Pages

Saturday, September 27, 2014

Budak 8 tahun perolehi pendapatan RM4.2j

Evan, 8, mampu menjana pendapatan lebih RM4.2 juta setahun hanya dengan bermain permainan popular kanak-kanak di hadapan kamera video. - AGENSI
NEW YORK 26 Sept. - Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Amerika Syarikat dilapor memperolehi pendapatan lebih AS$1.3 juta (RM4.2 juta) setahun hanya dengan bermain permainan popular kanak-kanak di hadapan kamera video.
Kanak-kanak itu ialah Evan, figura yang menghiasi saluran EvanTubeHD, sebuah saluran YouTube mesra keluarga yang mengulas tentang permainan dan permainan video kanak-kanak.
Video Evan sering mendapat perhatian ramai dengan setiap satu yang dimuat naiknya mampu menarik lebih sejuta pengunjung, sekali gus membolehkannya menarik syarikat iklan untuk memuatkan iklan mereka pada klip tersebut.
Kisah kejayaan Evan itu bermula selepas dia dan bapanya, Jared yang sering bermain bersama, merakam video singkat tentang permainan kanak-kanak daripada model tanah liat Angry Birds.
"Semasa kami bermula, kami merakam sebuah klip video setiap bulan sebagai satu projek kecil yang menyeronokkan," kata Jared ketika mengulas kenangan bersama anaknya itu, sebagaimana dilaporkan oddicitycentral.
Menurut Jared, video itu agak comel dan menjadi semakin popular, hinggalah mencapai satu juta tontonan dan dia menyedari tentang potensi besar daripada rakaman video tersebut sebelum menjadikannya sebagai satu model perniagaan yang serius.
"Penerbitan video seperti ini adalah sesuatu yang 'di luar kotak'. Kami cuba menyediakan maklumat tentang produk," kata Jared yang turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Jillian, 6, yang turut membuat penampilan dalam video Evan.
Jared yang menguruskan syarikat video dan fotografi berkata, dia dan isterinya mahu menjaga kehidupan Evan supaya menjadi normal dan disebabkan faktor itu, pada saluran EvanTubeHD, tiada maklumat lanjut tentang nama akhir Evan.
''Saya dan isteri teragak-agak sama ada mahu menyiarkan atau tidak maklumat yang boleh digunakan bagi mengesan di mana kami tinggal dan di mana anak-anak kami bersekolah,'' katanya.
Selain EvanTubeHD, keluarga itu turut mempunyai dua lagi saluran YouTube iaitu EvanTubeRaw dan EvanTube Gaming, malah Jillian dilaporkan mahu mewujudkan salurannya sendiri yang dipanggil JillianTube.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140927/lu_13/Budak-8-tahun-perolehi-pendapatan-RM42j#ixzz3ESWNB48N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: