Pages

Thursday, September 11, 2014

Bayi dilahir dengan lapan anggota badan

PAUL Makisa berusia tiga bulan dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan di Nabigingo, sebuah perkampungan kecil di timur Uganda. - AGENSI
KAMPALA 10 Sept. - Seorang bayi lelaki di Uganda yang dilahirkan dengan lapan anggota badan dilaporkan semakin pulih selepas doktor berjaya membuang 'kembar yang menumpangnya', bulan lalu.
Bayi itu, Paul Makisa yang berusia tiga bulan dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan di Nabigingo, sebuah perkampungan kecil di timur Uganda.
Ibu bapa Makisa, Margaret Awino dan Boniface Okongo bergegas ke hospital daerah berhampiran sejurus melihat keadaan anak mereka itu, namun hospital berkenaan menolak anak mereka daripada dirawat di situ kerana ketiadaan kepakaran dalam kes tersebut.
Mail Online melaporkan, mereka kemudiannya merujuk kes anak mereka di Hospital Mulago di Kampala, ibu negara Uganda.
Di situ, sebuah pasukan pakar bedah diketuai perunding pakar bedah pediatrik, Dr. John Sekabira menilai tahap kesihatan bayi itu dan mendapati, Makisa bukan sahaja mempunyai empat anggota tambahan, malah dia turut mempunyai dada tambahan, namun jantung dan hati bayi tersebut berada pada bahagian badan yang salah.
Malah, doktor mendapati kembar yang menumpang Makisa turut berkongsi sebahagian daripada tulang pelvis.
Doktor kemudiannya membenarkan Makisa keluar hospital selama tiga bulan kerana saiz badannya tidak sesuai untuk menjalani pembedahan bagi memisahkan kembarnya.
Pada 18 Ogos lalu, tiga pakar bedah menjalankan pembedahan ke atas Makisa selama tiga jam dan pembedahan itu berjaya memisahkan bayi itu daripada kembar yang menumpang pada badannya.
Satu daripada doktor bedah yang terlibat dalam pembedahan Makisa, Dr. Nasser Kakembo berkata, bayi itu diberikan bius secara umum dan badan serta batang tubuh kembar yang menumpangnya yang mempunyai dua tangan tetapi tidak mempunyai jantung dipisahkan daripada badan induk bayi itu.
Tambahnya, hanya berlaku kehilangan darah yang sedikit dan tiada komplikasi sampingan berlaku selepas pembedahan itu dan selepas tiga minggu pembedahan itu, Makisa kini boleh menyusu daripada ibunya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140911/lu_12/Bayi-dilahir-dengan-lapan-anggota-badan#ixzz3CxIy3D8X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: