Pages

Wednesday, September 17, 2014

AS serang IS di Baghdad


PARIS 16 Sept. - Pesawat perang Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara buat kali pertama ke atas militan Negara Islam (IS) berdekatan ibu negara Iraq, Baghdad hari ini, ketika Iran menolak pelawaan Washington untuk memerangi puak pelampau tersebut.
AS memulakan serangan ke atas kedudukan militan IS sejak awal bulan lalu di utara Iraq, tetapi kempen memerangi kumpulan ekstremis itu diperluaskan sehingga kawasan barat daya Baghdad.
Pusat Perintah AS dalam kenyataannya berkata, dua serangan dilancarkan dalam tempoh 48 jam sejak semalam, memusnahkan enam kenderaan IS di Sinjar, sekali gus menjadikan jumlah serangan udara di seluruh Iraq sejak bulan lalu meningkat kepada 162.
"Serangan di kawasan barat daya Baghdad merupakan yang pertama dilancarkan sebagai sebahagian usaha memperluaskan kempen memerangi IS dan melindungi tentera bersekutu serta misi kemanusiaan di Iraq," jelas kenyataan tersebut.
Dalam pertempuran di darat, pasukan keselamatan Iraq yang bekerjasama dengan puak tempatan bersiap sedia untuk menggempur kedudukan militan IS di pekan Dhuluiyah yang menjadi kawasan tumpuan mengusir kumpulan pelampau itu dari negara terbabit.
Sementara itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menolak permintaan AS untuk menyertai pakatan antarabangsa memerangi militan IS di Iraq dan Syria atas alasan Barat cuba membantu peralihan kuasa di Damsyik yang merupakan sekutu kuat Teheran.
Ayatollah dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasminya berkata, Teheran tidak akan bekerjasama dengan AS yang disifatkan sebagai 'tangan kotor' kerana cuba mencari alasan untuk melakukan pengeboman tanpa kebenaran di Iraq dan Syria seperti yang berlaku di Pakistan.
"AS berbohong apabila mengatakan mereka enggan membenarkan Iran terlibat dalam kempen tersebut kerana sejak awal lagi Teheran membantah misi yang diketuai Washington ke atas Iraq dan Syria," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_05/AS-serang-IS-di-Baghdad#ixzz3DWOqerpN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: