad Afifuddin, 29.
Majlis kenduri perkahwinan keempat-empat adik-beradik itu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.

Tuan Mustafa berkata, dia bersyukur kerana majlis yang dirancang itu akhirnya berlangsung seperti yang diharapkan.

Kata bapa tujuh anak itu, persandingan serentak itu merupakan idea anak perempuannya dan turut dipersetujui olehnya dan isteri serta ahli keluarga yang lain.