Pages

Saturday, December 20, 2014

‘Raja Tikus’ Vietnam bunuh berjuta-juta tikus



Tran Quang Thieu menunjukkan seekor tikus yang diperangkap menggunakan perangkap istimewanya di pinggir bandar raya Hanoi pada 3 Mac lalu.


HANOI – Seorang lelaki di Vietnam, Tran Quang Thieu mendapat gelaran ‘Raja Tikus’ selepas dia berjaya mencipta sejenis perangkap yang dapat menghapuskan berjuta-juta makhluk perosak berkenaan.
Sekurang-kurangnya 500,000 hektar sawah padi daripada sekitar 7.5 juta hektar tanaman itu di seluruh Vietnam rosak pada setiap tahun akibat dimakan tikus, manakala anggaran kerugian pula mencecah jutaan dolar.
“Sukar untuk memerangkap haiwan ini, ia bergerak pantas dan terdapat 43 spesies tikus di Vietnam yang merosakkan tanaman,” kata Thieu.
Namun pada 1998, lelaki itu telah mencipta perangkap tikus baharu yang jauh lebih berkesan daripada jenis yang digunakan oleh petani Vietnam sebelum ini. Malah, perangkap besi itu tidak memerlukan umpan dan mempunyai spring yang amat kuat.
Thieu menganggarkan perangkap tikus yang direkanya telah dapat menghapuskan berjuta-juta ekor haiwan pembawa penyakit itu.
Sehingga kini, sekitar 30 juta perangkap istimewa itu telah dijual dan digunakan, bukan sahaja di Vietnam tetapi di beberapa negara jiran termasuk China dan Kemboja.
Selain petani, Thieu turut menandatangani kontrak untuk membekalkan perangkap tersebut bagi kegunaan di hospital, hotel, restoran dan sekolah.
“Kami pernah pada suatu masa, menangkap kira-kira 300 kilogram tikus dalam tempoh semalaman di sebuah resort pelancongan di sini,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3MNcI4ztd 
Hakcipta terpelihara 

No comments: