Angus MACLEOD menanggung kerugian sebanyak RM55,611 selepas jaringnya memerangkap kapal selam yang dipercayai milik Rusia, baru-baru ini. AGENSI
Mail Online melaporkan, Angus Macleod, 46, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Laut Utara, kawasan perairan Britain.
“Kapal selam itu betul-betul tersangkut di bawah bot saya. Jaring saya rosak apabila kapal selam berkenaan cuba melepasi jaring dan menarik bot saya sekali, namun usaha itu tidak berjaya.
“Bimbang kalau-kalau kapal selam itu turun lebih dalam yang boleh menyebabkan bot saya musnah, saya bertindak memutuskan tali jaring. Saya tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini,” jelas Macleod.
Kata Macleod lagi yang sudah menjadi nelayan selama 30 tahun, kapal selam itu kemudiannya beredar ke perairan antarabangsa dengan membawa jaringnya sekali.
Kes Macleod itu kini disiasat oleh Lembaga Siasatan Kemalangan Marin terutamanya selepas pegawai pantai mendakwa, tiada sebarang aktiviti kapal selam NATO di kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku.
Kementerian Pertahanan enggan memberi sebarang ulasan berhubung kejadian itu dengan Kementerian Luar Negara mahu menunggu keputusan siasatan yang dijalankan sebelum membuat sebarang bentuk tindakan.