• Ayesha Farooq

JIKA perang meletus dan saya diarahkan bertugas, saya sanggup pergi berjuang. Saya ingin membuktikan pada diri sendiri bahawa saya boleh lakukan sesuatu untuk negara.” Ayesha Farooq

Di sebalik kelembutan dan keayuan wajah juruterbang wanita muda ini, tersemat semangat juang yang tinggi bagi mempertahankan keamanan negara tercinta.

Maka tidak hairanlah di usia 27 tahun, beliau berjaya mencipta sejarah menjadi juruterbang pejuang wanita pertama di Pakistan yang akan ditugaskan sebagai salah seorang pengemudi barisan hadapan dalam mempertahankan negara jika berdepan sebarang peperangan.

Ayesha Farooq yang dilahirkan pada 25 Ogos 1987 di Bahawalpur, Pakistan adalah salah seorang daripada 19 wanita yang menjadi juruterbang Tentera Udara Pakistan.

Beliau juga merupakan juruterbang wanita pertama yang lulus ujian terakhir untuk melayakkan diri menyertai peperangan.

Baginya, kepercayaan yang diberi kepadanya sekali gus membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki di dalam kokpit.

Sama seperti juruterbang lain, perbezaan jantina tidak sedikit pun membezakan latihan yang diterima di mana Ayesha tetap melakukan aktiviti lasak seperti latihan ketepatan mengebom di Pangkalan Mushaf di utara Pakistan.

Lumrahnya, wanita dalam masyarakat Pakistan tidak terfikir untuk melakukan perkara seperti menerbangkan pesawat, namun kini persepsi itu dilihat sudah berubah dan jumlah wanita menyertai angkatan tentera negara itu juga dilihat semakin bertambah sejak beberapa tahun lalu.

Selain itu, tekanan keluarga terhadap profesion yang biasanya dimonopoli golongan lelaki dipercayai menghalang wanita daripada menyertai industri penerbangan terutamanya bahagian pertempuran.

Ayesha menyifatkan, lokasi geografi dan keganasan menjadi faktor utama barisan pertahanan negara supaya sentiasa bersedia.

“Di Pakistan, adalah sangat penting untuk mempertahankan barisan hadapan atas faktor keganasan, jadi penting bagi semua orang untuk menjadi sebahagian daripada penyelamat negara,” katanya.

Jadi ikon kanak-kanak

Awal tahun lalu, beliau menamatkan latihan untuk menjadi juruterbang pejuang wanita pertama selepas menerbangkan jet pejuang F7-PG, sebuah jet Rusia MiG21 di samping 24 rakan seperjuangan lelaki dalam Skuadron 20.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadikan beliau bertanggungjawab dalam menjaga sempadan Pakistan dan India, tetapi juga menjadikan Ayesha role model untuk jutaan kanak-kanak perempuan yang ingin mengikut jejak langkahnya.

“Setiap hari saya terima puluhan panggilan telefon daripada kanakkanak yang ingin jadi seperti saya.

Apa yang boleh saya lakukan adalah beri nasihat dan motivasi agar mereka dapat jadikannya sebagai pendorong semangat,” katanya.

Bagi Ayesha, apa yang dikecapinya hari ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada setiap ujian kekuatan dan ketahanan yang dilakukan, dia perlu menandingi golongan lelaki.

“Ketika ditugaskan ke 20 Air Superiority Squadron di pangkalan Rafiqui di Punjab iaitu kira-kira 161 kilometer dari sempadan India, kemudahan yang disediakan adalah terhad kepada pegawai wanita. Jadi, mereka terpaksa bina untuk saya,” katanya.

Selain daya fizikal yang tidak setanding lelaki, bentuk tubuhnya yang kecil memaksa beliau supaya lebih bekerja keras bagi memastikan beliau
mempunyai tenaga untuk mengendalikan jet yang berat.

Ayesha akui, walaupun tugas yang dilakukannya adalah tanggungjawab yang besar, namun dia gembira dengan kehidupan yang dilalui.

Layanan yang sama rata daripada rakan sepasukan juga menguatkan lagi semangatnya untuk terus terbang demi menjaga keamanan Pakistan.


Berdikari sejak kecil

Bapa Ayesha seorang doktor meninggal dunia ketika beliau berumur tiga tahun. Sejak itu, beliau membesar sebagai seorang yang berdikari dalam menempuh cabaran hidup di Bahawalpur.

Sejak kecil beliau biasa menjadi pelindung kepada adik perempuan dan ibunya serta menganggap dirinya sebagai tentera muda.

Ketika berusia 17 tahun, beliau menyertai sekolah penerbangan dan telah mengharungi beberapa tahun yang sukar. Ia juga menyaksikan lebih separuh daripada 40 rakan sekelasnya gagal.

Ogos tahun lalu, Ayesha berkahwin dengan sepupunya dalam sebuah majlis perkahwinan yang diatur oleh keluarganya sama seperti wanita lain.