Pages

Friday, September 26, 2014

Haji: 1.98 juta jemaah tiba di Arab Saudi


Masjidilharam mulai dibanjiri jutaan jemaah haji dari seluruh dunia menjelang musim haji yang bakal bermula awal bulan depan. - AGENSI
MEKAH 25 Sept. - Kira-kira 1.98 juta umat Islam dari seluruh dunia dilaporkan sudah tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Mail Online melaporkan, kebanyakan daripada jemaah yang tiba di negara ini lebih awal dilihat berkumpul di Masjidilharam dan mengambil kesempatan mengerjakan solat serta ibadah lain sebagai persiapan untuk melakukan haji.
Setiap tahun umat Islam dari 160 buah negara akan berkumpul di kota suci Mekah serta beberapa lokasi lain untuk menyempurnakan enam rukun haji dan tujuh syarat wajib haji.
Musim haji kebiasaannya dilakukan pada bulan terakhir mengikut kalendar Islam iaitu pada bulan Zulhijah.
Antara ibadah yang perlu mereka lakukan adalah berniat ihram di miqat, bermalam di Muzdalifah, melontar di jamrah aqabah, meninggalkan larangan ihram dan bertawaf.
Pada tahun ini, rukun Islam kelima itu akan bermula pada 3 Oktober ini.
Hari raya Aidiladha disambut sempena berakhirnya musim haji, selain diraikan sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail semata-mata mematuhi perintah Allah.
Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi terpaksa memperketatkan kawalan di pintu sempadan susulan penularan Ebola dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), bagi mengelakkan penyebaran wabak-wabak maut itu dalam kalangan jemaah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_03/Haji-198-juta-jemaah-tiba-di-Arab-Saudi#ixzz3ENAxit24
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: