Hannah Jones berjaya menggenggam segulung Ijazah Kepujian dalam Pendidikan. Gambar kanan: Kepala Jones ketika dibotakkan.
Hannah Jones berjaya menggenggam segulung Ijazah Kepujian dalam Pendidikan. Gambar kanan: Kepala Jones ketika dibotakkan.
ENAM tahun lalu, doktor menemui kira-kira empat sentimeter ketumbuhan dalam otak Hannah Jones, 22.

Bagi membuang ketumbuhan itu, Jones terpaksa menjalani dua pembedahan berisiko yang dilakukan pakar bedah otak Conor Mallucci.

Bagaimanapun, dua pembedahan tersebut tidak berjaya membuang sepenuhnya sel kanser dan doktor mencadangkan supaya pembedahan ketiga dilakukan meskipun dia mungkin berdepan risiko hilang keupayaan selama-lamanya.

Jones membuat keputusan berani dan meneruskan pembedahan ketiga pada Ogos 2009. Akibatnya, wanita muda ini mengalami strok dan terpaksa belajar membaca, berjalan, bercakap dan melakukan kerja seharian seperti kanak-kanak.

Walaupun doktor pernah meramalkan tahap kecerdasan dan kepintarannya mungkin berkurang, namun Jones membuktikan sangkaan itu meleset apabila dia berjaya menamatkan pengajian di University of Chester dan menggenggam segulung Ijazah Kepujian dalam Pendidikan.

“Pernah satu ketika saya hampir berputus asa, tetapi sokongan keluarga dan pensyarah buat saya kuat. Sejak dulu, saya ingin belajar di universiti dan jadi seorang guru, tetapi pakar bedah beritahu pembedahan untuk menyelamatkan nyawa saya ini mungkin menjadikan impian itu mustahil.

“Semasa sakit, saya ingin menjadi guru di sekolah khas kerana saya memahami apa yang mereka lalui. Kini, saya baru diterima bekerja sebagai pembantu pengajar di sebuah sekolah pendidikan khas dan gembira dengan kehidupan yang dilalui hari ini,”katanya, laporan dipetik dari Mail Online.